Sunday 24 June 2007

Beberapa persoalan penting tentang Islam


Beberapa persoalan penting tentang Islam:

Peradaban moden adalah hasil dari kemajuan ilmu pengetahuan yang mengagumkan, yang telah dicapai oleh manusia setelah beberapa abad lamanya melalui penelitian yang melelahkan dan eksperimen-eksperimen yang berharga. Manusia telah berjaya membongkar sebahagian rahsia alam dan telah memanfaatkan potensi-potensi alam yang terpendam untuk memenuhi keperluan dirinya dan untuk kemajuan hidupnya.

Kemajuan teknologi telah berjaya memberi kesenangan kepada manusia hari ini yang ianya tidak pernah dinikmati oleh manusia lain pada zaman-zaman sebelumnya. Tidak dapat dinafikan bahawa ia telah didominasi oleh bangsa-bangsa di negara-negara barat. Faedahnya bukan sahaja dapat dinikmati oleh mereka yang berada di barat, malah ia menjalar ke seantero dunia dan dapat dinikmati dalam semua lapangan kehidupan. Makanan dan minuman bertambah sedap, pakaian-pakaian bertambah cantik dan seni tenunannya bertambah halus. Seseorang yang berada di timur dapat berkomunikasi dengan sahabatnya yang berada di sebelah barat dengan mudah, cepat dan murah. Kesimpulannya, manusia hari ini memang telah mencapai kemajuan hidup yang tinggi, bahkan kemungkinan untuk hari-hari yang berikutnya, mereka akan mampu mencapai kemajuan yang lebih gemilang, terbilang dan cemerlang lagi.

Walaupun begitu, masyarakat dunia hari ini seolah-olah telah diserang penyakit jiwa dan permikiran. Kemajuan teknologi yang mereka kecapi seolah-olah telah mengheret mereka kembali ke zaman primitif. Kerakusan, penindasan dan kezaliman semakin bermaharajalela. Jurang kelompok kaya dan miskin semakin meluas dan melebar. Sifat kebinatangan semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat. Perkara yang baik dilihat buruk dan perkara yang buruk dilihat baik. Namun, apa yang lebih jelas di abad ini adalah, negara-negara barat yang dikuasai oleh Yahudi dan Kristian seolah-olah sedang menaruh kebencian yang teramat sangat ke atas kelompok umat Islam di seluruh dunia. Kemunduran yang dirasai oleh umat Islam dari sudut agama, akhlak dan permikiran digunakan sebaik-baiknya untuk menindas dan menzalimi mereka samada secara jelas mahupun tidak.

Lebih parah lagi, pemerintah-pemerintah Islam diracun dan di’recruit’kan supaya menjadi agen-agen lapok mereka. Golongan-golongan Islam yang jahil dan dangkal terhadap persoalan agama yang menuntut di negara-negara barat disuntik dan ditarbiah menjadi golongan liberal. Mereka kemudiannya dijadikan diplomat-diplomat barat di negara-negara umat Islam untuk menjalankan proses peng-liberalisasi ke atas umat Islam. Oleh itu, timbullah pelbagai isu agama yang dianggap telah lapok agar dibuat penilain semula seperti isu feminine, kekeluargaan, hak asasi manusia dan sebagainya yang kononnya bertujuan untuk menyesuaikan hukum-hukum Islam dengan kehendak semasa. Sebenarnya tindakan yang mereka lakukan itu adalah bertujuan untuk merendah-rendahkan serta meragui permikiran masyarakat terhadap kemampuan dan kredibiliti agama Islam. Ini disebabkan kerana Barat sudah mula merasai tanda-tanda kejatuhan mereka dan mereka dapat melihat bibit-bibit kebangkitan Islam yang sedikit demi sedikit menjalar dari satu tempat ke satu tempat yang lain hatta ke negara-negara barat sekalipun.[1]

Ini adalah kerana tabiat risalah Islam dan tabiat umat Islam tidak akan berhimpun di atas kesesatan dan akan wujud di kalangan umat ini golongan yang akan terus bangun mempertahankan Islam sehingga tertegaknya kembali risalah Islam ke seluruh pelusuk dunia seperti mana yang disifatkan oleh Rasulallah -sallallahu ‘alaihi wasallam-:

“Akan berterusan wujud sekumpulan daripada umat ini yang bangun menegakkan kebenaran sehingga datangnya ketentuan Allah” [2]

Oleh itu, kewujudan artikel ringkas ini bertujuan untuk menjawab beberapa tohmahan dan fitnah yang dilontarkan oleh musuh-musuh Islam agar ia tidak terus disalahfahami oleh masyarakat hari ini. Kita amat perlu untuk mendedahkan hakikat kesyumulan dan kemurniaan Islam di waktu ia ditohmah dan difitnah, yang telah dilupakan oleh segolongan besar manusia daripada al-Quran, al-Sunnah yang mulia, rantaian sejarah yang dibanggakan, realiti yang kita hadapi dan sunnah-sunnah Allah yang telah ditetapkan yang tidak akan diubah mahupun ditukar.

Marilah kita menyebarkan khabar gembira mengenai kebaikan dan meletakkan pengharapan bagi kebaikan. Firman Allah:

وَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ سَيُرِيكُمْ آَيَاتِهِ فَتَعْرِفُونَهَا وَمَا رَبُّكَ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Segala puji tertentu bagi Allah, Dia akan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya supaya kamu mengetahuinya”, dan Tuhanmu tidak akan lalai akan segala yang kamu lakukan” [3]

Beberapa soalan berkaitan dengan wanita:

Di sini terdapat beberapa tuduhan terhadap Islam berkaitan dengan isu feminin iaitu hak kesamarataan antara lelaki dan wanita. Beberapa pertanyaan-pertanyaan yang dilontarkan oleh sesetengah golongan yang kononnya memperjuangkan hak wanita terhadap isu ini antaranya:

Apabila Islam telah mengiktibarkan persamaan kemanusian di antara kaum wanita dengan kaum lelaki, maka mengapakah Islam masih melebihkan kaum lelaki ke atas kaum wanita di dalam beberapa masalah seperti dalam masalah persaksian, hukum waris, kepimpinan rumah tangga dan sebahagian hukum-hukum cabang yang lainnya?

Sebelum kita pergi lebih mendalam terhadap persoalan-persoalan ini, secara ringkasnya perbezaan di kalangan kaum lelaki dengan kaum wanita di dalam hukum tersebut bukanlah kerana lelaki itu lebih mulia menurut Allah s.w.t dan lebih dekat dengan-Nya daripada wanita, kerana sesungguhnya manusia yang paling mulia di sisi Allah adalah manusia yang bertaqwa walaupun ia datang dari kalangan wanita. Bukanlah perbezaan tersebut bertujuan untuk mendiskriminasi atau menzalimi wanita sepertimana yang mereka sangkakan, akan tetapi sebenarnya perbezaan tersebut disebabkan oleh pembahagian fungsi yang sesuai menurut fitrah yang sihat bagi lelaki dan wanita, yang akan kita jelaskan sebentar lagi. Bahkan merupakan satu kezaliman yang besar sekiranya kita meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya sepertimana yang sedang dilakukan oleh mereka yang kononnya mempertahankan hak-hak wanita.

Pandangan Islam terhadap wanita:

Wanita sebagai manusia:

Islam menerima kehadiran wanita sebagai sebahagian daripada kelompok masyarakat yang merdeka. Mereka bukanlah binatang atau hamba seperti mana yang dianggap oleh golongan kafir sehingga boleh dipergunakan dan dipermainkan begitu sahaja. Islam menganggap wanita adalah sebahagian daripada lelaki dan begitu juga lelaki sebahagian daripada wanita yang sebenarnya saling melengkapi dalam proses pembangunan insan, keluarga, masyarakat dan negara seperti mana yang disebutkan oleh Allah s.a.w di dalam al-Quran:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukminah, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma’ruf, mencegah yang munkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberikan rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [4]

Tujuan kejadian lelaki dan wanita di atas muka bumi bukanlah untuk dibeza-bezakan darjat dan kemuliaan di antara mereka, tetapi untuk kenal mengenali di antara satu dengan yang lain, menambahkan zuriat dan juga untuk berkasih sayang. Kesemua ini bertujuan untuk membuktikan kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t yang Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana di atas segala-galanya, supaya manusia menjadi makhluk yang bertaqwa.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar aku saling kenal mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa di antara kamu” [5]

Di dalam masa yang sama, mereka berkewajipan untuk menta’ati Allah s.w.t seperti mana lelaki, dan mereka juga berhak untuk mendapat limpahan rahmat, nikmat dan syurga daripada-Nya seperti mana juga kaum lelaki.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً

“Wahai manusia, bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya, dan daripada keduanya Allah mengembang-biakkan lelaki dan perempuan yang banyak” [6]

وَعَدَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ أَكْبَرُ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

“Dan Allah telah berjanji kepada orang yang beriman, lelaki dan perempuan dengan syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan dan tempat-tempat yang bagus di syurga ‘And. Dan keredhaan Allah adalah besar; itu adalah keuntungan yang besar” [7]

Bersambung ....

[1] Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

إن الله زوى لي الأرض. فرأيت مشارقها ومغاربها. وإن أمتي سيبلغ ملكها ما زوى لي منها. وأعطيت الكنزين الأحمر والأبيض

“Sesungguhnya Allah telah menggabungkan kepadaku bumi keseluruhannya, lalu aku melihat Timur dan Baratnya. Sesungguhnya pemerintahan umatku akan sampai kepada bumi yang telah digabungkan kepadaku dan mereka akan dikurniakan dengan 2 khazanah iaitu yang merah dan putih(emas dan perak)” (Hadis Riwayat Muslim dalam al-Fitan wa Asyaarat al-Sa’ah bernombor [2889] )

[2] Muttafaq ‘Alaihi

[3] Surah al-Naml: 93

[4] Surah at-Taubah: 71

[5] Surah al-Hujuraat: 13

[6] Surah an-Nisa’: 1

[7] Surah at-Taubah: 72

0 comments: