Tuesday 12 May 2009

Pastikan secukup rasa ..

"Fitri malam ni giliran anta memasak", tegas Fizi, tuan rumah ketika kami di Syria dulu.

"Yeke, lupa plak. Ok-ok", saya membalas.

Petang itu saya dan Aiman Aizuddin keluar bersama-sama ke Suq Sarijeh untuk membeli peha dan kepak ayam. Saya tidak ingat berapakah harganya waktu itu. 

Itu kenangan kira-kira 3 tahun yang lalu. Dah lama sangat rasanya saya tidak memasak.



Seingat saya, itulah kali terakhir saya sungguh-sungguh memasak. Kami yang tinggal sepuluh orang serumah terpaksa membahagikan jadual memasak untuk memastikan waktu makan terurus dan semua orang tidak kelaparan. 

Namun, disebabkan masing-masing mempunyai perancangan di siang harinya, maka kami memutuskan untuk makan bersama pada waktu malam saja manakala waktu pagi dan tengaharinya terpulang kepada kehendak masing-masing. Lagipun di siang harinya masing-masing tiada di rumah. Ada yang ke kelas, ke Cyber Cafe, menadah kitab, berjalan-jalan ke pekan dan sebagainya.

"Ya mu'allim, shawarma wahid ..", saya memesan kepada tokey kedai yang dipanggil mu'allim. Inilah makanan seharian saya kalau berada di luar kerana harganya murah dalam LE 2.50 dan mudah pula didapati di mana-mana. 


Shawarma


Fosihah, semacam Pizza yang serba ringkas. Intinya pelbagai.

Ataupun kalau tidak ke mana-mana, busuk-busuk pun, saya membeli maggi buatan Malaysia di kedai runcit berdekatan dengan rumah. Dalam 2 minit saja berjalan. Harganya baru LE 10. Kenyang juga walaupun hanya mengunyah tepung maggi dan menghirup kuah. Begitulah, bila dekat jeling-jeling, bila jauh rindu-rinduan. Itulah maggi buatan Malaysia. 

Walaubagaimanapun, itulah adat dalam bermusafir, perlu dahulukan rasa susah sebelum memikirkan rasa senang. Banyak yang saya belajar ketika berada di sana.  

Tapi dalam sepuluh orang itu bukanlah semuanya tahu memasak. Yang memasak mungkin dua orang saja, manakala 2 orang lagi ada yang membeli bahan memasak, beras, membancuh air dan sebagainya. 

Walaupun saya bukanlah tahu sangat memasak, tapi saya merupakan diantara orang yang memasak. 

"Campur je rempah kari dan kurma tu sekali, biar pekat sikit", Aiman memberikan cadangan.

Saya pun tak tahu entah dari mana resepi tersebut dia dapat. Tapi sedap juga. 



Syria tidak seperti di Malaysia. Kita beruntung kerana dianugerahkan dengan pelbagai jenis perkara yang boleh dimakan. Jangan mimpilah untuk makan ikan, udang, ketam dan sotong kerana harganya mahal. Bahkan susah sekali untuk bertemu dengan orang yang menjualnya. Yang ada hanya ayam dan kambing. Bagi kami yang bermusafir ni, hanya kepak dan peha ayam saja yang layak untuk kami makan sebab bahagian lainnya agak mahal. 

Saya pun dah lupa apakah istilah peha dan kepak yang disebut oleh mereka di sana. Erm, rugi benar rasanya. 

"Emak, seminggu dua ni jangan masak ayam. Adik dah tak lalu dah nak tengok ayam je", saya pinta kepada emak semasa awal-awal kepulangan ke Malaysia.

Kembali.

Jadi, bila perkaranya sama, maka masakannya juga tidak jauh berbeza. Balik-balik pusing lauk yang sama... masak kari, kurma dan kicap. Cuma seingat saya, hanya sekali saja kami dihidangkan dengan ayam masak tomato. Wah, enak sungguh lauk yang dihidangkan pada hari itu. Terima kasih Shahir kerana menyediakannya untuk kami.    

HARI NI SAYA KEMBALI KE DAPUR

"Adik masak boleh hari ni?", mak yang sedang duduk sambil menggosok baju di ruang rehat rumah bertanya.

Oleh kerana sudah hampir seminggu pembantu rumah kami tidak datang bekerja kerana sakit, baju di dalam bakul pula semakin berlonggok-longgok tidak bergosok. Jadi terpaksalah mak yang menggosoknya.   

"Nak masak ape mak?", saya lantas keluar dari bilik meluru ke arah mak.

"Mak dah keluarkan ayam dan ikan kat dapur tu. Masak la ayam masak halia ke, yang ikan tu masak celok plak", jelas emak.

"Erm, elok gak aku masak. Dah lama rasanya tak memasak ni", hati saya berkata-kata.

Lagipun kasihan tengok mak sudah berhari-hari menggosok baju. Jadi eloklah rasanya saya meringankan beban emak. 

Saya tuntas turun ke dapur untuk memasak. Maklum la sudah lama jari-jari ni tidak menari-nari di depan kuali, agak keras juga di peringkat awalnya dan banyak yang saya lupa. Apa yang perlu didahulukan serta apa pula ingredien-ingrediennya. 

Tapi alhamdulillah, atas bantuan sikit-sikit dari mak, inilah hasilnya ... Silakanlah menjamu selera.   

Ikan masak celok

Ayam masak halia


0 comments: