Wednesday, 10 September 2008

DAURAH RAMADHAN: Sambungan tafsir ayat 184 surah al-Baqarah

.
.
Bismillah ...
.
Alhamdulillah, di dalam ayat-ayat sebelum ini, kita telah selesai membincangkan dua bentuk rukhsah bagi mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan dan kewajipan untuk menggantikannya pada hari-hari yang lain.
.
Pada siri DAURAH RAMADHAN kali ini, insyallah kita masih lagi akan menafsirkan ayat 184 ini, tetapi perbincangan kali ini akan memfokuskan kepada beberapa golongan yang juga diberikan rukhsah oleh Allah SWT, di mana Allah SWT berfirman:
.
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
.
“... dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin” ((al-Baqarah: 184))

Tafsir:
.
يُطِيقُونَهُ ... para ulama berpendapat bahawa kalimah ini ditujukan kepada golongan tua, golongan yang uzur yang tidak mempunyai harapan untuk sembuh, perempuan yang mengandung, ibu yang menyusukan anak dan golongan yang dihimpit kesempitan yang sangat berat.
.
Para ulama berbeza pendapat mengenai kedudukan ayat ini. Ada di antara mereka mengatakan bahawa ia telah dimansukhkan dan sebahagiannya pula berpendapat sebalik. Kita tidak akan membincangkan perkara ini secara detail kerana persoalan ini melibatkan permasalahan lain termasuk ilmu Qiraat dan sebagainya. Kita hanya akan memfokuskan mengenai pendapat para fuqaha berkenaan dengan hukum hakam yang diambil daripadanya sahaja yang lebih praktikal untuk dijadikan panduan beramal di dalam bulan Ramadhan ini. WA

ORANG TUA, PEREMPUAN YANG UZUR DAN ORANG SAKIT YANG TIDAK PUNYA HARAPAN UNTUK SEMBUH:

Para ulama bersepakat membenarkan berbuka puasa ke atas ketiga-tiga golongan yang disebutkan tanpa diwajibkan ke atas mereka untuk menggantikannya di waktu-waktu yang lain. Apa yang diperselisihkan adalah dari segi kewajipan membayar fidyah sahaja.

Jumhur fuqaha termasuk Ibn Abbas berpendapat bahawa mereka diwajibkan membayar fidyah kepada orang miskin pada setiap hari. Manakala Imam Malik pula berpendapat bahawa ia hanya suatu galakan, bukan kewajipan.
.
Termasuk di dalam kategori ini adalah mereka yang bersangatan lapar dan dahaga yang dikhuatiri boleh memudaratkan dirinya sendiri sekiranya puasa diteruskan. Maka dalam hal sebegini, dibenarkan baginya berbuka puasa dan wajib ke atasnya untuk mengqadha’ semula puasa yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain. Keharusannya berdasarkan kepada keumuman ayat 195 surah al-Baqarah yang menyebut:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
.
“Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu di dalam kebinasaan”
.
Begitu juga dengan pekerja yang berhadapan dengan rintangan kerja yang tersangat berat seperti penuai, pembuat roti, pembuat besi, buruh kasar, pekerja di lombong arang batu dan yang seumpamanya .. maka dibenarkan bagi mereka untuk berbuka sekiranya pekerjaan tersebut tidak boleh ditangguhkan. Namun sekiranya penangguhan tersebut tidak memudaratkan, maka berdosa bagi mereka untuk berbuka.
.
Jumhur fuqaha mengatakan, mereka diwajibkan untuk melaksanakan niat puasa di malamnya dan disunatkan untuk bersahur, sekiranya keadaan tersebut berlaku, maka ketika itu diharuskan bagi mereka untuk berbuka dan diwajibkan mengqadha’nya di waktu yang lain.
.
Pendapat ini turut sama disokong oleh Syeikh Muhammad Abduh dan beberapa ulama kontemporari yang lain pada hari ini. WA
.
PEREMPUAN YANG MENGANDUNG DAN IBU MENYUSUKAN ANAK:
.
Para ulama juga tidak berselisih pendapat membenarkan perempuan yang mengandung dan ibu yang menyusukan anak untuk berbuka puasa sekiranya mereka takut[1] sebarang kemudaratan berlaku ke atas diri mereka sendiri ataupun ke atas janin di kandungan serta kekurangan susu badan ke atas bayi-bayi mereka. Akan tetapi, mereka berselisih kepada 4 pendapat mengenai kewajipan ganti rugi yang perlu ditunaikan sekiranya mereka berbuka puasa. Pendapat tersebut adalah seperti berikut:
.
1) Mereka diwajibkan menggantikan puasa dan membayar fidyah kepada seorang miskin pada setiap hari.
.
Pendapat ini dikemukakan oleh Imam Malik, As-Syafi’i dan Ahmad ibn Hambal. Tetapi di kalangan Syafi’iyyah dan Hanabilah, sekiranya kemudaratan tersebut takut berlaku ke atas diri mereka sendiri sahaja, tidak kepada bayi dan janin di dalam kandungan, maka diwajibkan ke atas mereka untuk menggantikan puasa sahaja tanpa membayar sebarang fidyah. Sekiranya kemudaratan itu takut berlaku kepada janin atau bayi mereka, diwajibkan ke atas mereka untuk qadha’ dan membayar fidyah.
.
Di dalam satu pendapat yang lain daripada Imam Malik dan Syafi’iyyah, qadha’ puasa hanya diwajibkan ke atas perempuan yang hamil manakala qadha’ serta fidyah diwajibkan kepada ibu yang menyusukan. WA
.
Sebagai tambahan, mazhab as-Syafi'ie berpendapat perempuan hamil walaupun melalui jalan zina, ibu susu yang diupah atau sukarela untuk menyusukan anak orang lain juga termasuk di dalam kategori wanita yang dibenarkan berbuka. WA
.
2) Diwajibkan menggantikan puasa sahaja.
.
Pendapat ini dikeluarkan oleh Al-Auza’ie, As-Thaury, Imam Abu Hanifah dan sahabatnya (Abu Yusuf dan Muhammad), Abu Thur dan Abu ‘Abid. Mereka mengqiaskan (membandingkan) ganti rugi ini berdasarkan kepada orang yang bermusafir dan sakit seperti yang disebut di dalam ayat yang lalu.
.
3) Diwajibkan membayar fidyah sahaja, tanpa menggantikannya.
.
Pendapat ini berbeza dengan pendapat kedua. Ia merupakan pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Abbas, Ibn Umar, mazhab Ishak dan pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Albani. Pendapat ini berdasarkan kepada fatwa yang dikemukakan oleh Ibn Abbas dan Ibn Umar RA. Ibn Abbas RA ketikamana beliau melihat Ummu Walad yang sedang hamil atau mempunyai anak yang disusukan, beliau berkata:
.
أنت بمنزلة الذي لا يُطيقه، عليك أن تطعمي مكانَ كل يوم مسكينُا، ولا قَضَاء عليك
.
“Kamu termasuk di dalam kategori orang yang tidak berkemampuan dan ke atas kamu kewajipan membayar fidyah seorang miskin pada setiap hari, namun tiada kewajipan untuk kamu menggantikannya” ((Diriwayatkan oleh Daruqutni (2/206) dengan sanad yang sahih))
.
Begitu juga dengan pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Umar RA, bahawa terdapat seorang perempuan hamil bertanya kepada beliau, lalu Ibn Umar mengatakan perkara yang sama seperti yang dikatakan oleh Ibn Abbas RA. ((Diriwayatkan oleh Daruqutni, (2/207) dengan sanad yang sahih))

4) Tidak diwajibkan ke atas mereka untuk mengqadha’ puasa serta fidyah, dan inilah pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Hazm di dalam ((al-Muhalla)).
.
Beliau berpendapat kewajipan mengqadha’ puasa hanyalah tertentu bagi orang yang sakit, orang yang bermusafir, perempuan yang didatangi haid dan nifas serta orang yang muntah dengan sengaja kerana telah thabit(tetap) nas daripada al-Quran dan Hadis yang menyatakan sedemikian.
.
Adapun kewajipan membayar fidyah, menurut beliau tidak terdapat nas serta ijma’ yang berpendapat sedemikian. WA
.
Bersambung ...
............................................................................
.
[1] Kekhuatiran akan berlakunya kemudaratan ini boleh dikenalpasti samada melalui nasihat doktor Muslim yang adil, atau berdasarkan pengalaman diri sendiri dan andaian yang kuat mengenai kemungkinan berlakunya kemudaratan tersebut. WA
.
Rujukan:
.
1) Tafsir al-Qurtubi, Imam al-Qurtubi
2) Tafsir Mujahid, Imam Mujahid al-Makhzumi
3) Fiqh As-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq
4) Sahih Fiqh As-Sunnah, Syeikh Sayyid Salim
5) Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, Syeikh Dr. Wahbah Az-Zuhaili
6) Al-Iqna’, Imam Khatib As-Sharbini

1 comments:

MOHAMAD AKMAL said...

seronok.semoga anda menulis lagi tulisan begini lagi