Friday 29 June 2007

Beberapa Persoalan Penting tentang Islam

5) Hukum Waris:

Sepertimana yang berlaku ke atas hukum persaksian, hukum waris juga tidak terlepas daripada tohmahan golongan ta’allum (buat-buat ‘alim). Hakikatnya, Islam tidak pernah sesekali melarang wanita untuk melibatkan diri di dalam bidang perniagaan, jual beli dan sewa menyewa sekiranya mereka berkemampuan. Mereka juga mempunyai hak untuk memberi dan mengambil, bersedekah, membayar zakat dan mewakafkan harta benda mereka. Allah s.w.t berfirman:

لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ

“Bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi orang perempuan pun ada bahagian dari apa yang mereka usahakan” [1]

Selain itu, mereka juga berhak mengumpul dan mempertahankan harta benda mereka daripada di tipu dan di rampas oleh sesiapa pun, kerana Allah telah berfirman:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil..” [2]

Oleh itu, untuk pengetahuan golongan ta’allum, perbezaan di dalam masalah perwarisan harta antara lelaki dan wanita tidak mempunyai sebarang kaitan dengan soal kemulian dan darjat, tetapi disebabkan oleh faktor tanggungjawab dan kewajipan yang berkaitan dengan harta, yang secara syar’i diwajibkan ke atas diri masing-masing dari keduanya.

Kalau seandainya ada seorang ayah yang telah meninggal, dia meninggalkan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, maka ketika anak lelaki itu hendak menikah, dia wajib memberi mahar (mas kahwin) kepada bakal isterinya seperti yang disebutkan Allah di dalam al-Quran:

وَآَتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا

“Dan berikanlah mas kahwin kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian, jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya” [3]

Ketika sudah berkahwin, dia wajib pula memberi nafkah kepada isterinya mengikut kemampuannya dan menjaga makan minum anak-anaknya. Allah s.a.w berfirman:

لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آَتَاهُ اللَّهُ

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya” [4]

Tetapi sebaliknya ketika anak perempuan itu hendak dinikahi pula, dia berhak untuk mendapat mahar dari bakal suaminya. Kemudian setelah berkahwin, dia berhak pula mendapat nafkah daripada suaminya walaupun dia bekerja.

Sekiranya si ayah meninggalkan sebanyak RM150,000 kepada kedua orang anaknya, maka anak lelaki mendapat sebanyak RM100,000 manakala anak perempuan hanya mendapat sebanyak RM50,000 sahaja. Sekiranya anak lelaki itu hendak berkahwin, dia harus memberi mas kahwin dan hantaran-hantaran lainnya sehingga mencecah RM25,000 dan tinggallah bakinya sebanyak RM75,000 sahaja. Begitu pula sekiranya si perempuan hendak dinikahi, dia berhak mendapat mas kahwin dan hantaran-hantaran dari bakal suaminya yang mungkin mencecah sehingga RM25,000 juga. Oleh itu, bukankah dia juga mendapat jumlah yang sama seperti saudara lelakinya iaitu RM75,000.[5]

Sekiranya si suami menceraikan isterinya, maka dia tidak boleh mengambil kembali mas kahwin yang telah diberikannya kepada isterinya dahulu kerana ia merupakan satu penganiayaan yang mengakibatkan dosa yang nyata serta merupakan suatu tindakan yang zalim terhadap diri wanita. Tidak patut sedikitpun bagi seorang lelaki melakukan tindakan demikian kerana si isteri itu telah sudi untuk menjadi sabahagian dari dirinya dan dia pula telah mengambil janji yang kuat dari suaminya melalui perkahwinan tersebut. Allah s.w.t berfirman:

وَإِنْ أَرَدْتُمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَكَانَ زَوْجٍ وَآَتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَى بَعْضُكُمْ إِلَى بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

“Dan sekiranya kamu ingin menceraikan isterimu degan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan kepada salah seorang antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya barang sedikitpun. Apakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhanyang dusta dan dengan menanggung dosa yang nyata? Bagaima kamu akan mengambilnya kembali, padahal sebahagian kamu telah bergaul (bercampur) dengan yang lain sebagai suami isteri. Dan mereka (ister-isterimu) telah mengambil darimu perjanjian yang kuat” [6]

Demikianlah beberapa alasan mengapa Allah s.w.t menetapkan hak pewarisan harta ke atas kaum lelaki lebih banyak daripada kaum wanita, kerana tanggungjawab mereka dalam soal harta adalah lebih tinggi jika hendak dibandingkan dengan wanita.

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka…” [7]

Sekiranya hak perwarisan diberikan secara sama-rata sesama mereka, bukankah ini akan menzalimi pihak lelaki yang terpaksa menanggung beban keluarga dan anak-anak? Justeru, tidak ada langsung unsur kezaliman dan diskriminasi ke atas pihak wanita melainkan apa yang telah Islam tetapkan merupakan satu ketetapan yang adil. Melihat kepada masalah ini, Allah s.w.t telah awal-awal menjawab kemushkilan ini sebagai alasan disebalik ketetapan yang telah Islam gariskan dalam hukum perwarisan:

وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan oleh Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain, (kerana) bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi orang perempuan pun ada bahagian dari apa yang mereka usahakan” [8]



[1] Surah an-Nisa’: 32

[2] Surah an-Nisa’: 29

[3] Sunrah an-Nisa’: 4

[4] Surah at-Thalaq: 7

[5] Lihat: Malamih al-Mujtama’ al-Muslim allazi Nanshuduha (terjemahan), Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, m.s 31-32, cetakan al-Hidayah

[6] Surah an-Nisa’: 20-21

[7] Surah an-Nisa’: 34

[8] Surah an-Nisa’: 32

0 comments: