Friday, 17 October 2008

KALAULAH PUTARAN MASA BOLEH DIKEMBALIKAN

.

.
Selalunya seusai solat Jumaat, saya akan mentasmi' al-Quran di hadapan Ustaz Nik Saiful Azizi di tingkat 2, masjid UIA. Tetapi sejak kebelakangan ini, saya tidak mampu memberikan yang terbaik di dalam hafalan saya, merangkak-rangkak saat men"tasmik" ... saya dapat rasakan bahawa hambatan masa, kerja yang terlalu banyak serta faktor usia menyebabkan fokus terhadap hafalan saya terganggu. Memang tidak selayaknya mencari-cari alasan, tetapi begitulah realitinya.
.
Kalaulah saya mempunyai 'mesin masa' yang ada pada Doraemon, saya ingin sekali kembali ke zaman kanak-kanak yang begitu banyak terbuang dulu. Banyak keistimewaan yang sukar untuk digapai dengan mudah melainkan ketika zaman kanak-kanak, antaranya menghafal al-Quran.
.
Setiap kali menjelang Ramadhan di UIA, saya akan pastikan saya akan mendapatkan saf pertama di belakang imam ketika solat tarawih. Saya gemar sekali mendengar bacaan imam-imam arab yang mendayukan. Satu demi satu kalimat dilafazkan dengan jelas dan terang. Saya cuba sedaya upaya untuk menangkap dan memahami setiap baris ayat yang dibacakan agar dapat menikmati nilai kekusyukkan di dalam solat.
.
Imam pula seolah-olah begitu memahami setiap ayat yang mereka alunkan, lantas melagukan kepada para jemaah dengan alunan bacaan yang sesuai dengan konteksnya sehingga membuatkan telinga enak mendengar, hati khusuk menghayati, kaki teguh berdiri dan tubuh tenang bersamanya. Saat itu seringkali hati saya berbisik kepada diri sendiri, “alangkah nikmatnya sekiranya aku mampu memiliki kelebihan sepertinya”.
.
Pernah sekali saya bertanya kepada Syeikh Razak, seorang ustaz yang berasal dari negara Raja Najashi, Habshah yang sekarang ini dikenali dengan Utopia, berkenaan dengan rahsianya mampu mengingati setiap juzuk dan baris ayat di dalam al-Quran, beliau dengan mudah mengatakan, “Semuanya bermula di zaman kanak-kanak”.
.
Beliau menceritakan ketika di zaman kecilnya, beliau dan rakan-rakan sebayanya akan pergi ke kelas al-Quran terlebih dahulu untuk menghafal al-Quran sebelum pergi ke sekolah. Amalan ini sebenarnya telah menjadi kebiasaan di kebanyakkan negara-negara afrika dan arab. Walaupun pada ketika itu beliau tidak memahami satu ayatpun daripada ayat-ayat al-Quran, namun beliau tetap seperti burung kakak tua yang menghafal tanpa mengetahui ertinya. Hanya mengikut apa yang diarahkan.
.
Namun setelah umur meningkat dewasa, barulah beliau dapat menyedari kepentingan serta kesannya. Di situlah kelebihan zaman kanak-kanak.
.
Sesungguhnya zaman kanak-kanak adalah zaman penerimaan, zaman yang mudah untuk menerima setiap ilmu yang dicurahkan seperti mengukir ukiran di atas batu. Ukiran ilmu dan pengetahuan yang diukir dan dipahat itu tetap kekal sampai bila-bila walaupun ia semakin lusuh dan reput di makan zaman ...
.
Tetapi saya sedar betapa apa yang sama impikan hanyalah sebuah angan-angan yang tidak mungkin menjadi kenyataan. Walaupun dengan tangisan dan rayuan, masa adalah makhluk yang tidak punya perasaan dan belas kasihan ... sekalipun ia berjalan sendirian !!

1 comments:

Anonymous said...

salam akhi...
ana pun kadang2 terasa begitu..
betapa beruntungnya jika dapat mula menghafaz al-Quran sejak kecil..
sekarang ni bukan tak boleh..tapi agak perlukan mujahadah.. tapi percayalah..sesungguhnya setiap kesusahan itu akan menjadikan kita lebih menghargainya..
teruskan impian dan matlamat untuk mengkhatamkan hafazan.. mjadahadah itu memang terlalu indah..
syukran..