Monday, 1 September 2008

DAURAH RAMADHAN: Tafsir ayat 183 surah al-Baqarah (Edit)

.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa” (al-Baqarah: 183)
.
TAFSIR:
.
Sesungguhnya Allah SWT memulakan ayat ini dengan seruan يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا. Menunjukkan di sana ada berita penting yang ingin Allah SWT sampaikan kepada kita dengan harapan supaya kita mengambil perhatian mengenainya.
.
Samalah seperti seseorang yang ingin mencuri perhatian sahabatnya sebelum beliau menceritakan sesuatu perkara penting kepadanya, selalunya beliau akan memanggil namanya untuk menunjukkan bahawa ada perkara penting yang ingin beliau khabarkan.
.
Ketika zaman Rasulullah SAW, ketika mana-mana ayat yang diturunkan kepada Muhammad SAW dimulakan dengan lafaz an-nida' (seruan) ini, para sahabat akan memberikan tumpuan ketika ia dibacakan kerana mereka tahu bahawa terdapat perintah baru yang ingin disampaikan oleh Allah SWT khusus buat mereka, contohnya seperti ayat ini. Begitu juga dengan orang-orang mukmin selepasnya, apabila mereka membaca ayat-ayat seumpama ini ... mereka harus sedar bahawa 'khitab' tersebut ditujukan buat mereka juga yang mana ada perkara yang tersangat penting yang disampaikan yang perlu mereka amati samada ia berupa perintah untuk melaksanakan atau perintah untuk meninggalkan.
.
Selepas Allah SWT menyeru perhatian seluruh orang-orang yang beriman, kemudian barulah Ia menceritakan apakah sebenarnya perkara penting yang ingin Ia sampaikan. Maka perhatikanlah ayat selepasnya ..
.
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ
.
"Diwajibkan ke atas kamu berpuasa", inilah perkara penting yang ingin Allah SWT sampaikan kepada kita, iaitu perintah untuk berpuasa.
.
Apakah yang dimaksudkan dengan الصِّيَامُ itu?
.
الصِّيَامُ dari sudut bahasa disebut berhenti. Maknanya berhenti daripada bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Ada juga yang mengertikannya sebagai diam, iaitu diam daripada percakapan. Sesuai dengan maksudnya dari istilah syara’, di mana puasa menuntut kita untuk berhenti dan diam daripada makan dan minum, serta apa jua jenis perbuatan yang boleh membatalkan puasa sejak dari terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari.
.
Waktu setelah terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari ini adalah waktu pantang untuk kita, di mana kita dituntut untuk berpantang dari apa jua perkara yang boleh memudharatkan sahnya puasa kita. Sama seperti pantang yang ditetapkan oleh doktor, sekiranya ia tidak diikuti, maka penyakit yang kita alami tidak akan sembuh ...Begitulah halnya dengan puasa, sekiranya kita tidak menjaga pantang yang ditetapkan oleh syara' ini, maka puasa kita akan terbatal dan menjadi sia-sia ...
.
Antara pantang-pantang dalam berpuasa ini ialah, tidak boleh makan dan minum. Walaupun sedikit yang kita minum dan makan, asalkan ia dilakukan dengan sengaja ... bermakna kita telah melanggari pantang yang ditetapkan.
.
Orang yang sakit pun kadang-kadang diminta untuk tidak makan dan minum sehari sebelum ia menjalani pembedahan. Kita pun diperintah perkara yang sama juga, tidak boleh makan minum pada waktu-waktu tertentu. Jadi apa beza puasa orang sakit dengan puasa yang Allah perintahkan ini?
.
Maka dengan sebab itu, yang membezakannya adalah dengan niat. Niat yang membezakan antara adat, azam dan ibadat. Niat yang membezakan antara kerja harus dengan kerja sunnah(ibadah). Niat yang membezakan antara perbuatan berpahala dan perbuatan kosong. Jadi, kita dituntut untuk berniat supaya puasa yang kita laksanakan ini tidak seperti puasa orang yang sakit di hospital. Kalau tidak, puasa kita menjadi sia-sia. Berniat ini siapa yang suruh? Allah SWT yang suruh melalui posman Dia, Muhammad SAW. Nabi SAW bersabda di dalam sebuah hadis:
.
"Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbitnya fajar, maka tiada puasa baginya" ((Hadis sahih menurut Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban))*
.
Di dalam ayat ini, kewajipan berpuasa dapat difahami dengan penggunaan kalimah كُتِبَ yang membawa maksud ((difardhukan)).
.
Semua orang tahu bila baca ayat ini, ia menunjukkan kepada kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Tiada seorangpun di kalangan umat Islam yang menafikan ayat ini menunjukkan kepada kefardhuan puasa. Tetapi apabila sampai kepada ayat yang menyebut mengenai hukum Qisas (ayat 178 surah al-Baqarah), mengapa ada di kalangan kita yang menolaknya sedangkan kalimah كُتِبَ juga digunakan pada ayat tersebut bagi menunjukkan kefardhuannya dan kewajipan beriman dan melaksanakannya di dalam negara.
.
Yang peliknya, selalunya mereka yang menolaknya ada dari kalangan pemerintah sendiri, bukan orang lain. Sepatutnya mereka perlu menyokong undang-undang sebegini untuk memelihara keselamatan rakyat, tetapi mereka pula yang menolaknya. Rakyat yang bagaimana yang ingin mereka pelihara, yang jahat atau baik?
.
"Tempoyak bukannya sedap ...", kata orang yang tidak gemar dengan tempoyak.
.
"Mana hang tahu tak sedap, dah cuba ke belum?", penggila tempoyak mempertahankan gulai tempoyak.
.
"Kalau tak pernah cuba, hang diam-diam sudah. Jangan halang orang lain nak makan. Biaq hang rugi sorang-sorang", pukulan kedua buat mamat pembenci tempoyak.
.
Apakah mereka pernah mencuba untuk melaksanakan undang-undang ini sebelum menolaknya? Cuba dahulu, kemudian baru boleh memberikan pandangan. Selagi mana mereka belum mencubanya, bak kata penggila tempoyak tadi, "Hang diam-diam sudah. Jangan halang orang lain nak makan. Biaq hang rugi sorang-sorang". Sekiranya mereka enggan juga untuk melaksanakannya, mereka akan mendapat balasannya .. tetapi jangan halang mana-mana pihak untuk melaksanakannya.
.
Apatah lagi sekarang ini mereka tidak punya sebab untuk menolaknya, kerana kewajipannya sama seperti kewajipan melaksanakan puasa di dalam bulan Ramadhan ini. Kalau puasa boleh terima, tidak ada sebab undang-undang Islam mereka tidak boleh terima ...
.
Kemudian Allah SWT menyebut:
.
كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ
.
Ayat ini menunjukkan bahawa umat-umat terdahulu juga mempunyai aturan dan pensyariatan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada mereka. Sesuai denga firman Allah SWT di dalam ayat 48 surah al-Maidah:
.
لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا
.
“Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang” (al-Maidah: 48)
.
Akan tetapi, bentuk dan caranya berbeza mengikut zaman masing-masing. Cuma aqidah dan tauhid sahaja yang sama, iaitu menyeru kepada ketunggalan Allah SWT. Umat Muhammad SAW merupakan umat yang istimewa kerana telah diringankan beban tanggungjawab jika hendak dibandingkan dengan umat-umat terdahulu.
.
Seperti contoh perbualan Nabi Musa AS dan Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa isra’ dan mi’raj, nabi Musa meminta agar nabi Muhammad SAW merayu kepada Allah SWT agar dikurangkan bilangan solat daripada 50 kali kepada 5 kali setiap hari kerana baginda AS tahu bahawa umat Muhammad SAW tidak berkemampuan untuk melaksanakan bebanan seberat itu seperti mana umat-umat sebelumnya.
.
Begitu juga di dalam perkara yang melibatkan kaffarah dosa, umat nabi Musa AS diminta untuk membunuh diri sendiri sebagai jalan bertaubat kepada Allah SWT seperti mana yang disebut di dalam ayat 45 surah al-Baqarah, tetapi umat Muhammad SAW taubatnya cukup dengan beristighfar, penyesalan diri dan berazam agar tidak melakukannya lagi di kemudian hari.
.
Begitu juga dengan perintah mendirikan solat, umat terdahulu diperintah hanya mendirikan solat di masjid sahaja, dan tidak sah jika didirikan di luar masjid. Tetapi umat Muhammad SAW diringankan bebanan tersebut dengan dijadikan bumi bagi mereka sebagai hamparan sejadah untuk mendirikan solat seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
.
وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
.
“Dan telah diciptakan bumi itu bagiku sebagai masjid (tempat sujud) lagi bersih ..” ((Daripada Jabir ibn Abdullah, diriwayatkan oleh Bukhari, nom. 323/2/58))
.
Mengenai ayat yang kita bicarakan, ulama tafsir berselisih pendapat mengenai ayat ini, “..sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu”. Penyerupaan yang disebutkan sama dari sudut apa dan kepada siapa, itu yang diperselisihkan?
.
Ibn Abbas dan Mujahid RA mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan “orang-orang sebelum kamu” itu merujuk kepada Ahli Kitab. Manakala Hasan al-Basri dan As-Sya’bi pula mengatakan bahawa ia merujuk kepada kaum Nasrani (atau Kristian). Ada juga yang mengatakan ia umum kepada semua umat sejak dari zaman nabi Adam sehingga ke zaman kita hari ini.
.
Berkenaan dengan wajh tashbih (penyerupaan) itu pula, ada ulama yang mengatakan penyerupaannya adalah dari sudut kadar dan waktu puasanya, di mana Allah SWT mewajibkan puasa kepada kaum Yahudi dan Nasrani pada bulan Ramadhan juga, tetapi kemudiannya mereka memesongkannya. Ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada kewajipannya dan ada juga yang mengatakan ia merujuk kepada sifatnya iaitu dengan meninggalkan makan, minum dan sebagainya.
.
Yang pentingnya, penyerupaan ini dinyatakan kepada umat Muhammad SAW adalah sebagai suatu motivasi dan dorongan agar kita umat Islam juga melaksanakannya seperti mana yang pernah dilaksanakan oleh umat-umat terdahulu. Ia perkara biasa yang sering kita lakukan ketika kita hendak memberikan motivasi kepada anak-anak atau adik-adik kita, di mana kita akan tunjukkan dan ceritakan kepada mereka contoh pelajar-pelajar terdahulu yang telah berjaya di dalam pembelajaran mereka agar ia menjadi motivasi dan semangat kepada mereka untuk mengikut jejak langkah mereka yang telah pun berjaya.
.
Di akhir ayat ini, Allah SWT menyebut:
.
لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
“Semoga kamu bertaqwa”
.
Allah SWT telah mewajibkannya, tetapi ia terpulang kepada kita bagaimana untuk melaksanakannya ... “semoga kamu bertaqwa”, Allah SWT berfirman. Apakah kita mahu menjadikan tanggungjawab berpuasa ini sebagai amalan yang hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata, atau kita benar-benar ingin menjadikannya sebagai latihan untuk mempertingkatkan taqwa kita.
.
Dalam erti kata lain, sekiranya ia hanya difahami semata-mata untuk menahan lapar dan dahaga, kita hanya akan merasai lapar dan dahaga sahaja. Tetapi sekiranya kita memahami peranan puasa ini dengan lebih luas lagi sebagai latihan untuk mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, maka Allah SWT menyatakan .. “semoga kamu beroleh ketaqwaan”.
.
Semoga kita beroleh taqwa ... Ameen
.
Bersambung ...
.
.....................................................
.
* Kupasan khusus mengenai hadis ini akan dibicarakan kemudian di dalam artikel yang lain, Insyallah.
.
Rujukan:
.
1) Mukhtasar Ibn Kathir, Syeikh Ali As-Shobuni
2) Tafsir al-Kabir, Imam Fakhruddin Ar-Razi
3) Tanwirul Miqbas min Tafsir Ibn Abbas, Az-Zabeedi
4) Fathul Qadir, As-Syaukani
5) Tafsir al-Alusi, Imam al-Alusi
6) Al-Futuhat Al-Ilahiyyah, Imam al-Jamal
7) Bulughul Maram, Imam Ibn Hajar al-Asqalani
.

0 comments: