Saturday 8 November 2008

Pada sebuah pertemuan yang bermakna ...

. .
“Saya rasa kalau awak bekerja lebih lama di sini, tentu awak akan mahir 3 bahasa .. bahasa Arab, Inggeris dan Bahasa Melayu”, saya berkata kepada Ustaz Abdullah yang berasal daripada Deobandi, India. Pekerja tetap kedai buku Fajar Ulung.
.
“Alaikumsalam ya Ustaz .. kaif haalukum”, belum sempat beliau menjawab soalan saya, Ustaz Abu Iman datang memberi salam kepada Abdullah.
.
“Haza sodiqi, Mohd Fitri min UIA”, berkata ustaz Abdullah kepada Ustaz Abu Iman.

“Huwa Malizi lakin yuhib yatakallam arabiyyah”, terang Ustaz Abdullah kepada Ustaz Abu Iman tentang saya dengan bahasa Arab ala Indianya.
.
Saya berdiri di penjuru counter pembayaran sambil melihat Ustaz Abdullah dan Ustaz Abu Iman berbual-bual mesra. Ustaz Abdullah memang seorang yang sangat mesra. Sifat ramah beliau membuatkan setiap orang yang datang selesa dengan layanannya. Sebelum itu, tempat beliau telah diisi oleh Abang Sufian, pelajar ‘postgrad’ UIA dari Thailand yang bekerja ‘part time’ di kedai buku itu.
.
“Saya dari kuliah mana?”, tanya Ustaz Abu Iman kepada saya.
.
“Ana min Syariah wal Qanun”, jawab saya ringkas.
.
“Aiwa!!”
.
“Saya nak tanya, awak rasa apakah antara asas-asas penting untuk mempelajari Syariah dan Qanun?”, tanya beliau kepada saya lagi.
.
Hati saya tiba-tiba bergerak kencang. Saya rasa masa tu muka saya memang pucat dah. Mana tidaknya, tiba-tiba baling bom macam tu pada saya.
.
“Erm, saya rasa bahasa ..”, lama saya melihat wajah beliau sebelum memberikan jawapan.
.
“Ya, itu syarat utama. Tetapi sebenarnya ada 3 asas penting yang perlu awak tahu”, beliau membenarkan jawapan saya sambil menjelelaskan dengan lebih detail berkenaan dengan ketiga-tiga syarat itu.
.
BAHASA ARAB

.
من تعلم العلوم بغير نحو كعنين يعالج فرج بكر

“Barangsiapa yang mempelajari agama tanpa asas bahasa Arab adalah seperti lelaki yang mati pucuk berangan-angan ingin menembusi kemaluan seorang gadis”
.
Muallim Buang memberikan penangan awal ketika pertama kali saya menadah Mukhtasar Jiddan dengan beliau, syarah kepada matan Ajrumiyyah. Pepatah itu masih segar lagi dalam ingatan saya walaupun sudah lebih 3 tahun masa itu berlalu.
.
Nak tergelak pun ada.
.
Tapi mungkin dengan ungkapan sebegitu membuatkan para pelajar sedar bahawa teruknya mereka yang belajar agama tanpa asas bahasa arab seperti teruknya seorang suami impoten yang berangan-angan untuk menggauli isterinya. Berangan-angan hendak membaca kitab, tetapi bahasa arab kelam kabut dan tunggang langgang. Baris entah ke mana, main sodok saja baca.
.
Erm, begitulah perumpamaannya.
.
Di dalam apa jua ilmu yang kita pelajari, tentu ada pra-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh para pelajar sebelum mereka menempuh ke dunia sebenar pengajian tersebut. Kegagalan memenuhi pra-syarat yang ditetapkan akan menyebabkan mereka berada dalam krisis untuk memahami pembelajaran yang diajarkan dengan pegap.
.
Begitulah halnya di dalam ilmu agama terutamanya yang berkaitan dengan Syari’ah. Pra-syarat yang diperlukan bagi melayakkan seseorang untuk mengikuti pengajian tersebut adalah lebih sukar berbanding dengan cabang-cabang ilmu agama yang lain seperti Usuluddin, Hadis dan Tafsir. Di antara pra-syarat yang ditetapkan di dalam pengajian Syari’ah adalah kelengkapan ilmu alat, khususnya Bahasa Arab.
.
“..Melalui bahasa arab kamu boleh memahami nas-nas al-Quran dan berupaya mengeluarkan hukum daripadanya”, kata Ustaz Abu Iman, menjelaskan kepada saya.
.
Kepentingan Bahasa Arab bukan sahaja kepada kewajipan memahami setiap maknanya, tetapi lebih dari itu, para pelajar perlu tahu kaedah-kaedah bacaan yang telah ditetapkan oleh para Nuha’(ahli nahu) di dalam kitab-kitab nahu dan saraf. Ini adalah kerana, kesalahan pada meletakkan baris bacaan akan menjejaskan maksud sebenar ayat tersebut, lalu menyukarkan mereka untuk memahami maknanya yang tepat, apatah lagi untuk mengeluarkan hukum daripadanya. Contoh paling mudah yang boleh diambil adalah:
.
أكل ذيد السمك
.
Daripada contoh yang diberikan, makna ayat ini akan berbeza jika ia dibaca dengan baris yang berbeza seperti (i) akala zaidun as-samaka , dengan (ii) akala zaidan as-samaku. Makna bagi bacaan pertama adalah, Zaid telah makan ikan. Manakala makna bagi bacaan kedua adalah, Ikan telah makan Zaid.
.
Lihat bagaimana bacaan kedua telah menyelewengkan maksud sebenar ayat tersebut daripada Zaid makan ikan kepada Ikan makan zaid. Ini baru contoh mudah, bagaimana pula sekiranya ia melibatkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis nabi SAW?
.
Baik, cuba kita perhatikan satu contoh ayat al-Quran yang dikeluarkan hukum daripadanya dengan berdasarkan penilaian bahasa. Antaranya ayat 227 daripada surah al-Baqarah:
.
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ

.
Ulama Hanafiah dan Syafi’iyyah berbeza pendapat tentang waktu iddah perempuan yang diceraikan oleh suaminya. Adakah sebanyak tiga kali suci atau tiga kali haid?
.
Ini adalah kerana, lafaz قُرُوءٍ mempunyai dua makna yang sah (lafaz Mushtarak) di dalam bahasa arab samada at-Tuhr (suci) ataupun al-Haidhah (haid).
.
Oleh itu, untuk memastikan ketepatan maksud lafaz tersebut, para ulama mengeluarkan hukum berkaitan ayat ini berdasarkan kepada penilaian bahasa.
.
Ulama Hanafiah, mereka melihat lafaz ثَلَاثَةَ pada sifatnya yang Am ataupun yang Khas. Nombor termasuk di dalam lafaz ‘khas’ kerana bilangannya tidak boleh berubah samada berkurangan atau bertambah. Dalam erti kata lain, sesiapa pun akan mengatakan bentuk tiga itu sebagai nombor tiga, bukan satu atau dua. Justeru itu, untuk memastikan nombor tiga kekal sebagai tiga tanpa sebarang pengurangan dan penambahan, maka lafaz yang paling sesuai untuk قُرُوءٍ ini adalah lafaz al-Haidhah.
.
Ini adalah kerana, si suami diharamkan menceraikan isterinya ketika beliau sedang berada dalam keadaan uzur. Keharusan tersebut hanya dibenarkan ketika si isteri berada di dalam keadaan suci. Mereka berpendapat, jika berpegang kepada pendapat as-Syafi’iyyah, syarat lafaz ثَلَاثَةَ tidak akan terpenuhi sekiranya si suami menceraikan isteri contohnya di pertengahan bulan. .
Berbeza dengan Ulama Syafi’iyyah, mereka berpendapat bahawa lafaz ثَلَاثَةَ terbit dengan lafaz ta’nis (female). Di dalam kaedah nahu, apabila (‘adad) nombor itu adalah Muannas (female), maka lafaz selepasnya (ma’dud) mestilah Muzakkar (male). Oleh itu, maksud yang paling tepat bagi قُرُوءٍ adalah at-Tuhr kerana ia datang dengan lafaz muzakkar. Maka selesainya tempoh iddah perempuan tersebut setelah beliau melalui 3 kali suci secara berturut-turut selepas beliau diceraikan oleh suaminya.
.
Lihat bagaimana peranan kaedah nahu dan saraf begitu sekali penting di dalam pembentukkan hukum fiqh, yang sekiranya kita tidak mempunyai asas mengenainya, apakah kita berkemampuan untuk memahami punca dan pokok perbezaan yang berlaku di kalangan mereka?
.
MUSTOLAH HADIS
.
“Ustaz .. Fitri, sila duduk dulu la. Saya hidangkan air untuk antum berdua”, pelawa Ustaz Abdullah.
.
“Tak pe lah ustaz. Jazakallahu khair …”, saya membalas. Ustaz Abu Iman pun membalas kata-kata yang sama.
.
“Eh, tak pe. Adat di India macam tu. Kalau ada tetamu, kami akan hidangkan air”, Ust Abdullah membalas.
.
“Antum mahu air apa … teh? Kopi?”, beliau bertanya lagi.
.
“Apa-apa la ustaz”, saya menjawab.
.
“Baik, yang kedua adalah mustolah hadis”, Ustaz Abu Iman menyambung penjelasannya.
.
“Kita akan tahu bagaimana nak berdepan dengan hadis-hadis yang saling berta’arud(bertembung), bagaimana dengan hadis marfu’, mauquf dan sebagainya..”, ujar beliau.
.
Ilmu mustolah hadis adalah diantara ilmu alat yang tidak kurang pentingnya di dalam pengajian agama. Ilmu ini mendedahkan kepada para pelajar tentang kategori hadis serta syarat-syarat pengketegoriannya seperti hadis Mutawatir dan Ahad serta hadis Sahih, Hasan dan Dhoif. Apakah perbezaan antara Hasan dan Hasan Sahih di dalam At-Tirmizi? Mengapa timbulnya istilah tersebut?
.
Manakah yang perlu diberikan keutamaan apabila berlakunya pertembungan di antara perbuatan nabi dan percakapan nabi? Bagaimana sekiranya berlakunya pertembungan antara hadis sahih dengan hadis sahih yang lain dengan matan yang berbeza bagi topik yang sama?
.
Apakah hadis Dhoif akan kekal dengan keDhoifannya tanpa boleh dinaik taraf kepada Hasan Li Ghoirihi? Apakah boleh beramal dengan hadis Dhoif dan apakah syarat jika ingin mengamalkannya?
.
Apakah maksud hadis Mauquf, Marfu’, Inqita’, Munqati’, Mursal dan Musalsalat? Apakah kedudukannya di sisi ahli feqah dan ahli hadis serta hukum berhujjah dengannya?
.
Semua contoh-contoh persoalan yang diberikan adalah antara perkara penting yang perlu diperhalusi oleh setiap para pelajar yang ingin meneruskan pengajian mereka di dalam bidang Syari’ah dan Hadis.
.
Selain pegangan tauhid yang goyah, wujudnya golongan Anti-Hadis yang mempertikaikan hadis-hadis nabi SAW adalah berpunca daripada kejahilan mereka berkenaan ilmu mustolah hadis.
Para ulama telah beratus tahun mengkaji permasalahan-permasalahan yang berkaitan dengan hadis dan akhirnya membukukan pelbagai kaedah mengenainya.
.
Jadi, sekiranya mereka mampu memahaminya dengan baik, maka tidak akan berlaku sebarang permasalahan apabila berlakunya pertembungan di antara satu hadis dengan hadis-hadis yang lain.
.
USUL FEQH
.
“Baik, awak rasa yang ketiga apa?”, tanya ustaz Abu Iman lagi kepada saya.
.
“Usul Feqh …?”, saya pantas menjawab.
.
“Aiwa”, belia membalas ringkas.
.
“Ilmu ini mengajar kita bagaimana hukum feqh itu dikeluarkan dan mengapa berlakunya khilaf di kalangan ulama”, beliau menjelaskan.
.
Saya lebih banyak menganggukkan kepala daripada bercakap.
.
Ilmu ini sangat penting bagi pelajar Syari’ah. Saya rasa tidak lengkap sekiranya kita hanya mempelajari feqh tanpa mempelajari usul feqh. Ia saling berkaitan dan paut memaut.

Mengapa?
.
Kerana usul feqh merupakan ilmu yang mengumpulkan pelbagai kaedah dan dalil-dalil ijmali yang menghubungkannya kepada pengeluaran hukum.
.
Ia adalah ilmu yang menyampaikan kepada kita tentang hukum-hukum amali Syari’ah dan mendedahkan kepada kita turuq atau jalan-jalan pengistinbatan yang digunakan oleh para fuqaha dalam mengeluarkan pendapat mereka.
.
Mempelajari feqh hanya mendedahkan kepada kita hukum hakam yang telah tersedia dibina oleh para fuqaha misalnya, hukum takbiratul ihram adalah wajib, tetapi asas pengisbatannya tidak diperincikan. Maka usul fiqh mericikannya, iaitu kerana mengambil athar(kesan) daripada hadis nabi SAW yang mewajibkannya.
.
Di dalamnya, kita akan mempelajari 4 sumber-sumber hukum yang disepakati oleh para fuqaha seperti al-Quran, Hadis, Ijma’ dan Qias di samping sumber-sumber yang tidak disepakati seperti Istihsan, Istishab, Saduz Zari’ah, Qaul Sahabi, ‘Uruf, Syara’ min Qablina dan Masalih al-Mursalah.
.
Kita juga akan diajar tentang pembahagian hukum, syarat-syarat taklif, syarat-syarat mukallaf(orang yang menanggung beban taklif – manusia) serta pembahagian lafaz seperti lafaz Am, Khas, Mushtarak, Mujmal, Muqayyad dan sebagainya.
.
Contoh yang boleh kita ambil adalah berkenaan dengan halangan(maani') hukuman Qisas terhadap bapa yang membunuh anaknya secara sengaja.
.
Mungkin ada yang bertanya, mengapa macam tu plak? Kalau anak bunuh ayah kene Qisas tapi kalau ayah bunuh anak, tak kene plak? Ini tak adil ..!!
.
Nampak memang macam tak adil, tapi sebenarnya adil.
.
Kalau kita mempelajari usul feqh, para fuqaha menjelaskan bahawa halangan tersebut berlaku disebabkan oleh faktor ‘kebapaan’ yang ada pada si bapa. Dalam erti kata lain, status pembunuh sebagai ‘bapa’ kepada mangsa telah menjadi halangan daripada hukuman qisas dijatuhkan ke atasnya walaupun dia berkewajipan membayar diyyah (sejumlah wang) sebagai ganti kepada pembatalan hukuman qisas tersebut.
.
Matlamat hukuman qisas pula adalah untuk memberi pengajaran kepada si pembunuh, tetapi sifat ‘kebapaan’ yang secara normanya cinta, sayang dan kasihkan kepada anak-anaknya tidak cukup untuk hukuman itu memberi impak kepadanya.
.
Secara lumrahnya, seorang bapa tidak akan terlintas untuk membunuh anaknya walau sejahat manapun dia walaupun hati bapanya terseksa dan malu dengan sikap anaknya yang sebegitu. Kalaupun pembunuhan itu berlaku, penyesalan bapa di atas perbuatannya itu pasti tidak akan beliau maafkan kerana sifat kasih sayang yang secara semula jadi itu wujud di antara bapa kepada anaknya.
.
Kedua, kerana bapa adalah faktor wujud dan hidupnya seorang anak di muka bumi, maka tidak layaklah kewujudan anak itu menjadi faktor kepada hilangnya seorang bapa.
.
MINUM KOPI
.
“Ustaz .. Fitri, duduk dulu. Ini air kopi untuk antum”, pelawa ustaz Abdullah lagi.
.
“Ustaz, tafaddhal”, saya pula yang mempelawa ust Abu Iman duduk.
.
“La ba’sa. Antum dhoif huna … ijlis, ijlis”, jawab beliau.
.
“La ba’s ustaz. Ana ma ziltus Syabab”, saya memaksa beliau duduk.
.
Ustaz Abdullah pun kemudiannya mengambil satu lagi kerusi untuk kami. Dengan hidangan kopi yang enak baunya, kami meneruskan perbualan. Ustaz Abu Iman tidak berhenti-henti bercakap, memberi pandangan dan nasihat. Sambil-sambil itu, Ustaz Abdullah pun kadang-kadang mencelah juga bertanyakan tentang pengajian ‘master’nya kepada ust Abu Iman.
.
Saya terpaksa mendengar ucapannya dengan baik kerana ucapannya laju dan lahjah(loghat)nya pekat. Kadang-kadang ada ucapannya yang tidak dapat saya tangkap tapi saya cuba mengambil kesimpulan daripada ucapannya.
.
“Ustaz, kalau tak keberatan, boleh tak saya nak bertanya sesuatu?”, saya bertanya.
.
Dia mengangkat bulu keningnya tanda membenarkan.
.
“Ustaz pensyarah di UIA ke?”, saya bertanya.
.
Erm, patutlah beliau tanya soalan begitu, rupa-rupanya beliau pernah menjadi pensyarah di Jami’ah Iman di San’a, Yaman. Kedatangan beliau ke sini adalah dalam proses menyiapkan PhD beliau di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai. Namun bukan di dalam bidang agama, tetapi pendidikan.
.
Proses pembelajaran di Jami’ah Iman katanya memang tinggi. Untuk mendapat ‘Bachelor in Syari’ah’, para pelajar mesti menamatkan tempoh pengajian lengkap selama tujuh tahun di sana dengan syarat-syarat pengajian yang ketat. Sekiranya mereka menamatkan pengajian selepas tempoh empat tahun, mereka hanya akan diiktiraf sebagai pelajar lepasan Diploma sahaja.

Patutlah huruf Qaf bunyi Ga, rupa-rupanya orang Yaman.
.
Setelah puas kami berbual, akhirnya kami berpisah di pintu kedai buku Fajar Ulung. Beliau berjalan menuju arahnya, saya berjalan dengan bekalan nasihat.
.
“Khair Ustaz Abdullah … Assalamualaikum”, di depan pintu itu saya memberi salam.
.
“Alaikumsalam …”, balas beliau dengan iringan senyuman.
.

0 comments: