Wednesday 7 November 2007

KEMATIAN ....

“Mak, ni kat mane mak?”, tanya adik saya Hafiz (4 thn 11 bulan) semasa kami menziarahi kubur datuk & opah di Perkuburan Gurab, jalan Kuala Kangsar.

“Ni kat kubur”, jawab mak kepada Hafiz.

“Kubur tu ape mak?”, tanya Hafiz sekali lagi.

“Kubur ni tempat orang mati”, jawab mak menjawap soalan Hafiz.

Tidak beberapa lama kemudian, Hafiz bertanya lagi kepada mak.

“Mak .. boleh Hafiz tengok dalam tanah ni?”, tanya Hafiz spontan.

Ayah, mak & saya serentak ketawa dengan soalan Hafiz tersebut.

“Mana boleh. Ni untuk orang yg dah meninggal dunia je”, jawab mak terpaksa.

“Nanti mak pun nak masuk dalam tanah ni tau Hafiz ..”, ujar mak kepada Hafiz.

“Mak masuk guna magic ker?”, tanya Hafiz. Sekali lagi soalan dia mengetawakan kami semua sehingga kami tidak khusuk membaca surah Yaasin di pusara ibu ayah.

KEMATIAN ..

“Tiap-tiap yang berjiwa pasti akan merasai kematian”. (ali-'Imran: 185)

Itulah gambaran budak kecil terhadap erti kematian. Tidak tergambar di dalam permikiran mereka bahawa kematian pasti akan menjemput mereka. Mereka hanya mengerti bahawa kehidupan ini adalah belaian kasih & sayang dari ibu & ayah serta abang dan kakak mereka. Selain daripada itu semuanya masih belum mampu mereka rasai ….

Tetapi bagi kita insan yg sudah punya akal untuk berfikir, sudah kenal apa itu kematian .. pernah tak kita semua terfikir atau cuba memikirkan mengenai perihal kematian? Cuba kita tanya diri kita sendiri.
-
Pernahkah aku memikirkan tentang kematianku? Bilakah kematian akan menjemputku? Bagaimanakah saat-saat ketika aku menghadapi kematian? … sudahkan aku bersedia ke arahnya?

Alangkah baiknya kalau kita semua sering memikirkan tentang hakikat kematian …

Kematian merupakan suatu perkara yg pasti !! Semua orang pasti akan menemui mati. Semua orang meyakini adanya satu noktah di dalam kehidupan yg disebut ‘mati’. Islam ke dia, Cina ke dia, India ke dia, cerdik ke dia, bodoh ke dia … mereka percaya dan yakin bahawa kematian adalah suatu perkara yg pasti. Suatu hakikat yg tiada khilaf di kalangan manusia !! Yang diperselisihkan adalah ‘benarkah ada kehidupan lain selepas mati’??

Kematian memisahkan kita jauh dari kehidupan dunia. Walaupun kita hanya berada beberapa depa di bawah tanah, tetapi untuk kembali semula ke dunia merupakan suatu perkara yg teramat-amat mustahil. Kalau di dunia kita berkawan dengan manusia, tetapi di kubur kita berkawan dengan ulat dan cacing. Malah merekalah makhluk yg memusnahkan kita, mencarik-carik dan mengoyak-ngoyakkan setiap inci dari jasad kita sehinggalah kita kembali menjadi tanah yg hina.


Peperiksaan Dunia & Peperiksaan Akhirat

Minggu peperiksaan memang merupakan minggu yang amat menakutkan. Saya sendiri takut untuk menghadapi peperiksaan sebab saya tak tahu sejauh mana saya mampu menjawab soalan yg diberikan. Entah apa soalan yg keluarpun saya tak tahu. Tanya clue dari pensyarah, tapi mendukacitakan … “kamu study je dari tajuk awal sampai habis, semua soalan akan keluar”.
Saat-saat hampirnya kepada hari peperiksaan, semua bersengkang mata, sanggup tak tidur malam, sanggup tak tengok Tv, sanggup berkurung di bilik dan librari beberapa jam lamanya semata-mata untuk tujuan peperiksaan.

Tetapi berbeza bagi pelajar yg telah awal-awal bersedia, peperiksaan tidak begitu menakutkan baginya. Hanya perlu membuat sedikit revision untuk mempertajamkan kefahaman dan ingatan terhadap apa yg telah dipelajari sebelumnya. Namun bagi pelajar yg study last minute, segala jenis penyakit datang … stress la, migrane la, gastrik la, nak pengsan la, nak pitam la … masa tu la baru nak cari note dan handout dalam kelas. Gelabah tak tentu pasal … mcm nak qiamat.

Sebagaimana takutnya kita dengan peperiksaan, begitulah takutnya kita dengan mati. Seandainya datang seorang lelaki kepada kamu, lalu memberitahu kamu bahawa esok kamu akan mati pada jam dan waktu sekian-sekian. Sudah tentu kamu akan terkejut ‘beruk’ ataupun pengsan. Kalau tidakpun, kepala si lelaki tersebut pasti akan menjadi sasaran tumbukan ‘Mohammad Ali’ kamu. Ini lantaran kerana tahunya kita tentang hakikat sebenar 'kematian', gimana seksa kubur dan penghisaban di akhirat kelak. Kita pasti pernah menonton sebuah cerekarama Melayu yg mengisahkan mengenai seorang banduan yg akan digantung. Lihatlah bagaimana reaksinya ketika dia diberitahu bahawa dia akan digantung? Tubuhnya terus longlai & tidak bermaya, gelisah & tak tentu arah. Makan, tidur & mandi bukanlah suatu kenikmatan lagi .. semuanya gara-gara kerana mendengar bahawa dia akan ‘Mati’…
-
Kematian tidak pernah memilih usia & tempat
--
Benar!! Kematian memang tidak pernah memilih usia & tempat. Kamu sendiri telah menyaksikannya bukan?
--
"Nanti bila dah besar-besar sikit ke, tua-tua sikit ke baru lah saya nak pakai tudung ...Sekarang ni biarlah saya nak bebas dulu", beginilah jawapan 'standard' gadis remaja sekarang.
--
Apakah mereka fikir mereka akan terus hidup sampai ke hari tua? Atau apakah mereka benar-benar yakin mereka akan terus hidup pada esok harinya? Sesungguhnya ajal berada di tangan Tuhan, bukan di tangan mereka .... Sekiranya Allah telah menetapkan mereka bertemu ajalnya pada usia mudanya, tiada siapa yg boleh membantah hatta empunya diri itu sendiri. Dia pasti akan mati jua di saat itu, tidak awal atau lewat sesaatpun.
-
Sakitnya kematian
-
Cukuplah apa yg dialami oleh nabi SAW menggambarkan betapa sakitnya mati.Saidatina Aisyah ra berkata:
“Aku melihat Rasulullah SAW ketika menghadapi maut, di sisinya ada sebuah bekas berisi air. Rasulullah SAW memasukkan tangannya ke dalam mangkuk itu lalu menyapu wajahnya dengan air itu. Lalu baginda SAW berdoa: Ya Allah, tolonglah aku dlm menghadapi sakarat al-maut ini”
(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi di dalam as-Syamaail)[1]

Di dalam hadis yg lain, Saidatina Aisyah ra mengatakan:
-
“Aku tidak lagi cemburu dgn mudahnya mati seseorang setelah aku melihat betapa peritnya kewafatan Rasulullah SAW”
(Hadis sahih riwayat at-Tirmizi juga di dalam as-Syamaail)
-
Apa guna jadi DOKTOR kalau .....

“Kamu belajar apa sekarang ni” …

“Saya buat perubatan sekarang ni”, jawab si empunya diri.

Mereka adalah golongan yg paling tahu tentang istilah ‘kematian’.. kerjanya hari-hari berkait rapat dengan kematian. Kerja mereka bukan untuk merawat besi atau logam, tapi untuk merawat manusia. Ia merupakan antara semulia-mulia kerjaya dan mempunyai pahala ibadah yg berlipat ganda seandainya ia dilaksanakan ikhlas kerana Allah demi untuk kebajikan manusia yg memerlukan.

Namun, apa guna sekadar menjadi Doktor yg hanya merawat dan mengambil upah rawatan yg tinggi tanpa menjadikan kedudukannya utk men-tazkiyah-kan orang yg dirawat.. tidak langsung menyedarkan mereka tentang dekatnya kematian. Sedangkan kerjaya ini merupakan antara kerjaya yg paling mudah utk menyedarkan masyarakat agar kembali menyedari hakikat & tujuan hidupnya. Namun, sekiranya pesakit berjaya diselamatkan, ada di kalangan mereka bermegah-megah kononnya dia yg menyelamatkannya … padahal semua itu adalah kuasa Allah SWT, bukan kuasa dia.

Namun, alangkah baiknya sekiranya para doktor menggunakan kedudukannya untuk me-tazkiyah-kan pesakitnya bahawa kesakitan adalah signal-signal penting bagi kematian. Apatah lagi bagi mereka yg bakal menjalani pembedahan kritikal, di saat itu tiada siapa yg mampu memberikan jawapan samada dia akan terus hidup ataupun mati melainkan terus mengharapkan bantuan daripada Allah SWT.

Berilah peringatan kepadanya … Ingatkanlah dia. Tajdidkan imannya kepada Allah SWT. Semoga di saat-saat genting sebegini, taubatnya diterima Allah. Siapa tahu tutupan matanya kali ini merupakan tutupan matanya yg terakhir, tidurnya kali ini adalah tidurnya buat selama-lamanya … siapa tahu?

Anjurkan agar dia berwuduk[2] atau bertayammum. Sekiranya dia ditaqdirkan mati, semoga wuduknya bakal menjadi cahaya buat syafaat nabi SAW di hari akhirat kelak. Imam Bukhari & Muslim telah meriwayatkan bhw nabi SAW pernah bersabda :

“Sesungguhnya umatku memanggil-manggil pada hari Qiamat dengan bekas-bekas wuduk yg berlebihan di wajah dan anggota wuduknya yg lain. Kalau kamu mampu untuk melebihkannya, maka lakukanlah ia”[3]

Sekiranya pembedahan berjaya, ambillah peluang utk mendekatinya … khabarkan kpdanya bahawa Allah masih lagi memanjangkan umurnya. Inilah sebaik-baik doktor sekiranya mereka berjaya menjadikan kedudukannya sebagai semulia-mulia kedudukan.

Roh adalah dari urusan Tuhanku

Apakah itu roh?

Kalau kita hendak mengetahui apakah itu roh, maka kita hanya boleh mengatakan roh adalah dari urusan Tuhanku untuk menghidupkan jasad-jasad manusia. Kematian bukanlah kesudahan bagi kehidupan ini, malah ia adalah kesudahan bagi episod dalam perkelanaan ini.

Manusia pernah kebingungan tentang urusan Roh, sehinggakan seorang Yahudi pernah bertanyakan kpd Rasulullah SAW tentang Roh. Dengan pertanyaan itu, mereka menyangkakan bahawa Rasulullah SAW akan mereka-reka cerita. Dengan itu, dapatlah mereka menuduh bahawa baginda berbohong dalam menyampaikan risalahnya. Lantas turunlah firman Allah SWT:

“Dan mereka bertanya kpdmu tengtang Roh. Katakan: Roh itu daripada urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan sedikit ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”
(al-Isra’: 85)

Walaupun roh hidup dalam jasad kita, tetapi kita sendiri tidak tahu sedikitpun tentang roh kita. kita tidak tahu juga mana pula roh kita berada? Adakah di akal? Adakah di jantung? Adakah di darah? Adakah di kaki? Adakah di tangan atau di mana-mana sisi dari tubuh-tubuh kita? Di manakah roh kita?

Yang demikian, sekiranya roh yg berada di dalam badan kita gagal kita ketahui tempat dan bentuknya, bagaimana pula kita hendak mengetahui bagaimana pula roh itu masuk dan bagaimana pula ia keluar? Urusan roh & kematian adalah dari urusan Allah SWT.

“Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; Maka Dia menahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan”
(az-Zumar: 42)

Tapi malangnya pada hari ini, takutnya kita dengan mati tidak seiringan dengan usaha kita ke arah menemui kematian. Abu Maisarah meluahkan tentang kematian di dalam madahnya:

“Aku mengingati mati, tetapi aku tidak gerun terhadapnya.
Sesungguhnya hati aku sangat tebal seperti batu.
Aku mencari dunia seolah-olah aku akan kekal bersamanya,
namun di belakang aku, tanda-tanda kematian sering menuruti.
Cukuplah dengan mati sebagai pengajaran,
bagi sesiapa yg matinya telah ditentukan.
Kematian sekelilingnya mengintai-intai,
Tiada seorangpun boleh lari & terlepas darinya”

(Tazkirah al-Qurtubi)

Gelapnya kubur bukan seperti gelapnya malam tidak berbintang ....

“Kubur itu tidak lain samada salah satu taman daripada taman-taman syurga atau salah satu lubang daripada lubang-lubang neraka”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Renungilah video ini dgn rasa keinsafan

-
- Ubat bagi segala penyakit sosial adalah dengan mengingati MATI -



[1] Imam at-Tirmizi mengatakan hadis ini Hasan Sahih Gharib. Namun, muhaqqiq Syeikh Usamah ar-Rahhal menyatakan hadis ini dhaif.

[2] Disebutkan di dalam sebuah hadis: “Siapa yg mati dalam keadaan berwuduk, maka matinya adalah mati syahid” (Dinaqal di dalam Hasyiah as-Syarqawi, Imam Zakaria al-Ansori)

[3] Ia merupakan keistimewaan ummat nabi Muhammad SAW, tidak pada ummat yg lain. Nabi Muhammad SAW mengenal ummatnya dari cahaya lebihan wuduk yg ada pada tubuh ummatnya. Yg dimaksudkan dengan dilebihkan wuduk pada wajah & tubuh adalah dgn melebihkan dari had yg diwajibkan. Sesungguhnya Abu Hurairah r.a membasuh tangannya sehingga ke bahu beliau. Di dalam kisah yg mashyur, saidatina Nafisah mengatakan mengenai keistimewaan Imam as-Syafi’i di saat kematiannya dengan berkata:

“Semoga Allah SWT merahmati as-Syafi’I. Beliau adalah seorang yg menyempurnakan wuduknya”

0 comments: