Tuesday 1 April 2008

Kerinduan yang Dilepaskan ...

.
“Fitri … anta tahu tak Ma’arad Kutub 4 April ni?”, tanya sahabat saya.
.
“Yeke, ana tak tahu pula… Nanti kita pergi sekali ye”, jawab saya kepada beliau.
.
Di dalam kepala saya sudah terbayang-bayang buku apa yang bakal menjadi sasaran. Sudah lama saya menjeling-jeling buku tersebut, tetapi terpaksa saya pendamkan kerana harganya mahal.
.
Semenjak berkawan dengan buku, saya tidak pernah terlepas pergi ke sana(pameran buku) untuk mencari mana-mana buku yang berkenan di hati. Cuma tahun lepas saja saya tidak pergi kerana ketika itu saya berada di Syria.
.
Tahun ini sekiranya diizinkan Allah SWT, saya nak pergi sekali lagi .. Insya-Allah.
.
PASCA-KEMATANGAN
.
“Apa la yang abang asyik duk baca tu ..?”, hati saya berbicara semasa zaman budak-budak dahulu ketika melihat abang yang terkadang tergelak-gelak ketika membaca buku Oliver Twist di perpustakaan rumah.
.
Dulu, semasa bergelar budak sekolah .. saya amat tidak suka untuk mendekati buku. Tidak kira buku apapun, semuanya tidak saya minati untuk sedikitpun membacanya(tidak termasuk buku-buku sekolah). Membaca buku bukanlah hobi saya dan buku bukanlah teman saya ..
.
Kalau di sekolah, ada kawan-kawan yang selalu membaca komik ‘Dragon Ball’. Kadang-kadang episod yang tidak sempat dibeli dipinjam dari kawan yang sudah membelinya. Khusyuk mereka membaca komik tersebut seolah-olah seperti melihat kungfu sebenar di hadapan mata. Namun, ia tidak pernah menarik minat saya. Mujur …
.
Saya – dulu – merupakan ‘outdoor person’. Berbeza dengan abang saya, waktu-waktu terluang di rumah sering beliau gunakan untuk membaca buku. Oleh kerana itu, beliau memang tidak ramai kawan kerana sifatnya yang selalu ‘terperuk’ di rumah. Namun, setelah menjadi sebahagian dari pelajar Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah .. beliau ternyata punya karisma dalam memimpin dan terserlah bakatnya dalam banyak perkara.
.
“Apa la yang Aid (Zaid) duk tergelak tu ..?”, tanya emak pada diri sendiri sambil memotong bawang di dapur.
.
“Abang masa kecil dulu memang mudah tergelak. Orang buat lawak sikit pun jadi la, memang dia akan gelak”, cerita mak pada saya berkenaan dengan perihal abang semasa kecil-kecil dulu.
.
Abang saya memang mudah tergelak. Baca buku pun beliau mampu tergelak .. tetapi waktu itu saya tidak faham apa yang sedang digelakkannya kerana naïf-nya saya terhadap kelazatan membaca buku.
.
Saya pula merupakan spesis yang susah untuk lekat di dalam rumah. Ada saja kerja yang akan saya lakukan setelah pulang dari sekolah. Selain bermain bola sepak, badminton & ping pong … banyak lagi aktiviti ‘outdoor’ yang pernah saya cuba lakukan bersama rakan-rakan saya.
.
SEKARANG …???
.
Tetapi sekarang semuanya dah berubah. Semuanya meninggalkan kenangan berharga buat saya. Kawan-kawan pula semuanya berjalan mencari bekalan hidup sendiri. Ada yang sudah terleka dengan buwaian duniawi sehingga terlupakan tuntutan ukhrawinya. Ada juga yang sedang sibuk belajar mem’bumi’kan diri agar kelak subur mengeluarkan pepohonan dan air yang membekali sumber keterikatan manusia. Tidak terlupakan juga yang telah pergi bertemu dengan Rabul Jalil …
.
Walaubagaimanapun, marhalah itu tidak pergi begitu sahaja. Ada ilmu yang saya pelajari di sepanjang jalan itu ..
.
SATU KETENTUAN ..
.
Minat dulu mungkin belum terpadam, ia hanya surut dek masa dan umur yang terus berjalan. Kini, saya hanya bermain dengan buku. Buku menggantikan permainan saya yang dulu. Ia tidak lagi menghambat tenaga fizikal, tetapi menghambat permikiran saya. Saya tidak menyangka bagaimana hari ini saya begitu minat membaca .. berpalit ‘total’ dari ketidakmahuan dulu.
.
Di samping mencari, saya juga menyelongkar.
.
Kalau dulu saya mencari dan menyelongkar ‘store’, tetapi hari ini saya mencari dan menyelongkar buku. Selain pengorbanan dan didikan dari ayah dan emak, saya amat berterima kasih kepada Ustaz-ustaz saya kerana mereka telah membuka hati saya untuk menyelami buku-buku deeni. Mereka memandu saya dengan pelbagai anjuran supaya menyelongkar buku-buku yang bersulam Tarbawi. Sejak dari itu, saya mula berjinak-jinak dengan pelbagai buku karangan pemimpin Ikhwan, sehingga catatan pena mereka membuatkan hati saya celik untuk memikirkan tentang diri saya dan diri umat Islam seluruhnya. Kalau dulu saya hanya berada dalam kepongpong sendiri, meletakkan dunia global di luar kotak permikiran saya … tetapi mereka mengajar saya agar lebih sensitif dan berjalan bersama-sama dengan ummat Islam lainnya. Di sinilah bermulanya gerbang cinta saya terhadap BUKU …
.
Ia satu ketentuan … bukan perancangan.
.
CINTA SEMAKIN MEKAR ..
.
Cinta itu terus mekar dengan penuh kedambaan. Makin saya menyelaminya, makin cinta itu menangkap kuat hati saya. Ia bukan cinta yang dipaksa-paksa, tetapi cinta tanpa syarat yang menghela nafas puas dan bahagia ketika bersamanya.
.
Oleh kerana saya dititip dengan benih agama, maka kecintaan saya terhadap buku-buku deeni juga melebihi dari kecintaan saya terhadap buku-buku lain. Saya tenang dan puas meluangkan masa bersama curahan-curahan agama, seperti tenang dan puasnya menerapung di atas lautan yang luas. Dahulu, sering saja saya menjejakkan kaki ke Pustaka Muda di Ipoh, mengintai buku-buku yang menarik minat saya … lalu saya beli tanpa berkira-kira.
.
Saya tatap setiap baris perkataan yang menyusun ayat, agar objektif penyampaiannya tidak tersasar dari tujuan asalnya. Apalagi jika ia merupakan buku-buku kerangka cetusan Muhammad Qutb dan Syed Qutb … jalur ayat yang disulam dengan sulaman sastera yang halus serta hidup itu memerlukan fokus yang terus terhadap setiap kata-kata yang cuba diungkapkan. Bahkan ungkapan yang bersifat sinis yang menombak golongan al-Mala’ itu juga membuatkan saya lebih berminat untuk menyelaminya. Seringkali saya sebutkan buku ini, buku ‘Salah Faham Terhadap Islam’ karangan Muhammad Qutb. Ia merupakan antara buku-buku awal yang begitu memberi kesan kepada jiwa saya. Walaupun tanpa ‘footnote’ dan lambakan kata-kata ulama, ayat Quran serta hadis Rasulullah SAW … tetapi saya kira beliau berjaya memecahkan sebuah tembok kekeliruan yang sering diputar belitkan oleh golongan sekular dan orientalis.
.
MEMPERBAIKI DIRI DEMI CINTA
.
Namun …semakin banyak buku-buku deeni yang saya baca, hati saya semakin kuat menarik saya untuk lebih dekat dengan susunan bahasa asalnya. Hati saya tidak puas dengan pembacaan terhadap buku-buku Deeni yang telah diterjemahkan, malah ia telah membiakkan minat saya untuk terjun ke dalam dunia bahawa Arab pula. Alhamdulillah, impian saya dimakbulkan Allah SWT. Saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk merasai setitis kemanisan ilmu Nahu dan Saraf.
.
Syukur ...Bahasa Arab merupakan kunci yang telah membuka peluang kepada saya untuk lebih mengukuhkan hubungan cinta saya dengan buku-buku Deeni, bahkan meluaskan jaluran pembacaan saya kepada lebih banyak buku-buku Deeni yang lain menurut kemampuan saya yang terbatas. Namun begitu, saya masih mahu belajar dan terus belajar kerana ia merupakan bahasa yang begitu tinggi nilai sasteranya ..
.
.
KEHEBATANNYA LUAR BIASA ..
.
Kehebatan dan kemuliaannya jelas apabila Allah SWT menggunakannya sebagai bahasa al-Quran. Ia Kalam Allah SWT, bukan Kalam makluk yang Baharu, lemah lagi terbatas. Ia merupakan kalam yang diwahyukan oleh Pencipta segala kalam .. dihiasi dengan ketinggian bahasa yang begitu hebat susunan lafaznya sehingga mampu membuatkan air mata manusia menangis dan merasa ta’ajjub.
.
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ قُرْآَنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadanya (Muhammad) al-Quran di dalam Bahasa Arab agar kamu semua berfikir” (Yusuf: 2)
.
Umar al-Khattab melafazkan lafaz syahadatain setelah terkesan dengan ketinggian bahasanya. Kebengisan dan ketegasannya lalu terkoyak dicarik-carik oleh kehalusan bahasanya yang sangat menyentuhkan. Bisanya kena pada mereka yang angkuh dan sombong dengan Tuhan, tetapi madu buat mereka yang ta’at dan beriman. Itu bahagia ..
.
Tetapi celaka seperti pemuka-pemuka Quraish, Yahudi, Nasrani dan Ahli-Ahli Syair yang menafikan seruannya. Tatkala dibacakannya kepada mereka, mereka lantaran ta’ajjub dan lebur di dalam mainan sentuhan bahasa yang aneh alunannya. Namun, dek kerana penyerunya yang fakir serta ‘ummiyyun’, mereka menafikannya …
.
أَكَانَ لِلنَّاسِ عَجَبًا أَنْ أَوْحَيْنَا إِلَى رَجُلٍ مِنْهُمْ أَنْ أَنْذِرِ النَّاسَ وَبَشِّرِ الَّذِينَ آَمَنُوا أَنَّ لَهُمْ قَدَمَ صِدْقٍ عِنْدَ رَبِّهِمْ قَالَ الْكَافِرُونَ إِنَّ هَذَا لَسَاحِرٌ مُبِينٌ
.
“Patutkah menjadi kehairanan bagi manusia bahawa Kami mewahyukan kepada seorang lelaki di antara mereka: “Berilah peringatan kepada manusia dan gembirakanlah orang-orang yang beriman bahawa mereka mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan mereka”. Orang-orang kafir berkata: “Sesungguhnya orang ini (Muhammad) benar-benar adalah tukang sihir yang nyata” (Yunus: 2)
.
Itulah yang dinamakan keangkuhan. Sungguh, mereka itu termasuk di dalam golongan yang teramat rugi. Ya Allah .. semoga Engkau tidak memasukkan kami ke dalam golongan seperti itu. Tolong Ya Allah ..
.
SENTUHAN BAHASA UNTUK SEORANG KEKASIH
.
“Kamu gila ..!! Kata-kata kamu adalah sihir”, kata golongan kafir Quraish kepada Nabi SAW.
.
Begitulah Baginda SAW diuji. Bentakkan suara herdikkan itu tidak sedikit pedihnya kalau diludahkan kepada kita, ia sangat pahit untuk ditelan dan sangat sukar untuk diterima. Menggambarkan tugas ini terlalu berat untuk dipikul. Kita sendiri pun belum tentu berkemampuan untuk menanggungnya. Menerimanya seolah-olah mencampakkan diri ke dalam selut yang kotor dan hitam, membiarkan diri diludah dan dicaci oleh manusia berhati batu. Tetapi itulah hakikat yang pernah nabi kita lalui semasa menjalankan amanah Allah SWT itu. Cacian dan herdikan merupakan hidangan harian yang disajikan kepada baginda tatkala menyeru manusia kepada Allah SWT.
.
وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ
.
“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” (al-Qalam: 4)
.
Dengan sentuhan bahasa, Allah SWT menghadiahkannya kepada Nabi Muhammad SAW. Saya yakin pasti semua orang pernah membaca ayat ini. Bahkan terlalu ramai juga yang menghafaznya. Tetapi adakah kita memahaminya? Saya sendiri, membacanya ‘harfan bi harfin’ tetapi sekadar suatu bacaan untuk mendapatkan berkat semata-mata. Sedangkan kita terlupa bahawa al-Quran itu sebenarnya diturunkan untuk difahami dan dipelajari, bukan sekadar untuk dibacakan. Mungkin keengganan kita dan Saya sendiri untuk ikhlas menuruti perintaan Allah SWT disebabkan oleh lemahnya kita memahami isi kandungan al-Quran itu sendiri. Lihat firman Allah SWT:
.
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
.
“Bulan Ramadhan, bulan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza(di antara hak dan batil)” (al-Baqarah: 185)
.
Ayat ini merupakan keagungan, penghormatan dan pujian yang Allah SWT anugerahkan kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW. Ayatnya pendek dan ‘simple’ tetapi ia disusun dengan perbendeharaan ilmu nahu dan saraf yang halus sehingga membuatkan maksudnya begitu tinggi nilainya. Itu biasa. Tidak semua kata-kata yang menyenangkan itu perlu kepada luahan kata-kata yang panjang, terkadang panggilan & ekspresi ringkas itu sudah memadai untuk membungakan perasaan cinta dan kasih sesama insan. Rasulullah SAW sering saja memanggil Siti Aisyah RA dengan panggilan ‘Wahai Humairaa’. Ibn Atsir berkata, “Al-Humaira’ adalah bentuk sighah Tasghir dari kata al-Hamra’ yang bererti al-Baidhaa’ atau wanita yang putih”. Az-Zahabi pula mengatakan bahawa dalam perbendaharaan penduduk Hijaz, al-Hamraa’ ertinya wanita putih yang kemerah-merahan, dan yang seperti itu jarang terdapat di kalangan mereka.[1]
.
Dengan penggunaan 2 lafaz ta’kid pada huruf ‘Inna’ dan huruf ‘la’ pada ayat 4 surah al-Qalam itu merupakan suatu penekanan dan ekspresi yang tinggi lagi penyataan yang benar dari Allah SWT untuk menyatakan sifat dan akhlak Rasulullah SAW selepas itu. Penggunaan lafaz nakirah pada 2 lafaz ‘khuluqin’ dan ‘Azim’ pula menunjukkan kepada satu penyataan yang bersifat umum untuk menunjukkan bahawa semua bentuk akhlak yang terpuji dimiliki oleh Rasulullah SAW, tidak ada yang tercicir dan tertinggal. Seterusnya, penggunaan sighah Mubalaghah (berlebih/tersangat) pada lafaz ‘Azim’ tersebut pula menandakan bagaimana Allah SWT menggambarkan kemuliaan akhlak nabi SAW yang begitu tersangat mulia dan terpuji agungnya.
.
SATU ‘IBRAH BUAT PARA PEJUANG
.
Pujian ini juga merupakan satu penawar Allah SWT buat nabi SAW disebabkan oleh pendustaan yang dilakukan oleh golongan kafir Quraish kepada baginda SAW sehingga mengatakan bahawa baginda SAW merupakan seorang yang gila.
.
Mungkin ada yang bertanya, “Tadi kata Allah SWT sangat memuliakan dan sayangkan nabi. Tetapi mengapa baginda SAW terpaksa melalui perik getir menanggung azab sesangsara sedangkan mereka ini katanya berada dalam kebenaran?”.
.
Allah SWT mewajibkan kita mempercayai dan beriman dengan tujuan matlamat dan saranan di samping itu juga dipinta melalui jalan-jalan yang penuh dengan onak duri dan merbahaya untuk mencapai tujuan dan matlamat agama.
.
Kalaulah Allah SWT mahu, nescaya mudah bagi-Nya untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam agar semuanya taat kepada-Nya, tetapi keadaan seumpama ini tidaklah pula membuktikan perhambaan manusia akan dirinya kepada Allah SWT dan tidak menunjukkan yang dia telah bersabung nyawa, mengorbankan harta bendanya demi iman kepada Allah SWT. Ia seumpama hubungan suami isteri .. keta’atan dan kesetiaan ikatan suami isteri itu tampak jelas apabila kedua-duanya saling mengikat dan bersatu dalam apa jua kegoncangan yang mendatang, biar ia ombak dan badai, biar ia angin yang bersiul meniup kencang, selama ia tidak menyanggahi landasan syariat Allah SWT, mereka masih tetap mengikat janji setia untuk bersama di atas nama cinta. Begitulah perumpamaannya. Kesenangan tanpa ujian itu bukan ukuran untuk menjustifikasikan nilai perhambaan sebenar seorang hamba kepada Tuhannya. Tanpa wujud semua ini, maka tidak wujud perbezaan di antara mukmin sejati dengan munafiq dan di antara yang benar dan yang batil. Di dalam masa yang sama, setiap batas perbuatan dan percakapan yang dilakukan oleh Baginda SAW adalah pendidikan dan contoh kepada umatnya. Baginda cuba menyampaikan suatu petunjuk bahawa cabaran dalam berdakwah itu merupakan sunnah dan suratan ilahi sejak dipermulaan sejarah lagi. Keadaan ini sebagai satu jawapan kepada kita supaya tidak ada suara-suara yang cuba mempertikai dan membezakan kerja dakwah yang dilakukan oleh nabi SAW dan umatnya yang lain. Walaupun baginda seorang nabi, beliau juga tidak terlepas dari fitrah tersebut .. tidak memiliki kekuasaan dengan jalan mudah dan kesenangan.
.
Maka, layaklah baginda untuk dijadikan ikutan …
.
Kalau begitu sekali pujian yang telah Allah SWT titipkan buat nabi-Nya, Muhammad SAW … mengapa perlu kita menolak risalahnya??? Mengapa perlu menafikan petunjuknya?? Mengapa perlu sangsi dan ragu dengan seruannya?? Beliau bukan seperti manusia lain. Beliau adalah insan maksum yang mendapat tarbiah langsung dari Allah SWT, Tuhan Yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan dan kecacatan.
.
قُلْ لَا أَقُولُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَى إِلَيَّ
.
“Katakanlah, “Aku tidak mengatakan kepadamu bahawa perbendaharaan Allah ada padaku, dan tidak pula aku mengetahui yang ghaib dan tidak pula aku mengatakan kepadamu bahawa aku seorang Malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku” (al-An’am: 50)
.
Apa yang diserukannya adalah wahyu yang hak dan keadilan, jauh dari kebatilan dan kezaliman .. bukan sebuah propaganda, bukan juga mainan politik.
,
PENGKRITIK NABI MUHAMMAD = KAFIR & DIBUNUH !!
,
Oleh itu, sepakat para ulama tanpa khilaf mengatakan barangsiapa yang mencaci, menghina, menafi dan mengkritik jasad, tubuh, dakwah dan risalah nubuwwah Muhammad SAW … kalau dia Islam, maka wajib kepada amir al-mukminin menghukum kafir kepadanya dan hukuman bunuh wajib dilaksanakan.
,
.. kerana tindakan seperti itu seperti telah menafikan pemilihan Allah SWT terhadap diri dan peribadi Muhammad sebagai Rasulullah SAW. Ini suatu penafian yang mendatangkan murka Allah. Ia bukan seperti murkanya sultan terhadap penafian ahli-ahli UMNO terhadap pelantikan Dato’ Ahmad Sa’id sebagai Menteri Besar Terengganu, tetapi kemurkaannya membuatkan tercabutnya sumpah Iman dan Islam dari dirinya sehingga halal baginya untuk dibunuh di dunia dan dicampakkan ke neraka di akhirat kelak. Menafikan pemilihan Allah SWT bererti tidak lagi thiqah, yakin, ta’at dan tawajjuh dengan keagungan dan kemuliaan-Nya sebagai Tuhan Semesta Alam. Na’uzubillah …
,
KERINDUAN YANG SAYA LEPASKAN
,
Sememangnya menulis merupakan minat saya, terutamanya kata-kata indah yang berbentuk syair atau sajak. Dahulunya saya sering berbalas-balas sajak dengan sahabat saya yang jauh melalui email. Setiap penutup perbicaraan sering saja dinoktahkan dengan sajak atau kata-kata indah .. kata-kata indah yang dibaris-bariskan mendorong saya untuk membalasnya. Walaupun mungkin ia pahit pada lidah orang lain, tapi ia tetap sebuah karya yang pernah dulu saya kerangkakan …
,
Hari ini saya melangkah setapak menjadi Blogger. Dihasilkan semasa saya berada di Syria. Tujuan asalnya sekadar ingin mencuba-cuba, tetapi akhirnya berubah menjadi jambatan menyumbang permikiran dan idea … Justeru memerlukan sedikit ilmu dan pembacaan, supaya apa yang dipersembahkan tidak kosong tanpa pedoman.
,
Apabila sudah lama rindu itu dipendamkan, maka hari ini kerinduan itu saya lepaskan.
,


,

,

------------------------
,

[1] Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kemuliaan dan sifat terpuji Rasulullah SAW, sila rujuk kitab Shamail Muhammadiyyah karangan Imam at-Turmizi serta As-Syifa’ karangan Qadhi ‘Iyadh. WA

0 comments: