Wednesday 20 June 2007

Eksklusif: Gambar rumah pelajar jadi mangsa amuk di Mesir

Isu kematian pelajar Mesir yang ditikam

SAYA ADALAH antara ribuan mahasiswa al-Azhar yang masih lagi menuntut di bumi Mesir dan sebagaimana yang kita maklum, baru-baru ini telah berlaku satu peristiwa yang menyayat hati mengenai pembunuhan seorang mahasiswa dari Terengganu. Jika kita melihat kepada berita yang dikeluarkan oleh media di Malaysia seperti Bernama, Berita Harian, Utusan Malaysia dan Harian Metro, bermacam-macam versi mengenai kesahihan berita tersebut.




Semalam (17 Jun 2007), saya telah mengikuti mengenai berita mengenai pengebumian jenazah Allahyarham Mohamad bin Ishaq melalui Buletin Utama TV3 yang didownload dari internet. Apa yang saya terkilan adalah mengenai berita yang telah disunting dan disampaikan secara tidak mengikut fakta mengenai apa yang berlaku.


Sebagaimana maklumat yang jelas diperolehi, mangsa adalah pelajar jurusan Usuluddin tahun 3, Mansurah. Mangsa juga adalah mahasiswa yang belum genap setahun berada di bumi Mesir kerana beliau adalah mahasiswa yang mengikuti sistem berkembar melalui Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA). Jika menurut apa yang disiarkan di dalam berita tersebut, dinyatakan bahawa mangsa adalah pelajar tahun 1 Usuluddin.
Dalam pada itu, diulas juga mengenai peristiwa yang berlaku 3 tahun yang lalu mengenai pembunuhan Allahyarham Mohd Zaki sekeluarga oleh seorang warga Indonesia. Allahyarham Mohd Zaki adalah berasal dari Selangor. Akan tetapi, suntingan berita telah diputar belitkan kepada pembunuhan warga Indonesia oleh mahasiswa Malaysia yang berasal dari Selangor dan dinisbahkan kepada apa yang berlaku sekarang iaitu pembunuh Allahyarham Mohamad juga berasal dari Selangor.
Di manakah kreadibilti media di Malaysia yang seringkali memutarbelitkan fakta? Sungguh teruk etika kewartawanan yang memberikan fakta yang salah kerana ingin mengejar isu sensasi dan segera tetapi kualitinya tiada. Semoga roh Allahyarham Mohamad ditempatkan bersama para syuhada'nota pengarang klpos.com: Seluruh warga kerja klpos.com, muslimin, muslimat diminta menghadiahkan AL FATIHAH kepada si mati. Dan semoga Allah SWT meringankan beban yang ditanggung keluarga si mati dan suspek. AL FATIHAH
BACAAN LANJUT
Siswa al-Azhar bunuh rakan seorang pelajar cemerlang
SHAH ALAM: Pelajar Malaysia yang dipercayai membunuh seorang pelajar senegaranya di Mesir dalam satu kejadian Khamis lepas, telah melalui dan melepasi saringan yang dilakukan oleh penaja pengajiannya sebelum melanjutkan pelajaran kira-kira tiga tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Datuk Abdul Rahman Palil berkata pelajar berkenaan yang mendapat tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui saringan yang disyaratkan termasuk melepasi pemeriksaan kesihatan.
"Kita memang melakukan proses saringan dan tapisan termasuk kepada pelajar terbabit. Dia didapati sihat dan merupakan seorang pelajar yang bijak dan berdisiplin ketika melalui proses berkenaan.
"Malah dia merupakan pelajar pintar dan dikategorikan sebagai Jayyid Jiddan (cemerlang)," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar dan Dialog Harta Pusaka Daerah Klang di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Jabatan Pelajar Malaysia di Mesir yang meminta semua penaja menyelidik latar belakang pelajar yang bakal dihantar ke negara itu bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Dalam kejadian Rabu lepas, seorang penuntut Malaysia di Universiti al-Azhar dari kampus Mansurah, Mesir mati ditikam lebih 10 kali oleh rakan senegaranya dari Selangor yang turut belajar di kampus berkenaan, di rumah sewa mangsa.
Dalam kejadian pukul 12.30 malam (waktu tempatan), Mohammad Ishak, 22, yang berasal dari Kampung Rajawali, Chendering, Kuala Terengganu, meninggal dunia selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Antarabangsa as-Salam akibat kecederaan parah di kepala dan lehernya.
Selain melakukan saringan dan menyelidik latar belakang pelajar, Abdul Rahman berkata LZS turut menghantar setiap pelajar tajaannya mengikuti kursus persediaan selama tiga bulan di Institut Latihan Dakwah Selangor (ILDAS).
Katanya kursus itu termasuklah memberikan penerangan, persiapan diri, ketatanegaraan, sejarah, pantang larang di tempat orang dan memantapkan disiplin termasuk persediaan fizikal dan mental sebelum pelajar melanjutkan pelajaran.
Katanya proses yang sama turut dilalui oleh pelajar yang terbabit dalam kes bunuh itu."Sebelum dia pergi melanjutkan pelajaran dia telah lalui semua saringan yang kita lakukan. Perkara ini terlalu subjektif dan kita serahkan kepada pihak berkuasa. Apa yang pasti tiada siapa yang mahu kes ini berlaku," katanya.
Abdul Rahman berkata ibu bapa pelajar yang menjadi suspek kes bunuh itu ada menemuinya semalam dan memberitahu akan melawat anak mereka dalam masa terdekat.

Kerajaan Selangor dan LZS sedia membantu ibu bapa suspek dalam urusan pasport untuk ke Mesir bagi menziarahi anak mereka, katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman meminta pejabat Unit Pembahagian Pusaka (UPP) Selangor dibuka di daerah Klang bagi memudahkan urusan tuntutan kerana pada ketika ini, penuntut atau waris dari daerah Klang perlu ke daerah Kuala Langat bagi menyelesaikan urusan masing-masing.
"Sebagai wakil rakyat, saya banyak terima aduan daripada masyarakat di Klang, terpaksa berulang-alik ke UPP di Kuala Langat untuk tuntut harta. Urusan tuntuan harta itu sedikit membebankan dan ada yang mengadu harta yang dimiliki habis untuk menyelesaikan urusan tuntutan," katanya. BERNAMA

0 comments: