Friday 15 May 2009

Generasi Masa Hadapan adalah Tanggungjawab Kita Hari Ini


"Assalamualaikum Yasir", saya menerpa dari arah belakangnya.

"Waalaikumsalam", balas beliau yang sedang duduk di atas motor yang diletakkan di tengah-tengah kaki lima antara Bank Muamalat dan Bank Islam di UIA.

"Kaif halukum?", saya berbahasa arab dengan beliau petang itu.

"Alhamdulillah khair. Intahaitad dirasah?", tanya Yasir yang tampak berseri di wajahnya. 

"Eh, intahaitul an. Anta?", saya mengiyakan. 

"Intahaitud dirasah fi November", balas beliau yang merupakan anak watan negeri Sabah yang datang dari jauh menuntut di UIA. Saya mengenali beliau semenjak di matrik lagi, seingat saya ketika kami disatukan dalam satu kumpulan Halaqah di bawah pengelolaan UIA.  

"Owh, 'indakum baqia wahid semester!?", saya terkejut, kerana kalau ikut perkiraan, sepatutnya pengajian beliau perlu tamat lebih awal atau sama dengan saya.     

"La', ya'ni fi semester madhi", jelas beliau.

"Ooo, azhunnu lamman tahaita. Ya'ni khalasta fi semester madhi?", saya bertanya lagi. Manis mulut.

Beliau mengangguk membenarkan pertanyaan saya. Kemudian kami terus berberbual-bual. Saya yang sambil berdiri di sebelah motornya dan Yasir pula yang sedang duduk di atasnya dengan bertongkatkan kaki kirinya ke tanah masing-masing bertanyakan mengenai perancangan masing-masing .. ke mana dan apakah yang ingin dilakukan selepas ini. 



Wajahnya sentiasa didongakkan ke arah masjid UIA yang betul-betul bertentangan dengan kedudukannya. Hanya kadang-kadang saja beliau mengarahkan penglihatannya ke arah saya. Entah apa yang sedang beliau fikirkan saya tak tahu. Mungkin kerana masih belum puas melihat kecantikan seni bina UIA yang ala-ala seni bina Islam sambil menikmati kenyamanan udara petang yang sejuk dan berangin itu.     

"Ok la Yasir. Ana nak kene pergi dah ni. Good luck. Kalau ada rezeki boleh kita jumpa lagi insyallah", saya bersalaman dengan Yasir setelah berbual lama. 

"Quwayyis !", balas beliau 

"Aaa !", saya merapatkan telinga saya ke arahnya kerana tidak dapat menangkap kata beliau itu. 

"Quwayyis marrah .. 'baik sekali'. Hye, takkan dah pergi ziarah ke tempat arab pun tak tau maksud ni?", sambil tersenyum Yasir bertanya. 

"Oooo .. quwayyis. Faham-faham. Cuma lambat sikit nak recall sebab dah lama tinggalkan lahjah 'ammi ni", balas saya tersenyum sipu.  

Setelah itu, kami pun berpisah. Saya menuju ke arah kereta saya sedangkan Yasir masih tidak berganjak dari tempatnya. 

Semasa baru saja sampai ke Syria, saya tidak berani untuk berjalan seorang diri kerana masih tidak biasa dengan slang atau lahjah 'ammi yang digunakan oleh orang-orang tempatan. Tetapi setelah beberapa hari meneliti dan mendengar kalimah dan percakapan yang digunakan disamping bertanya kepada rakan-rakan yang tinggal di sana, saya semakin yakin untuk keluar sendirian. 

Namun malang sekali, banyak kalimah, istilah-istilah dan percakapan harian yang digunakan di sana tidak saya simpan, malah tidak diamalkan di sini sehingga banyak yang saya lupa, antaranya seperti meminta pemandu van atau teksi untuk berhenti di tepi jalan atau simpang, meminta dibungkuskan makanan dan sebagainya.     

SYNDROM TAKUT

Namun saya masih tetap bersyukur kerana selama berpayung di bawah teratak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), antara sumbangan besar yang ia telah berikan kepada saya ialah, ia telah menyediakan satu suasana lanskap pendidikan yang menggalakkan kita untuk mempertajamkan bahasa.

Saya tidak pasti bagi orang lain. Tetapi bagi saya, di sinilah tempat mulanya saya mangasah kemampuan saya berbahasa Inggeris dan Arab. 

Keberanian saya bermula di sini.

Saya masih ingat lagi ketika kelas Englis semasa tingkatan 3 dahulu, kami ditugaskan oleh Mu'allimah Norbaya untuk membentangkan kerja berkumpulan kami di depan kelas di dalam bahasa Inggeris. Setiap kumpulan perlu melantik seorang wakil ke depan kelas untuk membentangkan setiap hasil kerja berkumpulan mereka. Dalam kumpulan saya, tak semena-mena ahli kumpulan telah sebulat suara melantik saya sebagai wakil kumpulan untuk membentangkan hasil kerja kami. 

Yang lebih menggerunkan, saya pula yang disuruh menjadi pembentang pertama.  

Waduh, waduh, waduhhh ...

Allah saja yang tahu bagaimana saya bercakap Inggeris pada waktu itu. Bak kata orang ... asal jalan sudah. Bahkan gementar itu masih belum hilang walaupun setelah selesai membentang. Takut.  

LIDAT LIAT

"Budak-budak ni ana dah khususkan sabtu dan ahad untuk kelas bercakap je", cerita ustaz Fakhrurrazi mengenai perjalanan sekolahnya.

"Owh yeke. Habis tak mengaji ke nahu sorof semua tu?", saya bertanya

"Yang tu dah ngaji dah dalam kelas isnin sampai jumaat. Sabtu dan ahad ni hari untuk belajar bercakap je", jelas ustaz sambil duduk-duduk di meja bulat bawah pokok.

"Ana nak dorang semua mahir bercakap dulu, kemudian baru dibetulkan dengan grammar arab yang dorang ngaji tu", sambung ustaz lagi.

"Ye la, bercakap dalam keadaan dah tahu grammar ni ana rasa payah lagi dari bercakap dalam keadaan tak tahu apa-apa, sebab bercakap dengan tahu grammar ni yang buat kita takut nak bercakap, takut silap", saya memberi pandangan.

"Tu la, sebab tu ana buat kelas ni supaya dorang dapat kedua-duanya", balas uztaz.  

Lidah ini seperti tepung yang tidak diuli. 

Liat.

Tetapi semakin lama ia diuli, pasti ia akan menjadi semakin lembut. Ia perlu sentiasa diuli melalui proses percakapan dan pertuturan. Grammar, nahu dan sorof hanya berperanan sebagai tangan-tangan yang mengadunkan. Begitu juga dengan bi'ah dan suasana. Semua ini berfungsi sebagai alat untuk membantu kecekapan kita untuk bertutur dan menulis. Akan tetapi, kecekapan bercakap itu asasnya adalah pada keberanian kita untuk bertutur. Letaklah kita di mana sekalipun dan ajarlah setinggi manapun ilmu bahasa itu, selagi kita enggan bercakap dan bertutur, selagi itulah lidah kita akan liat dan keras seperti tepung yang tidak diuli. 

PERBUALAN DENGAN SYEIKH OTHMAN 

"Owh, azhunnukum minal 'arab", saya terkejut dengan beliau yang terlalu fasih bercakap arab.

"La', ana minal 'ajam misl antum", jelas beliau.

Saya sangkakan beliau anak kelahiran Saudi kerana ramai juga warga Saudi yang berkulit hitam. Rupanya beliau adalah warga negara Gana yang majoritinya Kristian dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium rasmi pertuturan. 

"Kenapa tuan tidak menggunakan bahasa Gana sebagai bahasa rasmi negara?", saya bertanya.

"Gana mempunyai banyak qabilah dan setiap qabilah mempunyai bahasanya yang tersendiri. Terlalu sukar untuk kerajaan menetapkan satu bahasa standard untuk kami. Jadi sebagai jalan penyelesaiannya, kami menggunakan bahasa Inggeris", ulas beliau.

"Habis di mana tuan belajar bahasa arab ni?", tanya saya ketika kami sedang berbual-bual di dalam musolla Sidiq selepas selesai solat Maghrib berjemaah. 

Sejak sekian lama mempelajari kitab hadis sendirian daripada beliau, baru saat itu kami berpeluang untuk berbual-bual panjang. Itupun kebetulan kerana saya ingin memberitahu keuzuran saya tidak dapat hadir pada beberapa kelas sebelumnya. Disebabkan pengajian dibuat selepas solat subuh, masa hanya cukup untuk mengaji saja kerana saya mempunyai kelas di waktu pagi dan beliau pula ingin mengulang bacaan al-Qurannya. Jadi masing-masing tidak punya masa untuk berbual-bual panjang. 

"Semua itu saya dapat semasa di sekolah dulu. Semasa di sekolah rendah, ustaz-ustaz mengajar di dalam bahasa Inggeris. Tetapi setelah masuk ke sekolah menengah, semuanya diajar dalam bahasa Arab. Kami pun diwajibkan bahasa arab juga", cerita beliau.

"Kemudian saya sambung belajar di Madinah. Di situpun sudah bahasa arab", sambung beliau lagi.

Lama juga kami berbual, sehingga tidak sedar telah masuk waktu Isyak. Saya sangat ta'ajjub dan kagum dengan kemampuan bahasa arabnya. Walaupun beliau bukan arab, tetapi beliau mampu memberikan khutbah ringkas yang kadang-kadang diadakan selepas solat di hadapan orang-orang arab.          

"Ana uhibbu an atakallam fi lughatil arabiah. Ma hia nasihatuka 'alayya likai yumkin akunu misluk?", saya mengambil peluang untuk mendapatkan nasihat beliau.

"Untuk dapat semua itu, kamu mesti banyak mendengar, membaca dan selalu berlatih. Saya pun bukan arab macam kamu juga, tetapi sebab pembelajaran saya dalam bahasa arab sejak sekolah lagi, jadi di situlah saya belajar. Insyallah dengan latihan kamu akan mahir bercakap", nasihat beliau. 

Setelah itu, kami pun bangun menunaikan solat sunat Isyak dan beliau mengimamkan jemaah kemudiannya.

PPSMI PERLU DIMANSUHKAN



Isu ini memang sudah lama.

Tetapi perjuangan untuk menghapsukannya masih segar dan perlu diteruskan. Ia bukan agenda politik untuk meraih simpati rakyat, tetapi merupakan agenda rakyat dan suara ibu bapa yang tidak mahu menggadaikan masa depan anak-anak mereka. 

Bukan pada pembelajaran bahasa Inggeris itu yang kita tentangi, tetapi kami menentang pada perlaksanaannya kepada subjek Sains dan Matematik. 

Itu yang kami persoalkan. 

Semasa ceramah PPSMI yang dianjurkan oleh TERAS beberapa hari yang lalu di Ipoh, YAB Datok Seri Ir Nizar Jamaluddin ketika di awal perlantikannya sebagai Menteri Besar Perak dulu menjelaskan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan khas dengan Datok Seri Hishamuddin Tun Hussein yang merupakan Menteri Pendidikan semasa itu. Beliau yang datang mewakili hasrat seluruh rakyat Malaysia memohon dan meminta agar PPSMI ini dihapuskan. Namun beliau menceritakan betapa hasrat itu langsung tidak dihiraukan, bahkan Datok Seri Hishamuddin menjawab, "Frankly speaking, I'm not really clear about its certainty".

Ini menunjukkan betapa kerajaan tidak serius dalam perlaksanaan pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris sehingga Menteri Pendidikan sendiri boleh menjawab sedemikian. Bahkan lebih teruk dari itu, beliau secara khususnya dan kerajaan secara umumnya langsung tidak mempedulikan hasrat dan tuntutan rakyat, apatah lagi - saya percaya - untuk mengadakan sidang meja bulat bagi mengkaji dan mempertimbangkan semula perlaksanaan ini secara serius.    

Bahkan, seperti mana yang diulas oleh Datok Seri Nizar, tujuan utama perlaksanaan ini adalah bagi melumpuhkan perkembangan sekolah-sekolah agama rakyat yang kian mendapat tempat di mata ibu bapa memandangkan sekolah-sekolah kerajaan gagal untuk membentuk akhlak dan keperibadian anak-anak mereka menjadi insan yang baik. Mereka sedar yang guru-guru SAR ini kebanyakkannya adalah daripada guru-guru sukerala tidak terlatih. Oleh itu dengan perlaksanaan PPSMI ini secara tidak langsung akan menyulitkan lagi guru-guru tidak terlatih ini dan di dalam masa yang sama menimbulkan rasa keraguan kepada ibu bapa akan kemampuan mereka untuk mengajar subjek-subjek ini di dalam Bahasa Inggeris. Kesannya, di Perak sebagai contoh, daripada 48 buah SAR kini hanya tinggal 22 buah SAR saja yang masih beroperasi. Itupun dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. 

Kalau kerajaan benar-benar ikhlas untuk membangunkan generasi muda Malaysia ke arah sebuah generasi yang maju dan berdaya saing di dalam bidang Sains dan Matematik, mengapa mengeluarkan pekeliling yang berbeza di antara sekolah-sekolah melayu dan sekolah jenis kebangsaan China? Mengapa kepada sekolah melayu, PPSMI diwajibkan sedangkan kepada SJK China diberi pilihan antara bahasa Inggeris dan China? 

Bukankah ini satu motif politik?

PERKEMASKAN SISTEM PEMBELAJARAN

Sebab itu, untuk menaik taraf kemampuan bahasa Inggeris anak-anak muda hari ini, apa yang perlu kita lakukan ialah dengan memperkemaskan sistem pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri ... bukan dengan menyucuk punggung bila gigi yang sakit.     

Guru-guru perlu diberikan latihan secukupnya samada dari sudut penyampaian dan silibus subjek tersebut. Penguatkuasaan juga perlu lebih diperkuatkan dengan mewajibkan setiap kelas bahasa Inggeris agar menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran. Para pelajar juga perlu dilatih bahkan diwajibkan berbahasa Inggeris bermula sejak awal persekolahan lagi. Selain itu, perbanyakkan program-program yang menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris bagi membiasakan para pelajar dengannya.

Di UIA sebagai contoh, semuanya diajar di dalam bahasa Inggeris kecuali Fakulti Ilmu Wahyu dan subjek-subjek Undang-Undang Syariah saja yang menggunakan Bahasa Arab sebagai medium pempelajaran. Bukan sekadar itu saja, program-program universiti juga memanfaatkan bahasa Inggeris ketika menjalankan program. Khutbah jumaat pun begitu, khatib hanya dibenarkan samada untuk menggunakan bahasa Inggeris atau Arab atau kedua-duanya ketika menyampaikan khutbah. 

Pelajar-pelajar UIA

Oleh itu, secara tidak langsung kaedah ini akan menggalakkan para pelajar untuk belajar dan mempertingkatkan penguasaan mereka di dalam kedua-dua bahasa ini. Bahkan ramai juga pelajar terutamanya dari Tanah Besar China dan segelintir pelajar-pelajar arab dan afrika yang dulunya tidak tahu berbahasa Inggeris, tetapi meningkat sedikit demi sedikit disebabkan oleh pengaruh suasana yang membina.    

Sekurang-kurangnya, kalaupun tidak sefasih mana, setidaknya ia telah menyediakan ruang dan peluang untuk para pelajar menyemai sifat berani dan minat untuk mencuba.  

Itu yang penting.

Oleh itu, sebagai seorang yang cintakan negara, saya memohon agar para pembaca sekalian memberikan pengajaran kepada UMNO dan Barisan Nasional di dalam PRU-13 yang akan datang selagi isu PPSMI ini tidak diselesaikan kerana kita tidak mahu para pemimpin yang tidak serius untuk membangunkan sebuah generasi masa hadapan. 

Kalau tidak .. mereka hanya kenyang perut dan generasi kita makin tergadai. 

Ketahuilah bahawa kita bertanggungjawab hari ini demi kejayaan sebuah generasi masa hadapan


0 comments: