Friday 29 August 2008

Kekaburan kepada Pencerahan ...

.
.
“Saya rasa ia perlu diperbetulkan kerana ia boleh menimbulkan salah faham kepada pembaca”, seorang pembaca mengirim e-mail menegur tulisan saya yang lalu bertajuk ((Jangan Tinggalkan Mereka di Belakang Mu)) berkenaan dengan tulisan saya mengenai ((Mereka sebagai penghalang)).
.
“Keterangan saudara seolah-olahnya telah meletakkan isteri dan anak-anak sebagai punca utama terhadap kebinasaan kaum lelaki, dan saya rasa ini suatu perkara yang tidak adil”, beliau memberi penjelasan dan alasan di atas kritikan yang beliau lontarkan kepada saya.
.
Di akhir catatan beliau, beliau mengakhirinya dengan menulis, “Mohon ambil perhatian. Terima kasih”
.
Terima kasih saya ucapkan di atas kiriman tersebut. Saya sambut kritikan dan teguran tersebut dengan dada terbuka dan rasa syukur kepada Allah SWT kerana masih ada lagi di kalangan kita yang merasa bertanggungjawab ke atas saudara se-Islamnya yang lain.
.
Mungkin beliau merasa bertanggungjawab untuk memastikan agar jangan ada orang lain yang tersinggung atau salah faham dengan penulisan saya sebelum ini, lalu menjustifikasikan suatu persepsi yang negatif terhadap golongan wanita dan anak-anak dan dalam masa yang sama, untuk mengelak sebarang bentuk tohmahan terhadap intipati al-Quran yang berbau ‘diskriminasi’ terhadap golongan tersebut.
.
Terlebih dahulu, saya memohon maaf sekiranya artikel sebelum ini agak mengelirukan. Namun tidak sesekali ia ditulis untuk merendahkan martabat dan kedudukan golongan tersebut. Ia berlaku mungkin disebabkan oleh kelemahan saya sendiri yang tidak tepat dalam menghuraikan sesuatu.
.
Saya pernah menyatakan kepada sahabat-sahabat saya bahawa menulis bukanlah merupakan suatu perkara yang mudah. Ya, menulis itu memang mudah, tetapi menulis dalam sususan bahasa yang tersusun mengikut kerangka tatabasa yang tepat itu yang sukar sebenarnya. Apatah lagi untuk menyampaikan maksud di sebalik penulisan tersebut, kesilapan dalam menghuraikannya boleh menjadi senjata yang mematikan diri sendiri sekiranya ia dijadikan bukti oleh orang lain untuk menghukum kita.
.
Namun begitu, saya akan cuba menghuraikan dengan sebaik mungkin terhadap apa yang saya maksudkan dengan penulisan di dalam artikel saya yang lalu. Bukan kerana ingin menegakkan benang yang basah, tidak juga kerana tidak berpuas hati dengan teguran beliau, tetapi sebagai suatu penjelasan dan pencerahan terhadap apa yang sebelum ini mungkin agak mengelirukan.
.
APA YANG SAYA MAKSUDKAN
.
.
Baik, sekiranya ayat-ayat tersebut dibaca secara literal, ia seperti meletakkan anak-anak serta isteri sebagai ‘sole factor’ kepada kecelakaan golongan lelaki.
.
Seperti yang tercatat di dalam ayat 9 surah al-Munafiqun, Allah SWT mengingatkan kita agar jangan sesekali menjadikan harta dan anak-anak itu sebagai penyumbang kepada kelalaian kita daripada mengingati Allah SWT.
.
Begitu juga dengan ayat 14 surah at-Taghabun, bukankah kalimah “a’dhuw” yang bermakna musuh itu seolah-olah menggambarkan kepada kita bahawa mereka adalah musuh di dalam selimut buat suami dan bapa mereka?
.
Hakikatnya, inilah yang akan kita fahami sekiranya ayat-ayat ini dibaca secara literal tanpa kita merujuk kepada tafsiran lanjut daripada para ulama melalui kitab-kitab tafsir mereka. Oleh itu, inilah kesilapan sesetengah umat Islam apabila memahami ayat al-Quran itu dari sudut literalnya sahaja, tanpa mengambil kira faktor sebab-sebab penurunannya atau disebut “Asbabun Nuzul”, bahasa atau “Lughah” dan kontek atau “Siyaq” penggunaan ayat tersebut.
.
Justeru, bagi mereka yang sangsi terhadap keagungan al-Quran atau gemar mencari kelemahan-kelemahan intipati al-Quran, pasti akan mudah terpengaruh dengan beberapa dakwaan palsu golongan liberal dan sosial bahawa al-Quran itu memang merendahkan martabat golongan mustadh’afin di kalangan kanak-kanak dan wanita, padahal ia tidak benar sama sekali!!
.
Jadi, bagaimana jalan untuk memahaminya? Jawapannya mudah, anda belajar atau anda rujuk sendiri kepada para alim ulama yang berkeahlian mengenainya. Maaf, untuk saat ini, saya tidak ada jawapan lain untuk soalan itu.
.
Kembali .. Tetapi sekiranya kita cuba memahaminya secara ‘reverse understanding’, dengan izin Allah kita boleh mengenalpasti maksud di sebaliknya dan menolak andaian negatif yang disebut sebentar tadi.
.
Memahaminya dengan secara ‘reverse understanding’ adalah dengan kita bertanya kepada diri kita sendiri mengapa Allah SWT menyatakan ayat-ayat tersebut sedemikian, atau dengan maksud lainnya, kita mencari sebab mengapa harta, anak-anak dan isteri boleh menjadi penghalang atau musuh buat para suami atau ibu bapa?
.
Ayat-ayat tersebut sebenarnya cuba memberikan satu isyarat kepada golongan suami atau ibu bapa bahawa di sana ada perkara penting yang perlu mereka ambil perhatian, iaitulah perkara yang berkaitan dengan persoalan “agama”.
.
Saya suka menarik perbincangan ini dengan kita memahami konsep “ta’awun” atau tolong menolong di antara satu sama lain. Konsep ta’awun ini pernah saya bincangkan di dalam artikel saya yang lalu yang bertajuk ((Perhiasanmu; Peliharalah ia)).
.
Ini bukan konsep baru, tetapi konsep umum yang sudah beribu tahun dicadangkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran semasa zaman kerasulan Muhammad SAW lagi. Terbukti, konsep “ta’awun” ini begitu memberi impak yang tersangat besar kepada kejayaan dan keberlangsungan Islam dari satu generasi ke satu generasi dan era kepada era sehinggalah ia kembali dilupakan. Oleh itu, konsep ini saya fikir merupakan konsep yang tersangat releven untuk dibawa bersama di dalam perbincangan kita.
.
Mengapa saya mengatakan demikian..?
.
Kerana, seperti yang pernah saya katakan, tabi’at kejadian manusia itu.. memang dijadikan hidup secara berkelompok, berkumpulan dan berpasangan. Dalam erti kata yang lain, mereka saling bergantung dan memerlukan di antara satu sama lain. Tidak ada sesiapapun – walau sehabat manapun ia – mampu hidup dan menyelesaikan sesuatu masalah secara sendirian. Bahkan nabi SAW sendiri pernah bersabda (yg bermaksud), “Seseorang itu dikenali bergantung kepada siapakah sahabatnya”. Menunjukkan di dalam persoalan akhlak juga, ia berkait rapat dengan hubungan di antara dua manusia kerana seseorang itu adalah cerminan kepada seseorang yang lain.
.
Justeru, inferen yang boleh kita ambil darinya adalah, selagi mana manusia itu perlu hidup secara bergantungan di antara satu dengan yang lain, maka selagi itulah konsep ta’awun itu perlu juga wujud di dalam mua’malah sesama mereka. Alasannya kerana, tidak akan tercapai maksud pergantungan itu tanpa adanya di sana elemen tolong-menolong di antara satu sama lain. Di sinilah relevannya …
.
Maka dengan itu, sekiranya anda semua telah bersetuju dengan usul yang ingin saya bawakan ini, maka anda juga perlu bersetuju sekiranya saya katakan bahawa konsep ta’awun ini juga perlu wujud di dalam hubungan kekeluargaan, kerana istilah “keluarga” itu sendiri terbit setelah wujudnya beberapa entiti di dalamnya dari kalangan suami, isteri, ayah, ibu dan anak-anak.
.
APA YANG SAYA MAKSUDKAN DENGAN KONSEP INI?
.
.
Analogi pertama (1):
.
“Ahmad, boleh tak aku pinjam duit engkau sikit?”, tanya Abu kepada sahabatnya.
.
“Abu! Hutang aku yang dulu pun engkau tak bayar lagi, macam mana aku nak pinjamkan engkau duit aku lagi”, Ahmad membentak.
.
Analogi kedua (2):
.
“Masa anak saya di Sekolah Bainun dulu, dia pernah ditangkap kerana merokok”, cerita cikgu Hafizah, guru matematik sekolah rendah saya dahulu. Beliau seorang yang sangat periang dan suka bercerita, bahkan she’s very motherly. I used to learn mathematic with her before and we enjoy having her as our teacher.
.
“Bila dia dibawa ke Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, cikgu itu tanya dia mengapa dia merokok”, beliau menyambung ceritanya.
.
“Anak saya jawab mudah je. Tahu tak apa jawapan dia?”, cikgu menarik perhatian saya dengan persoalannya, tetapi saya diam kerana saya nak mendengar sendiri jawapan tersebut dari mulut beliau sendiri.
.
“Anak saya jawab .. ayah saya merokok, saya pun merokok juga lah ..”, setelah mendengar jawapan itu, kami sama-sama ketawa .. hahahaha
.
“Lepas itu, ayah dia terus berhenti merokok”, beliau menutup ceritanya.
.
Baik, untuk memahami kaitan analogi pertama dan kedua dengan konsep ini, cuba letakkan seorang anak menggantikan watak Ahmad, manakala Abu digantikan dengan watak ibu bapa dan gantikan subject matter perbincangan daripada hutang kepada agama. Kemudian diolah sedikit bentuk perbualan tersebut. Mungkin begini ..
.
“Ahmad, ayah nak kamu solat dan berakhlak seperti yang dianjurkan Islam”, pinta ayahnya.
.
“Macam mana saya nak solat kalau ayah sendiri tidak pernah ajar saya solat, bahkan saya tengok ayah sendiri ambil sambil lewa dengan solat. Kemudian, ayah minta saya berakhlak seperti yang dianjurkan Islam .. macam mana saya nak berakhlak seperti yang ayah pinta kalau ayah dan ibu sendiri tidak pernah ajar saya bagaimanakah akhlak Islam itu sebenarnya …”, berbisik hatinya saat ayahnya memerintahkan dia melakukan semua itu.
.
Saya bukan mengajar anak untuk menjadi kurang ajar, tetapi fitrah manusia pasti akan mempersoalkan sedemikian sekiranya itulah yang dipinta daripada ibu bapa yang seperti itu.
.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang anak yang dilahirkan kecuali mereka dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapalah yang mengyahudikan mereka, mengkristiankan mereka dan memajusikan mereka ..” ((Diriwayatkan muttafaqun ‘alaih daripada Abu Hurairah RA. Bukhari, no. 1358 dan Muslim, no. 22))
.
“Makcik pun tak tahu nak buat macam mana sekarang. Dia nak kereta, makcik belikan kereta. Dia nak gitar, makcik belikan dia gitar supaya dia tak boring di rumah. Makcik hantar dia belajar main golf, macam-macam lagi makcik ikhtiar yang makcik cuba… tapi keadaan dia macam itu juga”, luah seorang makcik kepada saya mengenai krisis akhlak yang sedang dialami oleh anak lelakinya. Sambil meluahkan isi hatinya, si ibu itu menitiskan air mata kesedihan.
.
Persoalannya, dengan mentaliti ibu bapa dan persekitaran keluarga yang seperti disebutkan di dalam hadis di atas itu (maaf, saya tak sanggup nak menyebutnya) .. bagaimana mereka mahu mengharapkan agar anak-anaknya tidak menjadi seperti yahudi, kristian dan majusi kalau sekiranya mereka sendiri tidak mengubah diri mereka dan persekitaran keluarga mereka kepada Islam.
.
Mahu anak berubah, tetapi persekitaran keluarga tidak pernah dihiasai dengan roh-roh Islam, bahkan sama-sama membiakkan pengaruh hegomoni dengan Akademi Fantasia, Malaysian Idol dan berbagai lagi rancangan TV yang mengharu birukan masa depan anak-anak.
.
Bukan tidak boleh, tetapi biarlah berpada-pada. Jangan jadikan ia seperti santapan sehari-hari sehingga mengeyangkan perut anak-anak dengan program sebegitu ..
.
Pepatah Arab menyebut:
.
الناس على دين ملوكهم
.
“Manusia itu mengikut apa yang diimani oleh para pemimpin mereka”
.
Sekiranya para pemimpin mahu rakyatnya amanah dalam melaksanakan tanggungjawab bekerja, berjimat dalam berbelanja, tidak melakukan pelbagai kegiatan jenayah, maka mereka terlebih dahulu perlu melakukan demikian dan membantu rakyat mereka ke arah itu dengan menutup segala pintu-pintu kerosakkan tersebut. Kemudian, barulah rakyat akan sama-sama membantu para pemimpin mengikut apa yang mereka harapkan kerana mereka berpegang mengikut apa yang dipegangi oleh pemimpin-pemimpin mereka. Maksudnya, perlu ada give and take di antara pemimpin dan rakyat, rakyat dan pemimpin.
.
Maka apakah keadaan itu berbeza dengan sebuah keluarga …?
.

0 comments: