Saturday 19 April 2008

Mengapa ia lesu dan tidak bermaya ..??

.
.
“Aduh .. ustaz ini ke yang bagi khutbah …”, hati saya berkata-kata ketika mendegar suara beliau berkhutbah dari luar masjid.
.
Saya melangkah masuk ke masjid dengan langkah yang membosankan. Bukan bosan kerana tidak mahu mendirikan solat Jumaat, tetapi rasa malasnya hendak ‘memaksa diri memasang telinga’ mendengar khutbah yang dibacakan oleh Ustaz Abu (bkn nama sebenar), salah seorang khatib di Masjid al-Muttaqin yang terletak di kawasan perumahan saya di Taman Meru, Ipoh.
.
“Orang tak mengaji pun boleh bagi khutbah kalau macam ni ..”, kata saya kepada ayah. Hehe .. tu lepas geram namanya tu.
.
Sudahlah membaca teks khutbah .. tidak bersemangat pula. Kemudian, semasa berkhutbah itulah baru beliau mahu melihat teks khutbah tersebut. Mana la tidak tersangkut-sangkut. Kadang-kadang khutbah boleh terhenti beberapa saat kerana khatib mahu memastikan samada tulisan jawi tersebut berbunyi 'bumi' atau 'bom'.. Ini bermakna, beliau tidak menyediakan diri dan bersedia untuk memikul amanah sebagai khatib yang menjadi salah satu pillar penting di dalam Islam.
.
Sedangkan sunnah nabi memaparkan bagaimana ketika Baginda SAW menyampaikan khutbah, baginda seolah-olah seperti seorang panglima tentera yang sedang memberikan amanat di hadapan jundi-jundinya dengan muka yang merah seolah-olah pihak musuh berada di hadapannya...Tegas !! Serius !! dan Bersungguh-sungguh !!
.
Tidak salah membaca teks untuk berkhutbah..Islam memberi rukhsah itu kepada para khatib sekiranya mereka tidak berkemampuan untuk berkhutbah secara spontan di hadapan para jemaah. Namun, kekurangan tersebut perlulah ditampung dengan semangat dan persediaan yang sebaiknya agar para jemaah yang hadir mendapat manfaat daripadanya.
.
BUAH-BUAHAN TEMPATAN

“Sidang Jumaat yang dimuliakan…”, khatib memulakan khutbahnya setelah memuji Allah dan berselawat ke atas nabi SAW.

Beliau kemudiannya menyambung, “Tajuk khutbah yang ingin saya sampaikan pada hari ini adalah berkenaan dengan buah-buahan tempatan di negeri Selangor”.

Aduiiiii … apo ko bondo ni jang.

Hilang semangat saya ingin mendengarkannya. Namun, inilah realiti khutbah yang sering memberatkan mata dan telinga saya ketika berada di masjid. Sungguh menyedihkan …
.
DI SYRIA DAN MESIR
.
Keadaannya jauh berbeza semasa saya berada di Syria dan Mesir ..
.

Penglihatan dalam Jami' Umawi, Dimasq sebelum solat Jumaat
.
Semasa saya berada di Syria, kami berkejar-kejar untuk datang awal ke masjid agar dapat memenuhi saf-saf awal masjid supaya dapat melihat wajah khatib tersebut serta mendengar amanat dari khutbah yang akan beliau sampaikan. Boleh dikatakan setiap Jumaat yang kami lalui, kami pergi ke Jami’ (Masjid) yang berbeza-berbeza .. Jumaat ini di Jami’ Umawi, Jumaat depannya di Jami’ Zaid dan begitulah seterusnya.
.
Masjid Al-Azhar
.
Begitu juga semasa saya melangkah ke bumi Mesir, kami tinggal di Hay ‘Asyir yang merupakan mantiqah paling hujung bagi bandar Cairo yang kepadatan penduduknya mencecah 24 juta orang. Tetapi kerana semata-mata mahu mendengar khutbah di Gami’ Azhar, saya dan sahabat sanggup merempuh jalan berpasir dengan ber-Bas-kan tin sardin yang menjadi ‘trademark’ orang-orang Mesir. Alhamdulillah, dalam masa 30 minit kami sampai di Gami’ Azhar ..

Walaupun jauh berjalan, tapi ia tidak merugikan kami … apa yang kami harapkan, itulah yang kami dapat.

Khutbah mereka hidup, punya roh dan sampai kepada hati kami yang mendengarnya. Saya malah kagum dengan kehebatan mereka berkhutbah dan berpidato di atas mimbar, lalu tersemat satu harapan agar suatu hari nanti saya boleh berada di atas mimbar berkhutah seperti mereka. Saya melihat tiada seorang pun dari kalangan jemaah yang tersengguk-sengguk atau buat-buat faham, semuanya memusatkan penglihatan mereka ke arah khatib yang berkhutabh secara sepontan.

KEPENTINGAN SOLAT JUMAAT DAN KHUTBAHNYA

Kalau saya bertanya kepada orang ramai hari ini tentang kepentingan solat Jumaat dan khutbahnya di Malaysia, pasti ada suara-suara yang menjawab .. “Entahlah, macam tak nampak apa-apa kepentingan pun …”

Yang pastinya, itulah jawapan saya kalau ada orang bertanya kepada saya ..!!

Islam pada hakikatnya meletakkan Solat Jumaat dan mimbar Khutbahnya di tempat yang begitu mulia. Ia tidak diletakkan pada hari lain melainkan pada hari Jumaat, hari yang sangat mulia dengan gelaran Sayyidul Ayyam.

Malah solat zohor yang mempunyai empat rakaat itu digantikan dengan dua rakaat solat Jumaat semata-mata untuk diisikan dengan khutbah Jumaat. Oleh kerana itulah, mazhab Hanafi berpendapat bahawa wajib bagi para jemaah duduk menghadap kiblat dan tidak dibenarkan bebas bergerak tatkala mendengar khutbah kerana menganggap ia sebagai salah satu syarat sah solat jumaat yang diganti dari dua rakaat di dalam solat zohor.

Menurut mazhab Syafi'i pula, para Imam wajib menta’yinkan niat imam khusus untuk solat jumaat, tidak untuk solat-solat yang lain[1].

Syafi’iyyah sendiri menghukum makruh bagi peniaga yang meneruskan urus niaga apabila azan telah mula dikumandangkan, bahkan ulama Hanbali lebih ketat lagi dengan mengatakannya haram.

Mimbar Jumaat sepatutnya berfungsi sebagai muktamar mingguan bagi seluruh umat Islam .. Ia sepatutnya menjadi tempat dan hari buat mereka mentajdidkan iman-iman mereka, dan tempat mereka mendengar amanat dan nasihat dari para ulama.

Tetapi hari ini … mengapa ia lesu. Di manakah puncanya …???

MIMBAR JUMAAT & CAMPURTANGAN POLITIK

Mungkin kelesuan khutbah Jumaat di Malaysia ini ada kaitannya dengan faktor campurtangan politik. UMNO lebih teruk dari parti-parti sekular dan sosialis negara-negara lain hatta Mesir dan Syria sendiri. Kezaliman mereka tidaklah sampai menyusup masuk ke mimbar-mimbar masjid. Mereka memberi kebebasan kepada para khatib untuk berkhutbah asalkan ia tidak dibawa keluar dari pintu-pintu masjid. Tetapi di Malaysia, atas nama Islam Hadharinya memagari mulut-mulut para ustaz, ulama dan khatib di setiap tempat, malah di atas mimbar-mimbar masjid sekalipun. Walaupun banyak masjid yang dibangunkan, tetapi masjid-masjid tersebut tidak lebih sebagai Masjidun Dhirar .. membiarkan ia dikepalai oleh orang-orang yang mempolitikkan masjid, lalu mempolitikkan semuanya di atas nama keamanan. Khutbah Jumaat dikawal dan diperhati … khatib menjadi serba salah tidak tahu khutbah apa yang ingin disampaikan, lalu Buah-Buahan tempatan yang menjadi pilihan.

Masjid saya, dua Ustaz Zul yang menjadi khatib sebelum ini tidak dibenarkan lagi berkhutbah di atas mimbar masjid atas alasan tidak mengikut teks yang telah disediakan. Saya nak tanya pada Pak Hambali … hang dapat peraturan mana yang mewajibkan khatib mesti berkhutbah ikut teks ni?
.
HARAPAN BARU BUAT KERAJAAN BARU

Sekarang negeri Perak, Selangor, Kedah dan Penang sudah berada di bawah Pakatan Rakyat.

Oleh itu, dalam memburu pelbagai perubahan … jangan lupakan mimbar Jumaat yang semakin hari semakin hilang arah tujuannya. Kembalikanlah kedudukannya pada tempatnya agar ia kembali membisa membakar semangat umat yang mahukan perubahan.
.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi .. tegas ketika memberikan khutbah.



.
.
.

.....................


[1] Dalam solat fardhu lain, hanya para makmum yang wajib menta’yinkan niat makmumnya, tetapi tidak wajib kepada imam. Sekiranya imam tidak menta’yinkan niat menjadi imam sekalipun, solatnya sebagai imam tersebut tetap sah. Berbeza bagi solat Jumaat, imam dan makmum kedua-duanya wajib menta’yinkan niat imam dan makmumnya di dalam solat Jumaat. WA

0 comments: