Wednesday 3 September 2008

DAURAH RAMADHAN: Niat Puasa Ramadhan (PENAMBAHAN)

.

.
Daripada Hafsah RA, bahawasanya nabi SAW telah bersabda:

مَنْ لَمْ يُبَيِّتْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ

“Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar, maka tiada puasa baginya” ((Riwayat Abu Daud, 2454 dengan sanad yang sahih))
.
Berdasarkan kepada hadis ini, para ulama mengatakan bahawa niat puasa wajib dilakukan pada malam hari di antara terbenamnya matahari (selepas azan maghrib) sehinggalah terbitnya fajar (sebelum azan subuh). Tidak sah puasa Ramadhan sekiranya niat dilakukan pada siang hari selepas terbitnya fajar, kecuali puasa sunat (kecuali Malik, al-Laith, Ibn Hazm & As-Syaukani). WA
.
Akan tetapi, mereka berselisih pendapat mengenai hadis ini dalam dua perkara:
.
a) Adakah disyaratkan niat puasa Ramadhan itu wajib dita’yeenkan (atau disebut secara spesifik) ataupun memadai dengan niat secara mutlak?
.
b) Adakah niat tersebut wajib diulangi pada setiap hari atau cukup sekadar sekali sehari sebelum bermulanya puasa Ramadhan?
.
Perbincangan (a):
.
1. Diwajibkan menta’yeen niat puasa Ramadhan samada ia puasa tunai, puasa qadha, puasa nazar dan puasa kaffarah, dan tidak sah puasa sekiranya elemen ini tidak disempurnakan ketika berniat. Pendapat ini dipegang oleh Malikiyyah, Syafi’iyyah, dan Hanabilah. Pandangan ini bersandarkan kepada hadis:
.
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
.
“Sesungguhnya setiap perbuatan itu semata-mata bergantung dengan niat dan sesungguhnya setiap orang itu berdasarkan apa yang diniatkannya” ((Bukhari, no. 1))
.
Fungsi niat adalah untuk membezakan di antara adat dan ibadah. Oleh itu, sesiapa yang berpuasa tetapi tidak berniat, puasanya hanyalah adat bukan ibadah. Kewajipan menta’yeenkan niat itu berdasarkan kepada lafaz:
.
وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
.
“Dan sesungguhnya setiap orang itu berdasarkan apa yang diniatkannya”
.
Yang dimaksudkan dengan ta’yeen ini adalah seperti, “Sahaja aku berpuasa Ramadhan esok hari pada tahun ini kerana Allah ta’ala”. WA
.
2. Tidak diwajibkan menta’yeenkan niat kecuali untuk puasa qadha Ramadhan, kaffarah, nazar mutlak dan seumpamanya. Contoh-contoh yang disebutkan ini diwajibkan menta’yeenkan niat ke atasnya. Pendapat ini dipegang oleh mazhab Abu Hanifah. WA
.
3. Pendapat yang lain mengatakan mutlak niat sudah mencukupi tidak kira dalam apa jua jenis puasa .. samada tunai, qadha', nazar, kaffarah dan sebagainya. Bahkan segelintir ulama mengatakan bahawa, perbuatan bangun sahur itupun sudah memadai untuk membuktikan niat seseorang untuk berpuasa di siang harinya, ataupun melalui percakapan contohnya apabila beliau ditanya, “Beli makanan apa tu?”. Beliau menjawab, “Beli makanan untuk sahur untuk puasa esok”. WA
.
Perbincangan (b):
.
1. Diwajibkan berniat pada setiap malam daripada malam-malam Ramadhan berdasarkan kepada keumuman hadis Hafsah di atas, dan kerana setiap hari itu adalah hari yang tersendiri yang tidak mengikat di antara satu sama lain dan tidak membatalkan di antara satu sama lain. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama di kalangan Hanafiah, Syafi’iyyah dan Hanabilah. WA
.
2. Zufar, Malik dan satu riwayat daripada Ahmad berpendapat bahawa memadai sebulan berpuasa di bulan Ramadhan dengan niat yang satu tanpa mengulanginya pada tiap-tiap malamnya, selagimana ia tidak terputus dengan perkara-perkara lain seperti musafir, sakit, atau dalam keadaan yang membolehkannya berbuka seperti kedatangan haid, nifas, wiladah dan sebagainya. Maka sekiranya keadaan ini berlaku, niat puasa wajib diperbaharui selepasnya. Pendapat ini berdasarkan kepada keumuman hadis Umar RA berkenaan dengan niat. WA
.
Masalah:
.
Sekiranya seseorang itu tertidur dan dia belum menunaikan solat Isyak, kemudian dia bangun menunaikan solat Isyak pada saat-saat hampirnya azan subuh. Ketika di dalam solat, dia teringat bahawa dia belum lagi berniat puasa Ramadhan. Sekiranya dia memutuskan solatnya, azan subuh hampir dilaungkan. Sekiranya dia meneruskan solat, dia tidak dapat berniat puasa. Oleh itu, adakah boleh sekiranya dia berniat puasa ketika sedang mendirikan solat isyak tersebut?
.
Imam As-Suyuti memfatwakan di dalam fatwanya ((Al-Hawi Lil Fatawa)) dengan menyatakan: "Tidak dibenarkan baginya memutuskan solatnya dan meninggalkan niat puasanya, tetapi diwajibkan ke atasnya berniat puasa ketika berada di dalam solat. Solatnya sah dan niatnya diterima".
.
Niat itu tempatnya di hati, bukan pada lafaz. Oleh itu, tidak cukup melafazkan niat sekiranya ia tidak diiringi oleh hati. WA
.
Kesimpulan:
.
Kesemua pendapat benar belaka, tidak ada yang salah. Selamat meneruskan puasa.
.
…………………………………………
.
Rujukan:
.
1. Hasyiah Syarqawi, Syeikh Zakaria al-Ansori
2. Fiqh al-Manhaji, Syeikh Mustapha al-Bugho dan Mustapha al-Khin
3. Sahih Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Salim
4. Taudheh al-Ahkam, Syeikh Abdullah Ibn Abdul Rahman al-Bassam
5. Al-Hawi Lil Fatawa, Imam As-Suyuti

0 comments: