Monday, 20 October 2008

DAKAPLAH IA DI DADAMU ...

.
.
Hati saya sakit apabila melihat sesetengah orang membawa kitab seperti membawa bakul ke pasar. Ke belakang dan ke depan ianya dihayun-hayunkan sedang ia asyik berjalan dan bergelak ketawa dengan rakan di sebelahnya.
.
Bahkan terkadang ada yang selepas pulang dari kelas, dengan 'slamber' dia mencampakkannya di atas katil, dan yang lebih parah lagi apabila ia dibiarkan di atas lantai tanpa ada sedikitpun perasaan 'sensitif' untuk meletakkannya di tempat yang betul.
.
Begitu rendah sekali mereka merendahkan nilai dan martabat ilmu.
.
Apakah kita merasakan bahawa apa yang terkandung di dalam kitab tersebut hanyalah sebuah catatan yang tidak memiliki sebarang erti dan keagungan? Sungguh kita tidak punya rasa cinta dan ‘izzah sekiranya kita berpendapat sedemikian.
.
Padahal sang penulis bergetar hatinya, gementar susuk tubuhnya saat ingin memulakan penulisan kerana takutkan Allah SWT. Apa yang nantinya akan dikarang bakal menjadi sandaran dan bacaan lautan manusia. Ia bukan barang yang akan hapus seperti makanan, tetapi sebidang ilmu yang terus berkekalan walaupun setelah matinya si penulis. Manusia berpegang dengan apa yang ditulis, beramal dengan apa yang dituntut, berharap dengan apa yang dijanjikan dari sumber-sumber yang diketengahkan.
.
Begitu tinggi sekali penghormatan si penulis terhadap ilmu.
.
Tetapi malangnya, apabila ia sampai kepada kita, sukar sekali kita memberikan penghargaan dan menjaga adab-adab terhadap mutiara-mutiara ilmu yang terkandung di dalam kitab tersebut.
.
Ketahuilah bahawa setiap helaian yang tertulis di dalamnya terkandung cahaya ilmu, kalamullah, hikmah dan petunjuk bagi kehidupan.
.
Ia cahaya dan sinar yang menerangi jalan yang gelap, kunci pintu hidayah, senjata musuh kejahilan dan perisai serangan kesangsian.
.
Ilmu adalah nur, dan nur itu letaknya di hati. Maka dakaplah ia di dadamu, kerana di situlah letaknya hati dan penghormatan.

0 comments: