Sunday 16 November 2008

Beli gembira, susun sengsara ...

.
.
“Nak letak mana lagi almari tu, dah makin sempit dah bilik ni”, tanya mak sambil mengomel.
.
“Takpe, beli je dulu. Bila dah beli nanti, tau la nanti nak susun macam mana”, saya meyakinkan mak walaupun pada hakikatnya, saya sendiri pun pening nak susun macam mana kalau ditambah satu lagi almari buku.
.
Membeli buku bukan macam membeli barang mainan, boleh dibuang bila-bila masa bila kita dah bosan memilikinya. Buku tidak mempunyai had keperluan dan tempoh masa, tambah-tambah lagi jika ia mempunyai nilai ilmiah. Keperluan dan kepentingannya kekal sampai bila-bila walaupun pembelinya sudah tiada. Ia mempunyai nilai yang sangat tinggi dan manfaat yang sangat berguna kepada pecinta ilmu dan pembaca.
.
Syair arab menyebut:

فقم بعلم ولا تبغي به بدلا فالناس موتى وأهل العلم أحياء

"Pelajarilah ilmu dan janganlah mencari selainnya kerana semua manusia akan mati, tetapi ilmu akan terus hidup"

.
“Ana terkejut bila pergi bilik Prof. Dr. Aziz Bari”, cerita sahabat saya
.
“Kenapa?”, tanya saya
.
“Mana tidaknya, kalau pergi bilik dia, jangan harap la nak dapat duduk, kene berdiri je.. sebab bilik dia penuh dengan buku-buku hatta kat atas kerusi pun”, sambung beliau menceritakan tentang Professor yang menjadi kegilaan kebanyakkan pelajar Ahmad Ibrahim Kuliah of Law (AIKOL), UIA.
.
Alhamdulillah, saya berkesempatan menjadi anak murid beliau bagi subject Constitutional Law I ketika berada di tahun 2 pengajian di AIKOL.
.
Beliau memang seorang Akademis yang sangat ‘prominen’ di kalangan akademis, pengamal undang-undang dan politikus tanahair dan sangat aktif dalam menulis dan memberi pandangan berkenaan dengan isu-isu semasa yang bermain di dalam Negara hari ini.
.
Pandangan beliau yang kebanyakkannya sering tidak memihak kepada kerajaan telah menjadikan beliau dilihat sebagai seorang akademis yang kontroversi.
.
“I don’t mind if they want to sack me! There’re many places still offering me for this”, cerita beliau kepada sahabat saya.
.
Begitulah realiti seseorang yang punya prinsip hidup yang jelas, tidak gentar walaupun terpaksa dipecat daripada jawatannya. Yang penting, kebenaran perlu tetap ditegakkan dan amanah ilmu perlu dipelihara dan dilaksana. Saidina Ali ibn Abi Talib RA pernah mengatakan di dalam sebuah syairnya:

.
إن ألمت ملمة بي فإني في الملمات صخرة صماء
.
عالم بالبلاء علما بأن ليس يدوم النعيم والرخاء[1
.
KATEGORI BUKU
.
Saya membahagikan buku-buku saya kepada 3 kategori; Buku pengajian, buku rujukan dan buku bacaan sendiri. Dalam erti kata lain, bukan kesemua buku-buku yang saya miliki merupakan buku-buku yang digunakan di dalam kelas, tetapi mencakupi buku-buku rujukan tambahan dan bacaan sendiri.
.
Ini adalah kerana, sistem pengajian universiti lebih bersifat ‘memandu’ di mana para pensyarah hanya berperanan menjelaskan maklumat-maklumat asas yang perlu difahami oleh para pelajar, dan selebihnya terletak di bahu para pelajar sendiri untuk mendalaminya.
.
Sebagai contoh, kami lebih banyak menggunakan ‘slide show notes’ yang disedikan oleh para pensyarah sebagai bahan rujukan untuk subjek undang-undang sivil di dalam kelas. Namun, keterangan yang diberikan di dalam nota tersebut merupakan rumusan penting yang diambil dari rujukan asal subjek tersebut, kerana satu semester (4 bulan lebih) tidak mencukupi untuk kami membuat rujukan terus terhadap sesebuah buku. Oleh yang demikian, seperti subjek Criminal Procedure Code (CPC), saya terpaksa membaca sendiri sehingga kadang-kala mencecah berbelas muka surat bagi satu sub-topik yang telah dirumuskan dengan hanya 3 ke 4 slides sahaja.
.
Erm, memang pecah kepala !!
.
Ini contoh bagi subjek sivil.
.
Bagi pelajar undang-undang yang mengambil sekali undang-undang Syariah(LLB.S), kami hanya diajar subjek-subjek Syariah Qonuniah sahaja seperti Ayat wa Ahadis al-Ahkam, Usul Fiqh, Fiqh al-Mu’amalat, Fiqh al-Jina’ie dan sebagainya. Manakala subjek-subjek lain seperti bahasa, aqidah, hadis dan tafsir yang tidak termasuk di dalam silibus pengajian kami, saya mempelajarinya secara bertalaqqi.
.
Dalam erti kata lain, ia merupakan initiatif sendiri di atas dasar minat dan kerana menyedari akan kepentingannya untuk berdepan dengan masyarakat kelak. Bagi saya, selain mengikuti perkembangan isu-isu semasa, amatlah dituntut untuk mendalami ilmu-ilmu agama bagi sesiapa yang ingin terjun ke dalam medan dakwah.
. .
Kebiasaannya, rujukan-rujukan tambahan mengandungi topik perbincangan yang lebih detail terhadap sesuatu masalah. Kita dapati kadang-kadang sesebuah buku hanya memfokuskan perbahasannya terhadap satu-satu topik sahaja. Keterangan dan penjelasannya juga lebih mendasar jika hendak dibandingkan dengan buku-buku asas yang digunakan di dalam kelas.
.
Selain daripada itu, kepelbagaian penulis juga amat penting sebagai pelengkap bagi sebahagian yang lain kerana terdapat sesetengah buku, perbincangannya terhadap satu-satu topik lebih mendalam berbanding dengan topik yang sama daripada penulis yang berbeza. Maka di sinilah kepentingan buku-buku rujukan tambahan kerana ia menyediakan maklumat-maklumat tambahan terutamanya ketika kajian khusus mengenai sesuatu topik atau subjek sedang kita jalankan.
.
ADAB PENYUSUNAN BUKU
.
Di antara cara membesarkan ilmu adalah dengan membesarkan buku-buku dan kitab, kerana ia merupakan alat kepada menyampaikan ilmu pengetahuan. Tanpa buku dan kitab, sudah tentu kita akan menghadapi kesukaran di dalam mendapatkan ilmu dan mengingatinya.
.
Justeru itu, penghormatan terhadap buku merupakan sesuatu perkara yang amat penting dan dituntut di dalam agama. Bukan saja buku-buku agama, malah terhadap buku-buku lain juga penghormatan tersebut perlu diberikan penghormatan di atas nama ilmu.
.
Selain daripada tidak meletakkannya di tempat yang salah dan hina, kita juga diajar mengenai adab-adab penyusunannya. Tetapi adab ini hanya dikhususkan kepada buku-buku agama sahaja kerana ia mempunyai perbezaan nilai di antara satu dengan yang lain, tidak pada buku-buku yang lain(selain agama). Namun, ia bukanlah tuntutan yang dikhabarkan di dalam hadith rasul SAW, tetapi merupakan adab yang diamalkan oleh para salaf dan generasi selepas mereka. .
.
Di antara semua jenis kitab yang anda miliki, dahulukan al-Quran dan tafsir di tempat yang tertinggi melebihi kitab-kitab lain kerana di dalamnya terkandung kalamullah berupa ayat-ayat al-Quran yang suci lagi mulia. Selepas itu barulah didahulukan kitab-kitab hadis Rasulillah SAW dan usulnya. Kemudian diletakkan kitab-kitab Fiqh kerana di dalamnya mengandungi ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulillah SAW. Kemudian barulah diletakkan kitab-kitab adab seperti kitab Tasawwuf, Akhlak dan Dakwah. Setelah itu barulah diletakkan kitab-kitab bahasa dan lughah.[2]
.
PENING
.
"Letak sekali la dalam library", mak mencadangkan.
.
"Tak nak la", saya tidak bersetuju dengan cadangan mak.
.
Saya lebih selesa mengasingkan buku-buku saya dengan buku-buku yang tersimpan di dalam library. Mudah untuk mencari dan membuat rujukan. Tapi masalahnya, saya dah pening tak tahu nak buat macam mana.
.
Beli gembira, susun sengsara ..
.
.
.
.
.
...................................................
.
[1] Saya tidak menterjemahkannya satu persatu kerana ia akan merosakkan keindahan syair ini. Cukuplah sekadar saya memberikan mafhum syair ini yang mana Saidina Ali mengatakan bahawa beliau adalah seumpama batu yang keras terhadap kecelakaan yang menimpanya. Maksudnya, walau apapun badai yang melanda, beliau tidak akan lemah, gentar dan berganjak dari prinsipnya seperti sifat batu yang keras. Beliau juga mengatakan bahawa kenikmatan dan kesenangan bukanlah perkara yang berpanjangan. Di dalam syair beliau yang lain, beliau mengatakan, sebagaimana tidak kekalnya kesenangan dan kenikmatan, maka begitulah juga dengan kecelakaan. Ruj: ((Diwan Ali))
.
[2] Untuk lebih lanjut, sila rujuk buku ((Makanatul Ilmi wal Ulama wa Adabu Tolibil Ilmi)), Syeikh Nuruddin al-Banjari al-Makki.

1 comments:

Anonymous said...

Teruskan usaha anda