Tuesday, 21 October 2008

KEBERSIHAN YANG BAGAIMANA ...?

.
Ramai yang menyangka kebersihan yang ditekankan Islam hanya berkisar di sekitar perkara-perkara tertentu sahaja.
.
Justeru, ramai yang begitu teliti sekali saat sedang berwudhuk dan bermandi junub, malah banyak sekali air yang dibazirkan untuk menyelat-nyelat celah-celah serta liang-liang rongga anggota badan yang wajib dibasuh kerana takut kelalaian tersebut bakal menjejaskan ibadah solat dan ibadah-ibadah lainnya.
.
Sedangkan Rasulullah SAW tidak pernah melakukan sedemikian, walhal baginda merupakan sebaik-baik dan semulia-mulia makhluk di sisi Allah SWT, tetapi baginda hanya berwudhuk dengan menggunakan sebekas air sahaja.
.
Begitu juga dengan makanan dan produk kesihatan, kita terlalu sensitif sekali apabila mendengar sesuatu produk makanan atau kesihatan tersebut bercampur dengan bahan-bahan yang haram.
.
Saya masih ingat lagi ketika kecoh isu ubat gigi Colgate yang mengandungi campuran ingredien haram di dalam kandungan ubat gigi keluarannya, sehingga ramai yang beralih menggunakan ubat gigi keluaran orang Islam seperti Mukmin, Safi dan sebagainya sampai-sampai Colgate terpaksa meletakkan cop HALAL pada ubat gigi keluarannya untuk meyakinkan masyarakat bahawa kandungannya halal dan boleh digunakan.
.
Alhamdulillah, ia menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan umat Islam tentang halal dan haram. Tetapi persoalannya, adakah kebersihan itu hanya pada perkara-perkara tersebut sahaja?
.
Hakikatnya, kebersihan itu tidak sepatutnya disempitkan kepada perkara-perkara yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW sahaja, bahkan ia perlu lebih luas difahami hatta kepada perkara yang melibatkan keterampilan.
.
Keterampilan itu sebahagian daripada kebersihan. Ia merupakan manifestasi dari pemahaman kebersihan yang sebenarnya, bukan sekadar melihat cukup ketika hendak mengahadap Allah SWT.
.
Keterampilan adalah kunci menarik kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap kita, seperti memilih buah di pasar, bukankah kita akan memilih kulit buah yang cantik dan berkilat terlebih dahulu sebelum melihat akan isinya?
.
Terutamanya kepada anda, para da’i di jalan Allah .. di samping persediaan ilmu dan bakat berdakwah, elemen kebersihan dan keterampilan tidak boleh sesekali dikesampingkan kerana anda hidup mencari manusia, manakala tabiat manusia gemar kepada segala yang cantik dan indah.
.
Kita tidak mahu masyarakat menolak anda bukan kerana kegagalan anda menyampaikan ilmu dan kebenaran, tetapi kerana kebersihan dan keterampilan anda yang tidak meyakinkan.
.
.
.
.

0 comments: