Thursday 26 June 2008

Melentur Buluh Biarlah dari Rebungnya

Rasulullah SAW telah bersabda:

حفظ الغلام الصغير كالنقش في الحجر وحفظ الرجل بعدما يكبر كالكتاب على الماء
“Hafalan budak kecil seperti mengukir ukiran di atas batu dan hafalan orang yang telah meningkat dewasa seperti tulisan di atas air” (Hadis riwayat ad-Dailami di dalam Musnad al-Firdaus, 2735)

Hadis di atas menunjukkan sebaik-baik umur untuk menghafal al-Quran adalah ketika usia muda, kerana usia muda adalah usia yang masih suci hati dan jiwanya .. tidak dipengaruhi dan dicemari oleh keburukkan nafsu dan kesibukkan dunia serta permasalahannya. Oleh itu, apa yang dipelajarinya mudah diterima dengan baik terutama dalam perkara yang melibatkan agama. Berbeza dengan orang yang telah baligh, saat itu segala kesilapan yang dilakukan akan dicatatkan oleh para malaikat, dan senoktah dosa yang dilakukan pasti akan memberikan kesan kepada hatinya. Sedangkan ilmu agama khususnya al-Quran merupakan nur. Ia dari Allah, dan Allah tidak akan memancarkan nur al-Quran itu ke dalam hati-hati yang telah diselaputi oleh tompok-tompok hitam. Inilah yang dimaksudkan dengan "seperti tulisan di atas air" di dalam hadis di atas.

Syeikh Dr Yahya ibn Abdul Razzak al-Ghauthani di dalam kitabnya ((Kaifa Tahfazul Qur'anil Karim)) menyatakan bahawa sebaik-baik umur untuk menghafaz al-Quran adalah bermula pada usia 5 tahun. Namun, ada juga yang berjaya menghafal al-Quran dalam usia 4 tahun. (m/s 41)

Oleh itu, bagi sesiapa yang masih mempunyai anak yang masih kecil, jangan rugikan peluang umurnya dengan sia-sia. Hiasilah diri anak-anak kecil ini dengan al-Quran kerana di luar sana begitu hebat sekali ancaman permikiran yang sedang dijalankan oleh golongan penentang Islam dalam rangka untuk menjatuhkan generasi-generasi muda Islam hari ini.

Saudara,
.
Lihatlah hari ini bagaimana para penjajah telah mencemarkan permikiran dan identiti kita dengan pelbagai pengaruh-pengaruh negatif mereka. Berapa ramai pemuda Islam hari ini yang telah termakan dengan umpanan jahat ini. Mereka berbangga menjadi sebahagian dari ciri-ciri mereka, dan malu untuk memilih jalan yang Islam pamerkan.

Mereka tahu bahawa golongan pemuda adalah golongan yang paling banyak bilangannya di dunia dan di sisi mereka terdapat kuasa penentu yang mampu merubah senario politik dunia. Mereka tidak mahu melihat Islam sekali lagi bangkit melahirkan tokoh syabab agung seperti Salahuddin Al-Ayubi, Muhammad Fateh & Muhammad Ibn Qasim.

Sejarah telah membuktikan bahawa majoriti dari para sahabat RA yang berpengaruh adalah dari golongan pemuda. Secara realitinya, di mana-mana pun, golongan pemudalah golongan yang cukup digeruni oleh pihak pemerintah. Mereka adalah golongan yang sentiasa mahukan perubahan dan kebenaran. Sifat agresif dan lantang membuatkan mereka berani bersuara sekiranya hak mereka dicabuli dan dinodai.

Kerana itu, pelbagai kaedah yang cuba dijalankan demi untuk memandulkan kelantangan, keberanian dan keghairahan mereka terhadap kebenaran. Mereka taburkan program-program yang melalaikan sebagai candu supaya permikiran mereka tidak terarah kepada Islam.
.
Ustaz Jalal al-‘Alim menulis: “Penduduk Palestin yang datang dari Tebing Barat pernah menceritakan bahawa pemerintah rejim zionis mengajak pemuda-pemuda Palestin dalam bentuk kempen teratur untuk bergaul dengan perempuan-perempuan Yahudi terutamanya di pantai-pantai peranginan di laut Mediterranean yang seterusnya menyeret kepada perlakuan zina. Kesemua ini bertujuan untuk meruntuhkan akhlak pemuda Arab, sebagai jaminan mereka tidak akan menyertai gerakan penentangan rejim Yahudi di kawasan yang ditawan” (Ustaz Jalal Al-‘Alim, Seruan Barat: Hancurkan Islam, Hapuskan Pemeluknya, hlm 62)

Gibb, seorang missionary barat berkata: “Kini Islam telah kehilangan kuasa untuk membentuk kehidupan sosial orang-orang Islam. Kini ruang kuasa dan pengaruhnya semakin menyempit. Yang tinggal hanyalah sekitar perkara tertentu sahaja. Kebanyakkan perkara ini berlaku secara beransur-ansur tanpa disedari. Perkembangan ini bergerak ke suatu jarak yang jauh dan tidak mungkin lagi untuk kembali semula. Namun kejayaan perkembangan ini seterusnya bergantung keseluruhannya di tangan pemimpin dan ketua-ketua dunia Islam dan golongan muda Islam secara khusus. Kesemua ini adalah sebagai implikasi kepada kecergasan pengajaran dan pengetahuan sekular” (Rujukan yang sama, hlm 57)

Oleh itu, bentengilah anak-anak kita sejak dari kecil lagi dengan benteng al-Quran. Kalaupun anak-anak kecil ini tidak dihantar mengikuti kelas hafazan al-Quran sekalipun, sekurang-kurangnya didiklah mereka dengan didikan al-Quran. Perkenalkan mereka dengan Allah dan ajarilah mereka membaca al-Quran ... Jangan biarkan usia kecil mereka dibiarkan dan dikelilingi oleh unsur-unsur maksiat dan dosa (melalui contoh yang ditunjukkan ibu bapa) kerana ia akan menjadi darah daging dan mereka akan membesar menjadi insan yang tidak kenal agama ...

من تعلم القرأن وهو فتي السن خلطه الله بلحمه ودمه

“Barangsiapa yang mempelajari al-Quran sedang umurnya masih muda(kecil), Allah SWT akan mencampurkannya(nur hidayah al-Quran) di dalam daging dan darahnya” (Hadis riwayat Bukhari di dalam Tarikh al-Kabir, 3/94)

Saya bukanlah Hafiz al-Quran tetapi saya bercita-cita untuk termasuk di dalam golongan al-Huffaz. Namun, ia sudah agak terlewat dek kerana umur dan kesibukkan yang menghujani diri saya sendiri ...

Justeru, dengan kesedaran ini ... saya mengajak sahabat-sahabat yang bakal dan sudah bergelar ibu bapa agar mendidik anak-anak anda dengan al-Quran. Insya-Allah, sekiranya mereka menjaga agama Allah SWT melalui lisan Qurannya, nescaya Allah juga akan menjaga dan memelihara dirinya dari anasir luar yang merosakkan ....
.



Tak teringin ke untuk melihat anak-anak kita seperti anak-anak kecil ini ..???

0 comments: