Sunday 24 June 2007

Wanita sebagai anak

Sebelum kedatangan Islam, pada umumnya bangsa-bangsa di segenap penjuru dunia ini sebahagiannya berlaku kejam serta memandang hina kepada anak-anak perempuan. Apabila kedengaran bahawa bayi yang bakal dilahirkan adalah perempuan, maka merah padam dan marahlah si ayah.

وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُمْ بِالْأُنْثَى ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ

“Apabila salah seorang diantara mereka diberitakan dengan kelahiran seorang anak perempuan, maka merah padamlah wajahnya dan dia sangat marah” [1]

Perkara seumpama ini berlaku kerana mereka menganggap anak-anak perempuan adalah lemah dan tidak mampu untuk memberi kebanggaan kepada keluarga. Maka tidak hairanlah sekiranya si ayah sanggup menguburkan anak perempuannya hidup-hidup kerana dengan kehadirannya, si keluarga akan mendapat kehinaan daripada masyarakat sekeliling. Oleh itu, kehadirannya dilayan seperti binatang serta dijadikan bahan memuaskan hawa nafsu, gundik serta hamba kepada golongan bangsawan dan mereka berhak untuk diperlakukan apa sahaja untuk kepentingan golongan yang kejam dan zalim. Mereka bukanlah manusia yang tahu bersyukur dan betapa menunjukkan kebodohan mereka kerana menolak pemberian Allah s.w.t yang diberikan kepada mereka:

قَدْ خَسِرَ الَّذِينَ قَتَلُوا أَوْلَادَهُمْ سَفَهًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

“Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anaknya kerana kebodohan, lagi tidak mengetahui..” [2]

Namun setelah kemunculan Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad -sallallahu ‘alaihi wasallam-, baginda secara tegas telah melarang sesiapapun untuk menzalimi dan membunuh anak-anak perempuan seperti yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut dilanda kemiskinan. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah satu dosa yang besar” [3]

Islam tidak menganggap kehadiran mereka sebagai malang, malah mereka sama seperti anak lelaki yang merupakan pemberian dan anugerah dari Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya, tidak ada satupun ciptaan di atas muka bumi ini dijadikan oleh Allah s.w.t dengan sia-sia hatta babi sekalipun, melainkan mempunyai sebab dan maksud tersirat di sebaliknya. Allah telah telah berfirman:

لِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ يَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَنْ يَشَاءُ الذُّكُورَ

“Bagi Allah-lah Tuhan sekalian langit dan bumi, Dia menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki, Dia memberikan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia memberikan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki” [4]

Kesimpulannya, sayangilah anak-anak perempuan seperti juga anak-anak lelaki kerana mereka juga merupakan insan yang memerlukan belaian dan kasih sayang daripada ibu dan bapa. Dimanakah kesilapan mereka sehingga diri mereka halal untuk dibunuh dan ditanam hidup-hidup?

وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ

“Apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah dia dibunuh” [5]

Bersambung ....

[1] Surah an-Nahl: 58

[2] Surah al-An’am: 140

[3] Surah al-Isra’: 31

[4] Surah as-Syuura: 49

[5] Surah at-Takwiir: 8-9

0 comments: