Monday 7 January 2008

Bagaimana dengan PRINSIP kita..?

Bismillah ...
.
Setiap orang mesti berdiri di atas PRINSIPnya .. kerana jati diri seseorang terpantul melalui prinsip yg dibinanya. Keajaiban prinsip adalah; ia menjadi mata pedang yg bersedia menghunus setiap musuh yg cuba menyerangnya. Ia juga merupakan bekalan si pemakainya ke mana saja dia melangkah..
.
Tetapi …. bukan mudah untuk menjadi seorang yg benar-benar berprinsip. Ia tidak semudah menumpahkan dakwat pena di atas kertas putih yg bersih .. Apa yg jatuh, itulah yg nampak. Sekadar melaungkan ‘aku orang yg berprinsip !!’ tidak menjadi satu inferen yg muktamad bahawa dia berdiri bersama prinsipnya. Apakah dia seorang yg benar-benar berpegang teguh kepada prinsipnya .. dapat dilihat ketika mana dia diuji dan dicabar dengan pelbagai tribulasi yg mendepaninya. Ia terlalu sinonim dengan soal perjuangan.
.
Terkadang, dia sanggup bermandi darah demi mempertahankan prinsipnya .. dan terkadang, dia juga boleh tergadaikan prinsipnya kerana tertekan dengan pelbagai himpitan yg menghimpit dirinya serta termakan dengan habuan dunia yg menjadikannya seorang yg cukup haloba.
.
“Kalau takut akan risiko, usah bicara soal perjuangan ..!!” … dari mana datangnya prinsip ini kalau ia bukan datang dari seorang yang telah diuji dan dicabar?? Ini merupakan contoh seorang yg sanggup bermandi darah demi mempertahankan prinsip perjuangannya.
.
Beliau adalah idola semua peringkat masyarakat .. di bumi Malaysia mahupun Antarabangsa. Namanya dijulang kerana ‘Gah’ perjuangannya. Beliau adalah simbol seorang pejuang yg berjiwa merdeka. Kerana itulah beliau diuji, dan kerana itulah beliau dihambat dengan pelbagai tuduhan dan provokasi ..
.
.
Inilah prinsip beliau; Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kini beliau memakainya ke mana saja beliau berpentas, berpencak kemana saja beliau bergelanggang … samada di depan Tun Dr Mahathir, di depan Pak Lah … malah di depan mana-mana pemimpin besar dunia, “Kalau takut akan risiko, usah bicara soal perjuangan” tetap menjadi prinsip perjuangannya. Kesannya, beliau dihormati oleh kawan & lawan. Beliau tidak luntur dengan pijat-pijat ISA yg membekas pada tubuhnya … prinsip tersebut menjadikan beliau seorang yg cukup kental memperjuangkan kebenaran & keadilan. Inilah contoh prinsip yg perlu ada pada setiap individu yg berkarismatik.
.
.
Siapa tidak kenal dengan Ahmadnejad ..?? Kita tidak mahu berbicara soal aqidahnya, juga mazhab anutannya. Yang kita mahu bicarakan adalah prinsip perjuangannya. Beliau tegas mempertahankan prinsipnya. Walaupun ugutan datang bertubi-tubi, rakyat tetap berdiri di belakang menyokong prinsip perjuangannya … Inilah pemimpin berprinsip yg berjiwa rakyat.
.
Sebagai seorang Mukmin, nama Nabi Muhammad SAW tidak harus tercicir dari pena dan pertuturan kita. Nama beliau harus sentiasa disebut-sebut sebagai pejuang terulung, malah teragung dunia akhirat. Tiada siapa yg dapat menempati tempatnya. Beliau adalah kamus bagi setiap ungkapan bahasa, budaya, politik, ekonomi & perjuangan. Percakapannya, perbuatannya dan penetapannya adalah jawaban bagi setiap ungkapan yg tidak tersingkapkan. Al-Ameen gelarannya, An-Nabiy panggilannya, Al-Ummiy kemuliaannya. Beliau adalah Rasul yg berdiri sebagai bapa, panglima & ketua negara. Dari seorang yg tidak tahu membaca … menjadi seorang pemimpin bagi para Anbia’ dan Ummah seantero dunia. Namanya terus dijulang … dulu, kini & selamanya. Walaupun beliau telah wafat, silsilah perjuangannya tetap terus berjalan ke setiap ceruk penjuru dunia seperti berjalannya darah ke setiap sudut anggota tubuh badan manusia.
.
“Walaupun diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, aku tidak akan sesekali meninggalkan urusanku sehinggalah maut menjadi ajalku” …. Inilah prinsip baginda SAW yg menyebabkan beliau terus menerus diburu dan dimusuhi oleh musuh-musuhnya.
.
Walaupun ditawar dengan jawatan yg tinggi, harta yg melimpah serta gadis yg cantik molek sebagai ganti agar beliau berhenti dari seruan dakwahnya … beliau menolaknya demi prinsip perjuangan agama yg dipikulnya.
.
Sebaliknya, orang yg tidak punya prinsip adalah seperti kapal kecil yg berlayar di tengah lautan yang berombak … terumbang-ambing mengikut gelombang. Ke kanan pun ya, ke kiri pun ya … hanyut diseret air, rebah dipukul ombak ..
.
Kemurkaan Allah SWT kepada golongan Munafiq disebabkan oleh kepincangan prinsip yg mereka pegangi .. bermudah-mudah menjual Islam demi kepentingan peribadi. Di depan orang Islam berlagak Islam, di depan orang kafir mengaku kafir .. membantai Islam. Mereka adalah manusia yg paling celaka di sisi Allah SWT … semoga kita tidak termasuk dari golongan mereka.
.
Pemimpin yang tidak punya prinsip adalah pemimpin yang tidak punya hala tuju .. apatah lagi yg berprinsip tetapi sanggup memperjudikan prinsipnya. Dia menjadikan buminya seperti tepung yang bebas diuli mengikut seleranya. Mereka seperti anai-anai yg berselindung di celahan dinding & kayu … sedikit demi sedikit mereka merosakkan rakyat. Maruah bangsa digadaikan .. Akhirnya, lahirlah generasi yg tidak kenal asal usulnya … hilang tamadun, hilang budaya, hilang segala-galanya. Jadilah mereka Melayu yg berbudaya Barat, Islam yg malu beragama …
.
Tidak ketinggalan juga, ada orang yg berprinsip tetapi dia semacam keliru dengan prinsipnya. Di depan khalayak, dia lantang mempertahankan sunnah ..seolah-olah hanya dia saja pengibar bendera sunnah di abad ini. Tetapi di belakang mereka, dia pelaku bid’ah yg paling ketara kebatilannya. Apakah prinsip yg ingin dia tonjolkan sebenarnya ..??
.
Prinsip tetap prinsip .. tetapi selagi ia tidak berdiri bertunjangkan iman, prinsip tersebut bisa tumbang dipukul angin yg kencang. Ia mungkin benar & mungkin juga batil. Prinsip yg dibina di atas dasar perkauman merupakan contoh prinsip yg batil walaupun terkadang ia benar di mata masyarakat.
.
Ia berbeza dengan Islam. Tarbiah Islam mengajar kita membina prinsip yg jelas. Prinsip yg berasaskan kepada pembinaan aqidah yg sahih menjadikan kita seorang mukmin yg mempunyai hala tuju. Ia menatijahkan hala tuju kehidupan yg jelas tanpa sebarang kesamaran, serta perjuangan yg lurus tanpa sebarang penyimpangan; Allah SWT matlamat kita, Rasulullah SAW ikutan kita, al-Quran panduan kita & jihad adalah jalan kita. Yang benar tetap benar. Yang batil tetap batil. Tiada pertengahan diantara keduanya. Allah adalah segalanya. Rasulullah adalah selepas-Nya … tiada yg lebih tinggi selain darinya. Kejelasan prinsip yg telah dipasak dengan materi Islam yg sebenar tidak akan menggoyahkan turuk (jalan) yg dilaluinya, walaupun kulit mereka dikoyak-koyakkan oleh penyembah logam & material. Ada yg dicampak ke dalam bara api seperti Nabi Allah Ibrahim AS. Ada yg dibunuh dan disula seperti Yasir dan Sumayyah. Ada yg didera & dicela seperti Bilal ibn Robah RA dan ada juga yg bermandi darah seperti Saidina Ja’far at-Thoyyar. Mereka bersedia untuk dicampakkan ke mana-mana sahaja. Tetapi ingat !! Mereka pasti akan menyalakan obor-obor ummah yg menyinari malam yg gelap gelita kepada cahaya. Jika mereka dicampakkan ke lautan, mereka membina sebuah kepulauan. Jika dicampakkan ke hutan, mereka membina sebuah perkampungan dan jika dicampakkan ke awan, mereka bisa terbang membelah awan. Apa yg saya katakan telah nyata di depan mata kita … nur Islam sedang hebat melebarkan cahayanya di mana-mana saja hatta di celah-celah pekung pejuang Salibiyyah, sebagaimana lahirnya seorang lelaki bernama Musa AS di celah-celah Penguasa pembunuh lelaki bernama Firaun la’natullah… Ah !! Ajaib sungguh al-Quran bermukjizat. Semuanya kuasa Allah ‘Azza wajalla ..tiada siapa yg mampu menghalangiNya.
.
Namun begitu, secara umumnya … umat Islam masih lagi berada di dalam kemunduran. Dunia tidak berlumba mencampakkan telinganya mendengar pandangan Islam. Apakah punca di sebaliknya?? Jawapannya kerana umat Islam sendiri telah menggadaikan prinsip-prinsip Islam yg dibina sebelumnya. Mereka menggadaikan iman, justeru tergadaikan prinsip ketuhanan bertuhankan Allah sebagai Ma’bud dan Maalik. Kini, kita menjadi bangsa beragama yg tidak berprinsip .. tidak punya integriti, menjadi seperti anjing (maaf) yg mengejar bayang-bayang. Mengejar Barat, Barat tak mahu .. mengejar Timur, hilang Ketimuran. Hilang prinsip, hilang hala tuju ….
.
Kemunduran kita bukanlah kerana kerendahan akal kita, mahupun kemampuan kita …. tetapi kerana kesombongan kita menjadikan Islam sebagai prinsip jalan kehidupan. Kekaguman & kegerunan Barat suatu ketika dahulu terhadap kita bukanlah disebabkan oleh bangsa dan geografinya, tetapi disebabkan oleh prinsip Islam yg kita dahulu genggami. Oleh itu, jangan salahkan Islam & jangan salah faham terhadap Islam !! Salahkan diri kita sendiri kerana tidak mahu berpegang kepada Islam, kerana Islam mengajar kita berpegang kepada prinsip.
.
Sahabat, Muslimin & Muslimat, Ikhwah & Akhawat …
.
Sudah terlalu lama saya & kamu semua terlena. Ayuh kita bangkit dari tidur yg panjang. Marilah kita semarakkan perjuangan melangkah bersama-sama ke dunia yg baru … Binalah prinsip & berpeganglah dengan PRINSIP Islam yg sebenar.
.
Sebelum kamu mengalihkan wajahmu, tanyalah diri kamu .. Bagaimana dengan PRINSIP aku ..?

0 comments: