Tuesday 30 September 2008

EID MUBARAK

.
.

Sunday 28 September 2008

Perginya Seorang Sahabat; Zumratullah Zakaria

.
Saya sertakan gambar arwah sebagai pengenalan bagi sahabat-sahabat yang tidak 'cam' dengan wajah beliau.
.
Artikel ini saya copy daripada blog sahabat sebilik arwah Zumratullah bin Zakaria, Muhammad Zukhari (http://zukhairi-salehudin.blogspot.com/). Untuk sahabat-sahabat yang mengenali arwah, mohon sedekahkan al-Fatihah buat beliau, semoga ruh beliau dipelihara Allah SWT.
.
detail mengenai kemalangan yang saya paparkan ini adalah daripada abg ipar Allahyarham Zumratullah dan dengan kebenaran beliau sendiri. tujuannya adalah untuk mengelakkan sebarang spekulasi atau fitnah kepada yang terlibat terutamanya kepada arwah sendiri.
.
Two people were killed while two others were seriously injured when the car they were in skidded and plunged into a ravine at Km 38 Jalan Gua Musang-Kuala Krai at 4am today.
The dead were the car driver identified as Zumratullah Zakaria, 25, from Kampung Tanjung Chat, Kota Baru....
.
(http://www.nst.com.my/Current_News/NST/Friday/NewsBreak/20080926182819/Article/index_html) .
tanggal 26 ramadhan, kurang lebih 4 a.m, saya kehilangan seorang sahabat bernama zumratullah bin zakaria. arwah merupakan antara orang pertama yang saya kenali ketika menjejakkan kaki ke taman ilmu dan budi, uiam ni. arwah sama-sama merupakan pelajar direct intake i.e. bukan lepasan matrik uiam ketika itu. arwah juga merupakan sahabat sebilik ketika tahun 1, 3 dan 4.berikut saya ceritakan sedikit kronologi peristiwa yang saya alami sepanjang pagi jumaat sehingga malamnya..
.
MALAM SEBELUM KEJADIAN
.
sesudah bersolat tarawih, saya bersama-sama arwah menonton forum perdana hal ehwal islam (dirakam di uiam). tak banyak yang kami bualkan. saya seperti biasa menjadi pengulas kepada perbincangan manakala arwah pada malam tersebut lebih banyak mendengar dan berdiam.
"...arwah pada malam tersebut lebih banyak mendengar dan berdiam."
.
di bilik, sementara arwah menunggu rakannya untuk pulang ke kelantan bersama-sama, arwah berbaring di common area bilik kami. sudah terdetik juga di hati saya akan kelainan sahabat saya malam tu. kebiasaannya, sebelum2 ni jika arwah nak balik ke kelantan, dia amat ceria, bergurau2 dengan kami sebilik. tapi malam tersebut agak lain. arwah berbaring, mukanya seolah-olah resah, penat dan seolah2 dia ingin menyatakan sesuatu, cuma tak mampu.
.
terpacul di mulutnya "malas la nak drive malam ni"
.
saya membalas, "takyahla drive.masuk2 kereta, tidur la"
.
arwah menjawab, "kalau tak drive, sapa yang nak drive?"
.
saya berjenaka, "takyah balikla zum. balik sok ja"
.
arwah, "eh, kene balik jugak malam ni"
.
kemudian, lukman (ex-vice president lawsoc) pulang ke bilik kami. kami berbual2 sebentar. dalam kurang lebih pukul 10.15 p.m. arwah pun bersalam-salaman dengan kami dan meniggalkan bilik untuk memulakan perjalanan ke kelantan.
.
.
BERITA YANG MENGEJUTKAN
.
saya terjaga dalam pukul 4.30 a.m. telefon lukman kerap berdering. tapi lukman tidak menjawab. bukan sebab tak sedar, cuma malas. pada sangkaannya sahabat kami tan chien liang mengejutnya bersahur. dalam pukul 5 a.m., pintu bilik kami diketuk dengan kuat. lukman membuka pintu dan saya keluar dari compartment saya. kawan kami syahril(kawan baik arwah) menangis-nangis depan bilik kami. saya bertanya kenapa?
.
"zum dah meninggal keri..."
.
saya dan lukman terkejut.saya ulangi pertanyaan yang sama dan saya mendapat jawapan yang sama. syahril datang ke bilik kami untuk mencari sapa2 yang boleh kami contact untuk memberitahu parents arwah tentang berita ini. pihak polis tidak dapat menghubungi keluarga arwah pagi tu. tapi kami gagal menjumpai apa2 di compartment arwah..
.
saya cuba menenangkan diri, membersihkan diri dan bersolat sunat sebentar. kemudian saya bergegas ke bilik syahril bagi mencari penjelasan lanjut. confirm, zum telah menigngal dalam kemalangan di gua musang... saya sendiri tidak dapat menahan air mata saya daripada meleleh keluar..semua kenangan seolah-olah dimain semula di kotak pemikiran saya.
.
PLAN KE KELANTAN
.
lukman dan tan chien liang bergegas ke klia mencari2 jika ada tiket kapal terbang yang masih available. saya menghubungi kakak saya di KB bertanya apa alternatif yang ada untuk ke kelantan pada saat2 akhir. selepas subuh, bilik kami mula dikunjungi sahabat-sahabat lain (sajak, hud, judin, faiz omar, hafizbad, weir etc.) kami berbincang untuk pergi ziarah. akhirnya bilik saya dikunjungi staf mahallah dan beliau memaklumkan kepada saya untuk berbincang dengan asst manager mahallah ali.
.
saya terus ke ofis dan bertanya jika ada kemungkinan untuk pihak uia menyediakan bas atau van. akhirnya, dengan bantuan abg saiful (asst. manager), sebuah bas kecil berjaya didapati. saya terus menghubungi beberapa rakan. dipendekkan cerita, daripada belasan orang yang ingin turut serta, hanya 8 orang sahaja yang confirm dapat bersama ke rumah arwah. terima kasih kerana sudi bersama. (hud, hailme, izwadi, syaf, am, lee, iki, saya). lukman telah pergi dahulu bersama tan chien liang menaiki kereta.
.
PERJALANAN
.
tepat pukul 12, kami bertolak dengan menaiki van ke kelantan. sepanjang perjalanan, ada sahabat2 yang cuba menceriakan sedikit suasana. maklumlah, perjalanan jauh. walaupun kadang-kadang saya turut sama tersenyum dan tergelak, tapi hampir keseluruhan waktu perjalanan saya menahan rasa sedih dan sebak. alhamdulillah kami tiba di rumah arwah dekat2 jam 10 mlm. arwah telah selamat dikebumikan selepas jumaat. kami tidak berkesempatan untuk bersama-sama mengebumikan jenazah.
.
PENERANGAN
.
abang ipar arwah, abg amir, menyambut kami. abg amir menerangkan bagaimana kejadian berlaku..saya juga telah mendapat cerita dari pihak farah sendiri.. memang ada perbezaan dengan apa yang dilaporkan di dada akhbar. sebabnya??? maka inilah yang berlaku:
.
kereta dipandu: perdana v6
bertolak dari uia: lebih kurang 10 lebih(malam)
insan yang terlibat: arwah zumratullah, arwah elyni(adik farah), farah dan ibunya(mummy).
tempat kemalangan: felda chiku 2, gua musang
waktu kemalangan: kurang lebih 3-4 pagi
.
arwah zumratullah memandu dari uia dan berhenti di merapoh untuk makan. ketika ini menurut farah dan mummy, arwah kelihatan pucat. apabila ditanya, arwah hanya menjawab tidak ada ape2. arwah tidak makan apa2 sebaliknya hanya meneguk segelas air suam.
.
perjalanan disambung semula dan arwah masih lagi memandu. kemudian mereka berhenti di sebuah stesen minyak kerana arwah ingin ke toilet. di sinilah kemudiannya merekar bertukar memandangkan farah melihat zum agak ngantuk dan penat. zum meminta izin untuk tidur kerana terlalu mengantuk tetapi arwah elyni mengajak arwah zumratullah berbual2..
.
menurut farah, setelah seketika memandu, farah memang berasa mengantuk dan memang berniat untuk berhenti. namun sudah dicaturkan sebegitu..kejadian berlaku bermula apabila kereta tersebut melanggar tembok jalan dan terbabas ke dalam ladang kelapa sawit. kereta tersebut berpusing2 360 darjah dan berhenti di sebuah batu yang menahan kereta tersebut dari terus berpusing. farah sedar ketika kereta itu sedang berpusing, cuma dia dalam keadaan tertanya-tanya. setelah kereta berhenti, sememangnya tidak ada sape2 lagi dalam kereta. farah memanggil2 mummy, adiknya dan zum. hanya mummy sahaja yang menyahut. farah berusaha keluar dari kereta dan menarik cermin kereta yang sudahpun retak.
.
di luar, farah melihat, arwah adiknya terhimpap di bawah kereta, arwah zum tidak kelihatan dan tidak menyahut. farah berusaha menuju ke jalan raya dan melambai-lambai ke setiap kenderaan yang lalu untuk meminta pertolongan. tiada satu pun kenderaan yang lalu berhenti sehinggalah sebuah kereta dinaiki 5 orang lelaki muda berhenti(menurut abg ipar arwah zum, mereka adalah askar)
.
5 orang insan yang baik hati ini membantu memapah dan mencari arwah zumratullah. ketika ini, farah diberitahu arwah masih hidup lagi. apabila ambulan sampai, mummy dan farah dibawa masuk ke dalam ambulan tetapi tidak arwah zumratullah dan arwah elyna.. pada saat ini, farah mengerti bahawa kedua-duanya sudah kembali ke rahmatullah.(innalillah....)
.
KECEDERAAN
.
arwah zumratullah cedera di kepala. dari luarannya hanya 2 kecederaan yang jelas kelihatan ie bengkak di atas mata sebelah kiri dan luka yang panjang dari atas kepala ke belakang kepala.
.
farah mengalami kecederaan luka seluruh tgn kiri dan separuh lengan sbb tertusuk cermin2 yg ditarik. luka yang dalam di dahi sebelah kanan di bahagian anak rambut. selain itu, kecederaan di pinggang akibat terkene kaca dan sakit2 badan akibat dari hentakan2 semasa kereta berpusing upside down.
.
mummy pula patah tulang bahu belah kiri, lebam2 seluruh badan terutamanya bawah peha kiri yg pecah darah dah terseret kulit. kecederaan di kepala dan tidak boleh bangun sendiri akibat badan yg terhentak2 semasa kereta berpusing..
.
PENGURUSAN JENAZAH
.
arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan rumahnya. sewaktu arwah di hospital gua musang, saya dimaklumkan segala urusan jenazah telah diuruskan oleh en. marzuki (ayah farah). pihak keluarga arwah berbesar hati dan mengucappkan terima kasih...
.
WAKIL
.
saya diamanahkan untuk menyampaikan salam takziah daripada sahabat-sahabat aikol, lawsoc, mrc mahallah ali serta pihak pengurusan mahallah ali. saya turut memaklumkan kepada mak dan ayah arwah bahawa arwah adalah seorang yang sangat baik... tuhan sahaja yang tau macam mana sukarnya saya menahan air mata saya. (ada orang dah pesan supaya saya jangan menangis depan keluarga arwah) kepada sahabat-sahabat yang mengirim sumbangan kepada saya, ayah arwah mengucapkan terima kasih atas sumbangan.ini sahaja yang mampu saya kongsikan.
.
saya berharap penjelasan ini dapat menglakkan kita membuat sebarang tokok tambah, fitnah dan sebagainya. lebih2 lagi sahabat kita sudah tiada.
.
.........................................................
.
Penambahan saya:
.
Saya juga merasa amat terkilan dengan pemergian arwah. Berita mengenai pemergian beliau saya peroleh pagi subuh Jumaat (26.9.08) daripada Luqman. Setelah mendapat sms tersebut, saya terus menelefon Luqman untuk mendapatkan kepastian dan detail mengenai kemalangan tersebut.
.
Setelah mendapat mesej tersebut (dalam percaya & tidak percaya), saya terus memberitahu Halem & Aiman yang sama-sama sedang sibuk menyiapkan assignment PP untuk dihantar pada hari tersebut. Masing-masing terkejut dengan berita tersebut.
.
Saya: Masya-Allah, Zum meninggal dunia weh
.
Halem: Zum Law ke ni?
.
Saya: Ye la, Zumratullah Law la, siapa lagi. Ana baru sangat jumpa dia hari Ahad lepas, kami sama-sama buat assignment sekali.
.
Ya, kali terakhir saya bertemu dengan beliau adalah pada ahad(21.9.08) yang lalu, ketika kami sama-sama menyelesaikan assignment CP di bilik beliau. Pada lewat malam itu, hanya saya dan arwah saja yang masih menyiapkan assignment tersebut, manakala Zukhairi telah tidur setelah menyelesaikannya terlebih awal, dan Luqman pula tidak berada di situ kerana beliau berbincang dengan abe, dolah dan lain-lain di bilik abe.
.
Saya menyiapkan assignment tersebut di compartment Luqman kerana beliau tidak ada di situ. Namun, kadang-kadang saya pergi ke compartment Zum untuk berbincang mengenai beberapa isu yang saya dan kami musykilkan.
.
Arwah memang seorang yang pengemas. Bilik beliau bersih dan rapi. Saya gemar melihat biliknya yang tersusun kemas itu. Buku-buku Laws, fail-fail, nota dan sebagainya tersusun rapi. Di dinding biliknya terlekat bayangan firma yang mungkin diimpi-impikannya selepas tamat pembelajaran beliau nanti. Maklumlah, semester ini merupakan semester terakhir beliau sebelum digelar graduan Undang-undang UIA. Bukan apa, sekadar ingin menceritakan bagaimana beliau sangat bersungguh dalam cita-citanya .... segalanya diterjemahkan melalui persediaan beliau tersebut. Mungkin Zukhairi & Luqman lebih mengetahui hal keadaan beliau daripada saya ... Namun, seperti yang diakui oleh Zukhairi, arwah memang seorang yang sangat baik, jughuh orang klate sebut .... sukar untuk menolak sebarang bantuan yang dipinta, tidak kedekut ilmu dan idea. Pendek kata, saya selaku sahabat yang mengenali beliau selama ini, tidak pernah terguris dengan sebarang tindakan beliau.
.
Aiman: Semuanya dekat untuk Zum. Lepas raya dah nak final, sebulan lagi dia pun dah grad & beberapa hari lagi dah nak raya.
.
Halem: Ermm, apa yang boleh kita ambil dari kejadian ini ialah; kematian itu sangat dekat dengan kita.
.
Saya: Hmm, betul. Kalau tidak berlaku pada Zum, mungkin ia boleh berlaku kepada kita.
.

Wednesday 10 September 2008

DAURAH RAMADHAN: Sambungan tafsir ayat 184 surah al-Baqarah

.
.
Bismillah ...
.
Alhamdulillah, di dalam ayat-ayat sebelum ini, kita telah selesai membincangkan dua bentuk rukhsah bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan dan kewajipan untuk menggantikannya pada hari-hari yang lain.
.
Pada siri DAURAH RAMADHAN kali ini, insyallah kita masih lagi akan menafsirkan ayat 184 ini, tetapi perbincangan kali ini akan memfokuskan kepada beberapa golongan yang juga diberikan rukhsah oleh Allah SWT, di mana Allah SWT berfirman:
.
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
.
“... dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin” ((al-Baqarah: 184))

Tafsir:
.
يُطِيقُونَهُ ... para ulama berpendapat bahawa kalimah ini ditujukan kepada golongan tua, golongan yang uzur yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh, perempuan yang mengandung, ibu yang menyusukan anak dan golongan yang dihimpit kesempitan yang sangat berat.
.
Para ulama berbeza pendapat mengenai kedudukan ayat ini. Ada di antara mereka mengatakan bahawa ia telah dimansukhkan dan sebahagiannya pula berpendapat sebalik. Kita tidak akan membincangkan perkara ini secara detail kerana persoalan ini melibatkan permasalahan lain termasuk ilmu Qiraat dan sebagainya. Kita hanya akan memfokuskan mengenai pendapat para fuqaha berkenaan dengan hukum hakam yang diambil daripadanya sahaja yang lebih praktikal untuk dijadikan panduan beramal di dalam bulan Ramadhan ini. WA

ORANG TUA, PEREMPUAN YANG UZUR DAN ORANG SAKIT YANG TIDAK PUNYA HARAPAN UNTUK SEMBUH:

Para ulama bersepakat membenarkan berbuka puasa ke atas ketiga-tiga golongan yang disebutkan tanpa diwajibkan ke atas mereka untuk menggantikannya di waktu-waktu yang lain. Apa yang diperselisihkan adalah dari segi kewajipan membayar fidyah sahaja.

Jumhur fuqaha termasuk Ibn Abbas berpendapat bahawa mereka diwajibkan membayar fidyah kepada orang miskin pada setiap hari. Manakala Imam Malik pula berpendapat bahawa ia hanya suatu galakan, bukan kewajipan.
.
Termasuk di dalam kategori ini adalah mereka yang bersangatan lapar dan dahaga yang dikhuatiri boleh memudaratkan dirinya sendiri sekiranya puasa diteruskan. Maka dalam hal sebegini, dibenarkan baginya berbuka puasa dan wajib ke atasnya untuk mengqadha’ semula puasa yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain. Keharusannya berdasarkan kepada keumuman ayat 195 surah al-Baqarah yang menyebut:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
.
“Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu di dalam kebinasaan”
.
Begitu juga dengan pekerja yang berhadapan dengan rintangan kerja yang tersangat berat seperti penuai, pembuat roti, pembuat besi, buruh kasar, pekerja di lombong arang batu dan yang seumpamanya .. maka dibenarkan bagi mereka untuk berbuka sekiranya pekerjaan tersebut tidak boleh ditangguhkan. Namun sekiranya penangguhan tersebut tidak memudaratkan, maka berdosa bagi mereka untuk berbuka.
.
Jumhur fuqaha mengatakan, mereka diwajibkan untuk melaksanakan niat puasa di malamnya dan disunatkan untuk bersahur, sekiranya keadaan tersebut berlaku, maka ketika itu diharuskan bagi mereka untuk berbuka dan diwajibkan mengqadha’nya di waktu yang lain.
.
Pendapat ini turut sama disokong oleh Syeikh Muhammad Abduh dan beberapa ulama kontemporari yang lain pada hari ini. WA
.
PEREMPUAN YANG MENGANDUNG DAN IBU MENYUSUKAN ANAK:
.
Para ulama juga tidak berselisih pendapat membenarkan perempuan yang mengandung dan ibu yang menyusukan anak untuk berbuka puasa sekiranya mereka takut[1] sebarang kemudaratan berlaku ke atas diri mereka sendiri ataupun ke atas janin di kandungan serta kekurangan susu badan ke atas bayi-bayi mereka. Akan tetapi, mereka berselisih kepada 4 pendapat mengenai kewajipan ganti rugi yang perlu ditunaikan sekiranya mereka berbuka puasa. Pendapat tersebut adalah seperti berikut:
.
1) Mereka diwajibkan menggantikan puasa dan membayar fidyah kepada seorang miskin pada setiap hari.
.
Pendapat ini dikemukakan oleh Imam Malik, As-Syafi’i dan Ahmad ibn Hambal. Tetapi di kalangan Syafi’iyyah dan Hanabilah, sekiranya kemudaratan tersebut takut berlaku ke atas diri mereka sendiri sahaja, tidak kepada bayi dan janin di dalam kandungan, maka diwajibkan ke atas mereka untuk menggantikan puasa sahaja tanpa membayar sebarang fidyah. Sekiranya kemudaratan itu takut berlaku kepada janin atau bayi mereka, diwajibkan ke atas mereka untuk qadha’ dan membayar fidyah.
.
Di dalam satu pendapat yang lain daripada Imam Malik dan Syafi’iyyah, qadha’ puasa hanya diwajibkan ke atas perempuan yang hamil manakala qadha’ serta fidyah diwajibkan kepada ibu yang menyusukan. WA
.
Sebagai tambahan, mazhab as-Syafi'ie berpendapat perempuan hamil walaupun melalui jalan zina, ibu susu yang diupah atau sukarela untuk menyusukan anak orang lain juga termasuk di dalam kategori wanita yang dibenarkan berbuka. WA
.
2) Diwajibkan menggantikan puasa sahaja.
.
Pendapat ini dikeluarkan oleh Al-Auza’ie, As-Thaury, Imam Abu Hanifah dan sahabatnya (Abu Yusuf dan Muhammad), Abu Thur dan Abu ‘Abid. Mereka mengqiaskan (membandingkan) ganti rugi ini berdasarkan kepada orang yang bermusafir dan sakit seperti yang disebut di dalam ayat yang lalu.
.
3) Diwajibkan membayar fidyah sahaja, tanpa menggantikannya.
.
Pendapat ini berbeza dengan pendapat kedua. Ia merupakan pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Abbas, Ibn Umar, mazhab Ishak dan pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Albani. Pendapat ini berdasarkan kepada fatwa yang dikemukakan oleh Ibn Abbas dan Ibn Umar RA. Ibn Abbas RA ketikamana beliau melihat Ummu Walad yang sedang hamil atau mempunyai anak yang disusukan, beliau berkata:
.
أنت بمنزلة الذي لا يُطيقه، عليك أن تطعمي مكانَ كل يوم مسكينُا، ولا قَضَاء عليك
.
“Kamu termasuk di dalam kategori orang yang tidak berkemampuan dan ke atas kamu kewajipan membayar fidyah seorang miskin pada setiap hari, namun tiada kewajipan untuk kamu menggantikannya” ((Diriwayatkan oleh Daruqutni (2/206) dengan sanad yang sahih))
.
Begitu juga dengan pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Umar RA, bahawa terdapat seorang perempuan hamil bertanya kepada beliau, lalu Ibn Umar mengatakan perkara yang sama seperti yang dikatakan oleh Ibn Abbas RA. ((Diriwayatkan oleh Daruqutni, (2/207) dengan sanad yang sahih))

4) Tidak diwajibkan ke atas mereka untuk mengqadha’ puasa serta fidyah, dan inilah pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Hazm di dalam ((al-Muhalla)).
.
Beliau berpendapat kewajipan mengqadha’ puasa hanyalah tertentu bagi orang yang sakit, orang yang bermusafir, perempuan yang didatangi haid dan nifas serta orang yang muntah dengan sengaja kerana telah thabit(tetap) nas daripada al-Quran dan Hadis yang menyatakan sedemikian.
.
Adapun kewajipan membayar fidyah, menurut beliau tidak terdapat nas serta ijma’ yang berpendapat sedemikian. WA
.
Bersambung ...
............................................................................
.
[1] Kekhuatiran akan berlakunya kemudaratan ini boleh dikenalpasti samada melalui nasihat doktor Muslim yang adil, atau berdasarkan pengalaman diri sendiri dan andaian yang kuat mengenai kemungkinan berlakunya kemudaratan tersebut. WA
.
Rujukan:
.
1) Tafsir al-Qurtubi, Imam al-Qurtubi
2) Tafsir Mujahid, Imam Mujahid al-Makhzumi
3) Fiqh As-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq
4) Sahih Fiqh As-Sunnah, Syeikh Sayyid Salim
5) Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili
6) Al-Iqna’, Imam Khatib As-Sharbini

Sunday 7 September 2008

DAURAH RAMADHAN: Bagaimana dengan Saf Solat kita ..?

Bismillah ....
.
Ini merupakan artikel saya yang lama bertarikh 11.7.2007. Namun saya kembali ulang siarkannya di dalam siri DAURAH RAMADHAN ini kerana ia berkait rapat dengan kesempurnaan ibadah kita sehari-sehari di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga kita beroleh manfaat daripadanya ...
.
............................................................................
.
أَقِيْمُوْا صُفُوفَكم وَتَرَاصُّوا فَإِنِّيْ أرَاكُم مِن وَرَاءِ ظَهْرِيْ

“Dirikanlah saf-saf kamu & rapatkan tumit-tumit di antara kamu. Sesungguhnya aku melihat kamu dari belakangku”[1], perintah nabi SAW pada setiap kali waktu solat kepada para makmum yg berada di belakangnya.
.
“Allahu akbar”, dengan penuh rasa kehinaan, rendah diri, takut & harap kepada Allah SWT… nabi SAW bertakbir memulakan solatnya sebagai imam di hadapan sekalian para sahabat RA.
.
Dalam keadaan saf yg rapat, bahu membahu, tumit bertumit .. semuanya khusu’ menghadapkan wajah masing-masing di hadapan Allah Rabbul Jalil sambil mendengar nasihat, teguran, berita & kisah yang dibacakan oleh nabi SAW di dalam al-Quran. Bergetar hati-hati mereka tatkala mendengar ayat al-Quran dibacakan kepada mereka …
.
.
Mengapa nabi SAW memerintahkan agar makmum merapatkan saf?
.
… Kerana merapatkan saff di dalam solat merupakan salah satu dari kesempurnaan & kecantikan solat berjemaah. Nabi SAW telah bersabda:
.
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ
.
“Rapatkan saff-saff kamu. Sesungguhnya merapatkan saff merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat”[2]
.
Sebagaimana kita dituntut utk melakukan yg terbaik di dalam urusan pekerjaan, di dalam perkara ibadah .. kita juga dituntut untuk melakukan yg demikian. Kita bukan malaikat yg sentiasa istiqamah imannya, bukan juga para anbia' yg sentiasa meningkat darjat keimanannya ... tetapi kita adalah insan biasa yg imannya ada pasang & surutnya serta turun & naiknya. Paginya beriman .. petangnya kufur. Petangnya pula beriman .. siangnya menjadi kufur. Menyedari hakikat ini, marilah kita menyempurnakan ibadah-ibadah kita .. supaya dgn kesempurnaan tersebut ia dpt menutup kelopongan-kelopongan yg ada di dalam amalan kita yg lain. Marilah kita berusaha ke arah itu dgn sebaiknya ....
.
Mengapa nabi SAW memerintahkan agar makmum merapatkan saf?
.
… kerana merapatkan saf dapat menyatukan hati-hati manusia. Kasih sayang & keprihatinan seseorang kpd orang lain boleh terhasil dari sentuhan-sentuhan mereka samada melalui bersalaman tangan, pelukan & ciuman mahabbah, juga saf di dalam solat. Ibu bapa menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak mereka melalui ciuman, dakapan & belain kasih mereka. Begitu juga halnya berlaku di antara suami & isteri.
.
Menunjukkan bahawa di sebalik sentuhan itu terdapat rahsia yg diciptakan oleh Allah SWT dalam membina keharmonian hidup berkasih sayang. Perintah merapatkan saf juga merupakan suatu petanda bahawa agama Islam begitu sekali menuntut agar kehidupan mereka didirikan atas semangat berjamaah (persaudaraan), kesatuan (tidak berpecah belah) & mahabbah (kedamaian) … bukan kesombongan, bangga diri & bersendirian. Tidak kira siapapun dia, bagaimana kedudukan pangkatnya, warna kulitnya & bangsanya … saf perlu tetap dirapatkan.
.
كان رسولُ اللهِ (ص) يَتَخَلَّلُ الصَفَّ مِن ناحيةٍ إلى ناحيةٍ ، يَمْسَحُ صُدورَنَا ومَنَاكِبَنا ويقول: لا تَخْتَلِفُوا فَتَخْتَلِفُ قلوبُكم
.
“Rasulullah SAW berjalan di celah-celah (makmum) dari hujung ke hujung, (kemudian) baginda menyapu dada-dada & tumit-tumit kami, lalu berkata: Jangan kamu berpecah belah, akan berpecah belah hati-hati kamu”[3]

.
Mengapa nabi SAW memerintahkan agar makmum merapatkan saf?
.
… kerana merapatkan saf dapat membantu memberi kekhusukkan ketika solat & menghalang dari dicelahi oleh syaitan. Ketika kita sedang ‘mendirikan’ solat, iblis akan menghantar syaitan-syaitan yg berpangkat 'captain' untuk mengganggu kita supaya kita leka & lalai. Akibat kelalaian & kelekaan kita ketika solat, titile dari ‘mendirikan’ solat akan turun kepada title ‘menunaikan’ solat ......
.
Sebagai perumpamaan, bukankah berbatang-batang mancis yg diikat sukar untuk dipatahkan jika hendak dibandingkan dgn hanya sebatang mancis yg berdiri sendirian? Begitulah keadaannya di dalam solat … kedudukan saf yg rapat memperkuatkan hati-hati kita, mengkhusukkan hati & permikiran kita serta menyukarkan syaitan untuk menodai kita. Tetapi ia tidak berlaku jika kita berjauhan & tidak mahu bahu membahu … dengan kuli syaitan pun kita boleh tertewas.
.
فَوَالذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ إِنِّيْ لَأَرَى الشَيْطانَ يَدْخُلُ مِنْ خَلَلِ الصَّفِّ كأنها الحَذَفُ
.
“.. Demi yg diri aku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku benar-benar melihat syaitan masuk / mencelahi celah-celah saf seolah-seolah seperti al-hazafu”[4]
.
Inilah antara jawapan mengapa kita diperintahkan untuk merapatkan saf di dalam solat. Bukan sekadar makmum, imam juga dituntut agar memberikan peringatan tersebut sebelum solat dimulakan kerana ia merupakan sunnah yang ditunjukkan oleh nabi SAW pada setiap kali hendak memulakan solat .... WA
.
Kesilapan kita orang Melayu
.
Apa yg mendukacitakan … perkara ini tidak dititikberatkan oleh orang Melayu. Sepanjang penilitian saya berada bersama masyarakat Muslim Arab, seperti di UIA, Baitil Haram, Masjid an-Nabawi, Jami’ Umawiyyah, Gami’ al-Azhar & Jami’ah Yarmouk .. saya boleh membuat kesimpulan bahawa sikap ini hanya wujud di kalangan orang Melayu; orang yg sama warna kulit dengan saya, sama bahasa & rupa. Sikap ini tidak wujud pada bangsa saudara se-Islam saya yg lain.
.
Bahkan orang Arab, mereka sanggup menegur orang di sebelahnya jika tumitnya tidak selari dengan tumit orang pada safnya. Malah kadang-kadang ketika solat didirikan .. kalau ada kelopongan atau celahan, ia akan segera diisi oleh mereka atau mereka menarik orang di sebelah mereka supaya kembali merapatkan saf.
.
Namun hal ini jarang terdapat pada orang melayu. Mereka lebih selesa solat berjauhan.. tidak mahu bahu membahu, tumit bertumit. Semakin kita ingin rapat, semakin dia cuba menjauhkan diri. Sehingga jaraknya kadang-kadang boleh diisi oleh seorang budak. Kadang-kadang memang rasa nak tegur. Nak marah pun ada... Kalau macam itu la keadaannya, lebih baik solat seorang diri .. tidak perlu berjemaah.

Mungkin salah satu faktor mengapa kita susah untuk bersatu adalah disebabkan gagalnya kita merapatkan saf di dalam solat. Marilah kita membuat perubahan …. bersama Bahu Membahu

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh”
(as-SAff: 4)
.
Oleh itu, pada bulan Ramadhan yang mulia ini, janganlah kita merugikan peluang solat Tarawih yang dikhususkan di dalam bulan ini dicemarkan oleh kesilapan kecil seumpama ini.
.
Rapatkanlah saff kerana kesempurnaannya ada di situ ..... Wallahu a'lam.
.
.
.
.
............................
.
[1] Hadis riwayat Bukhari (2/174) & Muslim (434), juga disebut di dalam Riyadus Soliheen (2/1088).
.
[2] Hadis riwayat Bukhori (3/150) & Muslim (2/427). Guru kami, Syeikh Dr. Mustapha al-Bugho menyatakan bahawa hadis ini merupakan satu tuntutan untuk merapatkan saf kerana ia menunjukkan kepada kecantikan dan kesempurnaan solat serta mempersatukan hati-hati mereka yg mendirikan solat.((Nuzhatul Muttaqin (2/51)))

[3] Riwayat Abu Daud (664) dengan sanad yg Hasan.

[4] Hadis Sahih riwayat Abu Daud (667) dengan sanad mengikut syarat Muslim. ‘Al-Hazafu’ adalah kambing hitam yg kecil yg berada di sebelah kanan.

Friday 5 September 2008

DAURAH RAMADHAN: Tafsir ayat 184 surah al-Baqarah berkenaan dengan MUSAFIR (PENDETAILAN)

.
.
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
.
“Maka Barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau bermusafir (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain” (al-Baqarah: 184)
.
Alhamdulillah, pada siri DAURAH RAMADHAN yang lalu, kita telah diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk sama-sama menafsirkan SAKIT sebagai salah satu faktor yang dibenarkan oleh syara’ untuk berbuka ketika sedang berpuasa Ramadhan.
.
Insyallah pada hari ini, kita akan cuba membincangkan rukhsah (kelonggaran) kedua pula yang disebut di dalam ayat 184 surah al-Baqarah ini, iaitu MUSAFIR.
.
أَوْ عَلَى سَفَرٍ
.
Sesungguhnya tidak ada perselisihan di kalangan ulama salaf dan khalaf berkenaan dengan keharusan berbuka puasa bagi sesiapa yang berada di dalam musafir kerana ia jelas dibenarkan di dalam al-Quran melalui ayat ini. Tetapi apa yang diperselisihkan adalah mengenai keharusan berpuasa ketika sedang berada di dalam permusafiran.
.
APAKAH YANG LEBIH AFDHAL KETIKA BERMUSAFIR; BERPUASA ATAU BERBUKA?
.
Menjawab persoalan ini, berpegang kepada zahir ayat 184 surah al-Baqarah ini, segelintir daripada kalangan ulama berpendapat bahawa, tidak diterima puasa barangsiapa yang berada di dalam keadaan musafir, bahkan mereka diwajibkan untuk menggantikannya (qadha’) sekiranya mereka berpuasa. Pendapat ini dipegang oleh segelintir dari kalangan salaf seperti Abu Hurairah, Daud, Al-Imamiah dan inilah pendapat sebahagian mazhab ahli zahir.
.
Imam Abu Hanifah, Malik dan As-Syafi’i pula berpendapat bahawa berpuasa itu lebih baik bagi sesiapa yang berkemampuan dan tidak menghadapi sebarang rintangan di dalam musafir, dengan syarat dia tidak menolak keharusan berbuka itu sebagai suatu rukhsah. Inilah juga pendapat yang dipegang oleh Anas ibn Malik dan Uthman ibn Abil ‘Ash.
.
Manakala Imam Al-Auza’ie, Ahmad dan Ishak pula berpendapat bahawa berbuka itu adalah lebih baik walaupun tanpa rintangan, kerana beramal dengan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ibn Abbas dan Ibn Umar juga berpendapat sedemikian.
.
Seterusnya adalah pendapat daripada Umar ibn Abdul Aziz dan disokong pula oleh Ibn Munzir, mereka berpendapat bahawa keafdhaliannya mengikut apa yang mudah di sisi orang yang bermusafir itu. Barangsiapa yang mudah baginya untuk berbuka tetapi sukar untuk menggantikannya, maka digalakkan untuknya agar berpuasa. Bahkan sebahagian daripada ulama ada yang mengatakan bahawa ia bebas kepada orang yang bermusafir untuk memilih di antara keduanya tanpa sebarang pensyaratan. WA
.
Kesimpulannya, anda tidak perlu merasa malu dan aib sekiranya anda memilih untuk berbuka ketika bermusafir, kerana Rasulullah SAW dan para sahabat juga pernah melakukannya. Ia merupakan rukhsah yang Allah SWT anugerahkan kepada hambaNya.
.
Daripada Aisyah RA, bahawasanya Hamzah ibn Amrin al-Aslami bertanya kepada nabi SAW: Adakah aku perlu berpuasa ketika sedang bermusafir (beliau merupakan orang yang banyak berpuasa)? Sabda Rasulullah SAW:
.
إن شئت فصم وإن شئت فأفطر
.
"Jika kamu ingin berpuasa, maka berpuasalah. Dan jika kamu ingin berbuka, maka berbukalah" ((Bukhari, 1943 & Muslim, 1121))
.
Sepertimana yang disebut di dalam Bukhari dan Muslim daripada Anas ibn Malik RA, beliau berkata: Kami bermusafir bersama Rasulullah SAW di dalam bulan Ramadhan. Sebahagian daripada kami berpuasa, dan sebahagiannya tidak.
.
فلا يعيب الصائم على المفطر ولا المفطر على الصائم
.
"Orang yang berpuasa tidak mengaibkan yang berbuka, dan yang berbuka tidak mengaibkan yang berpuasa" ((Bukhari, 1947 & Muslim, 92/1115))
.
JARAK MUSAFIR YANG DIBENARKAN BERBUKA
.
Ibn Hajar menyebut di dalam ((Fathul Bari)), Ibn Munzir mengatakan bahawa di sana terdapat 20 pendapat mengenai jarak minimum yang dibenarkan solat Qasar, di antaranya:
.
1. Imam Abu Hanifah, al-Kufiyyun, Uthman, Ibn Mas’ud dan Huzaifah berpendapat bahawa minimum jarak musafir yang dibenarkan untuk berbuka adalah sejauh 3 marhalah, dan tidak sah solat qasar dan berbuka kurang daripada jarak tersebut.
.
2. Malikiah, Syafi’iyyah , Hanabilah, Al-Laith, Al-Auza’ie dan para fuqaha di kalangan ahli hadith pula berpendapat bahawa jarak minimum yang dibenarkan untuk qasar dan berbuka adalah sejauh 2 marhalah, iaitu lebih kurang 89 km.
.
3. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa, selagi mana ia tidak pulang ke kampungnya, maka ia dianggap musafir. Lalu dibolehkan baginya qasar dan berbuka puasa. Di dalam ((Nasbur Rayah)) disebutkan bahawa ketika baginda SAW keluar berjihad di dalam satu peperangan*, baginda mengqasarkan solatnya melebihi daripada sepuluh hari (ada riwayat yg menyebut 19 hari, ada 18 dan 17). WA
.
4. Tidak ketinggalan juga, ada yang berpendapat bahawa minimum jarak untuk qasar dan berbuka puasa adalah sejauh satu Mil** (lebih kurang 6 km) kerana Rasulullah SAW pernah mengqasarkan solat setelah bermusafir sejauh 6 km. ((Hadis daripada Abu Sa'id al-Khudri yang diriwayatkan oleh Sa'id ibn Mansur, dan telah berkata al-Hafiz di dalam at-Talkhis dan beliau menerimanya)), dan inilah pendapat yang dipegang oleh Ibn Hazm.
.
Akan tetapi, kebanyakkan daripada kalangan muhaqqiqun (ulama yang membuat kajian detail) seperti Imam Ibn Taimiah, Ibn Qayyim, ulama Salaf daripada Hijaz, Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Sayyid Salim dan sebagainya mengatakan bahawa tiada satupun dalil yang jelas lagi sahih yang menjelaskan secara spesifik akan jarak sebenar dibenarkan solat qasar bagi musafir, keharusannya tiada langsung ditetapkan dengan masa dan jarak, bahkan kebenarannya dibenarkan secara mutlak (jarak yang pendek atau panjang) bagi setiap perjalanan yang dianggap oleh uruf sebagai musafir. WA
.
WAKTU DIBENARKAN BERBUKA BAGI ORANG YANG BERMUSAFIR
.
Para ulama sepakat membenarkan berbuka puasa bagi yang bermusafir sekiranya ia bermusafir sebelum terbit fajar dengan niat untuk berbuka.
.
Tetapi mereka berselisih pendapat sekiranya perjalanan itu bermula setelah terbitnya fajar:
.
1. Imam Abu Hanifah, Malik, As-Syafi’ie dan satu riwayat daripada Ahmad tidak membenarkan berbuka puasa setelah memulakan perjalanan selepas terbitnya fajar. Akan tetapi, sekiranya di dalam musafir itu terdapat rintangan yang berat yang tidak mampu ditanggung secara adat, maka dibenarkan untuk berbuka dan wajib ke atasnya untuk menggantikannya kemudian.
.
2. Satu riwayat daripada Ahmad, Ishak, Hasan al-Basri dan pendapat yang dipilih oleh Ibn Taimiah membenarkan berbuka puasa dalam keadaan demikian berdasarkan kepada keumuman ayat 184 surah al-Baqarah ini, dan beberapa hadis nabi SAW di antaranya seperti yang diriwayatkan oleh Jabir ketika nabi SAW bermusafir pada tahun pembukaan Mekah, di mana nabi SAW meminum sebuah bekas berisi air dan manusia sedang memperhatikannya. Hal itu berlaku selepas solat Asar. ((Bukhari, no. 1948))
.
QADHA’ PUASA YANG DITINGGALKAN:
.
فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ..
.
“..maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain”
.
Ayat ini mewajibkan qadha’ bagi sesiapa yang memilih kedua-dua rukhsah yang dinyatakan sebelumnya. Kewajipan menggantikan puasa yang ditinggalkan di dalam bulan Ramadhan itu tidaklah disyaratkan agar ia disegerakan selepas berakhirnya bulan Ramadhan, walaupun ia mampu melaksanakannya dalam keadaan segera, bahkan ia boleh diganti pada bila-bila masa pada waktu yang dibenarkan oleh syara’. Ia berlandaskan daripada apa yang dilakukan oleh Aisyah RA yang mana beliau menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Sya’ban pada tahun yang berikutnya. ((Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dan Ahmad)).
.
Kewajipan menggantikannya seperti kewajipan menunaikannya di dalam bulan Ramadhan, iaitu ia perlu menggantikan hari-hari yang ditinggalkan sahaja tanpa perlu menambahkannya dengan beberapa hari lagi, kerana tidak ada nas yang menetapkan sedemikian. Cuma, perbezaan di antara puasa qadha’ dan puasa tunai adalah, puasa qadha’ tidak diwajibkan dilaksanakan secara berturut-turut.
.
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
.
Iaitu, barangsiapa yang sakit atau bermusafir, dibenarkan baginya berbuka dan menqadha’ kembali puasa yang ditinggalkan tersebut pada hari-hari yang lain, secara berturut-turut ataupun tidak. Bahkan tidak disebut di dalam ayat ini mahupun hadis nabi SAW yang mewajibkan puasa qadha’ tersebut dilaksanakan secara berturut-turut. Diriwayatkan daripada Daruqutni daripada Ibn Umar RA bahawasanya nabi SAW bersabda berkenaan dengan qadha’ puasa Ramadhan, sabdanya:
.
إن شاء فرق وإن شاء تابع
.
“Sekiranya kamu ingin menqadhanya secara berasingan, maka asingkanlah ia. Dan sekiranya kamu ingin melakukannya secara berturut-turut, maka lakukanlah secara berturut-turut”.
.
Para ulama berselisih pendapat sekiranya puasa qadha’ itu dilakukan setelah bertemunya Ramadhan yang baru. Jumhur fuqaha tidak membenarkan puasa qadha’ itu dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan yang baru tersebut. Berbeza dengan Abu Hanifah, ia boleh dilakukan di dalam bulan tersebut sekiranya ia tidak berpuasa di dalam bulan Ramadhan yang baru itu disebabkan oleh berbuka kerana bermusafir. WA
.
Mereka juga berselisih pendapat mengenai denda yang dikenakan ke atas mereka yang menggantikannya setelah tiba bulan Ramadhan yang baru. Mazhab Hanafi dan Hasan al-Basri berpendapat bahawa mereka diwajibkan menggantikannya sahaja selepas habis bulan Ramadhan tersebut tanpa diwajibkan membayar sebarang fidyah, samada tertangguh disebabkan oleh keuzuran ataupun tidak.
.
Malikiah, Syafi’iyyah, Hanabilah dan Ishak sependapat dengan Hanafiah pada menyatakan tidak wajib membayar fidyah sekiranya penangguhan itu disebabkan oleh keuzuran. Namun mereka berselisih pendapat sekiranya ia tertangguh tanpa sebarang sebab keuzuran, maka Malikiah, Syafi’iyyah, Hanabilah dan Ishak mewajibkan puasa tersebut digantikan bersama-sama dengan fidyah. WA
.
KESIMPULAN:
.
Sesungguhnya semua pendapat yang dikemukakan adalah benar. Kesemua pendapat yang dikemukakan mempunyai alasan dan dalil tersendiri samada secara ‘aqli ataupun naqli. Selagi mana ia termasuk di dalam daerah zhonniyyah, maka selagi itulah tiada seorangpun boleh mengatakan pendapatnya benar dan pendapat yang lain salah. Kaedah Fiqhiyyah ada menyebut:
.
الإجتهاد لا ينقض بالإجتهاد
.
"Satu pendapat itu tidak boleh memansukhkan pendapat yang lain"
.
Oleh itu, tanggapilah perbezaan pendapat tersebut dengan hati yang terbuka tanpa sebarang unsur ta’assub, samada anda cenderung kepada manhaj Salaf mahupun Khalaf. Sesungguhnya Allah sengaja membiarkan berlakunya perbezaan itu sebagai rahmat, tetapi mengapa kita mahu menjadikannya sebagai bahan percakaran. Justeru, lihatlah segala perselisihan itu dengan rendah diri dan menginsafi betapa luasnya khazanah Islam itu ... WA
.
Bersambung ...
.
.......................................................
.
* Maaf, saya tidak boleh memberikan secara spesifik nama peperangan tersebut kerana terlupa. Untuk lebih lanjut, sila rujuk ((Nasbur Rayah)), kitab yang mengumpulkan hadis-hadis ((Hidayah)) dalam mazhab Hanafi. WA
.
** 2 marhalah(89 km) bersamaan 4 Barid. 1 Barid bersamaan 4 Farsakh. Satu Farsakh pula bersamaan 3 Mil. Jadi, dua marhalah bersamaan 48 Mil
.
Rujukan:
.
1) Tafsir Zadul Maseer, Ibnul Jauzi
2) Fathul Qadir, As-Shaukani
3) Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili
4) Fiqh az-Zakat wa As-Siyam, Imam Ibn Taimiah
5) Fiqh As-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq
6) Nailur Authar, As-Shaukani
7) Sahih Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Salim
8) Taudheh al-Ahkam, Syeikh Abdul Rahman Al-Bassam

Wednesday 3 September 2008

DAURAH RAMADHAN: Tafsir ayat 184 surah al-Baqarah berkaitan SAKIT (PENDETAILAN)

.
.
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
.
“Dalam beberapa hari yang tertentu. Maka Barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau bermusafir (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui” (al-Baqarah: 184)
.
TAFSIR:
.
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ
.
“Dalam beberapa hari yang tertentu”
.
Para ulama berselisih pendapat mengenai makna ayat ini kepada dua pendapat yang utama:
.
1. Ayat ini tidak ditujukan untuk bulan Ramadhan. Ia merupakan pendapat daripada Mu’az, Qatadah dan ‘Atha’ daripada Ibn Abbas RA. Berkenaan dengan pendapat pertama ini, juga terdapat perselisihan di kalangan ulama kepada dua pendapat:
.
a) Bahawasanya ayat ini menunjukkan kepada kewajipan puasa selama tiga hari pada setiap bulan, iaitulah pendapat daripada ‘Atha’.
.
b) Qatadah pula berpendapat bahawasanya ayat ini menunjukkan kepada kewajipan puasa sebanyak tiga hari setiap bulan dan sehari puasa pada hari ‘Asyura.
.
Perselisihan juga berlaku berkenaan dengan ayat ini di mana sebahagian dari kalangan ulama mengatakan bahawa ia hanya sunat dilakukan di peringkat awal dan bertukar menjadi wajib kemudiannya. Sebahagian yang lain pula mengatakan bahawa puasa tersebut adalah puasa yang wajib dan ia telah dimansukhkan(ditukar) dengan puasa Ramadhan. WA
.
2. Pendapat kedua merupakan pendapat jumhur (kebanyakkan) ulama di antaranya Ibn Abbas, Hasan al-Basri, Abu Muslim dan selainnya. Mereka berpendapat bahawa ayat ini menerangkan tentang bulan Ramadhan. Dalil mereka adalah:
.
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ
.
“Diwajibkan ke atas kamu puasa”
.
Ayat ini mempunyai pelbagai persoalan atau tanda tanya kerana ia tidak menerangkan secara spesifik bilangan hari yang diwajibkan berpuasa.
.
Kemudian diturunkan pula ayat أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ untuk menjelaskan lagi ayat sebelumnya itu, iaitu kewajipan berpuasa bukanlah sehari tetapi mencakupi beberapa hari.
.
Tetapi, ia masih lagi tidak spesifik kerana kalimah مَعْدُودَاتٍ tidak dapat menggambarkan lagi berapakah bilangan sebenar hari yang diwajibkan berpusa.
.
Akhirnya turunlah ayat terakhir ini, iaitu شَهْرُ رَمَضَانَ الذى أُنزِلَ فِيهِ القرآن di mana kalimah شَهْرُ رَمَضَانَ dapat menggambarkan kepada mereka berapakah bilangan sebenar hari yang diwajibkan berpuasa bagi mereka, samada 29 atau 30 hari.
.
KEADAAN YANG MEMBOLEHKAN SESEORANG BERBUKA PUASA: (1) SAKIT
.
Allah SWT memulakan ayat yang mewajibkan berpuasa ini dengan seruan kepada orang-orang yang beriman. Berkenaan dengan syarat-syarat sahnya iman seseorang, para ulama menetapkan beberapa syarat kepada seseorang iaitu: Islam, baligh (telah bermimpi atau tumbuh bulu ari-ari) dan berakal.
.
Justeru, seseorang yang mempunyai ketiga-tiga syarat ini, maka menjadi kewajipan kepada mereka untuk berpuasa di bulan Ramadhan seperti mana yang diperintahkan. Akan tetapi, di sana terdapat beberapa pengecualian berhubung dengan kewajipan berpuasa ini. Pengecualiannya dapat difahami melalui firman Allah SWT di dalam ayat di bawah ini:
.
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا.. فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
.
“Maka barangsiapa diantara kamu ada yang sakit .. (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain”
.
Daripada ayat ini, kita dapat fahami bahawa sakit merupakan salah satu faktor yang membenarkan seseorang untuk berbuka. Pengarang kitab ((Al-Masobihul Muneer)) mendefinasikan 'Sakit' itu sebagai, "Setiap sesuatu yang mengeluarkan seseorang daripada batas kesihatan disebabkan oleh sebab ('illah)".
.
Namun begitu, para ulama mengatakan bahawa ia tidak boleh difahami secara literal, di mana bukan semua keadaan sakit yang dibenarkan oleh syara' untuk berbuka.
.
Secara umumnya, ukuran sakit yang diharuskan untuk berbuka adalah:
.
"Puasa tersebut memberikan kepayahan dan kesempitan(masyaqqah) yang bersangatan atau dikhuatiri dengan puasa tersebut boleh menyumbang kepada kecelakaan(ie: mati), ataupun dikhuatiri dengan puasa itu akan menambahkan lagi kesakitan sehingga melambatkan proses penyembuhan".
.
Di dalam kitab ((Al-Majmu')), ((Ash-Syarhul Mumti')), ((Mughni libnil Qudamah)) dan ((Qawanin Fiqhiyyah)), para ulama membahagikan keadaan sakit itu kepada beberapa keadaan:
.
(1) Sekiranya sakitnya bertambah serius, dan berpuasa pula membebankan dirinya tetapi ia tidak mendatangkan mudarat kepada dirinya, maka ia digalakkan untuk berbuka dan dimakruhkan baginya puasa. Kemudaratannya dapat diketahui samada melalui pemeriksaan doktor (muslim, dipercayai dan adil), pengalaman diri sendiri (bagi yang sudah beberapa kali menghadapi kesakitan tersebut). WA
.
(2) Sekiranya puasa itu sangat membebankannya dan menyebabkan mudarat yang boleh membawa kepada kecelakaan seperti bersangatan lapar dan dahaga (mungkin kerana terlepas sahur atau buruh perumahan yang terdedah dengan terik matahari yang sangat panas & yang seumpamanya). Dalam keadaan begini, diharamkan baginya berpuasa walaupun dia bukan bermusafir, kerana berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:
.
وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ
.
“Janganlah kamu membunuh dirimu sendiri” ((An-Nisa’: 29))
.
Pendapat ke-2 ini tidak disokong oleh Imam Muhammad Abu Zahrah di dalam Fatawanya ((Fatawa Abu Zahrah)) kerana menurutnya, rukhsah untuk berbuka mestilah apa yang thabit(ditetapkan) di dalam al-Quran dan hadis sahaja.
.
Bagi orang sakit yang ingin berbuka, wajib baginya berniat rukhsah untuk berbuka dan berdosa sekiranya niat tersebut tidak dilakukan. Ini adalah pendapat yang dikeluarkan oleh mazhab as-Syafi'i, tetapi jumhur fuqaha tidak menetapkan sedemikian. WA
.
Namun, sekiranya kesakitan itu tidak membahayakan seperti batuk-batuk ringan, bisul, kudis, sakit gigi dan selsema, serta dengan berpuasa pula, ia tidak memudaratkan kesakitannya, maka tidak dibenarkan baginya berbuka.
.
Namun, sepertimana yang disebut di dalam ((al-Mughni)), sebahagian ulama salaf, Atha', ahli zahir, ibn sirin dan Imam Bukhari .. mereka membenarkan berbuka dalam apa jua bentuk kesakitan walaupun sekadar sakit gigi, bisul dan apa-apa kesakitan seperti yang disebutkan di atas, berlandaskan kepada keumuman ayat 184 Surah al-Baqarah ini.
.
Namun menurut Syeikh Sayyid Sabiq, pendapat yang lebih tepat (sahih, rajih) adalah tidak membenarkan, dan inilah pendapat yang dipegang oleh jumhur fuqaha.
.
Bagaimana pula dengan orang yang uzur, ibu yang sedang hamil dan menyusukan anak, apakah syara’ membenarkan bagi mereka untuk berbuka ...?
.
Bersambung ...
.
.................................................
.
Rujukan:
.
1. Fathul Qadir, As-Shaukani
2. Zadul Maseer, Ibnul Jauzi
3. Fiqh al-Islami Wa Adillatih, Syeikh Wahbah az-Zuhaili
4. Sahih Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Salim
5. Fiqh as-Sunnah, Syiekh Sayyid Sabiq
6. Mughni Muhtaj, Imam Khatib as-Syarbini
7. Fatawa Abu Zahrah, Imam Muhammad Abu Zahrah

DAURAH RAMADHAN: Niat Puasa Ramadhan (PENAMBAHAN)

.

.
Daripada Hafsah RA, bahawasanya nabi SAW telah bersabda:

مَنْ لَمْ يُبَيِّتْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ

“Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar, maka tiada puasa baginya” ((Riwayat Abu Daud, 2454 dengan sanad yang sahih))
.
Berdasarkan kepada hadis ini, para ulama mengatakan bahawa niat puasa wajib dilakukan pada malam hari di antara terbenamnya matahari (selepas azan maghrib) sehinggalah terbitnya fajar (sebelum azan subuh). Tidak sah puasa Ramadhan sekiranya niat dilakukan pada siang hari selepas terbitnya fajar, kecuali puasa sunat (kecuali Malik, al-Laith, Ibn Hazm & As-Syaukani). WA
.
Akan tetapi, mereka berselisih pendapat mengenai hadis ini dalam dua perkara:
.
a) Adakah disyaratkan niat puasa Ramadhan itu wajib dita’yeenkan (atau disebut secara spesifik) ataupun memadai dengan niat secara mutlak?
.
b) Adakah niat tersebut wajib diulangi pada setiap hari atau cukup sekadar sekali sehari sebelum bermulanya puasa Ramadhan?
.
Perbincangan (a):
.
1. Diwajibkan menta’yeen niat puasa Ramadhan samada ia puasa tunai, puasa qadha, puasa nazar dan puasa kaffarah, dan tidak sah puasa sekiranya elemen ini tidak disempurnakan ketika berniat. Pendapat ini dipegang oleh Malikiyyah, Syafi’iyyah, dan Hanabilah. Pandangan ini bersandarkan kepada hadis:
.
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
.
“Sesungguhnya setiap perbuatan itu semata-mata bergantung dengan niat dan sesungguhnya setiap orang itu berdasarkan apa yang diniatkannya” ((Bukhari, no. 1))
.
Fungsi niat adalah untuk membezakan di antara adat dan ibadah. Oleh itu, sesiapa yang berpuasa tetapi tidak berniat, puasanya hanyalah adat bukan ibadah. Kewajipan menta’yeenkan niat itu berdasarkan kepada lafaz:
.
وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
.
“Dan sesungguhnya setiap orang itu berdasarkan apa yang diniatkannya”
.
Yang dimaksudkan dengan ta’yeen ini adalah seperti, “Sahaja aku berpuasa Ramadhan esok hari pada tahun ini kerana Allah ta’ala”. WA
.
2. Tidak diwajibkan menta’yeenkan niat kecuali untuk puasa qadha Ramadhan, kaffarah, nazar mutlak dan seumpamanya. Contoh-contoh yang disebutkan ini diwajibkan menta’yeenkan niat ke atasnya. Pendapat ini dipegang oleh mazhab Abu Hanifah. WA
.
3. Pendapat yang lain mengatakan mutlak niat sudah mencukupi tidak kira dalam apa jua jenis puasa .. samada tunai, qadha', nazar, kaffarah dan sebagainya. Bahkan segelintir ulama mengatakan bahawa, perbuatan bangun sahur itupun sudah memadai untuk membuktikan niat seseorang untuk berpuasa di siang harinya, ataupun melalui percakapan contohnya apabila beliau ditanya, “Beli makanan apa tu?”. Beliau menjawab, “Beli makanan untuk sahur untuk puasa esok”. WA
.
Perbincangan (b):
.
1. Diwajibkan berniat pada setiap malam daripada malam-malam Ramadhan berdasarkan kepada keumuman hadis Hafsah di atas, dan kerana setiap hari itu adalah hari yang tersendiri yang tidak mengikat di antara satu sama lain dan tidak membatalkan di antara satu sama lain. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama di kalangan Hanafiah, Syafi’iyyah dan Hanabilah. WA
.
2. Zufar, Malik dan satu riwayat daripada Ahmad berpendapat bahawa memadai sebulan berpuasa di bulan Ramadhan dengan niat yang satu tanpa mengulanginya pada tiap-tiap malamnya, selagimana ia tidak terputus dengan perkara-perkara lain seperti musafir, sakit, atau dalam keadaan yang membolehkannya berbuka seperti kedatangan haid, nifas, wiladah dan sebagainya. Maka sekiranya keadaan ini berlaku, niat puasa wajib diperbaharui selepasnya. Pendapat ini berdasarkan kepada keumuman hadis Umar RA berkenaan dengan niat. WA
.
Masalah:
.
Sekiranya seseorang itu tertidur dan dia belum menunaikan solat Isyak, kemudian dia bangun menunaikan solat Isyak pada saat-saat hampirnya azan subuh. Ketika di dalam solat, dia teringat bahawa dia belum lagi berniat puasa Ramadhan. Sekiranya dia memutuskan solatnya, azan subuh hampir dilaungkan. Sekiranya dia meneruskan solat, dia tidak dapat berniat puasa. Oleh itu, adakah boleh sekiranya dia berniat puasa ketika sedang mendirikan solat isyak tersebut?
.
Imam As-Suyuti memfatwakan di dalam fatwanya ((Al-Hawi Lil Fatawa)) dengan menyatakan: "Tidak dibenarkan baginya memutuskan solatnya dan meninggalkan niat puasanya, tetapi diwajibkan ke atasnya berniat puasa ketika berada di dalam solat. Solatnya sah dan niatnya diterima".
.
Niat itu tempatnya di hati, bukan pada lafaz. Oleh itu, tidak cukup melafazkan niat sekiranya ia tidak diiringi oleh hati. WA
.
Kesimpulan:
.
Kesemua pendapat benar belaka, tidak ada yang salah. Selamat meneruskan puasa.
.
…………………………………………
.
Rujukan:
.
1. Hasyiah Syarqawi, Syeikh Zakaria al-Ansori
2. Fiqh al-Manhaji, Syeikh Mustapha al-Bugho dan Mustapha al-Khin
3. Sahih Fiqh as-Sunnah, Syeikh Sayyid Salim
4. Taudheh al-Ahkam, Syeikh Abdullah Ibn Abdul Rahman al-Bassam
5. Al-Hawi Lil Fatawa, Imam As-Suyuti

Monday 1 September 2008

DAURAH RAMADHAN: Tafsir ayat 183 surah al-Baqarah (Edit)

.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa” (al-Baqarah: 183)
.
TAFSIR:
.
Sesungguhnya Allah SWT memulakan ayat ini dengan seruan يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا. Menunjukkan di sana ada berita penting yang ingin Allah SWT sampaikan kepada kita dengan harapan supaya kita mengambil perhatian mengenainya.
.
Samalah seperti seseorang yang ingin mencuri perhatian sahabatnya sebelum beliau menceritakan sesuatu perkara penting kepadanya, selalunya beliau akan memanggil namanya untuk menunjukkan bahawa ada perkara penting yang ingin beliau khabarkan.
.
Ketika zaman Rasulullah SAW, ketika mana-mana ayat yang diturunkan kepada Muhammad SAW dimulakan dengan lafaz an-nida' (seruan) ini, para sahabat akan memberikan tumpuan ketika ia dibacakan kerana mereka tahu bahawa terdapat perintah baru yang ingin disampaikan oleh Allah SWT khusus buat mereka, contohnya seperti ayat ini. Begitu juga dengan orang-orang mukmin selepasnya, apabila mereka membaca ayat-ayat seumpama ini ... mereka harus sedar bahawa 'khitab' tersebut ditujukan buat mereka juga yang mana ada perkara yang tersangat penting yang disampaikan yang perlu mereka amati samada ia berupa perintah untuk melaksanakan atau perintah untuk meninggalkan.
.
Selepas Allah SWT menyeru perhatian seluruh orang-orang yang beriman, kemudian barulah Ia menceritakan apakah sebenarnya perkara penting yang ingin Ia sampaikan. Maka perhatikanlah ayat selepasnya ..
.
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ
.
"Diwajibkan ke atas kamu berpuasa", inilah perkara penting yang ingin Allah SWT sampaikan kepada kita, iaitu perintah untuk berpuasa.
.
Apakah yang dimaksudkan dengan الصِّيَامُ itu?
.
الصِّيَامُ dari sudut bahasa disebut berhenti. Maknanya berhenti daripada bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Ada juga yang mengertikannya sebagai diam, iaitu diam daripada percakapan. Sesuai dengan maksudnya dari istilah syara’, di mana puasa menuntut kita untuk berhenti dan diam daripada makan dan minum, serta apa jua jenis perbuatan yang boleh membatalkan puasa sejak dari terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari.
.
Waktu setelah terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari ini adalah waktu pantang untuk kita, di mana kita dituntut untuk berpantang dari apa jua perkara yang boleh memudharatkan sahnya puasa kita. Sama seperti pantang yang ditetapkan oleh doktor, sekiranya ia tidak diikuti, maka penyakit yang kita alami tidak akan sembuh ...Begitulah halnya dengan puasa, sekiranya kita tidak menjaga pantang yang ditetapkan oleh syara' ini, maka puasa kita akan terbatal dan menjadi sia-sia ...
.
Antara pantang-pantang dalam berpuasa ini ialah, tidak boleh makan dan minum. Walaupun sedikit yang kita minum dan makan, asalkan ia dilakukan dengan sengaja ... bermakna kita telah melanggari pantang yang ditetapkan.
.
Orang yang sakit pun kadang-kadang diminta untuk tidak makan dan minum sehari sebelum ia menjalani pembedahan. Kita pun diperintah perkara yang sama juga, tidak boleh makan minum pada waktu-waktu tertentu. Jadi apa beza puasa orang sakit dengan puasa yang Allah perintahkan ini?
.
Maka dengan sebab itu, yang membezakannya adalah dengan niat. Niat yang membezakan antara adat, azam dan ibadat. Niat yang membezakan antara kerja harus dengan kerja sunnah(ibadah). Niat yang membezakan antara perbuatan berpahala dan perbuatan kosong. Jadi, kita dituntut untuk berniat supaya puasa yang kita laksanakan ini tidak seperti puasa orang yang sakit di hospital. Kalau tidak, puasa kita menjadi sia-sia. Berniat ini siapa yang suruh? Allah SWT yang suruh melalui posman Dia, Muhammad SAW. Nabi SAW bersabda di dalam sebuah hadis:
.
"Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbitnya fajar, maka tiada puasa baginya" ((Hadis sahih menurut Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban))*
.
Di dalam ayat ini, kewajipan berpuasa dapat difahami dengan penggunaan kalimah كُتِبَ yang membawa maksud ((difardhukan)).
.
Semua orang tahu bila baca ayat ini, ia menunjukkan kepada kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Tiada seorangpun di kalangan umat Islam yang menafikan ayat ini menunjukkan kepada kefardhuan puasa. Tetapi apabila sampai kepada ayat yang menyebut mengenai hukum Qisas (ayat 178 surah al-Baqarah), mengapa ada di kalangan kita yang menolaknya sedangkan kalimah كُتِبَ juga digunakan pada ayat tersebut bagi menunjukkan kefardhuannya dan kewajipan beriman dan melaksanakannya di dalam negara.
.
Yang peliknya, selalunya mereka yang menolaknya ada dari kalangan pemerintah sendiri, bukan orang lain. Sepatutnya mereka perlu menyokong undang-undang sebegini untuk memelihara keselamatan rakyat, tetapi mereka pula yang menolaknya. Rakyat yang bagaimana yang ingin mereka pelihara, yang jahat atau baik?
.
"Tempoyak bukannya sedap ...", kata orang yang tidak gemar dengan tempoyak.
.
"Mana hang tahu tak sedap, dah cuba ke belum?", penggila tempoyak mempertahankan gulai tempoyak.
.
"Kalau tak pernah cuba, hang diam-diam sudah. Jangan halang orang lain nak makan. Biaq hang rugi sorang-sorang", pukulan kedua buat mamat pembenci tempoyak.
.
Apakah mereka pernah mencuba untuk melaksanakan undang-undang ini sebelum menolaknya? Cuba dahulu, kemudian baru boleh memberikan pandangan. Selagi mana mereka belum mencubanya, bak kata penggila tempoyak tadi, "Hang diam-diam sudah. Jangan halang orang lain nak makan. Biaq hang rugi sorang-sorang". Sekiranya mereka enggan juga untuk melaksanakannya, mereka akan mendapat balasannya .. tetapi jangan halang mana-mana pihak untuk melaksanakannya.
.
Apatah lagi sekarang ini mereka tidak punya sebab untuk menolaknya, kerana kewajipannya sama seperti kewajipan melaksanakan puasa di dalam bulan Ramadhan ini. Kalau puasa boleh terima, tidak ada sebab undang-undang Islam mereka tidak boleh terima ...
.
Kemudian Allah SWT menyebut:
.
كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ
.
Ayat ini menunjukkan bahawa umat-umat terdahulu juga mempunyai aturan dan pensyariatan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada mereka. Sesuai denga firman Allah SWT di dalam ayat 48 surah al-Maidah:
.
لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا
.
“Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang” (al-Maidah: 48)
.
Akan tetapi, bentuk dan caranya berbeza mengikut zaman masing-masing. Cuma aqidah dan tauhid sahaja yang sama, iaitu menyeru kepada ketunggalan Allah SWT. Umat Muhammad SAW merupakan umat yang istimewa kerana telah diringankan beban tanggungjawab jika hendak dibandingkan dengan umat-umat terdahulu.
.
Seperti contoh perbualan Nabi Musa AS dan Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa isra’ dan mi’raj, nabi Musa meminta agar nabi Muhammad SAW merayu kepada Allah SWT agar dikurangkan bilangan solat daripada 50 kali kepada 5 kali setiap hari kerana baginda AS tahu bahawa umat Muhammad SAW tidak berkemampuan untuk melaksanakan bebanan seberat itu seperti mana umat-umat sebelumnya.
.
Begitu juga di dalam perkara yang melibatkan kaffarah dosa, umat nabi Musa AS diminta untuk membunuh diri sendiri sebagai jalan bertaubat kepada Allah SWT seperti mana yang disebut di dalam ayat 45 surah al-Baqarah, tetapi umat Muhammad SAW taubatnya cukup dengan beristighfar, penyesalan diri dan berazam agar tidak melakukannya lagi di kemudian hari.
.
Begitu juga dengan perintah mendirikan solat, umat terdahulu diperintah hanya mendirikan solat di masjid sahaja, dan tidak sah jika didirikan di luar masjid. Tetapi umat Muhammad SAW diringankan bebanan tersebut dengan dijadikan bumi bagi mereka sebagai hamparan sejadah untuk mendirikan solat seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
.
وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
.
“Dan telah diciptakan bumi itu bagiku sebagai masjid (tempat sujud) lagi bersih ..” ((Daripada Jabir ibn Abdullah, diriwayatkan oleh Bukhari, nom. 323/2/58))
.
Mengenai ayat yang kita bicarakan, ulama tafsir berselisih pendapat mengenai ayat ini, “..sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu”. Penyerupaan yang disebutkan sama dari sudut apa dan kepada siapa, itu yang diperselisihkan?
.
Ibn Abbas dan Mujahid RA mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “orang-orang sebelum kamu” itu merujuk kepada Ahli Kitab. Manakala Hasan al-Basri dan As-Sya’bi pula mengatakan bahawa ia merujuk kepada kaum Nasrani (atau Kristian). Ada juga yang mengatakan ia umum kepada semua umat sejak dari zaman nabi Adam sehingga ke zaman kita hari ini.
.
Berkenaan dengan wajh tashbih (penyerupaan) itu pula, ada ulama yang mengatakan penyerupaannya adalah dari sudut kadar dan waktu puasanya, di mana Allah SWT mewajibkan puasa kepada kaum Yahudi dan Nasrani pada bulan Ramadhan juga, tetapi kemudiannya mereka memesongkannya. Ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada kewajipannya dan ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada sifatnya iaitu dengan meninggalkan makan, minum dan sebagainya.
.
Yang pentingnya, penyerupaan ini dinyatakan kepada umat Muhammad SAW adalah sebagai suatu motivasi dan dorongan agar kita umat Islam juga melaksanakannya seperti mana yang pernah dilaksanakan oleh umat-umat terdahulu. Ia perkara biasa yang sering kita lakukan ketika kita hendak memberikan motivasi kepada anak-anak atau adik-adik kita, di mana kita akan tunjukkan dan ceritakan kepada mereka contoh pelajar-pelajar terdahulu yang telah berjaya di dalam pembelajaran mereka agar ia menjadi motivasi dan semangat kepada mereka untuk mengikut jejak langkah mereka yang telah pun berjaya.
.
Di akhir ayat ini, Allah SWT menyebut:
.
لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
“Semoga kamu bertaqwa”
.
Allah SWT telah mewajibkannya, tetapi ia terpulang kepada kita bagaimana untuk melaksanakannya ... “semoga kamu bertaqwa”, Allah SWT berfirman. Apakah kita mahu menjadikan tanggungjawab berpuasa ini sebagai amalan yang hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata, atau kita benar-benar ingin menjadikannya sebagai latihan untuk mempertingkatkan taqwa kita.
.
Dalam erti kata lain, sekiranya ia hanya difahami semata-mata untuk menahan lapar dan dahaga, kita hanya akan merasai lapar dan dahaga sahaja. Tetapi sekiranya kita memahami peranan puasa ini dengan lebih luas lagi sebagai latihan untuk mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, maka Allah SWT menyatakan .. “semoga kamu beroleh ketaqwaan”.
.
Semoga kita beroleh taqwa ... Ameen
.
Bersambung ...
.
.....................................................
.
* Kupasan khusus mengenai hadis ini akan dibicarakan kemudian di dalam artikel yang lain, Insyallah.
.
Rujukan:
.
1) Mukhtasar Ibn Kathir, Syeikh Ali As-Shobuni
2) Tafsir al-Kabir, Imam Fakhruddin Ar-Razi
3) Tanwirul Miqbas min Tafsir Ibn Abbas, Az-Zabeedi
4) Fathul Qadir, As-Syaukani
5) Tafsir al-Alusi, Imam al-Alusi
6) Al-Futuhat Al-Ilahiyyah, Imam al-Jamal
7) Bulughul Maram, Imam Ibn Hajar al-Asqalani
.

DAURAH RAMADHAN

.
.
Bismillah ...
.
Alhamdulillah, selesai sudah solat tarawih pertama didirikan buat Ramadhan kali ini. Saya dan keluarga menunaikannya di Masjid Negeri Ipoh, diimami oleh pelajar-pelajar tahfiz yang hebat-hebat belaka...timbul rasa menyesal di hati dek tidak menghafal al-Quran sejak dari kecil.
.
Ramadhan kali ini begitu berharga buat saya kerana sejak menuntut di UIA, ini kali pertama saya berkesempatan untuk memulakan puasa pertama seterusnya ifthar bersama keluarga dengan kehadiran abang saya yang sedang bercuti.
.
Hmm ..cepat rasanya masa berlalu. Rasanya baru saja kita menjalani ibadah puasa tahun lepas ... sedar tak sedar, kita bertemu lagi dengan bulan Ramadhan pada tahun ini.
.
Sebagai makluman, Insyallah, mulai daripada esok sehingga ke penghujung bulan Ramadhan ini ... kalau tidak ada aral melintang, serta dipanjangkan umur oleh Allah SWT ... saya akan terus cuba meng'update' blog ini dengan pengisian-pengisian ilmiah khusus untuk Ramadhan yang saya istilahkan dengan "DAURAH RAMADHAN".
.
DAURAH RAMADHAN ini akan mengupas sedikit sebanyak ayat-ayat al-Quran yang berkait dengan persoalan puasa, hadis-hadis hukum dan umum mengenainya, solat terawih dan sebagainya.
.
Diharapkan dengan pengisian DAURAH RAMADHAN ini akan memberikan manfaat kepada saya dan semua pengunjung blog ini berkenaan dengan persoalan dan isu-isu berkaitan dengan perkara yang berkisar di dalam bulan Ramadhan.
.
Semoga usaha hamba Allah yang faqir dan sedikit ini diterima oleh Allah SWT dengan redha-Nya.
.