Sunday 24 August 2008

Jangan Tinggalkan Mereka di Belakangmu ..

.
Apakah yang anda akan lakukan terhadap sesuatu benda yang anda sayang? Sudah tentu anda akan menyimpannya dengan baik, memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan bersih, tidak rosak, pecah, calar dan sebagainya. Malah kita akan berasa gelisah jika terdapat kesan calar pada barang yang kita sayangi tersebut.
.
Namun, apakah pula cara yang akan anda lakukan terhadap anak-anak yang anda sayangi?
.
SAYANGI ANAK DENGAN DIDIKAN AGAMA
.
Sesetengah ibu bapa membuktikan kasih sayang kepada anak-anaknya dengan memberikan sepenuh kemewahan kepada mereka. Mereka dimanjakan dengan harta dan kesenangan yang berlebih-lebihan, melebihi dari yang sepatutnya. Tetapi kesannya tidak setimpal dengan apa yang telah mereka korbankan kepada mereka .. anak-anak mereka lebih menjauhi mereka tatkala mereka sudah menjelang senja.
.
Ini adalah kerana, sejak kecil mereka sudah dimanjakan dengan kesenangan lalu merasa payah untuk merasai sedikit kesusahan. Apatah lagi tatkala ibu bapa mereka sakit dan banyak karenah di saat tuanya, apakah anak-anak yang sentiasa dimanjakan dengan kemewahan ini sanggup untuk berkongsi kesakitan yang dirasai oleh ibu bapanya? Buktinya di depan mata kita sendiri, bahkan sering sekali dikisahkan di dalam filem-filem Melayu … betapa hanya anak yang dulunya sering dimarahi dan tidak dimanjai itulah yang akhirnya akan berkorban untuk ibu bapa mereka, bukan anak-anak yang semasa kecilnya sering dimanjai dengan harta benda yang berlebihan.
.
Justeru, Islam mengajar ibu bapa agar kasih sayang kepada anak-anak itu perlu dicurahkan dengan pendidikan agama kerana Islam adalah ‘sebuah cara hidup’. Oleh itu, apabila kita menitikberatkan mereka dengan agama, bererti kita sedang mendidik mereka bagaimana menjalani sebuah kehidupan yang menekankan hubungan di antara manusia dengan manusia dan manusia dengan Allah SWT.
.
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka ..” (at-Tahreem: 6)
.
NASIHAT LUQMAN KEPADA ANAKNYA
.

"Hai anakku, janganlah kamu mensyirikkan Allah. Sesungguhnya syirik itu adalah benar-benar kezaliman yang besar", Luqman menasihatkan anak beliau.

Inilah nasihat terpenting Luqman buat anaknya, “Jangan kamu mensyirikkan Allah” yang dimuatkan Allah SWT di dalam surah Luqman.

Luqman tidak mewasiyatkan harta dan kekayaan buat anaknya, kerana harta tidak mampu membawa apa-apa keberuntungan di akhirat kelak. Harta itu barang mati yang amat berbisa. Bisanya boleh mematikan hati yang tidak punya bekas iman, lalu menjerumuskan manusia ke lembah kerakusan yang melupa daratankan mereka, menggila kuasakan mereka dan sebagainya. Hanya iman sahaja yang mampu menjadi penawarnya.

Sememangnya Luqman seorang yang bijaksana. Dalam suasana malam yang kelam, beliau tidak memberikan lampu kepada anaknya, tetapi beliau berikan mancis sebagai asasnya. Kerana dengan berbekalkan mancis, anaknya akan belajar bagaimana untuk menghidupkan malam yang kelam itu. Begitu juga dengan iman, iman mengajar anaknya bagaimana untuk mengurus harta, kerana iman mengajar manusia erti amanah, kesederhanaan, keadilan dan bahaya pembaziran.
Inilah kuncinya …

PERBUALAN NABI YA’QUB DENGAN ANAK-ANAKNYA

Wahai anakku, “Apakah yang akan kamu sembah setelah aku meninggal dunia nanti?”, dalam keadaan sakaratul maut itu nabi Ya’qub ‘alaihis salam bertanya kepada anak-anaknya.

Mereka menjawab, “Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishaq, iaitu Tuhan yang Maha Esa dan Kami hanya tunduk patuh kepada-Nya”

Inilah kisah perbualan yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam ayat 133 surah al-Baqarah sebagai paparan para pembaca sekalian, sekali lagi ia menunjukkan bagaimana Islam menuntut agar sekalian ibu bapa mengambil berat soal masa depan pendidikan agama terhadap anak-anak mereka.

Bahkan kepentingannya dapat digambarkan bilamana pertanyaan itu ditanyakan ketika nabi Ya’qub ‘alaihis salam berada dalam keadaan nazak dan hampir menemui kematian, “apakah yang akan kamu sembah selepas peninggalanku nanti?”.

DOA NABI IBRAHIM AS

“Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) diantara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau …” (al-Baqarah: 128)

Inilah doa nabi Ibrahim ‘alaihis salam setelah Ka’bah telah siap dibina. Ahli tafsir berselisih pendapat berkenaan dengan tugas nabi Ibrahim terhadap bangunan ka’bah. Sesetengah di antara mereka mengatakan bahawa nabi Ibrahim bukanlah orang pertama yang membina ka’bah kerana ayat 127 surah al-Baqarah ini menggunakan kalimah “yarfa’u” yang bermaksud membangunkan. Bererti, terdapat orang lain atau nabi lain sebelumnya yang pertama kali membinanya, dan nabi Ibrahim hanya memperbaiki dan membangunkan semula ka’bah yang pernah dibina tersebut. Namun sebahagian yang lain pula mengatakan bahawa memang baginda ‘alaihis salam merupakan orang pertama yang membinanya.

Namun, apa yang ingin ditekankan di sini adalah intipati doa nabi Ibrahim ‘alaihis salam itu sendiri. Di depan anaknya Ismail ‘alaihis salam, beliau menadah tangan ke hadrat ilahi memohon bersungguh-sungguh agar Allah SWT menjadikan mereka golongan yang tunduk patuh kepada-Nya. Baginda juga turut mendoakan agar zuriat yang bakal dikembangkan oleh nabi Ismail termasuk di kalangan mereka yang tunduk patuh kepada Allah SWT.

Walaupun baginda merupakan seorang nabi, namun baginda tetap berdoa agar Allah SWT memelihara anak dan keturunannya termasuk di kalangan umat yang patuh kepada Allah SWT.

MEREKA SEBAGAI PENGHALANG

“Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah” (al-Munafiqun: 9)

“Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah cubaan (bagimu), dan di sisi Allah-lah pahala yang besar” (at-Taghabun: 15)

“Hai orang-orang mukmin, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu. Maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (at-Taghabun: 14)

Ayat ini tidak boleh difahami secara literal, tetapi perlu kepada kefahaman yang lebih jelas. Ia bukanlah bermaksud isteri dan anak-anak itu sebagai golongan yang jahat, tetapi sebenarnya sebagai suatu isyarat dan peringatan kepada para suami dan bapa agar mereka diberi kefahaman agama yang benar dan jelas.

Di dalam surah ali-‘Imran ayat 14, Allah SWT menyebut bahawa mereka adalah sebuah perhiasan dari perhiasan-perhiasan dunia. Begitu juga di dalam ayat 46 surah al-Kahfi di mana Allah SWT sekali lagi mengiktiraf anak-anak sebagai bukti perhiasan dunia.

Merupakan fitrah kejadian manusia bahawa mereka gemar kepada kecantikkan dan perhiasan. Namun, kadang-kala ia boleh melekakan dan mengalpakan. Golongan lelaki yang sepatutnya memikul tanggungjawab dakwah terhadap masyarakat, sesetengahnya lumpuh di kediaman lantaran teralpakan oleh anak-anak dan isteri di rumah. Lebih malang lagi sekiranya bapanya seorang pejuang, tetapi anak-anaknya menjadi busur panah yang memanah nama baik bapanya dari belakang. Kita bermohon agar dijauhkan dari ujian sebesar ini.

Justeru, di sinilah kepentingan kefahaman agama buat diri isteri dan anak-anak, memahamkan mereka bahawa suami dan ayahnya keluar kerana Allah .. memacu tenaga demi kerana amanah yang sudah sedia terpikulkan di bahu seorang lelaki. Akan tetapi, perkara ini hanya isteri dan anak-anak yang faham dengan tugas suami dan bapanya saja yang mampu berkorban dan bersabar di atas kepayahan tersebut.

Suamiku … Ayahku, kami redha dengan pemergianmu ….

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Ya Tuhan Kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa” (al-Furqan: 73)

Khas buat ayah yang merupakan seorang pejuang ….







0 comments: