Thursday 23 October 2008

Prof Dr Syeikh Yusuf al-Qaradawi: Ulama Ulung dan Pemikir Terbilang

.
.
Saya mendengar nama beliau saat mula bergelumang di dalam dunia usrah dahulu, tetapi saya tidak mengenalinya dan tidak pernah melihat wajahnya.
.
Namun namanya disebut-sebut oleh ustaz saya, dan antara perkara yang masih segar lagi dalam ingatan saya yang ustaz sebutkan tentang beliau adalah, “Macam Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, walaupun dia sudah menjadi alim besar dan ulama yang hebat .. tetapi dia masih lagi ada usrah dia sendiri”.
.
Sejak dari itu, kekaguman saya terhadap beliau semakin bertambah dan timbul keinginan untuk melihat wajahnya serta membaca penulisan-penulisannya. Saya sendiri tak tahu samada pada waktu itu sudah ada kemudahan internet untuk mencari maklumat tentang seseorang ataupun tidak, kerana naïvenya saya terhadap penggunaan internet.
.
Melalui pengalaman berusrah, secara tidak langsung ia telah menanam minat saya untuk membaca terutamanya buku-buku yang berkaitan dengan ‘tarbiyah harakiah’. Saya seperti bayi yang baru pandai berjalan, minat yang baru terbina itu sering menarik hati saya untuk pergi ke kedai buku. Pada masa itu pula, kedai buku yang hanya saya tahu menjual buku-buku seperti itu hanyalah Pustaka Muda, dan di situlah akhirnya saya temui buku karangan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi.
.
Pada ketika itu pula, saya sedang mencari buku-buku yang bercakap tentang Sekularisma kerana saya sering berdebat dengan ‘penyokong umno’ di dalam MIRC chat room. Hehe. Walaupun masa tu masih budak hingusan lagi, tapi semangat mempertahan Islam sudah berkobar-kobar.
.
Untuk itu, saya mesti mendapatkan maklumat mengenai sekularisma sebagai bahan dalam perdebatan saya. Dalam pencarian itu, akhirnya saya bertemu dengan buku ((Islam dan Sekularisma)) karangan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi. Itulah buku pertama beliau yang saya beli dan baca…. Akhirnya ku temu juga al-Ghazali …. Ehhhhh, al-Qardhawi. Hehe
..
Bagi saya, beliau sangat layak untuk digelar Syeikhul Ummah disebabkan oleh kredibiliti dan kehebatannya. Beliau seorang ulama ulung dan pemikir terbilang, sangat memahami realiti dan keperluan semasa, menghidupkan Islam di tengah-tengah kebajatan ummah.
.
Beliau pembawa obor-obor Salafussoleh zaman moden, penerus manhaj al-Banna, menyeru ke arah keterbukaan dan kemudahan, menjauhi ketaksuban dan kepayahan.
.
Beliau seorang Imam juga murabbi, seorang faqih juga usuli, ahli lughah dan adab, seorang orator yang hebat, penyeru aqidah yang tulen dan akhlak yang terpuji.
.
Antara buku-buku beliau yang sangat menarik perhatian saya adalah ((As-Siyasah Ash-Shar’iyyah)), ((Fiqh at-Taharah)) dan ((Fusul Fil Aqidah Bainas Salaf wal Khalaf)). Buku beliau,((Siyasah Ash-Shar'iyyah)) telah memaparkan bagaimana manhaj beliau di dalam fiqh dan secara tidak langsung, menggambarkan betapa beliau seorang usuli yang cukup hebat.
.
Begitulah sedikit sebanyak yang mampu saya ceritakan mengenai beliau. Saya masih mengharapkan dapat bertemu dengan beliau mata bertemu mata suatu hari nanti. Moga ia menjadi kenyataan ……
.

BERCERAMAHLAH TETAPI BIAR BERASAS

.
Sebahagian para da’i dan penceramah gemar menceritakan kisah-kisah ganjil dan hikayat-hikayat yang menakjubkan. Walaupun niatnya baik, namun sebahagian besarnya tidak disandarkan dengan kekuatan dalil, bahkan terkadang sukar diterima oleh akal manusia yang waras.
.
Apakah faedahnya semua ini untuk manusia?
.
Bukankah apa yang diceritakan di dalam al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan athar para Salafussoleh sudah cukup untuk menjadi sumber dan rujukan nasihat?
.
Akan tetapi, mengapa sebahagian para da’i dan penceramah masih lagi gemar mengutip kisah-kisah pelik yang syadz berupa keramat dan ilham yang entah betul entah tidak ketepatannya.
Saya tidak nafikan wujudnya keramat dan ilham dianugerahkan ke atas sesetengah orang-orang soleh .. ataupun si penceramah sendiri berpengalaman melaluinya, namun biarlah ia disimpan sebagai suatu kelebihan peribadi yang Allah SWT anugerahkan dan tidak perlulah diceritakan kepada masyarakat awam.
.
Bukan semua perkara layak untuk dikhabarkan kepada masyarakat kerana takut ia tidak mampu difahami oleh mereka yang akhirnya akan menimbulkan fitnah kepada nama baik Islam sendiri.
.
Selain itu, dengan menceritakan sesuatu bukan pada tempatnya, dikhuatiri kisah-kisah seumpama ini membuatkan umat Islam akan terjatuh ke dalam lumpur khayalan yang merosakkan, lalu menjadikan mereka umat yang terpinggir dan diketepikan.
.
Sedangkan akal permikiran mereka perlu dipandu dengan Sunnatullah bahawa setiap sesuatu itu perlu kepada pengorbanan dan usaha yang gigih. Inilah yang perlu ditekankan, kerana itulah yang diajarkan oleh nabi SAW kepada para sahabat RA.
.
Wahai para da’i dan penceramah, janganlah engkau biarkan orang di hadapanmu terus bermimpi. Pimpimlah mereka menuju kebangkitan, ketuklah pintu hati mereka dengan semangat suluhan sirah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat, bangunkan mereka dari kebingungan realiti dan fantasi serta jauhkan mereka dari khayalan.
.
Kita punya sumber kekuatan yang cukup untuk masa depan ummah.
.
Berbicaralah dengan manusia menurut apa yang mereka fahami dan turutilah sunnah Rasulullah SAW dalam menyampaikan … “Sampaikanlah mengikut kadar kemampuan mereka” (al-hadis)
.

Wednesday 22 October 2008

ASH-SHAMAIL AL-MUHAMMADIYYAH

.
.
Saya tidak menemui sebaik-baik buku yang menerangkan mengenai ketokohan seseorang selain dari Ash-Shamail Al-Muhammadiyyah.
.
Jika anda penggemar buku-buku yang memuatkan tokoh-tokoh terkemuka dunia, maka selayaknya anda memiliki buku ini terlebih dahulu sebelum anda mencari buku-buku lain kerana buku ini menghimpunkan kesemua hadis-hadis yang menerangkan tentang diri dan keperibadian Rasulullah SAW, seorang insan agung dan termulia di sisi Allah SWT.
.
Seluruh makhluk di langit dan di bumi menyanjunginya sebagai sebaik-baik insan dan semulia-mulia ciptaan di permukaan alam ini, kecuali manusia yang dengki dan enggan menyahut seruannya.
.
Ia bukan saja memuatkan hadis-hadis yang menerangkan tentang keperibadian Rasulullah SAW ketika berjalan & duduk, makan & minum, berdiam & bermuamalah … malah turut memuatkan hadis-hadis yang menggambarkan seluruh susuk tubuh dan fizikal baginda SAW dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kakinya.
.
Percayalah, apabila anda meneliti setiap hadis-hadis yang menerangkan mengenai susuk tubuh baginda SAW, pasti akan terbayang-bayang di fikiran anda bagaimana rupa paras dan bentuk fizikal Rasulullah SAW.
.
Saya nasihatkan anda supaya memilikinya kerana dua perkara. Pertama, anda akan mengenali baginda SAW dengan lebih dekat lagi. Kedua, ada sunnah termulia yang boleh diambil daripadanya.
.
Kenalilah baginda melaluinya jika anda mencintainya, kerana baginda SAW telah bersabda: “Seseorang dikumpulkan bersama dengan orang yang dicintainya”.
.

TETAPKAN NIATMU UNTUK MENEROKAINYA

.
.
Selain daripada al-Quran, tetapkanlah niat di hatimu agar berkesempatan menerokai sekurang-kurangnya sebuah kitab hadis Rasulullah SAW.
.
Paling kurang, terokailah Arba’in Nawawiyyah kerana terkumpul di dalamnya sebanyak 40 buah hadis nabawi sahaja tetapi hadis-hadis yang dikumpulkan jami’(lengkap) menyentuh semua persoalan agama.
.
Itu manhaj An-Nawawi ketika mengumpulkan hadis-hadis dalam Arba’in Nawawiyyahnya, sedikit bilangannya tetapi jami’ pengumpulannya.
.
Semoga anda beroleh keberkatan daripadanya ….

Tuesday 21 October 2008

KEBERSIHAN YANG BAGAIMANA ...?

.
Ramai yang menyangka kebersihan yang ditekankan Islam hanya berkisar di sekitar perkara-perkara tertentu sahaja.
.
Justeru, ramai yang begitu teliti sekali saat sedang berwudhuk dan bermandi junub, malah banyak sekali air yang dibazirkan untuk menyelat-nyelat celah-celah serta liang-liang rongga anggota badan yang wajib dibasuh kerana takut kelalaian tersebut bakal menjejaskan ibadah solat dan ibadah-ibadah lainnya.
.
Sedangkan Rasulullah SAW tidak pernah melakukan sedemikian, walhal baginda merupakan sebaik-baik dan semulia-mulia makhluk di sisi Allah SWT, tetapi baginda hanya berwudhuk dengan menggunakan sebekas air sahaja.
.
Begitu juga dengan makanan dan produk kesihatan, kita terlalu sensitif sekali apabila mendengar sesuatu produk makanan atau kesihatan tersebut bercampur dengan bahan-bahan yang haram.
.
Saya masih ingat lagi ketika kecoh isu ubat gigi Colgate yang mengandungi campuran ingredien haram di dalam kandungan ubat gigi keluarannya, sehingga ramai yang beralih menggunakan ubat gigi keluaran orang Islam seperti Mukmin, Safi dan sebagainya sampai-sampai Colgate terpaksa meletakkan cop HALAL pada ubat gigi keluarannya untuk meyakinkan masyarakat bahawa kandungannya halal dan boleh digunakan.
.
Alhamdulillah, ia menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan umat Islam tentang halal dan haram. Tetapi persoalannya, adakah kebersihan itu hanya pada perkara-perkara tersebut sahaja?
.
Hakikatnya, kebersihan itu tidak sepatutnya disempitkan kepada perkara-perkara yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW sahaja, bahkan ia perlu lebih luas difahami hatta kepada perkara yang melibatkan keterampilan.
.
Keterampilan itu sebahagian daripada kebersihan. Ia merupakan manifestasi dari pemahaman kebersihan yang sebenarnya, bukan sekadar melihat cukup ketika hendak mengahadap Allah SWT.
.
Keterampilan adalah kunci menarik kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kita, seperti memilih buah di pasar, bukankah kita akan memilih kulit buah yang cantik dan berkilat terlebih dahulu sebelum melihat akan isinya?
.
Terutamanya kepada anda, para da’i di jalan Allah .. di samping persediaan ilmu dan bakat berdakwah, elemen kebersihan dan keterampilan tidak boleh sesekali dikesampingkan kerana anda hidup mencari manusia, manakala tabiat manusia gemar kepada segala yang cantik dan indah.
.
Kita tidak mahu masyarakat menolak anda bukan kerana kegagalan anda menyampaikan ilmu dan kebenaran, tetapi kerana kebersihan dan keterampilan anda yang tidak meyakinkan.
.
.
.
.

Monday 20 October 2008

DAKAPLAH IA DI DADAMU ...

.
.
Hati saya sakit apabila melihat sesetengah orang membawa kitab seperti membawa bakul ke pasar. Ke belakang dan ke depan ianya dihayun-hayunkan sedang ia asyik berjalan dan bergelak ketawa dengan rakan di sebelahnya.
.
Bahkan terkadang ada yang selepas pulang dari kelas, dengan 'slamber' dia mencampakkannya di atas katil, dan yang lebih parah lagi apabila ia dibiarkan di atas lantai tanpa ada sedikitpun perasaan 'sensitif' untuk meletakkannya di tempat yang betul.
.
Begitu rendah sekali mereka merendahkan nilai dan martabat ilmu.
.
Apakah kita merasakan bahawa apa yang terkandung di dalam kitab tersebut hanyalah sebuah catatan yang tidak memiliki sebarang erti dan keagungan? Sungguh kita tidak punya rasa cinta dan ‘izzah sekiranya kita berpendapat sedemikian.
.
Padahal sang penulis bergetar hatinya, gementar susuk tubuhnya saat ingin memulakan penulisan kerana takutkan Allah SWT. Apa yang nantinya akan dikarang bakal menjadi sandaran dan bacaan lautan manusia. Ia bukan barang yang akan hapus seperti makanan, tetapi sebidang ilmu yang terus berkekalan walaupun setelah matinya si penulis. Manusia berpegang dengan apa yang ditulis, beramal dengan apa yang dituntut, berharap dengan apa yang dijanjikan dari sumber-sumber yang diketengahkan.
.
Begitu tinggi sekali penghormatan si penulis terhadap ilmu.
.
Tetapi malangnya, apabila ia sampai kepada kita, sukar sekali kita memberikan penghargaan dan menjaga adab-adab terhadap mutiara-mutiara ilmu yang terkandung di dalam kitab tersebut.
.
Ketahuilah bahawa setiap helaian yang tertulis di dalamnya terkandung cahaya ilmu, kalamullah, hikmah dan petunjuk bagi kehidupan.
.
Ia cahaya dan sinar yang menerangi jalan yang gelap, kunci pintu hidayah, senjata musuh kejahilan dan perisai serangan kesangsian.
.
Ilmu adalah nur, dan nur itu letaknya di hati. Maka dakaplah ia di dadamu, kerana di situlah letaknya hati dan penghormatan.

JALAN YANG SELAMAT

.
Kadang-kadang tidak semua perkara yang dilakukan oleh kebanyakkan orang itu tepat, dan tidak semua perkara yang tidak dilakukan orang itu bererti perkara itu salah.
.
Hal ini bergantung kepada suasana dan keadaan sekeliling yang mempengaruhi masyarakat setempat sehingga masyarakat menerimanya sebagai amalan, padahal belum tentu ia benar dan tepat.
.
Oleh itu, jalan yang paling selamat adalah dengan belajar dan menuntut ilmu, bukannya dengan cara ikut-ikutan.

Friday 17 October 2008

KALAULAH PUTARAN MASA BOLEH DIKEMBALIKAN

.

.
Selalunya seusai solat Jumaat, saya akan mentasmi' al-Quran di hadapan Ustaz Nik Saiful Azizi di tingkat 2, masjid UIA. Tetapi sejak kebelakangan ini, saya tidak mampu memberikan yang terbaik di dalam hafalan saya, merangkak-rangkak saat men"tasmik" ... saya dapat rasakan bahawa hambatan masa, kerja yang terlalu banyak serta faktor usia menyebabkan fokus terhadap hafalan saya terganggu. Memang tidak selayaknya mencari-cari alasan, tetapi begitulah realitinya.
.
Kalaulah saya mempunyai 'mesin masa' yang ada pada Doraemon, saya ingin sekali kembali ke zaman kanak-kanak yang begitu banyak terbuang dulu. Banyak keistimewaan yang sukar untuk digapai dengan mudah melainkan ketika zaman kanak-kanak, antaranya menghafal al-Quran.
.
Setiap kali menjelang Ramadhan di UIA, saya akan pastikan saya akan mendapatkan saf pertama di belakang imam ketika solat tarawih. Saya gemar sekali mendengar bacaan imam-imam arab yang mendayukan. Satu demi satu kalimat dilafazkan dengan jelas dan terang. Saya cuba sedaya upaya untuk menangkap dan memahami setiap baris ayat yang dibacakan agar dapat menikmati nilai kekusyukkan di dalam solat.
.
Imam pula seolah-olah begitu memahami setiap ayat yang mereka alunkan, lantas melagukan kepada para jemaah dengan alunan bacaan yang sesuai dengan konteksnya sehingga membuatkan telinga enak mendengar, hati khusuk menghayati, kaki teguh berdiri dan tubuh tenang bersamanya. Saat itu seringkali hati saya berbisik kepada diri sendiri, “alangkah nikmatnya sekiranya aku mampu memiliki kelebihan sepertinya”.
.
Pernah sekali saya bertanya kepada Syeikh Razak, seorang ustaz yang berasal dari negara Raja Najashi, Habshah yang sekarang ini dikenali dengan Utopia, berkenaan dengan rahsianya mampu mengingati setiap juzuk dan baris ayat di dalam al-Quran, beliau dengan mudah mengatakan, “Semuanya bermula di zaman kanak-kanak”.
.
Beliau menceritakan ketika di zaman kecilnya, beliau dan rakan-rakan sebayanya akan pergi ke kelas al-Quran terlebih dahulu untuk menghafal al-Quran sebelum pergi ke sekolah. Amalan ini sebenarnya telah menjadi kebiasaan di kebanyakkan negara-negara afrika dan arab. Walaupun pada ketika itu beliau tidak memahami satu ayatpun daripada ayat-ayat al-Quran, namun beliau tetap seperti burung kakak tua yang menghafal tanpa mengetahui ertinya. Hanya mengikut apa yang diarahkan.
.
Namun setelah umur meningkat dewasa, barulah beliau dapat menyedari kepentingan serta kesannya. Di situlah kelebihan zaman kanak-kanak.
.
Sesungguhnya zaman kanak-kanak adalah zaman penerimaan, zaman yang mudah untuk menerima setiap ilmu yang dicurahkan seperti mengukir ukiran di atas batu. Ukiran ilmu dan pengetahuan yang diukir dan dipahat itu tetap kekal sampai bila-bila walaupun ia semakin lusuh dan reput di makan zaman ...
.
Tetapi saya sedar betapa apa yang sama impikan hanyalah sebuah angan-angan yang tidak mungkin menjadi kenyataan. Walaupun dengan tangisan dan rayuan, masa adalah makhluk yang tidak punya perasaan dan belas kasihan ... sekalipun ia berjalan sendirian !!

SEKARANG SAYA MEMAHAMINYA

.
Syeikh Muhammad al-Ghazali, seorang ulama Azhar juga penggerak awal gerakan Ikhwan al-Muslimin pernah mengungkapkan: “Berapa ramai yang bersama kita tetapi bukan daripada kita, dan berapa ramai pula yang daripada kita tetapi tidak bersama kita”[1].
.
Ucapan yang panjang tidak semestinya lengkap, manakala ucapan yang pendek pula tidak semestinya mempunyai kekurangan. Ia bergantung sejauh mana kekuasaan seseorang untuk menghuraikan dan menyampaikan sesuatu yang terbuku di dalam hatinya. Akan tetapi, di antara dua jenis ucapan tadi, ucapan yang pendek dan padat adalah terlebih baik daripada ucapan yang panjang yang lengkap. Mengklafikasikan jenis ucapan yang baik, ungkapan Arab menyebutkan "Qalla wa Dalla" iaitu ringkas dan bersumber serta bernilai.
.
Apa yang diluahkan oleh Syeikh al-Ghazali ini adalah antara ucapan yang pendek, namun padat isinya, tepat maksudnya, sesuai dengan realiti dan kena pada waktunya. Ia tersurat bagi yang faham, tersirat bagi yang bodoh. Jelas bagi mereka yang jelas dan kabur bagi mereka yang kabur.
.
Ia bukan matan mutiara hadis, tetapi luahan seorang ulama dan da’i yang peka terhadap permasalahan umat, menterjemahkan kata hati yang sengsara, pedih dan sakit dengan kepincangan umat yang sedang berdiri tanpa jati diri, prinsip dan identiti.
.
Saat pertama kali saya mendengar ungkapan ini, saya tidak merasakan kepentingannya. Namun saya menghafalnya, tetapi bukan kerana saya dapat merasai seperti apa yang sedang dirasai ketika ucapan ini diluahkan. Ia tidak lebih sekadar tertarik dengan bait bahasanya (dalam bahasa arab) yang sangat memukau, tidak lebih daripada itu. Ia berlalu seperti berlalunya angin pagi yang mendinginkan, tanpa meninggalkan sebarang bekas kepada diri saya.
.
Tetapi setelah melihat keganjilan yang berlaku akhir-akhir ini, barulah ungkapan itu kembali terpanggil memberi makna di dalam jiwa saya …
.
Sekarang saya memahaminya ....
.

Non-muslim yang menyertai kelab penyokong PAS

....................................................................

[1] كم فينا ليس منا وكم منا ليس فينا