Thursday 7 May 2009

UMNO pencuri, perompak, penyamun & maling di siang hari

Salam perjuangan ..

Ketika Pakar Sains Politik dari UKM, Dr. Hassan Hasbullah ditemubual oleh wakil dari program Agenda Awani di Chanel 501 Astro malam tadi, beliau mengulas bahawa kebanyakkan komen-komen dari rakyat di dalam Facebook menyatakan kekesalan terhadap apa yang telah berlaku siang tadi di Dewan Undangan Negeri Perak. Kekesalan ini berpunca dari kejadian perebutan kerusi Speaker dan Menteri Besar di antara kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat dan BN. Perkara ini benar-benar memalukan. 

Beliau merujuk ucapannya kepada BN, menambah bahawa parti Politik perlu menjunjung tinggi kemuliaan Perlembagaan dan Undang-undang mengatasi kepentingan politik masing-masing demi keharmonian politik dan negara. Tetapi apa yang berlaku siang tadi menggambarkan betapa UMNO dan BN benar-benar tidak menghormati undang-undang dengan mempergunakan samseng dan pihak polis untuk menyeret S. Sivakumar, Speaker Dewan Undangan Negeri yang sah keluar dari Dewan untuk membenarkan Speaker haram BN, Ganesan menduduki kerusi tersebut. 

Anda mahu tahu apa jawapan balas yang diberikan oleh Pengerusi Kelab Penyokong UMNO, Dato' Dr. Shaharom Osman kepada ulasan yang diberikan oleh Dr Hassan Hasbullah itu? 

"Kalau mahu menjaga keharmonian politik dan negara, sepatutnya Nizar perlu terlebih awal dahulu menyerahkan kerusi Menteri Besar secara baik kepada Dato' Zambry dan S. Sivakumar pula perlu secara adab melepaskan kerusi Speaker itu kepada Dewan", jawab beliau.

Apa ini !!? Undang-undang rimba mana yang dipakai oleh BN ini? 

Beginilah. Biar saya berikan satu analogi kepada kenyataan yang diberikan oleh Dato' Shaharom itu. 

Kalau pencuri datang mencuri ke rumah, kemudian si pencuri bergelut dengan tuan rumah untuk mendapatkan barang kemas isterinya sehingga mencederakan anaknya yang mahu membantu ayahnya. Setelah orang kampung menyedari rumah jirannya dirompak masuk, mereka segera pergi memberikan bantuan dan menangkap pencuri itu lalu dibawa ke balai polis. Setelah disoal siasat bagaimana boleh berlakunya kecederaan ke atas anak tuan rumah itu, pencuri itu berkata, "Kalau tak mahu cedera, sepatutnya ayah dia bagi je la barang kemas tu secara elok kepada saya, senang cerita". Lepas tu, pencuri itu siap boleh kata lagi, "Saya bukan pencuri". 

Eh eh, macam tu pula jawapannya? Macam mana dia boleh kata dia bukan pencuri pula kalau masuk rumah pun ikut atap? Kemudian, siapa yang patut buat cara elok pada siapa ni, si pencuri atau tuan rumah? 

Bukankah pelik jawapan pencuri tu? 

Memang pelik, tapi begitulah analoginya. Harap faham. 

Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berperlembagaan, setiap parti politik yang wujud di negara ini wajib menjunjung tinggi sistem perlembagaan yang ada. Undang-undang digubal bertujuan untuk mengawal dan mempertahankan kestabilan politik negara. Bagi mencapai hasrat tersebut, ia memerlukan tanggungjawab dan kesedaran dari semua pihak untuk memelihara dan menghormatinya bermula daripada Raja-raja, para hakim, pihak berkuasa, pegawai kerajaan dan perseorangan. 

Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri telah menggariskan prosedur-prosedur yang perlu dituruti oleh semua pihak bagi setiap perjalanan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Tiada siapa terutamanya parti politik berhak untuk melanggarinya atas kepentingan politik masing-masing. Namun, apa yang dilakukan oleh BN pada sidang DUN semalan ternyata menampakkan suatu pencabulan yang jelas terhadap kemuliaan undang-undang negeri Perak.

Contohnya ialah apa yang telah berlaku kepada Sivakumar selaku Speaker Dewan Undangan Negeri Perak. Elok kita tanyakan kembali kepada BN, apakah undang-undang yang terpakai untuk menggantikan Sivakumar selaku Speaker yang sah kepada Ganesan? 

Sedangkan di dalam Perlembagaan Negeri Perak dinyatakan bahawa Speaker hanya layak untuk digantikan melalui 2 cara sahaja; Pertama, sekiranya beliau sendiri meletakkan jawatannya sebagai Speaker, dan Keduanya, sekira berlakunya pembubaran DUN. 

Dari kedua-dua prosedur yang termaktub, yang mana satukah prosedur yang dipatuhi oleh BN untuk mengesahkan Ganesan sebagai Speaker DUN Perak yang baru? 

Baik, BN menyatakan bahawa mereka telah membawa usul undi tidak percaya kepada Speaker DUN Perak dan memohon agar ia digantikan dengan Speaker yang baru. Namun, Perlembagaan Tubuh Negeri juga telah memberikan kuasa kepada Speaker untuk menolak sebarang usul yang dikemukakan menurut budi bicara beliau, dan menurut Dr. Shamrahayu, seorang pakar Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) mengatakan bahawa penolakkan usul yang dibuat oleh Sivakumar itu sah mengikut peruntukan yang diberikan oleh Perlembagaan Tubuh Negeri. 

Oleh itu, kita ingin tanyakan kembali, undang-undang manakah yang mereka gunakan untuk menaikkan Ganesan sebagai Speaker yang baru?

Keduanya, Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan keistimewaan-keistimewaan Ahli Dewan Undangan Negeri termasuklah seperti yang termaktub di dalam Artikel 72(2)

"No person shall be liable to any proceedings in any court in respect of anything said or any vote given by him when taking part in proceeding of the Legislative Assembly of any State or of any committee thereof", kecuali apa-apa perkara yang menyentuh "Public Order" yang disebut di dalam Artikel 10(4) Perlembagaan Persekutuan.   

Namun laporan dan bukti photo telah membuktikan bahawa kesucian Dewan Undangan Negeri telah dicemari oleh campur tangan hampir 400 orang pihak polis dan samseng-samseng yang entah dari mana munculnya. Bahkan menurut apa yang diceritakan oleh YAB Nizar Jamaluddin kepada sahabat saya malam tadi mengatakan bahawa ada di antara ahli-ahli DUN Pakatan Rakyat yang dikasari sehingga ada di kalangan mereka yang ditendang perutnya. Tambahan lagi, Speaker YB Sivakumar juga telah diheret keluar dengan hina sekali oleh pihak polis kerana berkeras tidak mahu berganjak dari kerusi Speaker yang diduduki oleh beliau. 

YB Sivakumar diheret keluar ...

Bukankah campur tangan dan tindakan yang diambil oleh pihak luar ini secara jelas telah melanggar Artikel 72 di atas serta Peraturan-peraturan Dewan bahawa tiada sesiapa pun boleh diambil tindakan (ie ditumbuk, ditendang & diheret) selagi mana sidang Dewan sedang berjalan? 

Dari bukti-bukti yang saya kemukakan ini jelas BN sebenarnya telah mencabuli kedaulatan undang-undang seterusnya menghina kesucian Dewan yang mulia. Kalau UMNO dan BN yakin mereka berada di pihak yang benar, sila datangkan bukti dan fakta yang nyata untuk membenarkan kerakusan tidakan yang telah mereka lakukan semalam. 

Jika tidak, jangan salahkan Pakatan Rakyat kerana biadap kepada anda kerana andalah pencuri yang menceroboh kediaman kami.   
  
Jumaat
2:25 am

0 comments: