Saturday 7 July 2007

Tercedera ketika 'SOLAT'


Allah SWT berfirman

Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (fedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (Surah al Ankabut : 45)

Mungkin ramai yang kehairanan, dan keliru, benarkah solat mampu mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran? Kita sebagai seorang muslim, wajib meyakini apa yang terkandung di dalam al Quran dan tidak meraguinya walaupun sepatah perkataan, Allah SWT berfirman:

Kitab al Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa (Surah al Baqarah : 2)

Diturunkan al Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam (Surah as Sajdah : 2)

Lihatlah ayat ke 2 dari Surah al Baqarah tadi, Allah SWT menjelaskan bahawa al Quran yang langsung tiada sebarang keraguan, menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa. Siapakah orang yang bertaqwa itu? Orang yang bertaqwa ialah mereka yang melaksanakan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Oleh itu, sebarang perkara yang disebut di dalam al Quran sudah pasti diyakini oleh mereka dan keyakinan merekalah yang menjadikan mereka diberi petunjuk menerusi al Quran. Perkara ini termasuklah di dalam ayat yang telah saya nyatakan di awal-awal tadi.
Persoalan yang timbul di sini ialah, seseorang yang mengerjakan solat, tetapi masih melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh agama. Bagaimanakah agaknya? Kita boleh nyatakan di sini bahawa di sana terdapat mereka yang mengerjakan solat secara terpaksa, terburu-buru, fikiran melayang dan sebagainya.

> Solat kerana terpaksa

Golongan ini berkemungkinan tergolong di kalangan mereka yang baru hendak mengenali Islam atau belum memahami ibadah secara masak. Berkemungkinan juga mereka yang ingin menjaga nama baik, contohnya sekiranya dia ter“kantoi” solat-solat fardhu sedangkan dia merupakan wakil rakyat, sudah pasti dia mendapat malu.

Oleh itu, orang yang bersolat kerana terpaksa seperti ini, sudah pasti sekiranya dia mendirikan solat setiap hari sekalipun, dia tetap terus melakukan kejahatan seperti rasuah atau menyeleweng duit rakyat.

> Solat kerana menunjuk-nunjuk

Golongan ini pula boleh kita dapati pada pimpinan-pimpinan berotakkan sekular. Mereka tahu bahawa rakyat menginginkan pimpinan-pimpinan mereka seorang yang beragama. Apalagi, setiap kali kamera dipasang, mereka “buat-buat” rajin mengejakan solat. Hati rakyat pun tenang kerana mereka melihat di kaca televisyen bahawa pimpinan mereka seorang yang menjaga solat.

Perbuatan ini juga boleh kita lihat sewaktu kita dihadiri tetamu-tetamu, sudah pasti kita akan mempamerkan solat yang terbaik, terutamanya ketika mengimami bakal ayah mertua. Jangan kata orang sahaja, tengok diri sendiri!

Sekiranya solat ini didirikan walaupun qiamullail sekalipun, sekiranya didirikan untuk menunjuk-nunjuk, kejahatan dan kemungkaran yang dilakukan tidak akan berkurangan. Dia akan terus melakukan kejahatannya seperti biasa.

> Lalai ketika solat

Lalai ketika solat adalah luas pengertiannya, boleh kita katakan sebagai memikirkan tentang sesuatu ketika solat, melambat-lambatkan solat dan sebagainya. Sekiranya dia seorang yang sangat sibuk dengan urusan kerjanya, berkemungkinan ketika dia mengerjakan solatnya, bermacam-macam urusan-urusannya tadi tetap terus difikirkannya.

Manusia sememangnya begitu, sedikit masa sahaja yang perlu diperuntukkan oleh solat, namun ketika itulah otaknya masih bekerja untuk dunia. Ketika solat pun masih tak mampu meluangkan masa untuk mengingati Allah SWT.


Kesimpulan
Dirikanlah solat dengan sebaik-baiknya supaya solat kita tidak dikategorikan sebagai CEDERA.

Allah SWT berfirman

Maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang – (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), (Surah al Ma’un : 4-6)

0 comments: