Tuesday 22 July 2008

Sepele tapi Besar ertinya

.
Walau sesibuk manapun kita, solat jangan sesekali ditinggalkan.
Nabi SAW bersabda di dalam sebuah hadis yang panjang (yang bermaksud): "Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat, manakala kemuncaknya adalah jihad" (Hadis Sahih dikumpul oleh at-Tabrizi di dalam Mishkat al-Masobih)

Wednesday 9 July 2008

Protes atas PROTES

.
"Ustaz, pergi tak Protes 6 Julai ni?", saya bertanya kepada Ustaz ibn Ji.
.
"Tak .. boikot", beliau membalas soalan saya di dalam YM. Saya terkejut dengan jawapan beliau, apatah lagi apabila beliau menulis 'boikot'.
.
Soalan yang sama saya tanyakan kepada abang Muhaimin Sulam (bekas Ketua Pemuda PAS Perak) tatkala beliau bertandang ke rumah saya, namun dengan jawapan yang lebih sinis, "Protes atas protes", beliau menjawab.
.
Saya hanya mengiyakan jawapan kedua-duanya tanpa saya ketahui alasan di sebaliknya. Saya bingung dan tidak faham ... Apa dah jadi ni? Persoalan itu berpusing-pusing dalam kepala otak saya. Baju 'protes' sudah dibeli, semangat pun sudah membara .. tinggal menunggu hari dan masanya sahaja.
.
Malam itu tanpa membuang masa saya terus mencari jawapannya di dalam blog-blog bloggers. Saya buka blog Ustaz Nasrudin Tantawi. Akhirnya saya ketemu 'hint' disebalik 'boikot' dan 'protes atas protes' tersebut ... macam ada bau-bau konsert rock akan diadakan pada hari tersebut. "PROTES 6. 7. 2008 DEMO ATAU KONSERT ?", itu topik artikel beliau pada 30 Jun 2008.
.

INGIN DEMO ATAU KONSERT?
.
Saya ulangi soalan Ustaz Nasrudin Tantawi dengan sedikit penambahan.
.
Atau dengan lebih jelas lagi, haruskah perlu anjurkan konsert untuk menarik kehadiran masyarakat pada hari protes tersebut?
.
Atau dalam bentuk yang lebih detail lagi, apakah matlamat kehadiran tersebut disebabkan oleh konsert atau disebabkan oleh kemarahan rakyat akan kenaikkan harga minyak yang mendadak di negara kita?
.
Atau dengan versi lebih mudah lagi, apakah kita mahukan kehadiran rakyat disebabkan oleh konsert atau disebabkan oleh rasa ketidakpuasan mereka terhadap tindakan kerajaan yang menaikkan harga minyak secara mendadak lalu turun beramai-ramai menunjukkan rasa protes mereka pada 6 Julai tersebut dengan tanpa dipaksa-paksa?
.
Saya tidak bercadang untuk mengulas panjang isu ini kerana ia telahpun berlalu. Bak kata orang tua, "Yang dah berlalu itu biarlah berlalu". Namun, saya sekadar ingin membawa anda berfikir mengenai soalan yang saya kemukakan di atas dan berilah jawapan ke atasnya. Moga selepas ini tidak akan timbul lagi persoalan yang sama seperti di atas.
.
Mungkin tidak keterlaluan kalau saya bertanya, apakah masih perlu menabur umpan pada harimau yang sedang lapar supaya ia membaham sasaran yang berada di hadapannya? Inilah jawapan saya kalau orang bertanya.
.
Kalau abang Muhaimin menjawap dengan penuh bersinis, saya pun nak bersinis juga.
.

Sunday 6 July 2008

Allah SWT bertanya ...

.
"Salam abang Meor, jom pergi rumah Ustaz KAS. Ahad ni ana nak balik UIA dah ..", sms saya kepada beliau malam Jumaat sebelumnya.
.
"Ok, nanti ana bagitahu ustaz .. kita jumpa dia petang-petang sikit la ye", beliau menjawab sms saya.
.
Semenjak isteri beliau dimasukkan ke hospital, hampir 2 bulan usrah kami tidak berjalan. Jadi, sebelum saya balik ke UIA, saya bercadang untuk menziarahi beliau di rumahnya petang semalam di Pengkalan. Alhamdulillah, ustaz KAS atau nama penuhnya Khairil Azhar Samsuddin jarang sekali mensia-siakan hajat orang yang ingin bertemu dengannya.
.
Petang yang redup itu sungguh nyaman sekali. Ia menatijahkan sebuah pertemuan yang cukup berharga bagi kami bertiga. Sambil makan bubur kacang yang dihidangkan, ustaz KAS tidak henti-henti memberi nasihat dan pandangan terhadap beberapa persoalan yang kami bangkitkan.
.
"Ustaz tu cacat, tapi dia memang kuat bekerja, kalah orang yang tak cacat", cerita ustaz KAS kepada kami perihal sahabat beliau yang giat melakukan kerja-kerja dakwah siang dan malam.
.
Begitulah ustaz menghidupkan suasana perbualan di antara kami. Terasa sungguh ukhuwwah yang tererat di antara kami di sepanjang liqa' tersebut. Setelah jam hampir menunjukkan pukul 7 petang, kami pun meminta diri kerana ustaz juga mempunyai jemputan untuk ke Tangjung Rambutan pada malam itu. Beliau merupakan seorang da'i yang terlalu banyak berkorban demi melahirkan golongan syabab yang berjiwa Islam. Justeru, beliau sesuai untuk mengisi tempat sebaik-baik golongan yang baik perkataannya di sisi Allah sebagaimana yang disebutkan di dalam ayat 33 surah Fussilat.
.
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
.
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" (Fussilat: 33)
.
Allah bertanya kepada kita, “Hey manusia, beritahu aku .. siapakah orang yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada jalan Aku ...?”. Itu soalan Allah kepada kita.
.
Sebelum kita menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui bahawa Allah SWT menggunakan pelbagai ‘uslub khitabah’ bagi setiap ayat-ayat yang diturunkanNya di dalam al-Quran. PengkhabaranNya tidak mendatar, tetapi diselangi dengan pelbagai bentuk kaedah dan uslub yang pelbagai.
.
Kadang-kala Allah SWT menggunakan uslub ‘Sumpah’ dengan sesuatu yang lazim bagi manusia seperti “Demi waktu Dhuha, “Demi Masa” dan sebagainya. Terkadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Mencabar’ untuk mencabar kesombongan Yahudi dan Nasrani, seperti yang disebut di dalam surah al-Baqarah, “Sekiranya kamu ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, maka datangkanlah satu surah sepertinya” atau “Datangkanlah bukti-bukti kamu sekiranya kamu adalah orang-orang yang benar”. Kadang-kadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Sindiran’ dalam menjawab seruan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mengatakan, “Jadilah kamu orang-orang Yahudi dan Nasrani, nescaya kamu akan diberi petunjuk. Katakanlah (Muhammad), bahkan agama Ibrahim itu adalah agama yang lurus, dan tidaklah dia termasuk di kalangan orang-orang Musyrik”. Bahkan terkadang Allah SWT menggunakan uslub ‘Pertanyaan’ kepada manusia seperti “Apakah kamu tidak memikirkannya”, “Apakah kamu tidak melihat” dan “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah”
.
Persoalannya, apakah persoalan yang dikemukakan oleh Allah ini menunjukkan bahawa Dia bodoh dan tidak mengetahui? Subhanallah !!! Maha Suci Allah !!! Allah SWT Maha Berkuasa dari sebarang sifat kekurangan, bahkan Dia mengetahui setiap sesuatu dari sebesar-besarnya sehinggalah kepada sekecil-kecilnya di antara yang zahir dan yang batin. Persoalan tersebut sebenarnya bertujuan untuk membentak para pembaca yang leka dan khayal, supaya mereka tersedar dari lamunan siang yang panjang dan melihat betapa luasnya Ilmu dan Kebesaran Allah SWT ini.
.
Persoalan Allah SWT itu memerlukan jawapan daripada saya dan kamu semua ... “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah?”
.
Soalannya satu, tetapi jawapannya belum tentu juga satu.
.
Ia terpulang sejauh mana kita meletakkan diri kita di sisi Islam .. Adakah kita ingin meletakkan diri kita sebagai golongan penyeru, atau golongan sedang diseru atau golongan yang bersedia untuk diseru ataupun melarikan diri tidak melakukan apa-apa.
.
Sekiranya kita bercita-cita untuk menjadi golongan Penyeru, ia adalah terlebih baik daripada menjadi golongan yang sedang diseru. Sekiranya kita sekadar menjadi golongan yang sedang diseru, ia juga lebih baik daripada golongan yang bersedia untuk diseru. Bahkan sekiranya kita hanya ingin menjadi golongan yang bersedia untuk diseru sekalipun, ia masih dianggap satu kebaikkan .. asalkan kita tidak termasuk di dalam golongan yang tidak bersedia untuk diseru dan menyeru. Saat itu, nescaya kita termasuk di dalam golongan yang dicela Allah dan RasulNya.[1]
.
Serulah dengan nama Tuhanmu !!
.
Serulah dengan risalah nabimu !!
.
Jadilah Pembantu-pembantu Allah dan Delegasi yang mewakili suara-suara para Rasul ‘Alaihimussolatuwassalam.
.
Habiskanlah sisa-sisa hidup kita dengan seruan “Aslim, Taslam” ... Islamlah kamu, nescaya kamu selamat !!! Kerana ia bukan kerja yang sia-sia, tetapi kerja amal yang tidak berkurangan ganjarannya di sisi Allah SWT.

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

.
“Barangsiapa yang menyeru kepada petunjuk yang benar, maka baginya ganjaran seperti ganjaran mereka-mereka yang mengikutinya, tidak berkurang sedikitpun daripada ganjaran tersebut daripada sesuatu apapun” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah RA, 172/1)
.
Mungkin ada yang persoalkan, "Macam mana saya nak berdakwah sedangkan saya tak ada kapasiti tersebut".
.
Apakah harus dia menghafal al-Quran, hadis dan mengetahui selok belok qawaid fiqh dan sebagainya barulah dia boleh menjadi pembantu-pembantu Allah? Nahi .. nahi .. nahi !! Islam tidak pernah memberatkan sesiapapun untuk menjadi pembantu-pembantuNya agar memenuhi syarat tersebut. Ia merupakan kelebihan, bukan syarat yang mesti disempurnakan.
.
Bahkan Islam menyatakan, "Bertaqwalah mengikut kemampuan kamu" .. iaitu lakukan tugas taqwamu menurut kemampuan seadanya selagi mana ia tidak bercanggah di sisi Islam. Meminjam istilah yang digunakan oleh Abusaif, jadilah golongan beragama walaupun kita bukan orang agama. Sekiranya kita tidak mampu berpidato, berpenalah di atas helaian kertas dan sebarkanlah. Sekiranya kita tidak mampu berpena, bertaqwalah dengan tubuh jasadmu ... tunjukkan akhlak Islam yang mulia ke mana saja kamu berada. Apakah ia bukan termasuk di dalam seruan dakwah ..?? Boleh jadi kebaikkan perbuatan kita itu boleh menarik ramai orang yang melihatnya. Keindahan Islam itu bukan hanya termaktub pada tuturannya, malah pada perbuatan dan contoh kebaikkan yang ditonjolkan ..
.
.
Telah saya utarakan di dalam artikel saya yang lalu, "Jadilah Pembantu-Pembantu Allah", bahwa setiap kita ada tugas dan peranan masing-masing terhadap Islam. Gunakan peluang kemahiran yang kita miliki untuk kita sampaikan kalimah tayyibah ini kepada masyarakat ... Doktor, Jurutera, Peguam, Guru dan sesiapapun ... Allah SWT telah menyediakan tempat mereka untuk menyampaikan sebaik-baik perkataan.
.
Saya dan kamu semuanya sama di sisi Allah SWT. Samada kamu kaya, miskin, cantik, tampan, menawan atau sebaliknya ... ia sama sekali tidak penting di sisi Allah SWT. Yang membezakan di antara kita semua adalah amal dan perjuangan kita. Biarpun kamu hodoh di sisi manusia, asalkan kamu berjuang di atas nama Allah yang Maha Esa ... kamu besar dan agung di sisi Allah dan para malaikat.
.

MB Perak yang patut dicontohi
.
Di akhirat kelak, semua orang akan dipersoalkan mengenai tanggungjawab ini. Tiada seorangpun yang berbeza di sisi Allah melainkan kanak-kanak, orang gila dan orang yang cacat ...
.
Namun nyata sekali, walaupun di kalangan kita ada orang yang cacat dan kurang upaya ... tetapi kelemahan tersebut tidak pernah menjadi halangan untuk mereka menjadi sebahagian daripada pembantu-pembantu Allah ... Ramaiiii, salah seorangnya adalah sahabat ustaz KAS yang beliau ceritakan ...
.
Mohon perlindunganMu Ya Allah ..
.
.
........................................
.
[1] Ia bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Abu Hurairah RA:

الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ
“Dunia itu dilaknat, dilaknat apa yang ada di dalamnya kecuali mereka yang mengingati Allah dan menta’atinya, orang-orang yang berilmu(penyeru) dan orang-orang yang menuntut (diseru)” (Imam at-Trimizi mengatakan hadis ini Hasan, 478/22)
.

.

Saturday 5 July 2008

Tenang saat bersamanya ...

Syeikh Fahd bin Salim al-Kanderi

"Tengah dengar Syeikh Masyari baca ke?", saya bertanya kepada sahabat setia saya.

"Biasalah .. my favourite", beliau menjawab.

"Ana tengah dengar Syeikh Fahd al-Kendari. Sayu sangat dia baca", saya menceritakan.

Saya tenggelam bersama-sama dengan keindahan suara dan bacaannya. Sahabat saya di satu pertiga malam itu. Susunan bahasa, kisah, Mau'izah, Inzar dan Basyhir itu menyempurnakan bagi setiap kesempurnaannya.

Biar beribu kali, hatta berjuta kali sekalipun mendengarnya, ia tidak pernah sesekali menjemukan. Bahkan setiap kali mendengarnya, keindahannya pasti bertambah ...

Ia menghiburkan perasaan yang sunyi, menenangkan hati yang lara .. memberi kekuatan buat diri yang lemah dan memberi keyakinan buat diri yang resah.

Ia ubat bagi segala ubat … As-Syifaaul lima fis sudur, warahmatan lil mu’minin.[1]

Itulah al-Quran .. Kalamullah, Mukjizat Rasulillah, Hujjah ummat Muhammadiyyah.
.
Kehebatannya boleh membuatkan manusia menangis, terduduk dan merasa gerun .. kerna ia bukan kalam ciptaan manusia, tetapi kalam ciptaan Allah, Pencipta alam semesta, Yang Istiwa' di atas 'Arasy dan Terkaya bagi sekelian alam.
.
Ia kalam yang tidak sunyi dengan mau'izah dan peringatan, berita gembira dan kemenangan, hakikat dan kenyataan, haq jua kebenaran, panduan hidup dalam kehidupan.
.
Ia kalam yang diturunkan buat manusia, buat ummat Muhammad Rasul akhir zaman. Ia mukjizat rasulillah, risalah teragung buat Baginda, bertebaran sehingga dua pertiga dunia. Ia hujjah buat para ikutan, senjata pemusnah manusia dan syaitan ...
.
"Surah Yusuf yang ana paling suka dengar .. tambah-tambah lagi dalam waktu subuh. Memang benar-benar memberi ketenangan", cerita sahabat saya mengenai bacaan Syeikh Masyari yang menjadi pilihannya.
.
"Tapi kalau ana, surah al-Mukminun yang paling ana khusu' dengar ..", cerita saya pula. Sungguh, kalau kami keluar bersama .. kami bertukar-tukar mendengar surah pilihan kami. Kadang-kadang surah al-Mukminun dan kadang-kadang suruh Yusuf, dan surah lainnya. Ke mana saja saya pergi .. kalau tidak membuka radio IKIM.FM, saya akan mendengar bacaan al-Quran sebagai teman di sepanjang perjalanan. Ia menghiburkan.
.
Demi Allah !! Saya tidak pernah lagi mendengar mana-mana orang mengatakan bahawa fikirannya kusut dan hatinya tidak tenteram saat mendengar bacaan al-Quran dilagukan. Walaupun surah yang dibacakan berulang-ulang, ia tetap masih menghiburkan.
.
Marilah berjinak-jinak dengan nasyeed al-Quran ....
.
Ya Allah,
Hiasilah kami, anak-anak kami dan isteri-isteri kami dengan hiasan al-Quran,
Muliakanlah kami dengan kemuliaan al-Quran.
Ya Allah,
Jadikanlah Quran sebagai hujjah bagi kami
dan janganlah Engkau jadikan Quran berhujjah ke atas kami. (ad-Dua')
.
-------------------------------
.
[1] Diambil dari dua ayat iaitu dari surah Yunus (10:57) dan surah al-Isra’ (17:82).
.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ
"Wahai manusia, sungguh telah datang kepada kamu peringatan daripada Tuhanmu, dan penawar bagi penyakit-penyakit (yang berada) di dalam hati dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman" (Yunus: 57)
.
وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآَنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ
"Dan Kami turunkan daripada al-Quran itu penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman" (al-Isra': 82)

Thursday 3 July 2008

Disebalik Pemberian itu ...

.

Ayah dan emak

Ayah saya memang sibuk. Kesibukkannya membuatkan beliau selalu pulang lewat ke rumah. Setelah selesai urusan di pejabat, kadang-kadang beliau masih belum pulang ke rumah kerana terpaksa mengikuti beberapa program jemaah sehingga menyebabkan waktu kerja beliau melebihi daripada waktu biasa.

Ayah kerap juga keluar outstation. Selain Kuala Lumpur, beliau kerap ke Kelantan. Dalam sebulan, mesti akan ada jadual perjalanan beliau ke Kelantan. Kadang-kadang balik hari, dan kadang-kadang terpaksa bermalam di sana. Mujur beliau mempunyai pemandu kereta peribadi yang bersedia membawa beliau ke mana-mana. Kami, terutamanya emak terpaksa ditinggalkan di rumah disebabkan oleh kesibukkan ayah.
.
.
Tetapi, walaubagaimana sibuknya beliau, ayah masih tidak melepaskan tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa. Emak, saya, abang dan adik masih tetap bahagia berada di bawah penjagaan ayah. Ayah tetap menitikberatkan kebajikkan kami sekeluarga.
.
Walaupun ayah seorang yang tegas, tetapi ketegasan beliau bertempat. Ada tempat beliau tegas, dan ada tempat beliau menjadi kawan kepada anak-anaknya. Boleh bergurau, bergelak ketawa dan berbincang bertukar-tukar pandangan. Pernah satu ketika saya berdebat dengan ayah bermula dari waktu makan malam sehinggalah berlarutan ke tengah malam. Tak habis-habis.
.
Dalam banyak-banyak hal yang saya kagumi tentang ayah, beliau tidak pernah mengeluh soal duit. Hatta terhadap adik beradik beliau dan saudara mara, ayah tidak pernah lokek untuk menghulurkan duit sekiranya mereka memerlukan. Bahkan ayah pernah memesan kepada saya, “Dengan adik beradik jangan berkira-kira”. Saya pegang pesanan itu sehingga ke hari ini. Ayah didik saya supaya jangan menjadi hamba kepada duit.
.
Kepulangan ayah dari outstation, beliau selalunya akan membelikan sesuatu untuk kami. Khususnya apabila beliau pergi ke Kelantan, mesti akan ada sesuatu yang akan ayah belikan untuk kami terutamanya emak. Buah tangan yang selalu ayah belikan untuk emak setibanya dari Kelantan adalah beberapa helai kain baju kurung yang ayah beli di Pasar Siti Khadijah, pusat perniagaan Melayu yang dipelopori oleh kaum hawa.
.
Kain-kain yang ayah belikan pula sesuai dengan kehendak dan citarasa emak. Bahkan, ayah pernah menceritakan jenis kain baju kurung yang bagaimana yang menjadi citarasa emak. Jadi, dari situ saya tahu bahawa ayah tidak 'pandai-pandai' memilih kain baju kurung untuk emak, tetapi ayah pilih sesuai dengan citarasa emak. Apabila emak terima kain tersebut, dari raut senyuman emak, saya tahu emak memang suka dengan baju yang dibelikan ayah itu.
.
Namun kadang-kadang hati saya berbisik-bisik juga, “Tak membazir ke ayah selalu sangat beli baju kurung untuk emak ni. Tengok dalam almari tu dah banyak sangat baju kurung”, saya bertanya-tanya pada diri sendiri.
.
Tetapi lama kelamaan baru saya faham, ayah belikan hadiah untuk emak bukan semata-mata untuk memberikan hadiah, tetapi hakikat sebenarnya adalah untuk memberikan cinta dan kasih sayang beliau kepada emak. Hadiah itu luarannya, tetapi cinta itu adalah tujuannya. Agar dengan hadiah tersebut, emak juga membalas cinta ayah kepadanya.
.
Masih segar lagi dalam ingatan saya kata-kata Syeikh Rohimuddin ketikamana beliau mengatakan “Ayah berikan duit belanja kepada anak-anak bukan kerana mengharapkan agar anak-anaknya juga akan memberikan duit kepadanya apabila dia telah tua nanti. Tetapi duit yang diberikan adalah bukti kasih sayang ayah kepada anaknya dan mengharapkan agar si anak itu rapat dan membalas kasih sayang mereka kepada ayahnya pula. Itulah tujuannya”.
.
Itulah keunikkan cinta. Cinta itu buah hati dan perasaan. Dari mata turun ke hati, dan dari hati itulah lahirnya sebuah perasaan cinta. Ia bukan 'barang' yang boleh difahami melalui teori-teori saintifik atau dipelajari secara silibus di sekolah. Ia 'barang' aneh yang hanya dapat diungkapkan oleh hati yang merasainya. Tiada bahasa yang boleh mengungkapkan keunikkannya.
.
Saya tidak pasti apakah sesuai untuk saya katakan bahawa cinta itu 'barang' yang rapuh ataupun sebaliknya? Sukar untuk saya jelaskan mengapa saya mengatakan sedemikian. Kerana ia unik untuk dibicarakan, maka ia rumit juga untuk diperjelaskan.
.
Cinta perlu sentiasa dibajai dengan benih-benih iman dan kasih sayang agar ia terus segar dan membahagiakan. Sebaliknya, cinta yang tidak dipelihara pasti akan meleraikan ikatan cinta yang berpadu di dalam jiwa.
.
Agar ia terus kekal bersanubari dan menjadi embun-embun yang menyejukkan hati, maka si suami perlu bijak menumbuhkan perasaan cinta yang ditanam di dalam hati isteri dan anak-anak yang tersayang. Begitu juga si isteri ...
.
Justeru, disamping kesefahaman yang dibina di atas asas iman dan taqwa, Islam juga menggalakkan agar pasangan suami isteri sentiasa menghidupkan perasaan cinta dengan momen-momen teristimewa.
.
'Menghadiahkan' merupakan titik mula dalam membangkitkan momen-momen penting itu. 'Menghadiahkan' tidak semestinya dengan sesuatu yang berharga, ataupun berupa material ... asalkan ia dapat membangkitkan rasa cinta sesama mereka, ia sudah cukup membahagiakan walaupun dengan hanya 'menghadiahkan' ucapan terima kasih. Kerana asasnya adalah untuk menghadiahkan cinta, bukan menghadiahkan materi ... Cinta itu isi, Materi itu hanyalah kulitnya.
. .

تَصَافَحُوا يَذْهَبْ الْغِلُّ وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا وَتَذْهَبْ الشَّحْنَاءُ

“Bersalamanlah (kerana) ia menghilangkan kedengkian, dan berilah hadiah (kerana) ia meningkatkan nilai kasih sayang dan membuang permusuhan[1] (Hadis riwayat Imam Malik daripada 'Ata’ bin Abi Muslim, Kitab Husnil Khuluq, 1685)

Rupa-rupanya disebalik pemberian itu ada HADIAH CINTA ...
.

.
.
----------------------------
.
[1] Di dalam riwayat at-Turmizi, nabi SAW bersabda: ((Berilah hadiah kerana dengan pemberian itu akan menghilangkan kebencian di dalam hati)). Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi di dalam Syi’bul Iman daripada Anas ibn Malik di mana nabi SAW bersabda: ((Berilah hadiah. Sesungguhnya dengan hadiah itu akan menghilangkan permusuhan)). (Ruj: Tanwirul Hawalik Syarah Muwatta' Imam Malik, As-Suyuti, m.s 810)
.
Begitu juga hubungan kita dengan Allah SWT. Apabila kita hidup di dunia, makanan kita adalah nasi dan lauk-pauk dari binatang dan tumbuhan. Tetapi apabila di dalam kubur nanti, makanan kita bukan nasi, roti dan ikan lagi ... tetapi pahala dan amal kita semasa di dunia. Justeru, Allah berfirman: "Sekiranya kamu bersyukur, nescaya akan Kami tambahkan bagi kamu (ganjaran pahala)"
(Ibrahim: 7). Bersyukur itu adalah bukti kasih sayang dan terima kasih kita kepada Allah SWT di atas segala pemberian dan nikmat yang Allah limpahkan. Tanda syukur itu bukan sekadar mengucap 'Alhamdulillah', tetapi juga perlu dibuktikan dengan ketaatan, ibadah, doa dan amal kebaikkan. Allah nyatakan bahawa Dia suka kepada hambaNya yang bersyukur. Lalu dengan tanda syukur itu, Dia menghadiahkan kepada hambaNya ganjaran pahala. Inilah hadiah Allah buat hambaNya yang terpilih. WA


.

Tuesday 1 July 2008

HATI SEORANG PENULIS

HATI SEORANG PENULIS
.
Dari hati
menuruni pena
mereka melakar...
melukis...
dan meluahkan.
Tentang kehidupan
dan pengalaman
sebait cuma...
.
Mencoretkan keanehan
menceritakan keajaiban
telus dari mata pandangan
dan dari diari pemikiran
.
Terkadang sutera hati mereka
tercarik...
pedih...
oleh duri - duri sembilu...
namun darahnya...
lukanya...
tidak terpotret
pada mata zahir
.
Separahmana luka itu
mereka terus
dan terus...
mengandung dan melahirkan
benih - benih rasa
yang terpendam
di khazanah perasaan
.