Saturday 26 April 2008

Rindu itu tidak pernah padam ...

Bismillah ...
.
“Habis lepas attachment ni kamu nak buat apa pula?”, tanya pakcik Arwani ketika beliau datang untuk bertemu ayah di pejabat kami, AWI & Co. Semalam pula tidak putus-putus client datang dari pagi sampai ke petang. Jadi, sementara menunggu client lain selesai bertemu ayah, beliau datang ke bilik saya bersembang-sembang sambil memberi nasihat.
.
“Setakat ni saya tak ada cadangan nak buat apa-apa lagi pakcik, mungkin duduk rumah je kot”, jawab saya ringkas. Saat itu hati saya tiba-tiba membisikkan tentang Jordan dan Syria. Rindu itu datang secara tiba-tiba …
.
Pagi tadi saya membuka kembali photo-photo kenangan semasa kami berada di Jordan dan Syria. Kadang-kadang gelak dan kadang-kadang sedih pun ada. Apapun, bumi Syam terlalu banyak menyimpan kenangan buat saya dan sahabat-sahabat … kisah sedih, gembira, semuanya ada.
.
Di Jordanian Airport. Baru sampai ..
Dari kiri: Aiman Salmi, Shahir, Mujahid dan Lotpi
.

Sedang membelek kamera. Sejuk sangat awal pagi di Jordan. Sedang menunggu Akh Shamil datang ambil kami dari Irbid.
.

Bersiar-siar di Pekan Irbid. Kami berdua je, lain dah balik rumah ...
.

Di Wastul Balad. Pekan yang mempopularkan bandar Irbid dengan jualan barang-barang murah. Bukan budak Jordan je, budak Syria pun datang sini hujung minggu untuk mencari barang.
.

Bersama Munir, junior Lotpi di Izzudin dahulu. Sekarang beliau adalah pelajar Medic di JAS University, Jordan. Kami berada di dalam kawasan Universiti Yarmouk, Irbid.
.

Orang-orang Jordan ..
.

Inilah bandar Damsyiq, Syria.. specific lagi di Mujtahid. Suasana paginya sangat tenang dan menyegarkan ... Aduh, rindu sungguh saya kepadanya.
.

Anak-anak Syria .. comel sangat. Kalau ada orang nak bagi bela, pasti saya akan mengambilnya. Nak kahwin dengan orang Syria boleh, tapi dengan syarat ... kene duduk sana. Gambar: Di dalam Jami' Umawi, Dimasq
.

Syeikhuna Al-Allamah Dr. Mustapha al-Bugha .. Bersih dan berseri wajahnya dengan nur iman dan taqwa. Alhamdulillah, saya sempat menadah beberapa kitab dengan beliau. Baarakallahu feekum ya Syaikhi.
.

Ini pula Syeikhuna Rushdi al-Qalami, penasihat Persatuan Pelajar Malaysia di Syria. Beliau sungguh rapat dengan pelajar-pelajar Malaysia. Selalu menjadi qadhi untuk akad nikah pelajar Malaysia yang berkahwin di sana. Beliau juga tidak lekok mengeluarkan sumbangan demi untuk kebajikkan pelajar-pelajar Malaysia di sana.
.

Syeikhuna Abu Yasin, guru yang paling saya sayangi. Beliau mengajar saya al-Quran. Di masjid inilah saya menadah al-Quran dengan beliau ... Beliau seorang yg sangat peramah, lembut dan baik budi. Jazakumullahu khairan kathira 'ala dirasatikum 'alayya
.

Ini namanya Halawiyyat, maknanya manisan. Sedapp ... Mujahid tak sabar-sabar nak rasa tu. "Kam biddak?" .. "Bas bidni I'syhrun leera .."

.

Di rumah pelajar-pelajar DQ. Yang pakai spek tu sebelum ini pelajar Undang-undang di UIA, lepas je grad .. beliau terus sambung belajar di Ma'had Tahzib selama 4 tahun. Insyallah, beliau akan pulang sebagai seorang Peguam dan Ulama yang berjaya. Semoga berjaya abang Ubaidillah.

.

Ini gereja tertua di dunia, namanya Ma'lula dan kawasan ini dipenuhi oleh penduduk Kristian yang masih menggunakan bahasa nabi Isa. Pelik betul bunyinya ..

.

Ini dalam bilik pameran Geraja Ma'lula .. Wah menunjukkan sesuatu pada saya
.

Hari-hari terakhir di Syria. Saya dan sahabat-sahabat sedang sibuk mencari Halawiyyat untuk buah tangan orang-orang di Malaysia.
.
"Wei, Syeikh Abu Yasin kata dia rindu korang. Dia suruh korang datang sini", sms kawan kami, Wah (pelajar Syria) kepada Shahir.
.
Insyallah, kalau diberi keizinan ... saya pasti akan pergi ke sana lagi. Semoga Allah SWT memanjangkan umur saya untuk saya pergi ke sana.
.
Rindu itu tidak pernah padam ..


Saturday 19 April 2008

Mengapa ia lesu dan tidak bermaya ..??

.
.
“Aduh .. ustaz ini ke yang bagi khutbah …”, hati saya berkata-kata ketika mendegar suara beliau berkhutbah dari luar masjid.
.
Saya melangkah masuk ke masjid dengan langkah yang membosankan. Bukan bosan kerana tidak mahu mendirikan solat Jumaat, tetapi rasa malasnya hendak ‘memaksa diri memasang telinga’ mendengar khutbah yang dibacakan oleh Ustaz Abu (bkn nama sebenar), salah seorang khatib di Masjid al-Muttaqin yang terletak di kawasan perumahan saya di Taman Meru, Ipoh.
.
“Orang tak mengaji pun boleh bagi khutbah kalau macam ni ..”, kata saya kepada ayah. Hehe .. tu lepas geram namanya tu.
.
Sudahlah membaca teks khutbah .. tidak bersemangat pula. Kemudian, semasa berkhutbah itulah baru beliau mahu melihat teks khutbah tersebut. Mana la tidak tersangkut-sangkut. Kadang-kadang khutbah boleh terhenti beberapa saat kerana khatib mahu memastikan samada tulisan jawi tersebut berbunyi 'bumi' atau 'bom'.. Ini bermakna, beliau tidak menyediakan diri dan bersedia untuk memikul amanah sebagai khatib yang menjadi salah satu pillar penting di dalam Islam.
.
Sedangkan sunnah nabi memaparkan bagaimana ketika Baginda SAW menyampaikan khutbah, baginda seolah-olah seperti seorang panglima tentera yang sedang memberikan amanat di hadapan jundi-jundinya dengan muka yang merah seolah-olah pihak musuh berada di hadapannya...Tegas !! Serius !! dan Bersungguh-sungguh !!
.
Tidak salah membaca teks untuk berkhutbah..Islam memberi rukhsah itu kepada para khatib sekiranya mereka tidak berkemampuan untuk berkhutbah secara spontan di hadapan para jemaah. Namun, kekurangan tersebut perlulah ditampung dengan semangat dan persediaan yang sebaiknya agar para jemaah yang hadir mendapat manfaat daripadanya.
.
BUAH-BUAHAN TEMPATAN

“Sidang Jumaat yang dimuliakan…”, khatib memulakan khutbahnya setelah memuji Allah dan berselawat ke atas nabi SAW.

Beliau kemudiannya menyambung, “Tajuk khutbah yang ingin saya sampaikan pada hari ini adalah berkenaan dengan buah-buahan tempatan di negeri Selangor”.

Aduiiiii … apo ko bondo ni jang.

Hilang semangat saya ingin mendengarkannya. Namun, inilah realiti khutbah yang sering memberatkan mata dan telinga saya ketika berada di masjid. Sungguh menyedihkan …
.
DI SYRIA DAN MESIR
.
Keadaannya jauh berbeza semasa saya berada di Syria dan Mesir ..
.

Penglihatan dalam Jami' Umawi, Dimasq sebelum solat Jumaat
.
Semasa saya berada di Syria, kami berkejar-kejar untuk datang awal ke masjid agar dapat memenuhi saf-saf awal masjid supaya dapat melihat wajah khatib tersebut serta mendengar amanat dari khutbah yang akan beliau sampaikan. Boleh dikatakan setiap Jumaat yang kami lalui, kami pergi ke Jami’ (Masjid) yang berbeza-berbeza .. Jumaat ini di Jami’ Umawi, Jumaat depannya di Jami’ Zaid dan begitulah seterusnya.
.
Masjid Al-Azhar
.
Begitu juga semasa saya melangkah ke bumi Mesir, kami tinggal di Hay ‘Asyir yang merupakan mantiqah paling hujung bagi bandar Cairo yang kepadatan penduduknya mencecah 24 juta orang. Tetapi kerana semata-mata mahu mendengar khutbah di Gami’ Azhar, saya dan sahabat sanggup merempuh jalan berpasir dengan ber-Bas-kan tin sardin yang menjadi ‘trademark’ orang-orang Mesir. Alhamdulillah, dalam masa 30 minit kami sampai di Gami’ Azhar ..

Walaupun jauh berjalan, tapi ia tidak merugikan kami … apa yang kami harapkan, itulah yang kami dapat.

Khutbah mereka hidup, punya roh dan sampai kepada hati kami yang mendengarnya. Saya malah kagum dengan kehebatan mereka berkhutbah dan berpidato di atas mimbar, lalu tersemat satu harapan agar suatu hari nanti saya boleh berada di atas mimbar berkhutah seperti mereka. Saya melihat tiada seorang pun dari kalangan jemaah yang tersengguk-sengguk atau buat-buat faham, semuanya memusatkan penglihatan mereka ke arah khatib yang berkhutabh secara sepontan.

KEPENTINGAN SOLAT JUMAAT DAN KHUTBAHNYA

Kalau saya bertanya kepada orang ramai hari ini tentang kepentingan solat Jumaat dan khutbahnya di Malaysia, pasti ada suara-suara yang menjawab .. “Entahlah, macam tak nampak apa-apa kepentingan pun …”

Yang pastinya, itulah jawapan saya kalau ada orang bertanya kepada saya ..!!

Islam pada hakikatnya meletakkan Solat Jumaat dan mimbar Khutbahnya di tempat yang begitu mulia. Ia tidak diletakkan pada hari lain melainkan pada hari Jumaat, hari yang sangat mulia dengan gelaran Sayyidul Ayyam.

Malah solat zohor yang mempunyai empat rakaat itu digantikan dengan dua rakaat solat Jumaat semata-mata untuk diisikan dengan khutbah Jumaat. Oleh kerana itulah, mazhab Hanafi berpendapat bahawa wajib bagi para jemaah duduk menghadap kiblat dan tidak dibenarkan bebas bergerak tatkala mendengar khutbah kerana menganggap ia sebagai salah satu syarat sah solat jumaat yang diganti dari dua rakaat di dalam solat zohor.

Menurut mazhab Syafi'i pula, para Imam wajib menta’yinkan niat imam khusus untuk solat jumaat, tidak untuk solat-solat yang lain[1].

Syafi’iyyah sendiri menghukum makruh bagi peniaga yang meneruskan urus niaga apabila azan telah mula dikumandangkan, bahkan ulama Hanbali lebih ketat lagi dengan mengatakannya haram.

Mimbar Jumaat sepatutnya berfungsi sebagai muktamar mingguan bagi seluruh umat Islam .. Ia sepatutnya menjadi tempat dan hari buat mereka mentajdidkan iman-iman mereka, dan tempat mereka mendengar amanat dan nasihat dari para ulama.

Tetapi hari ini … mengapa ia lesu. Di manakah puncanya …???

MIMBAR JUMAAT & CAMPURTANGAN POLITIK

Mungkin kelesuan khutbah Jumaat di Malaysia ini ada kaitannya dengan faktor campurtangan politik. UMNO lebih teruk dari parti-parti sekular dan sosialis negara-negara lain hatta Mesir dan Syria sendiri. Kezaliman mereka tidaklah sampai menyusup masuk ke mimbar-mimbar masjid. Mereka memberi kebebasan kepada para khatib untuk berkhutbah asalkan ia tidak dibawa keluar dari pintu-pintu masjid. Tetapi di Malaysia, atas nama Islam Hadharinya memagari mulut-mulut para ustaz, ulama dan khatib di setiap tempat, malah di atas mimbar-mimbar masjid sekalipun. Walaupun banyak masjid yang dibangunkan, tetapi masjid-masjid tersebut tidak lebih sebagai Masjidun Dhirar .. membiarkan ia dikepalai oleh orang-orang yang mempolitikkan masjid, lalu mempolitikkan semuanya di atas nama keamanan. Khutbah Jumaat dikawal dan diperhati … khatib menjadi serba salah tidak tahu khutbah apa yang ingin disampaikan, lalu Buah-Buahan tempatan yang menjadi pilihan.

Masjid saya, dua Ustaz Zul yang menjadi khatib sebelum ini tidak dibenarkan lagi berkhutbah di atas mimbar masjid atas alasan tidak mengikut teks yang telah disediakan. Saya nak tanya pada Pak Hambali … hang dapat peraturan mana yang mewajibkan khatib mesti berkhutbah ikut teks ni?
.
HARAPAN BARU BUAT KERAJAAN BARU

Sekarang negeri Perak, Selangor, Kedah dan Penang sudah berada di bawah Pakatan Rakyat.

Oleh itu, dalam memburu pelbagai perubahan … jangan lupakan mimbar Jumaat yang semakin hari semakin hilang arah tujuannya. Kembalikanlah kedudukannya pada tempatnya agar ia kembali membisa membakar semangat umat yang mahukan perubahan.
.
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi .. tegas ketika memberikan khutbah.



.
.
.

.....................


[1] Dalam solat fardhu lain, hanya para makmum yang wajib menta’yinkan niat makmumnya, tetapi tidak wajib kepada imam. Sekiranya imam tidak menta’yinkan niat menjadi imam sekalipun, solatnya sebagai imam tersebut tetap sah. Berbeza bagi solat Jumaat, imam dan makmum kedua-duanya wajib menta’yinkan niat imam dan makmumnya di dalam solat Jumaat. WA

Friday 18 April 2008

Kesian BABI ...

SATU ANALISA TERHADAP ISU PENTERNAKAN BABI DI NEGERI SELANGOR DARI KACA MATA ISLAM.
.
.
Projek ladang ternakan babi moden yang dirancang kerajaan negeri Selangor di Sepang sedang menjadi isu hangat yang dibincangkan di dalam Negara. Peruntukan yang disediakan sebanyak RM100 juta itu bertujuan untuk memusatkan seluruh tempat penternakan babi di negeri Selangor agar ditempatkan di satu kawasan khas dengan pengawalan menggunakan sistem moden yang diambil daripada Jerman.
.
Bagaimana pula dengan pandangan Islam terhadap tindakan kerajaan yang memperuntukan peruntukan yang besar untuk melaksanakan projek penternakan babi tersebut, adakah ia dibenarkan oleh syara’ ataupun sebaliknya?
.
DAULAH ISLAMIYYAH: SUATU PERBEZAAN
.
Tidak dapat diragukan, di samping berusaha membangun individu, keluarga dan masyarakat yang soleh, Islam juga berusaha membangun daulah yang soleh.
.
Namun, daulah yang dibangun oleh Islam bukanlah seperti daulah yang cuba dibangun oleh golongan pembenci Islam. Baik dari sudut tujuan, sistem, elemen, komponen dan karakteristik, ia tetap berbeza dengan negara mana sekalipun. Golongan sekular membangun negara di atas prinsip ((دع ما لقيسر لقيسر وما لله لله))[1]. Mereka membangun kemanusiaan dengan materi dalam mengenepikan agama. Agama ditinggalkan jauh ke belakang, statik tanpa sebarang kepentingan. Mereka menganggap agama itu semata-mata berbicara mengenai rinci-rinci spiritual tanpa melihat mu’amalat, jenayah dan siyasah sebagai sebahagian dari rincih kesyumulannya.
.
Percayalah!! ini suatu pemahaman yang batil terhadap Islam yang selalu dilaung-laungkan oleh golongan pembenci Islam. Dengan kefahaman yang kabur terhadap Islam, mereka mengheret seberapa ramai manusia ke arah kefahaman agama yang tempang. Lalu dengan ketempangan itulah ramai umat Islam hari ini berjalan mengelilingi dunia. Mereka berjalan memakai cermin mata yang kabur, lalu melihat segalanya kabur di depan mata.
.
Sungguh, membangun daulah tanpa tatangan agama ibarat membangun sebuah bangunan di atas tanah yang merekah. Semakin tinggi bangunan itu menuju langit, semakin mudah ia rebah ke bumi. Tentera yang mara ke medan perang dengan bersenapang tetapi tumpul semangat keperwiraan akan mudah ditumpaskan oleh tentera bertombak tetapi berjiwa kental lagi membara. Inilah hakikat sebenar negara yg sedang dibangun oleh golongan sekular, mengejar kemajuan dengan manusia yang kabur arah tujuan.
.
Ia jauh berbeza dengan Islam. Islam membangun daulah di atas prinsip iman. Iman adalah tapak dalam membangun sebuah peradaban. Semakin kuat iman itu mengakar, semakin kuat daulah itu berdiri. Ia ibarat seperti sebatang pokok, semakin dalam akar itu menjalar ke dasar bumi, semakin tinggi batang pokok itu meninggalkan bumi. Asas inilah yang membawa Daulah Islamiyyah ke mercu kejayaannya yang sangat gemilang berabad-abad lamanya suatu ketika dahulu.
.
Islam memandang bahawa pembentukan Daulah Islamiyyah merupakan suatu kewajipan yang asasi, juga kewajipan agama dan kehidupan. Ia bukan disebabkan oleh perasaan ‘gila kuasa’ atau loba dengan kesenangan dunia sehingga menilai rendah terhadap hak asasi manusia dan merampas harta benda mereka di atas nama cukai dan sebagainya.
.
Malah Syeikh al-Maududi, pengasas Jami’at Islami Pakistan menyebut di dalam tafsirnya bahawa kemuncak di sebalik penurunan al-Quran adalah demi menuju sebuah pembentukan Daulah Islamiyyah.
.
Logiknya di sini;
.
.. bahawa Islam tidak pernah mengenal pemisahan di antara agama dan daulah, kerana kefahaman “The Way of Life” terhadap pengertian ad-Deen merupakan suatu pengertian yang ‘shamil’ bahawa kesyumulan itu tidak dapat tidak mesti melibatkan kepada eksistensi sebuah Daulah Islamiyyah yang terlaksana di dalamnya segala rukun-rukun dan kewajipan-kewajipan agama. Runtuhnya Daulah Islamiyyah, maka runtuhlah perlaksanaan Islam yang syumul. Maka apa yang tinggal hanyalah perkara-perkara yang berkaitan dengan ibadah dan munakahat, sedangkan Islam tidak pernah merincikan penilaian ad-Deen itu kepada semata-mata ibadah, akhlak dan munakahat tetapi ia lebih luas berfungsi menaungi pola kehidupan manusia seluruhnya.
.
Justeru itu, walaupaun ia melibatkan soal daulah Islam, persoalan agama tidak boleh diketepikan.
.
KEADILAN ADALAH INTIPATI ISLAM:
.
Sebelum kedatangan Islam, masyarakat arab jahiliyyah hidup di dalam kegelapan dan kesesatan. Mereka menjadi bangsa yang hina di tengah-tengah kuasa besar Rom dan Parsi yang berkuasa pada saat itu. Masyarakat arab jahiliah ketika itu hidup dalam berbagai-bagai bentuk qabilah. Ia bukanlah daulah, bukan juga survival politik tetapi merupakan satu kelompok masyarakat yang dibina di atas keta’assuban berdasarkan kepada hubungan kerabat dan pertalian darah sesama mereka. Dengan keta’assuban yang dibangun oleh kejahilan itu membuatkan mereka saling perang memerangi di antara satu sama lain di atas kebatilan. Mereka melakukan kezaliman dan penindasan yang tiada taranya kepada golongan kelas rendah, hamba sahaya, golongan kasta serta para wanita. Mereka sewenang-wenangnya membunuh anak-anak perempuan mereka dan menjadikan mereka dan isteri-isteri mereka sebagai barang tukaran untuk memuaskan nafsu kebinatangan mereka dengan pelbagai bentuk pernikahan yang batil. Anak-anak perempuan juga tidak mempunyai hak dan pembahagian di dalam harta pusaka kecuali diberikan kepada anak lelaki yang paling tua untuk memilikinya.[2] Banyak lagi penindasan dan kezaliman yang berlaku di zaman jahiliah termasuk di dalam perkara yang berkait dengan mu’amalat, qisas, diyat dan persaksian yang diamalkan di dalam kehidupan mereka pada saat sebelum datangnya Islam.
.
Lalu Islam datang dengan membawa islah melalui risalah nabi Muhammad SAW. Memahami pengertian Islam yg sebenar, menegakkan keadilan dan memerangi kezaliman merupakan intipati utama yang diperjuangkan. Di samping menyeru umat manusia agar mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagai sebenar-benar Tuhan yang selayaknya disembah, nabi Muhammad SAW juga menyeru mereka agar berlaku adil dan memerangi kezaliman. Baginda adalah penyeru keadilan sosial dan keadilan sejagat, melampaui soal etnik, qabilah, keturunan & geografi. Allah SWT berfirman:
.

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ
.
“Sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan”[3]
.
Yang dimaksudkan dengan pengutusan para rasul dan penurunan al-Quran adalah supaya manusia melaksanakan keadilan pada perkara yang melibatkan hak-hak Allah SWT dan hak-hak manusia seluruhnya.[4] Keadilan adalah hajat setiap manusia yg cintakan kedamaian dan kesejahteraan hidup secara bersama. Keadilan yg dipelihara akan menatijahkan sebuah kehidupan yg harmoni dan aman damai kerana setiap hak dan tuntutan manusia terpenuhi secara saksama. Oleh itu, di mana saja terdapat masyarakat maka di situlah keadilan perlu ditegakkan.
.
Rubi’ ibn Amir ketika bertemu dengan Panglima Rom yg bernama Rustum pernah berkata:
.
الله ابتعثنا وجاء بنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله تعالى ومن ضيق الدنيا إلى سعة الآخر ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام
.
“Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam), untuk kami merdekakan manusia daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat dan dari kezaliman agama kepada Keadilan Islam”[5]
.
Memahami daulah sebagai salah satu cabang sensitiviti Islam, justeru keadilan juga merupakan ciri-ciri yg mesti wujud di dalam negara Islam yang terlaksana di dalamnya Syariat Islam yg lengkap. Itulah maqasid di sebalik kewajipan mengimplementasikan syariat Islam di atas muka bumi, bahawa keadilan harus diletakkan pada tempatnya. Tanpanya, pentakrifan sebuah Khilafah Islamiyyah tidak lagi dilihat Jaami’ dan Mani’[6] kerana pengkelasan ‘hirasatud deen wa siyasatud dunya’ itu tercakup di dalamnya prinsip-prinsip keadilan yg perlu ditatbiq dan dipelihara. Allah SWT berfirman:
.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ
.
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil”[7]
.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah mengatakan di dalam bukunya ((As-Siyasah As-Syar’iyyah)), “Para ulama mengatakan bahawa ayat ini diturunkan kepada para pemerintah, ke atas mereka kewajipan menyampaikan amanah kepada ahlinya yang berkemampuan, dan apabila mereka mentadbir manusia maka menjadi kewajipan ke atas mereka untuk mentadbir dengan adil”[8]
.
Saidina Ali RA tatkala memberi komentar mengenai ayat ini mengatakan:
.

حقٌّ على الإمام أن يحكم بما أنزل الله، وأن يؤدِّيَ الأمانة، وإذا فعل ذلك، فحقّ على الناس أن يسمعوا، وأن يُطيعوا، وأن يجيبوا إذا دُعوا
.
“Menjadi tanggungjawab kepada pemerintah agar mentadbir dan memerintah dengan apa yang telah diputuskan oleh Allah SWT dan menyampaikan amanah. Dan apabila dia telah melakukan sedemikian, maka wajib ke atas rakyat untuk mendengarnya, mentaatinya dan memberi respon sekiranya dipanggil dan diperintahkan”[9]
.
Di dalam Musnad Ahmad daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda:
.

أحب الخلق إلى الله إمام عادل وأبغضهم إليه إمام جائر
.
“Hamba yang paling dikasihi oleh Allah SWT adalah pemimpin yang adil dan yang paling dibenci di kalangan mereka adalah pemimpin yang zalim”[10]
.
Syeikh Doktor Muhammad Abdul Rahman Balruen menyebut: “Antara perkara asas yg tercakup di dalam Daulah Islamiyyah adalah wujudnya keadilan yg berterusan sebagai batu asasnya. Apa yg dijelaskan di sini adalah keadilan yg lengkap dalam semua aspek hidup bermasyarakat seperti yg telah ditetapkan oleh Syariat Islam. Ia bukan sekadar keadilan ekonomi dan kesaksamaan sesama manusia di dalam mendapatkan rezeki – seperti yg difahami oleh sesetengah golongan – malah keadilan yg dimaksudkan mencakupi semua sudut kehidupan manusia iaitu keadilan yg meliputi hak Islam dan bukan Islam, keadilan yg berdiri dengan kebebasan yg munasabah seperti yg ditetapkan Syariat bagi setiap individu dari individu-individu masyarakat tanpa mengiktibarkan kepada agama, bangsa, warna kulit, kedudukan serta tempat”[11]. Beliau juga mengatakan bahawa keadilan tidak akan dapat dinikmati kecuali setelah terlaksananya undang-undang dan syariat Islam secara lengkap dan komprehensif.[12]
.
Kewajipan Daulah Islam ialah berusaha mewujudkan dua tujuan yang fundamental dari berbagai macam tujuan hidupnya bagi setiap orang, iaitu: Kecukupan dan keamanan. Ini adalalah kerana, kecukupan dan keamanan yang dikecapi membolehkan manusia menjalani proses kehidupan dengan selesa serta memberi ketenangan kepada mereka untuk beribadah kepada Allah SWT. Allah SWT berfirman:
.

الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآَمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ
.
"Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan kelaparan dan mengamankan mereka dari ketakutan”[13]
.
Namun begitu, kecukupan dan keamanan sebegini tidak akan dapat dikecapi sekiranya keadilan tidak ditegakkan di dalam Negara.
.
Imam Muhammad Abu Zahrah mengatakan: “Sekiranya Rahmat Islam itu adalah dengan datangnya risalah Muhammadiyyah, maka tiada syak lagi bahawa keadilan merupakan satu cabang dari cabang-cabang rahmat ini. Sesungguhnya risalah ilahiyyah diturunkan untuk menegakkan keadilan di antara manusia. Pembangunan hubungan manusiawi itu sebenarnya berdiri di atas dua asas: (1) Kasih sayang & silaturrahim serta (2) Keadilan. Oleh itu, Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Hadid, ayat 25:
.
قَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ
.
“Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan”.
.
Keadilan merupakan asas kenabian para anbia’. Rahmat merupakan perkara syariat yg dituntut, oleh itu ia mestilah berhubung kait dengan keadilan kerana rahmat merupakan sifat umum bagi setiap yg dijelmakan kepada para anbia’. Dengan demikian, rahmat itu saling lazim melazimi dengan keadilan. Maka tidak akan tercapainya keadilan kecuali harus bersamanya rahmat yg umum. Dan tidak mungkin kezaliman itu tercakup di dalam makna rahmat. Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman:
.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُون
.
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran”[14].
.
Para ulama berkata: Ayat ini mempunyai makna yg komprehensif bagi maksud Islam. Oleh kerana itu, nabi SAW membacanya kepada anak-anak Aksam ibn Soifi ketika mana mereka datang kepada nabi SAW dan bertanyakan kepada baginda tentang maksud Islam”[15].[16]

PEMIMPIN HARUS BERTINDAK MENGIKUT SIYASAH SYAR’IYYAH

Memahami siyasah syar’iyyah merupakan syarat penting bagi seorang pemimpin atau imam di dalam Daulah Islamiyyah bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan di dalam masyarakat. Oleh yang demikian, seorang pemimpin yang mempunyai kefahaman dan kebijaksanaan terhadap siyasah syar’iyyah mampu menawarkan dasar-dasar dan manifesto yang baik kepada masyarakat dan rakyatnya.

Dr Sodiq Shaif Nu’man berkata di dalam kitabnya ((Al-Khilafah al-Islamiyyah)), “Daripada perkara yang disyaratkan oleh para ulama bagi seorang pemimpin itu bahawa dia harus memiliki keupayaan Siyasah (siyasah syar’iyyah) kerana itulah tabiat kepimpinan”.

Al-Ieeji mengatakan di dalam ((Al-Mawaaqif)) bahawa, “Seorang pemimpin harus memiliki kebijaksaan dalam membangun dasar-dasar kepemimpinan”.

Ar-Rahbi pula berkata di dalam ((Ar-Raudah)), “Pemimpi itu harus memiliki kebijaksaan dan pemahaman terhadap selok belok siyasah untuk mentadbir (samada di dalam keadaan aman ataupun peperangan) dan meletakkan sesuatu urusan sesuai pada tempatnya”. Pendapat ini selari dengan pendapat yang dikemukakan oleh al-Asfahani di dalam kitabnya ((Matholi’ul Anzhar)).

Pengarang kitab ((Al-Minhaj)) pula mengatakan, “Pemimpin itu harus memiliki kebijaksanaan untuk mentadbir rakyat dan kemaslahatan mereka yang berkait rapat dengan hal keagamaan dan kemasyarakatan”.[17]

Siyasah Syar’iyyah menuntut para pemerintah agar memahami maqasid syar’iyyah yang disebut sebagai “Daruriyyatul Khamsah”. Kelima-lima perkara yang bermula daripada agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda yang disebutkan di dalam usul tersebut perlu menjadi asas dalam setiap keputusan yang dibuat berdasarkan kepada pertimbangan mengikut Fiqh al-Awlawiyyat, Fiqh al-Muwazanat, Fiqh al-Waqi’ dan Fiqh at-Taghyir. Siyasah Syar’iyyah juga menuntut seorang pemimpin agar membuat pertimbangan sebaiknya berdasarkan kepada kemaslahatan demi menjamin keamanan dan keadilan rakyat tanpa menghadapi pelbagai kepayahan, halangan dan kesempitan. Berkenaan dengan perkara ini, Imam as-Suyuthi as-Syafi’i di dalam kitabnya ((Al-Ashbah wan Nazaair)) telah menyebutkan satu Qawa’id Syariah yang berbunyi:

تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
“Tindakan Pemerintah kepada rakyat mestilah berdasarkan kepada maslahah”[18]
.
Sumber asal kaedah ini sebenarnya berasal daripada athar Saidina Umar RA:

إني أنزلت نفسي من مال الله بمنزلة والى اليتيم إن احتجت أخذت منه فاذا إيسرت رددته فإن استغنيت استعففت
.
“Sesungguhnya aku menurunkan diriku dari harta Allah SWT kepada kedudukan wali anak yatim. Jika aku perlu, akan aku ambil daripadanya. Maka apabila aku senang aku akan kembalikannya, dan jika aku tidak memerlukannya, maka aku menjauhkan diriku dari yang haram”[19]

Seperti mana kata syeikh kami, Syeikh Nuruddin bahawa kaedah ini amat penting untuk dipegangi dan difahami oleh para pemerintah. Ia merupakan garis panduan asas yang perlu diamali di dalam menjalankan tugas-tugas pentadbiran. Ini adalah kerana, para pemerintah merupakan wakil yang dipilih oleh rakyat untuk membangun kemaslahatan ummah dan mentadbir negara dengan keadilan, menentang kemungkaran dan menutup pintu-pintu kemudaratan, memelihara hak-hak dan akhlak rakyat, menjamin keamanan, menyebarkan ilmu, memudahkan perjalanan proses kehidupan, membersihkan masyarakat dari kefasadan dan merealisasikan apa yang terbaik buat rakyat pada setiap masa dan tempat dengan sebaik-baiknya dengan apa yang disebut sebagai maslahah.[20]

Para pemerintah tidak dibenarkan bertindak di atas sesuatu perkara yang bercanggah dengan tuntutan maslahah dan jika perkara ini berlaku, maka tidak wajib kepada rakyat untuk menta’ati keputusannya dan menjadi hak rakyat yang berada di bawahnya untuk menegur para pemerintah mengikut saluran yang sah yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

MASLAHAH YANG KAMI MAKSUDKAN

Muhammad Hasan Muhammad Hasan Ismail as-Syafi’i mengatakan, “Yang dimaksudkan dengan kaedah ini[21] adalah: Pengiktibaran terhadap tindakan pemerintah akan diterima selagi mana ia selari dengan maslahah, dan pengertian maslahah yang dikehendaki di dalam kaedah ini adalah maslahah as-syari’ah”.[22]

Dr. Hussein Hamid Hasan menyebut di dalam risalahnya yang penting ((Nazariyyatul Maslahah Fil Fiqhil Islami)) bahawa maslahah yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya ((Al-Mustashfa)) bukanlah maslahah menurut pengertian uruf atau kebiasaan, tetapi apa yang beliau maksudkan adalah maslahah yang mendatangkan manfaat dan menutup segala pintu kemudaratan yang dikehendaki oleh syara’[23]. Ia bukan semata-mata manfaat dan mudarat. Dalam erti kata lain, terkadang manusia mengira bahawa sesuatu perkara itu bermanfaat untuk mereka padahal hakikatnya di sisi syara’, ia merupakan satu kemudaratan. Inilah pengertian maslahah yang diertikan oleh al-Ghazali iaitu menjaga kehendak dan ketentuan syara’ sekalipun ia bercanggah dengan kehendak dan tuntutan manusia.[24]

Kemaslahatan yang Islam maksudkan di sini adalah kemaslahatan yang mendatangkan manfaat dan yang menutup kemudaratan. Namun, kemanfaatan yang dihasilkan dan kemudaratan yang ditutup bukanlah berdasarkan kepada tuntutan manusia dalam mancapai kehendak-kehendak mereka, tetapi apa yang Islam maksudkan dengan maslahah di sini adalah maslahah yang dikehendaki oleh syara’. Setiap perkara yang tercakup di dalam “Daruriyyatul Khamsah” merupakan maslahah dan setiap sesuatu yang terkeluar dari Dhoruriyyat ini merupakan kemudaratan dan menghalanginya dianggap sebagai suatu maslahah.[25]

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mendetailkan apa yang telah disebutkan oleh al-Ghazali dengan mengatakan, “Yang kami maksudkan dengan maslahah di sini adalah penjagaan atau pemeliharaan terhadap kehendak syara’. Yang dimaksudkan dengan kehendak syara’ daripada makhluk itu adalah dengan menjaga ke atas mereka agama mereka, diri-diri mereka, akal mereka, keturunan dan nasab mereka, harta benda mereka, keamanan mereka, kebebasan dan hak-hak mereka, menegakkan keadilan dan memberi bantuan kepada mereka, memudahkan setiap urusan kehidupan mereka dan mengangkat sebarang kesulitan daripada mereka, menyempurnakan akhlak-akhlak mereka dengan kebaikkan dan menunjuki mereka adab-adab, uruf-uruf, peraturan dan mu’amalat yang baik”.[26]
.
Kemaslahatan yang diiktiraf dan diakui oleh Syari’at Islam pula tidak semuanya berada di dalam satu taraf dan darjat, namun seperti mana yang dijelaskan oleh para ulama usul, ia terdiri daripada tiga peringkat yang disebut sebagai: (1) Ad-Daruriyyat, (2) Al-Hajiyyat dan (3) Al-Tahsiniyyat.[27]

Di sinilah kepentingan Fiqh al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan) dan Fiqh al-Muwazanat (Fiqh Pertimbangan) di dalam Siyasah Syar’iyyah buat para pemerintah, kerana di sana pasti akan berlaku pelbagai pertembungan tuntutan yang memerlukan kebijaksanaan para pemerintah untuk melakukan keputusan dan tindakan. Maka, Fiqh Al-Awlawiyyat dan Fiqh Al-Muwazanat adalah alat yang penting dan mesti digunakan oleh para pemerintah untuk memastikan keputusan atau ijtihad yang diputuskan selari dengan maslahah umum dan memberi keadilan kepada rakyat.

Semua perkara yang dinyatakan ini adalah perkara yang berkait rapat dengan Siyasah Syar’iyyah. Oleh itu, menjadi syarat kepada pemimpin yang dilantik oleh rakyat untuk memahami kesemua perkara yang disebutkan dan sekiranya dia tidak berkeahlian dalam perkara tersebut, maka sebarang kemusykilan yang berlaku harus ditangani secara berjamaah melalui syura, juga di dalam masa yang sama, menjadi kewajipan kepada para ulama yang berada di sisinya untuk membantu dan membimbing beliau agar maqasid syari’ah dapat dipelihara.

IJTIHAD: HUBUNGANNYA DENGAN SIYASAH SYAR’IYYAH?

Ijtihad adalah salah satu cabang penting yang menjadi faktor kesesuaian Islam pada setiap tempat, masa dan zaman. Kepentingannya bukan sahaja terhimpun kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan mu’amalat, munakahat dan jenayah, malah ia amat penting di dalam perkara yang melibatkan pemerintahan negara. Namun, peranannya berkait rapat dengan apa yang kami namakan tadi sebagai Siyasah Syar’iyyah. Dalam erti kata lain, ijtihad yang dilakukan oleh para pemerintah (sekiranya berkeahlian) harus bertepatan dengan maslahah umum di mana keputusan yang diputuskan perlu mengambil kira faktor tempat, masa, suasana dan masyarakat yang berada di sekelilingnya. Selain itu, kefahaman terhadap maqasid syariah juga merupakan salah satu syarat penting yang ditetapkan oleh para ulama usul sebelum melakukan ijtihad. Sekiranya syarat-syarat ini tidak diteliti sebaiknya, ia akan mendatangkan kesulitan dan kepayahan kepada masyarakat.

Namun begitu, para ulama usul membatasi peranan ijtihad hanya kepada hukum-hukum syara’ yang tidak mempunyai dalil-dalil yang qat’ie. Sesuatu perkara yang ditentukan oleh dalil-dalil yang qat’ie, para ulama sepakat tidak membenarkan ijtihad dilakukan ke atasnya seperti kewajipan mendirikan solat, puasa, haji, zakat, pengharaman zina, arak, riba dan sebagainya yang jelas-jelas disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran tanpa memerlukan sebarang ta’wil. [28]

Syeikh Dr. Yusuf al-qaradhawi menaqalkan kata-kata Imam Hassan al-Banna di dalam Usul ke-5 daripada Usul Dua Puluh yang menerangkan tentang batas-batas ijtihad dan pendapat yang boleh diamalkan oleh para pemerintah. Imam Hassan al-Banna mengatakan: “Pandangan pemerintah atau timbalannya pada perkara yang tidak mengandungi nas, atau pada pendapat yang boleh diandaikan beberapa wajah atau mengandungi ‘masalih mursalah’ boleh dipraktikkan selagi tidak bertembung dengan kaedah syara’”[29]

Peri pentingnya beramal dengan ijtihad dan pandangan ini iailah untuk menghindari pertelingkahan, menetapkan sesuatu perkara, memelihara kesatuan dari bercerai-berai serta berusaha agar tidak berpecah belah.[30]

IBADAT V. MU’AMALAT

Imam Al-Banna menyebutkan lagi di dalam Usul ke-5: “Prinsip asal ibadat ialah ta’abbud tanpa menghiraukan makna-makna, manakala prinsip asal adat ialah melihat kepada rahsia-rahsia, hikmah dan tujuannya (maqasid)”

Imam Hassan al-Banna telah meletakkan kaedah penting di mana setiap ibadat yang telah disyariatkan oleh Allah SWT dan telah ditentukan rupa bentuk serta waktu-waktu, syarat-syarat, masa dan tempatnya termasuk di dalam perkara ta’abbudiyyah, iaitu kita diwajibkan mematuhinya menurut apa yang diperintahkan dan berhenti pada batas-batas syara’ tanpa mencari-cari hikmah dan rahsia serta ‘illatnya. Justeru, para pemerintah tidak boleh memberi pendapat dan melakukan ijtihad di dalam urusan ibadat, dengan hujjah untuk kemaslahatan dan memberi kemudahan kepada manusia. Namun, harus dibezakan di antara ibadat dan wasilahnya. Maka wasaail untuk mencapai kesempurnaan ibadat dibenarkan untuk diteliti makna dan rahsia di sebaliknya dan ia termasuk di dalam perkara yang dibolehkan berijtihad di dalamnya mengikut kesesuaian tempat, suasana dan keadaan masyarakat di sekelilingnya.[31]

Berbeza dengan prinsip-prinsip adat dan mu’amalat, kita dituntut untuk melihat kepada rahsia-rahsia, hikmah dan maksud di sebaliknya dan tidak berhenti serta jumud semata-mata di atas zahir nas yang dinyatakan. Hal ini dituntut bagi memudahkan aktiviti dan mu’amalat hidup manusia sehari-hari.

ORANG BUKAN ISLAM DI DALAM NEGARA ISLAM

Kebebasan beragama merupakan ciptaan Islam. Islam menetapkan kebebasan memeluk agama bagi sesiapapun yang hidup di wilayahnya. Kebebasan ini diberikan kepada setiap orang yang berbeza agama. Islam memberi keluasan kepada mereka, berupa kebebasan aqidah, kebebasan beribadah dan kebebasan berhukum dengan syariat yang diperintahkan kepada mereka.

Sesungguhnya Al-Quran telah meletakkan dustur yang menerangkan hubungan di antara umat Islam dengan bukan Islam di dalam surah al-Mumtahanah di mana ia diturunkan kepada golongan musyrikin. Allah SWT berfirman:
.
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
.
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil”[32]

Ayat ini diturunkan agar umat Islam melakukan kebaikkan dan keadilan kepada orang bukan Islam yang tidak memerangi dan mengusir umat Islam keluar dari negaranya. Namun, perintah ini harus tertakluk di atas dasar kemanusiaan dan semangat kewarganegaraan yang sepatutnya diamalkan oleh setiap warganegara yang berada di dalamnya masyarakat yang berbilang kaum, bukan di atas dasar pengiktirafan kita terhadap agama yang dianuti oleh mereka sehingga menggadaikan prinsip agama Islam yang meletakkan batas-batas mua’malah di antara kita dengan mereka.

Apa yang dimaksudkan dengan “القسطُ “ itu adalah adil, manakala kalimah “البر “ menunjukkan kepada ihsan dan kebaikkan iaitu perkara yang melampaui keadilan. “ العدل“ dan “القسط “ adalah kita meletakkan hak seseorang di tempatnya tanpa menguranginya. Dan “البر“ bermakna kita menambah kepadanya hak mereka dengan kebaikkan dan ihsan.

Sesungguhnya Al-Quran menunjukkan mua’malah umat Islam dengan golongan bukan Islam dengan memilih perkataan ((al-Birr)) di mana kalimah ini juga digunakan pada menunjukkan perintah saling tolong menolong di dalam perkara taqwa. Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
.
“Saling tolong menolonglah kamu di dalam perkara kebaikkan dan taqwa, dan janganlah kamu saling tolong menolong di dalam perkara dosa dan keburukkan”[33]

Berkata Al-Mawardi: “Allah SWT memerintahkan tolong-menolong dengan kebaikkan beriringan dengannya at-taqwa, kerana di dalam taqwa itu terdapat redha Allah dan di dalam kebaikkan (al-Birr) itu terdapat redha manusia. Dan barangsiapa yang mengumpulkan di antara redha Allah dan redha manusia, maka dia akan mendapat kebahagiaan dan mendapat nikmat”[34]

Perkara ini dapat disokong oleh sebuah hadis riwayat Ibn Mas’ud RA bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai sebaik-baik amalan yang perlu di lakukan. Lalu nabi SAW menjawab:

الصَّلَاةُ لِمِيقَاتِهَا وبِرُّ الْوَالِدَيْنِ قُلْتُ والْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Mendirikan solat pada waktunya, melakukan kebaikkan(menghormati) orang tua dan berjihad di jalan Allah SWT”[35]

Di dalam hadis ini, Rasulullah SAW menggunakan kalimat ((al-Birr)) untuk menunjukkan tanggungjawab manusia dengan manusia yang lain iaitu diantara anak dan kedua ibu bapanya. Sesungguhnya melakukan kebaikkan kepada ibu bapa adalah suatu kewajipan yang wajib dilaksanakan setelah ketaatan kepada Allah SWT dan Rasul-Nya seperti mana yang disebutkan di dalam hadis.

Seterusnya, Rasulullah SAW mewasiatkan kepada Abu Zar RA dengan berkata:

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ أَوْ أَيْنَمَا كُنْتَ .. خَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
.
“Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT di mana saja kamu berada … berakhlaklah atau bermua’malahlah dengan manusia dengan akhlak yang baik dan terpuji”[36]

Hadis ini tidak mengkhususkan tanggungjawab melakukan kebaikkan hanya kepada orang muslim sahaja, bahkan tanggungjawab itu merangkumi semua manusia termasuk kepada orang bukan Islam sebagaimana kalimah ((النَّاسَ)) digunakan.

أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا
.
“Sesempurna iman orang mukmin adalah mereka yang mempunyai sebaik-baik akhlak”[37]

Hadis ini pula menunjukkan sebaik-baik darjat orang-orang yang beriman bahawa mereka memiliki sebaik-baik akhlak di hadapan manusia. Akhlak yang terpuji ini bukan sahaja ditonjolkan kepada orang muslim sahaja, bahkan kepada seluruh manusia termasuk orang bukan Islam sehingga mereka senang berada di sisinya disebabkan oleh kebaikkan dan budi pekerti yang ditonjolkan.

Bahkan, akhlak yang terpuji ini bukan sahaja dituntut hanya kepada individu sahaja, bahkan kepada pihak pemerintahan bagi sesebuah negara dengan melaksanakan keadilan dan kesejahteraan secara saksama kepada seluruh rakyatnya. Bahkan nabi SAW mencela orang-orang mukmin yang melakukan kezaliman dan penindasan ke atas orang-orang kafir zimmi yang telah mengambil perjanjian damai dengan pemerintah Islam. Nabi SAW bersabda:

مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
.
“Barangsiapa yang melakukan kezaliman terhadap orang kafir yang ada perjanjian dengan pemerintah Islam, atau membatalkan haknya, memberatkan kepadanya lebih dari kadar kemampuannya, mengambil daripadanya dengan cara yang tidak baik, maka aku akan mempertahankanya di hari Kiamat”[38]

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا
.
“Barangsiapa yang membunuh kafir yang ada perjanjian, maka dia tidak akan dapat membau bauan syurga, padahal bau syurga itu didapati walaupun jarak perjalanan itu mengambil masa 40 tahun sekalipun”[39]

من آذى ذميًا فقد آذاني ومن آذاني فقد آذى الله
.
“Barangsiapa menyakiti Zimmi, maka dia telah menyakitiku, barangsiapa menyakitiku, maka sesungguhnya dia telah menyakiti Allah”[40]

Kalimah “من“ yang digunakan dalam semua hadis di atas adalah berbentuk umum. Oleh itu ia bukan sahaja tertentu kepada individu mukmin, bahkan meliputi para pemerintah bagi sebuah negara Islam. Saidina Ali ibn Abi Talib RA pernah berkata:

دمائهم كدمائنا واموالهم كاموالنا لهم ما لنا وعليهم ما علينا
.
“Darah mereka seperti darah kami, dan harta mereka seperti harta kami. Bagi mereka apa yang bagi kami, dan ke atas mereka apa yang ke atas kami”

Syeikh Abdul Qadir Audah di dalam kitabnya ((At-Tashri’ Al-Jina’ie Al-Islami)) menyebut, “Penduduk Negara Islam ada dua: Muslimin dan kafir zimmi”. Beliau menyambung lagi, “Orang-orang Islam dan kafir zimmi kedua-duanya terpelihara(ma’sum) darah dan harta mereka kerana al-‘Ismah(pemeliharaan) di sisi Syariah berlaku dalam dua keadaan: Iman dan Keamanan. Makna Iman adalah dengan Islam, manakala makna keamanan adalah dengan perjanjian. Dan perkara ini berlaku dengan perjanjian Zimmah. Orang-orang Islam terpelihara darah dan harta mereka kerana Islam, manakala orang-orang kafir zimmi terpelihara darah dan harta mereka dengan perjanjian keamanan”[41]

IJTIHAD PADA PERKARA YANG TIDAK MEMPUNYAI NAS

Seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Hassan al-Banna di dalam usul ke-5 beliau, bahawa pendapat pemerintah hanya boleh diterima dalam tiga keadaan yang salah satunya kepada perkara yang tidak mempunyai nas daripada al-Quran dan hadis yang sahih yang menunjukkan kepada suatu perintah atau larangan.

Oleh itu, perkara yang tidak dinyatakan oleh nas akan perintah dan larangannya ini disebut sebagai “daerah yang dimaafkan” di mana Allah SWT memberi keluasan kepada kebijaksaan para ulama, qadhi, hakim atau para pemerintah untuk melakukan ijtihad. Perkara ini dinyatakan di dalam beberapa hadis Rasulullah SAW di mana baginda bersabda:

ما أحل الله في كتابه فهو حلال وما حرم فهو حرام وما سكت عنه فهو عفو… ثم تلا: وما كان ربك نسيا
.
“Apa-apa yang dihalalkan oleh Allah di dalam Al-Quran, maka ia halal. Dan apa-apa yang diharamkan, maka ia haram. Dan apa-apa yang didiamkan daripadanya, maka ia suatu kemaafan (keluasan) .. kemudian Nabi SAW membacakan sepotong ayat: Dan tidaklah Tuhan kamu itu lupa[42][43]

Merujuk kepada daulah Islam, maka para pemimpin perlu bijak membuat keputusan di atas perkara yang tiada ketetapan oleh nas tanpa melanggari dan bercanggah dengan maqasid syar’iyyah dengan mengambil kira kesesuaian zaman, tempat dan masyarakat yang berada di sekelilingnya. Pendapat dan keputusan yang ingin diputuskan boleh dilakukan dengan penilaian oleh seorang pemimpin sahaja ataupun melalui perbincangan bersama oleh barisan exco kerajaan negeri yang ada dalam mencapai keputusan yang terbaik buat dipersembahkan kepada rakyat.

ISU PENTERNAKAN BABI DI DALAM NEGERI SELANGOR

Menurut hemat kami, tidak terdapat nas yang sorih daripada al-Quran dan Sunnah yang melarang pihak pemerintah bagi Daulah Islam untuk menyediakan kemudahan khusus bagi penternakan babi buat orang-orang kafir di atas dasar menghormati kebebasan agama yang mereka anuti.

Islam menjamin kebebasan mereka untuk menikmati jenis-jenis makanan yang diharamkan dan dianggap najis oleh Islam, seperti daging babi, asalkan hal itu memang ditetapkan sebagai makanan yang halal di sisi agama mereka.[44]

Bahkan, haram bagi pemerintahan islam menggangu tempat peribadatan dan syiar agama mereka di dalam Negara Islam. Keadaan ini berlaku pada zaman Umar bin Al-Khattab yang telah menulis sepucuk surat kepada Ahli Al-Quds, di mana kandungan surat itu seperti berikut;

هذا ما أعطى عبدالله عمر أمير المؤمنين أهل أيلياء من الأمان: أعطاهم أمانا لأنفسهم وأموالهم وكنائسهم
.
“Ini adalah pemberian Abdullah Omar Amir Al-Mu’minin kepada Ahl Iilya’ daripada keamanan, Dia memberi keamaman terhadap nyawa mereka, harta mereka dan gereja-gereja mereka”[45]
.
Apabila sudah terdapat tempat pengibadatan mereka sejak sekian lama, maka pemerintah Islam tidak dibenarkan meruntuhkannya melainkan dengan bersebab.Ini dibuktikan dengan tindakan kebanyakkan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang tidak meruntuhkan rumah ibadat mereka dan tindakan Omar bin Abdul Aziz yang telah menulis surat kepada pegawai-pegawainya agar tidak meruntuhkan gereja dan rumah penyembahan api mereka.[46]
.
Ulama berselisih pendapat dalam menentukan hukum membina tempat pengibadatan mereka, apabila tempat tersebut masih belum dibangunkan lagi tempat pengibadatan.Menurut Malikiyyah, mereka dibenarkan membina tempat peribadatan mereka sekiranya tiada di sana penempatan orang-orang Islam. Pendapat ini disokong oleh Al-Kasani di dalam kitabnya ((Badai’ As-Sanai’)) dan sebilangan ulama bermazhab Hanafi. Tambahan lagi, sekiranya orang-orang kafir yang berada di kawasan yang didiami oleh majoriti orang-orang Islam memohon untuk membina tempat ibadat mereka di situ, dalam hal ini Imam Ibnu Qasim yang bermazhab Maliki membenarkannya, tetapi dengan bersyarat, iaitu mereka hendaklah mendapat keizinan dari pihak pemerintah terlebih dahulu.[47]

Ulama sepakat menyatakan bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja syiar agama mereka dalam tempat ibadat mereka. Adapun di luar tempat ibadat, ulama berselisih dalam hal ini. Sebilangan ulama membenarkan mereka menzahirkan syiar mereka di luar tempat ibadat. Ulama yang membenarkan itu adalah Al-Kasani dengan katanya:

فِي الْقُرَى أَوْ فِي مَوْضِعٍ لَيْسَ مِنْ أَمْصَارِ الْمُسْلِمِينَ فَلَا يُمْنَعُونَ مِنْ إحْدَاثِ الْكَنَائِسِ وَالْبِيَعِ، كَمَا لَا يُمْنَعُونَ مِنْ إظْهَارِ بَيْعِ الْخُمُورِ وَالْخَنَازِيرِ
.
“Dalam negeri atau tempat yang tidak didiami oleh orang islam, mereka tidak ditegah untuk mewujudkan gereja dan Biya’ (gereja yahudi), sepertimana mereka tidak ditegah untuk menjual arak dan babi”[48]

Dalam mengulas isu ini, Dr Abdul Karim Zaidan berpendapat, larangan ulama menegah kafir zimmi menzahirkan syiar agama mereka di luar gereja di penempatan orang Islam adalah kerana hendak menjaga kemaslahatan umum bagi negara Islam.Keadaan ini dilihat kepada kejadian yang berlaku pada zaman Khalid bin Al-Walid yang membenarkan Ahli ’Anat menzahirkan syiar agama mereka di penempatan mereka.Dalam pada itu, Dandal Jabar, penulis kitab ((Al-Aqalliyat Ghair Al-Muslimah fi Mujtama’ Al-Islami)) menyatakan, pemerintah Islam boleh membenarkan kepada Ahli Zimmah menzahirkan syiar agama mereka di penempatan orang Islam dan selainnya sekiranya ia aman dan terselamat dari fitnah[49].[50]

Sekiranya para ulama memberi kelonggaran di dalam perkara yang melibatkan pengibadatan mereka, justeru – menurut hemat kami – tiada larangan untuk pemerintah Islam memberi kelonggaran di dalam perkara yang berkaitan dengan kebebasan pemakanan mereka, apatah lagi tidak terdapat nas yang jelas melarang para pemerintah untuk melakukan demikian samada daripada al-Quran, Hadis, Ijma’ dan perbuatan para sahabat sebelumnya. Apa yang jelas dilarang adalah larangan untuk memakan dan melakukan jual beli dengan daging babi di antara orang Islam mahupun dengan orang kafir.

Namun begitu, pihak kerajaan harus mempertimbangkan perkara ini sebaiknya demi kemaslahatan umum terutamanya kepada orang-orang Islam dengan memerhatikan kawasan penternakan tersebut; adakah ia terbuka kepada pencemaran yang tidak terkawal, kesan kesihatan kepada penduduk sekeliling dan alam sekitar.

Di dalam masa yang sama, kerajaan perlu sentiasa memantau aktiviti mereka dan meletakkan beberapa syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi agar persoalan-persoalan di atas tidak akan berlaku.

.
.
......................

[1] Ertinya: ((Tinggalkan apa-apa untuk pemerintahan bagi pemerintah, dan apa-apa untuk Allah bagi Allah)). Inilah ideolagi yang diimani oleh golongan sekular dulu dan hari ini. Agama dipisahkan jauh dari urusan kenegaraan dengan meletakkan tangungjawab tersebut hanya kepada golongan pemerintah. Sekiranya ideologi ini diimani oleh golongan sekular, bagaimana pula dengan Islam yang menentang pemisahan di antara jasad dan roh, atau memisahkan di antara Allah SWT dan pemerintah. Sesungguhnya segala-galanya hanya untuk Allah SWT. ((Ad-Deen was Siyasah, m.s 73)
[2] Al-Madkhal lidirasatis Syari’ah al-Islamiyyah, Dr Abdul Karim Zaidan, m.s 17-33
[3] Al-Hadid: 25
[4] As-Siyasah As-Syar’iyyah Fi Islaahir Ra’i war Ra’iyyah, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, m.s 26
[5] Tarikh at-Tabari, Imam at-Tabari, (2/401)
[6] Di dalam Ilmu Mantiq (Ilmu Logik), untuk membolehkan sesuatu takrif yang dibawa oleh seseorang itu diterima, ia hendaklah memenuhi beberapa syarat antaranya: Takrif yang dikemukakan itu hendaklah bersifat Jami’ dan Mani’. Jami’ bermaksud menyeluruh atau meliputi semua objek yang ditakrifkan. Manakala Mani’ pula ialah dengan membuang atau mengeluarkan semua objek yang tidak berkaitan atau tiada hubungan dengan takrif yang diberikan. Sekiranya pentakrifan itu tidak Jami’ dan Mani’, maka pentakrifan itu tertolak. (Idhohul Mubham Syarah as-Sullam, Syeikh ad-Damanhuri, m.s 45)
[7] An-Nisa’: 58
[8] As-Siyasah As-Syar’iyyah Fi Islaahir Ra’i war Ra’iyyah, m.s 9
[9] Tafsir at-Tabari, Imam at-Tabari, (8/490)
[10] Musnad Imam Ahmad, (3/22)
[11] At-Ta’addudiyyatis Siasiyyah fid Daulatis Syuriyyah, m.s 51
[12] Ibid m.s 52
[13] Quraisy: 4
[14] An-Nahl: 90
[15] Al-‘Uqubah, ms. 9
[16] Lihat artikel kami ((Jangan salah Faham Terhadap Islam)) bertarikh 9 Februari 2008 di bawah label: Fikir-fikir, Hukum dan Semasa. (http://ibnasmuni.blogspot.com/2008/02/jangan-salah-faham-terhadap-islam.html)
[17] Al-Khilafah al-Islamiyyah, Dr Sodiq Shaif Nu’man, m.s 203-204
[18] Al-Ashbah wan Nazaair, as-Suyuthi, kaedah ke-5 di dalam Kitab as-Thani, m.s 269
[19] Hadis dikeluarkan oleh Sa’id ibn Mansur (4/1538). Lihat Al-Ashbah wan Nazaair, as-Suyuthi, m.s 269
[20] Ad-Dararul Bahiyyah Fi Idhohil Qawa’id Fiqhiyyah, Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari, m.s 138
[21] Iaitu kaedah yg disebut oleh Imam as-Suyuthi di atas.
[22] Al-Ashbah wan Nazaair, as-Suyuthi, m.s 269
[23] Yang dimaksudkan dengan ((Kehendak Syara’)) di sini adalah apa yang disebutkan sebagai Daruriyyatul Khamsah atau Kulliyyatul Khams yang mencakupi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. WA
[24] Nazariyyatul Maslahah Fil Fiqhil Islami, m.s 5-8 yang dinaqalkan daripada buku ((As-Siyasah As-Syar’iyyah)) karangan al-Qaradhawi.
[25] As-Siyasah As-Syar’iyyah, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, m.s 87
[26] Ibid, m.s 92
[27] Fi Fiqhil Awlawiyyat, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, m.s 25
[28] Al-Wajeez Fi Usul Fiqh, Syeikh Dr. Abdul Karim Zaidan, m.s 406
[29] As-Siyasah As-Syar’iyyah, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, m.s 47
[30] Penjelasan Di Sekitar Risalah Ta’lim, Muhammad Abdullah al-Khatib, m.s 93-94
[31] Contohnya seperti penetapan hari raya dengan menggunakan Hisab Falak selain Ru’yah, melafazkan lafaz niat sebelum takbiratul ihram bagi mazhab as-Syafi’ie, penggunaan biji tasbih ketika bertasbih, meninggikan mimbar jumaat dan sebagainya yang dianggap mempunyai maslahah di sisi para ulama. WA
[32] Al-Mumtahanah: 8
[33] Al-Maidah: 2
[34] Tafsir al-Qurtubi, (6/41)
[35] Riwayat At-Tirmizi, (7/1820). Hadis Hasan Sahih.
[36] Riwayat Tirmizi, 1988. Beliau mengatakan hadis ini Hasan.
[37] Sunan Abi Daud, (12/292)
[38] Sunan Abi Daud : 2654
[39] Sahih Al-Bukhari : 2930
[40] Hadis ini dinilai doif oleh Syeikh Albani dalam kitabnya ((Ghayah Al-Muram)) : m.s 269
[41] At-Tashri’ Al-Jina’ie Al-Islami, Syeikh Abdul Qadir Audah, (1/240) yang beliau ambil dari ((Badai’ Sana’i: 7/102)), ((Mawahibul Jalil: 6/231)), ((Asnal Mathalib: 4/218)) dan ((Syarhul Kabir: 10/630)).
[42] Maryam: 64
[43] Riwayat Hakim dengan sanad yang Sahih dan disepakati oleh Az-Zahabi (2/375), dan Al-Bazzar berkata bahawa Isnadnya Solih (123) dan diHasankan oleh Albani di dalam ((Ghoyatul Maram))
[44] Min Fiqhid Daulah Fil Islam, Syeikh Al-Qaradhawi, m.s 73
[45] Tarikh Al-Rusul wa Al-Muluk, (2/308)
[46] Al-Aqalliyat Ghair Al-Muslimah Fi Mujtama’ Al-Islami, m.s 288
[47] Ibid : m.s 292
[48] Badai’ As-Sanai’, (15/240)
[49] Al-Aqalliyat Ghair Al-Muslimah fi Mujtama’ Al-Islami, m.s. 302
[50] Ruj: ((http://al-bakistani.blogspot.com/2008/03/kertas-kerja-kedudukan-ahlul-zimmah.html))

Tuesday 1 April 2008

Kerinduan yang Dilepaskan ...

.
“Fitri … anta tahu tak Ma’arad Kutub 4 April ni?”, tanya sahabat saya.
.
“Yeke, ana tak tahu pula… Nanti kita pergi sekali ye”, jawab saya kepada beliau.
.
Di dalam kepala saya sudah terbayang-bayang buku apa yang bakal menjadi sasaran. Sudah lama saya menjeling-jeling buku tersebut, tetapi terpaksa saya pendamkan kerana harganya mahal.
.
Semenjak berkawan dengan buku, saya tidak pernah terlepas pergi ke sana(pameran buku) untuk mencari mana-mana buku yang berkenan di hati. Cuma tahun lepas saja saya tidak pergi kerana ketika itu saya berada di Syria.
.
Tahun ini sekiranya diizinkan Allah SWT, saya nak pergi sekali lagi .. Insya-Allah.
.
PASCA-KEMATANGAN
.
“Apa la yang abang asyik duk baca tu ..?”, hati saya berbicara semasa zaman budak-budak dahulu ketika melihat abang yang terkadang tergelak-gelak ketika membaca buku Oliver Twist di perpustakaan rumah.
.
Dulu, semasa bergelar budak sekolah .. saya amat tidak suka untuk mendekati buku. Tidak kira buku apapun, semuanya tidak saya minati untuk sedikitpun membacanya(tidak termasuk buku-buku sekolah). Membaca buku bukanlah hobi saya dan buku bukanlah teman saya ..
.
Kalau di sekolah, ada kawan-kawan yang selalu membaca komik ‘Dragon Ball’. Kadang-kadang episod yang tidak sempat dibeli dipinjam dari kawan yang sudah membelinya. Khusyuk mereka membaca komik tersebut seolah-olah seperti melihat kungfu sebenar di hadapan mata. Namun, ia tidak pernah menarik minat saya. Mujur …
.
Saya – dulu – merupakan ‘outdoor person’. Berbeza dengan abang saya, waktu-waktu terluang di rumah sering beliau gunakan untuk membaca buku. Oleh kerana itu, beliau memang tidak ramai kawan kerana sifatnya yang selalu ‘terperuk’ di rumah. Namun, setelah menjadi sebahagian dari pelajar Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah .. beliau ternyata punya karisma dalam memimpin dan terserlah bakatnya dalam banyak perkara.
.
“Apa la yang Aid (Zaid) duk tergelak tu ..?”, tanya emak pada diri sendiri sambil memotong bawang di dapur.
.
“Abang masa kecil dulu memang mudah tergelak. Orang buat lawak sikit pun jadi la, memang dia akan gelak”, cerita mak pada saya berkenaan dengan perihal abang semasa kecil-kecil dulu.
.
Abang saya memang mudah tergelak. Baca buku pun beliau mampu tergelak .. tetapi waktu itu saya tidak faham apa yang sedang digelakkannya kerana naïf-nya saya terhadap kelazatan membaca buku.
.
Saya pula merupakan spesis yang susah untuk lekat di dalam rumah. Ada saja kerja yang akan saya lakukan setelah pulang dari sekolah. Selain bermain bola sepak, badminton & ping pong … banyak lagi aktiviti ‘outdoor’ yang pernah saya cuba lakukan bersama rakan-rakan saya.
.
SEKARANG …???
.
Tetapi sekarang semuanya dah berubah. Semuanya meninggalkan kenangan berharga buat saya. Kawan-kawan pula semuanya berjalan mencari bekalan hidup sendiri. Ada yang sudah terleka dengan buwaian duniawi sehingga terlupakan tuntutan ukhrawinya. Ada juga yang sedang sibuk belajar mem’bumi’kan diri agar kelak subur mengeluarkan pepohonan dan air yang membekali sumber keterikatan manusia. Tidak terlupakan juga yang telah pergi bertemu dengan Rabul Jalil …
.
Walaubagaimanapun, marhalah itu tidak pergi begitu sahaja. Ada ilmu yang saya pelajari di sepanjang jalan itu ..
.
SATU KETENTUAN ..
.
Minat dulu mungkin belum terpadam, ia hanya surut dek masa dan umur yang terus berjalan. Kini, saya hanya bermain dengan buku. Buku menggantikan permainan saya yang dulu. Ia tidak lagi menghambat tenaga fizikal, tetapi menghambat permikiran saya. Saya tidak menyangka bagaimana hari ini saya begitu minat membaca .. berpalit ‘total’ dari ketidakmahuan dulu.
.
Di samping mencari, saya juga menyelongkar.
.
Kalau dulu saya mencari dan menyelongkar ‘store’, tetapi hari ini saya mencari dan menyelongkar buku. Selain pengorbanan dan didikan dari ayah dan emak, saya amat berterima kasih kepada Ustaz-ustaz saya kerana mereka telah membuka hati saya untuk menyelami buku-buku deeni. Mereka memandu saya dengan pelbagai anjuran supaya menyelongkar buku-buku yang bersulam Tarbawi. Sejak dari itu, saya mula berjinak-jinak dengan pelbagai buku karangan pemimpin Ikhwan, sehingga catatan pena mereka membuatkan hati saya celik untuk memikirkan tentang diri saya dan diri umat Islam seluruhnya. Kalau dulu saya hanya berada dalam kepongpong sendiri, meletakkan dunia global di luar kotak permikiran saya … tetapi mereka mengajar saya agar lebih sensitif dan berjalan bersama-sama dengan ummat Islam lainnya. Di sinilah bermulanya gerbang cinta saya terhadap BUKU …
.
Ia satu ketentuan … bukan perancangan.
.
CINTA SEMAKIN MEKAR ..
.
Cinta itu terus mekar dengan penuh kedambaan. Makin saya menyelaminya, makin cinta itu menangkap kuat hati saya. Ia bukan cinta yang dipaksa-paksa, tetapi cinta tanpa syarat yang menghela nafas puas dan bahagia ketika bersamanya.
.
Oleh kerana saya dititip dengan benih agama, maka kecintaan saya terhadap buku-buku deeni juga melebihi dari kecintaan saya terhadap buku-buku lain. Saya tenang dan puas meluangkan masa bersama curahan-curahan agama, seperti tenang dan puasnya menerapung di atas lautan yang luas. Dahulu, sering saja saya menjejakkan kaki ke Pustaka Muda di Ipoh, mengintai buku-buku yang menarik minat saya … lalu saya beli tanpa berkira-kira.
.
Saya tatap setiap baris perkataan yang menyusun ayat, agar objektif penyampaiannya tidak tersasar dari tujuan asalnya. Apalagi jika ia merupakan buku-buku kerangka cetusan Muhammad Qutb dan Syed Qutb … jalur ayat yang disulam dengan sulaman sastera yang halus serta hidup itu memerlukan fokus yang terus terhadap setiap kata-kata yang cuba diungkapkan. Bahkan ungkapan yang bersifat sinis yang menombak golongan al-Mala’ itu juga membuatkan saya lebih berminat untuk menyelaminya. Seringkali saya sebutkan buku ini, buku ‘Salah Faham Terhadap Islam’ karangan Muhammad Qutb. Ia merupakan antara buku-buku awal yang begitu memberi kesan kepada jiwa saya. Walaupun tanpa ‘footnote’ dan lambakan kata-kata ulama, ayat Quran serta hadis Rasulullah SAW … tetapi saya kira beliau berjaya memecahkan sebuah tembok kekeliruan yang sering diputar belitkan oleh golongan sekular dan orientalis.
.
MEMPERBAIKI DIRI DEMI CINTA
.
Namun …semakin banyak buku-buku deeni yang saya baca, hati saya semakin kuat menarik saya untuk lebih dekat dengan susunan bahasa asalnya. Hati saya tidak puas dengan pembacaan terhadap buku-buku Deeni yang telah diterjemahkan, malah ia telah membiakkan minat saya untuk terjun ke dalam dunia bahawa Arab pula. Alhamdulillah, impian saya dimakbulkan Allah SWT. Saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk merasai setitis kemanisan ilmu Nahu dan Saraf.
.
Syukur ...Bahasa Arab merupakan kunci yang telah membuka peluang kepada saya untuk lebih mengukuhkan hubungan cinta saya dengan buku-buku Deeni, bahkan meluaskan jaluran pembacaan saya kepada lebih banyak buku-buku Deeni yang lain menurut kemampuan saya yang terbatas. Namun begitu, saya masih mahu belajar dan terus belajar kerana ia merupakan bahasa yang begitu tinggi nilai sasteranya ..
.
.
KEHEBATANNYA LUAR BIASA ..
.
Kehebatan dan kemuliaannya jelas apabila Allah SWT menggunakannya sebagai bahasa al-Quran. Ia Kalam Allah SWT, bukan Kalam makluk yang Baharu, lemah lagi terbatas. Ia merupakan kalam yang diwahyukan oleh Pencipta segala kalam .. dihiasi dengan ketinggian bahasa yang begitu hebat susunan lafaznya sehingga mampu membuatkan air mata manusia menangis dan merasa ta’ajjub.
.
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ قُرْآَنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadanya (Muhammad) al-Quran di dalam Bahasa Arab agar kamu semua berfikir” (Yusuf: 2)
.
Umar al-Khattab melafazkan lafaz syahadatain setelah terkesan dengan ketinggian bahasanya. Kebengisan dan ketegasannya lalu terkoyak dicarik-carik oleh kehalusan bahasanya yang sangat menyentuhkan. Bisanya kena pada mereka yang angkuh dan sombong dengan Tuhan, tetapi madu buat mereka yang ta’at dan beriman. Itu bahagia ..
.
Tetapi celaka seperti pemuka-pemuka Quraish, Yahudi, Nasrani dan Ahli-Ahli Syair yang menafikan seruannya. Tatkala dibacakannya kepada mereka, mereka lantaran ta’ajjub dan lebur di dalam mainan sentuhan bahasa yang aneh alunannya. Namun, dek kerana penyerunya yang fakir serta ‘ummiyyun’, mereka menafikannya …
.
أَكَانَ لِلنَّاسِ عَجَبًا أَنْ أَوْحَيْنَا إِلَى رَجُلٍ مِنْهُمْ أَنْ أَنْذِرِ النَّاسَ وَبَشِّرِ الَّذِينَ آَمَنُوا أَنَّ لَهُمْ قَدَمَ صِدْقٍ عِنْدَ رَبِّهِمْ قَالَ الْكَافِرُونَ إِنَّ هَذَا لَسَاحِرٌ مُبِينٌ
.
“Patutkah menjadi kehairanan bagi manusia bahawa Kami mewahyukan kepada seorang lelaki di antara mereka: “Berilah peringatan kepada manusia dan gembirakanlah orang-orang yang beriman bahawa mereka mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Tuhan mereka”. Orang-orang kafir berkata: “Sesungguhnya orang ini (Muhammad) benar-benar adalah tukang sihir yang nyata” (Yunus: 2)
.
Itulah yang dinamakan keangkuhan. Sungguh, mereka itu termasuk di dalam golongan yang teramat rugi. Ya Allah .. semoga Engkau tidak memasukkan kami ke dalam golongan seperti itu. Tolong Ya Allah ..
.
SENTUHAN BAHASA UNTUK SEORANG KEKASIH
.
“Kamu gila ..!! Kata-kata kamu adalah sihir”, kata golongan kafir Quraish kepada Nabi SAW.
.
Begitulah Baginda SAW diuji. Bentakkan suara herdikkan itu tidak sedikit pedihnya kalau diludahkan kepada kita, ia sangat pahit untuk ditelan dan sangat sukar untuk diterima. Menggambarkan tugas ini terlalu berat untuk dipikul. Kita sendiri pun belum tentu berkemampuan untuk menanggungnya. Menerimanya seolah-olah mencampakkan diri ke dalam selut yang kotor dan hitam, membiarkan diri diludah dan dicaci oleh manusia berhati batu. Tetapi itulah hakikat yang pernah nabi kita lalui semasa menjalankan amanah Allah SWT itu. Cacian dan herdikan merupakan hidangan harian yang disajikan kepada baginda tatkala menyeru manusia kepada Allah SWT.
.
وَإِنَّكَ لَعَلَى خُلُقٍ عَظِيمٍ
.
“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung” (al-Qalam: 4)
.
Dengan sentuhan bahasa, Allah SWT menghadiahkannya kepada Nabi Muhammad SAW. Saya yakin pasti semua orang pernah membaca ayat ini. Bahkan terlalu ramai juga yang menghafaznya. Tetapi adakah kita memahaminya? Saya sendiri, membacanya ‘harfan bi harfin’ tetapi sekadar suatu bacaan untuk mendapatkan berkat semata-mata. Sedangkan kita terlupa bahawa al-Quran itu sebenarnya diturunkan untuk difahami dan dipelajari, bukan sekadar untuk dibacakan. Mungkin keengganan kita dan Saya sendiri untuk ikhlas menuruti perintaan Allah SWT disebabkan oleh lemahnya kita memahami isi kandungan al-Quran itu sendiri. Lihat firman Allah SWT:
.
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
.
“Bulan Ramadhan, bulan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza(di antara hak dan batil)” (al-Baqarah: 185)
.
Ayat ini merupakan keagungan, penghormatan dan pujian yang Allah SWT anugerahkan kepada junjungan besar nabi Muhammad SAW. Ayatnya pendek dan ‘simple’ tetapi ia disusun dengan perbendeharaan ilmu nahu dan saraf yang halus sehingga membuatkan maksudnya begitu tinggi nilainya. Itu biasa. Tidak semua kata-kata yang menyenangkan itu perlu kepada luahan kata-kata yang panjang, terkadang panggilan & ekspresi ringkas itu sudah memadai untuk membungakan perasaan cinta dan kasih sesama insan. Rasulullah SAW sering saja memanggil Siti Aisyah RA dengan panggilan ‘Wahai Humairaa’. Ibn Atsir berkata, “Al-Humaira’ adalah bentuk sighah Tasghir dari kata al-Hamra’ yang bererti al-Baidhaa’ atau wanita yang putih”. Az-Zahabi pula mengatakan bahawa dalam perbendaharaan penduduk Hijaz, al-Hamraa’ ertinya wanita putih yang kemerah-merahan, dan yang seperti itu jarang terdapat di kalangan mereka.[1]
.
Dengan penggunaan 2 lafaz ta’kid pada huruf ‘Inna’ dan huruf ‘la’ pada ayat 4 surah al-Qalam itu merupakan suatu penekanan dan ekspresi yang tinggi lagi penyataan yang benar dari Allah SWT untuk menyatakan sifat dan akhlak Rasulullah SAW selepas itu. Penggunaan lafaz nakirah pada 2 lafaz ‘khuluqin’ dan ‘Azim’ pula menunjukkan kepada satu penyataan yang bersifat umum untuk menunjukkan bahawa semua bentuk akhlak yang terpuji dimiliki oleh Rasulullah SAW, tidak ada yang tercicir dan tertinggal. Seterusnya, penggunaan sighah Mubalaghah (berlebih/tersangat) pada lafaz ‘Azim’ tersebut pula menandakan bagaimana Allah SWT menggambarkan kemuliaan akhlak nabi SAW yang begitu tersangat mulia dan terpuji agungnya.
.
SATU ‘IBRAH BUAT PARA PEJUANG
.
Pujian ini juga merupakan satu penawar Allah SWT buat nabi SAW disebabkan oleh pendustaan yang dilakukan oleh golongan kafir Quraish kepada baginda SAW sehingga mengatakan bahawa baginda SAW merupakan seorang yang gila.
.
Mungkin ada yang bertanya, “Tadi kata Allah SWT sangat memuliakan dan sayangkan nabi. Tetapi mengapa baginda SAW terpaksa melalui perik getir menanggung azab sesangsara sedangkan mereka ini katanya berada dalam kebenaran?”.
.
Allah SWT mewajibkan kita mempercayai dan beriman dengan tujuan matlamat dan saranan di samping itu juga dipinta melalui jalan-jalan yang penuh dengan onak duri dan merbahaya untuk mencapai tujuan dan matlamat agama.
.
Kalaulah Allah SWT mahu, nescaya mudah bagi-Nya untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam agar semuanya taat kepada-Nya, tetapi keadaan seumpama ini tidaklah pula membuktikan perhambaan manusia akan dirinya kepada Allah SWT dan tidak menunjukkan yang dia telah bersabung nyawa, mengorbankan harta bendanya demi iman kepada Allah SWT. Ia seumpama hubungan suami isteri .. keta’atan dan kesetiaan ikatan suami isteri itu tampak jelas apabila kedua-duanya saling mengikat dan bersatu dalam apa jua kegoncangan yang mendatang, biar ia ombak dan badai, biar ia angin yang bersiul meniup kencang, selama ia tidak menyanggahi landasan syariat Allah SWT, mereka masih tetap mengikat janji setia untuk bersama di atas nama cinta. Begitulah perumpamaannya. Kesenangan tanpa ujian itu bukan ukuran untuk menjustifikasikan nilai perhambaan sebenar seorang hamba kepada Tuhannya. Tanpa wujud semua ini, maka tidak wujud perbezaan di antara mukmin sejati dengan munafiq dan di antara yang benar dan yang batil. Di dalam masa yang sama, setiap batas perbuatan dan percakapan yang dilakukan oleh Baginda SAW adalah pendidikan dan contoh kepada umatnya. Baginda cuba menyampaikan suatu petunjuk bahawa cabaran dalam berdakwah itu merupakan sunnah dan suratan ilahi sejak dipermulaan sejarah lagi. Keadaan ini sebagai satu jawapan kepada kita supaya tidak ada suara-suara yang cuba mempertikai dan membezakan kerja dakwah yang dilakukan oleh nabi SAW dan umatnya yang lain. Walaupun baginda seorang nabi, beliau juga tidak terlepas dari fitrah tersebut .. tidak memiliki kekuasaan dengan jalan mudah dan kesenangan.
.
Maka, layaklah baginda untuk dijadikan ikutan …
.
Kalau begitu sekali pujian yang telah Allah SWT titipkan buat nabi-Nya, Muhammad SAW … mengapa perlu kita menolak risalahnya??? Mengapa perlu menafikan petunjuknya?? Mengapa perlu sangsi dan ragu dengan seruannya?? Beliau bukan seperti manusia lain. Beliau adalah insan maksum yang mendapat tarbiah langsung dari Allah SWT, Tuhan Yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan dan kecacatan.
.
قُلْ لَا أَقُولُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَى إِلَيَّ
.
“Katakanlah, “Aku tidak mengatakan kepadamu bahawa perbendaharaan Allah ada padaku, dan tidak pula aku mengetahui yang ghaib dan tidak pula aku mengatakan kepadamu bahawa aku seorang Malaikat. Aku tidak mengikuti kecuali apa yang diwahyukan kepadaku” (al-An’am: 50)
.
Apa yang diserukannya adalah wahyu yang hak dan keadilan, jauh dari kebatilan dan kezaliman .. bukan sebuah propaganda, bukan juga mainan politik.
,
PENGKRITIK NABI MUHAMMAD = KAFIR & DIBUNUH !!
,
Oleh itu, sepakat para ulama tanpa khilaf mengatakan barangsiapa yang mencaci, menghina, menafi dan mengkritik jasad, tubuh, dakwah dan risalah nubuwwah Muhammad SAW … kalau dia Islam, maka wajib kepada amir al-mukminin menghukum kafir kepadanya dan hukuman bunuh wajib dilaksanakan.
,
.. kerana tindakan seperti itu seperti telah menafikan pemilihan Allah SWT terhadap diri dan peribadi Muhammad sebagai Rasulullah SAW. Ini suatu penafian yang mendatangkan murka Allah. Ia bukan seperti murkanya sultan terhadap penafian ahli-ahli UMNO terhadap pelantikan Dato’ Ahmad Sa’id sebagai Menteri Besar Terengganu, tetapi kemurkaannya membuatkan tercabutnya sumpah Iman dan Islam dari dirinya sehingga halal baginya untuk dibunuh di dunia dan dicampakkan ke neraka di akhirat kelak. Menafikan pemilihan Allah SWT bererti tidak lagi thiqah, yakin, ta’at dan tawajjuh dengan keagungan dan kemuliaan-Nya sebagai Tuhan Semesta Alam. Na’uzubillah …
,
KERINDUAN YANG SAYA LEPASKAN
,
Sememangnya menulis merupakan minat saya, terutamanya kata-kata indah yang berbentuk syair atau sajak. Dahulunya saya sering berbalas-balas sajak dengan sahabat saya yang jauh melalui email. Setiap penutup perbicaraan sering saja dinoktahkan dengan sajak atau kata-kata indah .. kata-kata indah yang dibaris-bariskan mendorong saya untuk membalasnya. Walaupun mungkin ia pahit pada lidah orang lain, tapi ia tetap sebuah karya yang pernah dulu saya kerangkakan …
,
Hari ini saya melangkah setapak menjadi Blogger. Dihasilkan semasa saya berada di Syria. Tujuan asalnya sekadar ingin mencuba-cuba, tetapi akhirnya berubah menjadi jambatan menyumbang permikiran dan idea … Justeru memerlukan sedikit ilmu dan pembacaan, supaya apa yang dipersembahkan tidak kosong tanpa pedoman.
,
Apabila sudah lama rindu itu dipendamkan, maka hari ini kerinduan itu saya lepaskan.
,


,

,

------------------------
,

[1] Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kemuliaan dan sifat terpuji Rasulullah SAW, sila rujuk kitab Shamail Muhammadiyyah karangan Imam at-Turmizi serta As-Syifa’ karangan Qadhi ‘Iyadh. WA