Saturday 22 December 2007

Fahami tuntutan bertakbir Membesarkan Allah ..

Bismillah ..

Rasanya sudah hampir sebulan saya tidak menulis di dalam blog ini. Seperti telah hilang semangat untuk menulis kerana sudah lama meninggalkannya. Tambahan lagi, menulis bukanlah kerja yg mudah .. ia bukan saja memerlukan kepada ilham & idea bahkan kesungguhan dan istiqamah si penulis itu sendiri. Kadang-kadang muncul idea, tetapi malas & tak tahu bagaimana nak memulakannya. Kadang-kadang muncul niat untuk menulis tetapi idea pula tak ada. Kedua-dua contoh keadaan seperti ini kadang-kadang membantutkan usaha kita untuk menulis. Namun kerana menganggap kerja menulis ini sebahagian dari cabang-cabang dakwah … saya kuatkan juga untuk melakarkan sesuatu. Semoga di akhirat kelak jari-jemari yg bergerak, akal yg berfikir dan hati yg berbisik akan menjadi saksi-saksi setia saya yg sanggup bersumpah di hadapan Allah SWT bahawa saya pernah dan telah menjalankan amanah Allah SWT ini.
.
..............
.

.
Hari ini (Sabtu), 12 Zulhijjah 1428 H bersamaan dgn 22 Disember 2007, kita masih lagi disunatkan bertakbir[1] dengan membesarkan Allah SWT. Pada setiap 10 Zulhijjah, kita mendirikan solat sunat Eidul Adha beramai-ramai di Musolla[2] sebagai suatu sy’iar perayaan Eidul Adha. Selepas solat Eidul Adha didirikan, kita dituntut untuk bertakbir dan setelah itu barulah khatib menutupnya dengan berkhutbah.
.
Allahu Akbar!! Allahu Akbar!! Allahu Akbar!!
.
Sesungguhnya tuntutan bertakbir kepada Allah SWT bukan saja dituntut pada hari raya Eidul Adha saja, bahkan di dalam ibadah lain juga kita dituntut dan kadang-kala diwajibkan untuk bertakbir membesarkan Allah SWT.
.
Di dalam solat kita bertakbir, memulakan azan juga dengan bertakbir, Eidul Fitri juga bertakbir, ketika menyembelih binatang kurban juga disunatkan bertakbir, berzikir juga dengan melafazkan lafaz takbir & berbagai lagi. Ia sebenarnya menunjukkan bahawa membesarkan Allah SWT merupakan tuntutan dan kewajipan kita sebagai hamba-Nya yg beriman bukan saja pada waktu-waktu tertentu, malah pada setiap keadaan di dalam kehidupan kita.
.
Mengapa kita dituntut untuk bertakbir?
.
Kita dituntut untuk bertakbir membesarkan Allah SWT agar kita sentiasa ingat dan sedar bahawa kita adalah kerdil dan terlalu kecil di sisi Allah SWT. Allah SWT sangat besar dengan KuasaNya, QudratNya, IradatNya, ke-Esaan-Nya, kasih sayang-Nya, Rahman & Rahim-Nya … tiada yg kecil di sisi-Nya melainkan semuanya di bawah kebesaran-Nya. Kebesaran Allah SWT adalah kebesaran mutlak, kebesaran hakiki yg tidak memerlukan bantuan dan sokongan dari yg lain. Berbeza dengan manusia .. mereka hebat, ‘gah’ dan besar dengan sokongan dan bantuan dari yg lain. Kita pandai membaca & menulis kerana cikgu yg ajar, menjadi pemimpin kerana sokongan & undi masyarakat, masyhur kerana ilmu & terbilang kerana kecemerlangan usaha dan daya … tetapi semua itu tidak bagi Allah SWT. Walaupun tanpa kehadiran malaikat serta tenteranya dari kalangan lautan yg meluas, langit yg membiru, hujan peluru yg menhujam jua angin yg kencang …. Allah SWT tetap Maha Besar lagi Berkuasa.
.
Allahu Akbar!! Allahu Akbar!! Allahu Akbar!!
.
Marilah membesarkan Allah SWT kerana Kebesaran & Keagungan merupakan salah satu dari sifat kemuliaan & kesempurnaan Allah SWT.
.
Besarkanlah Allah SWT dengan sebenar-benar kebesaran pada lisanmu, hatimu dan perbuatanmu.[3]
.
Janganlah memakai kebesaran Allah SWT pada dirimu, kerana ia hanya milik Allah SWT .. Sekiranya kamu memakainya, ketahuilah bahawa Allah SWT juga bersifat dengan sifat al-Mutakabbir (yg Sombong). Dengan kesombongan[4] Allah SWT, Dia berkuasa mengazab hamba-Nya yg mencuri mahkota kebesaran-Nya yg melakukan kezaliman dan kesombongan di atas muka bumi. Ingatlah, azab Allah SWT itu tersangatlah pedih.
.
Allah SWT berfirman di dalam sebuah hadis Qudsi:


الكِبْرِيَاءُ رِدَائِ وَالعَظَمَةُ إزَارِيْ فمَنْ نَازَعَنِيْ واحدًا منهما قَذَفْتُهُ في النارِ

“Kesombongan adalah selendangKu, kebesaran adalah pakaianKu. Barangsiapa yg mencabut salah satu darinya (yg merupakan milik Aku), Aku akan campakkan dia ke dalam neraka”[5]

Bagi mereka yg mencuri kebesaran Allah SWT dengan melakukan kezaliman di atas muka bumi, ingatlah bahawa kebesaran yg kamu perolehi itu adalah kepunyaan Allah SWT yg hanya layak untuk-Nya saja … tidak layak utk kamu. Hari ini kamu bebas melakukan kezaliman terhadap orang lain .. kamu bunuh mereka yg tidak bersama kamu, kami penjarai jasad mereka dan kamu cabut kebebasan mereka yg merupakan hak peribadi yg Allah SWT berikan kepada mereka, kamu pisahkan mereka dari isteri & anak-anak mereka, kamu siksa batin dan tubuh mereka dgn combokkan & siatan getah yg berbisa … Kamu buatlah apa saja selagi kamu berdaya, Allah berikan kebebasan kepada kamu di dunia ini. Tetapi dunia akhirat bukan hari kamu, ia adalah hari Allah SWT yg berkuasa mutlak ke atas setiap hamba-Nya … “Siapakah Raja pada hari ini!!”, kata Allah SWT …… samada kamu Raja, Sultan, Agung, Perdana menteri atau Presiden di dunia dulu, di dunia akhirat kamu adalah sama dengan manusia lain di sisi Allah SWT … semuanya tidak berbaju dan bertelanjang hina di depan Allah SWT. Tiada lagi tahta di kepalamu, baju kuning pada tubuhmu, kalung emas di bahumu, kerusi besar di punggungmu …. Kamu sama di sisi Allah SWT sebagai hamba yg menanti saat-saat kamu dipersoalkan.

“Kamu yg berlaku zalim dulu di dunia … Nah rasakan kepedihan api neraka!!!”, kata Allah SWT dengan penuh kesombongan kepada pelaku zalim di dunia dulu.

Mereka yg menolak & mempertikaikan hukum Allah SWT juga merupakan dari kalangan hamba yg tersangat sombong kerana menganggap dirinya lebih besar dan pandai daripada Allah SWT yg bersifat Maha Mengetahui, Berkuasa & Mencipta. Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata: “Seorang Muslim yg redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai Agama, Muhammad sebagai Rasul, al-Quran sebagai panduan .. tidak akan tergambar daripadanya untuk membahaskan prinsip kesesuaian hukum yg telah disyariatkan oleh Tuhan dan penciptanya yg mana ia merupakan petunjuk dan hidayah bagi dirinya ke jalan yg lurus, kerana perbuatan itu bererti makhluk ini berlagak lebih bijak dari penciptanya, hamba tersebut cuba membetulkan Tuhannya seolah-olah dia lebih mengetahui tentang dirinya, alam semesta dan kedudukan sekelilingnya lebih daripada pencipta alam semesta, pengurnia kehidupan dan pembentuk rupa manusia”[6] … Hamba seperti ini memang layak untuk dikenakan hukuman di akhirat kelak disebabkan oleh kesombongan mereka.

“Kamu yg sombong dulu di dunia … enggan patuh kepada perintah-Ku, menghina perintah nabi-Ku, menjauhi agama seruan ummat-Ku. Nah ! Sekarang kau rasakan kepanasan api neraka akibat kesombongan kamu di dunia dulu”, kata Allah SWT dengan penuh kesombongan kepada mereka yg sombong di dunia dulu.

Takutlah dengan Allah SWT dengan mengingati kebesaranNya, pedihnya azabNya dan siksaan-Nya. Oleh itu, marilah menundukkan diri kepada Allah SWT … Tuhan yg menciptakan kita dari setitis air mani yg hina, juga yg mengangkat darjat kita sebagai khalifah agung dari sekalian makhluk-makhluk-Nya yang lain. Besarkanlah Allah, hinakan diri kepada-Nya, tundukkan seluruh jasadmu demi-Nya kerana suatu saat nanti .. kita terpaksa menghinakan diri, tunduk, sujud dan menghadap pada-Nya. Tiada siapa yg akan terlepas dari saat ini termasuklah kamu wahai Pelaku KEZALIMAN. Allah SWT itu ADIL & Dia sangat Adil terhadap hamba-hamba-Nya ...
.

SALAM EIDUL ADHA
.
.

.
.
.
.

.

..............................

.
[1] Allah SWT berfirman: “Dan kamu ingatlah kepada Allah pada hari-hari yg ditentukan”. Oleh itu, disunatkan pada hari-hari tashri’ (11, 12 & 13 Zulhijjah) agar kita bertakbir dan bertahlil sejurus selepas solat fardhu yg lima dengan nyaring dan bersemangat serta diharamkan pula kita berpuasa pada hari Eid dan pada 3 hari tersebut iaitu hari tashri’ kerana nabi SAW bersabda: “Hari-hari Mina adalah hari-hari untuk makan, minum dan mengingati Allah SWT (bertakbir & tahlil)”. WA
.
[2] Pada zaman nabi SAW, solat sunat Eidul Fitri, Eidul Adha, Istisqa’ dan beberapa solat sunat yg lain didirikan di Musolla iaitu di atas tanah yg lapang, bukan di masjid atau surau seperti yg kita laksanakan sekarang. Umat Islam di Yaman, India & beberapa negara umat Islam yg lain masih lagi mengamalkan sunnah ini. Namun, para fuqaha mengatakan bahawa disebabkan oleh jumlah penduduk yg ramai dan tiadanya kawasan lapang untuk menempati bilangan jumlah penduduk yg ramai, maka dibolehkan mendirikannya di masjid atau surau. WA
.
[3] Iaitu dengan menganggap setiap perbuatan dan usaha yg kita lakukan adalah dengan qudrat dan kehendak Allah SWT. Disebutkan bahawa: “Seseorang itu, syi’arnya adalah zuhud manakala selendang / sifatnya adalah wara” (al-Jami’ li Asma al-Husna, m.s 241)
.
[4] Imam Qatadah & Muqatil berkata: al-Mutakabbir adalah kesombongan Allah SWT dari segala kejahatan manusia. Imam Abu Ishak pula berkata: Kesombongannya adalah kepada hamba-Nya yg berlaku zalim. Imam al-Ghazali berkata: Kesombongan dan kebesaran murupakan sifat kepujian dan kesempurnaan Allah SWT, manakala untuk manusia ia adalah kekurangan dan kebinasaan. Imam Fakr ar-Razi mengatakan: Kesombongan Allah SWT adalah kebesaran dan kekuatanNya bahawa di tangan-Nyalah segala kebaikan, ihsan dan kemaafan. Tidak hilang darinya kekuasaan dan tidak lari dariNya kebesaran. (al-Jami’ li Asma al-Husna, Imam Ibn Qayyum & Qurtubi, m.s 241)
.
[5] Riwayat Abu Daud, Ibn Majah & Ahmad dengan sanad yg Sahih diambil dari Arba’un Hadisan Qudsiyyan.
.
[6] Al-Islam wal ‘Ilmaniyyah Wajhan liWajhin, Syeikh Yusuf al-Qardhawi, m.s 181

0 comments: