Monday, 27 April 2009
Mengapa perlu menanyakan soalan itu lagi ?
Wednesday, 10 September 2008
DAURAH RAMADHAN: Sambungan tafsir ayat 184 surah al-Baqarah
.Bismillah ...
.
Alhamdulillah, di dalam ayat-ayat sebelum ini, kita telah selesai membincangkan dua bentuk rukhsah bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan dan kewajipan untuk menggantikannya pada hari-hari yang lain.
.
Pada siri DAURAH RAMADHAN kali ini, insyallah kita masih lagi akan menafsirkan ayat 184 ini, tetapi perbincangan kali ini akan memfokuskan kepada beberapa golongan yang juga diberikan rukhsah oleh Allah SWT, di mana Allah SWT berfirman:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
“... dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin” ((al-Baqarah: 184))
Tafsir:
.
يُطِيقُونَهُ ... para ulama berpendapat bahawa kalimah ini ditujukan kepada golongan tua, golongan yang uzur yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh, perempuan yang mengandung, ibu yang menyusukan anak dan golongan yang dihimpit kesempitan yang sangat berat.
.
Para ulama berbeza pendapat mengenai kedudukan ayat ini. Ada di antara mereka mengatakan bahawa ia telah dimansukhkan dan sebahagiannya pula berpendapat sebalik. Kita tidak akan membincangkan perkara ini secara detail kerana persoalan ini melibatkan permasalahan lain termasuk ilmu Qiraat dan sebagainya. Kita hanya akan memfokuskan mengenai pendapat para fuqaha berkenaan dengan hukum hakam yang diambil daripadanya sahaja yang lebih praktikal untuk dijadikan panduan beramal di dalam bulan Ramadhan ini. WA
ORANG TUA, PEREMPUAN YANG UZUR DAN ORANG SAKIT YANG TIDAK PUNYA HARAPAN UNTUK SEMBUH:
Para ulama bersepakat membenarkan berbuka puasa ke atas ketiga-tiga golongan yang disebutkan tanpa diwajibkan ke atas mereka untuk menggantikannya di waktu-waktu yang lain. Apa yang diperselisihkan adalah dari segi kewajipan membayar fidyah sahaja.
Jumhur fuqaha termasuk Ibn Abbas berpendapat bahawa mereka diwajibkan membayar fidyah kepada orang miskin pada setiap hari. Manakala Imam Malik pula berpendapat bahawa ia hanya suatu galakan, bukan kewajipan.
.
Termasuk di dalam kategori ini adalah mereka yang bersangatan lapar dan dahaga yang dikhuatiri boleh memudaratkan dirinya sendiri sekiranya puasa diteruskan. Maka dalam hal sebegini, dibenarkan baginya berbuka puasa dan wajib ke atasnya untuk mengqadha’ semula puasa yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain. Keharusannya berdasarkan kepada keumuman ayat 195 surah al-Baqarah yang menyebut:
“Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu di dalam kebinasaan”
Begitu juga dengan pekerja yang berhadapan dengan rintangan kerja yang tersangat berat seperti penuai, pembuat roti, pembuat besi, buruh kasar, pekerja di lombong arang batu dan yang seumpamanya .. maka dibenarkan bagi mereka untuk berbuka sekiranya pekerjaan tersebut tidak boleh ditangguhkan. Namun sekiranya penangguhan tersebut tidak memudaratkan, maka berdosa bagi mereka untuk berbuka.
.
Jumhur fuqaha mengatakan, mereka diwajibkan untuk melaksanakan niat puasa di malamnya dan disunatkan untuk bersahur, sekiranya keadaan tersebut berlaku, maka ketika itu diharuskan bagi mereka untuk berbuka dan diwajibkan mengqadha’nya di waktu yang lain.
.
Pendapat ini turut sama disokong oleh Syeikh Muhammad Abduh dan beberapa ulama kontemporari yang lain pada hari ini. WA
.
PEREMPUAN YANG MENGANDUNG DAN IBU MENYUSUKAN ANAK:
.
Para ulama juga tidak berselisih pendapat membenarkan perempuan yang mengandung dan ibu yang menyusukan anak untuk berbuka puasa sekiranya mereka takut[1] sebarang kemudaratan berlaku ke atas diri mereka sendiri ataupun ke atas janin di kandungan serta kekurangan susu badan ke atas bayi-bayi mereka. Akan tetapi, mereka berselisih kepada 4 pendapat mengenai kewajipan ganti rugi yang perlu ditunaikan sekiranya mereka berbuka puasa. Pendapat tersebut adalah seperti berikut:
.
1) Mereka diwajibkan menggantikan puasa dan membayar fidyah kepada seorang miskin pada setiap hari.
.
Pendapat ini dikemukakan oleh Imam Malik, As-Syafi’i dan Ahmad ibn Hambal. Tetapi di kalangan Syafi’iyyah dan Hanabilah, sekiranya kemudaratan tersebut takut berlaku ke atas diri mereka sendiri sahaja, tidak kepada bayi dan janin di dalam kandungan, maka diwajibkan ke atas mereka untuk menggantikan puasa sahaja tanpa membayar sebarang fidyah. Sekiranya kemudaratan itu takut berlaku kepada janin atau bayi mereka, diwajibkan ke atas mereka untuk qadha’ dan membayar fidyah.
.
Di dalam satu pendapat yang lain daripada Imam Malik dan Syafi’iyyah, qadha’ puasa hanya diwajibkan ke atas perempuan yang hamil manakala qadha’ serta fidyah diwajibkan kepada ibu yang menyusukan. WA
.
Sebagai tambahan, mazhab as-Syafi'ie berpendapat perempuan hamil walaupun melalui jalan zina, ibu susu yang diupah atau sukarela untuk menyusukan anak orang lain juga termasuk di dalam kategori wanita yang dibenarkan berbuka. WA
.
2) Diwajibkan menggantikan puasa sahaja.
.
Pendapat ini dikeluarkan oleh Al-Auza’ie, As-Thaury, Imam Abu Hanifah dan sahabatnya (Abu Yusuf dan Muhammad), Abu Thur dan Abu ‘Abid. Mereka mengqiaskan (membandingkan) ganti rugi ini berdasarkan kepada orang yang bermusafir dan sakit seperti yang disebut di dalam ayat yang lalu.
.
3) Diwajibkan membayar fidyah sahaja, tanpa menggantikannya.
.
Pendapat ini berbeza dengan pendapat kedua. Ia merupakan pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Abbas, Ibn Umar, mazhab Ishak dan pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Albani. Pendapat ini berdasarkan kepada fatwa yang dikemukakan oleh Ibn Abbas dan Ibn Umar RA. Ibn Abbas RA ketikamana beliau melihat Ummu Walad yang sedang hamil atau mempunyai anak yang disusukan, beliau berkata:
أنت بمنزلة الذي لا يُطيقه، عليك أن تطعمي مكانَ كل يوم مسكينُا، ولا قَضَاء عليك
“Kamu termasuk di dalam kategori orang yang tidak berkemampuan dan ke atas kamu kewajipan membayar fidyah seorang miskin pada setiap hari, namun tiada kewajipan untuk kamu menggantikannya” ((Diriwayatkan oleh Daruqutni (2/206) dengan sanad yang sahih))
Begitu juga dengan pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Umar RA, bahawa terdapat seorang perempuan hamil bertanya kepada beliau, lalu Ibn Umar mengatakan perkara yang sama seperti yang dikatakan oleh Ibn Abbas RA. ((Diriwayatkan oleh Daruqutni, (2/207) dengan sanad yang sahih))
4) Tidak diwajibkan ke atas mereka untuk mengqadha’ puasa serta fidyah, dan inilah pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Hazm di dalam ((al-Muhalla)).
.
Beliau berpendapat kewajipan mengqadha’ puasa hanyalah tertentu bagi orang yang sakit, orang yang bermusafir, perempuan yang didatangi haid dan nifas serta orang yang muntah dengan sengaja kerana telah thabit(tetap) nas daripada al-Quran dan Hadis yang menyatakan sedemikian.
.
Adapun kewajipan membayar fidyah, menurut beliau tidak terdapat nas serta ijma’ yang berpendapat sedemikian. WA
.
Bersambung ...
............................................................................
.
[1] Kekhuatiran akan berlakunya kemudaratan ini boleh dikenalpasti samada melalui nasihat doktor Muslim yang adil, atau berdasarkan pengalaman diri sendiri dan andaian yang kuat mengenai kemungkinan berlakunya kemudaratan tersebut. WA
.
Rujukan:
.
1) Tafsir al-Qurtubi, Imam al-Qurtubi
2) Tafsir Mujahid, Imam Mujahid al-Makhzumi
3) Fiqh As-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq
4) Sahih Fiqh As-Sunnah, Syeikh Sayyid Salim
5) Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili
6) Al-Iqna’, Imam Khatib As-Sharbini
Friday, 5 September 2008
DAURAH RAMADHAN: Tafsir ayat 184 surah al-Baqarah berkenaan dengan MUSAFIR (PENDETAILAN)
.“Maka Barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau bermusafir (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain” (al-Baqarah: 184)
.
.
أَوْ عَلَى سَفَرٍ
Sesungguhnya tidak ada perselisihan di kalangan ulama salaf dan khalaf berkenaan dengan keharusan berbuka puasa bagi sesiapa yang berada di dalam musafir kerana ia jelas dibenarkan di dalam al-Quran melalui ayat ini. Tetapi apa yang diperselisihkan adalah mengenai keharusan berpuasa ketika sedang berada di dalam permusafiran.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
.
إن شاء فرق وإن شاء تابع
.
.
.
.
.
.
.
Wednesday, 3 September 2008
DAURAH RAMADHAN: Tafsir ayat 184 surah al-Baqarah berkaitan SAKIT (PENDETAILAN)
..
.
TAFSIR:
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ
.
Para ulama berselisih pendapat mengenai makna ayat ini kepada dua pendapat yang utama:
.
1. Ayat ini tidak ditujukan untuk bulan Ramadhan. Ia merupakan pendapat daripada Mu’az, Qatadah dan ‘Atha’ daripada Ibn Abbas RA. Berkenaan dengan pendapat pertama ini, juga terdapat perselisihan di kalangan ulama kepada dua pendapat:
.
a) Bahawasanya ayat ini menunjukkan kepada kewajipan puasa selama tiga hari pada setiap bulan, iaitulah pendapat daripada ‘Atha’.
.
b) Qatadah pula berpendapat bahawasanya ayat ini menunjukkan kepada kewajipan puasa sebanyak tiga hari setiap bulan dan sehari puasa pada hari ‘Asyura.
.
Perselisihan juga berlaku berkenaan dengan ayat ini di mana sebahagian dari kalangan ulama mengatakan bahawa ia hanya sunat dilakukan di peringkat awal dan bertukar menjadi wajib kemudiannya. Sebahagian yang lain pula mengatakan bahawa puasa tersebut adalah puasa yang wajib dan ia telah dimansukhkan(ditukar) dengan puasa Ramadhan. WA
.
2. Pendapat kedua merupakan pendapat jumhur (kebanyakkan) ulama di antaranya Ibn Abbas, Hasan al-Basri, Abu Muslim dan selainnya. Mereka berpendapat bahawa ayat ini menerangkan tentang bulan Ramadhan. Dalil mereka adalah:
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ
.
Ayat ini mempunyai pelbagai persoalan atau tanda tanya kerana ia tidak menerangkan secara spesifik bilangan hari yang diwajibkan berpuasa.
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا.. فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
.
Daripada ayat ini, kita dapat fahami bahawa sakit merupakan salah satu faktor yang membenarkan seseorang untuk berbuka. Pengarang kitab ((Al-Masobihul Muneer)) mendefinasikan 'Sakit' itu sebagai, "Setiap sesuatu yang mengeluarkan seseorang daripada batas kesihatan disebabkan oleh sebab ('illah)".
.
Di dalam kitab ((Al-Majmu')), ((Ash-Syarhul Mumti')), ((Mughni libnil Qudamah)) dan ((Qawanin Fiqhiyyah)), para ulama membahagikan keadaan sakit itu kepada beberapa keadaan:
(1) Sekiranya sakitnya bertambah serius, dan berpuasa pula membebankan dirinya tetapi ia tidak mendatangkan mudarat kepada dirinya, maka ia digalakkan untuk berbuka dan dimakruhkan baginya puasa. Kemudaratannya dapat diketahui samada melalui pemeriksaan doktor (muslim, dipercayai dan adil), pengalaman diri sendiri (bagi yang sudah beberapa kali menghadapi kesakitan tersebut). WA
(2) Sekiranya puasa itu sangat membebankannya dan menyebabkan mudarat yang boleh membawa kepada kecelakaan seperti bersangatan lapar dan dahaga (mungkin kerana terlepas sahur atau buruh perumahan yang terdedah dengan terik matahari yang sangat panas & yang seumpamanya). Dalam keadaan begini, diharamkan baginya berpuasa walaupun dia bukan bermusafir, kerana berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:
وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ
.
Bagaimana pula dengan orang yang uzur, ibu yang sedang hamil dan menyusukan anak, apakah syara’ membenarkan bagi mereka untuk berbuka ...?
.
Bersambung ...
Monday, 1 September 2008
DAURAH RAMADHAN: Tafsir ayat 183 surah al-Baqarah (Edit)
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa” (al-Baqarah: 183)
TAFSIR:
.
Sesungguhnya Allah SWT memulakan ayat ini dengan seruan يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا. Menunjukkan di sana ada berita penting yang ingin Allah SWT sampaikan kepada kita dengan harapan supaya kita mengambil perhatian mengenainya.
.
Samalah seperti seseorang yang ingin mencuri perhatian sahabatnya sebelum beliau menceritakan sesuatu perkara penting kepadanya, selalunya beliau akan memanggil namanya untuk menunjukkan bahawa ada perkara penting yang ingin beliau khabarkan.
.
Selepas Allah SWT menyeru perhatian seluruh orang-orang yang beriman, kemudian barulah Ia menceritakan apakah sebenarnya perkara penting yang ingin Ia sampaikan. Maka perhatikanlah ayat selepasnya ..
.
.
Apakah yang dimaksudkan dengan الصِّيَامُ itu?
.
الصِّيَامُ dari sudut bahasa disebut berhenti. Maknanya berhenti daripada bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Ada juga yang mengertikannya sebagai diam, iaitu diam daripada percakapan. Sesuai dengan maksudnya dari istilah syara’, di mana puasa menuntut kita untuk berhenti dan diam daripada makan dan minum, serta apa jua jenis perbuatan yang boleh membatalkan puasa sejak dari terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari.
.
Antara pantang-pantang dalam berpuasa ini ialah, tidak boleh makan dan minum. Walaupun sedikit yang kita minum dan makan, asalkan ia dilakukan dengan sengaja ... bermakna kita telah melanggari pantang yang ditetapkan.
Di dalam ayat ini, kewajipan berpuasa dapat difahami dengan penggunaan kalimah كُتِبَ yang membawa maksud ((difardhukan)).
.
Semua orang tahu bila baca ayat ini, ia menunjukkan kepada kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Tiada seorangpun di kalangan umat Islam yang menafikan ayat ini menunjukkan kepada kefardhuan puasa. Tetapi apabila sampai kepada ayat yang menyebut mengenai hukum Qisas (ayat 178 surah al-Baqarah), mengapa ada di kalangan kita yang menolaknya sedangkan kalimah كُتِبَ juga digunakan pada ayat tersebut bagi menunjukkan kefardhuannya dan kewajipan beriman dan melaksanakannya di dalam negara.
.
Kemudian Allah SWT menyebut:
كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ
Ayat ini menunjukkan bahawa umat-umat terdahulu juga mempunyai aturan dan pensyariatan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada mereka. Sesuai denga firman Allah SWT di dalam ayat 48 surah al-Maidah:
لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا
.
Akan tetapi, bentuk dan caranya berbeza mengikut zaman masing-masing. Cuma aqidah dan tauhid sahaja yang sama, iaitu menyeru kepada ketunggalan Allah SWT. Umat Muhammad SAW merupakan umat yang istimewa kerana telah diringankan beban tanggungjawab jika hendak dibandingkan dengan umat-umat terdahulu.
.
Seperti contoh perbualan Nabi Musa AS dan Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa isra’ dan mi’raj, nabi Musa meminta agar nabi Muhammad SAW merayu kepada Allah SWT agar dikurangkan bilangan solat daripada 50 kali kepada 5 kali setiap hari kerana baginda AS tahu bahawa umat Muhammad SAW tidak berkemampuan untuk melaksanakan bebanan seberat itu seperti mana umat-umat sebelumnya.
.
Begitu juga di dalam perkara yang melibatkan kaffarah dosa, umat nabi Musa AS diminta untuk membunuh diri sendiri sebagai jalan bertaubat kepada Allah SWT seperti mana yang disebut di dalam ayat 45 surah al-Baqarah, tetapi umat Muhammad SAW taubatnya cukup dengan beristighfar, penyesalan diri dan berazam agar tidak melakukannya lagi di kemudian hari.
.
Begitu juga dengan perintah mendirikan solat, umat terdahulu diperintah hanya mendirikan solat di masjid sahaja, dan tidak sah jika didirikan di luar masjid. Tetapi umat Muhammad SAW diringankan bebanan tersebut dengan dijadikan bumi bagi mereka sebagai hamparan sejadah untuk mendirikan solat seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
.
Mengenai ayat yang kita bicarakan, ulama tafsir berselisih pendapat mengenai ayat ini, “..sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu”. Penyerupaan yang disebutkan sama dari sudut apa dan kepada siapa, itu yang diperselisihkan?
.
Ibn Abbas dan Mujahid RA mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “orang-orang sebelum kamu” itu merujuk kepada Ahli Kitab. Manakala Hasan al-Basri dan As-Sya’bi pula mengatakan bahawa ia merujuk kepada kaum Nasrani (atau Kristian). Ada juga yang mengatakan ia umum kepada semua umat sejak dari zaman nabi Adam sehingga ke zaman kita hari ini.
.
Berkenaan dengan wajh tashbih (penyerupaan) itu pula, ada ulama yang mengatakan penyerupaannya adalah dari sudut kadar dan waktu puasanya, di mana Allah SWT mewajibkan puasa kepada kaum Yahudi dan Nasrani pada bulan Ramadhan juga, tetapi kemudiannya mereka memesongkannya. Ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada kewajipannya dan ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada sifatnya iaitu dengan meninggalkan makan, minum dan sebagainya.
.
Yang pentingnya, penyerupaan ini dinyatakan kepada umat Muhammad SAW adalah sebagai suatu motivasi dan dorongan agar kita umat Islam juga melaksanakannya seperti mana yang pernah dilaksanakan oleh umat-umat terdahulu. Ia perkara biasa yang sering kita lakukan ketika kita hendak memberikan motivasi kepada anak-anak atau adik-adik kita, di mana kita akan tunjukkan dan ceritakan kepada mereka contoh pelajar-pelajar terdahulu yang telah berjaya di dalam pembelajaran mereka agar ia menjadi motivasi dan semangat kepada mereka untuk mengikut jejak langkah mereka yang telah pun berjaya.
.
Di akhir ayat ini, Allah SWT menyebut:
لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
Allah SWT telah mewajibkannya, tetapi ia terpulang kepada kita bagaimana untuk melaksanakannya ... “semoga kamu bertaqwa”, Allah SWT berfirman. Apakah kita mahu menjadikan tanggungjawab berpuasa ini sebagai amalan yang hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata, atau kita benar-benar ingin menjadikannya sebagai latihan untuk mempertingkatkan taqwa kita.
.
Dalam erti kata lain, sekiranya ia hanya difahami semata-mata untuk menahan lapar dan dahaga, kita hanya akan merasai lapar dan dahaga sahaja. Tetapi sekiranya kita memahami peranan puasa ini dengan lebih luas lagi sebagai latihan untuk mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, maka Allah SWT menyatakan .. “semoga kamu beroleh ketaqwaan”.
.
Semoga kita beroleh taqwa ... Ameen
.
Bersambung ...
.
.....................................................
.
Rujukan:
.
1) Mukhtasar Ibn Kathir, Syeikh Ali As-Shobuni
2) Tafsir al-Kabir, Imam Fakhruddin Ar-Razi
3) Tanwirul Miqbas min Tafsir Ibn Abbas, Az-Zabeedi
4) Fathul Qadir, As-Syaukani
5) Tafsir al-Alusi, Imam al-Alusi
6) Al-Futuhat Al-Ilahiyyah, Imam al-Jamal
7) Bulughul Maram, Imam Ibn Hajar al-Asqalani
.
Sunday, 2 September 2007
Mari bersama Syeikh Yusuf al-Qardhawi ...
Di bawah ini adalah pengajian tafsir surah al-Fatihah oleh Syeikh Yusuf al-Qardhawi beserta terjemahannya. Kuliah ni waktu zaman dia muda-muda dlu. Terjemahan kat bawah tu saya yg terjemahkan. Saya buat sekadar yg termampu. Saya letakkan footnote sikit tp lepas tu malas dah nak cari ... penat nak cari asal usul dalil tu...hehe. Tujuan sy terjemahkan tafsir beliau sbb saya tertarik dengan cara dia menafsirkan ayat dari surah al-Fatihah ni. Tafsiran yg lebih berbentuk tazkiyatun nafs dan haraki membuatkan saya begitu tertarik dengannya. Jadi, saya nak berkongsi dengan anda semua. Semoga kita mendapat manfaat bersama. Maaflah kalau terjemahan saya tak tepat. Itu je yg saya mampu. Selamat mendengar ...
Tafsir surah al-Fatihah dari Syeikh Yusuf al-Qardhawi
Wahai sidang penonton,
Di atas keberkatan Allah, kita memulakan rehlah kita bersama sebuah kitab yg kekal (qadeem) dan cahaya yang wujud, bersama al-Quran yang merupakan sebuah watikah samawiiyah yang kekal, yg dimiliki oleh orang-orang Islam sahaja, bersama manhaj Pencipta untuk mengislahkan makhluk, dan merupakan perlembagaan dari langit sebagai petunjuk di muka bumi. Sebuah kitab yg tidak ada padanya kebatilan / kepalsuan, yg terdiri dari ayat-ayat yg muhkamat[1], kemudian dijelaskan oleh nabi. Bersama kitab Allah inilah kita bertadabbur, kerana sesungguhnya Allah SWT menurunkannya untuk ditadabburkan, “Sebuah kitab yg Kami turunkan kepadamu dengan keberkatan supaya ditadabburkan ayat-ayatnya dan utk memberi pengajaran kpd orang yg mempunyai mata hati”. Kami hendak membuka hati2 kami dengan al-Quran. Kami mahu hidup / berjalan bersama al-Quran, membacanya, mendengarnya, memahaminya sepertimana telah mendengarnya para Sahabat Rasulullah SAW. Seperti kata seorang lelaki yg soleh, “Bacalah Quran seolah-olah dia diturunkan kepada kamu”. Kami mahu membaca al-Quran bersama, memahaminya bersama, sehingga kami menjadikannya dustur / perlembagaan & manhaj bagi kehidupan kami. Dan sesungguhnya keberkatan al-Quran bukanlah dengan menggantungkannya di dinding-dinding, tetapi keberkatannya adalah dengan mengikutinya. “Sebuah kitab yg Kami turunkan dengan keberkatan, maka ikutlah ia dan bertaqwalah. Semoga kamu termasuk di kalangan orang-orang yg diberi rahmat”.
Kita mulakan rehlah kita bersama al-Quran dengan Fatihatil Quran yg kita dengar sekarang dengan Ummil Quran, Ummil Kitab, Asaasil Quran, as-Sab’il Mathani, yg datang bersamanya 7 ayat yg pendek lagi lengkap, suratul Hamdalah, suratus Solah, suratul Fatihah, 7 ayat yg dipendekkan yg setiap ayat-ayatnya mentamsilkan prinsip-prinsip dalam kehidupan kita.
Bermula surah al-Fatihah ini dengan kalimah basmalah. Dan menjadi tuntutan ke atas setiap orang Islam untuk mempelajarinya. Dengan bahawa setiap sesuatu mestilah dimulai dengan basmalah(menyebut nama Allah) dan disertai dengan mengingati Allah. Dunia itu dilaknat, kecuali tempat-tempat yg padanya disebut nama Allah. Jangan memulakan sesuatu pekerjaan dengan nama seseorang, nama raja atau pemimpin, dan nama berhala dari berbagai jenis berhala samada dari batu atau manusia. Sesungguhnya ia dimulai dengan nama Allah. Nama Allah yg Esa, tiada sesuatu yg bersamanya, jua selepasnya.
Bismillah … begitulah yg telah diajarkan oleh Quran kepada kita. Nabi Nuh AS ketika menaiki kapal dan bersamanya orang-orang mukmin memulakan perjalanannya dengan bismillah. Begitu juga nabi Sulaiman AS, ketika baginda mengutuskan suratnya kepada ratu Balqis, baginda memulakannya dengan bismillah. Dan ayat yg pertama diturunkan kepada nabi Muhammad SAW yg dikhitabkan / ditujukan kepadanya dengan perkataan, “Bacalah dengan nama tuhanmu..”. Begitulah yg diajarkan oleh Islam kepada kita, iaitu kita memulakan sesuatu pekerjaan, kehidupan dan apa juapun dengan bismillah. Makan dengan bismillah, minum dengan bismillah, kita menyembelih dengan bismillah, dan “Setiap pekerjaan yg tidak dimulai dengan bismillah, maka ia terhenti / terputus”[2] iaitu kurang padanya keberkatan.
Bismillah ….
Begitulah bermulanya surah al-Fatihah. Dan Allah mensifatkannya. Allah adalah ‘alam[3] di atas zat penciptaan yg tinggi. Bismillah, Allah SWT mensifatkan dengan dua sifat & nama yg mulia iaitu ar-Rahman & ar-Raheem yg merupakan antara nama-nama Allah yg baik. Diistaqkan / dikeluarkan daripada ar-Rahmah dari jalan mubalaghah (bersangatan) dan ar-Rahman adalah terlebih mubalaghah dari ar-Raheem. Tidak disifatkan ar-Rahman selain dari Allah SWT. Maka dengan itu disebut bahawasanya (ar-Rahman) termasuk dari isim ‘alam seperti disebut lafzul Jalalah (Allah), “Katakanlah (Hai Muhammad): Serulah dengan nama Allah atau ar-Rahman”. “Ar-Rahman yg mengajarkan al-Quran”. Tidak digabungkan 2 sifat ini kecuali untuk Allah SWT.
Bismillahir .. inilah kaedah yg pertama bahawa kita memulakan pekerjaan kita dengan menyebut nama Allah. Kaedah yg kedua dari kaedah mentawajjuhkan diri kita untuk kehidupan Islam pula telah ditamsilkan oleh ayat:
الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Kalimah الْحَمْدُ merupakan pujian dengan kecantikan yg terkandung di dalamnya makna syukur. Dengan itu, al-Quran & surah al-Fatihah mengajar kita supaya kita sentiasa bersyukur dan memuji nama Allah. Di sana terdapat manusia yg sering mengeluh, “kami kekurangan ini dan ini” dan dia tidak mengatakan, “Di sisi kami ada ini & ini”. Begitulah al-Quran mengajar kita. Adalah Rasulullah SAW apabila baginda mendapat sesuatu yg baginda sukai, baginda akan berkata, “Alhamdulillah di atas segala nikmat Allah yg menyempurnakan segala kebaikan”, dan apabila baginda ditimpa sesuatu yg mendukacitakannya, baginda berkata, “Alhamdulillah di atas setiap keadaan”. Dari sini, apabila selesai makan, kenyang dan minum kita diperintahkan agar mengucapkan Alhamdulillah. Pada setiap nikmat, kita katakan Alhamdulillah. Begitu juga setelah kita bangun dari tidur sehinggalah dengan izin Allah apabila kita dimasukkan ke dalam syurga. Dan begitulah Allah SWT mensifatkan ahli syurga bahawa di akhirnya ucapannya dengan Alhamdulillah. Di sana juga dijelaskan makna rububiyyah di dalam al-Quran. Sesungguhnya kalimah رَبِّ bermakna raja, tuan, murabbi. Jika ia disifatkan kepada selain Allah SWT, ia mestilah diidhofahkan[4] atau disandarkan seperti rabul bayyit (tuan rumah) atau rabud daabbah (tuan binatang). Jika ia diitlaqkan[5] (tanpa disandar) oleh sesuatu & dima’rifahkan[6], maka ia khusus untuk Allah SWT. Di sini disebut: رَبِّ الْعَالَمِينَ. Kalimah الْعَالَمِين termasuklah semua mukhallafin di kalangan jin dan manusia. “Tidak Kami utuskan kamu (Muhammad) kecuali untuk member rahmat kepada seluruh alam”. Bahkan bagi alam ini adalah sesuatu selain dari Allah SWT seperti yg disebut di dalam al-Quran menceritakan kisah Firaun bertanya nabi Musa. Berkata Firaun, “Apa itu Robbul ‘Alamin”. Nabi Musa menjawab, “Dia ialah Tuhan langit dan bumi, serta apa-apa yg berada diantara keduanya jika kamu termasuk di kalangan orang-orang yang yakin”. Bersambung pada video kedua di bawah.
Sambungan dari video pertama:
الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Ini adalah ayat yg ke-3 dari ayat yg tujuh. Pengulangan bagi dua nama yg mulia adalah suatu penekanan ke atas makna rahmat dan rahmaniyyah untuk memberitahu kepada manusia bahawa sesungguhnya rahmat Allah melebihi kemarahanNya. Allah SWT tidak mensifatkan diriNya dengan sifat marah. Tetapi kemarahanNya hanya kepada golongan yg sombong, takabbur dan murtad dari pengajaranNya dan mereka pula meiklankannya kepada masyarakat. Sekiranya mereka diazab, sesungguhnya kemarahan itu adalah perbuatanNya bukan dari sifatNya. Dan azabNya khas(tertentu kpd golongan yg ingkar) manakala rahmatnya ‘ammah(bagi semua makhluknya di muka bumi). Allah SWT berfirman: “Azabku dikenakan ke atas sesiapa yg aku kehendaki dan rahmatku meluas ke atas setiap sesuatu”. Dialah ar-Rahman dan ar-Raheem, Dialah sebaik-baik penyayang. Kemudian datang pula kaedah yg ke-4:
مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
Ia boleh dibaca dengan مَالِكِ yg bermaksud ‘yg memiliki’ atau ملك yg bererti raja. Kedua-dua bacaan ini sohih di sisi nabi secara mutawatir. Dia adalah pemilik hari pembalasan. كما تدين تدان (apa yg engkau buat, demikianlah balasannya). Tiada pemilikan sesuatupun pada hari tersebut samada berhala atau pemberi syafaat. Tiada syafaat di sisi Allah SWT melainkan dengan keizinanNya. Allah SWT yg mengawal hari tersebut. “Hari di mana tidak memiliki oleh manusia bagi manusia lainnya ke atas sesuatupun dan semua perkara pada ketika itu hanya bagi Allah”. “Siapakah raja pada hari ini? Hanya Allah”. Di sini kita dapat lihat bahawa rububiyyah Allah SWT memberi satu peringatan / ancaman. Kemudian ar-Rahman & ar-Raheem memberi satu nilai kegembiraan. Kemudian di datangkan dengan ayat مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ sebagai satu peringatan. Allah SWT menggabung kedua sifatNya diantara peringatan dariNya dan kasih sayang untukNya supaya orang-orang beriman selalu bergabungkan diantara takut dan harap, menghadirkan hari akhirat dan meredhoi rahmat Tuhannya.
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Ini adalah kesimpulan dari semua risalah samawiyyah. At-Tauhid, mensatukan hanya untuk Allah SWT pada ibadah dan meminta pertolongan. Tidak beribadah dan tidak meminta pertolongan kecuali hanya kepada Allah SWT. Sesungguhnya dibangkitkan para rasul, diturunkan kitab adalah untuk menegakkan kalimah Tauhid di atas muka bumi. Telah datang setiap nabi dan rasul menyerukan umat & kaumnya dengan tauhidillah, “Wahai kaum, sembahlah Allah. Tiada bagi kamu satu Tuhanpun kecuali Dia(Allah)”. Dan berpecahnya kehidupan dan agama sebelum Islam kerana masuknya kesyirikkan ke dalamnya. Hendaklah kita mengiklankan kalimat Tauhid ‘Hanya Engkau yg kami sembah & hanya Engkau kami meminta pertolongan’, membatalkan segala bentuk ketuhanan yg mereka serukan dengan kalimah ‘La ilaha illallah’.
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ
Terlengkapnya al-Fatihah di atas sesuatu yg terbesar, sesuatu yg dituntut oleh Tuhan kepada hambaNya. Dan sesuatu yg dituntut oleh hamba kepada Tuhannya iaitu hidayah. Kami tafsirkan hidayah dengan makna irsyad atau taufiq. Manusia perlukan bantuan Allah, perlu supaya mereka diberi petunjuk ke jalan yg lurus. Bagaimana meminta petunjuk daripada Allah SWT dalam keadaan dia seorang muslim? Tetapi siapakah yg ternafi dari menerima hidayah Allah? Sesungguhnya mereka selalu berhajat kepada hidayah Allah supaya mereka tidak diragukan oleh banyaknya jalan dan tersilap dari pekerjaan-pekerjaan. Sesungguhnya mereka berhajat kepada nur ketika dalam kegelapan, dan penjelasan ketika dalam keraguan. Kemudian mereka berhajat kepada bertambahnya hidayah Allah SWT. Mereka juga berhajat agar di-thabatkan di atas jalan Allah SWT. “Ya Allah, Tuhan yg membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati-hati kami di atas ketaatan kepadaMu”. Jalan yg tiada padanya kesesatan dan penyelewengan, itulah jalan Islam. Setiap hari orang Islam memohon kepada tuhannya 17 kali dalam solat fardhu akan hidayah Islam dan jalan yg luruh, iaitulah jalan yg satu kerana kebenaran tidak boleh dibilang. Adapun jalan-jalan kebatilan, maka jumlahnya banyak di mana setiap satunya terdapat syaitan. Seperti yg disebutkan di dalam sebuah hadis oleh Rasulullah SAW: “Bahawa sesungguhnya ini adalah jalanku yg lurus, maka ikutlah ia(Islam). Janganlah kamu ikut jalan-jalan(selain Islam), maka ia akan memecahbelahkan kamu daripada jalan ini”. Tiada pada jalan ini unsur melampaui batas, tidak ke kiri dan tidak ke kanan tetapi ia sederhana. Ia juga merupakan jalan yg benar. Bukan jalan Yahudi yg dibenci oleh Allah dan bukan juga jalan Kristian yg disesatkan oleh Allah. Ia adalah jalan yg Allah telah memberi nikmat padanya daripada kalangan orang-orang siddeeqin, syuhada’ dan soleehin. Inilah jalan orang-orang yg bertaqwa. Mereka mengingati tuhannya pada setiap hari. Ia dipelihara oleh para ulama & orang awam, lelaki & perempuan, arab & ‘ajam kerana ia dibaca pada setiap kali solat mereka, “Tiada (sempurna) solat bagi sesiapa yg tidak membaca al-Fatihah di dalamnya”. Ia mentamsilkan kaedah-kaedah kehidupan Islam dan tiada satu kitabpun yang serupa dengan kitab ini(al-Quran).
As-Syeikh menutup rehlahnya dengan berdoa kepada Allah SWT.
[1] Iaitu ayat-ayat yg menerangkan tentang hukum hakam, yang qat’ie yg tidak dibolehkan untuk dipertikaikan lagi seperti perintah solat, zakat, puasa, haji, hudud, qisas & haram riba. Barangsiapa yg mempertikaikannya dengan menafikan panthabitannya dari Allah SWT, maka dia telah sepakat dihukum kafir dan layak untuk dibunuh di atas hukuman riddah (murtad). Barangsiapa yg mempertikaikannya, namun dia meyakini akan kewajipan beramal dengannya, maka dia fasiq.
[2] Hadis riwayat Abu Hirairah RA dikeluarkan oleh Abu Daud (4840), An-Nasaai di dalam al-Kubra (10327), Ibn Majah (1893). Berkata as-Sindi: “Hadis ini telah dihasankan oleh Ibn Solah dan An-Nawawi, dan dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan Hakim di dalam al-Mustadrak”. Tetapi Albani mendhoifkannya.
[3] Istilah di dalam ilmu nahu. Isim ‘alam termasuk di antara tanda-tanda isim isyarah yg enam. Contoh isim ‘alam adalah Zaid, Muhammad & sebagainya.
[4] Istilah di dalam ilmu nahu. Sesuatu yg bersandar disebut mudhoof dan yg disandarkan padanya disebut mudhoof ilaih.
[5] Istilah di dalam ilmu usul. Lawan bagi itlaq adalah muqayyad iaitu bersandar atau berikat.
[6] Istilah di dalam ilmu nahu. Salah satu tanda ma’rifah dengan masuknya alif dan laam seperti al-madrasatu.
[7] Benda-benda mati seperti batu.
