Tuesday, 22 July 2008
Sepele tapi Besar ertinya
Wednesday, 9 July 2008
Protes atas PROTES
Saya ulangi soalan Ustaz Nasrudin Tantawi dengan sedikit penambahan.
Sunday, 6 July 2008
Allah SWT bertanya ...
Petang yang redup itu sungguh nyaman sekali. Ia menatijahkan sebuah pertemuan yang cukup berharga bagi kami bertiga. Sambil makan bubur kacang yang dihidangkan, ustaz KAS tidak henti-henti memberi nasihat dan pandangan terhadap beberapa persoalan yang kami bangkitkan.
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Allah bertanya kepada kita, “Hey manusia, beritahu aku .. siapakah orang yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada jalan Aku ...?”. Itu soalan Allah kepada kita.
Sebelum kita menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui bahawa Allah SWT menggunakan pelbagai ‘uslub khitabah’ bagi setiap ayat-ayat yang diturunkanNya di dalam al-Quran. PengkhabaranNya tidak mendatar, tetapi diselangi dengan pelbagai bentuk kaedah dan uslub yang pelbagai.
Kadang-kala Allah SWT menggunakan uslub ‘Sumpah’ dengan sesuatu yang lazim bagi manusia seperti “Demi waktu Dhuha”, “Demi Masa” dan sebagainya. Terkadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Mencabar’ untuk mencabar kesombongan Yahudi dan Nasrani, seperti yang disebut di dalam surah al-Baqarah, “Sekiranya kamu ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, maka datangkanlah satu surah sepertinya” atau “Datangkanlah bukti-bukti kamu sekiranya kamu adalah orang-orang yang benar”. Kadang-kadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Sindiran’ dalam menjawab seruan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mengatakan, “Jadilah kamu orang-orang Yahudi dan Nasrani, nescaya kamu akan diberi petunjuk. Katakanlah (Muhammad), bahkan agama Ibrahim itu adalah agama yang lurus, dan tidaklah dia termasuk di kalangan orang-orang Musyrik”. Bahkan terkadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Pertanyaan’ kepada manusia seperti “Apakah kamu tidak memikirkannya”, “Apakah kamu tidak melihat” dan “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah”
Persoalannya, apakah persoalan yang dikemukakan oleh Allah ini menunjukkan bahawa Dia bodoh dan tidak mengetahui? Subhanallah !!! Maha Suci Allah !!! Allah SWT Maha Berkuasa dari sebarang sifat kekurangan, bahkan Dia mengetahui setiap sesuatu dari sebesar-besarnya sehinggalah kepada sekecil-kecilnya di antara yang zahir dan yang batin. Persoalan tersebut sebenarnya bertujuan untuk membentak para pembaca yang leka dan khayal, supaya mereka tersedar dari lamunan siang yang panjang dan melihat betapa luasnya Ilmu dan Kebesaran Allah SWT ini.
Persoalan Allah SWT itu memerlukan jawapan daripada saya dan kamu semua ... “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah?”
Soalannya satu, tetapi jawapannya belum tentu juga satu.
Ia terpulang sejauh mana kita meletakkan diri kita di sisi Islam .. Adakah kita ingin meletakkan diri kita sebagai golongan penyeru, atau golongan sedang diseru atau golongan yang bersedia untuk diseru ataupun melarikan diri tidak melakukan apa-apa.
Sekiranya kita bercita-cita untuk menjadi golongan Penyeru, ia adalah terlebih baik daripada menjadi golongan yang sedang diseru. Sekiranya kita sekadar menjadi golongan yang sedang diseru, ia juga lebih baik daripada golongan yang bersedia untuk diseru. Bahkan sekiranya kita hanya ingin menjadi golongan yang bersedia untuk diseru sekalipun, ia masih dianggap satu kebaikkan .. asalkan kita tidak termasuk di dalam golongan yang tidak bersedia untuk diseru dan menyeru. Saat itu, nescaya kita termasuk di dalam golongan yang dicela Allah dan RasulNya.[1]
Serulah dengan nama Tuhanmu !!
Serulah dengan risalah nabimu !!
Jadilah Pembantu-pembantu Allah dan Delegasi yang mewakili suara-suara para Rasul ‘Alaihimussolatuwassalam.
مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
Mohon perlindunganMu Ya Allah ..
.
.
[1] Ia bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Abu Hurairah RA:
.
Saturday, 5 July 2008
Tenang saat bersamanya ...
Syeikh Fahd bin Salim al-Kanderi
"Tengah dengar Syeikh Masyari baca ke?", saya bertanya kepada sahabat setia saya.
"Biasalah .. my favourite", beliau menjawab.
"Ana tengah dengar Syeikh Fahd al-Kendari. Sayu sangat dia baca", saya menceritakan.
Saya tenggelam bersama-sama dengan keindahan suara dan bacaannya. Sahabat saya di satu pertiga malam itu. Susunan bahasa, kisah, Mau'izah, Inzar dan Basyhir itu menyempurnakan bagi setiap kesempurnaannya.
Biar beribu kali, hatta berjuta kali sekalipun mendengarnya, ia tidak pernah sesekali menjemukan. Bahkan setiap kali mendengarnya, keindahannya pasti bertambah ...
Ia menghiburkan perasaan yang sunyi, menenangkan hati yang lara .. memberi kekuatan buat diri yang lemah dan memberi keyakinan buat diri yang resah.
Ia ubat bagi segala ubat … As-Syifaaul lima fis sudur, warahmatan lil mu’minin.[1]
[1] Diambil dari dua ayat iaitu dari surah Yunus (10:57) dan surah al-Isra’ (17:82).
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآَنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ
Thursday, 3 July 2008
Disebalik Pemberian itu ...
Ayah dan emak
Ayah saya memang sibuk. Kesibukkannya membuatkan beliau selalu pulang lewat ke rumah. Setelah selesai urusan di pejabat, kadang-kadang beliau masih belum pulang ke rumah kerana terpaksa mengikuti beberapa program jemaah sehingga menyebabkan waktu kerja beliau melebihi daripada waktu biasa.
Walaupun ayah seorang yang tegas, tetapi ketegasan beliau bertempat. Ada tempat beliau tegas, dan ada tempat beliau menjadi kawan kepada anak-anaknya. Boleh bergurau, bergelak ketawa dan berbincang bertukar-tukar pandangan. Pernah satu ketika saya berdebat dengan ayah bermula dari waktu makan malam sehinggalah berlarutan ke tengah malam. Tak habis-habis.
Dalam banyak-banyak hal yang saya kagumi tentang ayah, beliau tidak pernah mengeluh soal duit. Hatta terhadap adik beradik beliau dan saudara mara, ayah tidak pernah lokek untuk menghulurkan duit sekiranya mereka memerlukan. Bahkan ayah pernah memesan kepada saya, “Dengan adik beradik jangan berkira-kira”. Saya pegang pesanan itu sehingga ke hari ini. Ayah didik saya supaya jangan menjadi hamba kepada duit.
Kepulangan ayah dari outstation, beliau selalunya akan membelikan sesuatu untuk kami. Khususnya apabila beliau pergi ke Kelantan, mesti akan ada sesuatu yang akan ayah belikan untuk kami terutamanya emak. Buah tangan yang selalu ayah belikan untuk emak setibanya dari Kelantan adalah beberapa helai kain baju kurung yang ayah beli di Pasar Siti Khadijah, pusat perniagaan Melayu yang dipelopori oleh kaum hawa.
Kain-kain yang ayah belikan pula sesuai dengan kehendak dan citarasa emak. Bahkan, ayah pernah menceritakan jenis kain baju kurung yang bagaimana yang menjadi citarasa emak. Jadi, dari situ saya tahu bahawa ayah tidak 'pandai-pandai' memilih kain baju kurung untuk emak, tetapi ayah pilih sesuai dengan citarasa emak. Apabila emak terima kain tersebut, dari raut senyuman emak, saya tahu emak memang suka dengan baju yang dibelikan ayah itu.
Namun kadang-kadang hati saya berbisik-bisik juga, “Tak membazir ke ayah selalu sangat beli baju kurung untuk emak ni. Tengok dalam almari tu dah banyak sangat baju kurung”, saya bertanya-tanya pada diri sendiri.
Tetapi lama kelamaan baru saya faham, ayah belikan hadiah untuk emak bukan semata-mata untuk memberikan hadiah, tetapi hakikat sebenarnya adalah untuk memberikan cinta dan kasih sayang beliau kepada emak. Hadiah itu luarannya, tetapi cinta itu adalah tujuannya. Agar dengan hadiah tersebut, emak juga membalas cinta ayah kepadanya.
Masih segar lagi dalam ingatan saya kata-kata Syeikh Rohimuddin ketikamana beliau mengatakan “Ayah berikan duit belanja kepada anak-anak bukan kerana mengharapkan agar anak-anaknya juga akan memberikan duit kepadanya apabila dia telah tua nanti. Tetapi duit yang diberikan adalah bukti kasih sayang ayah kepada anaknya dan mengharapkan agar si anak itu rapat dan membalas kasih sayang mereka kepada ayahnya pula. Itulah tujuannya”.
“Bersalamanlah (kerana) ia menghilangkan kedengkian, dan berilah hadiah (kerana) ia meningkatkan nilai kasih sayang dan membuang permusuhan”[1] (Hadis riwayat Imam Malik daripada 'Ata’ bin Abi Muslim, Kitab Husnil Khuluq, 1685)
Rupa-rupanya disebalik pemberian itu ada HADIAH CINTA ...
.
[1] Di dalam riwayat at-Turmizi, nabi SAW bersabda: ((Berilah hadiah kerana dengan pemberian itu akan menghilangkan kebencian di dalam hati)). Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi di dalam Syi’bul Iman daripada Anas ibn Malik di mana nabi SAW bersabda: ((Berilah hadiah. Sesungguhnya dengan hadiah itu akan menghilangkan permusuhan)). (Ruj: Tanwirul Hawalik Syarah Muwatta' Imam Malik, As-Suyuti, m.s 810)
Begitu juga hubungan kita dengan Allah SWT. Apabila kita hidup di dunia, makanan kita adalah nasi dan lauk-pauk dari binatang dan tumbuhan. Tetapi apabila di dalam kubur nanti, makanan kita bukan nasi, roti dan ikan lagi ... tetapi pahala dan amal kita semasa di dunia. Justeru, Allah berfirman: "Sekiranya kamu bersyukur, nescaya akan Kami tambahkan bagi kamu (ganjaran pahala)" (Ibrahim: 7). Bersyukur itu adalah bukti kasih sayang dan terima kasih kita kepada Allah SWT di atas segala pemberian dan nikmat yang Allah limpahkan. Tanda syukur itu bukan sekadar mengucap 'Alhamdulillah', tetapi juga perlu dibuktikan dengan ketaatan, ibadah, doa dan amal kebaikkan. Allah nyatakan bahawa Dia suka kepada hambaNya yang bersyukur. Lalu dengan tanda syukur itu, Dia menghadiahkan kepada hambaNya ganjaran pahala. Inilah hadiah Allah buat hambaNya yang terpilih. WA
Tuesday, 1 July 2008
HATI SEORANG PENULIS
.
Dari hati
menuruni pena
mereka melakar...
melukis...
dan meluahkan.
Tentang kehidupan
dan pengalaman
sebait cuma...
.
Mencoretkan keanehan
menceritakan keajaiban
telus dari mata pandangan
dan dari diari pemikiran
.
Terkadang sutera hati mereka
tercarik...
pedih...
oleh duri - duri sembilu...
namun darahnya...
lukanya...
tidak terpotret
pada mata zahir
.
Separahmana luka itu
mereka terus
dan terus...
mengandung dan melahirkan
benih - benih rasa
yang terpendam
di khazanah perasaan
.