Friday 23 May 2008

Anjing & Air Liurnya (Edit)

.
Ketika saya menikmati makanan kenduri kahwin saudara saya di Putrajaya pada hari Ahad yang lalu, duduk semeja bulat dengan saya dua orang pakcik yang sedang berbual-bual tentang anjing terlatih di KLIA yang digunakan untuk memeriksa barang-barang merbahaya yang tersembunyi di dalam ‘luggage’ para penumpang.
.
.
“Sekarang di KLIA dah guna anjing untuk check luggage kita”, saya terdengar perbualan mereka.
.
“I see. So, after this kita kene ngelak-ngelak la”, jawab sahabat beliau ketawa.
.
“I think, memang kebanyakkan airport sekarang ni dah guna anjing for security”, sambung pakcik tersebut. “Cuma KLIA je yang baru guna anjing ni…”ujar beliau lagi.
.
Beberapa ketika selepas itu, mereka beralih kepada perbincangan yang lain. Mungkin tentang bisnes. Saya pun tinggalkan mereka dengan perbualan mereka. Lalu saya alihkan pendengaran saya dengan nasyid yang didendangkan oleh kumpulan nasyid yang dijemput khas untuk memeriahkan majlis perkahwinan tersebut.
.
Ketika saya pergi ke Melbourne dalam 3-4 tahun yang lepas bersama pakcik saya, kami terkejut apabila Melbourne Airport menggunakan anjing untuk melakukan pemeriksaan terhadap ‘luggage’ kami. Maklum lah, saat itu KLIA masih belum menggunakan anjing lagi. Ia suatu yang baru buat kami. Walaubagaimanapun, anjing tersebut masih dikawal oleh pihak sekuriti lapangan agar tubuh anjing tersebut tidak terkena luggage para penumpang terutama orang Muslim. They understand our sensitivity. Namun apa berlaku, beg anak pakcik saya terkena mulut anjing tersebut sehingga beliau tidak mahu lagi menggunakannya dan meminta ibunya membelikan beg baru sebagai ganti.
.
Inilah yang menjadi pokok permasalahan yang dibincangkan oleh kedua-dua pakcik tersebut. Dalam erti kata lain, bagaimana sekiranya tubuh badan atau air liur anjing tersebut terkena diri dan barang-barang mereka, bukankah mereka perlu menyamaknya dengan tujuh kali basuhan beserta tanah? Apatah lagi mereka terpaksa mencari tanah untuk melengkapkan basuhan najis anjing tersebut. Mungkin agak merumitkan.
.
Saya teringat suatu ketika dahulu, ketika ada seorang muslimat memberikan SMS kepada saya bertanyakan jalan penyelesaian mengenai hal keadaan abangnya yang bekerja di sebuah kilang di Shah Alam yang banyak anjing. Selalunya, anjing-anjing tersebut dibela dan dilepaskan di dalam kawasan kilang untuk menjaga keselamatan kilang tersebut daripada diceroboh masuk.
.
Begitu juga dengan sesetengah pembantu rumah Indonesia yang terpaksa bekerja di rumah-rumah orang Cina, selain ditugaskan untuk mengemas rumah dan memasak .. mereka juga ditugaskan untuk membawa anjing mereka bersiar-siar di pagi dan petang harinya.
.
Dalam hal sebegini, jika permasalahan ini dibangkitkan di depan kita .. apakah sebaik-baik jawapan yang selayaknya diberikan sebagai jalan penyelesaian buat mereka? Mari kita lihat jalan penyelesaiannya dengan melihat pendapat-pendapat dari kalangan fuqaha.
.
JENIS-JENIS NAJIS YANG SEPAKAT DI SISI MAZHAB YANG EMPAT
.
Memandangkan perbincangan kita melibatkan "Bab An-Najasah", maka terlebih elok sekiranya kita didedahkan dengan beberapa perkara penting sebelum kita memfokuskan penelitian terhadap isu anjing.
.
Selain membincangkan mengenai hukum-hakam yang berkaitan dengan air, wudhuk, haid, tayammum & mandi, "Bab An-Najasah" merupakan salah satu bab penting yang dibincangkan oleh para fuqaha di dalam "Kitab At-Thaharah". Ia merupakan perbincangan terawal yang disusun oleh para ulama di dalam semua kitab-kitab Feqh dan Hadis, kecuali kitab ((Fath al-Mu'in)) yang meletakkan "Kitab As-Solat" di permulaan kitabnya. Kitab Tasawwuf juga meletakkan bab-bab ini dipermulaan kitab, tetapi perbincangannya lebih menjuruskan kepada pembersihan rohani, hati dan dalaman diri seseorang serta merungkaikan hikmah-hikmah di sebaliknya. Di sini menggambarkan betapa Islam begitu memandang berat tentang soal kebersihan, sehingga ia merupakan wasilah penting yang menentukan di antara sah dan tidak sahnya ibadah yang kita lakukan. Bahkan lebih dari itu, kebersihan yang diukur di sisi Islam bukan sekadar kebersihan zahir .. malah batinnya. Hal ini tidak ada pada agama-agama yang lain.
.
Di sana terdapat jenis-jenis najis yang disepakati oleh para fuqaha dan jenis-jenis yang diperselisihkan. Mengenai jenis-jenis najis yang telah disepakati.. fuqaha Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah sepakat menetapkan bahawa barang yang najis itu terdiri daripada empat perkara iaitu: (1) Daging babi, (2) darah yang mengalir dari binatang yang melata di atas darat[1], (3) muntah, air kencing serta tahi anak Adam kecuali bayi[2] dan (4) mayat binatang yang melata di darat yang mempunyai darah yang mengalir kecuali manusia. (Al-Fiqh al-Maliki al-Muyassar, Dr. Wahbah az-Zuhaili, (1/16))
.
Oleh itu, keempat-empat jenis najis yang disebutkan tidak mempunyai perselisihan mengenai kenajisannya. Justeru, kita dituntut untuk membasuh pakaian atau tubuh badan yang terkena keempat-empat bentuk najis tersebut untuk memastikan segala ibadah yang kita lakukan sah dan diterima oleh Allah SWT. Namun, kaedah pembersihannya khilaf di kalangan mereka menurut ijtihad masing-masing. WA
.
ANJING DAN AIR LIURNYA …??
.
Namun, bagaimana pula dengan anjing dan air liurnya?
.
Adakah semua ulama bersepakat akan kenajisannya seperti mana mazhab As-Syafi'i?
.
Jawapannya adalah; Anjing dan air liurnya termasuk di dalam perkara yang diperselisihkan oleh para fuqaha mengenai kenajisannya. Dalam erti kata lain, para fuqaha tidak sepakat mengatakan bahawa anjing itu najis secara mutlak. Bahkan, ada di kalangan mereka mengatakan bahawa hanya air liurnya sahaja yang najis. Begitu juga ada yang berpendapat bahawa ia najis secara mutlak samada air liur dan tubuhnya, dan tidak ketinggalan juga yang mengatakan bahawa ia suci secara mutlak samada air liur dan tubuh badannya. (Zubdatul Ahkam, Al-Qadhi Sirajuddin al-Hindi, m.s 36)
.
Perinciannya seperti berikut:
.
Mazhab Hanafi : Selagi mana ia masih hidup, ia adalah suci aini kecuali air liurnya saja berdasarkan pendapat yang rajih di sisi mazhab mereka. Setelah mati, tubuh badannya menjadi najis. Sekiranya ia jatuh ke dalam perigi dan masih hidup setelah diselamatkan dalam keadaan mulutnya (termasuk air liur) tidak terkena air perigi tersebut, maka air tersebut tetap suci dan bersih. (Al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abdul Rahman Al-Jaziri, m.s 12)
.
Mazhab Maliki, Daud dan Az-Zuhri : Ia suci secara mutlak samada air liur atau tubuh badannya. Malah dagingnya halal untuk dimakan. Kalau teringin nak rasa dagingnya, cuba la … hehe
.
Mazhab Syafi’i dan Hambali : Air liur dan tubuh badannya najis secara mutlak. Oleh itu, barangsiapa yang menyentuh atau tersentuh dengan mana-mana bahagian dari tubuh badannya, diwajibkan ke atasnya membasuh najis tersebut dengan tujuh kali basuhan beserta tanah.
.
SANDARAN HUKUM & PANDANGAN ULAMA TERHADAPNYA
.
Tidak seperti babi, tiada satupun dalil yang disebutkan di dalam al-Quran mengenai hukum-hakam yang berkaitan dengan anjing. Ia hanya disebutkan di dalam beberapa riwayat hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, itupun yang berkaitan dengan hukum jilatan anjing, bukan kenajisannya. Antara hadis-hadis yang disebutkan adalah seperti berikut:
.
طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ
.
“Yang mensucikan bekas salah seorang kamu apabila ia dijilati anjing adalah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan yang diawali dengan tanah” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah RA (2/420/ 121))
.
Pandangan mazhab terhadap hadis ini:
.
Mazhab Hanafi : Menolak hadis ini kerana perawinya, Abu Hurairah RA menyanggahi apa yang diriwayatkan di mana beliau hanya membasuh sebanyak 3 kali saja, bukan 7 kali. Di sisi mazhab Hanafi, salah satu syarat penerimaan sesebuah hadis Ahad, para perawi hadis tersebut mestilah tidak melakukan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang beliau riwayatkan. Ini adalah kerana, pengamalannya menunjukkan kepada nasyakhnya hadis tersebut atau meninggalkannya kerana terdapat riwayat yang lain yang lebih kuat atau makna hadis tersebut tidak memaksudkan seperti apa yang diriwayatkan padanya secara zahir. (Al-Wajeez, Dr. Abdul Karim Zaidan, m.s 175)
.
Oleh itu, menurut mazhab Hanafi, seseorang yang dijilat anjing diwajibkan membasuh sebanyak 3 kali basuhan sahaja.
.
Hadis ini hanya menerangkan tentang kenajisan mulut dan jilatan anjing semata-mata. Oleh itu, tidak sah mengqiaskan kenajisan mulut dan jilatannya kepada seluruh badan. Justeru, mulut dan air liurnya saja yang najis, bukan seluruh tubuh badannya. (Al-Fiqh Al-Islami, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, (1/305))
.
Mazhab Maliki : Semua hadis-hadis yang menerangkan tentang perintah membasuh bekas yang terkena jilatan anjing telah dimansukhkan oleh ayat 4 dari surah al-Maidah. Allah SWT berfirman:
.
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
.
“Mereka bertanya kepadamu: "Apakah yang dihalalkan bagi mereka?". Katakanlah: "Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu; kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Amat cepat hisab-Nya”. (al-Maidah: 4)
.
Ayat ini diturunkan di saat-saat akhir sebelum kewafatan Rasulullah SAW. Lalu ia memansukhkan semua hadis-hadis yang menerangkan tentang jilatan anjing tersebut.
.
Menurut mazhab Maliki, perintah di dalam hadis-hadis ini termasuk di dalam perkara ketaatan (ta’abbudi), di mana di dalamnya terdapat hikmah yang ditentukan oleh Allah SWT yang kita tidak ketahui rahsia di sebaliknya. Maka wajib kita beramal dengannya walaupun kita tidak mengetahui hikmahnya. Dalam erti kata yang lain, pembasuhan sebanyak 7 kali itu bukan disebabkan oleh kenajisan air liur atau tubuh badannya, tetapi sekadar perkara ta’abbudi yang mesti diikuti perintahnya. (Al-Fiqh Al-Maliki Al-Muyassar, m.s 20 & Fiqh At-Thaharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, m.s 20)
.
Mereka menegaskan lagi bahawa tidak wajib untuk membasuh dengan tanah, bahkan tidak disunatkan kerana tidak semua riwayat yang menyebut mengenai kewajipannya. Malah hadis-hadis yang menyebutkan mengenainya saling bercanggah di antara satu sama lain. Justeru, kedudukannya menjadi dhaif berdasarkan kepada kaedah:
.
الاضطراب يوجب الإطراح
.
“Yang bercanggah wajib dicampakkan”
.
Oleh itu, yang dituntut hanya membasuh sebanyak 7 kali basuhan sahaja. (As-Syarhus Soghir ma’a Hasyiah Sowi (1/85-86) dinaqal dari Fiqh At-Thaharah, m.s 49 & Nailur Authar, As-Syaukani, (1/67))
.
Mazhab Syafi’i dan Hambali : Hadis ini menjadi dalil yang jelas yang menunjukkan kenajisan jilatan anjing yang terkena bekas atau badan kita dan diwajibkan membasuh sebanyak tujuh kali yang diawali (yg aula) dengan tanah di awal pembasuhannya. Mereka juga telah mengqiaskan hadis ini dengan kenajisan seluruh tubuh badan anjing, bukan sekadar jilatannya sahaja. Imam An-Nawawi menyebut di dalam Al-Minhaj:
.
...النَّجَاسَةِ هِيَ : كُلُّ مُسْكِرٍ مَائِعٍ وَكَلْبٍ ، وَخِنْزِيرٍ ، وَفَرْعِهِمَا
.
“Yang disebut najis itu adalah: Setiap cecair yang memabukkan, anjing, babi dan apa-apa yang lahir dari keduanya …” (Mughni Al-Muhtaj, Khatib Syarbini, (1/110))
.
Mereka mengukuhkan lagi pendapat mereka dengan berdalilkan hadis seperti berikut:
.
أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دُعِيَ إلَى دَارِ قَوْمٍ فَأَجَابَ ، ثُمَّ دُعِيَ إلَى دَارٍ أُخْرَى فَلَمْ يُجِبْ ، فَقِيلَ لَهُ فِي ذَلِكَ فَقَالَ : إنَّ فِي دَارِ فُلَانٍ كَلْبًا ، قِيلَ لَهُ : وَإِنَّ فِي دَارِ فُلَانٍ هِرَّةً فَقَالَ : إنَّ الْهِرَّةَ لَيْسَتْ بِنَجِسَةٍ
.
“Bahawasanya Rasulullah SAW dijemput ke suatu rumah/perkampungan, lalu baginda datang ke tempat itu. Kemudian baginda dijemput ke suatu rumah/perkampungan yang lain pula tetapi baginda tidak menghadirinya. Maka baginda ditanya mengenai hal demikian, lalu baginda bersabda: Sesungguhnya di dalam rumah/perkampungan kaum itu terdapat anjing. Dan dikatakan baginya: Sesungguhnya di dalam rumah/perkampungan kaum ini pula terdapat kucing. Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya kucing bukanlah najis”. (Hadis riwayat Daruqutni dan Hakim)
.
Daripada hadis di atas, Khatib As-Syarbini menyebut:
.
فَأَفْهَمَ أَنَّ الْكَلْبَ نَجِسٌ
.
“Dapat memahami bahawa anjing adalah najis” (Mughni Al-Muhtaj, m.s 111)
.
Dengan itu, berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan, di sisi mazhab Syafi'i dan Hambali, anjing adalah najis secara mutlak .. air liurnya atau tubuh badannya.
.
KESIMPULAN
.
Berdasarkan kepada pendapat-pendapat yang dikemukakan, terpulang kepada para pembaca untuk memilih pendapat yang sesuai mengikut kesesuaian keadaan masing-masing dengan tidak membungkus mana-mana pendapat yang tidak menjadi pilihannya. Kesemua pendapat yang dikemukakan oleh para fuqaha ini adalah benar dan mereka mendapat pahala di atas ijtihad yang mereka kemukakan. Islam itu mudah dan jangan dipersulitkan. Sekiranya dalam hal yang disebutkan di atas merumitkan anda untuk memegang pendapat mazhab kita As-Syafi'i, anda masih mempunyai beberapa pendapat mazhab lain yang mungkin lebih sesuai yang dapat memberi keringan kepada kerumitan yang anda hadapi.
.
Segala yang baik itu daripada Allah, dan yang buruk itu daripada diri saya sendiri. WA
.
.
.
.
...........................
.
[1] Darah binatang yang tidak mengalir hukumnya suci seperti darang belalang, semut, nyamuk & sebagainya.
[2] Iaitu yang bawah dua tahun yang belum menerima sebarang bentuk makanan selain dari susu ibu. WA

1 comments:

djambu puadovich said...

hah? daging anjing buleh dimakan? errrrkk!!!