Kerajaan Pakatan Rakyat masih merupakan kerajaan yang sah. Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin masih lagi merupakan MB yang sah. Exco-exco yang berada di bawahnya juga masih lagi merupakan exco-exco yang sah. Mereka tidak akan berundur sehinggalah ia diputuskan oleh mahkamah secara sah.
Kerajaan baru Perak pimpinan Dr Zamry Abdul Kadir adalah sebuah kerajaan haram. Penisbahan dia sebagai Menteri Besar Perak serta Exco-exconya yang lain juga merupakan penisbahan yang haram. Kereta kerajaan negeri yang mereka pakai adalah haram. Bilik Menteri Besar dan Exco-exco yang mereka duduki juga adalah haram, malah kesemua kemudahan kerajaan negeri Perak yang mereka gunakan adalah haram. Gaji yang mereka perolehi dari jawatan yang mereka sandangi juga merupakan gaji yang haram.
Setiap langkah-langkah mereka di atas nama kerajaan negeri adalah berdosa. Ucapan yang mereka lafazkan di atas nama kerajaan negeri juga adalah ucapan yang berdosa. Jari-jari yang menari untuk menulis di atas nama kerajaan negeri juga merupakan jari-jari yang menanggung dosa. Perahan otak yang mereka perah di atas nama kerajaan negeri juga merupakan perahan otak yang berdosa, malah setiap tindakan mereka di atas nama kerajaan negeri kesemuanya dianggap berdosa. Bahkan BN, Sultan Perak, Dato’ Seri Anuar Zaini, Pengerusi SPR dan sesiapa saja yang bersubahat untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang sah sedang menanggung beban dosa yang tidak henti-henti.
Ini kerana, mereka memerintah dengan cara merampas kuasa. Mereka mengambil alih pemerintahan negeri tanpa mengikut lunas-lenas Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Tubuh Negeri Perak. Mereka merampas hak dan kemahuan rakyat. Mereka merompak kuasa rakyat dan harta rakyat.
“Amat bahaya kami diserang macam binatang, ramai ditangkap, masjid diserang, ditembak dengan gas dan pancutan air beracun. Saya tak tahu nasib rakan-rakan lain, suasana amat tegang. Kami lari ke dalam kampong minta perlindungan. Najib jadikan polis balacinya. Mata kami hamper buta. Doakan perjuangan ini Berjaya” – Shaher, 6 Februari 2009, Rusuhan Kuala Kangsar.
Inilah sms yang dikirim oleh sahabat saya, Shaher ketika beliau turun bersama-sama dengan para pimpinan serta rakyat yang bersimpati dengan Pakatan Rakyat di Kuala Kangsar untuk menyatakan protes mereka terhadap majlis angkat sumpah yang haram di Istana Iskandariah.
Kami PAS secara khusus tidak gentar dengan tindakan yang mereka lakukan terhadap kami. Jiwa dan jasad kami tidak tumbang bersama-sama dengan tumbangnya kerajaan kami, malah kami akan terus berjuang sehingga hak kami dikembalikan.
Walaupun kami tidak punya polis, FRU, SPR dan juga wang, tetapi kami punya maruah dan harga diri. Kami punya semangat dan keazaman. Kami bukan semut yang boleh dihinjak-hinjak. Kami adalah hamba jiwa merdeka. Kami tidak rela bernanung di bawah payung penguasa tirani.
"Sesungguhnya apabila penguasa memasuki suatu negeri, nescaya mereka akan membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia menjadi hina, dan demikian pulalah yang akan mereka lakukan” (An-Naml: 34)
Wahai rejim BN, janganlah kamu merasa tenang dengan kezaliman yang sedang kamu lakukan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak pernah lalai dengan kezaliman yang dilakukan oleh orang-orang yang melakukan kezaliman.
“Dan janganlah sekali-kali kamu menyangka bahawa Allah lalai dari apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim” (Ibrahim: 42)
Cukuplah Allah sebagai pembela kami, pelindung dan tempat kami bermohon. Dengan kekuatan pemimpin-peminpin kami, akan kami teruskan jihad menentang kezaliman ini walaupun terpaksa merangkak dan merengkok di dalam penjara. Paluan gendang keadilan dan kebenaran akan terus kami palukan.
Aku tidak akan sesekali meredhoi mereka sebagai pemimpinku.
Berikut merupakan amanat Tuan Guru Presiden sempena Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu. Ia merupakan amanat yang cukup membangkitkan semangat. Semoga Allah SWT menetapkan hati kita ikhlas di dalam meneruskan perjuangan nabiNya SAW dan memberikan kekuatan di sepanjang jalan jihad yang penuh berliku ini.
"Jadi, peliharalah hati supaya ikhlas kerana Allah SWT. PAS meletakkan Islam dalam matlamat dan asas. PAS tidak menjanjikan kebendaan kepada petugas-petugas PAS"
Firman Allah SWT dalam surah As-Saff ayat 1-4; " "Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh."
Dari ayat di atas, Allah menurunkan ayat ini bermula dengan sebab yang berlaku di kalangan para sahabat r.a sebelum diwajibkan perintah berjihad. Lalu mereka bercakap dgn penuh semangat, "bilalah lagi kita hendak berjihad. Sekiranya Allah mewajibkan jihad, kami akan melibatkan diri untuk buat apa sahaja."
Apabila Allah swt menurunkan ayat mewajibkan jihad, rupa-rupanya jihad ini bukan sahaja satu kewajipan, tetapi ianya penuh dengan cubaan dalam diri seseorang. Samada jihad di medan perang atau jihad di medan pilihanraya, berdakwah, ianya penuh dengn ujian dan cubaan. Merek yang berperang di Gaza, tidak putus-putus dihujani oleh roket dan peluru.
Sehingga kini sudah hampir 400 orang mati syahid dan 1000 orang yang cedere.Setelah mereka dikepung beberapa bulan, mereka hadapai ujian dengan penuh semangat. Ada orang yang tahan dengan ujian kelaparan, kesusahan dan kesakitan. Makin sakit, makin lapar, makin ditentang oleh musuh, maka makin meninggi semangatnya.
Ada yang tidak tahan dengan ujian-ujian ini, lalu mereka berundur. Kadang-kadang, pejuang Islam ini diuji dengan cara menyedapkan, mengembirakan dan ujian perasaan yang ada di dalam hati. Kadangkala ada yang tidak tahan menghadapi ujian di dalam hati ini. Oleh itu, janganlah bercakap besar. Ini kerana akan tersungkur di tengah jalan.
Perjuangan Islam, merupakan satu perjuangan yang tidak nampak akan upah atau balasannya. Upah dan balasan ini adalah perkara ghaib. Ia janji dari Allah swt. Firman Allah swt, " Kalaulah sekiranya perjalanan perjuangan Islam itu merupakan benda yang dekat, yang boleh dicapai atau diambil dgn mudah, dan perjalanan yang dekat yang diketahui beberapa hari akan menang, nescaya ramailah yg ikutmu wahai Muhammad." Tetapi perjuangn ini jauh dan banyak kesulitan-kesulitan dan kepayahan-kepayahan.
Yang paling sulit ialah tekanan dalam jiwa dan hati yang sering kali di was-waskan oleh syaitan yang ghaib di kalangan jin dan sebagainya yang mengalir dalam darah kita. Dan juga was-was ini datangnya dari syaitan-syaitan di kalangan manusia itu sendiri.
Bisikan ini merupakan bisikan keraguan bukan hanya berlaku dalam solat tetapi juga ketika berjihad dalam perjuangan. Jadi, peliharalah hati supaya ikhlas kerana Allah swt. PAS meletakkan Islam dalam matlamat dan asas. PAS Tidak menjanjikan kebendaan kepada petugas-petugas PAS.
Presiden mengingatkan kepada orang ramai yang hadir, siapa yang hadir ke cemarah malam ini adalah untuk mendengar nama calon, sama ada menyokong calon atau tidak, ia tidak ada pahala. Tidak ada fadhilat dan kelebihan. Tetapi sekiranya datang ke majlis ceramah itu untuk mendengar arahan dan panduan di dalam perjuangan menegakkan Islam yang bakal diamalkan, maka ia berada di dalam majlis ilmu, dan malaikat bersama-sama. Dan juga mereka ini berada di medan jihad yang ada fadhilat yg besar yang telah dijanjikan oleh Allah.
Oleh kerana perjuangan ini banyak dengan cabaran, bukan hanya berdepan dengan Umno atau Barisan Nasional tetapi berhadapan degan satu kerajaan yang berkuasa di peringkat pusat dan negeri. Dimana kerajaan ini mendapat sokongan dari pelbagai kumpulan yang boleh memberi dan mendapat sumbangan apa sahaja. Jangan sesekali menganggap ini merupakan satu perjuangan yang kecil walaupun ianya pilihanraya kecil, tetapi pada cabarannya sanggat besar.
Oleh itu, ingatlah peringatan yang diberikan oleh Nabi s.a.w kepada golongan Ansar, inilah asas kepada perjuangan Islam yg mesti difahami supaya mendapat fadhilat dan pertolongan dari Allah swt. Mereka yang sanggup memikul tanggungjawab yang disebut di dalam ucapan Rasulullah ini,mereka merupakan orang yang sanggup menyahut seruan Allah dalam Al-Quran " Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu dalam menghadapi penyakit-penyakit yang ada dalam diri kamu sendiri, dan bersabarlah kamu dalam menghadapi musuh-musuh kamu dan beradalah kamu di tempat dimana kamu ditugaskan dan bertakwa kepada Allah supaya kamu dapat kemenangan.
IA BUKAN KEMENANGAN PERCUMA TAPI BERSYARAT
Inilah syarat kemenangan yang diletakkan oleh Allah swt. Ianya bukan kemenangan percuma tetapi kemenangan yang bersyarat."Sekiranya kamu menolong agama Allah, nescaya Allah menolong kamu dan menetapkan pendirian kamu." Menolong dan bekerja dengan hati yang ikhlas. Bagi menegakkan agama Allah dengan ikhlas ini, maka Nabi s.a.w mengingatkan para sahabat di kalangan Ansar dengan satu perjanjian setia ketika hendak melakukan hijrah.
Hijrah merupakan satu kemenangan yang dberikan oleh Allah yang menjadi titik noktah ,yang merupakan satu perubahan yang besar dalam sejarah manusia. Siapa yang melibatkan diri dengan hijrah dan menunaikan perkara yang di sebut oleh Nabi s.a.w, "Kamu berjanji untuk mentaati perintah aku di masa rajin, dimasa malas.
Berjanji untuk beri belanja semasa senang atau susah. Kamu berjanji menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kamu berjanji untuk bangun mengatakan yang benar dan tidak peduli kepada orang mencela dan berjanji untuk menolong aku yakni Islam. Apabila tiba di madinah, hadapi cabaran-cabarannya sebagaimana kamu pertahankan harta kamu, isteri kamu dan anak kamu. Allah menjanjikan syurga untuk kamu."
Ucapan ini bukan hanya catitan sejara semata-mata, tetapi ia merupakan rukun dan tiang kepada pendokong perjuangan Islam supaya mereka mendapat pertolongan dan keredhaan Allah.
Pertama, Mentaati kepada Allah s.w.t. Mentaati perintah semasa senang dan susah. Dalam setiap keadaan sama ada setuju atau tidak setuju, hendaklah mentaati arahan pimpinan. Bukan melihat kepada siapakah calon yang akan diletakkan nanti. "Kami dengar dan kami taat". Inilah yang Allah hendak membezakan perjuangan yang hak dan batil.
Kedua, sanggup menyumbangkan harta sama ada senang atau susah. Sekiranya tidak ada kewangan, sumbanglah dari segi fikiran, doa dan tenaga. Tidak kira apa sahaja sumbangan. PAS bukan perjuangan yang mengharapkan upah. Allah mengizinkan upah. Tetapi PAS tidak meletakkan upah sebagai matlamat. Tetapi upah untuk menguatkan tenaga dengan makanan demi menjalankan gerak kerja Islam. Sekiranya upah diletakkan satu matlamat, maka tidak ada beza dengan pihak lawan.
Apabila kita meletakkan harga diri kepada keikhlasan, Allah akan tambah pertolongan dari NYA untuk memberi kemenangan kepada PAS. Ia merupakan satu hakikat dimana perjuangan menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran ialah mendirikan kerajaan yang mendaulatkan syariat Allah. Calon yang menang menjadi wakil rakyat untuk bersuara di parlimen. Membentuk akhlak dan menegakkan syariat Islam. Jihad yang paling afdhal ialah sanggup bercakap benar di hadapan kerajaan yang zalim. Ini merupakan hadith sohih.
Kerja yang dilakukan dalam pilihanraya dan inginkan kemenangan merupakan satu perkara yang sangat penting. Jangan peduli kepada orang mencela kerana dengan mendapat celaan merupakan satu pahala. "Demi sesungguhnya jika kamu dapat menarik seorang untuk mendapat hidayah Allah bersama Islam, ia merupakan lebih mahal daripada kenderaan yang paling mahal harganya." Pahala akan berpanjangan walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia.
Zaman sekarang seperti berpegang agama ibarat berpegang bara api. Semua amalan ada feqah. Berpolitik pun ada feqahnya yakni faham ajaran Islam yang berkait dengan kerja yang kita buat. Hadapilah kerja dengan ikhlas supaya kita mendapat pertolongan dan keredhaan Allah. Allah itu Maha Besar, tidak ada yang lebih besar dari Allah s.w.t samada Barisan Nasional atau kuasa-kuasa besar dunia yang lain.
Setiap orang mempunyai cita-citanya yang tersendiri. Apakah cita-cita itu..? .. ia bergantung kepada kecenderungan seseorang dalam perjalanan beliau merentasi jambatan-jambatan kehidupan.
.
Suasana, bi’ah, keadaan dan personaliti selalunya menjadi faktor-faktor penting yang mempengaruhi cita-cita seseorang. Ini bukan lagi seperti cita-cita … “saya nak jadi askar” .. “saya nak jadi polis, peguam, doktor dan cikgu” … Malah cita-cita tersebut melangkaui dari penetapan cita-cita asas tadi. Ia merupakan harapan dan cita-cita yang sering diimpikan oleh kebanyakkan golongan remaja yang sudah mempunyai hala tuju.
. Kalau dia merupakan seorang graduan kedoktoran, dia pasti mempunyai cita-cita dan harapan untuk menjadi seorang doktor yang bagaimana …
. Kalau dia merupakan seorang graduan jurutera, dia juga pasti mempunyai cita-cita dan harapan untuk menjadi seorang jurutera yang bagaimana …
.
Kalau dia merupakan seorang graduan syariah, dia juga tidak terlepas dari cita-cita dan harapan untuk menjadi seorang agamawan yang bagaimana ...
. Berbeza pula nilaiannya sekiranya dia merupakan seorang graduan, dan di dalam masa yang sama dia juga berkecimpung secara aktif di dalam arena dakwah dan politik, pasti dia mempunyai cita-cita dan harapan yang sedikit berbeza dengan contoh-contoh yang saya sebutkan di atas. Nilaiannya bukan hanya tertentu kepada kecemerlangan kerjaya semata-mata, tetapi turut sama meletakkan sifat-sifat dai’ dan politikus sebagai eset kecemerlangan kerjaya beliau.
.
Bermakna, di sana ada matlamat utama bagi yang utama.
. Tetapi begitulah lumrah kehidupan … yang namanya manusia itu adalah hamba kepada sang Pencipta. Allah SWT telah menetapkan bahawa, “Tugas kamu adalah berusaha dan bertawakkal, sedangkan soal berjaya atau tidak cita-cita dan harapan kamu itu adalah tugas dan hak Aku”, selari dengan firmannya, “Allah yang menciptakan kamu dan perbuatan-perbuatan kamu”. Bererti harus dikembalikan jawapannya secara total kepada Allah SWT.
. Oleh itu, ada dikalangan mereka yang Allah maqbulkan cita-cita dan harapan mereka, lalu mereka berjaya menggapainya. Namun tidak ketinggalan juga ada yang tidak berkesempatan menikmati cita-cita dan harapannya yang diimpikan, lalu gugur ia menjadi kenangan yang tersisa di dalam hati lantaran tersilap memilih jalan, terhalang oleh faktor luaran yang mengelirukan ataupun kerana ajal hidup yang pendek dan tidak mengizinkan.
. Bagaimana dengan saya ….? Saya tidak terlepas dari manusia yang mempunyai harapan dan cita-cita. Akan tetapi, saya masih tidak tahu kesudahannya … Apakah jalan yang sedang saya lalui saat ini berpenghujung dengan pertemuan harapan dan cita-cita yang terbuku di dalam hati saya atau ia bakal tersimpan di dalam sorotan harapan semata-mata.
.
Saya sendiri pun tidak tahu.
. Sebagai manusia, saya hanya mampu berdoa agar Allah SWT menyuluhi perjalanan saya menuju cita-cita yang selama ini saya impikan. Dia lebih tahu apa yang terbaik buat saya.
. Segala kekurangan, kelemahan dan kecacatan itu adalah daripada diri saya yang lemah, dan segala yang baik lagi yang terbaik itu adalah daripada Allah SWT.
.
Di sini saya pasrahkan diri.
.
...............................................
.
Ya Allah, muliakanlah Islam dan kaum Muslimin. Tinggikanlah Islam di kedudukan yang tertinggi dan rendahkanlah musuh-musuh Islam di kalangan Yahudi dan Nasrani di kedudukan yang paling hina. Mereka adalah musuh-musuhMu, musuh-musuh agamaMu, penceroboh dan penjenayah terhadap kaum Muslimin.
.
Ya Allah, terimalah kami di kalangan jundi-jundi Mu yang Sodiqin, letakkanlah kami di kalangan kelompok tenteramu yang Gholibin, dan masukkanlah kami dengan rahmatMu di kalangan hambaMu yang Solihin.
.
Ya Allah Ya Tuhan kami, letakkanlah kecintaan kami cinta kepada iman dan hiasilah ia di dalam hati sanubari kami, letakkanlah kebencian kami benci kepada kufur, fasiq dan maksiat dan jadikanlah kami hamba-hambaMu yang mendapat petunjuk.
.
Ya Allah, bantulah kami terhadap musuh-musuh Mu dan musuh-musuh agamaMu dan jauhkanlah dari bumiMu ini kuasa-kuasa mereka serta janganlah Kau biarkan mereka menguasai ke atas hamba-hambaMu yang beriman.
.
Ya Allah, goncanglah kedudukan mereka, hancurkanlah kesatuan mereka dan leraikanlah pasukan mereka.
.
Ya Allah Yang menurunkan Kitab, Yang memperjalankan awan, Yang memecahkan Ahzab ... pecahkanlah mereka dan bantulah kami terhadap mereka.
.
Ya Allah, bantulah saudara-saudara kami yang berjihad di atas namaMu walau di mana sahaja mereka berada. Bantulah saudara-saudara kami di Palestin, Afghanistan, Kashmir, Malaysia dan seluruh negara-negara kaum Muslimin.
.
Ya Allah Yang Maha Hidup dan tidak akan mati ...
.
Ya Allah Yang mempunyai kerajaan dan para tentera ..
.
Ya Allah Yang memiliki Kemuliaan dan Kesombongan ..
.
Ya Allah yang Berdiri dengan sendiri dan tidak sesekali tidur
.
Yang mendengar dan menjawab segala doa dan permintaan ...
“Hafiz Firdaus pakai kulit babi? Mahukah anda semua mempunyai 'ustat' yang berpakaian dari kulit babi ?Kalau anda wahabi, maka jawapan anda adalah "ya". Kita akan lihat wahabi wahabi akan cuba sedaya upaya 'menghalalkan ' babi ni.Tunggu dan lihat..Terlalu banyak kesesatan wahabi ni sebenarnya...”
– Kenyataan yang saya terjumpa di dalam sebuah blog. . Sebelum saya meneruskan perbincangan, suka saya menjelaskan bahawa saya bukanlah pengikut Salafi Wahabi mahupun Khalaf. Penulisan ini juga bukan bertujuan untuk mempertahankan mana-mana pihak dari kalangan Salafi mahupun Khalaf. . Saya sekadar ingin menyeru sahabat-sahabat sekalian agar kembali kepada manhaj Mutawassitah(kesederhanaan), Mahabbah(kasih sayang) dan Ukhuwwah(persaudaraan) yang pernah diperjuangkan oleh Imam Hasan al-Banna rahimahullahu ta’ala ‘alaih semasa hayatnya. Bahkan inilah manhaj perjuangan dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda SAW.
. “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara kedua saudaramu..” ((Al-Hujurat: 10)) . Telah saya nyatakan di dalam artikel saya yang lalu bahawa tiada apa yang menguntungkan daripada perbalahan sebegini, bahkan ia akan lebih menjerumuskan kita ke dalam lembah kesesatan, keta’asuban dan sia-sia. Nabi SAW sendiri pernah bersabda:
. “Tidak sesat sesuatu kaum itu selepas mendapat petunjuk melainkan apabila mereka selalu berdebat” ((Hadis riwayat at-Tirmizi, 11/3176. Belia mengatakan hadis ini Hasan Sahih)) . ISLAM MENITIKBERATKAN ADAB DAN AKHLAK: . Agama Islam adalah agama yang begitu menitikberatkan soal adab dan akhlak, bukan sahaja akhlak di antara manusia dengan manusia, justeru termasuk di antara sang hamba dengan penciptanya, Allah SWT. . Pengutusan Muhammad SAW bukanlah untuk memperkenalkan perkara-perkara baru, tetapi sebenarnya bertujuan untuk memperbetulkan akhlak manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam serta memandu mereka dengan sistem kehidupan yang lurus mengikut acuan ad-Deen yang sebenarnya.
. “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus” ((Al-Bayyinah: 5)) . Namun perbalahan yang kita saksikan di atas bukanlah daripada adab-adab Islam, malah jauh dari roh-roh Islam. Islam tidak pernah mengakui perbalahan seumpama itu walaupun ia datang dari mulut dan tangan orang-orang Islam. . Sesungguhnya perbuatan ini merupakan tanda-tanda keruntuhan akhlak. . ISLAM TIDAK MENGHALANG PERDEBATAN: . "Kami diberitahu bahwa tuan-tuan mempunyai sedikit keraguan tentang agama Kristian dan telah bersetuju datang kemari untuk meminta penjelasan daripada kami. Tuan-tuan juga telah berjanji kalau penjelasan yang kami berikan itu boleh meyakinkan, maka tuan-tuan akan meninggalkan agama Islam dan memeluk agama Kristian." kata Michael, guru Isabella membuka pertermuan dengan memperkenalkan tiap-tiap orang paderi yang ada di meja persidangan itu. . "Kami sedikit pun tidak merasa ragu tentang kepercayaan dan ajaran-ajaran Kristian tetapi kami cukup yakin kepercayaan dan ajaran-ajaran itu tidak beralasan. Dalam pada itu pun jikalau tuan dapat memuaskan hati kami dengan penjelasan-penjelasan tentang agama tuan yang boleh meyakinkan maka kami bersedia masuk agama Kristian", jawab Umar Lahmi, seorang pemuda Islam yang dikagumi keilmuannya di bumi Cordova, Andalus. . Islam tidak menghalang sebarang perdebatan dan perbincangan kerana Islam merupakan agama ilmu, agama tauhid ... agama yang berdiri dengan hujjah dan dalil !
. “Katakanlah (wahai Muhammad): Datangkanlah bukti-bukti kamu sekiranya kamu orang-orang yang benar !!” ((Al-Baqarah: 111)) . Dialog di atas merupakan salah satu contoh perdebatan di antara agama yang diceritakan oleh Maulana Mohammad Saeed di dalam novel beliau, ISABELLA di antara paderi-paderi Kristian Cordova dengan Umar Lahmi. . Setelah tertarik dengan perbincangan diantara Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya tentang Islam dan Kristian di salah satu sudut sebuah taman yang amat terkenal dengan keindahan bunga-bungaan dan kesegaran tanam-tanaman di dalamnya, maka Isabella, anak kepada ketua paderi di Cordova, meminta agar sebuah perdebatan dibuat diantara mereka dengan beberapa tokoh paderi di Cordova. . “Kami mengucapkan terima kasih di atas susah payah nona(Isabella). Kami bersetuju sekiranya anggota-anggota gereja dapat memberi penjelasan kepada kami tentang dilema hukum-hukum agama dan kutukan dengan penjelasan yang memuaskan, saya dan sahabat saya akan memeluk agama Kristian. Sila nyatakan tempat dan tarikh perbahasan akan diadakan”, balas Umar Lahmi terhadap tawaran bertulis daripada Isabella. . Islam membuka seluas-luasnya pintu perbincangan dan perdebatan, asalkan ianya didasari dengan hujjah dan dalil serta adab-adab murni yang saling hormat-menghormati di antara satu dengan yang lain.
. “Dan sekiranya kamu meragui tentang apa yang telah Kami turunkan kepada hamba Kami, maka datangkan satu surah sepertinya dan panggillah penolong-penolong kamu selain daripada Allah sekiranya kamu orang-orang yang benar !!” ((al-Baqarah: 23))
. “Jika kamu berbalah tentang sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya” ((An-Nisa’: 59)) . .. iaitu kamu kembali kepada dalil dan hujjah daripada al-Quran dan Sunnah, bukan dengan kutukan, penghinaan dan cercaan. Kaedah Islam juga ada menyebut:
. وإن كنت ناقلا فصحة وإن كنت داعيا فدليل
. “Sekiranya kamu menaqalkan sesuatu(membawa sesuatu sebagai hujjah), maka buktikan kesahihannya dan sekiranya kamu mendakwa sesuatu, datangkan buktinya” ((Kubra al-Yaqiniyyat, Syeikh Dr. Sayyid Ramadhan al-Bouti)) . BERLAKU ADIL WALAUPUN TERHADAP MUSUH:
. “.. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan” ((al-Maidah: 8)) . Lihat bagaimana adab yang dianjurkan oleh Islam ... bahawa adil itu tidak hanya tertentu kepada sesetengah golongan sahaja, bahkan kepada sesiapapun hatta kepada musuh kita, orang kafir dan mereka yang menyakiti hati kita. . Malah Allah SWT mengatakan bahawa perbuatan tersebut lebih dekat dengan taqwa. . Adil di sini bermakna kita tidak mencabut hak-hak mereka yang telah ditetapkan, memburuk-burukkan mereka dengan sesuatu yang akan mengaibkannya. Sekiranya mereka dijatuhkan hukuman, maka hukumlah mereka dengan adil dan janganlah melebihi dari batasan-batasan yang sepatutnya sehingga menjatuhkan maruah dan hak-hak mereka. Jika sekiranya anda sedang berdebat dengan mereka, maka cukuplah perdebatan itu berkisar di dalam ruang lingkup skop perbincangan sahaja dan janganlah melampauinya kepada perkara-perkara peribadi yang akan mengaibkannya. . Sesungguhnya ia lebih dekat dengan taqwa. . DI ANTARA UKHUWWAH & PERKARA KHILAFIAH: . Ketika ada orang bertanya kepada Imam Hasan al-Banna mengenai perbezaan pendapat dalam solat Tarawih, beliau menjawab: . "Solat Tarawih hukumnya sunnah, makala kesatuan dan persaudaraan sesama kaum Muslimin hukumnya adalah fardhu. Oleh kerananya, perkara fardhu tidak boleh dikorbankan hanya untuk melakukan perkara sunnah. Andainya mereka masing-masing solat di rumah tanpa saling bertengkar dan bermusuhan adalah lebih baik dan lebih sesuai", jawab beliau. . Beliau menjawab sebegitu kerana beliau tahu soalan tersebut bukanlah bertujuan untuk mencari titik pertemuan, tetapi sekadar ingin mendapat kepuasan dan ingin mengetahui kedudukan Imam Hasan al-Banna di dalam isu tersebut. . Syeikhul Islam Ibn Taimiah pernah berkata: "Sesuatu perbuatan terkadang disunnahkan untuk dilakukan dan terkadang digalakkan untuk ditinggalkan, mengikut kepada maslahah masing-masing berpandukan pada dalil-dalil syara'. Seorang Muslim terkadang digalakkan untuk meninggalkan satu-satu perbuatan sunnah kerana apabila ianya dilakukan juga, maka kerosakkan yang ditimbulkan akan lebih besar daripada kemaslahan yang diperolehi, seperti tindakan nabi Muhammad SAW tidak menyempurnakan bangunan Ka'bah di atas maqam nabi Ibrahim AS, seraya berkata kepada Aisyah RA: . "Kalaulah seandainya kaummu tidak baru saja meninggalkan kebiasaan Jahiliyyah, nescaya aku merubah bangunan ka'bah dan aku lekatkan ia kepada bumi, kemudian aku jadikan padanya dua buah pintu. Satu pintu untuk orang masuk dan yang satu lagi untuk keluar"((Ruj: Imam Ibn Taimiah, Majmu' Fatawa, 24, 195-199. Dinaqal daripada Fi Fiqhil Aulawiyyat, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi)) . Di dalam Fatawa Misriyyah, dinaqalkan bahawa Imam Ibn Taimiah berkata lagi: "Menjaga kesatuan umat adalah satu hak. Menyaringkan bacaan Basmalah juga kadangkala satu maslahah. Meninggalkan sesuatu yang afdhal adalah harus demi untuk menyatukan hati" . Telah diriwayatkan bahawa Imam As-Syafi'i RA telah bersembahyang subuh tanpa qunut ketika beliau melawat Baghdad, negeri di mana penduduk-penduduknya berpegang teguh dengan mazhab Imam Abu Hanifah RA. Ini kerana Imam As-Syafi'i mahu menghormati dan menjaga perasaan mereka serta memuliakan pengikut-pengikut Imam Abu Hanifah. . Saidina Umar RA hampir-hampir bersembahyang di sebuah gereja apabila disuruh berbuat demikian, tetapi beliau berkata: "Tidak, aku tidak akan bersembahyang di sini, nanti orang lain akan berkata, Umar telah mengerjakan sembahyang di sini, lalu mereka menganggapnya sebagai tempat bersembahyang bagi orang Islam"[1]((Ruj; Fatawa Mu'asarah, Syeikh al-qaradawi, m.s 371-372 & At-Tibyan Fi Adaabi Hamalatil Qur'an, Imam an-Nawawi)) . Inilah sikap sebenar mereka yang memahami Islam .. meletakkan kesatuan dan perpaduan ummah melebihi daripada kepentingan peribadi. Mereka mampu membezakan di antara perkara ijtihadiyyah dan qot'iyyah serta sunnah dan fardhu ... bahkan mengiktiraf bahawa semua pendapat yang dikemukakan adalah benar dan bertujuan untuk membawa manusia menuju Allah SWT.
"Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari akhirat ...." ((al-Baqarah: 177))
. KESIMPULAN: . Mungkin niat si penulis itu baik, iaitu untuk meluruskan kefahaman yang silap (menurut pandangannya). Tetapi alangkah ruginya, dalam ia ingin meluruskan kebenaran, beliau sebenarnya sedang menjatuhkan akhlak dan membenihkan permusuhan ....
. . . . ................................... . Riwayat ini bukan menunjukkan tegahan mendirikan solat di dalam gereja(malah boleh solat di dalam bilik mandi yg tidak mempunyai tandas, syarat: bersih), tetapi sekadar untuk mengelakkan fitnah ke atas umat Islam, apatah lagi apabila ia dilakukan oleh Amir al-Mukminin, sudah tentu ia akan menimbulkan pelbagai isu dan persoalan. Oleh itu, sebagai seorang pemimpin masyarakat, belum tentu perkara yang harus bagi orang awam itu harus juga baginya kerana setiap perbuatan mereka menjadi perhatian masyarakat. ((At-Tibyan, Imam An-Nawawi))
. . Hari tu aku surf youtube, tiba-tiba terjumpa satu video ni http://www.youtube.com/watch?v=SfcZlM3K23g, pasal saidina Abu Bakar. Boleh minta jasa baik saudara Fitri perjelaskan balik sejarah yang sebenarnya. . Terima kasih, . Dr. Azizul Isme . ............................ . . Soalan ini merupakan emel yang dikirimkan kepada saya beberapa hari yang lalu. Ia mungkin rentetan daripada penulisan saya sebelum ini berkenaan dengan Saidatina Aisyah di bawah tajuk ((Ummahatul Mukminin)). . Terima kasih kepada Saudara Dr. Azizul Isme di atas kiriman emel tersebut. . Saya sudah melihat youtube yang dilampirkan oleh saudara Azizul, ternyata ia merupakan satu lagi propaganda jahat golongan Syi’ah terhadap golongan Sunni. Bahkan, daripada bentuk soalan yang dikirimkan, saya sudah dapat mengagak bahawa ini pasti suatu perkara yang ada hubungkaitnya dengan Syi’ah. . Video klip ini membenarkan kenyataan saya sebelum ini bahawa golongan Syi’ah memang memusuhi sebahagian besar sahabat Rasulillah SAW. Ini bukan lagi suatu dakwaan dan rekaan semata-mata, malah telah dibuktikan oleh perbuatan yang dilakukan oleh mereka sendiri. . Sebenarnya ia bukan perkara baru. Perbuatan mereka menghina dan mengkafirkan para sahabat telah dilakukan semenjak dulu lagi oleh para ulama mereka di dalam kitab-kitab mereka. Saya sendiri pernah melihat beberapa buah kitab Syiah yang jelas-jelas melakukan perkara ini dan ia merupakan bukti yang tidak boleh disangkal lagi. . Di dalam kitab-kitab tersebut, mereka secara jelas telah mengkafirkan para sahabat agung Rasulillah SAW seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab, Abdul Rahman ibn Auf, Zubair ibn Awwam, Talhah ibn Ubaidillah dan lain-lain lagi. Menafikan perkara ini sebenarnya sama seperti menafikan siang pada waktu matahari berada di tengah langit. . Ia jelas membuktikan kepada kita bahawa golongan Syi’ah memang mempunyai niat yang sangat jahat terhadap golongan Sunni sejak sekian lama. Maka tidak hairanlah sekiranya terdapat fatwa para ulama terutamanya di benua kecil India yang menyesatkan mereka lantaran perbuatan mereka yang hina itu. . Berkenaan dengan soalan yang dikemukakan kepada kami, kami tidak bercadang untuk memperincikan perbincangan mengenainya kerana jawapan mengenainya sudah banyak dijawab oleh para ulama kita di dalam kitab-kitab mereka. Bahkan hadis yang berkaitan dengan tanah Fadak yang telah dijadikan peluru oleh golongan Syiah dalam isu ini telah lama dijawab oleh para ulama terdahulu termasuklah Imam Ibn Hajar di dalam kitabnya, ((Fathul Bari)) dan fakta ini juga telah dijelaskan secara terperinci oleh Imam Ibn Kathir di dalam ((Al-Bidayah wa An-Nihayah)). . Justeru itu, tidak perlulah saya tenggelam di dalam membahaskannya kerana ia akan mengambil ruang yang panjang untuk diperjelaskan dan sudah tentu, sedikit sebanyak ia akan mencarik konsentrasi para pembaca akibat dari perbincangan yang tinggi dan panjang itu. . Yang demikian, cukuplah saya membawakan dalil-dalil dari al-Quran dan Sunnah untuk anda semua berfikir, sekaligus bersetuju untuk menyatakan bahawa kenyataan-kenyataan yang dikemukakan oleh golongan Syiah ini merupakan suatu rekaan dan penyelewengan semata-mata. PUJIAN RASULULLAH SAW & PARA SAHABAT TERHADAP ABU BAKAR: . Kalau ingin dihimpunkan, terlalu banyak riwayat yang memaparkan pujian Rasulullah SAW dan para sahabat RA kepada Abu Bakar RA. Memadailah sekiranya saya mendatangkan beberapa buah hadis sahaja untuk menggambarkan kemuliaan Abu Bakar di sisi Baginda SAW dan para sahabat beliau. . Daripada Abi Sa’id al-Khudri RA, nabi SAW telah bersabda:
. “Kalau aku diberikan peluang mengambil seseorang sebagai sahabat selain dari Tuhanku, nescaya aku akan memilih Abu Bakar”((Riwayat Bukhari: 7/12/3659 & Muslim: 4/1855)) . Daripada Jubair ibn Mat’am RA katanya: Telah dating seorang perempuan menemui nabi dan beliau mengatakan sesuatu kepada baginda. Maka nabipun memerintahkan sesuatu kepadanya. Lalu perempuan itu berkata:
. “Apa pandanganmu wahai Rasulallah sekiranya aku tidak menemuimu? Nabi menjawab: Jika kau tidak menemui aku, maka datanglah kepada Abu Bakar”((Riwayat Bukhari: 7/17/3659 & Muslim: 4/1856)) . Amru ibn ‘Ash RA bertemu dengan nabi SAW lalu bertanya:
“Siapakah orang yang paling kau kasihi? Baginda menjawab: Aisyah. Aku bertanya lagi: Daripada lelaki pula? Nabi menjawab: Bapanya (Abu Bakar). Aku terus bertanya: Kemudian? Nabi menjawab: Umar dan beberapa lagi sahabat-sahabat yang lain. Kemudian aku terus berhenti bertanya kerana aku takut aku berada di kedudukan yang terakhir di kalangan mereka”((Riwayat Bukhari: 7/17/3659 & Muslim: 8/1856)) . Saidina Umar RA berkata:
“Abu Bakar adalah pemimpin kami, dan sebaik-baik (sahabat) dari kalangan kami, dan orang yang paling dikasihi oleh Rasulillah SAW”((Riwayat At-Tirmizi, 834/3665. Beliau mengatakan hadis ini Hasan Gharib)) . Daripada Huzaifah RA bahawa nabi SAW bersabda:
. “Ikutilah orang-orang selepas aku (iaitu) Abi Bakar dan Umar”((Riwayat Tirmizi: 835/3671. Beliau mengatakan hadis ini Hasan)) . Nabi SAW berkata kepada Abu Bakar RA:
“Engkau sahabatku di telaga[1] dan sahabatku di dalam gua”((Riwayat Tirmizi: 837/3679)) . Hadis-hadis ini telah menjadi saksi betapa Abu Bakar RA merupakan sahabat agung Rasulillah SAW di dunia dan akhirat. Di samping menghormati diri beliau sebagai bapa mertuanya, beliau juga dihormati sebagai seorang sahabat yang terlalu banyak berjasa dan berkorban di dalam perjuangan Rasulullah SAW sehingga apabila ditanya oleh Rasulullah SAW tentang harta-harta yang telah beliau infaqkan di jalan Allah SWT, Abu Bakar RA menjawab: “Aku tiada apa-apa melainkan Allah dan dirimu wahai Rasululllah”. . Lihat bagaimana keperibadian beliau di hadapan Rasulullah SAW dan bagaimana pula kedudukan beliau di sisi baginda SAW? . Di kala ramai orang ragu-ragu dengan kenyataan Rasulullah SAW mengenai perjalanan Isra’ dan Mi’rajnya ke Sidratul Muntaha, Abu Bakar hadir dengan gerbang iman yang mengimani dan membenarkan sepenuhnya khabar yang disampaikan oleh nabi Allah itu tanpa sedikitpun ragu-ragu terhadap baginda SAW. Kerana itu, beliau digelar As-Siddiq oleh nabi SAW dan ini merupakan suatu penghormatan dan pengiktirafan yang tersangat agung yang diberikan oleh utusan Allah SWT kepada beliau. . Oleh itu, tanyakan kepada diri sendiri, wajarkah tohmahan sebegini dilemparkan kepada beliau?
KETERANGAN DARIPADA AL-QURAN: . Baik, kalau anda tidak percaya kepada hadis-hadis yang dikemukakan kerana tiada jaminan yang menetapkan bahawa ia tidak akan terdedah dari pelbagai pemalsuan dan penyelewengan, maka dengan itu, mari kita merujuk kepada sumber pertama kita, iaitu al-Quran al-Kareem yang dijamin oleh Allah SWT sendiri daripada diselewengkan. Allah SWT dengan kebenaran kalam-Nya telah berfirman:
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang terawal (memeluk Islam) dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan merekapun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 100)
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka Itulah orang-orang yang benar-benar beriman. mereka memperoleh ampunan dan rezki (nikmat) yang mulia” (Al-Anfal: 74)
“..bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurniaan Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. Mereka Itulah orang-orang yang benar” (Al-Hasyr: 8)
“Dan orang-orang yang telah menduduki kota Madinah dan telah beriman (Anshar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshar) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin) dan mereka (Anshar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari ketamakkan dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung” (Al-Hasyr: 9)
.
Lihatlah bagaimana Allah SWT sendiri memuliakan mereka dari kalangan As-Sabiqunal Awwalun, golongan Muhajirin dan Anshar dengan memberikan kepada mereka dengan pelbagai gelaran:
.
أُولَئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا
.
أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
.
فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
.
Siapakah mereka ini kalau bukan para sahabat Rasulillah SAW yang agung !! ... mereka adalah orang-orang mukmin yang sebenar, yang benar dan yang berjaya !! .. kerana mereka sanggup menjual diri-diri mereka kepada Allah SWT dengan meninggalkan harta benda, kekayaan, keluarga dan tanah air mereka demi untuk menyahut seruan Muhammad SAW dan bersama baginda di atas jalan yang benar ... lalu Allah membeli diri-diri mereka dengan harga yang mahal dan memuliakan mereka kerana iman.
.
Jalan yang mereka lalui adalah jalan yang penuh berduri. Air mata tidak mampu menjadi penawar luka yang mereka alami, tetapi iman dan kesabaran yang teguh. Mereka menggenggam iman seperti menggenggam bara-bara api, sakit dan terluka di sepanjang perjalanan, sehingga ada yang terbunuh syahid, disula hidup-hidup, dipotong tangan dan kaki dan sebagainya. Namun mereka tetap teguh bersama Rasulullah SAW ... Mereka adalah generasi yang sangat yakin dengan janji-janji Allah dan Rasul-Nya, mereka adalah sebaik-baik sahabat para nabi dan sebaik-baik generasi ummat Muhammad SAW.
.
Dan kerana merekalah, kita mampu mengecapi nikmat Iman dan Islam pada saat ini. Mereka telah berjaya menjadi jundi-jundi Rasulullah SAW dan menjalankan amanah dakwah ke seluruh alam.
.
PERISTIWA YANG DIABADIKAN:
.
Di antara banyak-banyak peristiwa penting di sepanjang perjalanan dakwah Rasulullah SAW, Allah SWT telah mengabadikan di dalam al-Quran peristiwa penting di antara nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar di dalam gua Thur.
.
Ia merupakan waktu-waktu getir yang menjadi penentu di antara hidup dan matinya batang tubuh kekasih Allah SWT itu serta sahabatnya, Abu Bakar. Malah saat itu juga merupakan penentu kepada perjuangan Islam yang diseru oleh baginda SAW ... samada ia akan terus bersemarak atau terkubur di situ sahaja.
.
"Kenapakah engkau menangis Abu Bakar?", soal nabi SAW yang terjaga dari tidurnya setelah terkena air mata Abu Bakar RA yang terjatuh di wajah baginda.
.
"Aku disengat binatang (wahai Rasulullah)", jawab Abu Bakar yang sedang menahan sakit.
.
Begitulah cinta Abu Bakar RA kepada Saidina Muhammad SAW. Kasihnya beliau kepada Rasulullah SAW membuatkan beliau sanggup membiarkan dirinya disengat binatang buas, malah tetap berada di posisinya tanpa bergerak kerana takut ia akan membangunkan Rasulullah SAW yang sedang tidur di pangkuannya. Kemudian dengan mukjizat kenabiannya, Rasulullah SAW meludahi bahagian kakinya yang disengat hingga hilang kesakitannya.
.
Inilah pengorbanan yang telah dilakukan oleh Abu Bakar RA terhadap Rasulullah SAW. Beliau lebih rela mati andaikata beliau ditaqdirkan mati di situ, asalkan baginda SAW selamat dan dakwah Islam terus disebarkan.
.
“Engkau sahabatku di telaga(telaga al-Kausar) dan sahabatku di dalam gua(gua Thur)”, berkata nabi SAW kepada Abu Bakar.
.
Inilah pengiktirafan yang tersangat agung oleh nabi Muhammad SAW kepada beliau.
.
Apa lagi yang kita mahukan sekiranya kita telah mendapat pengiktirafan dari kekasih Allah SWT, sebaik-baik dan semulia-mulia insan di sisi Allah SWT, penghulu segala nabi dan pemberi syafaat di akhirat kelak?
.
Tiada lagi sebaik-baik pengiktirafan melainkan pengiktirafan yang diberikan oleh baginda SAW. Kita bukan sahaja mendapat kebahagiaan hidup di dunia, malah bahagia dan berjaya di akhirat nanti. Begitulah hakikat kebahagiaan yang dirasai oleh Abu Bakar RA .. baginda meredhai beliau, Allah SWT juga pasti meredhainya.
.
"Sesiapa yang berjaya menemui Muhammad dan Abu Bakar dalam keadaan hidup ataupun mati akan diberikan ganjaran senilai 100 ekor unta !!", isytihar salah seorang pemuka kafir Quraisyh di khalayak ramai.
.
Maka berebut-rebutlah manusia bertaburan mencari batang tubuh mereka berdua. Siapa yang tidak mahu dengan ganjaran sebesar itu ??
.
Bersungguh-sungguh mereka membuat pencarian, sehingga ada yang berjaya sampai ke tempat persembunyian nabi SAW dan Abu Bakar. Dalam upaya pencarian itu, puak-puak Quraisyh sebenarnya telah sampai di mulut gua Thur. Andaikata salah seorang daripada mereka menundukkan kepalanya dan melirik ke arah kakinya, nescaya mereka bisa melihat Rasulullah SAW dan Abu Bakar.
.
Pada saat yang begitu tegang itu, Abu Bakar menjadi sangat khawatir dengan keselamatan diri Rasulullah SAW. Melihat keadaan Abu Bakar dalam keadaan sebegitu, Rasulullah SAW lalu menenangkan.
.
"Apa yang engkau khawatirkan wahai Abu Bakar jika kita adalah dua orang dan Allah yang ketiganya? Maka tidak perlulah kamu bersedih. Sesungguhnya Allah bersama kita", Rasulullah SAW menenangkan Abu Bakar.
.
Allah SWT mendengar ucapan nabi SAW itu, lalu mereka diselamatkan daripada peristiwa yang getir itu. Allah SWT masih sayangkan hamba-Nya dan masih mahukan agama Islam terus disebarkan.
"Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu Dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita."" (At-Taubah: 40)
.
Begitulah peristiwa ini diabadikan .....
.
KESIMPULAN:
.
Cukuplah keterangan-keterangan ini menjadi bukti dan saksi akan kemuliaan generasi para sahabat RA. Allah SWT telah membenarkannya dan kemuliaan mereka terus kekal sampai bila-bila walau badai datang menyerang.
.
Sekiranya anda pernah membaca atau mendengar sebarang kenyataan-kenyataan yang meragukan tentang para Sahabat Rasulullah SAW, campaklah keraguanmu itu ke dinding dan percayalah bahawa semua itu merupakan suatu kepalsuan.
.
Sesungguhnya kita mempunyai Allah dan Rasul sebagai sandaran, maka cukuplah mereka menjadi rujukan yang membenarkan kemuliaan dan keagungan mereka.
.
Wallahu a'lam
.
خَيْرُ أُمَّتِي الْقَرْنُ الَّذِينَ بُعِثْتُ فِيهِمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ . "Sebaik-baik umatku ialah mereka yang aku diutuskan padanya (sahabat RA), kemudian generasi selepas mereka ..."((Hadis riwayat Muslim))
.
.
.
.
.
...................................... . [1] Pengarang ((Tuhfatul Ahwazi)) mengatakan, yang dimaksudkan dengan telaga itu merujuk kepada telaga Al-Kausar. WA
. "Rasanya khutbah jumaat dulu-dulu lagi best, tak ikut script walaupun diakui agak bebas dlm mengutarakan hal-hal politik yg kadangkala bukan utk membetulkan keadaan, tp menyebabkan masjid berpuak-puak", seorang muslimat menghantar emel kepada saya sebagai respon kepada artikel saya ((Khutbah Jumaat ... Mengapa Ia Lesu dan Membosankan?)) . "Even khutbah di masjid-masjid America lebih bertenaga dan padat pengisiannya. Mungkin disebabkan khatib-khatib di sana banyak yg berasal dari timur tengah", sambung beliau yang pernah menuntut di US. . Sememangnya khutbah Jumaat di taman perumahan saya tadi sangatlah membosankan. Entah berapa kali saya menguap pun saya tidak tahu. . Tidak cukup dengan menguap, kadang-kadang saya menoleh ke kiri dan kadang-kadang saya menoleh ke kanan. . "Panggil mat rempit berkhutbah pun ok macam ni" ... hati saya mengata. Geram!! . RESPON SAYA KEPADA EMEL BELIAU: . Hmm ..inilah realiti yang berlaku sekarang di Malaysia. Mimbar jumaat tidak lagi bebas dan berpotensi untuk mengislah masyarakat. Tangan dan kakinya disekat dari bebas bergerak mengikut kebebasannya. . Seperti yg telah saya katakan, masjid hari ini kebanyakkannya dikepalai oleh mereka-mereka yang berkefahaman 'suku' terhadap Islam. Mereka memahami Islam tidak lebih daripada perkara-perkara ritual seperti solat, puasa, haji, zakat dan zikir. Selebihnya yang melibatkan politik, mu'amalat dan daulah bukanlah di dalam kerangka syumuliah Islam dan perlu disekat sekiranya suara-suara itu kedengaran di mimbar-mimbar masjid. . Sedangkan Islam itu syumul, Ia tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Ia menyentuh semua hakikat kehidupan, dan tidak ada satupun perkara yang tercicir dari pandangan Islam dari sekecil-kecil perkara sehinggalah ke sebesar-besar perkara termasuk siyasah dan daulah. . Di zaman rasulullah SAW, para sahabat dan generasi selepas mereka, mimbar jumaat berperanan bebas sebagai tempat para khatib memberikan nasihat dan teguran kepada masyarakat dan para pemimpin. Para ulama dihormati kerana ketegasan dan kemuliaan mereka berpidato dan berkhutbah di atas mimbar dengan penuh keikhlasan dan bersemangat dengan kata-kata yang benar. Apa yang mereka lafazkan adalah kebenaran, bahkan seringkali mereka membaca firman Allah SWT di permulaan khutbah mereka agar para jemaah sentiasa beriman kepada Allah SWT dengan berkata benar dan haq walaupun ia pahit. Allah SWT berfriman: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah Perkataan yang benar" (al-Ahzab: 70). . Namun apa yang berlaku pada hari ini, para khatib yang lantang berkhutbah dengan kebenaran di-gam dan disekat dari berkhutbah dengan alasan untuk menjaga keselamatan dan perpaduan. Ini semua satu kepalsuan, sedangkan tujuan disebaliknya adalah utk menutup mulut-mulut mereka dari menyinggung tindakan dan perilaku para pemimpin yang melakukan kezaliman, salah laku dan sebagainya di dalam pemerintahan mereka. Golongan yang cuba menghalang ini bukan bekerja untuk Allah, tetapi bekerja untuk manusia demi kepentingan perut mereka sendiri. . Lihat betapa penting peranan khutbah di dalam Islam sehingga ia diletakkan bersama-sama dengan solat Jumaat sebagai salah satu dari elemen penting di dalam solat tersebut. Mereka yang tinggal tetap di situ dengan tanpa keuzuran wajib al-'aini datang untuk mendirikan solat Jumaat berjemaah dan mendengar khutbahnya. Dibacakan di awalnya ayat al-Quran yang menyeru agar umat Islam beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dan di akhirinya diakhiri dengan suatu peringatan agar setiap manusia khususnya para pemimpin agar berlaku adil kepada rakyatnya .."Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran" (an-Nahl: 90) . Kita mahu para khatib bercakap di atas kebenaran dengan telus dan ikhlas dari hati ke hati dengan melihat kepada realiti yang berlaku di dalam masyarakat sekeliling, bukan bercakap tentang perkara yang tiada kaitan dengan kepentingan umum seperti 'buah-buahan tempatan'. Khutbah perlu disesuaikan dengan keadaan semasa yang berlaku, menyentuh soal semasa dengan menekankan iman dan taqwa sebagai gandingannya. Ia sebetulnya menjadi suntikan mingguan buat para jemaah mentajdidkan iman-iman mereka dan memperbaharui serta menambah kefahaman mereka terhadap Islam. . Ketahuilah bahawa ia merupakan tempat suci yang ditempati oleh Rasulullah SAW yang tidak sepatutnya dicemari dengan najis kezaliman dan halangan. Ingatlah, bahawa menghalang dan menyekat mimbar masjid dari melaksanakan fungsinya yang sebenar merupakan suatu kezaliman yang nyata. Allah SWT bertanyakan mengenainya secara sindiran kepada kita: "Dan siapakah orang yang terlebih zalim daripada mereka yang menghalang masjid-masjid Allah daripada disebut di dalamnya nama-namanya(Allah) ...?" (Al-Baqarah) . ........................................... . Syeikh Yusuf al-Qaradhawi adalah sebaik-baik khatib yang sering menambat hati saya tatkala mendengar khutbah beliau. Dengarkan: .
Bismillah ... . Kadang-kadang kalau datang 'mood', berbagai-bagai idea yang timbul untuk dikongsikan bersama. Input segar, penulisan pun lancar .. . Tetapi bila hilang mood .. akal menjadi buntu, idea berkurangan, otak menjadi bebal dan penulisan pun tidak menjadi. Dalam keadaan begini, menulis bagaikan dipaksa-paksa ... tension !! . Sekarang adalah fasa saya kehilangan mood, dan ini merupakan entri yang tidak ber'mood' dan tidak berobjektif .... . Hanya sekadar mahu meng-update.
“Sesungguhnya nabi SAW menciumi salah seorang daripada isteri-isterinya, kemudian terus keluar mendirikan solat tanpa memperbaharui wudhuknya” (Contoh Hadith)
. “Puak-puak Syiah mana pakai hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ni”, kata Ustaz Fakhrurrazi.
. “kenapa ustaz?”, saya bertanya
. “Syiah kata hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ni palsu..”, jelas beliau.
. “Mereka kata, Aisyah tidak layak menceritakan hal-hal peribadi rumah tangga beliau dengan Rasulullah pada masyarakat sebab benda ni benda aib yang tidak sepatutnya didedahkan, bahkan akan mengaibkan Rasulullah sendiri”, ustaz menyambung penjelasannya.
. Logik atau tidak alasan yang dikemukakan oleh puak-puak Syiah ini?
. Saya sendiri mengakui bahawa alasan ini ada logikanya.
. Oleh yang demikian, sekiranya pendedahan yang jelas akan hakikat mazhab Syiah ini tidak dilakukan, saya rasa, ramai orang-orang awam akan terpengaruh dan membenarkan alasan yang cuba dimainkan oleh puak-puak Syiah ini.
. Masakan tidak, semua orang meyakini bahawa hubungan suami isteri termasuk di dalam perkara peribadi yang tidak sepatutnya didedahkan, khususnya kepada masyarakat Asia yang kebanyakkannya masih lagi berpegang teguh dengan nilai-nilai ketimuran mereka bahawa perkara sex dan hubungan peribadi suami isteri termasuk di dalam perkara aib yang tidak layak untuk diceritakan.
. Justeru, bersandarkan kepada logika ini, maka tidak seharusnya Aisyah RA menceritakan hubungan peribadi beliau dengan Rasulullah SAW di khalayak ramai. Ia suatu yang mengaibkan !!
. Percayalah, semua ini adalah suatu pendustaan yang tidak berasas !!
. Ia merupakan suatu penganiyaan terhadap sahabat Rasulillah SAW dan jenayah yang besar terhadap isteri baginda SAW.
. “Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka” (al-Ahzab: 33)
. Allah SWT menyatakan bahawa mereka adalah Ummahatul Mukminin[1] atau ibu kepada orang-orang yang beriman. Mereka bukan saja haram untuk dikahwini oleh umat Muhammad SAW sebagaimana diharamkan kepada kita untuk mengahwini ibu-ibu kita, malah mereka juga wajib dihormati dan dibesarkan dengan status mereka sebagai isteri-isteri nabi SAW. Oleh yang demikian, mereka tidak selayaknya menerima sebarang celaan dan kehinaan kerana Allah SWT sendiri memberikan penghormatan terhadap mereka dengan mengiktiraf dan menggelari mereka sebagai ibu kepada orang-orang yang beriman.
. Ini merupakan suatu pengiktirafan yang terlalu tinggi dan termulia di sisi Allah SWT. Ia bukanlah sebarang gelaran, tetapi gelaran sebagai IBU kepada orang-orang yang BERIMAN.
. Sekiranya Allah SWT mewajibkan kita menghormati ibu bapa kita seperti mana yang difirmankan di dalam surah al-Isra’ ayat 23, dan Rasulullah SAW juga menyatakan “Ibumu, ibumu dan ibumu” sebanyak tiga kali selepas ditanya oleh seorang sahabat mengenai siapakah insan yang paling layak untuk diberikan kebaikkan[2], maka apakah ibu-ibu orang-orang yang beriman ini yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW tidak lebih layak untuk diberikan penghormatan dan kemuliaan?
. Anda sendiri tentu tahu jawapannya …
. HIKMAH DI SEBALIK PERKAHWINAN NABI SAW
. Perkahwinan nabi SAW dengan 11 orang isterinya bukanlah disebabkan oleh desakkan syahwat dan nafsu manusiawi seperti yang cuba difitnah oleh golongan Orientalis, tetapi sebenarnya merupakan penetapan yang dikhususkan ke atas nabi Muhammad SAW kerana 4 faktor di antaranya disebabkan oleh faktor Pendidikkan dan Pensyari’atan.[3]
. Sepertimana Anas ibn Malik RA banyak meriwayatkan hadis-hadis yang berkaitan dengan aktiviti sehari-hari Rasulullah SAW[4], maka isteri-isteri Rasulullah SAW pula banyak berperanan di dalam membantu dakwah Rasulullah SAW terutamanya berkaitan dengan hal-hal yang melibatkan permasalahan wanita dan rumah tangga.
. Sebagaimana Islam merupakan agama yang lengkap meliputi seluruh kehidupan manusia, maka perkara-perkara yang melibatkan cara pengurusan diri[5], rumah tangga dan kewanitaan juga termasuk di dalam risalah dakwah baginda SAW.
. Risalah suci ini juga tidak hanya tertumpu kepada golongan adam semata-mata, bahkan meliputi golongan hawa yang juga merupakan sebahagian daripada komuniti kemasyarakatan. Akan tetapi, ada di kalangan mereka yang malu untuk bertanya kepada Rasulullah SAW akan beberapa persoalan terutamanya yang berkaitan dengan permasalahan wanita seperti masalah haid, nifas, junub, rumah tangga dan sebagainya. Kerana itu, terkadang mereka tidak menanyakan soalan terus kepada baginda SAW, tetapi kepada isteri-isteri Rasulullah SAW untuk mendapatkan penjelasan.
. Memandangkan pentaqriran dan perbuatan nabi SAW termasuk di dalam sunnah Rasul SAW, maka apa yang ditaqrirkan melalui perbuatan isteri-isteri baginda ketika bersamanya, juga perbuatan-perbuatan baginda SAW bersama mereka[6] berhak untuk diceritakan di atas tujuan pendidikan dan pensyariatan.
. Begitu juga dengan Rasulullah SAW, seperti mana yang diriwayatkan, baginda merupakan seorang insan yang pemalu melebihi anak gadis, sehingga kadang-kadang terlalu sukar untuk baginda menjawab beberapa persoalan kewanitaan yang ditujukan kepada baginda, dan terpaksa berkias untuk menjawabnya. Dengan itu, isteri-isteri bagindalah yang akan memperjelaskan lagi maksud sebenar di sebalik jawaban yang dikemukakan oleh Rasulullah SAW itu.[7]
. Tambahan pula, mereka orang yang paling tahu tentang keperibadian baginda di rumah dan bagaimana corak rumah tangga yang dibina oleh Rasulullah SAW bersama mereka. Selain itu, merekalah juga orang yang paling tahu tentang permasalahan wanita berbanding wanita-wanita lain kerana mereka hidup bersama Rasulullah SAW.
. Maka di sinilah peranan isteri-isteri Rasulullah SAW di dalam dakwah nabi SAW iaitu untuk menjelaskan beberapa permasalahan yang berkaitan dengan kaum hawa, menerangkan perkara-perkara yang ditanyakan kepada baginda SAW dan juga mewakili baginda di dalam sesetengah perkara yang tidak ditanyakan terus kepadanya.
.
PARA SAHABAT KESEMUANYA 'UDUL
.
Sekiranya kita belajar usul al-hadis, proses Aj-Jarh wat Ta'dil (Kritikan terhadap sanad hadis) tidak bermula pada generasi para sahabat, tetapi bermula pada generasi at-Tabi'in dan seterusnya. Ini adalah kerana, para ulama telah sebulat suara (ijma') mengatakan bahawa mereka (para sahabat) kesemuanya 'udul (thiqat/adil) tanpa sebarang kecacatan yang akan menjejaskan kesahihan sesuatu hadis yang diriwayatkan daripada mereka.
.
Hal ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang mashyur di mana baginda SAW bersabda:
"Sebaik-baik umatku ialah mereka yang aku diutuskan padanya (sahabat RA), kemudian generasi selepas mereka ..." (Hadis riwayat Muslim)
.
Mereka adalah generasi yang mendapat pantarbiahan terus dari Rasulillah SAW, hamba termulia dan teragung di sisi Allah SWT. Mereka hidup bersama baginda, berjihad bersama baginda, bersusah payah bersama baginda dan berdoa di atas rayuan baginda SAW. Maka layaklah mereka digelar sebaik-baik generasi kerana hidup bangun mereka bersama rasulillah SAW.
"Bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurniaan Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar" (al-Hasyr: 8)
.
Siapakah golongan fuqara' yang disebutkan oleh Allah ini wahai saudara ... yang sanggup berhijrah kerana diusir dari kampung halaman sendiri dan sanggup hidup bersusah payah meninggalkan harta semata-mata kerana mencari keredhaan Allah SWT ....!!??
.
Mereka adalah sahabat Rasulillah SAW !!! Generasi agung dan terbilang ..
. أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ
.
Mereka adalah orang-orang yang benar, kata Allah. Tiba-tiba muncul segolongan manusia yang berani mencabut kemuliaan mereka dengan melontarkan bermacam-macam tuduhan ke atas mereka ... Penipu, Pendusta dan sebagainya. Wal'iyazubillah
.
SYIAH MENDUSTAKAN KEBENARAN
.
Jelas dari apa yang dilakukan oleh golongan Syiah ini merupakan suatu pendustaan terhadap isteri-isteri Rasulillah SAW serta pencemaran ke atas kesucian risalah nubuwwah baginda selama ini.
.
Kita harus menyedari bahawa golongan Syiah sedang melakukan dakyah mereka secara besar-besaran di seluruh dunia Islam khususnya bagi melebarluaskan fahaman sesat mereka terhadap umat Islam yang berada di bawah naungan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
.
Dengan itu, bagi sesiapa yang menyedari hakikat ini, mereka perlu menyedarkan masyarakat awam akan pendustaan dan penyelewengan yang sedang dilakukan oleh puak ini. Tidak ada kompromi bagi mereka yang memusuhi sahabat Rasulillah SAW, apatah lagi sekiranya mereka merupakan isteri-isteri nabi SAW.
.
Ingatlah, mereka itu Ummahatul Mukminin ..
.
.
.
.
.......................................................... . [1] Mereka adalah Khadijah bt Khuwailid, Saudah bt Zam’ah, Aisyah bt Abi Bakr, Hafsah bt Umar, Zainab bt Khuzaimah, Zainab bt Jahshi, Hindun Ummi Salamah, Ummu Habibah bt Abi Sufyan, Juwairiah bt Harith, Sofyah bt Hayyi dan Maimunah bt al-Harith.
. [2] Hadis riwayat Imam Bukhari dan At-Tirmizi. Imam At-Tirmizi mengatakan hadis ini Hasan.
. [3] Syeikh As-Sobuni, ((Tafsir Ayat al-Ahkam min Al-Quran)), 2/229
. [4] Kerana beliau merupakan pembantu peribadi (Personal Assistance) Rasulullah SAW.
. [5] Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA yang menceritakan bagaimana mandi junub yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
. [6] Sepertimana Aisyah menceritakan bagaimana beliau dan baginda SAW mandi junub bersama di dalam satu baldi yang sama.
. [7] Sepertimana seorang perempuan Ansar bertanya kepada nabi SAW mengenai cara mandi junub. Lalu nabi SAW memerintahkan agar dia mengambil wangian lalu baginda bersabda: Basuhlah ia dengannya. Perempuan itu bertanya lagi: Bagaimana caranya? Rasulullah menjawab perkara yang sama. Perempuan itu juga bertanyakan kembali soalan yang sama. Kemudian nabi SAW menjawab: Subhanallah, basuh la dengannya !! Apabila Aisyah melihat keadaan itu, selepas itu barulah beliau menceritakan maksud sebenar kiasan nabi SAW itu.