Sunday 9 November 2008

Ana Betul, Anta Salah

.
.
SENARIO PERTAMA:
.
“Talaffuz binniyyah tidak pernah dilakukan oleh nabi SAW di dalam solat”, ujar wakil Salafi di hadapan hadirin yang hadir.
.
“Bahkan telah nyata di dalam perkara ibadah bahawa setiap perbuatan itu dianggap haram kecuali setelah datangnya dalil yang mengharuskannya”, sambung beliau lagi berdegar-degar.
.
“Baik .. baik, sebelum kita bincang panjang-panjang, ana nak tahu, sekarang anta nak bincang masalah ini dari perspektif usul atau dari perspektif hadis..?”, giliran wakil Khalaf pula memberikan hujjah.
.
“Kalau anta nak bincang dari perspektif usul, kita buka buku usul, dan kalau anta nak bincang dari perspektif hadis, kita buka kitab hadis …”, beliau mencadangkan.
.
Pentas dewan semakin panas dengan hujjah demi hujjah yang dibangkitkan oleh kedua-dua belah pihak. Hadirin yang hadir pula datang dari pelbagai latar belakang, kebanyakkannya dari kalangan pemuda yang ghairah untuk memahami Islam yang sebenar. Ada yang tercengang sebab tak faham, ada yang tidur sebab otak dah berat dengan pelbagai input, ada yang perangai suka tengok gelagat orang lain, ada yang khusuk dengan perbahasan yang dibincangkan, ada yang berbisik-bisik dengan lingkungan sahabat-sahabat sekeliling dan ada yang tak sabar-sabar nak bangkitkan soalan.
.
Apapun, beginilah suasana dewan apabila permasalahan khilafiah diforumkan dan dibahaskan di peringkat umum.
.
SENARIO KEDUA[1]:
.
“Solat antum tidak sah sekiranya tidak dibacakan al-Fatihah di dalamnya..!!”, tegas wakil Salafi Pakistan.
.
“… kerana telah terang-terang hadis nabi SAW menyebut ((Tiada solat barangsiapa yang tidak membaca Fatihatil Kitab (al-Fatihah) )). Mazhab hanafi yang mengatakan al-Fatihah bukan dari rukun solat telah bercanggah dengan hadis ini secara jelas..!!”, beliau menyambung.
.
“Ana nak tanya anta, Maulana .. lafaz ‘La’ dalam hadis tu nafyi sihhah atau nafyi kamal?”, pendokong mazhab Hanafi aliran Deobandi menyoal.
.
“Nafyi sihhah ..!!”, wakil Salafi menjawab.
.
“Kalau anta jawab macam tu, ramai la sahabat-sahabat nabi SAW yang tidak sah solat mereka dan banyak lah yang masuk neraka kerana tidak sah solat, sebab ada di kalangan mereka yang mengatakan al-fatihah bukan sebahagian dari rukun solat”, wakil Deobandi menjerat wakil Salafi.
.
“Aduh ..”, wakil Salafi Pakistan sudah terkena jerat.
.
Mereka terdiam dan terpinga-pinga tidak tahu bagaimana nak counter-attack hujjah yang dikemukakan oleh wakil Deobandi. Akhirnya perdebatan berakhir begitu sahaja tanpa sebarang penyelesaian.
.
SILAP MENILAI PRIORITAS
.
Apa kecoh-kecoh ni ….???
.
Bagi saya, buang masa berdebat isu-isu lapok sebegini kerana masalah khilafiah sebegini sudah lama diselesaikan oleh para fuqaha di dalam kitab-kitab mereka, bahkan telah diterima pakai dan diiktiraf oleh para fuqaha selepas itu.
.
Hanya orang yang cetek ilmu dan bodoh saja yang masih mahu memperdebatkan permasalahan sebegini. Sedangkan para alim ulama dan umat Islam yang peka tentang permasalahan sejagat menganggap perkara ini perlu ditoleransikan.
.
Masih banyak lagi masalah pokok yang perlu diutamakan.
.
Cuba tanya pada diri sendiri … apa sumbangan kita terhadap saudara se-Islam kita yang sedang ditindas dan dinafikan hak mereka di Palestin, Iraq, Afghanistan, Chechnya dan Thailand?
.
Berapa ramai lagi yang masih merempat di tepi-tepi jalan, kebuluran dan kelaparan, hilang tempat pergantungan dan punca pencarian?
.
Apakah kita menyangka dengan perdebatan kecil sebegini akan membantu dan meringankan beban-beban mereka di sana?
.
Percayalah, kita hanya menakung air di baldi yang bocor. Ini kerja yang paling sia-sia dan membuang masa !!
.
Lebih baik tinggalkan.
.
PENDEKATAN HADIS DAN USUL
.
Kalau ingin diperdebatkan permasalahan sebegini, memang kita tidak akan menemui titik temunya melainkan dengan jalan toleransi dan berlapang dada.
.
Kedua-dua senario di atas merupakan contoh permasalahan khilafiah yang tidak akan selesai sampai bila-bila kerana satu pihak menggunakan pendekatan ahli hadis dan satu pihak lagi menggunakan pendekatan ahli usul.
.
Ahli hadis melihat sesuatu permasalahan berdasarkan kepada kaedah-kaedah usul hadis dan lebih cenderung untuk berpegang terus kepada hadis secara zahir tanpa sebarang penta’wilan(presumption). Di zaman para sahabat, pendekatan ini banyak diamalkan oleh Ibn Umar, Abu Hurairah, Imam Malik dan ahli Hijaz.
.
Manakala ahli usul pula menilai sesuatu permasalahan berdasarkan kepada kaedah penetapan usul yang dicanai hasil dari pemerhatian mereka terhadap berbagai-bagai dalil dari al-Quran dan Sunnah, lalu disimpulkan di dalam sebuah kaedah. Mereka lebih banyak melakukan ta’wil dan berijtihad dalam perkara-perkara yang belum pernah berlaku di zaman mereka sebagai kemudahan kepada masyarakat. Manhaj ini banyak dipelopori oleh Umar al-Khattab, Ibn Mas’ud, Abdullah ibn Mubarak, Imam Hanafi dan ahli Kufah.
.
Kesimpulannya, kedua-dua pihak benar di dalam penghujahan mereka kerana kedua-dua sumber hukum yang digunakan adalah sumber-sumber yang dipersepakati di kalangan ulama.
.
ANA BETUL, ANTA PUN BETUL
.
Islam merupakan agama yang universal dan flexible dalam lingkungan keterbatasan. Keterbatasannya ada kelapangan, manakala kelapangannya ada yang membatasinya. Justeru, dalam kelapangan yang dibenarkan oleh Syarak ini, tidak selayaknya kita menyempitkannya dengan melihat satu-satu permasalahan itu hanya dari satu sudut pandang sahaja.
.
Ada orang menilai cantiknya Honda City pada pandangan depannya. Ada juga yang menilai kecantikannya pada sisi tepinya dan tidak ketinggalan juga, ada yang tertarik dengannya kerana reka bentuk interiornya yang menawan.
.
Namun ini hanyalah sekadar pandangan terhadap sebuah kereta yang sempit pengaplikasiannya untuk manusia. Persoalannya, apakah selayaknya Islam yang sebegitu luas pengaplikasiannya kepada manusia perlu disempitkan sisi pandangnya?
.
Manusia sendiri dijadikan dengan pelbagai tabiat dan karenah. Masing-masing mempunyai citarasa dan kehendak yang tersendiri. Jangan katakan Pak Abu dan makcik Timah, adik beradik kembar seiras pun mempunyai perangai dan kemahuan yang berbeza-beza. Orang Melayu lain budayanya dengan orang India dan Cina. Eropah cuacanya berbeza dengan Timur Tengah. Masyarakat di Benua China hidupnya berbeza dengan cara hidup masyarakat di Benua India. Fakhri Ayat-Ayat Cinta suka makan Shawarma di Mesir, Ustaz Habiburrahman pula suka makan Bakso di Indonesia. Abang di sebelah pilih ayam masak merah, adik di depan pula pilih gulai tempoyak.
.
Senang cerita, semuanya berbeza ikut citarasa tersendiri.
.
Oleh itu, bagaimana Islam mahu mendepani kepelbagaian makhluk sebegini sekiranya ia bersifat dengan sifat yang sempit dan jumud?
.
Di dalam solat sekalipun terdapat pelbagai kelonggaran yang diberikan kepada manusia walaupun ia merupakan ibadah terpenting yang menghubungkan di antara hamba dengan penciptanya. Allah SWT meringankan hambanya dengan memberikan jangka waktu yang tertentu buat hambanya mendirikan solat, bukan memaksa semuanya mendirikannya pada sekian-sekian waktu sahaja .. kerana ada di kalangan kita yang tidak berkesempatan mendirikannya di awal waktu disebabkan oleh peperiksaan yang sedang berjalan, mesyuarat dan sebagainya. Maka dibenarkan melewatkannya sedikit.
.
Orang yang sakit yang tidak mampu berdiri, diringankan bagi mereka untuk mendirikan solat dalam keadaan duduk atau berbaring, malah sekadar dengan menggunakan anggota mata juga dibenarkan sekiranya tangan dan kaki mereka tidak mampu untuk berfungsi.
.
Begitu juga dalam hal berwuduk. Mazhab Hanafi, Syafi’I dan Hambali mengatakan tidak sah berwuduk dengan menggunakan air musta’mal. Namun berbeza bagi mazhab Maliki, Ibn Taimiah dan Ibn Qayyim yang tidak membezakan di antara air mutlak dan air musta’mal … selagi mana tidak berubah warna, rasa dan bau air tersebut, maka air tersebut sah digunakan untuk berwuduk.
.
Dari contoh pandangan mazhab yang dikemukakan di atas, apakah pandangan anda sekiranya khilafiah mazhabiah ini dilihat dari sudut yang amat sempit … bagaimana para penumpang kapal terbang ingin berwuduk sekiranya ditaqdirkan berlaku masalah bekalan air yang tidak mencukupi?
.
Mungkin ada yang menjawab … bertayammum je la !!
.
Baik, bagaimana pula sekiranya ada pendapat misalnya Ash-Syafi’iyyah yang mengatakan hanya sah bertayammum dengan menggunakan debu-debu tanah dan pasir sahaja, dan tidak sah dengan debu-debu dinding, bantal dan kerusi yang ada di dalam kapal terbang? Mana nak cari tanah dalam kapal terbang? Ini juga satu masalah !!
.
Mari kira kembali kepada senario pertama di atas pula.
.
Bagaimana pula kalau ada jemaah yang jenih was-was, tak habis-habis was-was … bukan jenis buat-buat was-was, tapi memang ditaqdirkan banyak sangat was-was? Bukankah akan menyusahkan puak was-was ini sekiranya dipaksa-paksakan mereka untuk terus solat tanpa melafazkan niat terlebih dahulu?
.
Walaupun kadang-kadang saya sendiri rimas dengan puak-puak was-was ini, tapi sekurang-kurangnya keharusan melafazkan niat itu sedikit sebanyak dapat memudahkan mereka memasang niat di hati untuk mendirikan solat serta meringankan kerungsingan saya yang berada di sebelahnya.
.
Jadi, apa penyelesaiannya?
.
Nak tak nak … saya rasa tiada jawapan lain untuk menyelesaikan semua permasalahan khilafiah ini melainkan dengan hanya mengatakan:
.
ANA BETUL, ANTA PUN BETUL
.




[1] Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai permasalahan ini, sila rujuk kitab-kitab usul dan kitab-kitab feqh Hanafi seperti Radul Mukhtar, Al-Ikhtiar dan Ma’ani Athar Lit Tahawi. WA

0 comments: