Monday 5 November 2007

BONDA KHADIJAH BINTI KHUWAILID RA

Ditulis oleh: Sahabat saya, Izwan Abdul Halim.
Muqaddimah

Saiyidatina Khadijah binti Khuwailid RA adalah simbol Wanita Pertama. Namun tidak pernah ada wanita pertama yang setanding dengannya. Sedangkan wanita-wanita pertama yang disanjung dunia sebenarnya hanyalah mereka yang dibayangi oleh kehebatan suami. Dengan ‘menumpang tuah’, dapatlah mereka mengecapi layanan kenamaan. Kerana itu juga, mereka dijadikan simbol setiap perkara yang sinonim dengan wanita. Hakikatnya mereka dihormati selagi ada nama.

Ketika wanita pertama lain dihormati, dirai dan disanjungi hanya kerana status, Khadijah adalah sebenar-benar dirinya; biarpun dari dimensi mana ia dinilai, Khadijah tetap wanita yang terbaik. Dia simbol seorang isteri kepada suaminya, simbol seorang ibu kepada anak-anaknya serta simbol srikandi kepada masyarakatnya.

Dia mengisi makna hidup seorang wanita dengan menjadi isteri yang mendampingi dan mencintai suami, menjadi ibu yang mencetak anak-anak dengan warna mithali. Bahkan dia adalah lambang keperibadian insan yang tulus jiwanya dalam menggapai keredhaan Tuhan. Walhal wanita pertama lain menyerahkan urusan suami, anak-anaknya dan rumah kepada pembantu. Sedang hidup mereka tidak seperti masyarakat yang ‘dipaksa’ menyanjungi mereka.

Tokoh Masyarakat

Beliau seorang wanita yang terkenal lagi disegani masyarakat Quraisy bahkan bangsa Arab umumnya. Pada yang tahu, beliau adalah seorang usahawanita yang amat berjaya; memiliki perniagaan besar hingga menguruskan wakil-wakilnya yang dilantik ke luar negeri, malah membantu membangunkan keusahawanan melalui bantuan dan modal yang beliau berikan kepada pedagang-pedagang. Pada yang mengenali, beliau adalah seorang yang santun, cantik, bangsawan lagi budiman. Ternyata dan zahir, beliau seorang yang sempurna adanya.

Ramai yang menaruh hati padanya malah tidak kurang yang datang melamarnya, biarpun beliau berstatus janda. Dengan gelaran sebagai ath-Thahirah (wanita suci) dihiasi pekerti yang mulia, semuanya ditolak dengan baik. Hatinya tidak terbuka, sungguhpun yang pernah datang itu bukan sahaja dari pemuda dan pembesar Quraisy tetapi juga dari raja-raja yang memerintah negara.

Cahaya Cinta

Suatu malam, Khadijah bermimpi melihat matahari turun dari langit lalu masuk ke dalam rumahnya dan memancarkan cahaya yang menerangi setiap ruang rumah di Kota Mekah. Beliau merasa takjub dengan peristiwa yang dilihat dalam mimpi itu. Namun mimpi itu telah ‘mengganggunya’, fikirannya sering teringat dan hatinya terasa berdebar. Akhirnya keinginan untuk menyingkap mimpi itu membawakan beliau menemui sepupunya, Waraqah ibn Naufal; seorang pendeta agama Nasrani yang telah terlalu tua bahkan matanya buta.

Waraqah menakwilkan bahawa Khadijah bakal bernikah lagi. Maka semakin mendalamlah keinginan Khadijah untuk mengetahui lanjut lalu diajunya pertanyaan demi pertanyaan dan Waraqah pula memperincikan setiap tutur jawapannya. Terkelu Khadijah setelah sinar cahaya itu ‘diperlihatkan’; dia adalah Nabi akhir zaman, berasal dari Kota Mekah, dari suku Quraisy keluarga Bani Hasyim dan namanya Muhammad.

Sejak itu Khadijah dibugarkan dengan perasaan gembira yang luar biasa. Hidupnya terasa bersinar, bersemarak dari qalbu yang kini disuluh. Kini Khadijah diterangi ‘cahaya cinta’.


Hajat Termakbul

Sesungguhnya Allah telah mengatur suatu urusan yang pasti. DitentukanNya Muhammad kepada suatu keperluan dengan menjadi pekerja kepada Khadijah. Maka semakin mekarlah bunga-bunga perasaan yang tersembunyi di dalam qalbu Khadijah setelah mendengar dari ‘Atiqah selaku wakil yang datang berunding bahawa pemuda yang dipohonkan pekerjaan untuknya dari Khadijah itu bernama Muhammad.

“Baiklah, saya terima Muhammad dan saya hargai kesediaannya. Semoga Allah SWT melimpahkan berkatNya atas kita bersama. Wahai ‘Atiqah, setiap orang dalam rombongan niaga ini saya berikan penghasilan yang tinggi, dan bagi Muhammad saya berikan lebih tinggi dari biasa”, titip katanya yang tersirat rasa sukacita namun masih penuh kesopanan merahsiakan isi hati.

Tidak ada kehampaan buat Khadijah, ternyata pemuda al-Amin itu bukan sahaja menyinarkan cahaya cinta di hatinya, bahkan perdagangan ke Syam yang diamanahkannya kepada pemuda itu menghasilkan keuntungan yang besar.


Ummul Mu’minin Pertama

Beberapa hari berlalu, Muhammad al-Amin kemudiannya mendatangi Khadijah memohon upah yang belum diambilnya. Sifat dermawan Khadijah melahirkan pertanyaan lanjut akan keperluan sebenar pemuda itu sedangkan dirinya dilanda rasa takjub melihat keperibadian pemuda dihadapannya dan terluahlah Muhammad akan keperluan serta hajat keluarga bagi memenuhi nafkah sebagai bekal untuk mencari jodoh buat dirinya. Maka berkias-kiaslah Khadijah menyampaikan hasrat hati namun tidak difahami maksudnya oleh Muhammad.

“Tetapi sayang, dia ada aibnya! Dia dahulu pernah bersuami. Kalau engkau mahu, maka dia akan menjadi pengkhidmat dan pengabdi kepadamu,” kias Khadijah menawarkan diri memenuhi hajat keluarga Muhammad.

Salah faham itu rupanya menimbulkan rasa tersinggung di hati pemuda yatim piatu itu. Diadukan kepada Abu Talib, bapa saudara yang amat menyayanginya. Maka tercabarlah ‘Atiqah mendengar rintihan anak saudaranya itu lalu segera menemui Khadijah.

Akhirnya tersingkaplah salah faham, makin bersinarlah hajat dari keduanya dan terlangsunglah ketetapan yang telah ditentukan Allah buat Muhammad dan Khadijah.


Pendamping Setia

“Wahai anak bapa saudaraku, untuk apa saya menolak Muhammad padahal dia sangat amanah, memiliki keperibadian yang luhur, mulia dan berketurunan bangsawan, lagipun tali kekeluargaannya luas. Kalau dia tidak berharta, saya cukup berharta. Saya tidak memerlukan harta lelaki,” demikianlah bait-bait kata Khadijah yang penuh iltizamnya untuk membantu bakal Nabi akhir zaman itu dan apabila dirinya sah menjadi isteri Muhammad, dia mengisyhtiharkan pemberiannya; “Wahai al-Amin, bergembiralah! Semua harta kekayaan ini baik yang bergerak mahupun yang tidak bergerak, yang terdiri dari bangunan-bangunan, rumah-rumah, barang-barang dagangan, hamba-hamba sahaya adalah menjadi milikmu. Engkau bebas membelanjakannya ke jalan mana yang engkau redhai!”

Firman Allah SWT:

“Dan Dia (Allah) mendapatimu seorang yang kekurangan (miskin), lalu Dia memberikan kekayaan.” (adh-Dhuhaa:8)


Motivator Suami

Sebagai seorang surirumahtangga, terbukti Khadijah seorang isteri dan ibu yang unggul. Di kala suaminya berkhulwah dialah yang menyediakan segala perbekalan dan menjaga anak-anak. Saat Muhammad kegelisahan menerima wahyu pertama di Gua Hira’, beliaulah yang menenangkannya. Dia menyantuni Baginda dengan pendekatan yang indah, membangunkan motivasi, menghilangkan kegusaran hati seorang insan yang menerima amanah dari Tuhannya.

“Bergembiralah dan tenteramkanlah hatimu. Demi Allah yang menguasai diri Khadijah, sesungguhnya aku berharap engkau menjadi Nabi umat ini,” begitulah ungkapan Khadijah yang membuktikan keimanan lebih dahulu menerangi dirinya sejak 15 tahun sebelum Nubuwwah itu.

“Janganlah begitu, bergembiralah! Demi Allah, Allah tidak akan mengkhianatimu, selama-lamanya. Demi Allah! Sesungguhnya, engkau telah menyambung tali silaturrahim, berkata benar, memikul beban orang lain, suka mengusahakan sesuatu yang tidak ada, meraikan tetamu dan sentiasa membela kebenaran,” lembut tutur katanya namun cukup membina!


Pengiktirafan Dunia dan Akhirat

Khadijah RA sesungguhnya seorang wanita yang menerima penghormatan bukan sahaja dari mereka yang mengenalinya, bahkan Malaikat Jibril dan Allah juga pernah menyampaikan salam buatnya melalui Baginda Rasulullah.

Jibril datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, ini Khadijah yang membawa kepada kamu satu bekas yang terdapat di dalamnya lauk, makanan atau minuman. Apabila beliau sampai kepada kamu, sampaikan salam aku kepadanya dan salam dari Tuhannya. Sampaikan berita kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam Syurga yang dibuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan.”

Ketika Rasulullah menyampaikan kepadanya: “Wahai Khadijah, sesungguhnya Jibril menyampaikan salam kepadamu dari Allah Rabbil ‘Alamin.” Jawab Khadijah: “Allah yang menurunkan kesejahteraan (salam), daripadaNya berasal kesejahteraan dan kepada Jibril semoga diberi kesejahteraan.” terpancar sifat tawadhu’ dan ‘ubudiyyah dari lafaz katanya yang menjadi cermin keindahan dirinya.

Malah, Baginda Junjungan Besar juga memberi pengiktirafan yang besar kepadanya; “Sebaik-baik wanita di dunia ini ada empat orang iaitulah Maryam binti ‘Imran, Asiyah puteri Muzahim (isteri Firaun), Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhammad.”


Kehilangan Yang Tiada Pengganti

Nabi SAW tidak pernah mendapatkan dari Khadijah melainkan peneguhan hati dan kelapangan dada, melenyapkan kesedihan dan menggantikannya dengan kegembiraan serta meringankan urusan dengan bantuan darinya. Tidak pernah lahir dari Khadijah sesuatu yang menyedihkan; sama ada sesuatu yang tidak dipersetujuinya, penafian, jauh sekali kejelikan sikap mahupun menjauhi diri dari Baginda. Maka tidak hairanlah, Khadijah RA menjadi nostalgia indah buat Baginda.

“Allah tidak menganugerahkan kepadaku seorang isteri sebagai pengganti yang lebih baik dari Khadijah RA. Dia beriman kepadaku ketika orang-orang mengingkari kenabianku; dia membenarkanku ketika orang-orang mendustakan diriku; dia membantuku dengan harta kekayaannya ketika orang lain tidak mahu memberiku; dan dari rahimnya Allah menganugerahkan anak-anak bagiku, bukan dari isteri lain.” (Riwayat Ahmad)


Akhir Kalam

Sesungguhnya Baginda telah kehilangan Khadijah di dunia, hingga sejarah menitipkan tahun itu sebagai Tahun Dukacita. Bahkan umat ini juga telah kehilangan insan dan ibu yang amat penyayang. Amat terasa sekali kehilangannya. Tidak terlafaz dengan kata-kata mengungkap rasa hiba, hanya air mata yang menemani.

Para suami juga merasa kekosongan dari lompang yang tidak mampu terisi wanita akhir zaman. Khadijah kini menjadi ‘igauan’, namun belum terlambat untuk para solehan meniti dan menjejaki langkahnya yang beliau akhiri hayatnya dengan penuh rendah diri dan tunduk pada Tuhannya, meninggalkan kata-kata teladan yang syahdu untuk diingati.

“Seandainya tulang-belulangku memiliki harga, suka untuk aku mewasiatkan agar dijual demi agama yang suci ini.”

Bonda Khadijah, sungguhpun kau telah tiada, semarak cintamu kekal selamanya……

0 comments: