Monday 11 May 2009

Selamat Hari Ibu



"Selamat hari ibu mak", saya mengucup tangan mak pagi tadi.

Mak tersenyum riang saat mendengar saya mengucapkannya. 

"Jom kita pergi Pizza Hut petang ni, tapi mak belanja lah", saya ketawa. 

Walaupun hari ibu sudahpun sehari berlalu, tetapi tiada salahnya untuk saya mengucapkannya pada hari ini. Lagipun semalam emak tiada di rumah, dan saya pula berada di Air Kuning Taiping untuk mengikuti Muktamar Pemuda PAS Perak kali ke-26.

AMBIL YANG JERNIH, BUANG YANG KERUH

"Actually not tradition pun tapi saja nak wish umi. Tak salah kan?", seseorang bertanya.

"Hish, mana boleh sambut hari ibu ni, perayaan kaper !!", ada yang menyanggah.

Menurut sejarah, sambutan hari ibu ini ada hubungkaitnya dengan keagamaan Kristian. Ia merupakan satu festival keagamaan yang diraikan di seluruh negara-negara Eropah bermula sejak zaman Neolitik lagi dengan sebutan Mothering Day. Bagi kepercayaan Rome, Mothering Day disambut sebagai tanda penghargaan kepada Dewi Cybele yang berlangsung pada pertengahan bulan Mac. Ia terus kekal menjadi sebahagian daripada upacara keagamaan walaupun setelah itu Empire Rome dan Eropah menganut agama Kristian.

Akan tetapi, Mothers Day yang diraikan pada hari ini adalah hari yang dipelopori oleh Anna Javis yang berasal daripada West Virginia, Amerika Syarikat.   

Pada tahun 1907, dua tahun setelah ibunya meninggal dunia, beliau mengadakan hari peringatan ke atas ibunya, Ann Maria Reeves Jarvis dan kemudiannya menyemarakkan kempen meraikan hari Mothers Day sebagai hari cuti awam. Usaha beliau berhasil di mana pada tahun 1914, hari Mothers Day telah diiktiraf sebagai hari cuti umum.       

Ia merupakan hari yang dicipta sebagai penghargaan kepada pengorbanan dan penat lelah wanita yang bergelar ibu yang telah bersusah paya bersabung nyawa melahirkan anak-anak, seterusnya mendidik dan membesarkan mereka dengan sepenuh hati dan jiwa raga sebagai bukti kasih sayang dan cinta yang tidak berbelah bagi dari seorang ibu kepada anak-anaknya.  

Tidak dinafikan Hari Ibu bukanlah berasal daripada Islam, bahkan tidak tercatat di dalam seerah Rasulillah SAW dan riwayat-riwayat hadis yang menyuruh agar ditetapkan hari-hari tertentu sebagai Hari Ibu. 

Walaupun begitu, Islam mewajibkan agar kita senantiasa menghormati dan memuliakan ibu bapa. Tidak kira setinggi mana kedudukan dan ilmu kita mengatasi mereka, ketaatan kepada mereka tetap wajib diberikan selagimana mereka tidak melanggari perintah agama. Bahkan selepas mereka telah meninggal dunia sekalipun, kemuliaan terhadap mereka perlu tetap diberikan melalui doa dan penghormatan terhadap kawan-kawan baik dan kerabat-kerabat terdekat mereka(1)

Dengan itu, bukankah dengan meraikan hari ibu sudah termasuk di dalam mafhum Al-Quran dan As-Sunnah yang mewajibkan kita agar memuliakan mereka? 

Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling layak untuk aku memberikan kebaikkan? Rasulullah SAW lantas menjawab: Ibu kamu. Kemudian lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Ibu kamu. Lelaki itu bertanya lagi soalan yang sama. Rasulullah SAW menjawab: Ibu kamu. Dan kemudian barulah baginda menyebut: Bapa kamu" ((Hadis riwayat al-Bukhari)) 

Selain itu, diantara banyak nasihat Luqman kepada anaknya, al-Quran telah merekodkan bahawa beliau telah menasihatkan agar anaknya memuliakan ibu bapa:

أن اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ
"Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu" (Luqman: 14)

Memahami perintah yang disebutkan di dalam surah Luqman ini, apakah dengan meraikan hari ibu itu tidak termasuk di dalam perintah untuk mensyukuri kedua ibu bapa kita? 

Namun begitu, terdapat batasan-batasan yang perlu diteliti supaya kita tidak tersilap dalam memahaminya. Pertamanya, jangan kita menganggap bahawa 10 Mei yang ditetapkan ini sebagai suruhan agama. Keduanya, tidak sepatutnya penghormatan terhadap ibu itu hanya tertakluk pada hari tersebut sahaja sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakkan orang-orang Eropah. Sekiranya berlaku sedemikian, maka itulah bid'ah yang diada-adakan.      

Di samping itu juga, keterbukaan dan kesyumulan Islam sudah cukup menjadi asas bahawa ia amat meraikan semua kebaikkan yang memberikan keuntungan dan manfaat yang berguna kepada manusia walaupun ia diasaskan oleh selain Islam. Apa yang penting, kebaikkannya diambil manakala keburukannya dibuang agar kemurniaan Islam terus terpelihara, sesuai dengan pepatah Melayu, "Ambil yang JERNIH, Buang yang KERUH".  

HARI YANG DILUPAKAN

"Kenapa tiba-tiba buang tebiat dia ni?", mungkin begitu agaknya hati mak berkata-kata. 

Maklumlah, ini kali pertama saya mengucapkan selamat hari ibu kepada emak. Agak kekok juga tadi sebenarnya sebab ia bukanlah 'trend' yang kami anak-anak raikan di dalam keluarga. 

Mak juga agak terkejut. 

Namun, pasti ramai di antara kita juga yang terlupa dengan hari penting ini. Salah satu faktornya mungkin kerana kita menganggap bahawa ianya tidaklah begitu bermanfaat untuk diperingati sehingga kita sendiri tidak mengetahui tarikhnya. Walhal saya begitu yakin, tentu ramai di kalangan ibu-ibu yang ternanti-nanti ucapan "Selamat Hari Ibu mak", "Happy Mothers Day umi" daripada anak-anak mereka.

Walaupun ramai juga diantara ibu-ibu yang tidak mengingati tarikh 10 Mei ini, tetapi ia sudah cukup untuk mengejutkan mereka sekiranya si anak tiba-tiba mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada mereka.  

IBU DIHARGAI, ANAK PUNYA SENSITIVITI

Bagi saya, masalah kekeluargaan bukan saja berlaku disebabkan oleh konflik yang berlaku diantara si suami dan isteri, malah anak-anak juga kadang-kadang tidak ketinggalan dalam memberikan sumbangan kepada krisis ini. 

Kadangkala, ayah dan ibu boleh bergaduh kerana kenakalan dan keburukan perangai anak-anak di luar rumah. Si ayah menyalahkan ibu kerana gagal mendidik anak-anak di rumah sehingga anak-anak terbiar liar dengan berkawan dengan orang-orang yang tidak dikenali. Manakala si ibu pula menuding jari kepada si ayah kerana terlalu sibuk dengan "wang, wang & wang" sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ayah. Masing-masing mempertahankan hak masing-masing untuk membenarkan diri sendiri sehingga berlakunya keretakan di dalam hubungan kekeluargaan. 

Puncanya adalah "kita" sebagai anak-anak yang terkadang lupa untuk memperhatikan tingkah laku kita di luar, sehingga kesan buruknya akan kembali kepada ibu bapa kita sendiri akhirnya. 

Jangan salahkan ibu bapa yang mendidik, salahkan kita yang tidak tahu mengenang budi. 

Oleh itu, sekiranya "kita" selaku anak-anak mampu memanfaatkan kesempatan 10 Mei ini untuk mengucapkan selamat Hari Ibu buat ibu yang tercinta, pasti ia mampu menyuburkan lagi hubungan cinta dan kasih sayang di antara si ibu dan anak-anak. Kesannya, si ibu dan anak-anak akan terus mencuba untuk menjadi ibu dan anak-anak yang terbaik, kerana si ibu merasa dirinya diHARGAI, manakala anak punya SENSITIVITI.   

Justeru itu, pulanglah ke rumah dan ucaplah, "SELAMAT HARI IBU". 

Ya Allah, 

Berikanlah kepada ibuku balasan yang sebaik-baiknya
 atas didikan dan kasih sayang yang
 telah beliau curahkan padaku. 
Peliharalah dia sebagaimana dia memeliharaku. 

---------------------------------------

(1) Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sebaik-baik kebaikkan ialah seseorang anak yang menyambung pertalian orang yang disukai oleh ibu bapanya" ((Hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan At-Tirmizi. Rujuk Adab al-Mufrab lil Bukhari, m.s 27))  

Di dalam hadis dhaif yang telah diriwayatkan oleh al-Baihaqi, al-Haithami dan At-Tabrani, Rasulullah SAW telah bersabda: "Peliharalah hubungan orang yang disukai oleh ibu bapamu dan janganlah kamu memutuskannya. Maka Allah SWT akan memancarkan nur kepada kamu" ((Adabul Musfrad, Imam al-Bukhari, m.s 26))  

 

0 comments: