Sunday 6 July 2008

Allah SWT bertanya ...

.
"Salam abang Meor, jom pergi rumah Ustaz KAS. Ahad ni ana nak balik UIA dah ..", sms saya kepada beliau malam Jumaat sebelumnya.
.
"Ok, nanti ana bagitahu ustaz .. kita jumpa dia petang-petang sikit la ye", beliau menjawab sms saya.
.
Semenjak isteri beliau dimasukkan ke hospital, hampir 2 bulan usrah kami tidak berjalan. Jadi, sebelum saya balik ke UIA, saya bercadang untuk menziarahi beliau di rumahnya petang semalam di Pengkalan. Alhamdulillah, ustaz KAS atau nama penuhnya Khairil Azhar Samsuddin jarang sekali mensia-siakan hajat orang yang ingin bertemu dengannya.
.
Petang yang redup itu sungguh nyaman sekali. Ia menatijahkan sebuah pertemuan yang cukup berharga bagi kami bertiga. Sambil makan bubur kacang yang dihidangkan, ustaz KAS tidak henti-henti memberi nasihat dan pandangan terhadap beberapa persoalan yang kami bangkitkan.
.
"Ustaz tu cacat, tapi dia memang kuat bekerja, kalah orang yang tak cacat", cerita ustaz KAS kepada kami perihal sahabat beliau yang giat melakukan kerja-kerja dakwah siang dan malam.
.
Begitulah ustaz menghidupkan suasana perbualan di antara kami. Terasa sungguh ukhuwwah yang tererat di antara kami di sepanjang liqa' tersebut. Setelah jam hampir menunjukkan pukul 7 petang, kami pun meminta diri kerana ustaz juga mempunyai jemputan untuk ke Tangjung Rambutan pada malam itu. Beliau merupakan seorang da'i yang terlalu banyak berkorban demi melahirkan golongan syabab yang berjiwa Islam. Justeru, beliau sesuai untuk mengisi tempat sebaik-baik golongan yang baik perkataannya di sisi Allah sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat 33 surah Fussilat.
.
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
.
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" (Fussilat: 33)
.
Allah bertanya kepada kita, “Hey manusia, beritahu aku .. siapakah orang yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada jalan Aku ...?”. Itu soalan Allah kepada kita.
.
Sebelum kita menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui bahawa Allah SWT menggunakan pelbagai ‘uslub khitabah’ bagi setiap ayat-ayat yang diturunkanNya di dalam al-Quran. PengkhabaranNya tidak mendatar, tetapi diselangi dengan pelbagai bentuk kaedah dan uslub yang pelbagai.
.
Kadang-kala Allah SWT menggunakan uslub ‘Sumpah’ dengan sesuatu yang lazim bagi manusia seperti “Demi waktu Dhuha, “Demi Masa” dan sebagainya. Terkadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Mencabar’ untuk mencabar kesombongan Yahudi dan Nasrani, seperti yang disebut di dalam surah al-Baqarah, “Sekiranya kamu ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, maka datangkanlah satu surah sepertinya” atau “Datangkanlah bukti-bukti kamu sekiranya kamu adalah orang-orang yang benar”. Kadang-kadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Sindiran’ dalam menjawab seruan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mengatakan, “Jadilah kamu orang-orang Yahudi dan Nasrani, nescaya kamu akan diberi petunjuk. Katakanlah (Muhammad), bahkan agama Ibrahim itu adalah agama yang lurus, dan tidaklah dia termasuk di kalangan orang-orang Musyrik”. Bahkan terkadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Pertanyaan’ kepada manusia seperti “Apakah kamu tidak memikirkannya”, “Apakah kamu tidak melihat” dan “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah”
.
Persoalannya, apakah persoalan yang dikemukakan oleh Allah ini menunjukkan bahawa Dia bodoh dan tidak mengetahui? Subhanallah !!! Maha Suci Allah !!! Allah SWT Maha Berkuasa dari sebarang sifat kekurangan, bahkan Dia mengetahui setiap sesuatu dari sebesar-besarnya sehinggalah kepada sekecil-kecilnya di antara yang zahir dan yang batin. Persoalan tersebut sebenarnya bertujuan untuk membentak para pembaca yang leka dan khayal, supaya mereka tersedar dari lamunan siang yang panjang dan melihat betapa luasnya Ilmu dan Kebesaran Allah SWT ini.
.
Persoalan Allah SWT itu memerlukan jawapan daripada saya dan kamu semua ... “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah?”
.
Soalannya satu, tetapi jawapannya belum tentu juga satu.
.
Ia terpulang sejauh mana kita meletakkan diri kita di sisi Islam .. Adakah kita ingin meletakkan diri kita sebagai golongan penyeru, atau golongan sedang diseru atau golongan yang bersedia untuk diseru ataupun melarikan diri tidak melakukan apa-apa.
.
Sekiranya kita bercita-cita untuk menjadi golongan Penyeru, ia adalah terlebih baik daripada menjadi golongan yang sedang diseru. Sekiranya kita sekadar menjadi golongan yang sedang diseru, ia juga lebih baik daripada golongan yang bersedia untuk diseru. Bahkan sekiranya kita hanya ingin menjadi golongan yang bersedia untuk diseru sekalipun, ia masih dianggap satu kebaikkan .. asalkan kita tidak termasuk di dalam golongan yang tidak bersedia untuk diseru dan menyeru. Saat itu, nescaya kita termasuk di dalam golongan yang dicela Allah dan RasulNya.[1]
.
Serulah dengan nama Tuhanmu !!
.
Serulah dengan risalah nabimu !!
.
Jadilah Pembantu-pembantu Allah dan Delegasi yang mewakili suara-suara para Rasul ‘Alaihimussolatuwassalam.
.
Habiskanlah sisa-sisa hidup kita dengan seruan “Aslim, Taslam” ... Islamlah kamu, nescaya kamu selamat !!! Kerana ia bukan kerja yang sia-sia, tetapi kerja amal yang tidak berkurangan ganjarannya di sisi Allah SWT.

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

.
“Barangsiapa yang menyeru kepada petunjuk yang benar, maka baginya ganjaran seperti ganjaran mereka-mereka yang mengikutinya, tidak berkurang sedikitpun daripada ganjaran tersebut daripada sesuatu apapun” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah RA, 172/1)
.
Mungkin ada yang persoalkan, "Macam mana saya nak berdakwah sedangkan saya tak ada kapasiti tersebut".
.
Apakah harus dia menghafal al-Quran, hadis dan mengetahui selok belok qawaid fiqh dan sebagainya barulah dia boleh menjadi pembantu-pembantu Allah? Nahi .. nahi .. nahi !! Islam tidak pernah memberatkan sesiapapun untuk menjadi pembantu-pembantuNya agar memenuhi syarat tersebut. Ia merupakan kelebihan, bukan syarat yang mesti disempurnakan.
.
Bahkan Islam menyatakan, "Bertaqwalah mengikut kemampuan kamu" .. iaitu lakukan tugas taqwamu menurut kemampuan seadanya selagi mana ia tidak bercanggah di sisi Islam. Meminjam istilah yang digunakan oleh Abusaif, jadilah golongan beragama walaupun kita bukan orang agama. Sekiranya kita tidak mampu berpidato, berpenalah di atas helaian kertas dan sebarkanlah. Sekiranya kita tidak mampu berpena, bertaqwalah dengan tubuh jasadmu ... tunjukkan akhlak Islam yang mulia ke mana saja kamu berada. Apakah ia bukan termasuk di dalam seruan dakwah ..?? Boleh jadi kebaikkan perbuatan kita itu boleh menarik ramai orang yang melihatnya. Keindahan Islam itu bukan hanya termaktub pada tuturannya, malah pada perbuatan dan contoh kebaikkan yang ditonjolkan ..
.
.
Telah saya utarakan di dalam artikel saya yang lalu, "Jadilah Pembantu-Pembantu Allah", bahwa setiap kita ada tugas dan peranan masing-masing terhadap Islam. Gunakan peluang kemahiran yang kita miliki untuk kita sampaikan kalimah tayyibah ini kepada masyarakat ... Doktor, Jurutera, Peguam, Guru dan sesiapapun ... Allah SWT telah menyediakan tempat mereka untuk menyampaikan sebaik-baik perkataan.
.
Saya dan kamu semuanya sama di sisi Allah SWT. Samada kamu kaya, miskin, cantik, tampan, menawan atau sebaliknya ... ia sama sekali tidak penting di sisi Allah SWT. Yang membezakan di antara kita semua adalah amal dan perjuangan kita. Biarpun kamu hodoh di sisi manusia, asalkan kamu berjuang di atas nama Allah yang Maha Esa ... kamu besar dan agung di sisi Allah dan para malaikat.
.

MB Perak yang patut dicontohi
.
Di akhirat kelak, semua orang akan dipersoalkan mengenai tanggungjawab ini. Tiada seorangpun yang berbeza di sisi Allah melainkan kanak-kanak, orang gila dan orang yang cacat ...
.
Namun nyata sekali, walaupun di kalangan kita ada orang yang cacat dan kurang upaya ... tetapi kelemahan tersebut tidak pernah menjadi halangan untuk mereka menjadi sebahagian daripada pembantu-pembantu Allah ... Ramaiiii, salah seorangnya adalah sahabat ustaz KAS yang beliau ceritakan ...
.
Mohon perlindunganMu Ya Allah ..
.
.
........................................
.
[1] Ia bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Abu Hurairah RA:

الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ
“Dunia itu dilaknat, dilaknat apa yang ada di dalamnya kecuali mereka yang mengingati Allah dan menta’atinya, orang-orang yang berilmu(penyeru) dan orang-orang yang menuntut (diseru)” (Imam at-Trimizi mengatakan hadis ini Hasan, 478/22)
.

.

0 comments: