Showing posts with label Fikir-fikir. Show all posts
Showing posts with label Fikir-fikir. Show all posts

Sunday, 31 May 2009

Salam. Siapa ni?




"Apkh ciri2 lelaki sjati?", sms dari +601*645332*. Salam tak ada, apa tak ada ... tiba-tiba soalan ini menjengah skrin telefon bimbit saya. 

"Sblm sy jwb, sy nak tau dlu siape ni", saya membalas dalam ragu.

"Syla yg akn buat anda mjadi lelaki sjati. xpe awk jwb dlu, pas 2 sy bgtaula sapa sy", dia membalas kembali. 

"Laki sejati x suka dirinya dganggu oleh anai2 perosak", saya menyindir 

"Definisi anai2?", tanya dia inginkan penjelasan

"Org mcm awak !", pukulan maut pertama saya

"Awk ni..smpai ht tau. x gntleman la. kecik ht sy", terpaku

"Maaf, bleh sy tau siape ni? dr mane tau no sy ni. Klo sy knal awk, tlg bgtau. Klo sy x knal, maaf, sy xsuka cara awk mcm ni", pukulan maut kedua saya.

Ini kiriman sms yang saya terima petang semalam ketika saya sedang berada di UIA. Entah saya tidak tahu siapakah pengirimnya. 

Tidak kiralah samada dia mengenali saya atau tidak, atau samada dia menjadi pembaca blog saya atau tidak ... terdapat tiga perkara yang ingin saya jelaskan di sini. 

Pertama adalah soal adab. 

Saya cukup benci kalau orang tidak mengenal adab. Semenjak kecil saya telah di didik agar sentiasa beradab di dalam percakapan dan perbualan. Ayah dan mak sering nasihatkan saya agar sentiasa menghulurkan senyuman tatkala berbual dengan orang terutamanya kepada orang-orang yang lebih tua dan kenalan baru. Saya juga diajar agar memerhatikan wajah orang tersebut ketika beliau sedang berbual dengan saya supaya beliau merasakan dirinya dihargai dan diberi perhatian. 

Saya masih ingat lagi, ketika kecil-kecil dulu saya sering menyampuk perbualan emak dengan tetamunya yang datang ke rumah. Ketika emak dan tetamunya sedang rancak berbual, saya potong perbualan mereka dan bercakap. Kononnya mahu memanaskan lagi perbualan, tetapi mak cukup marah dengan cara saya itu. 

"Adik, biasa ye menyampuk orang tua bercakap ! Lain kali kalau orang tua tengah bercakap jangan menyampuk", tegur emak selepas tetamunya pulang.

Satu lagi kisah yang masih saya ingat ialah ketika ayah sedang menghantar saya ke kelas tusyen English di ITL. Ketika itu, datang seorang pembonceng motosikal dari belakang kereta kami menjerit "Hoi babi, ketepilah sikit. Orang nak jalan ni" kepada ayah yang sedang memberhentikan keretanya di tengah jalan sedikit untuk menyapa kawannya sebentar. Ya, memang ayah silap kerana memberhentikan kereta agak di tengah jalan. Tetapi ayah tidak boleh terima dengan cara orang itu memberikan teguran sehingga ayah mengejar pembonceng tersebut sampai ke Hospital Besar Ipoh. Sesampai saja di sana, ayah terus keluar dari kereta dan menuju ke arah orang tersebut. Saya tidak tahu apakah yang diperkatakan ayah kepada lelaki itu kerana saya berada di dalam kereta. Ketika itu memang saya rasa sangat takut. Tetapi pengalaman itu memang tidak dapat saya lupakan. Ia mengajar saya suatu erti kehidupan. 

Oleh kerana itu, saya cukup benci kalau orang menegur saya dengan panggilan "Oii !". Pengirim SMS ini adalah salah satu contohnya. Sudahlah tidak memberi salam dan memperkenalkan diri, tiba-tiba saja terus bertanya soalan pelik seperti tu. Kalau saya kenal pengirim tersebut, mungkin saya tidak kisah sangat. Tetapi saya tidak mengenalinya ... salah ke kalau memberi salam dan memperkenalkan diri terlebih dahulu? Bukankah Islam telah mengajar kita adab-adab bertanya, berbual dan sebagainya? ... bukan main ghedah aje.    

  
Gambar rakaman cerita Sang Murabbi

Keduanya berkenaan dengan soalan itu sendiri. Apakah ciri-ciri lelaki sejati?

Samada dia adalah pembaca blog saya atau tidak, biarlah saya menjawab soalan itu di sini. Saya rasa tidak tepat menanyakan soalan tersebut kepada saya atau lelaki yang lain. 

Yang layak untuk menilai kebaikkan seseorang pemimpin bukanlah dari mulut pemimpin itu sendiri, tetapi mestilah melalui rakyat yang mahukan kebaikkan dari pemimpin-pemimpinnya. 

Yang layak untuk menilai ketaqwaan seseorang bukanlah diri kita sendiri, tetapi merupakan dari Allah yang inginkan pakaian ketaqwaan itu dipakai oleh hamba-Nya.  

Begitu juga berkenaan dengan "ciri-ciri lelaki sejati", saya dan lelaki lain bukanlah orang yang layak untuk menjawab soalan tersebut. Yang layak untuk menjawabnya adalah isteri saya dan isteri bagi lelaki yang lain kerana dialah yang mengimpikan ciri-ciri itu dari suaminya dan dia lebih tahu apakah ciri-ciri tersebut dimiliki oleh suaminya.  



Ketiganya adalah soal jati diri.

Saya kira ini merupakan cara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kaum hawa. Ia amat memalukan. Baru pertama kali memberikan mesej kepada saya, dia sudah pandai menggunakan gaya bahasa sebegitu. Saya sendiripun malu dengan cara yang beliau lakukan. Saya mengharapkan agar tidak ada di kalangan muslimat dan akhawat kita yang melakukan cara sebegini kerana ia begitu mencemar kedudukan mereka yang punya kesopanan dan rasa malu.    

Saturday, 30 May 2009

Habiskan masa umurmu untuk ISLAM




Salam perjuangan ..

Penat !

Inilah ungkapan yang mampu saya berikan sehingga ke saat ini. 

Setelah sebulan lebih menamatkan pengajian di UIA, jadual harian saya terlalu padat dengan pelbagai aktiviti samada berupa aktiviti peribadi atau jemaah. Kesibukan yang bukan dibuat-buat ini menyebabkan mak menyedarinya. 

"Hai, sibuk sampai ke malam ke?", kata emak

Benar, memang kadang-kadang sampai ke malam dan kemuncaknya adalah pada minggu lepas di mana setiap malam saya berada di luar bagi memenuhi aktiviti yang telah dirancang. Namun, kesan daripada kesibukan sebegini membuatkan saya sering gelisah kerana ada beberapa perkara yang telah lama saya rancang sebelumnya sukar untuk saya tunaikan sekarang.

Saya memohon maaf kepada para pembaca sekalian sekiranya blog ini tidak diupdate dengan baik dan untuk muslimat yang bertanyakan soalan kepada saya tempoh hari, jika berkelapangan, saya akan cuba memberikan penjelasannya semampu saya dalam beberapa hari lagi, insyallah. 

Walau bagaimanapun, saya khuatir sekiranya segala kerja dan aktiviti yang saya lakukan selama ini tidak membawa kebaikkan kepada Islam, bahkan sekadar untuk memenuhi kepuasan nafsu sahaja. Oleh itu, saya amat mengharapkan segala urusan seharian yang saya lakukan selama ini tidak menjadi sia-sia di sisi Allah SWT dan semoga semua itu mendapat ganjaran yang setimpal sesuai dengan usaha kecil saya selama ini. 

Beruntunglah peluh keringat yang jatuh ke bumi hasil dari kerja-kerja Islam yang mereka lakukan.

ISLAM SEDANG MEMANGGIL



"Dakwah kita memerlukan masa yang lebih dari umur-umur kita"
~ Imam Hassan al-Banna 


Benar apa yang dikatakan oleh Imam Hassan al-Banna itu. 

Membina generasi rabbani tidak mengambil masa yang sedikit. Setelah kejatuhan khilafah Islam yang terakhir dan umat Islam pula telah dirosakkan dengan pelbagai bentuk ideolagi yang menyeleweng seperti kapitalis, komunis, sekular dan sebagainya, ia memerlukan generasi demi generasi untuk kembali melahirkan sebuah umat terbaik yang diimpi-impikan. 

Di kalangan umat Islam yang ada, lebih ramai yang jahil terhadap agamanya sendiri daripada bilangan mereka yang faham. Mereka memandang yang baik itu pada kaca mata Barat yang menjadi kiblat dan tempat mereka bersujud, bukan lagi Islam. Yang baik pada Islam dikesampingkan, tetapi mereka tidak sedar betapa nilai-nilai moral yang dianjurkan Barat itu sebenarnya berasal daripada Islam. 

Hidup bersama Islam itu bererti hidup untuk Allah. Namun mengenal Allah itu bukanlah dengan jalan melihat kerana kita tidak bisa melihat Allah .. bukan juga dengan jalan mendengar kerana kita tidak bisa mendengar kata-kata Allah. Tetapi untuk mengenal Allah, kita memerlukan ilmu dan ma'rifah. Mengenal Allah dengan ilmu saja tidak mencukupi, tetapi kita perlu mengenal Allah dengan faham ... faham mengapa hanya Allah saja yang layak disembah, faham mengapa hanya agama Allah saja yang layak dituruti dan faham mengapa hanya keadilan Allah saja yang layak diteladani. 

Maka di sinilah peranan dakwah. 

Akan tetapi, dakwah memerlukan pengorbanan besar dari seluruh umat Islam. Ia bukan hanya kerja para ulama, tetapi semua umat Islam yang memahami perkara ini perlu memainkan peranannya untuk Islam. 

Apakah kalian seorang doktor. Apakah kalian seorang jurutera. Apakah kalian seorang peguam. Kalian semua adalah Rijal ad-din yang memikul tanggungjawab besar ini. Kalian perlu merasa sakit dengan wabak yang datang menyerang Islam. Sedih demi Islam.

Saya menyeru kalian semua bukan di atas pakaian saya sebagai seorang da'ie, bahkan saya tidak layak untuk memakai gelaran itu. Saya hanyalah seekor semut kecil dari jutaan semut-semut besar yang sedang mencari manisan keredhaan Allah. 

Namun begitu, janganlah mengharapkan suatu keajaiban di esok hari untuk Islam. Tetapi yakinlah ! cahaya kegemilangan itu pasti akan muncul kembali di suatu hari. Kata nabi SAW :

"Islam ini pasti akan sampai ke tempat yang sampainya siang dan malam. Allah tidak akan meninggalkan rumah yang di bandar atau di desa melainkan Allah pasti akan memasukkan agama ini. Yang mulia dengan kemuliaannya atau yang hina dengan kehinaannya. Mereka yang mulia akan Allah muliakan dengan Islam dan yang hina akan Allah hinakan dengan kekufurannya" ((Hadis sahih riwayat Ahmad dalam Musnadnya (4/103) dan Al-Haithami dalam al-Mujamma'))

Akan tetapi, untuk mencapai matlamat ini, Islam memerlukan umat yang sanggup :~

Berfikir untuk Islam, 

Bekerja untuk Islam dan, 

MENGHABISKAN MASA UMURNYA UNTUK ISLAM ...

.................................................

~ Semoga Allah mencerahkan jalan itu untuk saya. Ameen

Saturday, 23 May 2009

Mulia ilmu dengan kerendahan diri




Salam perjuangan ...

Saya rasa pasti anda semua mengenali beliau. Inilah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, seorang ulama dunia yang amat saya kagumi. 

Bagi saya, pandangan serta fatwa beliau amat semasa dengan keadaan dunia sekarang. Ini disebabkan oleh manhaj Wasathiyyah yang sering beliau laung-laungkan serta keberanian beliau dalam mendepani isu-isu global umat Islam masa kini. Justeru dengan ketokohan itu, tidak hairanlah mengapa beliau diberi jolokan "Syeikhul Ummah" oleh ulama-ulama lain yang setaraf dengannya. Beliau bukan saja dikenali di kalangan tokoh dunia-dunia Islam, malah digeruni dan dihormati oleh tokoh-tokoh dunia barat. 

Prinsip yang beliau serukan ini bukanlah satu prinsip jelmaan baru Islam sepertimana Islam Hadhari jelmaan Pak Lah. Tetapi ia merupakan prinsip yang dihayati oleh nabi kita Muhammad SAW dan para sahabat RA. Oleh itu, prinsip yang beliau bawakan ini sebenarnya merupakan suatu penerusan kepada usaha untuk menghidupkan kembali semangat yang telahpun hidup di kalangan generasi terawal Islam dahulu. 



Prinsip ini kalau kita amati pasti dapat dilihat daripada ucapan-ucapan beliau, juga kebanyakan penulisan-penulisan beliau yang sangat mengharapkan agar umat Islam kembali kepada keaslian kefahaman Islam. Namun, pengembalian kepada keaslian Islam yang beliau serukan bukanlah dengan menafikan kepentingan mazhab serta keharusan bertaqlid kepada salah satu daripadanya, dan bukan juga suatu gerakan yang menafikan kewujudan serta kepentingan tasawwuf di dalam masyarakat. Keaslian yang beliau maksudkan adalah dengan meletakkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sebuah institusi teratas melampaui mazhab-mazhab yang berperanan sebagai wasilah untuk sampai kepada pemahaman Islam yang benar melalui prinsip kesederhanaan di antara bermudah-mudah dan berlebih-lebihan. Inilah sebenarnya asas perjuangan beliau selama ini dan inilah juga antara beberapa faktor yang membuatkan saya amat mengagumi beliau.

Di samping memahami permikiran beliau melalui penulisan-penulisan beliau, saya juga sering meng"update" setiap khutbah dan forum kuliah beliau melalui program "As-Shariatu wal Hayah" kelolaan al-Jazeera di Youtube. Kebiasaannya, setiap bulan pasti akan ada tajuk perbincangan baru yang diupdate. Namun sejak akhir-akhir ini, agak sukar juga untuk mendapatkan "update" kuliah terkini beliau. Saya pun tak tahu mengapa. 

Contohnya seperti hari ini. 

Asalnya saya mahu mencari rakaman khutbah dan forum kuliah terkini beliau, tetapi gagal. Tetapi alhamdulillah, saya ketemu pula dengan rakaman lain beliau dan setelah mendengarnya, ia begitu memberi kesan kepada saya dan menambahkan kekaguman saya terhadapnya.

Justeru, saya kira, perlu untuk saya kongsikannya dengan para pembaca yang lain agar kita semua mendapat manfaat berguna daripadanya. Secara ringkasnya, video ini merakamkan ucapan Syeikh Al-Qaradhawi di Multaqa Ikhwan al-Muslimin di mana beliau telah menasihatkan kepada kita agar senantiasa mengikut resmi padi .. semakin tinggi, semakin tunduk ke bumi.
Untuk mendengar nasihat beliau selengkapnya, seeloknya perhalusilah setiap ucapan beliau dengan baik. 

Oleh itu, artikel di bawah ini merupakan terjemahan ucapan beliau yang sedikit sebanyak saya usahakan bagi membantu para pembaca yang tidak memahami bahasa Arab. Saya mohon maaf terlebih awal sekiranya terjemahan ini gagal memberikan maksud sebenar daripada ucapan beliau itu. Semoga beroleh manfaat.  



Ketika menangisnya Imam Al-Qaradhawi

Aku ingin mengatakan sesuatu wahai para ikhwah, 

Sesungguhnya kemuliaan dan pujian yang aku telah dengar tidaklah memperdayakan aku dan menipu aku daripada hakikat yang aku ketahui. Demi Allah, aku lebih mengetahui kelemahan dan kelalaian diriku sendiri. Dan sungguh telah berkata Ibn Atoillah di dalam Hikamnya: "Manusia memuji kamu dengan sesuatu kebaikan yang mereka lihat daripadamu. Maka jadilah kamu orang yang sentiasa mencela dirimu sendiri dengan pandangan baik orang kepadamu. Orang mukmin tidak meninggalkan keyakinan dirinya (kelemahan diri) disebabkan oleh tanggapan orang di sisinya". Demi Allah, tanggapan orang kepadaku tidak menyebabkan aku terpedaya daripada mengenali diriku sendiri. Dan aku tahu dengan kemurahanNya, Allah telah menutup (kelemahanku) dengan kecantikan tuntupanNya. Telah berkata Abul Atahiah: "Allah telah mencantikkan kami dengan tidak membuka seluruh kesalahan-kesalahan kami. Maka jika dibuka kesemua kesalahan itu, maka pasti jelaslah ia". Allah tidak menjadikan kesemua maksiat itu memiliki bau sehingga boleh dibau oleh manusia. Aku memohon kepada Allah agar Dia menutup (segala kesilapanku) di akhirat seperti mana Dia menutupinya di dunia. Sesungguhnya aku takut dengan kemuliaan dan pujian seperti ini akan menghapuskan segala pahala dan keagungannya. Imam Muslim telah meriwayatkan di dalam sahihnya, "Tiadalah seorang pejuang yang berjuang di jalan Allah, lalu dia diuji dengan ghanimah (harta rampasan perang) kecuali ditangguhkan baginya dua pertiga pahala dan hanya kekal sepertiga sahaja. Namun jika dia tidak diuji dengan ghanimah tersebut, pasti sempurnalah kesemua pahala itu". Dan aku takut wahai ikhwah, daripada pujian-pujian dan ucapan-ucapan saudara (kepadaku) akan menghapuskan dua pertiga pahala itu sehingga meninggalkan sepertiga sahaja. Inilah ghanimah bagi orang yang berilmu iaitu pujian dan kemuliaan orang kepadanya yang akan menghapuskan dua pertiga pahala itu. Jika kemuliaan ini menghapuskan dua pertiga pahala, maka amat rugilah. Dan jika sepertiga yang berbaki itu pula tidak sunyi daripada kelompongan dan keburukkan, maka apakah lagi yang tinggal untuk manusia? 

Ini adalah perjumpaan para pelajar dan sahabat. Saudara mengatakan "Imam al-Qaradhawi". Demi Allah, aku bukanlah ketua dan imam. Aku sedar bahawa aku adalah seorang jundi. Dan sesungguhnya aku adalah seorang pelajar. Aku akan terus menjadi pelajar. Orang berilmu yang sebenar ialah mereka yang senantiasa menjadi pelajar di sepanjang hidupnya, dan aku akan terus belajar dan mencari kerana masih banyak kejahilanku seperti yang dikatakan oleh imam kita As-Syafi'ie rahimahullah: "Setiap kali bertambahnya umurku, aku lihat lemahnya akalku, atau aku lihat bertambahnya ilmuku disebabkan kejahilanku". Dan benarlah firman Allah, "Dan tidaklah kamu diberikan sesuatu ilmu melainkan sedikit", "Dan katakanlah: Wahai tuhanku, tambahkanlah aku dengan ilmu". 

Aku belajar dengan beberapa sahabat di pejabat dan banyak yang telah aku pelajari daripada mereka sesuatu yang aku terleka dan tidak tahu mengenainya. Begitulah manusia belajar daripada pelajar-pelajarnya seperti mana kata sebahagian mereka kepada gurunya antaranya mengenai kisah Hud-hud di dalam al-Quran. Berapakah daripada kita yang belajar daripada pelajar-pelajar mereka? Telah berkata para salafussoleh RA: "Seseorang itu akan sentiasa menjadi alim dengan pencarian ilmu. Tetapi jika dia menganggap dirinya berilmu, sesungguhnya dia seorang yang jahil". 

Aku berhijrah ke Qatar pada 12 September 1961 dan aku telah ditugaskan sebagai mudir ma'ahad thanawi di sini. Seingatku ketika di ma'ahad dulu, aku telah diziarahi oleh seorang lelaki. Dialah lelaki pertama yang menziarahi aku. Beliau mengatakan, "Aku adalah saudaramu Abdullah bin Ibrahim al-Ansori yang merupakan seorang pelajar di bumi Qatar". Inilah kali pertama aku mendengar seorang alim mengatakan bahawa dirinya seorang pelajar dan aku begitu ta'ajjub dengan ucapan tersebut. Begitulah yang seharusnya dilakukan oleh manusia iaitu menjadi pelajar kepada ilmu .........           

Ini saja terjemahannya. Manakala ucapan selebihnya memasuki perbincangan yang lain. 

................................................................

Kesimpulan yang boleh saya simpulkan daripada ucapan beliau ini adalah:

~ Janganlah merasa bangga dan sombong dengan ilmu pengetahuan yang kita miliki kerana hakikatnya ia bukanlah milik kita, tetapi milik Allah. 

~ Tiada siapa yang mengetahui semua perkara dalam kehidupan ini walau sebesar mana sekalipun gelaran yang diperolehinya. Hakikatnya semuanya datang dari Allah. Kita sendiri adalah bodoh sebelum pandai dan memerlukan bantuan serta dokongan orang lain dalam mencapai kejayaan yang kita kecapi. Dalam erti kata lain, kejayaan dan kepandaian kita bukanlah kejayaan dan kepandaian yang mutlak, tetapi merupakan hasil sumbangan dan bantuan orang lain sebelumnya. Sekiranya kita merasakan bahawa kitalah orang yang paling berilmu, ingatlah bahawa keilmuan yang kita miliki tidak sampai setitikpun dengan lautan ilmu Allah SWT.  

~ Setinggi manapun kedudukan dan keilmuan kita, samada kita berlatarbelakangkan seorang doktor, peguam, jurutera, akauntan, guru dan alim ulama ... sentiasalah memakai pakaian para penuntut. Dengan itu, kita akan senantiasa merasa sedikitnya ilmu dan agungnya orang lain. Bagi mereka yang tidak mempunyai asas agama, dampingilah para ulama dan orang-orang soleh agar kita terkena tempiasnya. Semoga dengan keikhlasan dan kebersamaan kita bersama mereka akan terpancarnya keberkatan dari ilmu dan akhlak mereka sedikit sebanyak pada diri kita. Sebuah syair arab berbunyi: "Serupakanlah dirimu dengan mereka kerana menyerupai orang-orang yang mulia itu membuahkan kejayaan"   

~ Janganlah merasa diri sempurna dan terbaik daripada orang lain. Kalau bukan kerana "hijab" atau penutup yang ditutup oleh Allah, dan kalau sekiranya kelemahan kita boleh dibau dan dihidu .. sudah tentu ramai orang akan membenci dan menjauhi kita kerana busuknya bau-bau kelemahan kita. Tetapi kerana rahmat dan kasih sayang Allah, kelemahan dan kejahatan kita masih ditutupi oleh Allah SWT.    

Moga Allah merahmati

Friday, 15 May 2009

Anai-anai Jalan Raya




Salam ..

Beberapa hari yang lalu, Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Menteri Pendidikan Malaysia telah menimbulkan rasa kerisauan beliau mengenai gejala Mat Rempit yang sudah semakin menjadi-jadi di dalam negara. Ini menunjukkan bahawa gejala ini sudah meningkat menjadi isu nasional.  

Berleluasanya permasalahan ini sehingga ia menjadi polemik semasa masyarakat setempat, dan apa yang lebih mendukacitakan kita ialah, di sana masih belum terdapat lagi jalan penyelesaian terbaik bagi mengurangkan penyakit golongan remaja ini.  

Namun persoalannya, di sana sudah dilaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan isu sosial ini seperti menyediakan trek perlumbaan dan sebagainya. Akan tetapi mengapa seolah-olahnya masih belum berjaya menampakkan sebarang kesan, malah kian hari kiran meruncing. 

Bagi saya, ia bukan isu yang boleh dikesampingkan. Ia adalah isu nasional yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak. 

Ramai di kalangan masyarakat yang terganggu dengan gejalan ini. Isunya berbeza jika mereka berlumba di tempat-tempat yang jauh dan terasing dari masyarakat. Tetapi yang menjadi masalahnya, mereka telah menyalahgunakan jalan raya awam sehingga mengganggu keselamatan pemandu-pemandu lain yang sedang menggunakan jalan raya tersebut. Saya sendiri berpengalaman dihimpit oleh puluhan motor mat-mat rempit sekitar jam 12 malam di Jalan Tun Dr Ismail suatu ketika dahulu. Memang agak menakutkan. Mereka berkuasa di atas jalan seolah-olah seperti raja dan saya pula yang terpaksa berhati-hati dengan kemabukkan mereka. Bermacam-macam cara yang menggayatkan cuba dipamerkan. Entah saya sendiri pun tidak tahu apa istilahnya. 

"Anas, apa istilah illegal racing di dalam bahasa arab?", saya bertanya beliau yang berasal daripada Mesir.

"Erm, entah la .. ana pun tak tahu", jawab beliau sambil cuba memberikan beberapa istilah-istilah yang sesuai seperti "Musabaqah Ghoir Qonuniyah" dan sebagainya.

"Ada ke perlumbaan haram di negara kamu?", saya bertanya lagi.

"Entah la, saya rasa tak ada", jawab Anas. 

Daripada perbualan ini, timbul beberapa persoalan yang sering bermain di fikiran saya:

1) Mengapa ia hanya berleluasa di kalangan remaja-remaja Melayu kita dan tidak pada bangsa yang lain?

2) Kalau alasannya adalah terpengaruh, mengapa ia hanya berlaku di Malaysia dan tidak berlaku di negara-negara lain atau jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Singapore? (Kalaupun ada, mungkin tidak sehebat Malaysia)

Adakah anda mempunyai jawapannya?

Bukan sekadar itu, kita juga amat risau kerana masalah ini tidak terhenti di situ saja. Malah ia turut membiak kepada kejadian-kejadian negatif yang lain seperti pembunuhan, perjudian, pelacuran, mabuk dan sebagainya. Ia boleh dikatakan seperti anai-anai yang membiak-biak dengan cepat yang jika tidak dihapuskan dengan segera, tidak mustahil ia mampu meruntuhkan sebuah rumah.   

Oleh itu, saya amat mengharapkan agar semua pihak samada pihak kerajaan, parti politik, NGOs ataupun persatuan memberikan perhatian terhadap permasalahan serius ini dan mencari solusi terbaik bagi membendung gejala ini daripada terus merebak dan berleluasa. 

Kita memerlukan pendekatan jangka masa pendak dan panjang terhadap isu nasional ini.   

Mari bekerjasama mencari jalan penyelesaiannya. 


   

Generasi Masa Hadapan adalah Tanggungjawab Kita Hari Ini


"Assalamualaikum Yasir", saya menerpa dari arah belakangnya.

"Waalaikumsalam", balas beliau yang sedang duduk di atas motor yang diletakkan di tengah-tengah kaki lima antara Bank Muamalat dan Bank Islam di UIA.

"Kaif halukum?", saya berbahasa arab dengan beliau petang itu.

"Alhamdulillah khair. Intahaitad dirasah?", tanya Yasir yang tampak berseri di wajahnya. 

"Eh, intahaitul an. Anta?", saya mengiyakan. 

"Intahaitud dirasah fi November", balas beliau yang merupakan anak watan negeri Sabah yang datang dari jauh menuntut di UIA. Saya mengenali beliau semenjak di matrik lagi, seingat saya ketika kami disatukan dalam satu kumpulan Halaqah di bawah pengelolaan UIA.  

"Owh, 'indakum baqia wahid semester!?", saya terkejut, kerana kalau ikut perkiraan, sepatutnya pengajian beliau perlu tamat lebih awal atau sama dengan saya.     

"La', ya'ni fi semester madhi", jelas beliau.

"Ooo, azhunnu lamman tahaita. Ya'ni khalasta fi semester madhi?", saya bertanya lagi. Manis mulut.

Beliau mengangguk membenarkan pertanyaan saya. Kemudian kami terus berberbual-bual. Saya yang sambil berdiri di sebelah motornya dan Yasir pula yang sedang duduk di atasnya dengan bertongkatkan kaki kirinya ke tanah masing-masing bertanyakan mengenai perancangan masing-masing .. ke mana dan apakah yang ingin dilakukan selepas ini. 



Wajahnya sentiasa didongakkan ke arah masjid UIA yang betul-betul bertentangan dengan kedudukannya. Hanya kadang-kadang saja beliau mengarahkan penglihatannya ke arah saya. Entah apa yang sedang beliau fikirkan saya tak tahu. Mungkin kerana masih belum puas melihat kecantikan seni bina UIA yang ala-ala seni bina Islam sambil menikmati kenyamanan udara petang yang sejuk dan berangin itu.     

"Ok la Yasir. Ana nak kene pergi dah ni. Good luck. Kalau ada rezeki boleh kita jumpa lagi insyallah", saya bersalaman dengan Yasir setelah berbual lama. 

"Quwayyis !", balas beliau 

"Aaa !", saya merapatkan telinga saya ke arahnya kerana tidak dapat menangkap kata beliau itu. 

"Quwayyis marrah .. 'baik sekali'. Hye, takkan dah pergi ziarah ke tempat arab pun tak tau maksud ni?", sambil tersenyum Yasir bertanya. 

"Oooo .. quwayyis. Faham-faham. Cuma lambat sikit nak recall sebab dah lama tinggalkan lahjah 'ammi ni", balas saya tersenyum sipu.  

Setelah itu, kami pun berpisah. Saya menuju ke arah kereta saya sedangkan Yasir masih tidak berganjak dari tempatnya. 

Semasa baru saja sampai ke Syria, saya tidak berani untuk berjalan seorang diri kerana masih tidak biasa dengan slang atau lahjah 'ammi yang digunakan oleh orang-orang tempatan. Tetapi setelah beberapa hari meneliti dan mendengar kalimah dan percakapan yang digunakan disamping bertanya kepada rakan-rakan yang tinggal di sana, saya semakin yakin untuk keluar sendirian. 

Namun malang sekali, banyak kalimah, istilah-istilah dan percakapan harian yang digunakan di sana tidak saya simpan, malah tidak diamalkan di sini sehingga banyak yang saya lupa, antaranya seperti meminta pemandu van atau teksi untuk berhenti di tepi jalan atau simpang, meminta dibungkuskan makanan dan sebagainya.     

SYNDROM TAKUT

Namun saya masih tetap bersyukur kerana selama berpayung di bawah teratak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), antara sumbangan besar yang ia telah berikan kepada saya ialah, ia telah menyediakan satu suasana lanskap pendidikan yang menggalakkan kita untuk mempertajamkan bahasa.

Saya tidak pasti bagi orang lain. Tetapi bagi saya, di sinilah tempat mulanya saya mangasah kemampuan saya berbahasa Inggeris dan Arab. 

Keberanian saya bermula di sini.

Saya masih ingat lagi ketika kelas Englis semasa tingkatan 3 dahulu, kami ditugaskan oleh Mu'allimah Norbaya untuk membentangkan kerja berkumpulan kami di depan kelas di dalam bahasa Inggeris. Setiap kumpulan perlu melantik seorang wakil ke depan kelas untuk membentangkan setiap hasil kerja berkumpulan mereka. Dalam kumpulan saya, tak semena-mena ahli kumpulan telah sebulat suara melantik saya sebagai wakil kumpulan untuk membentangkan hasil kerja kami. 

Yang lebih menggerunkan, saya pula yang disuruh menjadi pembentang pertama.  

Waduh, waduh, waduhhh ...

Allah saja yang tahu bagaimana saya bercakap Inggeris pada waktu itu. Bak kata orang ... asal jalan sudah. Bahkan gementar itu masih belum hilang walaupun setelah selesai membentang. Takut.  

LIDAT LIAT

"Budak-budak ni ana dah khususkan sabtu dan ahad untuk kelas bercakap je", cerita ustaz Fakhrurrazi mengenai perjalanan sekolahnya.

"Owh yeke. Habis tak mengaji ke nahu sorof semua tu?", saya bertanya

"Yang tu dah ngaji dah dalam kelas isnin sampai jumaat. Sabtu dan ahad ni hari untuk belajar bercakap je", jelas ustaz sambil duduk-duduk di meja bulat bawah pokok.

"Ana nak dorang semua mahir bercakap dulu, kemudian baru dibetulkan dengan grammar arab yang dorang ngaji tu", sambung ustaz lagi.

"Ye la, bercakap dalam keadaan dah tahu grammar ni ana rasa payah lagi dari bercakap dalam keadaan tak tahu apa-apa, sebab bercakap dengan tahu grammar ni yang buat kita takut nak bercakap, takut silap", saya memberi pandangan.

"Tu la, sebab tu ana buat kelas ni supaya dorang dapat kedua-duanya", balas uztaz.  

Lidah ini seperti tepung yang tidak diuli. 

Liat.

Tetapi semakin lama ia diuli, pasti ia akan menjadi semakin lembut. Ia perlu sentiasa diuli melalui proses percakapan dan pertuturan. Grammar, nahu dan sorof hanya berperanan sebagai tangan-tangan yang mengadunkan. Begitu juga dengan bi'ah dan suasana. Semua ini berfungsi sebagai alat untuk membantu kecekapan kita untuk bertutur dan menulis. Akan tetapi, kecekapan bercakap itu asasnya adalah pada keberanian kita untuk bertutur. Letaklah kita di mana sekalipun dan ajarlah setinggi manapun ilmu bahasa itu, selagi kita enggan bercakap dan bertutur, selagi itulah lidah kita akan liat dan keras seperti tepung yang tidak diuli. 

PERBUALAN DENGAN SYEIKH OTHMAN 

"Owh, azhunnukum minal 'arab", saya terkejut dengan beliau yang terlalu fasih bercakap arab.

"La', ana minal 'ajam misl antum", jelas beliau.

Saya sangkakan beliau anak kelahiran Saudi kerana ramai juga warga Saudi yang berkulit hitam. Rupanya beliau adalah warga negara Gana yang majoritinya Kristian dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium rasmi pertuturan. 

"Kenapa tuan tidak menggunakan bahasa Gana sebagai bahasa rasmi negara?", saya bertanya.

"Gana mempunyai banyak qabilah dan setiap qabilah mempunyai bahasanya yang tersendiri. Terlalu sukar untuk kerajaan menetapkan satu bahasa standard untuk kami. Jadi sebagai jalan penyelesaiannya, kami menggunakan bahasa Inggeris", ulas beliau.

"Habis di mana tuan belajar bahasa arab ni?", tanya saya ketika kami sedang berbual-bual di dalam musolla Sidiq selepas selesai solat Maghrib berjemaah. 

Sejak sekian lama mempelajari kitab hadis sendirian daripada beliau, baru saat itu kami berpeluang untuk berbual-bual panjang. Itupun kebetulan kerana saya ingin memberitahu keuzuran saya tidak dapat hadir pada beberapa kelas sebelumnya. Disebabkan pengajian dibuat selepas solat subuh, masa hanya cukup untuk mengaji saja kerana saya mempunyai kelas di waktu pagi dan beliau pula ingin mengulang bacaan al-Qurannya. Jadi masing-masing tidak punya masa untuk berbual-bual panjang. 

"Semua itu saya dapat semasa di sekolah dulu. Semasa di sekolah rendah, ustaz-ustaz mengajar di dalam bahasa Inggeris. Tetapi setelah masuk ke sekolah menengah, semuanya diajar dalam bahasa Arab. Kami pun diwajibkan bahasa arab juga", cerita beliau.

"Kemudian saya sambung belajar di Madinah. Di situpun sudah bahasa arab", sambung beliau lagi.

Lama juga kami berbual, sehingga tidak sedar telah masuk waktu Isyak. Saya sangat ta'ajjub dan kagum dengan kemampuan bahasa arabnya. Walaupun beliau bukan arab, tetapi beliau mampu memberikan khutbah ringkas yang kadang-kadang diadakan selepas solat di hadapan orang-orang arab.          

"Ana uhibbu an atakallam fi lughatil arabiah. Ma hia nasihatuka 'alayya likai yumkin akunu misluk?", saya mengambil peluang untuk mendapatkan nasihat beliau.

"Untuk dapat semua itu, kamu mesti banyak mendengar, membaca dan selalu berlatih. Saya pun bukan arab macam kamu juga, tetapi sebab pembelajaran saya dalam bahasa arab sejak sekolah lagi, jadi di situlah saya belajar. Insyallah dengan latihan kamu akan mahir bercakap", nasihat beliau. 

Setelah itu, kami pun bangun menunaikan solat sunat Isyak dan beliau mengimamkan jemaah kemudiannya.

PPSMI PERLU DIMANSUHKAN



Isu ini memang sudah lama.

Tetapi perjuangan untuk menghapsukannya masih segar dan perlu diteruskan. Ia bukan agenda politik untuk meraih simpati rakyat, tetapi merupakan agenda rakyat dan suara ibu bapa yang tidak mahu menggadaikan masa depan anak-anak mereka. 

Bukan pada pembelajaran bahasa Inggeris itu yang kita tentangi, tetapi kami menentang pada perlaksanaannya kepada subjek Sains dan Matematik. 

Itu yang kami persoalkan. 

Semasa ceramah PPSMI yang dianjurkan oleh TERAS beberapa hari yang lalu di Ipoh, YAB Datok Seri Ir Nizar Jamaluddin ketika di awal perlantikannya sebagai Menteri Besar Perak dulu menjelaskan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan khas dengan Datok Seri Hishamuddin Tun Hussein yang merupakan Menteri Pendidikan semasa itu. Beliau yang datang mewakili hasrat seluruh rakyat Malaysia memohon dan meminta agar PPSMI ini dihapuskan. Namun beliau menceritakan betapa hasrat itu langsung tidak dihiraukan, bahkan Datok Seri Hishamuddin menjawab, "Frankly speaking, I'm not really clear about its certainty".

Ini menunjukkan betapa kerajaan tidak serius dalam perlaksanaan pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris sehingga Menteri Pendidikan sendiri boleh menjawab sedemikian. Bahkan lebih teruk dari itu, beliau secara khususnya dan kerajaan secara umumnya langsung tidak mempedulikan hasrat dan tuntutan rakyat, apatah lagi - saya percaya - untuk mengadakan sidang meja bulat bagi mengkaji dan mempertimbangkan semula perlaksanaan ini secara serius.    

Bahkan, seperti mana yang diulas oleh Datok Seri Nizar, tujuan utama perlaksanaan ini adalah bagi melumpuhkan perkembangan sekolah-sekolah agama rakyat yang kian mendapat tempat di mata ibu bapa memandangkan sekolah-sekolah kerajaan gagal untuk membentuk akhlak dan keperibadian anak-anak mereka menjadi insan yang baik. Mereka sedar yang guru-guru SAR ini kebanyakkannya adalah daripada guru-guru sukerala tidak terlatih. Oleh itu dengan perlaksanaan PPSMI ini secara tidak langsung akan menyulitkan lagi guru-guru tidak terlatih ini dan di dalam masa yang sama menimbulkan rasa keraguan kepada ibu bapa akan kemampuan mereka untuk mengajar subjek-subjek ini di dalam Bahasa Inggeris. Kesannya, di Perak sebagai contoh, daripada 48 buah SAR kini hanya tinggal 22 buah SAR saja yang masih beroperasi. Itupun dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. 

Kalau kerajaan benar-benar ikhlas untuk membangunkan generasi muda Malaysia ke arah sebuah generasi yang maju dan berdaya saing di dalam bidang Sains dan Matematik, mengapa mengeluarkan pekeliling yang berbeza di antara sekolah-sekolah melayu dan sekolah jenis kebangsaan China? Mengapa kepada sekolah melayu, PPSMI diwajibkan sedangkan kepada SJK China diberi pilihan antara bahasa Inggeris dan China? 

Bukankah ini satu motif politik?

PERKEMASKAN SISTEM PEMBELAJARAN

Sebab itu, untuk menaik taraf kemampuan bahasa Inggeris anak-anak muda hari ini, apa yang perlu kita lakukan ialah dengan memperkemaskan sistem pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri ... bukan dengan menyucuk punggung bila gigi yang sakit.     

Guru-guru perlu diberikan latihan secukupnya samada dari sudut penyampaian dan silibus subjek tersebut. Penguatkuasaan juga perlu lebih diperkuatkan dengan mewajibkan setiap kelas bahasa Inggeris agar menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran. Para pelajar juga perlu dilatih bahkan diwajibkan berbahasa Inggeris bermula sejak awal persekolahan lagi. Selain itu, perbanyakkan program-program yang menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris bagi membiasakan para pelajar dengannya.

Di UIA sebagai contoh, semuanya diajar di dalam bahasa Inggeris kecuali Fakulti Ilmu Wahyu dan subjek-subjek Undang-Undang Syariah saja yang menggunakan Bahasa Arab sebagai medium pempelajaran. Bukan sekadar itu saja, program-program universiti juga memanfaatkan bahasa Inggeris ketika menjalankan program. Khutbah jumaat pun begitu, khatib hanya dibenarkan samada untuk menggunakan bahasa Inggeris atau Arab atau kedua-duanya ketika menyampaikan khutbah. 

Pelajar-pelajar UIA

Oleh itu, secara tidak langsung kaedah ini akan menggalakkan para pelajar untuk belajar dan mempertingkatkan penguasaan mereka di dalam kedua-dua bahasa ini. Bahkan ramai juga pelajar terutamanya dari Tanah Besar China dan segelintir pelajar-pelajar arab dan afrika yang dulunya tidak tahu berbahasa Inggeris, tetapi meningkat sedikit demi sedikit disebabkan oleh pengaruh suasana yang membina.    

Sekurang-kurangnya, kalaupun tidak sefasih mana, setidaknya ia telah menyediakan ruang dan peluang untuk para pelajar menyemai sifat berani dan minat untuk mencuba.  

Itu yang penting.

Oleh itu, sebagai seorang yang cintakan negara, saya memohon agar para pembaca sekalian memberikan pengajaran kepada UMNO dan Barisan Nasional di dalam PRU-13 yang akan datang selagi isu PPSMI ini tidak diselesaikan kerana kita tidak mahu para pemimpin yang tidak serius untuk membangunkan sebuah generasi masa hadapan. 

Kalau tidak .. mereka hanya kenyang perut dan generasi kita makin tergadai. 

Ketahuilah bahawa kita bertanggungjawab hari ini demi kejayaan sebuah generasi masa hadapan


Wednesday, 13 May 2009

Mari fikir sejenak

Salam ...

Ketika membaca buku ((Tarbiyatul Awlad)) karangan Syeikh Abdullah Nasih Ulwan, beliau telah membawakan satu misalan yang cukup menarik perhatian saya:



Contoh pertama:

Pernahkan anda melihat sebuah cerek berisi air yang dipanaskan dengan nyalaan api yang kuat? Apakah yang akan anda lakukan setelah anda mendapati air di dalam cerek itu telah menggelegak sedangkan ia ditutup rapat tanpa sebarang ruang untuk mengeluarkan wap-wapnya? Apakah anda akan memadamkan nyalaan api itu atau membuka penutup cerek itu atau membiarkan terlebih dahulu sementara mencari kain untuk mengangkatnya?



Contoh kedua:

Ataupun anda panaskan sebuah kuali yang mempunyai sedikit saja air di dalamnya. Bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya anda membiarkan ia dipanaskan begitu lama? Tidakkah lama-kelamaan air itu akan mula tersejat dan kuali itu mula kekeringan disebabkan oleh kepanasan yang lama?

Erm, saya sedang memikirkan sedalam-dalamnya apakah sebenarnya yang ingin dijelaskan dari misalan-misalan ini. 

Mari fikir sejenak.
 

Monday, 11 May 2009

Selamat Hari Ibu



"Selamat hari ibu mak", saya mengucup tangan mak pagi tadi.

Mak tersenyum riang saat mendengar saya mengucapkannya. 

"Jom kita pergi Pizza Hut petang ni, tapi mak belanja lah", saya ketawa. 

Walaupun hari ibu sudahpun sehari berlalu, tetapi tiada salahnya untuk saya mengucapkannya pada hari ini. Lagipun semalam emak tiada di rumah, dan saya pula berada di Air Kuning Taiping untuk mengikuti Muktamar Pemuda PAS Perak kali ke-26.

AMBIL YANG JERNIH, BUANG YANG KERUH

"Actually not tradition pun tapi saja nak wish umi. Tak salah kan?", seseorang bertanya.

"Hish, mana boleh sambut hari ibu ni, perayaan kaper !!", ada yang menyanggah.

Menurut sejarah, sambutan hari ibu ini ada hubungkaitnya dengan keagamaan Kristian. Ia merupakan satu festival keagamaan yang diraikan di seluruh negara-negara Eropah bermula sejak zaman Neolitik lagi dengan sebutan Mothering Day. Bagi kepercayaan Rome, Mothering Day disambut sebagai tanda penghargaan kepada Dewi Cybele yang berlangsung pada pertengahan bulan Mac. Ia terus kekal menjadi sebahagian daripada upacara keagamaan walaupun setelah itu Empire Rome dan Eropah menganut agama Kristian.

Akan tetapi, Mothers Day yang diraikan pada hari ini adalah hari yang dipelopori oleh Anna Javis yang berasal daripada West Virginia, Amerika Syarikat.   

Pada tahun 1907, dua tahun setelah ibunya meninggal dunia, beliau mengadakan hari peringatan ke atas ibunya, Ann Maria Reeves Jarvis dan kemudiannya menyemarakkan kempen meraikan hari Mothers Day sebagai hari cuti awam. Usaha beliau berhasil di mana pada tahun 1914, hari Mothers Day telah diiktiraf sebagai hari cuti umum.       

Ia merupakan hari yang dicipta sebagai penghargaan kepada pengorbanan dan penat lelah wanita yang bergelar ibu yang telah bersusah paya bersabung nyawa melahirkan anak-anak, seterusnya mendidik dan membesarkan mereka dengan sepenuh hati dan jiwa raga sebagai bukti kasih sayang dan cinta yang tidak berbelah bagi dari seorang ibu kepada anak-anaknya.  

Tidak dinafikan Hari Ibu bukanlah berasal daripada Islam, bahkan tidak tercatat di dalam seerah Rasulillah SAW dan riwayat-riwayat hadis yang menyuruh agar ditetapkan hari-hari tertentu sebagai Hari Ibu. 

Walaupun begitu, Islam mewajibkan agar kita senantiasa menghormati dan memuliakan ibu bapa. Tidak kira setinggi mana kedudukan dan ilmu kita mengatasi mereka, ketaatan kepada mereka tetap wajib diberikan selagimana mereka tidak melanggari perintah agama. Bahkan selepas mereka telah meninggal dunia sekalipun, kemuliaan terhadap mereka perlu tetap diberikan melalui doa dan penghormatan terhadap kawan-kawan baik dan kerabat-kerabat terdekat mereka(1). 

Dengan itu, bukankah dengan meraikan hari ibu sudah termasuk di dalam mafhum Al-Quran dan As-Sunnah yang mewajibkan kita agar memuliakan mereka? 

Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling layak untuk aku memberikan kebaikkan? Rasulullah SAW lantas menjawab: Ibu kamu. Kemudian lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Ibu kamu. Lelaki itu bertanya lagi soalan yang sama. Rasulullah SAW menjawab: Ibu kamu. Dan kemudian barulah baginda menyebut: Bapa kamu" ((Hadis riwayat al-Bukhari)) 

Selain itu, diantara banyak nasihat Luqman kepada anaknya, al-Quran telah merekodkan bahawa beliau telah menasihatkan agar anaknya memuliakan ibu bapa:

أن اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ
"Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu" (Luqman: 14)

Memahami perintah yang disebutkan di dalam surah Luqman ini, apakah dengan meraikan hari ibu itu tidak termasuk di dalam perintah untuk mensyukuri kedua ibu bapa kita? 

Namun begitu, terdapat batasan-batasan yang perlu diteliti supaya kita tidak tersilap dalam memahaminya. Pertamanya, jangan kita menganggap bahawa 10 Mei yang ditetapkan ini sebagai suruhan agama. Keduanya, tidak sepatutnya penghormatan terhadap ibu itu hanya tertakluk pada hari tersebut sahaja sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakkan orang-orang Eropah. Sekiranya berlaku sedemikian, maka itulah bid'ah yang diada-adakan.      

Di samping itu juga, keterbukaan dan kesyumulan Islam sudah cukup menjadi asas bahawa ia amat meraikan semua kebaikkan yang memberikan keuntungan dan manfaat yang berguna kepada manusia walaupun ia diasaskan oleh selain Islam. Apa yang penting, kebaikkannya diambil manakala keburukannya dibuang agar kemurniaan Islam terus terpelihara, sesuai dengan pepatah Melayu, "Ambil yang JERNIH, Buang yang KERUH".  

HARI YANG DILUPAKAN

"Kenapa tiba-tiba buang tebiat dia ni?", mungkin begitu agaknya hati mak berkata-kata. 

Maklumlah, ini kali pertama saya mengucapkan selamat hari ibu kepada emak. Agak kekok juga tadi sebenarnya sebab ia bukanlah 'trend' yang kami anak-anak raikan di dalam keluarga. 

Mak juga agak terkejut. 

Namun, pasti ramai di antara kita juga yang terlupa dengan hari penting ini. Salah satu faktornya mungkin kerana kita menganggap bahawa ianya tidaklah begitu bermanfaat untuk diperingati sehingga kita sendiri tidak mengetahui tarikhnya. Walhal saya begitu yakin, tentu ramai di kalangan ibu-ibu yang ternanti-nanti ucapan "Selamat Hari Ibu mak", "Happy Mothers Day umi" daripada anak-anak mereka.

Walaupun ramai juga diantara ibu-ibu yang tidak mengingati tarikh 10 Mei ini, tetapi ia sudah cukup untuk mengejutkan mereka sekiranya si anak tiba-tiba mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada mereka.  

IBU DIHARGAI, ANAK PUNYA SENSITIVITI

Bagi saya, masalah kekeluargaan bukan saja berlaku disebabkan oleh konflik yang berlaku diantara si suami dan isteri, malah anak-anak juga kadang-kadang tidak ketinggalan dalam memberikan sumbangan kepada krisis ini. 

Kadangkala, ayah dan ibu boleh bergaduh kerana kenakalan dan keburukan perangai anak-anak di luar rumah. Si ayah menyalahkan ibu kerana gagal mendidik anak-anak di rumah sehingga anak-anak terbiar liar dengan berkawan dengan orang-orang yang tidak dikenali. Manakala si ibu pula menuding jari kepada si ayah kerana terlalu sibuk dengan "wang, wang & wang" sehingga mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ayah. Masing-masing mempertahankan hak masing-masing untuk membenarkan diri sendiri sehingga berlakunya keretakan di dalam hubungan kekeluargaan. 

Puncanya adalah "kita" sebagai anak-anak yang terkadang lupa untuk memperhatikan tingkah laku kita di luar, sehingga kesan buruknya akan kembali kepada ibu bapa kita sendiri akhirnya. 

Jangan salahkan ibu bapa yang mendidik, salahkan kita yang tidak tahu mengenang budi. 

Oleh itu, sekiranya "kita" selaku anak-anak mampu memanfaatkan kesempatan 10 Mei ini untuk mengucapkan selamat Hari Ibu buat ibu yang tercinta, pasti ia mampu menyuburkan lagi hubungan cinta dan kasih sayang di antara si ibu dan anak-anak. Kesannya, si ibu dan anak-anak akan terus mencuba untuk menjadi ibu dan anak-anak yang terbaik, kerana si ibu merasa dirinya diHARGAI, manakala anak punya SENSITIVITI.   

Justeru itu, pulanglah ke rumah dan ucaplah, "SELAMAT HARI IBU". 

Ya Allah, 

Berikanlah kepada ibuku balasan yang sebaik-baiknya
 atas didikan dan kasih sayang yang
 telah beliau curahkan padaku. 
Peliharalah dia sebagaimana dia memeliharaku. 

---------------------------------------

(1) Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sebaik-baik kebaikkan ialah seseorang anak yang menyambung pertalian orang yang disukai oleh ibu bapanya" ((Hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan At-Tirmizi. Rujuk Adab al-Mufrab lil Bukhari, m.s 27))  

Di dalam hadis dhaif yang telah diriwayatkan oleh al-Baihaqi, al-Haithami dan At-Tabrani, Rasulullah SAW telah bersabda: "Peliharalah hubungan orang yang disukai oleh ibu bapamu dan janganlah kamu memutuskannya. Maka Allah SWT akan memancarkan nur kepada kamu" ((Adabul Musfrad, Imam al-Bukhari, m.s 26))  

 

Saturday, 9 May 2009

Buah nasihat Ustaz Jalal Al-'Alim kepada seluruh Umat Islam




Salam perjuangan ...

Terima kasih kepada saudara Syed Zaharul kerana mengunjungi blog saya. Sepertimana yang dipinta oleh beliau, insyallah saya akan membuat sedikit kupasan ke atas sebuah buku yang dikarang oleh Ustaz Jalal al-'Alim yang bertajuk ((SERUAN BARAT: HANCURKAN ISLAM, HAPUSKAN PEMELUKNYA)).

Menurut catatan saya, buku ini telahpun saya miliki pada 4 Ogos 2004, iaitu sejak lima tahun yang lalu. Saya tidak pasti samada ia masih terdapat di pasaran ataupun tidak. Saya mengharapkan sesiapa yang berminat dengan buku ini, anda boleh mencarinya di kedai-kedai buku yang menjual banyak buku-buku Islami.

Ia sebenarnya sebuah terjemahan dari bahasa Arab ke dalam Bahasa Melayu yang telah dibuat oleh Mohd Darus Senawi 'Ali. Namun, saya tidak pasti apakah judul asal buku ini kerana Dewan Pustaka Fajar yang merupakan penerbitnya tidak menyertakan judul asalnya sekali. 

Buku kecil yang mempunyai sebanyak 64 muka surat ini terangkum di dalamnya enam pokok besar perbincangan, bermula dengan:

1. Rancangan Barat Hancurkan Islam
2. Pendirian Barat Terhadap Islam
3. Tembok Perkasa
4. Musuh Yang Satu
5. Hancurkan Islam 
6. Pelan-Pelan Untuk Menghancurkan Islam

Walaupun saiznya kecil, tetapi ia sarat dengan pelbagai fakta dan informasi berguna yang saya kira amat wajar bagi setiap umat Islam untuk memilikinya. Ia amat bermanfaat kerana penulis cuba mendedahkan seluruh perancangan-perancangan jahat musuh-musuh Islam ke atas umat Islam. 

Untuk tujuan itu, penulis cuba mengembalikan beberapa fakta sejarah kerakusan dan kezaliman musuh-musuh Islam terhadap umat Islam di seluruh dunia seperti di Andalusia (Sepanyol) dan menggambarkan bagaimana kesan-kesan tindakan hari ini sebenarnya merupakan rentetan-rentetan pelan-pelan tindakan yang telahpun dirancang rapi sebelumnya. Dalam erti kata lain, sejarah pahit umat Islam hari ini sebenarnya bukanlah sejarah baru umat Islam, tetapi merupakan sebuah kesinambungan dari pelan tindakan musuh-musuh Islam terdahulu. 

Di dalam masa yang sama, penulis juga cuba mendedahkan stratergi-stratergi yang dirancang dan yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk memecah belahkan kesatuan dan melemahkan kekuatan umat Islam, di antaranya menerusi penghapusan sistem pemerintahan Islam atau Khilafah Islamiah, merosakkan akhlak, minda dan hubungan mereka dengan Allah, menimbulkan keraguan di kalangan orang Islam terhadap agamanya sendiri serta merosakkan wanita-wanita Islam dan menggalakkan perlakuan sumbang di kalangan mereka. Dengan fakta-fakta dan sumber yang terpilih yang didatangkan, sebenarnya kesemua pelan-pelan tindakan ini sudahkan menyusup masuk dan berjalan di sekeliling kita.   

Sebagai penutup kepada kupasan ringkas ini, saya lampirkan kata-kata muqaddimah Ustaz Jalal al-'Alim sebagai tatapan para pembaca. Semoga ia membangkitkan jiwa dan ruh kekuatan kita untuk terus cinta dan hidup mati bersama Islam. 

Kepada setiap pemimpin dan penganjur di mana-mana sahaja di dunia Islam dan bangsa Arab secara khusus, seteru-seteru kita sedang melaung, "Kita mesti hancurkan Islam kerana ia adalah satu-satunya sumber kekuatan kepada umat Islam. Kita mesti menguasai mereka kerana Islam itu menakutkan kita. Adapun cara untuk menghapuskan mereka ialah dengan mengumpulkan seluruh tenaga kita sehingga mereka tidak akan menelan kita semua."

Sekarang, apa yang hendak kamu buat wahai golongan pemimpin dan penganjur?

Dengan Islam kamu dapat menawan alam sebagaimana kata para ulama dan ahli siyasah, dan sekarang mengapa kamu teragak-agak? Ayuh segeralah ambil Islam demi kemuliaan dan keagungan kamu. Jangan kamu menyanggahinya, kelak kamu dibinasakan Allah dengan azabNya. Dan ingatlah bahawa kesudahan orang-orang beriman akan menang. Telitilah hadis Rasulullah SAW berikut yg bermaksud: 

"Akan wujud sistem kenabian hingga ke suatu ketika mengikut kehendak Allah, kemudian berlalu, lantas timbul sistem khilafah terpimpin berdasarkan manhaj kenabian untuk satu ketika mengikut kehendak Allah, kemudian ia berakhir, lantas timbul kerajaan secara warisan mengikut kehendak Allah jua untuk satu tempoh, kemudian berakhir, kemudian muncul pemerintahan diktator untuk satu tempoh mengikut kehendak Allah jua, kemudia berakhir, kemudian tiba pemerintahan khilafah terpimpin mengikut manhaj kenabian memenuhi pelusuk bumi."

Wahai para pemimpin negara dunia Islam dan bangsa Arab secara khusus, jadilah kamu sebagai pembantu Islam dan bukan seterunya, nescaya Allah meredhai kamu dan manusia pun turut meredhai kamu. Kira dengannya nanti kamu akan berbahagia, seluruh bangsa kamu akan melingkungi kamu untuk kamu pimpin mereka kepada satu revolusi dunia yang pernah sejarah mengenalinya.

Wahai saudara-saudara pimpinan, pernah Rasulullah SAW menyeru suku bangsa Quraisyh supaya menyertai baginda. Baginda pernah menjanjikan tokoh-tokoh Quraisyh bahawa dengan Islam mereka akan memiliki bumi ini. Dengan itu, ingkarlah mereka yang mengingkarinya hingga di antara mereka mati dengan menentang keadilan Islam. Mereka disebut di dalam sejarah, tetapi di mana? ...Di tempat-tempat terhina. Seluruh manusia melaknati mereka hingga ke hari kiamat. Tetapi azab neraka mereka lebih berat dan pedih. 

Rasulullah SAW telah menjanjikan kita bahawa Islam akan memenuhi persada bumi, tidak ragu-ragu ianya pasti akan berlaku. Dan janganlah hendaknya kamu tergolong sebagai orang yang dicatat oleh sejarah sebagai golongan yang terkutuk sepanjang hayat. Tetapi jadilah sebagai orang yang bersama-sama dengan mereka yang memperolehi pertolongan Allah dan keabadian dariNya. Allah pasti memenangi urusanNya, malangnya kebanyakkan manusia tidak mengetahui.

Jalal Al-'Alim
Tripoli
15 Ogos 1974

 

Monday, 27 April 2009

Mengapa perlu menanyakan soalan itu lagi ?


"Ustaz, kalau air mani tu suci, maknanya boleh la kita guna untuk berwudhuk kalau cukup dua kolah?", tanya salah seorang pemanggil kepada ustaz. 

"Sebelum ana jawab, ana nak enta kumpulkan air mani sampai dua kolah dulu, kemudian baru ana jawab soalan enta ..", jawab ustaz dengan nada perli.

Pertanyaan ini mengingatkan saya kepada kisah yang diceritakan oleh sahabat saya ketika beliau mendengar seorang pemanggil menelefon seorang ustaz yang dijemput khas untuk mengisi ruang soal-jawab di radio Kedah.fm. Kami yang sedang menjamu juadah ringan di masjid UIA selepas solat tarawih tergelak bahak saat mendengar sahabat kami menceritakannya.

"Tak ada soalan lain ke nak tanya ..", sambil ketawa ringan saya bertanya.  

Mungkin pada siri soal-jawab tersebut, ustaz yang dijemput sedang menerangkan mengenai kesucian air mani(1) di dalam perbincangan ((Fiqh at-Thaharah)), maka ada si pemanggil yang "jauh sangat sempadan permikirannya" ingin tahu apakah hukumnya jika ia digunakan untuk berwudhuk. Malang sungguh orang itu. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab.    

Mungkin itulah juga jawapan saya kalau ada penanya yang bertanyakan soalan yang sama. Saya setuju dengan jawapan ustaz itu!

BERFIKIR SEBELUM BERTANYA

"Cikgu-cikgu, kenapa dia mati?", saya bertanya tentang Kellie kepada cikgu Hafizah ketika dalam perjalanan pulang dari lawatan sekolah rendah ke Kellie's Castle.   

"Dia mati sebab dah sampai ajal la", sambil tersenyum, dengan bersahaja cikgu Hafizah menjawab.

Satu bas gelakkan saya ketika itu. Tapi saya yakin, kawan-kawan saya bukannya faham pun mengapa cikgu Hafizah menjawab sebegitu.   

"Sepatutnya kamu tanya .. bagaimana dia boleh mati cikgu? Itu baru gaya soalan yang betul Fitri", jelas cikgu Hafizah supaya saya faham mengapa beliau menjawab sedemikian. 

Sejak dari peristiwa itu, saya sentiasa beringat apabila ingin menujukan soalan kerana dari persoalan yang ditanyakan, ia secara tidak langsung mampu menjadi kayu ukur kepada tahap keilmuan, kefahaman dan kemampuan kita di sisi para pendengar. Kalau bodoh soalannya, maka bodohlah anggapan orang terhadap kita. Kalau baik soalannya, maka baik jugalah anggapan orang terhadap kita. 

BIAR BERMANFAAT

"Syeikh, boleh tak jelaskan tentang Nur Muhammad?", tanya seorang pelajar baru kepada guru kepada guru kami, Syeikh Yusuf Bakhur al-Hasani.

"Kamu mahu jawapan itu mengikut kefahaman saya atau kefahaman kamu !? Nur Muhammad itu ialah kamu melaksanakan seluruh perintah Allah, mengikut sunnah Rasulullah, mendirikan solat dan tunaikan zakat ..", beliau seolah-olah berang dengan pertanyaan itu.

Sudah pasti pelajar tersebut terkejut dengan jawapan Syeikh kerana itu bukanlah jawapan kepada persoalan yang beliau tanyakan, malah jauh sekali dari pengertian Nur Muhammad. 

Persoalan ini sama seperti situasi yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW di mana ada sebilangan sahabat bertanyakan kepada baginda mengapa bulan Sabit kelihatan tipis bagaikan benang lalu terus membesar sehingga menjadi bulan purnama, kemudian mengecil semula menjadi bentuknya yang asal. Lalu Rasulullah SAW menjawab melalui firman Allah SWT:

هي مواقيتُ للناس والحج 
"Bulan Sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan haji" (al-Baqarah: 189)

Apa kaitannya di antara kecil besar bulan Sabit dengan keadaannya yang menjadi tanda-tanda waktu bagi manusia dan haji? 

Memang Rasulullah SAW tidak menjawab soalan tersebut, tetapi mengalihkannya kepada jawapan yang lebih bermanfaat dalam konteks agama dan kehidupan mereka, di dalam masa yang sama mengajar mereka agar sentiasa memikirkan sesuatu yang hanya bermanfaat untuk kemajuan mereka. Saya teringat dengan kata-kata Tok Guru Nik Aziz ketika beliau mensyarahkan ayat ini, "Rasulullah bukan tidak boleh jawab soalan itu, tetapi sengaja baginda tak mahu menjawabnya kerana untuk menjawab soalan tersebut, tidak tanya Rasulullah pun tak pe. Itu peranan akal untuk mengkaji mengapa kejadian bulan diciptakan sedemikian. Tapi nabi jawab sesuatu yang berkaitan dengan persoalan wahyu dan perkara ghaib kerana perkara ini akal pun tak mampu mencapainya. Yang hanya boleh jawab persoalan begini hanya nabi saja sebab baginda mendapat jawapan terus daripada Allah SWT, dan inilah objektif sebenar pengutusan nabi-nabi ke muka bumi".

Namun inilah masalah yang menimpa umat Islam. Ramai diantara kita sangat gemar bertanyakan sesuatu yang tidak meninggalkan kesan yang bermakna untuk diri sendiri dan orang lain. Persoalan yang diutarakan jelas tidak mampu untuk memberi impak dan tenaga kepada kelesuan ummah serta membangkitkan jiwa-jiwa yang lena, bahkan terbawa-bawa dengan khayalan-khayalan yang tidak berkesudahan yang sentiasa bermain di minda. 

Jika kita mengkaji sejarah-sejarah para sahabat, Saidina Umar RA pernah menghukum seseorang yang selalu bertanya dengan pertanyaan yang menghantui fikirannya tentang masalah-masalah mutasyabihat (samar-samar) yang tiada kaitannya dengan praktikal kehidupan yang kadang kala boleh meransang polemik sengit yang amat merugikan. 

Imam Malik pula pernah ditanya tentang maksud hakikat istiwa' dalam firman Allah (surah Taha: 5), beliau lantas menjadi marah dengan persoalan itu dan berkata kepada yang bertanya, "Istiwa' itu jelas, caranya tidak diketahui, mengimaninya adalah wajib dan bertanya tentangnya adalah bid'ah" 

Contoh-contoh yang diberikan bukanlah untuk menyatakan bahawa Islam menyekat perkembangan ilmu dan permikiran seseorang, tetapi Islam berdiri untuk menjaga keharmonian fizikal dan rohani manusia dari tercemar oleh hawa nafsu yang merosakkan. Jika perkara ini tidak dibendung seawalnya, boleh jadi kita akan terbawa-bawa kepada persoalan-persoalan yang pelik malah sehingga ke tahap mempersoalkan, "Siapa yang mencipta Allah?". Abu Hurairah RA berkata: 

لا يزال الناس يتساءلون حتى يقال : هذا الله خلق الخلق فمن خلق الله؟
"Manusia akan sentiasa bertanya sehingga dikatakan: Inilah Allah yang menciptakan makhluk. Tetapi siapa pula yang menciptakan Allah?!" 

Sekiranya permikiran kita sudah sampai ke tahap itu, maka inilah kemuncak kemusnahan kita sebenarnya. Justeru itu, Islam sentiasa mengambil langkah berhati-hati di atas prinsip kesederhanaan dan wasathiyyah, iaitu dengan menjaga penganutnya agar tidak terjerobos di dalam permikiran yang akan merosakkan diri mereka sendiri seperti mana yang pernah dilalui oleh bangsa Yunani dan Rome suatu ketika dahulu. 

Di sinilah punca kejatuhan dua bangsa gergasi ini sebenarnya. 

Kecerdasan yang mereka perolehi melebihi dari bangsa-bangsa lain pada saat itu malangnya telah dirobek oleh falsafah permikiran yang melampau sehingga membawa kepada kefahaman agama yang tempang, yang akhirnya menjadikan Yunani dan Rome sebagai bangsa keparat yang memuja "material" di dalam kehidupan, malah penghayatan keagamaan mereka juga turut diracuni oleh faham materi yang menebal.    

Sehubungan dengan itu, Prof. Lecky di dalam bukunya ((History of European Morals)) pernah mengatakan, "Semua peradaban Yunani hanya didasarkan pada akal saja". Sementara seorang penulis Rome yang bernama Apoles pula mengatakan, "Bangsa Yunani mengagungkan tuhan mereka dengan jalan menyanyi dan menari". Kecenderungan mereka hanya terbatas pada kesenangan hidup, gemar memahat, melukis dan menciptakan karya sastera yang tidak dapat dipertanggungjawabkan. Kerana itulah di sana sering terjadi kebejatan moral yang tidak dapat dibendung lagi. ((Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi, Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam, m.s 179-181))

Kemelesetan ini jika dinilai kembali, asasnya berpunca dari proses permikiran yang tidak dikawal oleh wahyu sehingga bercambahnya pelbagai kekarutan dan khurafat yang membinasakan. 

annadwi.jpg image by al-muhasibi
Maulana Abul Hassan Ali An-Nadwi, pengasas Nadwatul Ulama, Lucknow. Beliau merupakan ulama India yang terkenal dengan kehebatan dan ketinggian sastera Arabnya sehingga diakui oleh tokoh-tokoh ilmuan Islam  dari kalangan orang Arab seperti Dr Muhammad Yusuf Musa dan Syed Qutb  
  
Sesetengah para ilmuan Islam juga tidak terlepas daripada terpengaruh dengan pelbagai khayalan dan campur baur falsafah yang keterlaluan di dalam penulisan dan pengkajian mereka sehingga mereka lupa essensi utama yang perlu dititikberatkan untuk masyarakat. Walaupun ia tidak langsung terperosok di dalam lembah kesesatan, tetapi cukuplah pendominasian permikiran tersebut telah menjadi salah satu penyumbang kepada keruntuhan Umat Islam silam. Maulana Syeikh Abul Hassan Ali An-Nadwi di dalam bukunya ((Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam)) mengatakan, "Kaum Muslimin bukan saja membahas sifat-sifat Allah belaka, bahkan mereka membahas tentang roh, falsafah Wahdatul Wujud dan sebagainya yang memerlukan tenaga dan waktu yang tidak sedikit". 

Beliau menyambung lagi, "Memang hasil penemuan kaum Muslimin itu diakui banyak menunjang permikiran moden barat di abad Renaisance, namun semua hasil penemuan mereka jika dibandingkan (antara tempoh masa diantara Islam dan Barat) dengan penemuan barat tetap tidak sebanding. Tidak sebanding pula dalam hal ketelitian, keahlian mahupun penemuan baru terhadap kajian-kajian saintifik. Jika kita ingin mengetahui berapa besar perhatian dunia Islam terhadap masalah roh dibandingkan dengan perhatian mereka terhadap penemuan ilmiah (ie sains), maka bandingkan antara kitab Futuhul Makkiyah oleh Ibnul Arabi dengan kitab yang paling besar dalam ilmu fizik dan sains. Dalam hal ini akan kita dapati betapa besarnya perhatian kaum muslimin terhadap perbahasan roh lebih daripada perbahasan ilmiah lainnya" (m.s 151-152) 
 
Oleh kerana itu, bagi membendung dari berleluasanya permasalahan ini, Syeikh al-Qaradhawi di dalam bukunya ((Al-Fatwa Bainal Indhibath wat Tasayyub)) menjelaskan keperluan umat Islam untuk memikirkan sesuatu yang lebih bermanfaat untuk pembangunan ummah dan menyuburkan suasana perbincangan serta persoalan yang lebih realistik di dalam kehidupan mereka demi untuk membangun kembali sebuah tamadun Islam yang pernah dibangga-banggakan suatu ketika dahulu. (m.s 55-61) 

KESAMARAN(MUBHAMAT) SESETENGAH AYAT-AYAT AL-QURAN 

"Syeikh, siapakah nama saudara perempuan nabi Musa yang disebutkan di dalam al-Quran?".

"Kenapa kamu sibuk dengannya?", syeikh 'baran' dengan soalan si penanya. "Apakah engkau ingin meminangnya? Letaklah apa saja namanya .. Maryam, Zulaiha atau Maria sekalipun, apakah ia bermanfaat untuk kamu?", beliau menyambung lagi.  

Pertanyaan di atas adalah pengalaman yang diceritakan oleh Syeikh al-Qaradawi ketika beliau sedang memberikan pengajian hariannya di masjid. Jelas daripada jawapan beliau itu menunjukkan betapa beliau begitu tidak gemar dengan pertanyaan-pertanyaan seumpama itu.
 
Saat Allah menurunkan ayat-ayat al-Quran supaya diambil pengajaran dan peringatan daripadanya, namun ada pula di kalangan kita yang gemar membelek-belek sudut-sudut kecil di celahan ayat-ayat itu. 

Allah SWT memerintahkan agar kita menghayati nikmat Syurga dan bahaya kepanasan neraka, tetapi mengapa pula ada orang mahu bertanya "Di manakah Syurga dan Neraka?". Saat Allah meminta kita menghayati ketinggian pengorbanan nabi Ismail AS, mengapa ada pula orang yang mahu bertanya, "Apakah nabi Ismail lebih mulia dari Ishak?". Saat Allah SWT meminta agar kita mengambil pengajaran dari kesesatan kaum Nasrani terhadap risalah Nabi Isa AS, mengapa masih ada orang yang ingin tahu, "Bila saat turunnya nabi Isa AS?". Saat Allah SWT memerintahkan agar kita mempelajari ketulenan iman pemuda Ashabul Kahfi, mengapa tidak habis-habis orang menanyakan, "Apakah warna anjing Ashabul Kahfi dan apakah ia jantan ataupun betina?". 

Penting sangatkah soalan itu? Mengapa soalan sedemikian yang harus diajukan? Apakah tidak ada soalan lain yang lebih penting untuk ditanyakan berbanding soalan-soalan sebegini? Adakah ia dapat mendorong kita kepada kefahaman Islam yang lebih syumul dan komprehensif? 

Malang sungguh diri kita sekiranya kita masih lapar dengan soalan-soalan sebegini, padahal ia tidak mampu mengeyangkan pun.    

Justeru itu, elok rasanya untuk saya jelaskan sebab-sebab kesamaran yang terdapat di dalam beberapa ayat-ayat al-Quran supaya kita lebih memahaminya, dan tidak lagi mengheret kita untuk bertanya bentuk-bentuk persoalan pelik seperti yang dicontohkan di atas. 



Jauh sekali untuk dikatakan bahawa Allah SWT lalai atau terlupa untuk menjelaskan 'warna anjing Ashabul Kahfi', 'siapakah saudara perempuan Musa AS' dan pelbagai lagi bentuk Mubhamat di dalam al-Quran melainkan di sana terdapat rahsia-rahsia yang hanya mampu difahami oleh para ulama yang diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT saja. Sehubungan itu, untuk memahami rahsia-rahsia di sebalik penurunan ayat-ayat mubhamat ini, Imam As-Suyuti di dalam bukunya ((Al-Itqan fi 'Ulumil Qur'an))(2) telah membariskan tujuh sebab di sebalik kesamaran(mubhamat) yang terdapat di dalam al-Quran.  

1) Kerana penjelasannya ada dijelaskan di dalam ayat yang lain seperti firman Allah SWT:

    صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ
"Jalan orang-orang yang Engkau berikan nikmat kepada mereka" (Al-Fatihah: 7)

Kemudian "orang-orang yang diberi nikmat" itu dijelaskan di dalam surah an-Nisa' ayat 69 sebagai orang-orang dari kalangan para nabi, orang-orang yang benar, para syuhada' dan orang-orang yang soleh. 

Hal ini sesuai dengan peranan surah al-Fatihah sebagai Ummul Qur'an yang hanya memuatkan asas-asas penting intipati Islam secara ringkas, lalu maksudnya dijelaskan di tempat lain oleh ayat al-Quran sendiri ataupun daripada hadis rasulullah SAW. Selain daripada itu, ia bertujuan untuk membuktikan mutabaqahnya (selari) di antara satu ayat dengan ayat yang lain tanpa sebarang percanggahan. WA  

2) Kerana identiti orang yang tidak disebutkan di dalam ayat tersebut sudah sangat maklum seperti firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 35:

وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ
"Dan Kami katakan: Wahai Adam, masuklah kamu dan isteri kamu di dalam syurga"

Dalam ayat ini, Allah tidak menjelaskan siapakah isteri nabi Adam AS kerana sudah maklum bahawa beliau adalah Saidatina Hawa, bukan orang lain. 

3) Kerana tiada faedahnya menzahirkan identiti individu atau kelompok yang dimaksudkan seperti yang disebut di dalam ayat 259 surah al-Baqarah:

أَوْ كَالَّذِي مَرَّ عَلَى قَرْيَةٍ
"Atau apakah (kamu tidak memerhatikan) orang yang melalui satu negeri ..."

4) Kerana ingin mengumumkan peringatan ayat tersebut kepada semua, bukan dikhususkan kepada orang yang disebutkan sahaja, seperti firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 100:

وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا
"Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat untuk berhijrah .."

Dalam erti kata lain, ayat ini tidak dikhususkan kepada golongan yang diceritakan di dalam ayat ini sahaja, malah sesiapa sahaja yang keluar dari rumahnya berhijrah demi untuk mencari keredhaan Allah dan RasulNya, maka dia juga tergolong di dalam golongan yang disebutkan di dalam ayat ini. 

5) Untuk mengagungkan sifatnya yang mulia dari namanya sendiri, seperti firman Allah SWT di dalam surah an-Nur ayat 22, Az-Zumar ayat 33 dan At-Taubah ayat 40. 

وَلا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ
"Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan .."

6) Untuk menggambarkan teruknya kehinaan mereka melalui sifat mereka yang buruk melebihi dari nama-nama mereka sendiri seperti yang digambarkan di dalam surah al-Kauthar ayat 3:

إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأبْتَرُ
"Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus(dari rahmat Allah)" 

Inilah di antara rahsia-rahsia yang mampu diterjemahkan oleh para ulama di sebalik kesamaran-kesamaran ayat-ayat yang terkandung di dalam al-Qur'an. Mungkin masih banyak lagi rahsia-rahsia yang belum ditemui kerana al-Quran adalah kalamullah yang sangat luas untuk diterokai, malah sepertimana yang diungkapkan oleh guru kami, setiap kali kita membacanya walaupun pada surah dan ayat yang sama, kalau diteliti .. pasti kita akan mendapat pelajaran yang baru melaluinya.   

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan sesuatu yang jika dijelaskan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu .." (al-Maidah: 101) (3)

Daripada Ibn Abbas RA, beliau telah berkata: Aku tidak pernah melihat sesuatu kaum yang lebih baik daripada sahabat Rasulillah SAW. Mereka tidak bertanya sesuatu yang terkandung di dalam al-Quran melainkan dari 13 masalah sahaja sehingga wafatnya Rasulullah SAW, diantaranya ayat yang disebut di dalam surah al-Baqarah ayat 127 dan ayat 222. Beliau berkata lagi:

ما كانوا يسألون إلا عما ينفعهم
"Mereka tidak bertanya melainkan sesuatu yang bermanfaat untuk diri mereka" (4)

Kalau anda sudah jelas, mengapa perlu menanyakan soalan itu lagi ?


........................................................................

(1) Pendapat yang mengatakan sucinya air mani dipegang oleh mazhab as-Syafi'i, manakala mazhab Hanafi berpendapat bahawa ianya najis. WA
   
(2) Jilid 2, m.s 377-378

(3) Diharapkan para pembaca mencari sendiri tafsir bagi ayat yang diutarakan agar lebih difahami pengertiannya.WA

(4) Athar ini diriwayatkan oleh Ad-Darimi di dalam sunannya, ((Sunan Ad-Darimi)) dengan sanad di dalamnya terkandung perawi yang dhaif. Berkata Ibn Mufleh di dalam ((Al-Adabus Syari'ah)) bahawa sanadnya bertaraf Hasan. Berkata Ibn Abdil Bar pula di dalam ((Jami' Bayanil 'Ilmi wa Fadhlihi)) dengan sanad yang sama. ((ruj: Manhajus Salaf fis Suaali 'anil 'Ilmi, m.s 11)). 

Berkata Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, "Maksud 'Mereka tidak bertanyakan selain dari 13 masalah sahaja' adalah berkaitan dengan persoalan mereka terhadap permasalahan di dalam al-Quran saja. Manakala persoalan yang berkaitan dengan hadis nabi SAW, maka jumlah tidak terkira". Beliau seterusnya menaqalkan pendapat Imam Ibnul Qayyim, "Yang dimaksudkan dengan 'Mereka tidak bertanyakan selain dari 13 masalah sahaja' adalah masalah yang bersangkutan dengan al-Quran. Sedangkan yang bersangkutan dengan hadis, maka jumlahnya hampir tidak boleh diperhitungkan". ((ruj: Manhajus Salaf fis Suaali 'anil 'Ilmi, m.s 14))