Tuesday 26 June 2007

Persoalan Penting tentang Islam

4)Persaksian:


Di dalam al-Quran telah disebutkan ayat yang berkaitan dengan persaksian seperti persaksian di dalam masalah hutang piutang, kesaksian di dalam masalah jenayah hudud dan qisas. Antara ayat yang disebutkan itu adalah:

وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِنْ رِجَالِكُمْ فَإِنْ لَمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَنْ تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى

“…dan persaksikanlah dengan dua orang saksi diantara kamu dari kalangan lelaki. Jika tidak ada dua orang lelaki, maka datangkanlah seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhoi, supaya jika salah seorang darinya lupa, maka seorang lagi akan mengingatkannya” [1]

Demikian ayat di atas menyentuh mengenai permasalahan kesaksian. Al-Quran menjelaskan bahawa sekiranya tidak terdapat dua orang saksi dari kalangan lelaki, maka dibenarkan mengambil dua orang saksi perempuan dan seorang saksi lelaki. Dalam perkara ini, di sana tidak terdapat larangan secara mutlak terhadap kesaksian wanita memandang ayat ini jelas mengikiraf kesaksian wanita ketika ketiadaan dua orang saksi lelaki.

Perlu kita fahami, walaupun kesaksian wanita di dalam masalah hutang piutang ini terdapat syarat, akan tetapi perbezaan ini tidaklah mengurangi kemuliaan wanita sebagai manusia kerana tedapat perkara-perkara lain lagi yang keistimewaannya dikhususkan untuk wanita sahaja tidak untuk lelaki seperti di dalam masalah kelahiran dan penyusuan. Terdapat juga pekerjaan-pekerjaan pada hari ini yang lebih mengutamakan khidmat wanita daripada lelaki seperti di dalam bidang kejururawatan, pendidikan dan khidmat penjagaan kanak-kanak (nursery). Namun begitu, adakah isu ini pernah dibangkitkan sebelum ini oleh pihak yang memperjuangkan hak kesamarataan gender? Mengapa tidak menyamaratakan peluang pekerjaan ini kepada lelaki dan wanita? Mengapa dalam soal ini mereka dapat berfikir dan bertolak ansur tetapi dalam perkara-perkara yang telah Islam tetapkan cuba untuk dipertikaikan? Di sini menunjukkan bahawa mereka memang mempunyai niat yang buruk dan jahat terhadap Islam.

Berbalik kepada permasalahan kesaksian hutang piutang, keutamaannya diberikan kepada pihak lelaki adalah disebabkan oleh fitrah dan karaktornya yang demikian. Kebiasaannya wanita itu tidak disibukkan dengan urusan harta dan mu’amalah pemerintahan kerana ia merupakan suatu tugas yang berat yang memerlukan daya kesabaran yang tinggi. Tambahan pula, proses ini melibatkan pertanggungjawaban yang perlu dipikul oleh seseorang terhadap satu pihak yang lain. Apatah lagi sekiranya proses kesaksian hutang piutang ini melibatkan jumlah wang yang banyak, sudah tentu kewajipan dan tanggungjawabnya lebih mencabar terhadap para saksi. Justeru itu, ia merupakan satu amanah berat yang perlu dipikul yang kemudiannya akan dipersoalkan oleh Allah s.w.t di akhirat kelak. Oleh kerana itu, Allah s.w.t memerintahkan kepada orang-orang yang melakukan hutang piutang apabila ingin mensabitkan perjanjiannya, agar dipersaksikan oleh dua orang lelaki atau seorang lelaki dengan dua orang wanita. Al-Quran mengingatkan alasan dari ketetapan tersebut:

أَنْ تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى

“…apabila yang satu lupa, maka yang lain akan mengingatkannya…” [2]

Sebagaimana juga pendapat majoriti fuqaha’ yang menganggap bahawa kesaksian wanita terhadap permasalahan jenayah hudud dan qisas adalah tidak sah. Hal ini adalah untuk menjauhkan wanita dari terlibat dengan kekerasan dan penjenayahan serta permusuhan terhadap jiwa, harta dan kehormatan. Selain itu, jika wanita menyaksikan sesuatu jenayah contohnya seperti jenayah membunuh, mencuri, rogol dan berzina, ia merupakan satu jenayah yang boleh menjejaskan perasaan mereka. Ini adalah kerana fitrah wanita itu bersifat lembut dan mudah terkejut serta terkesan dengan tindakan ngeri, jijik dan menakutkan seperti itu yang mungkin membuatkan mereka pengsan, menjerit terkejut dan memejamkan mata kerana tidak sanggup melihat jenayah tersebut apatah lagi sekiranya mangsa itu merupakan seorang wanita. Hal ini disebabkan perasaannya yang tidak kuat untuk menahan dalam keadaan seperti itu. Dalam keadaan lain yang tidak ada kaitan langsung dengan jenayah seperti kematian, pasti kita dapat melihat ramai wanita yang menangis walaupun si mati itu tidak mempunyai hubungan darah dengannya. Dalam contoh yang lain, kebanyakkan ibu akan menitiskan air mata sekiranya terpaksa berpisah dengan anak-anaknya samada berpisah kerana menuntut ilmu di perantauan ataupun berpisah kerana anaknya sudah berkahwin. Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa fitrah wanita itu memang diciptakan dengan penuh kelembutan, mempunyai sifat keibuan dan kasih sayang.

Namun begitu, para fuqaha’ berpendapat bahawa wanita boleh dijadikan saksi walaupun seorang diri dalam hal-hal yang khusus yang bersangkutan dengan dunia kewanitaan, seperti persaksian dalam masalah penyusuan, janda, haid dan kelahiran anak kerana hal-hal ini lebih diketahui oleh mereka sendiri, walaupun ia belum menjadi kesepakatan para ulama. Sebahagian ulama fiqh berpendapat bahawa persaksian wanita juga boleh diterima di dalam kes-kes jenayah di dalam suasana yang mustahil untuk mendapatkan kesaksian lelaki seperti di asrama perempuan, kolam renang khas untuk perempuan, bilik persalinan baju, tandas perempuan dan sebagainya. Selama mana mereka itu adil, teliti, faham dan cukup syarat sebagai saksi, maka kesaksian mereka dapat diterima.[3]



[1] Surah al-Baqarah: 282

[2] Surah al-Baqarah: 282

[3] Lihat: Malamih al-Mujtama’ al-Muslim allazi Nanshuduha (terjemahan), Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi, m.s 29-30, cetakan al-Hidayah

0 comments: