Sunday, 31 May 2009

Salam. Siapa ni?




"Apkh ciri2 lelaki sjati?", sms dari +601*645332*. Salam tak ada, apa tak ada ... tiba-tiba soalan ini menjengah skrin telefon bimbit saya. 

"Sblm sy jwb, sy nak tau dlu siape ni", saya membalas dalam ragu.

"Syla yg akn buat anda mjadi lelaki sjati. xpe awk jwb dlu, pas 2 sy bgtaula sapa sy", dia membalas kembali. 

"Laki sejati x suka dirinya dganggu oleh anai2 perosak", saya menyindir 

"Definisi anai2?", tanya dia inginkan penjelasan

"Org mcm awak !", pukulan maut pertama saya

"Awk ni..smpai ht tau. x gntleman la. kecik ht sy", terpaku

"Maaf, bleh sy tau siape ni? dr mane tau no sy ni. Klo sy knal awk, tlg bgtau. Klo sy x knal, maaf, sy xsuka cara awk mcm ni", pukulan maut kedua saya.

Ini kiriman sms yang saya terima petang semalam ketika saya sedang berada di UIA. Entah saya tidak tahu siapakah pengirimnya. 

Tidak kiralah samada dia mengenali saya atau tidak, atau samada dia menjadi pembaca blog saya atau tidak ... terdapat tiga perkara yang ingin saya jelaskan di sini. 

Pertama adalah soal adab. 

Saya cukup benci kalau orang tidak mengenal adab. Semenjak kecil saya telah di didik agar sentiasa beradab di dalam percakapan dan perbualan. Ayah dan mak sering nasihatkan saya agar sentiasa menghulurkan senyuman tatkala berbual dengan orang terutamanya kepada orang-orang yang lebih tua dan kenalan baru. Saya juga diajar agar memerhatikan wajah orang tersebut ketika beliau sedang berbual dengan saya supaya beliau merasakan dirinya dihargai dan diberi perhatian. 

Saya masih ingat lagi, ketika kecil-kecil dulu saya sering menyampuk perbualan emak dengan tetamunya yang datang ke rumah. Ketika emak dan tetamunya sedang rancak berbual, saya potong perbualan mereka dan bercakap. Kononnya mahu memanaskan lagi perbualan, tetapi mak cukup marah dengan cara saya itu. 

"Adik, biasa ye menyampuk orang tua bercakap ! Lain kali kalau orang tua tengah bercakap jangan menyampuk", tegur emak selepas tetamunya pulang.

Satu lagi kisah yang masih saya ingat ialah ketika ayah sedang menghantar saya ke kelas tusyen English di ITL. Ketika itu, datang seorang pembonceng motosikal dari belakang kereta kami menjerit "Hoi babi, ketepilah sikit. Orang nak jalan ni" kepada ayah yang sedang memberhentikan keretanya di tengah jalan sedikit untuk menyapa kawannya sebentar. Ya, memang ayah silap kerana memberhentikan kereta agak di tengah jalan. Tetapi ayah tidak boleh terima dengan cara orang itu memberikan teguran sehingga ayah mengejar pembonceng tersebut sampai ke Hospital Besar Ipoh. Sesampai saja di sana, ayah terus keluar dari kereta dan menuju ke arah orang tersebut. Saya tidak tahu apakah yang diperkatakan ayah kepada lelaki itu kerana saya berada di dalam kereta. Ketika itu memang saya rasa sangat takut. Tetapi pengalaman itu memang tidak dapat saya lupakan. Ia mengajar saya suatu erti kehidupan. 

Oleh kerana itu, saya cukup benci kalau orang menegur saya dengan panggilan "Oii !". Pengirim SMS ini adalah salah satu contohnya. Sudahlah tidak memberi salam dan memperkenalkan diri, tiba-tiba saja terus bertanya soalan pelik seperti tu. Kalau saya kenal pengirim tersebut, mungkin saya tidak kisah sangat. Tetapi saya tidak mengenalinya ... salah ke kalau memberi salam dan memperkenalkan diri terlebih dahulu? Bukankah Islam telah mengajar kita adab-adab bertanya, berbual dan sebagainya? ... bukan main ghedah aje.    

  
Gambar rakaman cerita Sang Murabbi

Keduanya berkenaan dengan soalan itu sendiri. Apakah ciri-ciri lelaki sejati?

Samada dia adalah pembaca blog saya atau tidak, biarlah saya menjawab soalan itu di sini. Saya rasa tidak tepat menanyakan soalan tersebut kepada saya atau lelaki yang lain. 

Yang layak untuk menilai kebaikkan seseorang pemimpin bukanlah dari mulut pemimpin itu sendiri, tetapi mestilah melalui rakyat yang mahukan kebaikkan dari pemimpin-pemimpinnya. 

Yang layak untuk menilai ketaqwaan seseorang bukanlah diri kita sendiri, tetapi merupakan dari Allah yang inginkan pakaian ketaqwaan itu dipakai oleh hamba-Nya.  

Begitu juga berkenaan dengan "ciri-ciri lelaki sejati", saya dan lelaki lain bukanlah orang yang layak untuk menjawab soalan tersebut. Yang layak untuk menjawabnya adalah isteri saya dan isteri bagi lelaki yang lain kerana dialah yang mengimpikan ciri-ciri itu dari suaminya dan dia lebih tahu apakah ciri-ciri tersebut dimiliki oleh suaminya.  



Ketiganya adalah soal jati diri.

Saya kira ini merupakan cara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kaum hawa. Ia amat memalukan. Baru pertama kali memberikan mesej kepada saya, dia sudah pandai menggunakan gaya bahasa sebegitu. Saya sendiripun malu dengan cara yang beliau lakukan. Saya mengharapkan agar tidak ada di kalangan muslimat dan akhawat kita yang melakukan cara sebegini kerana ia begitu mencemar kedudukan mereka yang punya kesopanan dan rasa malu.    

Saturday, 30 May 2009

Habiskan masa umurmu untuk ISLAM




Salam perjuangan ..

Penat !

Inilah ungkapan yang mampu saya berikan sehingga ke saat ini. 

Setelah sebulan lebih menamatkan pengajian di UIA, jadual harian saya terlalu padat dengan pelbagai aktiviti samada berupa aktiviti peribadi atau jemaah. Kesibukan yang bukan dibuat-buat ini menyebabkan mak menyedarinya. 

"Hai, sibuk sampai ke malam ke?", kata emak

Benar, memang kadang-kadang sampai ke malam dan kemuncaknya adalah pada minggu lepas di mana setiap malam saya berada di luar bagi memenuhi aktiviti yang telah dirancang. Namun, kesan daripada kesibukan sebegini membuatkan saya sering gelisah kerana ada beberapa perkara yang telah lama saya rancang sebelumnya sukar untuk saya tunaikan sekarang.

Saya memohon maaf kepada para pembaca sekalian sekiranya blog ini tidak diupdate dengan baik dan untuk muslimat yang bertanyakan soalan kepada saya tempoh hari, jika berkelapangan, saya akan cuba memberikan penjelasannya semampu saya dalam beberapa hari lagi, insyallah. 

Walau bagaimanapun, saya khuatir sekiranya segala kerja dan aktiviti yang saya lakukan selama ini tidak membawa kebaikkan kepada Islam, bahkan sekadar untuk memenuhi kepuasan nafsu sahaja. Oleh itu, saya amat mengharapkan segala urusan seharian yang saya lakukan selama ini tidak menjadi sia-sia di sisi Allah SWT dan semoga semua itu mendapat ganjaran yang setimpal sesuai dengan usaha kecil saya selama ini. 

Beruntunglah peluh keringat yang jatuh ke bumi hasil dari kerja-kerja Islam yang mereka lakukan.

ISLAM SEDANG MEMANGGIL



"Dakwah kita memerlukan masa yang lebih dari umur-umur kita"
~ Imam Hassan al-Banna 


Benar apa yang dikatakan oleh Imam Hassan al-Banna itu. 

Membina generasi rabbani tidak mengambil masa yang sedikit. Setelah kejatuhan khilafah Islam yang terakhir dan umat Islam pula telah dirosakkan dengan pelbagai bentuk ideolagi yang menyeleweng seperti kapitalis, komunis, sekular dan sebagainya, ia memerlukan generasi demi generasi untuk kembali melahirkan sebuah umat terbaik yang diimpi-impikan. 

Di kalangan umat Islam yang ada, lebih ramai yang jahil terhadap agamanya sendiri daripada bilangan mereka yang faham. Mereka memandang yang baik itu pada kaca mata Barat yang menjadi kiblat dan tempat mereka bersujud, bukan lagi Islam. Yang baik pada Islam dikesampingkan, tetapi mereka tidak sedar betapa nilai-nilai moral yang dianjurkan Barat itu sebenarnya berasal daripada Islam. 

Hidup bersama Islam itu bererti hidup untuk Allah. Namun mengenal Allah itu bukanlah dengan jalan melihat kerana kita tidak bisa melihat Allah .. bukan juga dengan jalan mendengar kerana kita tidak bisa mendengar kata-kata Allah. Tetapi untuk mengenal Allah, kita memerlukan ilmu dan ma'rifah. Mengenal Allah dengan ilmu saja tidak mencukupi, tetapi kita perlu mengenal Allah dengan faham ... faham mengapa hanya Allah saja yang layak disembah, faham mengapa hanya agama Allah saja yang layak dituruti dan faham mengapa hanya keadilan Allah saja yang layak diteladani. 

Maka di sinilah peranan dakwah. 

Akan tetapi, dakwah memerlukan pengorbanan besar dari seluruh umat Islam. Ia bukan hanya kerja para ulama, tetapi semua umat Islam yang memahami perkara ini perlu memainkan peranannya untuk Islam. 

Apakah kalian seorang doktor. Apakah kalian seorang jurutera. Apakah kalian seorang peguam. Kalian semua adalah Rijal ad-din yang memikul tanggungjawab besar ini. Kalian perlu merasa sakit dengan wabak yang datang menyerang Islam. Sedih demi Islam.

Saya menyeru kalian semua bukan di atas pakaian saya sebagai seorang da'ie, bahkan saya tidak layak untuk memakai gelaran itu. Saya hanyalah seekor semut kecil dari jutaan semut-semut besar yang sedang mencari manisan keredhaan Allah. 

Namun begitu, janganlah mengharapkan suatu keajaiban di esok hari untuk Islam. Tetapi yakinlah ! cahaya kegemilangan itu pasti akan muncul kembali di suatu hari. Kata nabi SAW :

"Islam ini pasti akan sampai ke tempat yang sampainya siang dan malam. Allah tidak akan meninggalkan rumah yang di bandar atau di desa melainkan Allah pasti akan memasukkan agama ini. Yang mulia dengan kemuliaannya atau yang hina dengan kehinaannya. Mereka yang mulia akan Allah muliakan dengan Islam dan yang hina akan Allah hinakan dengan kekufurannya" ((Hadis sahih riwayat Ahmad dalam Musnadnya (4/103) dan Al-Haithami dalam al-Mujamma'))

Akan tetapi, untuk mencapai matlamat ini, Islam memerlukan umat yang sanggup :~

Berfikir untuk Islam, 

Bekerja untuk Islam dan, 

MENGHABISKAN MASA UMURNYA UNTUK ISLAM ...

.................................................

~ Semoga Allah mencerahkan jalan itu untuk saya. Ameen

Saturday, 23 May 2009

Mulia ilmu dengan kerendahan diri




Salam perjuangan ...

Saya rasa pasti anda semua mengenali beliau. Inilah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, seorang ulama dunia yang amat saya kagumi. 

Bagi saya, pandangan serta fatwa beliau amat semasa dengan keadaan dunia sekarang. Ini disebabkan oleh manhaj Wasathiyyah yang sering beliau laung-laungkan serta keberanian beliau dalam mendepani isu-isu global umat Islam masa kini. Justeru dengan ketokohan itu, tidak hairanlah mengapa beliau diberi jolokan "Syeikhul Ummah" oleh ulama-ulama lain yang setaraf dengannya. Beliau bukan saja dikenali di kalangan tokoh dunia-dunia Islam, malah digeruni dan dihormati oleh tokoh-tokoh dunia barat. 

Prinsip yang beliau serukan ini bukanlah satu prinsip jelmaan baru Islam sepertimana Islam Hadhari jelmaan Pak Lah. Tetapi ia merupakan prinsip yang dihayati oleh nabi kita Muhammad SAW dan para sahabat RA. Oleh itu, prinsip yang beliau bawakan ini sebenarnya merupakan suatu penerusan kepada usaha untuk menghidupkan kembali semangat yang telahpun hidup di kalangan generasi terawal Islam dahulu. 



Prinsip ini kalau kita amati pasti dapat dilihat daripada ucapan-ucapan beliau, juga kebanyakan penulisan-penulisan beliau yang sangat mengharapkan agar umat Islam kembali kepada keaslian kefahaman Islam. Namun, pengembalian kepada keaslian Islam yang beliau serukan bukanlah dengan menafikan kepentingan mazhab serta keharusan bertaqlid kepada salah satu daripadanya, dan bukan juga suatu gerakan yang menafikan kewujudan serta kepentingan tasawwuf di dalam masyarakat. Keaslian yang beliau maksudkan adalah dengan meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sebuah institusi teratas melampaui mazhab-mazhab yang berperanan sebagai wasilah untuk sampai kepada pemahaman Islam yang benar melalui prinsip kesederhanaan di antara bermudah-mudah dan berlebih-lebihan. Inilah sebenarnya asas perjuangan beliau selama ini dan inilah juga antara beberapa faktor yang membuatkan saya amat mengagumi beliau.

Di samping memahami permikiran beliau melalui penulisan-penulisan beliau, saya juga sering meng"update" setiap khutbah dan forum kuliah beliau melalui program "As-Shariatu wal Hayah" kelolaan al-Jazeera di Youtube. Kebiasaannya, setiap bulan pasti akan ada tajuk perbincangan baru yang diupdate. Namun sejak akhir-akhir ini, agak sukar juga untuk mendapatkan "update" kuliah terkini beliau. Saya pun tak tahu mengapa. 

Contohnya seperti hari ini. 

Asalnya saya mahu mencari rakaman khutbah dan forum kuliah terkini beliau, tetapi gagal. Tetapi alhamdulillah, saya ketemu pula dengan rakaman lain beliau dan setelah mendengarnya, ia begitu memberi kesan kepada saya dan menambahkan kekaguman saya terhadapnya.

Justeru, saya kira, perlu untuk saya kongsikannya dengan para pembaca yang lain agar kita semua mendapat manfaat berguna daripadanya. Secara ringkasnya, video ini merakamkan ucapan Syeikh Al-Qaradhawi di Multaqa Ikhwan al-Muslimin di mana beliau telah menasihatkan kepada kita agar senantiasa mengikut resmi padi .. semakin tinggi, semakin tunduk ke bumi.
Untuk mendengar nasihat beliau selengkapnya, seeloknya perhalusilah setiap ucapan beliau dengan baik. 

Oleh itu, artikel di bawah ini merupakan terjemahan ucapan beliau yang sedikit sebanyak saya usahakan bagi membantu para pembaca yang tidak memahami bahasa Arab. Saya mohon maaf terlebih awal sekiranya terjemahan ini gagal memberikan maksud sebenar daripada ucapan beliau itu. Semoga beroleh manfaat.  



Ketika menangisnya Imam Al-Qaradhawi

Aku ingin mengatakan sesuatu wahai para ikhwah, 

Sesungguhnya kemuliaan dan pujian yang aku telah dengar tidaklah memperdayakan aku dan menipu aku daripada hakikat yang aku ketahui. Demi Allah, aku lebih mengetahui kelemahan dan kelalaian diriku sendiri. Dan sungguh telah berkata Ibn Atoillah di dalam Hikamnya: "Manusia memuji kamu dengan sesuatu kebaikan yang mereka lihat daripadamu. Maka jadilah kamu orang yang sentiasa mencela dirimu sendiri dengan pandangan baik orang kepadamu. Orang mukmin tidak meninggalkan keyakinan dirinya (kelemahan diri) disebabkan oleh tanggapan orang di sisinya". Demi Allah, tanggapan orang kepadaku tidak menyebabkan aku terpedaya daripada mengenali diriku sendiri. Dan aku tahu dengan kemurahanNya, Allah telah menutup (kelemahanku) dengan kecantikan tuntupanNya. Telah berkata Abul Atahiah: "Allah telah mencantikkan kami dengan tidak membuka seluruh kesalahan-kesalahan kami. Maka jika dibuka kesemua kesalahan itu, maka pasti jelaslah ia". Allah tidak menjadikan kesemua maksiat itu memiliki bau sehingga boleh dibau oleh manusia. Aku memohon kepada Allah agar Dia menutup (segala kesilapanku) di akhirat seperti mana Dia menutupinya di dunia. Sesungguhnya aku takut dengan kemuliaan dan pujian seperti ini akan menghapuskan segala pahala dan keagungannya. Imam Muslim telah meriwayatkan di dalam sahihnya, "Tiadalah seorang pejuang yang berjuang di jalan Allah, lalu dia diuji dengan ghanimah (harta rampasan perang) kecuali ditangguhkan baginya dua pertiga pahala dan hanya kekal sepertiga sahaja. Namun jika dia tidak diuji dengan ghanimah tersebut, pasti sempurnalah kesemua pahala itu". Dan aku takut wahai ikhwah, daripada pujian-pujian dan ucapan-ucapan saudara (kepadaku) akan menghapuskan dua pertiga pahala itu sehingga meninggalkan sepertiga sahaja. Inilah ghanimah bagi orang yang berilmu iaitu pujian dan kemuliaan orang kepadanya yang akan menghapuskan dua pertiga pahala itu. Jika kemuliaan ini menghapuskan dua pertiga pahala, maka amat rugilah. Dan jika sepertiga yang berbaki itu pula tidak sunyi daripada kelompongan dan keburukkan, maka apakah lagi yang tinggal untuk manusia? 

Ini adalah perjumpaan para pelajar dan sahabat. Saudara mengatakan "Imam al-Qaradhawi". Demi Allah, aku bukanlah ketua dan imam. Aku sedar bahawa aku adalah seorang jundi. Dan sesungguhnya aku adalah seorang pelajar. Aku akan terus menjadi pelajar. Orang berilmu yang sebenar ialah mereka yang senantiasa menjadi pelajar di sepanjang hidupnya, dan aku akan terus belajar dan mencari kerana masih banyak kejahilanku seperti yang dikatakan oleh imam kita As-Syafi'ie rahimahullah: "Setiap kali bertambahnya umurku, aku lihat lemahnya akalku, atau aku lihat bertambahnya ilmuku disebabkan kejahilanku". Dan benarlah firman Allah, "Dan tidaklah kamu diberikan sesuatu ilmu melainkan sedikit", "Dan katakanlah: Wahai tuhanku, tambahkanlah aku dengan ilmu"

Aku belajar dengan beberapa sahabat di pejabat dan banyak yang telah aku pelajari daripada mereka sesuatu yang aku terleka dan tidak tahu mengenainya. Begitulah manusia belajar daripada pelajar-pelajarnya seperti mana kata sebahagian mereka kepada gurunya antaranya mengenai kisah Hud-hud di dalam al-Quran. Berapakah daripada kita yang belajar daripada pelajar-pelajar mereka? Telah berkata para salafussoleh RA: "Seseorang itu akan sentiasa menjadi alim dengan pencarian ilmu. Tetapi jika dia menganggap dirinya berilmu, sesungguhnya dia seorang yang jahil"

Aku berhijrah ke Qatar pada 12 September 1961 dan aku telah ditugaskan sebagai mudir ma'ahad thanawi di sini. Seingatku ketika di ma'ahad dulu, aku telah diziarahi oleh seorang lelaki. Dialah lelaki pertama yang menziarahi aku. Beliau mengatakan, "Aku adalah saudaramu Abdullah bin Ibrahim al-Ansori yang merupakan seorang pelajar di bumi Qatar". Inilah kali pertama aku mendengar seorang alim mengatakan bahawa dirinya seorang pelajar dan aku begitu ta'ajjub dengan ucapan tersebut. Begitulah yang seharusnya dilakukan oleh manusia iaitu menjadi pelajar kepada ilmu .........           

Ini saja terjemahannya. Manakala ucapan selebihnya memasuki perbincangan yang lain. 

................................................................

Kesimpulan yang boleh saya simpulkan daripada ucapan beliau ini adalah:

~ Janganlah merasa bangga dan sombong dengan ilmu pengetahuan yang kita miliki kerana hakikatnya ia bukanlah milik kita, tetapi milik Allah. 

~ Tiada siapa yang mengetahui semua perkara dalam kehidupan ini walau sebesar mana sekalipun gelaran yang diperolehinya. Hakikatnya semuanya datang dari Allah. Kita sendiri adalah bodoh sebelum pandai dan memerlukan bantuan serta dokongan orang lain dalam mencapai kejayaan yang kita kecapi. Dalam erti kata lain, kejayaan dan kepandaian kita bukanlah kejayaan dan kepandaian yang mutlak, tetapi merupakan hasil sumbangan dan bantuan orang lain sebelumnya. Sekiranya kita merasakan bahawa kitalah orang yang paling berilmu, ingatlah bahawa keilmuan yang kita miliki tidak sampai setitikpun dengan lautan ilmu Allah SWT.  

~ Setinggi manapun kedudukan dan keilmuan kita, samada kita berlatarbelakangkan seorang doktor, peguam, jurutera, akauntan, guru dan alim ulama ... sentiasalah memakai pakaian para penuntut. Dengan itu, kita akan senantiasa merasa sedikitnya ilmu dan agungnya orang lain. Bagi mereka yang tidak mempunyai asas agama, dampingilah para ulama dan orang-orang soleh agar kita terkena tempiasnya. Semoga dengan keikhlasan dan kebersamaan kita bersama mereka akan terpancarnya keberkatan dari ilmu dan akhlak mereka sedikit sebanyak pada diri kita. Sebuah syair arab berbunyi: "Serupakanlah dirimu dengan mereka kerana menyerupai orang-orang yang mulia itu membuahkan kejayaan"   

~ Janganlah merasa diri sempurna dan terbaik daripada orang lain. Kalau bukan kerana "hijab" atau penutup yang ditutup oleh Allah, dan kalau sekiranya kelemahan kita boleh dibau dan dihidu .. sudah tentu ramai orang akan membenci dan menjauhi kita kerana busuknya bau-bau kelemahan kita. Tetapi kerana rahmat dan kasih sayang Allah, kelemahan dan kejahatan kita masih ditutupi oleh Allah SWT.    

Moga Allah merahmati

Sunday, 17 May 2009

Diari hujung minggu


"Adik, jom jogging padang polo", ajak ayah. 

"Ok", jawab saya ringkas ketika sedang berbaring di atas katil.

Cadangnya mahu tidur saja pagi tadi kerana semalaman saya tidak dapat tidur. Tapi kalau ditolak pula, mungkin agak sukar untuk mencari peluang sebegini. Maklum la, ayah terlalu sibuk dengan tanggungjawab jemaah sehingga terpaksa mengorbankan waktu rehat di hujung minggu. Nak tak nak, saya turuti jugalah cadangan ayah itu walaupun mengantuk. Lagipun inilah kesempatan waktu untuk kami merapatkan hubungan kekeluargaan serta inilah juga waktu yang agak sesuai untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan. 

Alhamdulillah, cuaca pagi nyaman sekali pagi tadi. Padang Polo sudah awal-awal pagi lagi dibanjiri dengan orang ramai terutamanya orang-orang Cina sehingga agak sukar untuk kami mencari tempat pakir kereta. Bayangkan untuk penduduk sebesar pekan Ipoh ini, selain padang Ipoh, inilah saja tempat rekreasi terbesar di Ipoh yang ada untuk masyarakat berkumpul bagi melakukan aktiviti sukan dan kesihatan. Jadi tidak hairan la kalau ia sentiasa sesak dengan orang ramai. Kasihan

St Jame's Park London

Berbeza halnya seperti di England, di kota London saja sudah ada beberapa tempat rekreasi yang boleh kita pergi seperti St Jame's Park, Hyde Park, Kensinton Gardens dan sebagainya. Selain disediakan litar untuk berjogging dan berjalan kaki, ia dihiasi dengan kolam itik, bungan-bungaan yang berwarna warni serta kehijauan pokok-pokok besar yang mampu memberikan ketenangan di minda dan jiwa. Ini menunjukkan betapa kerajaan amat prihatin akan kepentingannya sebagai tempat untuk masyarakat dan keluarga berehat, menghilangkan 'stres' bekerja, menjalin hubungan kekeluargaan dan sebagainya. Bahkan Padang Ipoh, Padang Polo dan Tasik Taiping yang wujud di Perak inipun sebenarnya adalah hasil peninggalan yang ditinggalkan oleh British semasa penjajahan mereka di Tanah Melayu dahulu.  

Kita sepatutnya mengambil peninggalan yang baik ini daripada mereka dengan cara memperbanyakkan lagi tempat-tempat rekreasi seperti ini sebagai salah satu langkah yang baik untuk melahirkan keluarga serta masyarakat yang sihat dan harmoni. Walaupun memang telah diwujudkan padang-padang permainan di kawasan-kawasan perumahan, tetapi malangnya, ada sebahagiannya tidak dijaga dengan rapi sehingga tumbuhnya rumput-rumput liar dan kemuncup. Kesan ini sedikit sebanyak telah membantutkan harapan penduduk untuk menggunakannya kerana keadaannya yang tidak baik dan menceriakan.  

Justeru itu, kita mengharapkan kepekaan pihak berkuasa terhadap perkara seumpama ini. 

Sekadar pandangan.

Tak sabar-sabar Hafiz nak pergi

Kenyamanan udara pagi yang menyegarkan

Senam robik beramai-ramai

Berjalan, bukan berjogging

Kesian .. hampir sejam menunggu saya yg hilang bertemu kawan lama UIA. Yang di tengah itu adalah anak saudara emak. 

Ayah & mak main kipas terbang

Tengah pujuk si manja yang sedang merajuk

Saturday, 16 May 2009

SELAMAT HARI GURU




Salam ...

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru buat seluruh warga pendidik tanah air terutamanya kepada guru-guru, cikgu-cikgu, muallim muallimah, Prof, Doktor, Bro, Mdm dan uztaz-ustaz yang telah banyak mencurahkan ilmu kepada saya.  

- Kepada ustaz dan ustazah saya di Taski Abim al-Furqan Manjoi, terima kasih saya ucapkan di atas kesabaran anda semua akan kenakalan saya ketika itu. 

- Kepada cikgu-cikgu saya di Sekolah Kebangsaan Jelapang pula, terima kasih juga saya ucapkan di atas peluh keringat kalian menyampaikan ilmu kepada saya. 

- Buat mu'allim dan mu'allimah di Sekolah Menengah Al-Hidayah (SMAH), jazakumullah khairal jaza' di atas pengorbanan yang tinggi daripada kalian semua demi membangun sebuah ummah yang diimpi-impikan. 

- To all my lecturers from IIUM Matriculation Centre in Petaling Jaya as well as IIUM Gombak especially from Ahmad Ibrahim Kuliah Of Law (AIKOL), thank you for your knowledge and guidance. 

- Tidak dilupakan juga kepada guru-guru yang sudi mengajar saya secara talaqqi kerana sudi meluangkan masa dan tenaga kalian. 

Di kesempatan ini juga, saya ingin memohon limpahan kemaafan di atas kesilapan dan kesalahan yang pernah saya yang lakukan yang mungkin selama saya bersama kalian, saya pernah menyakiti hati-hati kalian semua. Saya juga mengharapkan redho dan keberkatan dari setiap ilmu dan tunjuk ajar yang pernah kalian curahkan kepada saya. 

Saya amat berterima kasih kepada Allah SWT kerana saya diberikan kesempatan dan peluang untuk berada di bawah bimbingan kalian semua. 

Sesungguhnya inilah antara semulia-mulia amal kebaikan di sisi Allah SWT dan inilah juga tugas-tugas sekalian para anbia' dan rasul-rasul di atas muka bumi ini. Semoga segala pengorbanan dan amal kebajikan yang kalian tumpahkan kepada kami selama ini dibalas oleh Allah SWT dengan pahala yang berlipat ganda. 

Ketahuilah dan berbanggalah bahawa kalian merupakan sebahagian dari nadi-nadi pembangunan ummah. 

SELAMAT HARI GURU

   

Friday, 15 May 2009

Anai-anai Jalan Raya




Salam ..

Beberapa hari yang lalu, Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Menteri Pendidikan Malaysia telah menimbulkan rasa kerisauan beliau mengenai gejala Mat Rempit yang sudah semakin menjadi-jadi di dalam negara. Ini menunjukkan bahawa gejala ini sudah meningkat menjadi isu nasional.  

Berleluasanya permasalahan ini sehingga ia menjadi polemik semasa masyarakat setempat, dan apa yang lebih mendukacitakan kita ialah, di sana masih belum terdapat lagi jalan penyelesaian terbaik bagi mengurangkan penyakit golongan remaja ini.  

Namun persoalannya, di sana sudah dilaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan isu sosial ini seperti menyediakan trek perlumbaan dan sebagainya. Akan tetapi mengapa seolah-olahnya masih belum berjaya menampakkan sebarang kesan, malah kian hari kiran meruncing. 

Bagi saya, ia bukan isu yang boleh dikesampingkan. Ia adalah isu nasional yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak. 

Ramai di kalangan masyarakat yang terganggu dengan gejalan ini. Isunya berbeza jika mereka berlumba di tempat-tempat yang jauh dan terasing dari masyarakat. Tetapi yang menjadi masalahnya, mereka telah menyalahgunakan jalan raya awam sehingga mengganggu keselamatan pemandu-pemandu lain yang sedang menggunakan jalan raya tersebut. Saya sendiri berpengalaman dihimpit oleh puluhan motor mat-mat rempit sekitar jam 12 malam di Jalan Tun Dr Ismail suatu ketika dahulu. Memang agak menakutkan. Mereka berkuasa di atas jalan seolah-olah seperti raja dan saya pula yang terpaksa berhati-hati dengan kemabukkan mereka. Bermacam-macam cara yang menggayatkan cuba dipamerkan. Entah saya sendiri pun tidak tahu apa istilahnya. 

"Anas, apa istilah illegal racing di dalam bahasa arab?", saya bertanya beliau yang berasal daripada Mesir.

"Erm, entah la .. ana pun tak tahu", jawab beliau sambil cuba memberikan beberapa istilah-istilah yang sesuai seperti "Musabaqah Ghoir Qonuniyah" dan sebagainya.

"Ada ke perlumbaan haram di negara kamu?", saya bertanya lagi.

"Entah la, saya rasa tak ada", jawab Anas. 

Daripada perbualan ini, timbul beberapa persoalan yang sering bermain di fikiran saya:

1) Mengapa ia hanya berleluasa di kalangan remaja-remaja Melayu kita dan tidak pada bangsa yang lain?

2) Kalau alasannya adalah terpengaruh, mengapa ia hanya berlaku di Malaysia dan tidak berlaku di negara-negara lain atau jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Singapore? (Kalaupun ada, mungkin tidak sehebat Malaysia)

Adakah anda mempunyai jawapannya?

Bukan sekadar itu, kita juga amat risau kerana masalah ini tidak terhenti di situ saja. Malah ia turut membiak kepada kejadian-kejadian negatif yang lain seperti pembunuhan, perjudian, pelacuran, mabuk dan sebagainya. Ia boleh dikatakan seperti anai-anai yang membiak-biak dengan cepat yang jika tidak dihapuskan dengan segera, tidak mustahil ia mampu meruntuhkan sebuah rumah.   

Oleh itu, saya amat mengharapkan agar semua pihak samada pihak kerajaan, parti politik, NGOs ataupun persatuan memberikan perhatian terhadap permasalahan serius ini dan mencari solusi terbaik bagi membendung gejala ini daripada terus merebak dan berleluasa. 

Kita memerlukan pendekatan jangka masa pendak dan panjang terhadap isu nasional ini.   

Mari bekerjasama mencari jalan penyelesaiannya. 


   

Generasi Masa Hadapan adalah Tanggungjawab Kita Hari Ini


"Assalamualaikum Yasir", saya menerpa dari arah belakangnya.

"Waalaikumsalam", balas beliau yang sedang duduk di atas motor yang diletakkan di tengah-tengah kaki lima antara Bank Muamalat dan Bank Islam di UIA.

"Kaif halukum?", saya berbahasa arab dengan beliau petang itu.

"Alhamdulillah khair. Intahaitad dirasah?", tanya Yasir yang tampak berseri di wajahnya. 

"Eh, intahaitul an. Anta?", saya mengiyakan. 

"Intahaitud dirasah fi November", balas beliau yang merupakan anak watan negeri Sabah yang datang dari jauh menuntut di UIA. Saya mengenali beliau semenjak di matrik lagi, seingat saya ketika kami disatukan dalam satu kumpulan Halaqah di bawah pengelolaan UIA.  

"Owh, 'indakum baqia wahid semester!?", saya terkejut, kerana kalau ikut perkiraan, sepatutnya pengajian beliau perlu tamat lebih awal atau sama dengan saya.     

"La', ya'ni fi semester madhi", jelas beliau.

"Ooo, azhunnu lamman tahaita. Ya'ni khalasta fi semester madhi?", saya bertanya lagi. Manis mulut.

Beliau mengangguk membenarkan pertanyaan saya. Kemudian kami terus berberbual-bual. Saya yang sambil berdiri di sebelah motornya dan Yasir pula yang sedang duduk di atasnya dengan bertongkatkan kaki kirinya ke tanah masing-masing bertanyakan mengenai perancangan masing-masing .. ke mana dan apakah yang ingin dilakukan selepas ini. 



Wajahnya sentiasa didongakkan ke arah masjid UIA yang betul-betul bertentangan dengan kedudukannya. Hanya kadang-kadang saja beliau mengarahkan penglihatannya ke arah saya. Entah apa yang sedang beliau fikirkan saya tak tahu. Mungkin kerana masih belum puas melihat kecantikan seni bina UIA yang ala-ala seni bina Islam sambil menikmati kenyamanan udara petang yang sejuk dan berangin itu.     

"Ok la Yasir. Ana nak kene pergi dah ni. Good luck. Kalau ada rezeki boleh kita jumpa lagi insyallah", saya bersalaman dengan Yasir setelah berbual lama. 

"Quwayyis !", balas beliau 

"Aaa !", saya merapatkan telinga saya ke arahnya kerana tidak dapat menangkap kata beliau itu. 

"Quwayyis marrah .. 'baik sekali'. Hye, takkan dah pergi ziarah ke tempat arab pun tak tau maksud ni?", sambil tersenyum Yasir bertanya. 

"Oooo .. quwayyis. Faham-faham. Cuma lambat sikit nak recall sebab dah lama tinggalkan lahjah 'ammi ni", balas saya tersenyum sipu.  

Setelah itu, kami pun berpisah. Saya menuju ke arah kereta saya sedangkan Yasir masih tidak berganjak dari tempatnya. 

Semasa baru saja sampai ke Syria, saya tidak berani untuk berjalan seorang diri kerana masih tidak biasa dengan slang atau lahjah 'ammi yang digunakan oleh orang-orang tempatan. Tetapi setelah beberapa hari meneliti dan mendengar kalimah dan percakapan yang digunakan disamping bertanya kepada rakan-rakan yang tinggal di sana, saya semakin yakin untuk keluar sendirian. 

Namun malang sekali, banyak kalimah, istilah-istilah dan percakapan harian yang digunakan di sana tidak saya simpan, malah tidak diamalkan di sini sehingga banyak yang saya lupa, antaranya seperti meminta pemandu van atau teksi untuk berhenti di tepi jalan atau simpang, meminta dibungkuskan makanan dan sebagainya.     

SYNDROM TAKUT

Namun saya masih tetap bersyukur kerana selama berpayung di bawah teratak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), antara sumbangan besar yang ia telah berikan kepada saya ialah, ia telah menyediakan satu suasana lanskap pendidikan yang menggalakkan kita untuk mempertajamkan bahasa.

Saya tidak pasti bagi orang lain. Tetapi bagi saya, di sinilah tempat mulanya saya mangasah kemampuan saya berbahasa Inggeris dan Arab. 

Keberanian saya bermula di sini.

Saya masih ingat lagi ketika kelas Englis semasa tingkatan 3 dahulu, kami ditugaskan oleh Mu'allimah Norbaya untuk membentangkan kerja berkumpulan kami di depan kelas di dalam bahasa Inggeris. Setiap kumpulan perlu melantik seorang wakil ke depan kelas untuk membentangkan setiap hasil kerja berkumpulan mereka. Dalam kumpulan saya, tak semena-mena ahli kumpulan telah sebulat suara melantik saya sebagai wakil kumpulan untuk membentangkan hasil kerja kami. 

Yang lebih menggerunkan, saya pula yang disuruh menjadi pembentang pertama.  

Waduh, waduh, waduhhh ...

Allah saja yang tahu bagaimana saya bercakap Inggeris pada waktu itu. Bak kata orang ... asal jalan sudah. Bahkan gementar itu masih belum hilang walaupun setelah selesai membentang. Takut.  

LIDAT LIAT

"Budak-budak ni ana dah khususkan sabtu dan ahad untuk kelas bercakap je", cerita ustaz Fakhrurrazi mengenai perjalanan sekolahnya.

"Owh yeke. Habis tak mengaji ke nahu sorof semua tu?", saya bertanya

"Yang tu dah ngaji dah dalam kelas isnin sampai jumaat. Sabtu dan ahad ni hari untuk belajar bercakap je", jelas ustaz sambil duduk-duduk di meja bulat bawah pokok.

"Ana nak dorang semua mahir bercakap dulu, kemudian baru dibetulkan dengan grammar arab yang dorang ngaji tu", sambung ustaz lagi.

"Ye la, bercakap dalam keadaan dah tahu grammar ni ana rasa payah lagi dari bercakap dalam keadaan tak tahu apa-apa, sebab bercakap dengan tahu grammar ni yang buat kita takut nak bercakap, takut silap", saya memberi pandangan.

"Tu la, sebab tu ana buat kelas ni supaya dorang dapat kedua-duanya", balas uztaz.  

Lidah ini seperti tepung yang tidak diuli. 

Liat.

Tetapi semakin lama ia diuli, pasti ia akan menjadi semakin lembut. Ia perlu sentiasa diuli melalui proses percakapan dan pertuturan. Grammar, nahu dan sorof hanya berperanan sebagai tangan-tangan yang mengadunkan. Begitu juga dengan bi'ah dan suasana. Semua ini berfungsi sebagai alat untuk membantu kecekapan kita untuk bertutur dan menulis. Akan tetapi, kecekapan bercakap itu asasnya adalah pada keberanian kita untuk bertutur. Letaklah kita di mana sekalipun dan ajarlah setinggi manapun ilmu bahasa itu, selagi kita enggan bercakap dan bertutur, selagi itulah lidah kita akan liat dan keras seperti tepung yang tidak diuli. 

PERBUALAN DENGAN SYEIKH OTHMAN 

"Owh, azhunnukum minal 'arab", saya terkejut dengan beliau yang terlalu fasih bercakap arab.

"La', ana minal 'ajam misl antum", jelas beliau.

Saya sangkakan beliau anak kelahiran Saudi kerana ramai juga warga Saudi yang berkulit hitam. Rupanya beliau adalah warga negara Gana yang majoritinya Kristian dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium rasmi pertuturan. 

"Kenapa tuan tidak menggunakan bahasa Gana sebagai bahasa rasmi negara?", saya bertanya.

"Gana mempunyai banyak qabilah dan setiap qabilah mempunyai bahasanya yang tersendiri. Terlalu sukar untuk kerajaan menetapkan satu bahasa standard untuk kami. Jadi sebagai jalan penyelesaiannya, kami menggunakan bahasa Inggeris", ulas beliau.

"Habis di mana tuan belajar bahasa arab ni?", tanya saya ketika kami sedang berbual-bual di dalam musolla Sidiq selepas selesai solat Maghrib berjemaah. 

Sejak sekian lama mempelajari kitab hadis sendirian daripada beliau, baru saat itu kami berpeluang untuk berbual-bual panjang. Itupun kebetulan kerana saya ingin memberitahu keuzuran saya tidak dapat hadir pada beberapa kelas sebelumnya. Disebabkan pengajian dibuat selepas solat subuh, masa hanya cukup untuk mengaji saja kerana saya mempunyai kelas di waktu pagi dan beliau pula ingin mengulang bacaan al-Qurannya. Jadi masing-masing tidak punya masa untuk berbual-bual panjang. 

"Semua itu saya dapat semasa di sekolah dulu. Semasa di sekolah rendah, ustaz-ustaz mengajar di dalam bahasa Inggeris. Tetapi setelah masuk ke sekolah menengah, semuanya diajar dalam bahasa Arab. Kami pun diwajibkan bahasa arab juga", cerita beliau.

"Kemudian saya sambung belajar di Madinah. Di situpun sudah bahasa arab", sambung beliau lagi.

Lama juga kami berbual, sehingga tidak sedar telah masuk waktu Isyak. Saya sangat ta'ajjub dan kagum dengan kemampuan bahasa arabnya. Walaupun beliau bukan arab, tetapi beliau mampu memberikan khutbah ringkas yang kadang-kadang diadakan selepas solat di hadapan orang-orang arab.          

"Ana uhibbu an atakallam fi lughatil arabiah. Ma hia nasihatuka 'alayya likai yumkin akunu misluk?", saya mengambil peluang untuk mendapatkan nasihat beliau.

"Untuk dapat semua itu, kamu mesti banyak mendengar, membaca dan selalu berlatih. Saya pun bukan arab macam kamu juga, tetapi sebab pembelajaran saya dalam bahasa arab sejak sekolah lagi, jadi di situlah saya belajar. Insyallah dengan latihan kamu akan mahir bercakap", nasihat beliau. 

Setelah itu, kami pun bangun menunaikan solat sunat Isyak dan beliau mengimamkan jemaah kemudiannya.

PPSMI PERLU DIMANSUHKAN



Isu ini memang sudah lama.

Tetapi perjuangan untuk menghapsukannya masih segar dan perlu diteruskan. Ia bukan agenda politik untuk meraih simpati rakyat, tetapi merupakan agenda rakyat dan suara ibu bapa yang tidak mahu menggadaikan masa depan anak-anak mereka. 

Bukan pada pembelajaran bahasa Inggeris itu yang kita tentangi, tetapi kami menentang pada perlaksanaannya kepada subjek Sains dan Matematik. 

Itu yang kami persoalkan. 

Semasa ceramah PPSMI yang dianjurkan oleh TERAS beberapa hari yang lalu di Ipoh, YAB Datok Seri Ir Nizar Jamaluddin ketika di awal perlantikannya sebagai Menteri Besar Perak dulu menjelaskan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan khas dengan Datok Seri Hishamuddin Tun Hussein yang merupakan Menteri Pendidikan semasa itu. Beliau yang datang mewakili hasrat seluruh rakyat Malaysia memohon dan meminta agar PPSMI ini dihapuskan. Namun beliau menceritakan betapa hasrat itu langsung tidak dihiraukan, bahkan Datok Seri Hishamuddin menjawab, "Frankly speaking, I'm not really clear about its certainty".

Ini menunjukkan betapa kerajaan tidak serius dalam perlaksanaan pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris sehingga Menteri Pendidikan sendiri boleh menjawab sedemikian. Bahkan lebih teruk dari itu, beliau secara khususnya dan kerajaan secara umumnya langsung tidak mempedulikan hasrat dan tuntutan rakyat, apatah lagi - saya percaya - untuk mengadakan sidang meja bulat bagi mengkaji dan mempertimbangkan semula perlaksanaan ini secara serius.    

Bahkan, seperti mana yang diulas oleh Datok Seri Nizar, tujuan utama perlaksanaan ini adalah bagi melumpuhkan perkembangan sekolah-sekolah agama rakyat yang kian mendapat tempat di mata ibu bapa memandangkan sekolah-sekolah kerajaan gagal untuk membentuk akhlak dan keperibadian anak-anak mereka menjadi insan yang baik. Mereka sedar yang guru-guru SAR ini kebanyakkannya adalah daripada guru-guru sukerala tidak terlatih. Oleh itu dengan perlaksanaan PPSMI ini secara tidak langsung akan menyulitkan lagi guru-guru tidak terlatih ini dan di dalam masa yang sama menimbulkan rasa keraguan kepada ibu bapa akan kemampuan mereka untuk mengajar subjek-subjek ini di dalam Bahasa Inggeris. Kesannya, di Perak sebagai contoh, daripada 48 buah SAR kini hanya tinggal 22 buah SAR saja yang masih beroperasi. Itupun dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. 

Kalau kerajaan benar-benar ikhlas untuk membangunkan generasi muda Malaysia ke arah sebuah generasi yang maju dan berdaya saing di dalam bidang Sains dan Matematik, mengapa mengeluarkan pekeliling yang berbeza di antara sekolah-sekolah melayu dan sekolah jenis kebangsaan China? Mengapa kepada sekolah melayu, PPSMI diwajibkan sedangkan kepada SJK China diberi pilihan antara bahasa Inggeris dan China? 

Bukankah ini satu motif politik?

PERKEMASKAN SISTEM PEMBELAJARAN

Sebab itu, untuk menaik taraf kemampuan bahasa Inggeris anak-anak muda hari ini, apa yang perlu kita lakukan ialah dengan memperkemaskan sistem pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri ... bukan dengan menyucuk punggung bila gigi yang sakit.     

Guru-guru perlu diberikan latihan secukupnya samada dari sudut penyampaian dan silibus subjek tersebut. Penguatkuasaan juga perlu lebih diperkuatkan dengan mewajibkan setiap kelas bahasa Inggeris agar menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran. Para pelajar juga perlu dilatih bahkan diwajibkan berbahasa Inggeris bermula sejak awal persekolahan lagi. Selain itu, perbanyakkan program-program yang menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris bagi membiasakan para pelajar dengannya.

Di UIA sebagai contoh, semuanya diajar di dalam bahasa Inggeris kecuali Fakulti Ilmu Wahyu dan subjek-subjek Undang-Undang Syariah saja yang menggunakan Bahasa Arab sebagai medium pempelajaran. Bukan sekadar itu saja, program-program universiti juga memanfaatkan bahasa Inggeris ketika menjalankan program. Khutbah jumaat pun begitu, khatib hanya dibenarkan samada untuk menggunakan bahasa Inggeris atau Arab atau kedua-duanya ketika menyampaikan khutbah. 

Pelajar-pelajar UIA

Oleh itu, secara tidak langsung kaedah ini akan menggalakkan para pelajar untuk belajar dan mempertingkatkan penguasaan mereka di dalam kedua-dua bahasa ini. Bahkan ramai juga pelajar terutamanya dari Tanah Besar China dan segelintir pelajar-pelajar arab dan afrika yang dulunya tidak tahu berbahasa Inggeris, tetapi meningkat sedikit demi sedikit disebabkan oleh pengaruh suasana yang membina.    

Sekurang-kurangnya, kalaupun tidak sefasih mana, setidaknya ia telah menyediakan ruang dan peluang untuk para pelajar menyemai sifat berani dan minat untuk mencuba.  

Itu yang penting.

Oleh itu, sebagai seorang yang cintakan negara, saya memohon agar para pembaca sekalian memberikan pengajaran kepada UMNO dan Barisan Nasional di dalam PRU-13 yang akan datang selagi isu PPSMI ini tidak diselesaikan kerana kita tidak mahu para pemimpin yang tidak serius untuk membangunkan sebuah generasi masa hadapan. 

Kalau tidak .. mereka hanya kenyang perut dan generasi kita makin tergadai. 

Ketahuilah bahawa kita bertanggungjawab hari ini demi kejayaan sebuah generasi masa hadapan


Wednesday, 13 May 2009

Mari fikir sejenak

Salam ...

Ketika membaca buku ((Tarbiyatul Awlad)) karangan Syeikh Abdullah Nasih Ulwan, beliau telah membawakan satu misalan yang cukup menarik perhatian saya:



Contoh pertama:

Pernahkan anda melihat sebuah cerek berisi air yang dipanaskan dengan nyalaan api yang kuat? Apakah yang akan anda lakukan setelah anda mendapati air di dalam cerek itu telah menggelegak sedangkan ia ditutup rapat tanpa sebarang ruang untuk mengeluarkan wap-wapnya? Apakah anda akan memadamkan nyalaan api itu atau membuka penutup cerek itu atau membiarkan terlebih dahulu sementara mencari kain untuk mengangkatnya?



Contoh kedua:

Ataupun anda panaskan sebuah kuali yang mempunyai sedikit saja air di dalamnya. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya anda membiarkan ia dipanaskan begitu lama? Tidakkah lama-kelamaan air itu akan mula tersejat dan kuali itu mula kekeringan disebabkan oleh kepanasan yang lama?

Erm, saya sedang memikirkan sedalam-dalamnya apakah sebenarnya yang ingin dijelaskan dari misalan-misalan ini. 

Mari fikir sejenak.
 

Tuesday, 12 May 2009

Pastikan secukup rasa ..

"Fitri malam ni giliran anta memasak", tegas Fizi, tuan rumah ketika kami di Syria dulu.

"Yeke, lupa plak. Ok-ok", saya membalas.

Petang itu saya dan Aiman Aizuddin keluar bersama-sama ke Suq Sarijeh untuk membeli peha dan kepak ayam. Saya tidak ingat berapakah harganya waktu itu. 

Itu kenangan kira-kira 3 tahun yang lalu. Dah lama sangat rasanya saya tidak memasak.



Seingat saya, itulah kali terakhir saya sungguh-sungguh memasak. Kami yang tinggal sepuluh orang serumah terpaksa membahagikan jadual memasak untuk memastikan waktu makan terurus dan semua orang tidak kelaparan. 

Namun, disebabkan masing-masing mempunyai perancangan di siang harinya, maka kami memutuskan untuk makan bersama pada waktu malam saja manakala waktu pagi dan tengaharinya terpulang kepada kehendak masing-masing. Lagipun di siang harinya masing-masing tiada di rumah. Ada yang ke kelas, ke Cyber Cafe, menadah kitab, berjalan-jalan ke pekan dan sebagainya.

"Ya mu'allim, shawarma wahid ..", saya memesan kepada tokey kedai yang dipanggil mu'allim. Inilah makanan seharian saya kalau berada di luar kerana harganya murah dalam LE 2.50 dan mudah pula didapati di mana-mana. 


Shawarma


Fosihah, semacam Pizza yang serba ringkas. Intinya pelbagai.

Ataupun kalau tidak ke mana-mana, busuk-busuk pun, saya membeli maggi buatan Malaysia di kedai runcit berdekatan dengan rumah. Dalam 2 minit saja berjalan. Harganya baru LE 10. Kenyang juga walaupun hanya mengunyah tepung maggi dan menghirup kuah. Begitulah, bila dekat jeling-jeling, bila jauh rindu-rinduan. Itulah maggi buatan Malaysia. 

Walaubagaimanapun, itulah adat dalam bermusafir, perlu dahulukan rasa susah sebelum memikirkan rasa senang. Banyak yang saya belajar ketika berada di sana.  

Tapi dalam sepuluh orang itu bukanlah semuanya tahu memasak. Yang memasak mungkin dua orang saja, manakala 2 orang lagi ada yang membeli bahan memasak, beras, membancuh air dan sebagainya. 

Walaupun saya bukanlah tahu sangat memasak, tapi saya merupakan diantara orang yang memasak. 

"Campur je rempah kari dan kurma tu sekali, biar pekat sikit", Aiman memberikan cadangan.

Saya pun tak tahu entah dari mana resepi tersebut dia dapat. Tapi sedap juga. 



Syria tidak seperti di Malaysia. Kita beruntung kerana dianugerahkan dengan pelbagai jenis perkara yang boleh dimakan. Jangan mimpilah untuk makan ikan, udang, ketam dan sotong kerana harganya mahal. Bahkan susah sekali untuk bertemu dengan orang yang menjualnya. Yang ada hanya ayam dan kambing. Bagi kami yang bermusafir ni, hanya kepak dan peha ayam saja yang layak untuk kami makan sebab bahagian lainnya agak mahal. 

Saya pun dah lupa apakah istilah peha dan kepak yang disebut oleh mereka di sana. Erm, rugi benar rasanya. 

"Emak, seminggu dua ni jangan masak ayam. Adik dah tak lalu dah nak tengok ayam je", saya pinta kepada emak semasa awal-awal kepulangan ke Malaysia.

Kembali.

Jadi, bila perkaranya sama, maka masakannya juga tidak jauh berbeza. Balik-balik pusing lauk yang sama... masak kari, kurma dan kicap. Cuma seingat saya, hanya sekali saja kami dihidangkan dengan ayam masak tomato. Wah, enak sungguh lauk yang dihidangkan pada hari itu. Terima kasih Shahir kerana menyediakannya untuk kami.    

HARI NI SAYA KEMBALI KE DAPUR

"Adik masak boleh hari ni?", mak yang sedang duduk sambil menggosok baju di ruang rehat rumah bertanya.

Oleh kerana sudah hampir seminggu pembantu rumah kami tidak datang bekerja kerana sakit, baju di dalam bakul pula semakin berlonggok-longgok tidak bergosok. Jadi terpaksalah mak yang menggosoknya.   

"Nak masak ape mak?", saya lantas keluar dari bilik meluru ke arah mak.

"Mak dah keluarkan ayam dan ikan kat dapur tu. Masak la ayam masak halia ke, yang ikan tu masak celok plak", jelas emak.

"Erm, elok gak aku masak. Dah lama rasanya tak memasak ni", hati saya berkata-kata.

Lagipun kasihan tengok mak sudah berhari-hari menggosok baju. Jadi eloklah rasanya saya meringankan beban emak. 

Saya tuntas turun ke dapur untuk memasak. Maklum la sudah lama jari-jari ni tidak menari-nari di depan kuali, agak keras juga di peringkat awalnya dan banyak yang saya lupa. Apa yang perlu didahulukan serta apa pula ingredien-ingrediennya. 

Tapi alhamdulillah, atas bantuan sikit-sikit dari mak, inilah hasilnya ... Silakanlah menjamu selera.   

Ikan masak celok

Ayam masak halia


Selesaikan Krisis Perak atau UMNO diMuziumkan

Salam perjuangan

Setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengisytiharkan YAB Datok Seri Ir Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, apa yang saya harapkan daripada UMNO dan Barisan Nasional ialah menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka kerana keputusan yang dibuat telahpun melalui kaedah dan prosedur yang betul. 

Hormatilah keputusan tersebut dan marilah kita pulangkan mandat kuasa demokrasi itu kepada rakyat semula. Namun, surat khabar The Star hari ini melaporkan bahawa Barisan Nasional tetap dengan hasratnya akan membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan di atas keputusan yang telah dibuat oleh Hakim Abdul Aziz Abd Rahim petang semalam. Namun begitu, menurut Pengerusi Bar Council, Ragunath Kesavan ketika diminta untuk mengulas isu politik Perak semalam mengatakan, "there was no point in both Barisan dan Pakatan going to the courts on legal battles when the answer did not lie in the courts but in the hands of the people where it rightly belongs". Beliau menyambung lagi, "The issue will go on and on. Each round of legal battles promises finality but fails to deliver it. Time moves on but the business of running the state government continues to be sidelined". Benar, mereka berhak untuk membuat rayuan di peringkat yang lebih tinggi tetapi mengembalikan kepercayaan penuh kepada rakyat merupakan kemuncak penghayatan Demokrasi bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlanjutan selama 3 bulan ini. Sekiranya DUN berjaya dibubarkan dan piliharan raya diadakan semula di negeri Perak, maka biarlah rakyat yang menentukan siapakah kerajaan yang mereka mahukan dan hormatilah kehendak mereka kerana jika kita kemelut politik Perak ini tidak diselesaikan dengan segera, maka seperti mana yang dinyatakan oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar semalam, "the real losers are the people of Perak".

Maka dengan sebab itulah Pakatan Rakyat akan sedaya upaya memohon perkenan Duli Yang Teramat Mulia agar memperkenankan kehendak rakyat Perak agar DUN dibubarkan dan pilihanraya diadakan semula bagi memastikan keadilan dan kepuasan dinikmati oleh semua pihak.

Akan tetapi, jika UMNO dan Barisan Nasional mahu meneruskan kemelut politik ini berlanjutan, saya khuatir ekonomi negara yang semakin nazak ini akan terus meruncing disebabkan oleh ketidakseimbangan pentadbiran kerajaan yang jitu. Apakah kita sudi menjadi seperti Palestin yang terpaksa berdepan dengan pelbagai krisis luaran dan dalaman yang masih tidak berkesudahan? Kesannya, rakyat terpaksa menanggung pelbagai risiko hasil pertelingkahan yang berlaku sesama parti-parti politik. Sudahlah dunia tidak menghormati keputusan rakyat memilih HAMAS sebagai kerajaan mereka yang sah, FATAH pula masih tidak habis-habis ingin terus bercakaran dengan HAMAS. 

Perang Indochina ataupun Konflik Vietnam seharusnya menjadi iktibar kepada kita yang walaupun kemelut politik yang berlaku di Perak ini masih belum ke arah berlakunya peperangan dan pertempuran darah, tetapi apa yang kita saksikan pada hari ini sudah cukup menjadikan Perak sebuah negeri yang kucar kacir pentadbiran dan pengurusannya sehingga ramai pelabur-pelabur lari dan membatalkan niat dan perjanjian mereka untuk melabur di dalam negeri. Pertembungan di antara Republik Demokratik Vietnam (dipanggil juga Vietnam Utara) dan sekutunya (Kesatuan Soviet) menentang Republik Vietnam (dipanggil juga Vietnam Selatan) dan sekutunya (Amerika Syarikat) yang berlaku hampir 10 tahun bermula pada awal tahun 1960 an dan berakhir pada 30 April 1975 sudah cukup untuk menjadi saksi betapa kemelut politik yang berlarutan bakal menghancurkan kemakmuran sesebuah tanah air sehingga rekod rasmi pembunuhan sukar untuk diperolehi. 

Kesan alam sekitar sukar dibuat nilaian. Kecacatan akibat keracunan Agent Orange tidak boleh dianggarkan secara tepat - berapa banyak keguguran yang berlaku, kelahiran cacat yang akhirnya membawa maut dan lain-lain. Ia menyebabkan kesan sosial yang hebat ke atas negara yang sudah luluh akibat peperangan yang dahsyat. 

Dalam keadaan negara yang baru mahu terus membangun dari sejarah hitam yang panjang, kini Vietnam turut sama terkesan dengan krisis ekonomi yang teruk kesan daripada ekonomi dunia yang tidak stabil. Kesan daripada peperangan dan krisis yang panjang ini, hari ini rakyat terpaksa menanggung pelbagai risiko kehidupan yang membebankan. Mereka perlu bertatih-tatih untuk membangun ekonomi negara yang lumpuh lama sewaktu ketika dahulu. 

Justeru, untuk mengelakkan sebarang krisis terus berlaku, maka parti politik perlu mengambil langkah damai bagi membendung masalah ekonomi dari terus meruncing. Bukan itu sahaja, kita tidak mahu kemelut politik yang berpanjangan ini menyebabkan rakyat merasa muak dan jelik untuk mengambil tahu tentang perkembangan politik tanah air sehingga akhirnya, tidak mustahil rakyat akan ramai-ramai bermogok, boikot dan meninggalkan tanggungjawab mereka untuk mengundi dan sebagainya. Yang menjadi mangsa bukan sahaja parti politik, bahkan seluruh rakyat akan turut merasai bahangnya akibat suasana politik yang tidak reda-reda. 



Maka, demi untuk memastikan pembangunan negeri kembali berjalan dengan baik, pengurusan dan pentadbiran negeri diurus dengan tenang dan percambahan ekonomi berlangsung dengan licin, UMNO dan Barisan Nasional perlu kembali kepada falsafah politik kepartian itu semula iaitu berjuang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Inilah yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat. Jika perkara ini tidak dihayati, saya teramat yakin pada PRU 13 yang akan datang, UMNO benar-benar akan dimuziumkan di dalam Muzium UMNO yang terletak di Kota Melaka sana. 


Monday, 11 May 2009

Terima Kasih Hakim Abdul Aziz Abd Rahim


[nizar_mahkamah_new.jpg]

Salam perjuangan ...

Tiada kalam yang mampu saya ungkapkan selain mengucap rasa syukur kepada Allah SWT di atas keputusan yang telah dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan YAB Datok Seri Ir Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. 

Teruslah berdoa kepada Allah SWT agar Duli Yang Teramat Mulia Sultan Perak memperkenankan agar DUN Perak dibubarkan secepat mungkin. 

Namun begitu, saya tidak mahu mengulas panjang mengenai isu yang amat mengembirakan seluruh rakat Perak ini. Lagipun, isu ini telah dan pasti banyak diulas oleh blogger-blogger lain yang saya kira tidak perlulah untuk saya memanjang-manjangkan arus perbincangan ini. 



Apa yang ingin saya sentuh adalah mengenai sebuah analisis yang dibuat oleh seorang tokoh sosialis terkenal, Professor John Esposito yang mengulas mengenai penceburan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia di dalam demokrasi di dalam bukunya ((Islam and Democracy)). 

Menurut kajian yang beliau lakukan terhadap sebahagian besar gerakan Islam di dunia seperti di Mesir, Algeria, Turki dan sebagainya, beliau telah membuat kesimpulan bahawa golongan yang telah mencabul kemurniaan demokrasi bukanlah datangnya daripada gerakan-gerakan Islam, tetapi golongan sekular dan nasionalis.  

Golongan sekular dan nasionalis yang selama ini menganggap diri mereka sebagai jaguh dalam mempertahankan sistem demokrasi inilah sebenarnya golongan yang telah mengoyak-ngoyakkan prinsip demokrasi, kerana mereka tahu bahawa mereka akan kecundang dengan kebenaran yang diperjuangkan oleh gerakan Islam ini jika prinsip demokrasi terus diperlihara. Untuk mengekalkan hegemoni mereka, maka demokrasi dicabul dan digadaikan dengan begitu rakus sekali.    

Walaupun keberadaan gerakan-gerakan Islam di dalam demokrasi politik dianggap seperti seekor singa yang dipenjara, mereka tetap sabar dan masih tetap menjunjung tinggi undang-undang serta prinsip-prinsipnya. Bahkan berkat kesabaran itulah yang membuatkan rakyat mula bersimpati dengan kezaliman golongan sekular dan nasionalis terhadap apa yang telah diperlakukan ke atas gerakan-gerakan Islam ini.   

UMNO PENCABUL DEMOKRASI MALAYSIA

Apa yang berlaku di Perak khususnya dan di negara kita umumnya sudah cukup untuk membuktikan bagaimana sistem demokrasi negara begitu mudah dicabuli dan diperkosai oleh UMNO walaupun di siang hari. Undang-undang Tubuh Negeri Perak dilanggari, kuasa Speaker langsung tidak dipeduli dan kemuliaan Dewan Undangan Negeri dicalari dengan begitu hebat sekali sehingga membuatkan masyarakat terkeliru akan kesahihan undang-undang yang sebenarnya. Begitu juga mengenai isu pembelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa Inggeris, UMNO begitu berani sekali melaksanakannya walaupun ia jelas-jelas bertentangan dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Tetapi demi untuk menyekat kebangkitan Islam dan kemaraan rakyat, mereka sanggup menggadaikan masa depan generasi muda dan mencabul ketinggian undang-undang.  

Namun apa yang berlaku petang tadi telah menjadi bukti betapa masih terdapat golongan yang tidak sanggup melihat pencabulan undang-undang dan prinsip demokrasi terus dicabuli. Bagi saya, Hakim Abdul Aziz Abd Rahim adalah tokoh yang perlu diberikan sanjungan tinggi oleh kita semua disebabkan oleh keberanian beliau memutuskan keputusan yang benar dalam keadaan sistem kehakiman negara yang telah dicemari oleh najis-najis penyelewengan.

Walaupun seperti yang dinyatakan oleh Prof Salleh Buang, seorang pakar Undang-undang di dalam Asto Awani sebentar tadi bahawa UMNO dan Barisan Nasional mempunyai peluang untuk membuat rayuan di Mahkamah Rayuan (Appeal Court), tetapi Dr Abu Hassan Hasbullah pula mengatakan bahawa sebaik-baiknya isu ini biarlah ditentukan oleh rakyat Perak sendiri untuk membuat keputusan. Biarlah rakyat Perak yang menentukan siapakah kerajaan yang mereka inginkan, manakala BN dan Pakatan Rakyat perlu akur dengan sebarang kuputusan rakyat selepas itu. 

Justeru, kita mengharapkan sesuatu yang positif daripada Sultan Perak agar memperkenankan kehendak rakyat Perak keseluruhannya untuk membubarkan DUN. 

Adakan Pilihanraya semula di negeri Perak, ini saja jalan yang terbaik untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan ini. 

Kalau rakyat sudah memutuskan bahawa Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang mereka inginkan, mengapa perlu UMNO dan Barisan Nasional membuat rayuan lagi? Saya yakin, apa yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat Perak selama ini adalah demi untuk mempertahankan aspirasi rakyat dan saya juga yakin bahawa rakyat sudah pasti amat gembira dengan keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah sebentar tadi. 

Tetapi kalau UMNO dan Barisan Nasional masih bertegas lagi untuk membuat rayuan, sedangkan rakyat telah membuat keputusan, bermakna mereka tidak lagi menghormati kehendak rakyat dan tidak lagi berjuang untuk kepentingan mereka, tetapi sebenarnya mereka berjuang untuk kesombongan mereka sendiri.    

Kembalikan HAK DEMOKRASI kepada RAKYAT

Selamat Hari Ibu



"Selamat hari ibu mak", saya mengucup tangan mak pagi tadi.

Mak tersenyum riang saat mendengar saya mengucapkannya. 

"Jom kita pergi Pizza Hut petang ni, tapi mak belanja lah", saya ketawa. 

Walaupun hari ibu sudahpun sehari berlalu, tetapi tiada salahnya untuk saya mengucapkannya pada hari ini. Lagipun semalam emak tiada di rumah, dan saya pula berada di Air Kuning Taiping untuk mengikuti Muktamar Pemuda PAS Perak kali ke-26.

AMBIL YANG JERNIH, BUANG YANG KERUH

"Actually not tradition pun tapi saja nak wish umi. Tak salah kan?", seseorang bertanya.

"Hish, mana boleh sambut hari ibu ni, perayaan kaper !!", ada yang menyanggah.

Menurut sejarah, sambutan hari ibu ini ada hubungkaitnya dengan keagamaan Kristian. Ia merupakan satu festival keagamaan yang diraikan di seluruh negara-negara Eropah bermula sejak zaman Neolitik lagi dengan sebutan Mothering Day. Bagi kepercayaan Rome, Mothering Day disambut sebagai tanda penghargaan kepada Dewi Cybele yang berlangsung pada pertengahan bulan Mac. Ia terus kekal menjadi sebahagian daripada upacara keagamaan walaupun setelah itu Empire Rome dan Eropah menganut agama Kristian.

Akan tetapi, Mothers Day yang diraikan pada hari ini adalah hari yang dipelopori oleh Anna Javis yang berasal daripada West Virginia, Amerika Syarikat.   

Pada tahun 1907, dua tahun setelah ibunya meninggal dunia, beliau mengadakan hari peringatan ke atas ibunya, Ann Maria Reeves Jarvis dan kemudiannya menyemarakkan kempen meraikan hari Mothers Day sebagai hari cuti awam. Usaha beliau berhasil di mana pada tahun 1914, hari Mothers Day telah diiktiraf sebagai hari cuti umum.       

Ia merupakan hari yang dicipta sebagai penghargaan kepada pengorbanan dan penat lelah wanita yang bergelar ibu yang telah bersusah paya bersabung nyawa melahirkan anak-anak, seterusnya mendidik dan membesarkan mereka dengan sepenuh hati dan jiwa raga sebagai bukti kasih sayang dan cinta yang tidak berbelah bagi dari seorang ibu kepada anak-anaknya.  

Tidak dinafikan Hari Ibu bukanlah berasal daripada Islam, bahkan tidak tercatat di dalam seerah Rasulillah SAW dan riwayat-riwayat hadis yang menyuruh agar ditetapkan hari-hari tertentu sebagai Hari Ibu. 

Walaupun begitu, Islam mewajibkan agar kita senantiasa menghormati dan memuliakan ibu bapa. Tidak kira setinggi mana kedudukan dan ilmu kita mengatasi mereka, ketaatan kepada mereka tetap wajib diberikan selagimana mereka tidak melanggari perintah agama. Bahkan selepas mereka telah meninggal dunia sekalipun, kemuliaan terhadap mereka perlu tetap diberikan melalui doa dan penghormatan terhadap kawan-kawan baik dan kerabat-kerabat terdekat mereka(1)

Dengan itu, bukankah dengan meraikan hari ibu sudah termasuk di dalam mafhum Al-Quran dan As-Sunnah yang mewajibkan kita agar memuliakan mereka? 

Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling layak untuk aku memberikan kebaikkan? Rasulullah SAW lantas menjawab: Ibu kamu. Kemudian lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Ibu kamu. Lelaki itu bertanya lagi soalan yang sama. Rasulullah SAW menjawab: Ibu kamu. Dan kemudian barulah baginda menyebut: Bapa kamu" ((Hadis riwayat al-Bukhari)) 

Selain itu, diantara banyak nasihat Luqman kepada anaknya, al-Quran telah merekodkan bahawa beliau telah menasihatkan agar anaknya memuliakan ibu bapa:

أن اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ
"Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu" (Luqman: 14)

Memahami perintah yang disebutkan di dalam surah Luqman ini, apakah dengan meraikan hari ibu itu tidak termasuk di dalam perintah untuk mensyukuri kedua ibu bapa kita? 

Namun begitu, terdapat batasan-batasan yang perlu diteliti supaya kita tidak tersilap dalam memahaminya. Pertamanya, jangan kita menganggap bahawa 10 Mei yang ditetapkan ini sebagai suruhan agama. Keduanya, tidak sepatutnya penghormatan terhadap ibu itu hanya tertakluk pada hari tersebut sahaja sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakkan orang-orang Eropah. Sekiranya berlaku sedemikian, maka itulah bid'ah yang diada-adakan.      

Di samping itu juga, keterbukaan dan kesyumulan Islam sudah cukup menjadi asas bahawa ia amat meraikan semua kebaikkan yang memberikan keuntungan dan manfaat yang berguna kepada manusia walaupun ia diasaskan oleh selain Islam. Apa yang penting, kebaikkannya diambil manakala keburukannya dibuang agar kemurniaan Islam terus terpelihara, sesuai dengan pepatah Melayu, "Ambil yang JERNIH, Buang yang KERUH".  

HARI YANG DILUPAKAN

"Kenapa tiba-tiba buang tebiat dia ni?", mungkin begitu agaknya hati mak berkata-kata. 

Maklumlah, ini kali pertama saya mengucapkan selamat hari ibu kepada emak. Agak kekok juga tadi sebenarnya sebab ia bukanlah 'trend' yang kami anak-anak raikan di dalam keluarga. 

Mak juga agak terkejut. 

Namun, pasti ramai di antara kita juga yang terlupa dengan hari penting ini. Salah satu faktornya mungkin kerana kita menganggap bahawa ianya tidaklah begitu bermanfaat untuk diperingati sehingga kita sendiri tidak mengetahui tarikhnya. Walhal saya begitu yakin, tentu ramai di kalangan ibu-ibu yang ternanti-nanti ucapan "Selamat Hari Ibu mak", "Happy Mothers Day umi" daripada anak-anak mereka.

Walaupun ramai juga diantara ibu-ibu yang tidak mengingati tarikh 10 Mei ini, tetapi ia sudah cukup untuk mengejutkan mereka sekiranya si anak tiba-tiba mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada mereka.  

IBU DIHARGAI, ANAK PUNYA SENSITIVITI

Bagi saya, masalah kekeluargaan bukan saja berlaku disebabkan oleh konflik yang berlaku diantara si suami dan isteri, malah anak-anak juga kadang-kadang tidak ketinggalan dalam memberikan sumbangan kepada krisis ini. 

Kadangkala, ayah dan ibu boleh bergaduh kerana kenakalan dan keburukan perangai anak-anak di luar rumah. Si ayah menyalahkan ibu kerana gagal mendidik anak-anak di rumah sehingga anak-anak terbiar liar dengan berkawan dengan orang-orang yang tidak dikenali. Manakala si ibu pula menuding jari kepada si ayah kerana terlalu sibuk dengan "wang, wang & wang" sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ayah. Masing-masing mempertahankan hak masing-masing untuk membenarkan diri sendiri sehingga berlakunya keretakan di dalam hubungan kekeluargaan. 

Puncanya adalah "kita" sebagai anak-anak yang terkadang lupa untuk memperhatikan tingkah laku kita di luar, sehingga kesan buruknya akan kembali kepada ibu bapa kita sendiri akhirnya. 

Jangan salahkan ibu bapa yang mendidik, salahkan kita yang tidak tahu mengenang budi. 

Oleh itu, sekiranya "kita" selaku anak-anak mampu memanfaatkan kesempatan 10 Mei ini untuk mengucapkan selamat Hari Ibu buat ibu yang tercinta, pasti ia mampu menyuburkan lagi hubungan cinta dan kasih sayang di antara si ibu dan anak-anak. Kesannya, si ibu dan anak-anak akan terus mencuba untuk menjadi ibu dan anak-anak yang terbaik, kerana si ibu merasa dirinya diHARGAI, manakala anak punya SENSITIVITI.   

Justeru itu, pulanglah ke rumah dan ucaplah, "SELAMAT HARI IBU". 

Ya Allah, 

Berikanlah kepada ibuku balasan yang sebaik-baiknya
 atas didikan dan kasih sayang yang
 telah beliau curahkan padaku. 
Peliharalah dia sebagaimana dia memeliharaku. 

---------------------------------------

(1) Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sebaik-baik kebaikkan ialah seseorang anak yang menyambung pertalian orang yang disukai oleh ibu bapanya" ((Hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan At-Tirmizi. Rujuk Adab al-Mufrab lil Bukhari, m.s 27))  

Di dalam hadis dhaif yang telah diriwayatkan oleh al-Baihaqi, al-Haithami dan At-Tabrani, Rasulullah SAW telah bersabda: "Peliharalah hubungan orang yang disukai oleh ibu bapamu dan janganlah kamu memutuskannya. Maka Allah SWT akan memancarkan nur kepada kamu" ((Adabul Musfrad, Imam al-Bukhari, m.s 26))  

 

Saturday, 9 May 2009

Buah nasihat Ustaz Jalal Al-'Alim kepada seluruh Umat Islam




Salam perjuangan ...

Terima kasih kepada saudara Syed Zaharul kerana mengunjungi blog saya. Sepertimana yang dipinta oleh beliau, insyallah saya akan membuat sedikit kupasan ke atas sebuah buku yang dikarang oleh Ustaz Jalal al-'Alim yang bertajuk ((SERUAN BARAT: HANCURKAN ISLAM, HAPUSKAN PEMELUKNYA)).

Menurut catatan saya, buku ini telahpun saya miliki pada 4 Ogos 2004, iaitu sejak lima tahun yang lalu. Saya tidak pasti samada ia masih terdapat di pasaran ataupun tidak. Saya mengharapkan sesiapa yang berminat dengan buku ini, anda boleh mencarinya di kedai-kedai buku yang menjual banyak buku-buku Islami.

Ia sebenarnya sebuah terjemahan dari bahasa Arab ke dalam Bahasa Melayu yang telah dibuat oleh Mohd Darus Senawi 'Ali. Namun, saya tidak pasti apakah judul asal buku ini kerana Dewan Pustaka Fajar yang merupakan penerbitnya tidak menyertakan judul asalnya sekali. 

Buku kecil yang mempunyai sebanyak 64 muka surat ini terangkum di dalamnya enam pokok besar perbincangan, bermula dengan:

1. Rancangan Barat Hancurkan Islam
2. Pendirian Barat Terhadap Islam
3. Tembok Perkasa
4. Musuh Yang Satu
5. Hancurkan Islam 
6. Pelan-Pelan Untuk Menghancurkan Islam

Walaupun saiznya kecil, tetapi ia sarat dengan pelbagai fakta dan informasi berguna yang saya kira amat wajar bagi setiap umat Islam untuk memilikinya. Ia amat bermanfaat kerana penulis cuba mendedahkan seluruh perancangan-perancangan jahat musuh-musuh Islam ke atas umat Islam. 

Untuk tujuan itu, penulis cuba mengembalikan beberapa fakta sejarah kerakusan dan kezaliman musuh-musuh Islam terhadap umat Islam di seluruh dunia seperti di Andalusia (Sepanyol) dan menggambarkan bagaimana kesan-kesan tindakan hari ini sebenarnya merupakan rentetan-rentetan pelan-pelan tindakan yang telahpun dirancang rapi sebelumnya. Dalam erti kata lain, sejarah pahit umat Islam hari ini sebenarnya bukanlah sejarah baru umat Islam, tetapi merupakan sebuah kesinambungan dari pelan tindakan musuh-musuh Islam terdahulu. 

Di dalam masa yang sama, penulis juga cuba mendedahkan stratergi-stratergi yang dirancang dan yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk memecah belahkan kesatuan dan melemahkan kekuatan umat Islam, di antaranya menerusi penghapusan sistem pemerintahan Islam atau Khilafah Islamiah, merosakkan akhlak, minda dan hubungan mereka dengan Allah, menimbulkan keraguan di kalangan orang Islam terhadap agamanya sendiri serta merosakkan wanita-wanita Islam dan menggalakkan perlakuan sumbang di kalangan mereka. Dengan fakta-fakta dan sumber yang terpilih yang didatangkan, sebenarnya kesemua pelan-pelan tindakan ini sudahkan menyusup masuk dan berjalan di sekeliling kita.   

Sebagai penutup kepada kupasan ringkas ini, saya lampirkan kata-kata muqaddimah Ustaz Jalal al-'Alim sebagai tatapan para pembaca. Semoga ia membangkitkan jiwa dan ruh kekuatan kita untuk terus cinta dan hidup mati bersama Islam. 

Kepada setiap pemimpin dan penganjur di mana-mana sahaja di dunia Islam dan bangsa Arab secara khusus, seteru-seteru kita sedang melaung, "Kita mesti hancurkan Islam kerana ia adalah satu-satunya sumber kekuatan kepada umat Islam. Kita mesti menguasai mereka kerana Islam itu menakutkan kita. Adapun cara untuk menghapuskan mereka ialah dengan mengumpulkan seluruh tenaga kita sehingga mereka tidak akan menelan kita semua."

Sekarang, apa yang hendak kamu buat wahai golongan pemimpin dan penganjur?

Dengan Islam kamu dapat menawan alam sebagaimana kata para ulama dan ahli siyasah, dan sekarang mengapa kamu teragak-agak? Ayuh segeralah ambil Islam demi kemuliaan dan keagungan kamu. Jangan kamu menyanggahinya, kelak kamu dibinasakan Allah dengan azabNya. Dan ingatlah bahawa kesudahan orang-orang beriman akan menang. Telitilah hadis Rasulullah SAW berikut yg bermaksud: 

"Akan wujud sistem kenabian hingga ke suatu ketika mengikut kehendak Allah, kemudian berlalu, lantas timbul sistem khilafah terpimpin berdasarkan manhaj kenabian untuk satu ketika mengikut kehendak Allah, kemudian ia berakhir, lantas timbul kerajaan secara warisan mengikut kehendak Allah jua untuk satu tempoh, kemudian berakhir, kemudian muncul pemerintahan diktator untuk satu tempoh mengikut kehendak Allah jua, kemudia berakhir, kemudian tiba pemerintahan khilafah terpimpin mengikut manhaj kenabian memenuhi pelusuk bumi."

Wahai para pemimpin negara dunia Islam dan bangsa Arab secara khusus, jadilah kamu sebagai pembantu Islam dan bukan seterunya, nescaya Allah meredhai kamu dan manusia pun turut meredhai kamu. Kira dengannya nanti kamu akan berbahagia, seluruh bangsa kamu akan melingkungi kamu untuk kamu pimpin mereka kepada satu revolusi dunia yang pernah sejarah mengenalinya.

Wahai saudara-saudara pimpinan, pernah Rasulullah SAW menyeru suku bangsa Quraisyh supaya menyertai baginda. Baginda pernah menjanjikan tokoh-tokoh Quraisyh bahawa dengan Islam mereka akan memiliki bumi ini. Dengan itu, ingkarlah mereka yang mengingkarinya hingga di antara mereka mati dengan menentang keadilan Islam. Mereka disebut di dalam sejarah, tetapi di mana? ...Di tempat-tempat terhina. Seluruh manusia melaknati mereka hingga ke hari kiamat. Tetapi azab neraka mereka lebih berat dan pedih. 

Rasulullah SAW telah menjanjikan kita bahawa Islam akan memenuhi persada bumi, tidak ragu-ragu ianya pasti akan berlaku. Dan janganlah hendaknya kamu tergolong sebagai orang yang dicatat oleh sejarah sebagai golongan yang terkutuk sepanjang hayat. Tetapi jadilah sebagai orang yang bersama-sama dengan mereka yang memperolehi pertolongan Allah dan keabadian dariNya. Allah pasti memenangi urusanNya, malangnya kebanyakkan manusia tidak mengetahui.

Jalal Al-'Alim
Tripoli
15 Ogos 1974