Monday 25 June 2007

Beberapa Persoalan Penting tentang Islam

3) Wanita sebagai isteri:

Sebahagian agama dan mazhab berpendirian bahawa wanita adalah barang najis atau sesuatu yang menjijikkan dari perbuatan syaitan yang harus dijauhi dan lebih baik hidup bersendiri. Inilah pendirian yang dipegang oleh rahib-rahib Kristian sehingga mereka mengharamkan diri mereka untuk berkahwin dan dikahwini dengan menganggap bahawa jalan kerahiban merupakan jalan yang terbaik untuk membersih jiwa yang kotor.

Sebahagian yang lain pula menganggap bahawa kedudukan seorang isteri itu sekadar alat pemuas nafsu bagi suaminya atau yang menyediakan makanan untuknya dan menjadi pelayan di dalam rumahtangga.

Maka Islam datang untuk membetulkan persepsi silap sebegini dengan mengajar kepada kita bahawa perkahwinan adalah salah satu dari tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t dalam kehidupan ini. Allah s.w.t telah berfirman:

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً

“Diantara tanda-tanda kebesaranNya bahawa Dia telah menjadikan untukmu pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan ditimbulkan antara kamu rasa kasih sayang dan belas kasihan” [1]

Islam menganggap perkahwinan adalah merupakan jalan penyelamat kepada manusia dari terjerumus ke lembah maksiat kerana ia mampu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan seseorang daripada terjebak di dalam kancah perzinaan dan sebagainya. Selain itu, ia juga merupakan salah satu jalan untuk mencapai ketenangan kerana di dalamnya terbina ikatan kasih sayang dan belas kasihan di antara dua insan yang menyatu. Justeru, atas dasar inilah Islam menyeru kepada golongan muda mudi yang sudah berkemampuan[2] untuk mendirikan rumahtangga. Oleh itu, ia jelas menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf kehadiran lelaki dan wanita sebagai insan yang saling bantu-membantu dalam membina sebuah kehidupan yang harmoni yang jauh dari kejijikkan dan kemaksiatan. Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

يا معشر الشباب، من استطاع الباءة فليتزوج، فإنه أغض للبصر وأحصن للفرج، ومن لم يستطع فعليه بالصوم، فإنه له وجاء

“Wahai sekalian pemuda, siapa diantara kamu yg mampu berkahwin, hendaklah berkahwin! Kerana 'sesungguhnya' ia dapat menundukkan penglihatan dan memelihara kemaluan, dan siapa yang belum mampu maka berpuasalah kerana di dalamnya terdapat ubat” [3]

Di samping itu, perkahwinan juga merupakan salah satu daripada sunnah para nabi -‘alaihimus salatu wassalam- termasuklah nabi Muhammad -sallallahu ‘alaihi wasallam-. Maka tertolaklah tuduhan sesetengah golongan yang mengatakan bahawa Islam menzalimi dan mendiskriminasikan kaum wanita serta menganggap bahawa kerahiban merupakan jalan terbaik untuk membersihkan diri sedangkan nabi Muhammad -sallallahu ‘alaihi wasallam- sendiri berkahwin dan baginda juga merupakan sebaik-baik makhluk dan sezuhud-zuhud zahid di kalangan orang yang zahid serta merupakan sebaik-baik manusia yang melayani isteri-isterinya. Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasalllam- bersabda:

أربع من سنن المرسلين: الحياء والتعطر والسواك والنكاح

“Empat daripada sunnah para nabi adalah malu, berwangi-wangian, bersiwak dan berkahwin” [4]

Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

وأنا خيركم لأهلي..

aku adalah sebaik-baik perlakuan terhadap keluargaku” [5]

Islam telah menjadikan isteri yang solehah sebagai kebahagiaan yang paling berharga buat suami. Mereka adalah sahabat dan kekasih, pengubat dan penasihat serta pemberi peringatan dan motivasi bagi para suami. Di saat baginda -sallallahu ‘alaihi wasallam- gementar dan resah ketika di datangi oleh malaikat Jibril, Siti Khadijahlah yang menenangkan perasaan baginda. Semasa hayatnya, beliau merupakan insan yang paling dekat dengan rasulallah -sallallahu ‘alaihi wasallam- ketika baginda dihimpit oleh keresahan dan tekanan dan terlalu banyak sumbangan serta bantuan yang diberikannya kepada Rasulallah -sallallahu ‘alaihi wasallam- di dalam senang mahupun susah demi untuk kepentingan Islam dan suaminya[6]. Perkahwinan dengan wanita yang solehah sebenarnya merupakan jambatan kepada kesempurnaan agama setelah beriman kepada Allah s.w.t dan bertaqwa kepada-Nya. Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

الدنيا متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة

“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah isteri yang solehah”[7]

Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

من رزقه الله امرأة صالحة فقد أعانه على شطر دينه فليتق الله في الشطر الثاني

“Barangsiapa diberi rezeki oleh Allah seorang isteri yang solehah, sesunguhnya telah dibantu separuh dari agamanya. Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada separuh yang lainnya” [8]

Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

أكمل المؤمنين إيمانا أحسنهم خلقا وخياركم خياركم لنسائهم

“Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik perlakuannya terhadap isteri-isterinya” [9]

Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي

“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah sebaik-baik perlakuan terhadap keluargaku” [10]

Seperti yang diketahui, haid adalah kejadian atau peristiwa yang telah ditetapkan Allah s.w.t harus terjadi kepada puteri-puteri Adam. Bagi orang-orang Yahudi dan Kristian berlebih-lebihan terhadap isteri-isteri mereka apabila mereka di datangi haid. Bagi orang-orang Kristian, mereka menyutubuhi isteri-isteri mereka ketika mereka di datangi haid supaya tidak mendapat anak. Begitulah sifat-sifat mereka yang langsung tidak mengendahkan antara hari-hari suci dan hari-hari kotor sedangkan haid adalah hari-hari kotor bagi wanita. Bagi orang-orang Yahudi pula, diriwayatkan oleh Muslim dan at-Tirmizi dari Anas -radhiallahu ‘anhu- bahawa isteri-isteri yang di datangi haid, mereka dipencilkan jauh dari rumah atau tempat tinggal mereka, tidak boleh makan dan minum serta berkumpul bersama-sama keluarga di dalam sebuah rumah. Mereka dianggap seperti manusia yang jijik dan najis. Begitulah layanan yang diberikan terhadap isteri-isteri mereka sehingga orang-orang Arab Madinah terikut-ikut dengan cara yang dilakukan oleh kaum Yahudi tersebut. Lalu mereka bertanya kepada Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- tentang hukum tersebut. Maka turunlah wahyu daripada Allah s.w.t untuk menjelaskan masalah ini:

وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

“Dan janganlah kamu hampiri(bergaul) mereka(isteri-isteri kamu) sehinggalah mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka datangilah di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang menyucikan diri” [11]

Beginilah pendirian Islam terhadap wanita yang bergelar isteri. Mereka adalah saudara bagi lelaki yang mempunyai hak yang sama seperti mana suaminya dan perkahwinan tidak sesekali menafikan hak mereka untuk mendapatkan apa yang sepatutnya. Mereka berhak untuk mendapat nafkah zahir dan batin[12] dari suaminya. Tidaklah mereka dikahwini untuk dijadikan alat pemuas hawa nafsu dan hamba abdi seperti yang dilakukan oleh sesetengah agama dan mazhab-mazhab di dunia ini.

bersambung ....



[1] Surah ar-Rum: 21

[2] Kemampuan di sini bermaksud kemampuan dari segi zahir (material) dan batin.

[3] Hadis riwayat Shaikhain di dalam Kitab Nikah, (3/4779) dan (1400).

[4] Hadis riwayat at-Tirmizi dalam Bab Nikah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam (1086).

[5] Hadis riwayat Ibn Majah dalam Kitab Nikah (1977), Tarmizi dan Ibn Hibban di dalam Shahih-nya.

[6] Kerana jasa beliau itulah membuatkan Rasulallah -sallallahu ‘alaihi wasallam- memujinya sepertimana yang diriwayatkan Saidina Ali -karamallahu wajhah-:

خير نسائها مريم ابنة عمران وخير نسائها خديجة

Sebaik-baik wanita ialah Maryam binti Imran dan sebaik-baik wanitanya ialah Khadijah binti Khuwailid” (Diriwayatkan oleh al-Bukhori dalam Kitab Anbia’ (46/3249) )

[7] Diriwayatkan oleh Muslim di dalam Kitab ar-Rodhoo’ (1467).

[8] Riwayat al-Hakim dalam Kitab Nikah (2681) dengan sanad yang shahih.

[9] Hadis riwayat at-Tirmizi dalam bab Mukhtalifah fi an-Nikah (11/1172) dan dia meng-hasan-kannya.

[10] Hadis riwayat Ibn Majah dalam Kitab Nikah (1977), at-Tarmizi dan Ibn Hibban di dalam Shahih-nya.

[11] Surah al-Baqarah: 222

[12] Rasulullah -sallallahu ‘alaihi wasallam- menegur Abdullah kerana berlebih-lebihan dalam beribadah. Di asyik berpuasa di siang hari sehingga tidak makan dan bangun di malam hari sehingga tidak tidur. Baginda bersabda:

فلا تفعل، صم وأفطر، وقم ونم، فإن لجسدك عليك حقا، وإن لعينك عليك حقا، وإن لزوجك عليك حقا

“Jangan lakukan demikian. Berpuasalah dan berbukalah. Bangunlah dan tidurlah. Sesungguhnya pada diri kamu terdapat hak, pada mata kamu terdapat hak dan pada isteri kamu juga terdapat hak” (Hadis riwayat Bukhori dalam Kitab Nikah (88/4903) )

0 comments: