Showing posts with label Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Tokoh. Show all posts

Saturday, 23 May 2009

Mulia ilmu dengan kerendahan diri




Salam perjuangan ...

Saya rasa pasti anda semua mengenali beliau. Inilah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, seorang ulama dunia yang amat saya kagumi. 

Bagi saya, pandangan serta fatwa beliau amat semasa dengan keadaan dunia sekarang. Ini disebabkan oleh manhaj Wasathiyyah yang sering beliau laung-laungkan serta keberanian beliau dalam mendepani isu-isu global umat Islam masa kini. Justeru dengan ketokohan itu, tidak hairanlah mengapa beliau diberi jolokan "Syeikhul Ummah" oleh ulama-ulama lain yang setaraf dengannya. Beliau bukan saja dikenali di kalangan tokoh dunia-dunia Islam, malah digeruni dan dihormati oleh tokoh-tokoh dunia barat. 

Prinsip yang beliau serukan ini bukanlah satu prinsip jelmaan baru Islam sepertimana Islam Hadhari jelmaan Pak Lah. Tetapi ia merupakan prinsip yang dihayati oleh nabi kita Muhammad SAW dan para sahabat RA. Oleh itu, prinsip yang beliau bawakan ini sebenarnya merupakan suatu penerusan kepada usaha untuk menghidupkan kembali semangat yang telahpun hidup di kalangan generasi terawal Islam dahulu. 



Prinsip ini kalau kita amati pasti dapat dilihat daripada ucapan-ucapan beliau, juga kebanyakan penulisan-penulisan beliau yang sangat mengharapkan agar umat Islam kembali kepada keaslian kefahaman Islam. Namun, pengembalian kepada keaslian Islam yang beliau serukan bukanlah dengan menafikan kepentingan mazhab serta keharusan bertaqlid kepada salah satu daripadanya, dan bukan juga suatu gerakan yang menafikan kewujudan serta kepentingan tasawwuf di dalam masyarakat. Keaslian yang beliau maksudkan adalah dengan meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sebuah institusi teratas melampaui mazhab-mazhab yang berperanan sebagai wasilah untuk sampai kepada pemahaman Islam yang benar melalui prinsip kesederhanaan di antara bermudah-mudah dan berlebih-lebihan. Inilah sebenarnya asas perjuangan beliau selama ini dan inilah juga antara beberapa faktor yang membuatkan saya amat mengagumi beliau.

Di samping memahami permikiran beliau melalui penulisan-penulisan beliau, saya juga sering meng"update" setiap khutbah dan forum kuliah beliau melalui program "As-Shariatu wal Hayah" kelolaan al-Jazeera di Youtube. Kebiasaannya, setiap bulan pasti akan ada tajuk perbincangan baru yang diupdate. Namun sejak akhir-akhir ini, agak sukar juga untuk mendapatkan "update" kuliah terkini beliau. Saya pun tak tahu mengapa. 

Contohnya seperti hari ini. 

Asalnya saya mahu mencari rakaman khutbah dan forum kuliah terkini beliau, tetapi gagal. Tetapi alhamdulillah, saya ketemu pula dengan rakaman lain beliau dan setelah mendengarnya, ia begitu memberi kesan kepada saya dan menambahkan kekaguman saya terhadapnya.

Justeru, saya kira, perlu untuk saya kongsikannya dengan para pembaca yang lain agar kita semua mendapat manfaat berguna daripadanya. Secara ringkasnya, video ini merakamkan ucapan Syeikh Al-Qaradhawi di Multaqa Ikhwan al-Muslimin di mana beliau telah menasihatkan kepada kita agar senantiasa mengikut resmi padi .. semakin tinggi, semakin tunduk ke bumi.
Untuk mendengar nasihat beliau selengkapnya, seeloknya perhalusilah setiap ucapan beliau dengan baik. 

Oleh itu, artikel di bawah ini merupakan terjemahan ucapan beliau yang sedikit sebanyak saya usahakan bagi membantu para pembaca yang tidak memahami bahasa Arab. Saya mohon maaf terlebih awal sekiranya terjemahan ini gagal memberikan maksud sebenar daripada ucapan beliau itu. Semoga beroleh manfaat.  



Ketika menangisnya Imam Al-Qaradhawi

Aku ingin mengatakan sesuatu wahai para ikhwah, 

Sesungguhnya kemuliaan dan pujian yang aku telah dengar tidaklah memperdayakan aku dan menipu aku daripada hakikat yang aku ketahui. Demi Allah, aku lebih mengetahui kelemahan dan kelalaian diriku sendiri. Dan sungguh telah berkata Ibn Atoillah di dalam Hikamnya: "Manusia memuji kamu dengan sesuatu kebaikan yang mereka lihat daripadamu. Maka jadilah kamu orang yang sentiasa mencela dirimu sendiri dengan pandangan baik orang kepadamu. Orang mukmin tidak meninggalkan keyakinan dirinya (kelemahan diri) disebabkan oleh tanggapan orang di sisinya". Demi Allah, tanggapan orang kepadaku tidak menyebabkan aku terpedaya daripada mengenali diriku sendiri. Dan aku tahu dengan kemurahanNya, Allah telah menutup (kelemahanku) dengan kecantikan tuntupanNya. Telah berkata Abul Atahiah: "Allah telah mencantikkan kami dengan tidak membuka seluruh kesalahan-kesalahan kami. Maka jika dibuka kesemua kesalahan itu, maka pasti jelaslah ia". Allah tidak menjadikan kesemua maksiat itu memiliki bau sehingga boleh dibau oleh manusia. Aku memohon kepada Allah agar Dia menutup (segala kesilapanku) di akhirat seperti mana Dia menutupinya di dunia. Sesungguhnya aku takut dengan kemuliaan dan pujian seperti ini akan menghapuskan segala pahala dan keagungannya. Imam Muslim telah meriwayatkan di dalam sahihnya, "Tiadalah seorang pejuang yang berjuang di jalan Allah, lalu dia diuji dengan ghanimah (harta rampasan perang) kecuali ditangguhkan baginya dua pertiga pahala dan hanya kekal sepertiga sahaja. Namun jika dia tidak diuji dengan ghanimah tersebut, pasti sempurnalah kesemua pahala itu". Dan aku takut wahai ikhwah, daripada pujian-pujian dan ucapan-ucapan saudara (kepadaku) akan menghapuskan dua pertiga pahala itu sehingga meninggalkan sepertiga sahaja. Inilah ghanimah bagi orang yang berilmu iaitu pujian dan kemuliaan orang kepadanya yang akan menghapuskan dua pertiga pahala itu. Jika kemuliaan ini menghapuskan dua pertiga pahala, maka amat rugilah. Dan jika sepertiga yang berbaki itu pula tidak sunyi daripada kelompongan dan keburukkan, maka apakah lagi yang tinggal untuk manusia? 

Ini adalah perjumpaan para pelajar dan sahabat. Saudara mengatakan "Imam al-Qaradhawi". Demi Allah, aku bukanlah ketua dan imam. Aku sedar bahawa aku adalah seorang jundi. Dan sesungguhnya aku adalah seorang pelajar. Aku akan terus menjadi pelajar. Orang berilmu yang sebenar ialah mereka yang senantiasa menjadi pelajar di sepanjang hidupnya, dan aku akan terus belajar dan mencari kerana masih banyak kejahilanku seperti yang dikatakan oleh imam kita As-Syafi'ie rahimahullah: "Setiap kali bertambahnya umurku, aku lihat lemahnya akalku, atau aku lihat bertambahnya ilmuku disebabkan kejahilanku". Dan benarlah firman Allah, "Dan tidaklah kamu diberikan sesuatu ilmu melainkan sedikit", "Dan katakanlah: Wahai tuhanku, tambahkanlah aku dengan ilmu". 

Aku belajar dengan beberapa sahabat di pejabat dan banyak yang telah aku pelajari daripada mereka sesuatu yang aku terleka dan tidak tahu mengenainya. Begitulah manusia belajar daripada pelajar-pelajarnya seperti mana kata sebahagian mereka kepada gurunya antaranya mengenai kisah Hud-hud di dalam al-Quran. Berapakah daripada kita yang belajar daripada pelajar-pelajar mereka? Telah berkata para salafussoleh RA: "Seseorang itu akan sentiasa menjadi alim dengan pencarian ilmu. Tetapi jika dia menganggap dirinya berilmu, sesungguhnya dia seorang yang jahil". 

Aku berhijrah ke Qatar pada 12 September 1961 dan aku telah ditugaskan sebagai mudir ma'ahad thanawi di sini. Seingatku ketika di ma'ahad dulu, aku telah diziarahi oleh seorang lelaki. Dialah lelaki pertama yang menziarahi aku. Beliau mengatakan, "Aku adalah saudaramu Abdullah bin Ibrahim al-Ansori yang merupakan seorang pelajar di bumi Qatar". Inilah kali pertama aku mendengar seorang alim mengatakan bahawa dirinya seorang pelajar dan aku begitu ta'ajjub dengan ucapan tersebut. Begitulah yang seharusnya dilakukan oleh manusia iaitu menjadi pelajar kepada ilmu .........           

Ini saja terjemahannya. Manakala ucapan selebihnya memasuki perbincangan yang lain. 

................................................................

Kesimpulan yang boleh saya simpulkan daripada ucapan beliau ini adalah:

~ Janganlah merasa bangga dan sombong dengan ilmu pengetahuan yang kita miliki kerana hakikatnya ia bukanlah milik kita, tetapi milik Allah. 

~ Tiada siapa yang mengetahui semua perkara dalam kehidupan ini walau sebesar mana sekalipun gelaran yang diperolehinya. Hakikatnya semuanya datang dari Allah. Kita sendiri adalah bodoh sebelum pandai dan memerlukan bantuan serta dokongan orang lain dalam mencapai kejayaan yang kita kecapi. Dalam erti kata lain, kejayaan dan kepandaian kita bukanlah kejayaan dan kepandaian yang mutlak, tetapi merupakan hasil sumbangan dan bantuan orang lain sebelumnya. Sekiranya kita merasakan bahawa kitalah orang yang paling berilmu, ingatlah bahawa keilmuan yang kita miliki tidak sampai setitikpun dengan lautan ilmu Allah SWT.  

~ Setinggi manapun kedudukan dan keilmuan kita, samada kita berlatarbelakangkan seorang doktor, peguam, jurutera, akauntan, guru dan alim ulama ... sentiasalah memakai pakaian para penuntut. Dengan itu, kita akan senantiasa merasa sedikitnya ilmu dan agungnya orang lain. Bagi mereka yang tidak mempunyai asas agama, dampingilah para ulama dan orang-orang soleh agar kita terkena tempiasnya. Semoga dengan keikhlasan dan kebersamaan kita bersama mereka akan terpancarnya keberkatan dari ilmu dan akhlak mereka sedikit sebanyak pada diri kita. Sebuah syair arab berbunyi: "Serupakanlah dirimu dengan mereka kerana menyerupai orang-orang yang mulia itu membuahkan kejayaan"   

~ Janganlah merasa diri sempurna dan terbaik daripada orang lain. Kalau bukan kerana "hijab" atau penutup yang ditutup oleh Allah, dan kalau sekiranya kelemahan kita boleh dibau dan dihidu .. sudah tentu ramai orang akan membenci dan menjauhi kita kerana busuknya bau-bau kelemahan kita. Tetapi kerana rahmat dan kasih sayang Allah, kelemahan dan kejahatan kita masih ditutupi oleh Allah SWT.    

Moga Allah merahmati

Thursday, 23 October 2008

Prof Dr Syeikh Yusuf al-Qaradawi: Ulama Ulung dan Pemikir Terbilang

.
.
Saya mendengar nama beliau saat mula bergelumang di dalam dunia usrah dahulu, tetapi saya tidak mengenalinya dan tidak pernah melihat wajahnya.
.
Namun namanya disebut-sebut oleh ustaz saya, dan antara perkara yang masih segar lagi dalam ingatan saya yang ustaz sebutkan tentang beliau adalah, “Macam Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, walaupun dia sudah menjadi alim besar dan ulama yang hebat .. tetapi dia masih lagi ada usrah dia sendiri”.
.
Sejak dari itu, kekaguman saya terhadap beliau semakin bertambah dan timbul keinginan untuk melihat wajahnya serta membaca penulisan-penulisannya. Saya sendiri tak tahu samada pada waktu itu sudah ada kemudahan internet untuk mencari maklumat tentang seseorang ataupun tidak, kerana naïvenya saya terhadap penggunaan internet.
.
Melalui pengalaman berusrah, secara tidak langsung ia telah menanam minat saya untuk membaca terutamanya buku-buku yang berkaitan dengan ‘tarbiyah harakiah’. Saya seperti bayi yang baru pandai berjalan, minat yang baru terbina itu sering menarik hati saya untuk pergi ke kedai buku. Pada masa itu pula, kedai buku yang hanya saya tahu menjual buku-buku seperti itu hanyalah Pustaka Muda, dan di situlah akhirnya saya temui buku karangan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi.
.
Pada ketika itu pula, saya sedang mencari buku-buku yang bercakap tentang Sekularisma kerana saya sering berdebat dengan ‘penyokong umno’ di dalam MIRC chat room. Hehe. Walaupun masa tu masih budak hingusan lagi, tapi semangat mempertahan Islam sudah berkobar-kobar.
.
Untuk itu, saya mesti mendapatkan maklumat mengenai sekularisma sebagai bahan dalam perdebatan saya. Dalam pencarian itu, akhirnya saya bertemu dengan buku ((Islam dan Sekularisma)) karangan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi. Itulah buku pertama beliau yang saya beli dan baca…. Akhirnya ku temu juga al-Ghazali …. Ehhhhh, al-Qardhawi. Hehe
..
Bagi saya, beliau sangat layak untuk digelar Syeikhul Ummah disebabkan oleh kredibiliti dan kehebatannya. Beliau seorang ulama ulung dan pemikir terbilang, sangat memahami realiti dan keperluan semasa, menghidupkan Islam di tengah-tengah kebajatan ummah.
.
Beliau pembawa obor-obor Salafussoleh zaman moden, penerus manhaj al-Banna, menyeru ke arah keterbukaan dan kemudahan, menjauhi ketaksuban dan kepayahan.
.
Beliau seorang Imam juga murabbi, seorang faqih juga usuli, ahli lughah dan adab, seorang orator yang hebat, penyeru aqidah yang tulen dan akhlak yang terpuji.
.
Antara buku-buku beliau yang sangat menarik perhatian saya adalah ((As-Siyasah Ash-Shar’iyyah)), ((Fiqh at-Taharah)) dan ((Fusul Fil Aqidah Bainas Salaf wal Khalaf)). Buku beliau,((Siyasah Ash-Shar'iyyah)) telah memaparkan bagaimana manhaj beliau di dalam fiqh dan secara tidak langsung, menggambarkan betapa beliau seorang usuli yang cukup hebat.
.
Begitulah sedikit sebanyak yang mampu saya ceritakan mengenai beliau. Saya masih mengharapkan dapat bertemu dengan beliau mata bertemu mata suatu hari nanti. Moga ia menjadi kenyataan ……
.

Sunday, 6 July 2008

Allah SWT bertanya ...

.
"Salam abang Meor, jom pergi rumah Ustaz KAS. Ahad ni ana nak balik UIA dah ..", sms saya kepada beliau malam Jumaat sebelumnya.
.
"Ok, nanti ana bagitahu ustaz .. kita jumpa dia petang-petang sikit la ye", beliau menjawab sms saya.
.
Semenjak isteri beliau dimasukkan ke hospital, hampir 2 bulan usrah kami tidak berjalan. Jadi, sebelum saya balik ke UIA, saya bercadang untuk menziarahi beliau di rumahnya petang semalam di Pengkalan. Alhamdulillah, ustaz KAS atau nama penuhnya Khairil Azhar Samsuddin jarang sekali mensia-siakan hajat orang yang ingin bertemu dengannya.
.
Petang yang redup itu sungguh nyaman sekali. Ia menatijahkan sebuah pertemuan yang cukup berharga bagi kami bertiga. Sambil makan bubur kacang yang dihidangkan, ustaz KAS tidak henti-henti memberi nasihat dan pandangan terhadap beberapa persoalan yang kami bangkitkan.
.
"Ustaz tu cacat, tapi dia memang kuat bekerja, kalah orang yang tak cacat", cerita ustaz KAS kepada kami perihal sahabat beliau yang giat melakukan kerja-kerja dakwah siang dan malam.
.
Begitulah ustaz menghidupkan suasana perbualan di antara kami. Terasa sungguh ukhuwwah yang tererat di antara kami di sepanjang liqa' tersebut. Setelah jam hampir menunjukkan pukul 7 petang, kami pun meminta diri kerana ustaz juga mempunyai jemputan untuk ke Tangjung Rambutan pada malam itu. Beliau merupakan seorang da'i yang terlalu banyak berkorban demi melahirkan golongan syabab yang berjiwa Islam. Justeru, beliau sesuai untuk mengisi tempat sebaik-baik golongan yang baik perkataannya di sisi Allah sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat 33 surah Fussilat.
.
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
.
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" (Fussilat: 33)
.
Allah bertanya kepada kita, “Hey manusia, beritahu aku .. siapakah orang yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada jalan Aku ...?”. Itu soalan Allah kepada kita.
.
Sebelum kita menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui bahawa Allah SWT menggunakan pelbagai ‘uslub khitabah’ bagi setiap ayat-ayat yang diturunkanNya di dalam al-Quran. PengkhabaranNya tidak mendatar, tetapi diselangi dengan pelbagai bentuk kaedah dan uslub yang pelbagai.
.
Kadang-kala Allah SWT menggunakan uslub ‘Sumpah’ dengan sesuatu yang lazim bagi manusia seperti “Demi waktu Dhuha”, “Demi Masa” dan sebagainya. Terkadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Mencabar’ untuk mencabar kesombongan Yahudi dan Nasrani, seperti yang disebut di dalam surah al-Baqarah, “Sekiranya kamu ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, maka datangkanlah satu surah sepertinya” atau “Datangkanlah bukti-bukti kamu sekiranya kamu adalah orang-orang yang benar”. Kadang-kadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Sindiran’ dalam menjawab seruan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mengatakan, “Jadilah kamu orang-orang Yahudi dan Nasrani, nescaya kamu akan diberi petunjuk. Katakanlah (Muhammad), bahkan agama Ibrahim itu adalah agama yang lurus, dan tidaklah dia termasuk di kalangan orang-orang Musyrik”. Bahkan terkadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Pertanyaan’ kepada manusia seperti “Apakah kamu tidak memikirkannya”, “Apakah kamu tidak melihat” dan “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah”
.
Persoalannya, apakah persoalan yang dikemukakan oleh Allah ini menunjukkan bahawa Dia bodoh dan tidak mengetahui? Subhanallah !!! Maha Suci Allah !!! Allah SWT Maha Berkuasa dari sebarang sifat kekurangan, bahkan Dia mengetahui setiap sesuatu dari sebesar-besarnya sehinggalah kepada sekecil-kecilnya di antara yang zahir dan yang batin. Persoalan tersebut sebenarnya bertujuan untuk membentak para pembaca yang leka dan khayal, supaya mereka tersedar dari lamunan siang yang panjang dan melihat betapa luasnya Ilmu dan Kebesaran Allah SWT ini.
.
Persoalan Allah SWT itu memerlukan jawapan daripada saya dan kamu semua ... “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah?”
.
Soalannya satu, tetapi jawapannya belum tentu juga satu.
.
Ia terpulang sejauh mana kita meletakkan diri kita di sisi Islam .. Adakah kita ingin meletakkan diri kita sebagai golongan penyeru, atau golongan sedang diseru atau golongan yang bersedia untuk diseru ataupun melarikan diri tidak melakukan apa-apa.
.
Sekiranya kita bercita-cita untuk menjadi golongan Penyeru, ia adalah terlebih baik daripada menjadi golongan yang sedang diseru. Sekiranya kita sekadar menjadi golongan yang sedang diseru, ia juga lebih baik daripada golongan yang bersedia untuk diseru. Bahkan sekiranya kita hanya ingin menjadi golongan yang bersedia untuk diseru sekalipun, ia masih dianggap satu kebaikkan .. asalkan kita tidak termasuk di dalam golongan yang tidak bersedia untuk diseru dan menyeru. Saat itu, nescaya kita termasuk di dalam golongan yang dicela Allah dan RasulNya.[1]
.
Serulah dengan nama Tuhanmu !!
.
Serulah dengan risalah nabimu !!
.
Jadilah Pembantu-pembantu Allah dan Delegasi yang mewakili suara-suara para Rasul ‘Alaihimussolatuwassalam.
.
Habiskanlah sisa-sisa hidup kita dengan seruan “Aslim, Taslam” ... Islamlah kamu, nescaya kamu selamat !!! Kerana ia bukan kerja yang sia-sia, tetapi kerja amal yang tidak berkurangan ganjarannya di sisi Allah SWT.

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

.
“Barangsiapa yang menyeru kepada petunjuk yang benar, maka baginya ganjaran seperti ganjaran mereka-mereka yang mengikutinya, tidak berkurang sedikitpun daripada ganjaran tersebut daripada sesuatu apapun” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah RA, 172/1)
.
Mungkin ada yang persoalkan, "Macam mana saya nak berdakwah sedangkan saya tak ada kapasiti tersebut".
.
Apakah harus dia menghafal al-Quran, hadis dan mengetahui selok belok qawaid fiqh dan sebagainya barulah dia boleh menjadi pembantu-pembantu Allah? Nahi .. nahi .. nahi !! Islam tidak pernah memberatkan sesiapapun untuk menjadi pembantu-pembantuNya agar memenuhi syarat tersebut. Ia merupakan kelebihan, bukan syarat yang mesti disempurnakan.
.
Bahkan Islam menyatakan, "Bertaqwalah mengikut kemampuan kamu" .. iaitu lakukan tugas taqwamu menurut kemampuan seadanya selagi mana ia tidak bercanggah di sisi Islam. Meminjam istilah yang digunakan oleh Abusaif, jadilah golongan beragama walaupun kita bukan orang agama. Sekiranya kita tidak mampu berpidato, berpenalah di atas helaian kertas dan sebarkanlah. Sekiranya kita tidak mampu berpena, bertaqwalah dengan tubuh jasadmu ... tunjukkan akhlak Islam yang mulia ke mana saja kamu berada. Apakah ia bukan termasuk di dalam seruan dakwah ..?? Boleh jadi kebaikkan perbuatan kita itu boleh menarik ramai orang yang melihatnya. Keindahan Islam itu bukan hanya termaktub pada tuturannya, malah pada perbuatan dan contoh kebaikkan yang ditonjolkan ..
.
.
Telah saya utarakan di dalam artikel saya yang lalu, "Jadilah Pembantu-Pembantu Allah", bahwa setiap kita ada tugas dan peranan masing-masing terhadap Islam. Gunakan peluang kemahiran yang kita miliki untuk kita sampaikan kalimah tayyibah ini kepada masyarakat ... Doktor, Jurutera, Peguam, Guru dan sesiapapun ... Allah SWT telah menyediakan tempat mereka untuk menyampaikan sebaik-baik perkataan.
.
Saya dan kamu semuanya sama di sisi Allah SWT. Samada kamu kaya, miskin, cantik, tampan, menawan atau sebaliknya ... ia sama sekali tidak penting di sisi Allah SWT. Yang membezakan di antara kita semua adalah amal dan perjuangan kita. Biarpun kamu hodoh di sisi manusia, asalkan kamu berjuang di atas nama Allah yang Maha Esa ... kamu besar dan agung di sisi Allah dan para malaikat.
.

MB Perak yang patut dicontohi
.
Di akhirat kelak, semua orang akan dipersoalkan mengenai tanggungjawab ini. Tiada seorangpun yang berbeza di sisi Allah melainkan kanak-kanak, orang gila dan orang yang cacat ...
.
Namun nyata sekali, walaupun di kalangan kita ada orang yang cacat dan kurang upaya ... tetapi kelemahan tersebut tidak pernah menjadi halangan untuk mereka menjadi sebahagian daripada pembantu-pembantu Allah ... Ramaiiii, salah seorangnya adalah sahabat ustaz KAS yang beliau ceritakan ...
.
Mohon perlindunganMu Ya Allah ..
.
.
........................................
.
[1] Ia bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Abu Hurairah RA:

الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ
“Dunia itu dilaknat, dilaknat apa yang ada di dalamnya kecuali mereka yang mengingati Allah dan menta’atinya, orang-orang yang berilmu(penyeru) dan orang-orang yang menuntut (diseru)” (Imam at-Trimizi mengatakan hadis ini Hasan, 478/22)
.

.

Monday, 20 August 2007

Isra' wal Mi'raj (II)

Kembali ..

Satu persoalan yang perlu dijawab … apakah rahsia Allah SWT memulakan kisah Isra’ wal Mi’raj dengan kalimah Subhaanallazi …

Syeikh as-Sya’rawi - seorang ulama tafsir moden - telah berjaya menambat hati saya ketika menerangkan rahsia mengapa Allah SWT memulakan surah al-Isra’ dengan Subhaanallazi, iaitu kalimah yang diriwayatkan secara sahih di dalam Sahih al-Bukhari sebagai kalimah yg khafifatani ‘alal liisaan..thaqilataani fil mizaan. Mengapa Allah memulakan surah tersebut dengan memuji diri-Nya sendiri? Apakah keistimewaan? Apakah kepentingannya? Hmm … satu rahsia yang perlu kita bongkar & dikongsi bersama.

Setelah saya membaca penjelasan tersebut, barulah saya sedar selama ini saya tak faham al-Quran. Saya faham maksudnya saja tapi saya tak faham maksud disebalik maksudnya, hehe..faham ker tu. Saya rase mungkin bende ni menjadi faktor mengapa non-Muslim tak tertarik dengan Islam kerana umat Islam sendiri gagal membuktikan kemukjizatan al-Quran sebagai Kalamullah. Bahkan mereka juga berani mengatakan bahawa ‘kami juga ada kitab sepertimana kamu. Kami tidak nampak sebarang perbezaan pun di antara kitab kami dgn al-Quran kamu’. Kenyataan ini ada benarnya dari sudut logikanya. Kalau saya berada di tempat mereka, tak mustahil saya juga akan berkata mcm tu sebab saya tak nampak di manakah usaha umat Islam dalam menonjolkan dan mempromosikan kehebatan al-Quran sebagai petunjuk agama mereka.

Ya Allah .. betapa ceteknye ilmu saya apabila membaca kitab beliau. Byk bende yg saya tak tahu tentang Islam, tentang al-Quran.

Buku tersebut telah memahamkan saya bahawa Allah SWT tidak menurunkan sesuatu ayat itu dgn sesuka hati, tidak juga tanpa bersebab … bahkan di sana pasti terdapat rahsia agung yang perlu dikupas dan dikaji. Hanya orang-orang yang berkeahlian yg dibukakan hati oleh Allah SWT saja yang mampu melihat ke dalam akan maksud tersirat di sebalik penurunan setiap kalimah dari ayat-ayat al-Quran. Sungguh agung al-Quran…terlalu2 agung. Tak hairanlah mengapa ia mampu menggongcangkan hati-hati manusia dan menggerunkan pihak musuhnya. Siapa tak kenal dengan Umar al-Khattab? Seorang lelaki bengis dan tegas. Semua orang takut kepadanya; samasa zaman jahiliahnya atau Islamnya. Tidak ada erti kalah di dalam kamus hidupnya. Pedang menjadi pemutus bagi sesiapa yang melawannya. Namun, beliau kalah dengan alunan beberapa ayat al-Quran yang dibacakan kepadanya. Mana hebatnya al-Quran ni sampai Umar bleh kalah? Inilah senjata Muhammad SAW, senjata yg telah mengalahkan Umar. Ia bukan pedang, tetapi kalimahnya tajam seperti pedang sehingga ketajamannya menghunus masuk ke dalam hati beliau & merobek-robekkannya … jauh lebih hebat dari senjatanya.

طه (1) مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآَنَ لِتَشْقَى (2) إِلَّا تَذْكِرَةً لِمَنْ يَخْشَى (3) تَنْزِيلًا مِمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَا (4) الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى (5) لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَمَا تَحْتَ الثَّرَى (6) وَإِنْ تَجْهَرْ بِالْقَوْلِ فَإِنَّهُ يَعْلَمُ السِّرَّ وَأَخْفَى (7) اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ لَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى

“Thaahaa. Kami tidak menurunkan Al Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah; Tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah), iaitu diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. (iaitu) Tuhan yang Maha Pemurah, yang bersemayam di atas 'Arsy. Kepunyaan-Nya-lah semua yang ada di langit, semua yang di bumi, semua yang di antara keduanya dan semua yang di bawah tanah. Dan jika kamu mengeraskan ucapanmu, Maka Sesungguhnya Dia mengetahui rahsia dan yang lebih tersembunyi. Dialah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Dia mempunyai Al asmaaul husna (nama-nama yang baik)”. (Thoha: 1-7)

Ayat ini merubah dirinya yang bengis menjadi hamba agung di dalam Islam, khalifah yang adil dan terbilang, ‘ibadullah yang merendah diri di depan tuhannya .. keras di hadapan musuh nabinya. Mukjizat al-Quran sungguh luar biasa .. Bukan itu saje, malah tokoh2 sasterawan terbilang, ahli sya’ir dan ahli sihir terpaku keras apabila mendengar al-Quran berbicara. Seolah-olah ia merupakan kalam yang datang dan lahir dari sesuatu yang Maha agung dan Maha hebat..mereka tidak pernah mendengarnya sebelum ini .. sungguh tinggi nilai sasteranya, nahunya, balaghahnya & mantiqnya. Ia cukup indah dan mempersonakan. Namun, apabila mereka melihat kalam tersebut keluar dari bibir seorang insan yang bernama Muhammad, yang dikenal pula oleh masyarakat dengan ummiyyin(tidak tahu membaca & menulis), mereka lantas mengatakan, “Ini sihir” … walaupun jauh di sudut hati mereka, mereka yakin ia bukan kalam Muhammad & bukan sihir. Tetapi mereka ego, sombong dan takabbur dengan kedudukan mereka … Siapalah Muhammad di sisi mereka, hanya seorang lelaki yang baru berusia 40 tahun, miskin pulak. Mereka tidak mengukur dengan mata hati, tetapi mengukur dengan mata kebendaan dan kedudukan .. Inilah sifat manusia, inilah sifatku. Sentiasa ego dengan diri sendiri. Sedangkan semua keistimewaan yang dimiliki semuanya milik Allah SWT.

Aduh ! Tamparan hebat buat nabi. Muhammad ibn Abdillah yang tak tahu membaca & menulis dinobatkan sebagai nabi di tengah masyarakat yang halus seni bahasanya, indah sasteranya dan menarik susunan tatabahasanya. Baginda tidak dikenal masyarakat sebagai sasterawan dan ahli Sya’ir, hanya digelar al-Amin kerana amanahnya & baik peribadinya.. itu sahaja.

Ya Allah … kini baru aku tahu betapa nabiMu ini seorang yang cukup2 penyabar. Mana tidaknya, baginda terpaksa meyakinkan masyarakat bahawa kalam ini bukan kalamnya … aku tidak mencipta dan mereka-rekanya sendiri. Ini kalam dari Tuhanku dan Tuhan kamu, Tuhan yang menciptakan kamu, Tuhan yang mengawal setiap detik kerdipan jantungmu, Tuhan yang menggantikan siang dan malam, Yang berada di timur dan di barat.

Namun, walau sehebat mana hambatan dan tentangan yang baginda hadapi, biarpun luka kakinya, patah giginya, dibaling batu, dihalau dan dimaki … baginda tetap sabar. Baginda tidak membalasnya dengan meminta agar mereka ditimpakan bencana di atas keingkaran mereka, bahkan baginda menadah tangan & berdoa, “Wahai Allah, berikan hidayah kepada mereka. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui”. Allah …!! Sungguh mulia akhlak nabiMu. Sungguh agung peribadinya. Kalaulah baginda masih hidup, aku pasti akan mengejarnya dan mencium-cium wajahnya.

“Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha mengetahui.”

Subhaana …. Maha Suci. Iaitu sucinya Allah SWT dari sebarang sesuatu yang menyerupai-Nya. Samada pada sifat-Nya atau perbuatan-Nya. Iaitu penyucian mutlak untuk Allah & bagi Allah... pada zat, pada sifat, jua pada perbuatan.

Allah SWT itu wujuud. Saya dan kamu juga wujud … tetapi adakah kewujudan kita sama seperti wujudnya Allah? Allah SWT itu Mendengar, Maha Mendengar dan sangat bangat Mendengar .. saya dan kamu juga mendengar, tetapi mendengar kita tidak sama dengan mendengarnya Allah SWT. Allah SWT punya zat dan kita juga punya zat … tetapi zat kita dan zat Allah SWT tidak boleh diperbandingkan.

Jika pada diri Allah SWT itu perbuatan, maka jgn sesekali kita menyamakan perbuatan-Nya dengan perbuatan manusia. Perbuatan Allah tidak boleh dijangkau dengan qudrat manusia, jauh melampaui apa yang dapat dibayangkan dengan bayangan akal … jauh, terlalu jauh.

Usah difikirkan bagaimana .. usah ditanyakan bagaimana .. campaklah ia jauh2. Makin kamu fikirkan, makin kamu mencari-cari jawapannya … makin dekat kamu kepada syirik dan makin dekat kamu menjadi gile. Renunglah pd penciptaan Allah. Jangan kamu renung pd zat Allah. Penciptaan Allah itu luas. Walaupun kamu hidup seribu tahun, kemudian dimatikan lalu dibangkitkan semula … penciptaan Allah tetap luas untuk kamu renungkan. Renungkanlah …

Oleh itu, jika Allah SWT melakukan sesuatu, jangan kamu tanya mengapa dan kenapa. Kerana kecetekkan akal manusia tidak mampu menjangkaui rahsia di sebalik perbuatan Allah SWT. Allah SWT melakukan apa saja yang Dia kehendaki, tidak terbatas dengan batasan undang2 & peraturan. Kerana Dialah Pencipta undang2 & peraturan. Dia tidak memerlukan asbab kerana Dialah yang menjadikan segala asbab.

Ya Allah .. tiada sesuatu pun yang serupa denganMu. Setiap makhluk tunduk kepada kehendakMu tetapi kamu tidak tunduk kepada kehendak sesiapapun. ZatMu, sifatMu dan perbuatanMu mengatasi semua makhlukMu. Oleh kerana itu, tanda-tanda kekuasaan Allah SWT tidak tunduk kepada peraturan & undang2 alam kerana alam berada di bawah kekuasaan-Nya.

Allah SWT tidak berbahasa dengan sesuatu yang kosong tetapi Allah SWT mendatangkan buktinya .. supaya manusia melihat sendiri kebenarannya. Samada saya & kamu mahu menyerah diri atau tidak, itu hak saya & hak kamu …. Dia yang Maha Berkuasa sudah membuktikannya. Allah SWT telah mengurniakan akal dan fikiran .. maka fikirkanlah!!

Kamu tahu api? Pernah tgk api? Tahu bagaimana sifat api? Bukankah sifatnya panas dan membakar. Ia membakar sesiapa saja yang menghampirinya? Tetapi dengan Subhaanallah … api tidak membakar tubuh & jasad nabi Ibrahim AS. Semasa saya pergi ke Syria baru2 ni, sahabat2 saya menziarahi tempat pembakaran nabi Ibrahim di Turkey(saya lupa nama tempatnya). Saya tak pergi sbb saya bercadang nak pergi ke Mesir. Sebelum ni saya ingatkan tempat pembakarannya mcm biase je, mungkin seperti kite tgk orang Indu bakar mayat yg telah mati. Kumpul2 kayu dan letakkan mayat tersebut dalam kayu tu. Tapi bila saya tgk gambar yg ditangkap oleh sahabat2 saya, saya terkejut. Rupa2nya mereka membina sepasang tiang khas yg besar & tinggi untuk mencampakkan nabi Ibrahim ke dalam api tersebut. Ia dibina di atas bukit dan api tersebut terletak di bawah bukit. Tiang tersebut jauh dari api tersebut dan nabi Ibrahim dicampakkan dgn menggunakan kaedah lastik kerana kehangatannya tersangatlah kuat & panas. Tak ada akal yang sihat akan mengatakan nabi Ibrahim akan selamat. Sunnatullah menetapkan apa saja yang dibakar pasti akan terbakar. Itu pasti. Api memang panas & membakar. Walaubagaimanapun, ia tetap milik Allah SWT, “Wahai api! Menjadi dinginlah & menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim” (al-Anbia’: 69). Api akur dan tunduk dgn perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim tenang berada di dalam api tersebut. Tiada siapa yang mampu bertanya bagaimana ia boleh berlaku & tiada siapa yg mampu menjawabnya … Inilah keajaiban Allah SWT. Subhaanallah ….

Begitu juga yang berlaku kepada nabi Musa dan nabi Isa … semua itu menunjukkan kekuasaan Allah SWT. Tiada yang mustahil di sisi Allah SWT …

Adakah manusia mampu merungkai segala rahsia-rahsia Allah SWT? … Mustahil. Lihatlah diri kamu dahulu sebelum kamu melihat zat Allah SWT. Sesungguhnya rahsia kehidupan hanya diketahui oleh Allah SWT. Akal dan ilmu yg diberikan oleh-Nya kepada manusia sehingga mereka boleh sampai ke bulan, melihat sel-sel dan organisma hanyalah cebisan dari rahsia-rahsia Allah. Itupun masih terbatas di atas kajian yang belum tentu ketepatannya.

Subhaana … kalimah agung yang hanya dimulakan untuk mengkhabarkan sesuatu yang agung dan ajaib. Itu suatu isyarat buat saya & buat kamu. Bilamana Allah SWT memulakan sesuatu surah atau ayat dengan memuji diri-Nya sendiri, Ingat! Pasti ada sesuatu berita besar yang ingin disampaikan … Ketepikan akal kamu. ketepikan logika kamu. Bawakan iman dan letakkan ia di dalam hati. Ketika itu, tidak berguna lagi akal dan logika. Hanya iman yang berperanan. Subhaanallah … Aku beriman dengan berita yang Kau sampaikan.

Isra’ dan Mi’raj merupakan berita agung dari Allah SWT. Berita iman. Berita yang meletakkan diri seseorang di persimpangan antara percaya atau tidak.

“Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa”

Ia adalah berita yang benar. Tiada yang dusta melainkan yang benar. Ia datang dari Allah dan diturunkan oleh Allah. “Dan siapakah orang yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” (an-Nisa’: 87). Percayalah !!! Tidak ada sesuatupun yang mustahil di sisi Allah SWT.

Saturday, 18 August 2007

Isra' wal Mi'raj (I)


Sejak beberapa hari nie, saya khusuk membaca sebuah buku yang ditulis oleh al-Marhum Syeikh as-Sya'rawi berkenaan dengan kisah Isra' wal Mi'raj. Buku tu bertajuk Mu'jizatul Isra' wal Mi'raj.
Buku ni dah lama saya beli tp tak baca-baca lagi. Tersimpan je di celah-celah kitab dan buku di rak bilik tu. Biase la, salah satu perangai saya ... suka membeli buku & kitab. Buku dalam bilik tu dah berbukit-bukit, tp yang dibaca hanya beberapa buah jer. Inilah kerja saya bile tym bosan dan boringgg. Start kerete pergi Fajar Ulung untuk melepaskan kerinduan bersama kitab-kitab para ulama dan para du'at. Walaupun tak ade niat nak beli apa2 buku, janji dapat tgk pun jadilah. Tp slalunye, ade je kitab yang beli ... hehe. Belek satu2, sikit2... Bile tgk jam, tak sangka saya dah bertenggek dekat kedai tu berjam-jam. Orang kedai tu pun agaknya dah boring tgk muka ni. Walau apepun, saya bersyukur sbb Allah kurniakan saya hobi sebegini. Semoga hobi ni memberikan pahala kepada saya kerana setia membuka lembaran kitab yang terkandung isi tuhan dan rasul-Nya.
Haa, berbalik pada Isra' wal Mi'raj td ... saya mula membaca buku Syeikh Sya'rawi tu sejak saya pergi mendengar Mau'izah dari Habib Salim, Syeikh dari Hadramaut, Yaman yg berkunjung ke Malaysia baru-baru ni. Ceramah beliau membuatkan saya teringatkan buku ni. Saya rasa tak puas mendengar penjelasan ringkas beliau pada malam tu. Ye la, sbb masa pun tak cukup. Jadi, semuanya perlu diringkaskan. Tp alhamdulillah, ceramah beliau membuka benak hati saya supaya ingin benar2 faham di sebalik kisah Isra' wa al-Mi'raj ni.
Ya Allah ... kitab nipis setebal 151 muka surat tu tak saya sangka telah membuka satu gambaran yang cukup indah tentang peristiwa Isra' wal Mi'raj. Saya benar-benar puas hati bila membacanya. Kalau sebelum ni saya hanya mengenali kisah tersebut dari cerita ustaz2 di sekolah dan ceramah umum, tp kali ni saya benar-benar memahaminya. Saya membaca kisah tersebut harfan biharfin(dari satu huruf ke satu huruf) dengan penuh khusuk. Gaya penyampaian yang menarik dan tersusun menambahkan minat saya untuk terus membaca dan memahami. Jazakumullah 'ala as-Syeikhina, Syaikh as-Sya'rawi fi bayanihi 'ala qissatil Isra' wal Mi'raj.
Dulu saya hanya melalui kisah ini begitu sahaja. Bahkan saya tidak pedulipun tentangnya. Saya meyakini kewujudan kisah tersebut, meyakini kisah perjalanan nabi Muhammad ke sana ... tetapi ia hanya tidak lebih dari keyakinan sahaja, bukan keyakinan beserta ilmu terhadapnya. Saya tidak minat untuk mengetahuinya.

Kali ini Alhamdulillah, Allah memahamkan saya dengan sebukit ilmu mengenai Isra' wal Mi'raj secara la'iq dan daqiq.

Ya Allah ... saya tak sangka sebegini hebat kasih sayangMu terhadap rasulullah SAW. Di waktu semakin hebatnya tentangan yang baginda hadapi, kau cepat-cepat hulurkan tanganMu menenangkan hatinya. Allah ... alangkah baiknya sekiranya aku dapat merasai ketenangan bersamaMU.

Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha mengetahui.

Isra' wal Mi'raj merupakan suatu peristiwa ganjil dalam lembaran sejarah umat Islam. Ia berlaku sewaktu nabi berada di Mekah, ketika berada di tengah-tengah masyarakat Jahiliyyah. Peristiwa ini mempunyai pandangan yang berbeza mengikut kacamata para ulama. Ulama Seerah melihatnya begini, fuqaha begini, Mutakallimin begini. Apapun pandangan yang terhasil, satu kesimpulan yang saya boleh berikan adalah; ia merupakan satu ujian buat ummat Muhammad SAW.

Ia adalah tanda kekuasaan Allah dan bukti kemukjizatan nabi Muhammad SAW. Ia hebat & agung pada mata hati yang memenangkan iman dan mengalahkan logika akal yang singkat. It is a sign to us bahawa tidak semua perkara dalam agama perlu ditafsirkan dengan akal semata, malah kadang-kadang perlu terhenti di atas keta'atan dan ta'abudiyyah kepada sang Pencipta. Usah ditanya kenapa solat subuh dua rakaat, asar empat, maghrib tiga ... laksanakan saja. Itu tanda ta'abbudiyyah kita kepada sang Ma'bud & Pencipta.

Perjalanan Isra' dan Mi'raj nabi SAW merupakan hadiah buat nabi Muhammad SAW. Sewaktu penentangan kafir Quraish sampai ke kemuncaknya, di waktu itulah isteri tersayang Khadijah dan bapa saudara nabi, Abu Tolib meninggal dunia. Kalau dulu Khadijah adalah srikandi yang berada di belakang nabi SAW dan Abu Tolib menjadi benteng mempertahankan beliau, tetapi selepas kematian mereka ... nabi Muhammad SAW terpaksa berdiri tanpa sokongan dan benteng. Baginda perlu berjalan sendirian membawa Islam bersama sahabat2 yang lain. Allah Yang Maha Melihat & Mengetaui melihat dan mengetahui tentang perjalanan hambaNya. Allah SWT sangat kasih terhadap HambaNya Muhammad SAW ... Allah berikan ketenangan kepadanya dengan memperjalankan baginda melihat tanda-tanda kekuasaanNya, berjumpa dengan para anbia' as-Soliheen, melihat Syurga & Neraka, melalui tujuh langit bumi sehinggalah ke Sidratul Muntaha. Nah ... siapa di antara kamu yang mengingkarinya ... siaplah tempat kamu di dalam neraka.

Mungkin ummat Muhammad SAW hari ini tidak menganggapnya satu perkara pelik dan ajaib kerana di depan mata mereka telah terbentang satu bentuk isra' yang moden. Dengan akal yang Allah berikan, manusia mampu mencipta kapal terbang, jet & kapal angkasa. Ia sudah menjadi bukti bahawa perjalanan boleh disingkatkan dari sebulan ke seminggu, seminggu ke 3 hari malah melepasi langit bumi ke angkasa yang tidak tahu di mana penghujungnya. Pengingkaran mereka ttg peristiwa ini mungkin dapat dilihat dari sisi & sudut yang berbeza .. hmm??? Namun, bagi ummat sehidup sezaman dengan Rasulullah SAW, ia memang ajaib dan pelik kerana sepengatahuan mereka, perjalanan dari Mekah ke Masjidil Aqsa sekurang-kurangnya mengambil masa sebulan utk sampai ke sana dengan unta. Mana tak peliknya ... satu malam saja nabi berkesempatan sampai ke Masjidil Aqsa kemudian lanjut ke Sidratul Muntaha sedangkan tidak tergambar pada ketika itu bahwa sebenarnya manusia berkemampuan mencipta satu teknologi yang seakan serupa dengan Burra' tersebut. "Ini sihir ... karut. Mana ada orang boleh sampai ke sana satu malam saja" ...Hmm, mmg pada waktu itu 'sihir' sahaja yang mampu menjadi jawapannya. Kalaulah saya berada pada waktu itu, saya pun tak tahu di mana posisi saya ... percaya atau tak ... kerana goyah dan lemahnya iman saya ini.

Inilah ujian hakiki bagi umat Islam pada waktu itu. Iman .. Iman .. dan Iman (bukan panggil nama orang yerk). Imanlah yang jadi tunggaknya. Imanlah hakim dan Imanlah penentunya. Berapa ramai yang murtad, tidak kurang juga yang berbelah bagi atau duduk atas pagar (DAP). Hanya segelintir saja yang benar-benar meyakini dan mengimani perjalanan Rasulullah SAW tersebut, di antaranya Abu Bakar. Jadi, tak hairanlah mengapa nabi SAW menggelarkan beliau dengan gelaran as-Siddiq. Beliau teguh! yakin! dan tidak goyah! dengan apa jua risalah yang dibawa oleh nabi SAW. Layaklah beliau berada di sebelah nabi SAW.

Mengapa Allah SWT memulakan ayatnya dengan Subhanallazi ... apakah rahsianya?? Nantikan ...


سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آَيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ


"Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha mendengar lagi Maha mengetahui" (al-Isra': 1)

Saturday, 4 August 2007

100 tahun Al Imam Hasan Al-Banna

oleh: Ustaz Nik Abduh b. Nik Abdul Aziz
www.nikabduh.wordpress.com


Salam Kamunting,

Kalau dia masih hidup, maka umurnya sekarang 101 tahun. Tua sangat. Tapi dia sudah pun kembali kepada tuhannya hampir 60 tahun lepas. Jasadnya. Adapun namanya, jika dunia ini masih bertahan 1000 tahun lagi, maka ia pasti kekal 1001 tahun lagi.

Dia pencinta RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam, maka baginda pasti mencintainya juga. Justeru dia hampir memperolehi semua apa yang diperolehi baginda, kecuali nubuwwah ( kenabian ). Namanya dijulang setinggi - tingginya oleh para pencintanya di dunia. Apabila para malaikat turut mencintainya, maka sampailah namanya penuh gilang gemilang di lapis langit ke tujuh, di singgahsana pertemuan dua kekasih sebenar di malam mikraj itu.

Al Imam Hasan Al Banna meninggal dunia dalam usianya 43 tahun. Muda terlalu muda untuk meninggalkan pengikutnya yang terlalu menyayanginya. Ramai meratapi kematiannya. Di sebalik jeriji besi pemerintah kusi besi di zaman itu dan juga di luarnya. Dia ditembak mati agar dia mati selama - lamanya. Tetapi malang sekali, suaranya tak mati. Suaranya terus bergema menerawang menghantui kezaliman duniawi sambil menggamit cahaya kebenaran sehingga kini.

Beliau adalah mujaddid. beliau adalah seribu ulama. Kerana itu, beliau pergi dengan seribu ulama menggantikan tempatnya menyebarkan apa yang dikehendaki Allah untuk ugamaNya.

Tajdid adalah sunnah yang pasti untuk ugama Islam. Agama ini mesti kekal secantik dan seasli ia cantik dan asli di tangan RasuluLlah dahulu. Tiada lagi jalan, tiada lagi tali dan tiada lagi ugama selepasnya buat manusia mengenal dan menyembah tuhannya.

Sepanjang zaman, umat Muhammad sentiasa sahaja ditemani perjalanan mereka dengan para mujaddidin yang dihantar Allah untuk memperbaharui fikiran, iman dan amal mereka pada ugama mereka. Khalifah Umar bin Abdul Aziz memulakanya. Kemudian berderetanlah nama - nama ulama agung dalam sejarah umat ini.

Kita mengenali mereka pada sirah perjalanan dan pengajaran mereka. Untuk Al Imam Hasan Al Banna, kita turut mengenal wajahnya pada keasliannya. Lihatlah wajahnya, Allah melakarkan keindahan hebat yang terlukis dan terukir dalam seri wajahnya itu.

Beliau dikeluarkan untuk umat yang sedang tewas kepada kekufuran yang melanda dunia Islam secara total. Beliau menubuhkan Al Ikhwan Al Muslimin di Mesir sebaik sahaja benteng terakhir Islam, kerajaan khilafah di Turki runtuh berkecai. Saat itu, umat tersadai dalam bahtera karam dihempas gelora jahiliyah abad 20 yang mengganas seganasnya. Umat Islam sedang merentas laluan yang belum pernah dilalui sebelumnya.

Kita namakannya sebagai syumuliyyatul Islam ( Islam yang syumul ). Itulah tajdid Al Imam. Musuh menembak Islam bertalu - talu. Islam berkecai dalam kepingan - kepingan yang akhirnya hanyut dan terpisah - pisah dibedal arus ganas. Umat yang kelemasan bergayut pada kepingan mana yang mampu digapai. Sesetengahnya terus lemas ditelan badai.

Dalam tempoh yang sukar, mereka hidup di atas bahagian - bahagian yang terpisah itu. Dalam kepompong itu mereka hidup. Itulah Islam yang mereka fahami. Jika itu, tiada yang melanda kecuali perasaan putus asa, kekecewaan dan ketewasan menghadapi kehidupan.

Al Imam Hasan Al Banna datang membawa bahtera baru. Naiklah, inilah Islam yang syumul. Inilah bahtera kekuatan dan kemenangan yang dinantikan.

Dakwah dan seruannya itu cukup untuk cukup merimaskan jentera kekufuran. Kerana itu, dalam tempoh yang segera, beliau dihapuskan. Pembunuhnya bukan sembarangan. Pembunuhnya adalah pakatan kekufuran sedunia.

Biarkan pembunuh itu membunuh. Mati adalah kesudahan semua. Lunaknya, bagi pejuang Islam, kematian itulah kehidupan yang diimpikan. Al Imam telah mengecapinya. Kita sedang mengimpikannya.

Itulah catatan sekadar melepas rasa cinta. Kita para pejuang Islam hampir - hampir tidak mampu untuk melepas diri daripada legacy beliau. Kita terlalu mencintainya kerana kita tahu dia terlalu mencintai Allah dan Allah pasti mencintainya. Hasan Al Banna, dia mengajar kita mencintai Allah.

Tuhan kami, kami menagih cintaMu. Biarkan dan lepaskan kami dalam ketagihan..