Friday 15 May 2009

Anai-anai Jalan Raya




Salam ..

Beberapa hari yang lalu, Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Menteri Pendidikan Malaysia telah menimbulkan rasa kerisauan beliau mengenai gejala Mat Rempit yang sudah semakin menjadi-jadi di dalam negara. Ini menunjukkan bahawa gejala ini sudah meningkat menjadi isu nasional.  

Berleluasanya permasalahan ini sehingga ia menjadi polemik semasa masyarakat setempat, dan apa yang lebih mendukacitakan kita ialah, di sana masih belum terdapat lagi jalan penyelesaian terbaik bagi mengurangkan penyakit golongan remaja ini.  

Namun persoalannya, di sana sudah dilaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan isu sosial ini seperti menyediakan trek perlumbaan dan sebagainya. Akan tetapi mengapa seolah-olahnya masih belum berjaya menampakkan sebarang kesan, malah kian hari kiran meruncing. 

Bagi saya, ia bukan isu yang boleh dikesampingkan. Ia adalah isu nasional yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak. 

Ramai di kalangan masyarakat yang terganggu dengan gejalan ini. Isunya berbeza jika mereka berlumba di tempat-tempat yang jauh dan terasing dari masyarakat. Tetapi yang menjadi masalahnya, mereka telah menyalahgunakan jalan raya awam sehingga mengganggu keselamatan pemandu-pemandu lain yang sedang menggunakan jalan raya tersebut. Saya sendiri berpengalaman dihimpit oleh puluhan motor mat-mat rempit sekitar jam 12 malam di Jalan Tun Dr Ismail suatu ketika dahulu. Memang agak menakutkan. Mereka berkuasa di atas jalan seolah-olah seperti raja dan saya pula yang terpaksa berhati-hati dengan kemabukkan mereka. Bermacam-macam cara yang menggayatkan cuba dipamerkan. Entah saya sendiri pun tidak tahu apa istilahnya. 

"Anas, apa istilah illegal racing di dalam bahasa arab?", saya bertanya beliau yang berasal daripada Mesir.

"Erm, entah la .. ana pun tak tahu", jawab beliau sambil cuba memberikan beberapa istilah-istilah yang sesuai seperti "Musabaqah Ghoir Qonuniyah" dan sebagainya.

"Ada ke perlumbaan haram di negara kamu?", saya bertanya lagi.

"Entah la, saya rasa tak ada", jawab Anas. 

Daripada perbualan ini, timbul beberapa persoalan yang sering bermain di fikiran saya:

1) Mengapa ia hanya berleluasa di kalangan remaja-remaja Melayu kita dan tidak pada bangsa yang lain?

2) Kalau alasannya adalah terpengaruh, mengapa ia hanya berlaku di Malaysia dan tidak berlaku di negara-negara lain atau jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Singapore? (Kalaupun ada, mungkin tidak sehebat Malaysia)

Adakah anda mempunyai jawapannya?

Bukan sekadar itu, kita juga amat risau kerana masalah ini tidak terhenti di situ saja. Malah ia turut membiak kepada kejadian-kejadian negatif yang lain seperti pembunuhan, perjudian, pelacuran, mabuk dan sebagainya. Ia boleh dikatakan seperti anai-anai yang membiak-biak dengan cepat yang jika tidak dihapuskan dengan segera, tidak mustahil ia mampu meruntuhkan sebuah rumah.   

Oleh itu, saya amat mengharapkan agar semua pihak samada pihak kerajaan, parti politik, NGOs ataupun persatuan memberikan perhatian terhadap permasalahan serius ini dan mencari solusi terbaik bagi membendung gejala ini daripada terus merebak dan berleluasa. 

Kita memerlukan pendekatan jangka masa pendak dan panjang terhadap isu nasional ini.   

Mari bekerjasama mencari jalan penyelesaiannya. 


   

0 comments: