Thursday, 23 October 2008

BERCERAMAHLAH TETAPI BIAR BERASAS

.
Sebahagian para da’i dan penceramah gemar menceritakan kisah-kisah ganjil dan hikayat-hikayat yang menakjubkan. Walaupun niatnya baik, namun sebahagian besarnya tidak disandarkan dengan kekuatan dalil, bahkan terkadang sukar diterima oleh akal manusia yang waras.
.
Apakah faedahnya semua ini untuk manusia?
.
Bukankah apa yang diceritakan di dalam al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan athar para Salafussoleh sudah cukup untuk menjadi sumber dan rujukan nasihat?
.
Akan tetapi, mengapa sebahagian para da’i dan penceramah masih lagi gemar mengutip kisah-kisah pelik yang syadz berupa keramat dan ilham yang entah betul entah tidak ketepatannya.
Saya tidak nafikan wujudnya keramat dan ilham dianugerahkan ke atas sesetengah orang-orang soleh .. ataupun si penceramah sendiri berpengalaman melaluinya, namun biarlah ia disimpan sebagai suatu kelebihan peribadi yang Allah SWT anugerahkan dan tidak perlulah diceritakan kepada masyarakat awam.
.
Bukan semua perkara layak untuk dikhabarkan kepada masyarakat kerana takut ia tidak mampu difahami oleh mereka yang akhirnya akan menimbulkan fitnah kepada nama baik Islam sendiri.
.
Selain itu, dengan menceritakan sesuatu bukan pada tempatnya, dikhuatiri kisah-kisah seumpama ini membuatkan umat Islam akan terjatuh ke dalam lumpur khayalan yang merosakkan, lalu menjadikan mereka umat yang terpinggir dan diketepikan.
.
Sedangkan akal permikiran mereka perlu dipandu dengan Sunnatullah bahawa setiap sesuatu itu perlu kepada pengorbanan dan usaha yang gigih. Inilah yang perlu ditekankan, kerana itulah yang diajarkan oleh nabi SAW kepada para sahabat RA.
.
Wahai para da’i dan penceramah, janganlah engkau biarkan orang di hadapanmu terus bermimpi. Pimpimlah mereka menuju kebangkitan, ketuklah pintu hati mereka dengan semangat suluhan sirah perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat, bangunkan mereka dari kebingungan realiti dan fantasi serta jauhkan mereka dari khayalan.
.
Kita punya sumber kekuatan yang cukup untuk masa depan ummah.
.
Berbicaralah dengan manusia menurut apa yang mereka fahami dan turutilah sunnah Rasulullah SAW dalam menyampaikan … “Sampaikanlah mengikut kadar kemampuan mereka” (al-hadis)
.

0 comments: