Monday 25 June 2007

ISLAM & PEMIKULNYA: Di Mana Kesilapan Kita?

2) Islam Agama komprehensif:

Kita menolak sesetengah persepsi mengatakan bahawa Islam itu hanyalah ibadah dan akhlak atau iman dan amal kerana ianya samalah seperti berpegang teguh kepada sesuatu ajaran dan meninggalkan sesuatu ajaran yang lain. Sedangkan Islam menyeru umatnya beriman dan berpegang teguh terhadap seluruh perintah Allah s.w.t samada suka atau tidak. Sekiranya pendirian yang mengatakan bahawa Islam itu hanya meliputi beberapa pecahan sahaja, bererti kita seolah-olah cuba mempersekutukan dan menyamakan Allah s.w.t dengan makhluk-makhluk lain. Allah s.w.t telah berfirman memerintahkan agar umatnya agar mengEsakannya dalam segala genap segi:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalin alam. Janganlah kamu mempersekutukannya” (al-An’am: 162)

Allah juga telah berfirman:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِإِثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu ke atas kamu, dan Aku telah redhokan Islam itu sebagai agama kamu” (al-Ma’idah: 3)

Barangsiapa yang beriman sebahagian dengan Allah dan menolak sebahagiannya seumpama orang-orang Yahudi yang beriman kepada Allah tetapi masih mengamalkan ajaran-ajaran agama lamanya yang bertentangan dengan Islam.

Ibn Jarir dari Ikrimah berkata: Berkata Abdullah bin Salam, Tsa’labah bin Yamin, Asad dan Usaid keduanya anak Ka’ab, Said bin Umar dan Qais bin Zaid. Mereka semua adalah orang Yahudi, mereka berkata: “Ya Rasulullah, hari Sabtu adalah hari besar bagi kami. Oleh itu, biarlah kami beribadah di hari itu dan Taurat adalah kitab besar bagi kami. Oleh itu, biarkanlah kami mengerjakannya di malam hari”. Lalu Rasulullah menegahnya dan turunlah ayat ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam seluruhnya. Jangan kamu ikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.” (al-Baqarah: 208)

Apabila Saidina Omar r.a meminta izin untuk menulis riwayat kitab Taurat, Rasulullah s.a.w menegahnya lalu menjawab:

“Demi Allah, sekiranya Musa a.s masih hidup, nescaya wajib Musa a.s berpegang dengan al-Quran dan beriman dengan ajaran yang aku bawa
.” (Hadis riwayat Al-Hafiz Abu Ya’la dari Hammad dari Asy-sya’bi dari Jabir diambil dari Ma’alim Fi at-Toriq, Syed Qutb)

Dalam hal yang demikian, adakah boleh dinamakan Islam sekiranya kita hanya mengambil sebahagian hukum-hukum Islam dan meninggalkan sebahagian yang lain? Islam adalah agama yang sempurna yang diturunkan oleh Allah s.w.t untuk seluruh manusia. Masakan agama yang diturunkan oleh pemilik alam ini membenarkan kuasa lain atau tuhan lain memerintah hambanya? Sekiranya kita menidakkan sebahagian perintah yang lain, bukankah bererti kita telah menghina dan tidak menghormati pemilik alam ini apatah lagi sebagai Tuhan yang menciptakan kita? Seolah-olah kita meletakkan perkara tersebut mengisi tempat yang selayaknya hanya untuk Allah s.w.t. Bukankah ini bertentangan dengan ikrar yang sering kita bacakan di awal permulaan solat:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam” (al-An’am: 162)

Bukankah tindakan ini seperti tindakan Yahudi dan syaitan yang dilaknat oleh Allah sehingga ke hari kiamat kerana ingkar dan tidak mahu patuh kepada perintah Allah dan RasulNya walaupun mereka menyedari hakikat kebenaran yang Allah turunkan. Allah berfirman:

الَّذِينَ آَتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

“Orang-orang yang kami berikankan kepada mereka kitab, mereka mengetahuinya sepertimana mereka mengetahui anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian mereka menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui” (al-Baqarah: 146)

Islam adalah seumpama preskripsi ubat yang sempurna daripada doktor. Ia mempunyai petunjuk, misalnya seperti peraturan memakan ubat, tempohnya, sukatannya, pantang larangnya dan sebagainya. Seandainya pesakit memakan ubat menurut selera dan kehendaknya sendiri, atau memilih sebahagian ubat tertentu dan meninggalkan ubat yang lain, maka kemungkinan besar ubat yang dimakan itu tidak dapat menyembuhkan penyakitnya. Perkara ini apatah lagi sekiranya berlaku kepada Islam, mengambil sesuatu menurut hawa nafsu dan untuk kepentingan sesetengah pihak sahaja, maka akan berlakulah kemudaratan yang besar kepada umat Islam. Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

انما ضل من قبلكم اذا سرق السريف تركوه واذا سرق الضعيف فيما عليه بالحد وأيم الله اذا سرقت فاطمة بنت محمد فقطعت يدها

“Sesungguhnya orang sebelum kamu binasa kerana apabila orang-orang kenamaan melakukan kecurian, mereka dibiarkan dan sekiranya orang-orang miskin melakukan kecurian, mereka akan dihukum. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad di dapati mencuri, aku akan potong tangannya” (Hadis riwayat Bukhori)

Oleh yang demikian, berlakulah kesesatan di kalangan manusia kerana tidak menurut sukatan yang telah Allah tetapkan kepada hambanya. Maka, jadilah ibarat orang yang buta menafsirkan rupa bentuk gajah.

Malangnya perkara ini berlaku kepada sesetengah para pendokong Islam yang terlalu terburu-buru. Mereka seolah-olah telah menjadi muslim sejati padahal pengamalan mereka terhadap Islam tidak seperti apa yang dituntut oleh Islam. Tindakan mereka seolah-olah menyempitkan kefahaman Islam serta meletakkan Islam kepada beberapa pecahan sedangkan Allah s.w.t telah menurunkan Islam secara sempurna. Justeru, ada di antara mereka yang hanya menekankan konsep iman dan amal dan menganak-tirikan soal hukum-hakam Islam. Ada pula yang menekankan soal ibadat dan zikir sehingga meninggalkan kedudukan dunia. Begitu juga ada yang menolak keterlibatan di dalam politik dan meletakkan hanya daurah, mukhayyam, dakwah ‘ammah dan usrah sebagai hakikat dakwah yang sebenarnya. Ada pula yang terlalu extreme dengan meletakkan keterlibatan di dalam politik sebagai bid’ah dan sesat. Ada juga yang terlalu mementingkan soal politik & persatuan sehingga lupa dan kurang memfokuskan asas-asas Islam yang perlu diperkukuhkan. Contoh seperti ini wujud di dalam sesetengah jemaah Islam. Mereka seolah-olah telah disempitkan oleh ideologi-ideologi jemaah dan organisasi yang mereka ceburi. Ketaksuban permikiran seumpama ini menjadikan mereka terhimpit dan akhirnya menimbulkan permusuhan dengan sesiapa yang melawani fikrah-fikrah mereka walaupun di kalangan jemaah Islam yang lain. Oleh itu, siapakah musuh mereka yang sebenarnya, sesama Islam atau golongan kafir dan penentang Islam?

Kesannya, adakah apa yang kita cita-citakan akan tercapai sekiranya kita sibuk berlawan membenarkan fikrah sebahagian ideologi yang kita bawa? Sudah tentu matlamat utama kita akan terbantut disebabkan oleh kesibukkan kita mencari dalil-dalil untuk membenarkan fikrah-fikrah kita. Dalam masa yang sama, usaha dakwah yang lebih aula dikesampingkan. Yang demikian, sekiranya kita masih memperkecilkan skop kesyumulan Islam, maka kita akan menghadapi kesukaran.

bersambung ....


0 comments: