. .
“Hafiz Firdaus pakai kulit babi? Mahukah anda semua mempunyai 'ustat' yang berpakaian dari kulit babi ?Kalau anda wahabi, maka jawapan anda adalah "ya". Kita akan lihat wahabi wahabi akan cuba sedaya upaya 'menghalalkan ' babi ni.Tunggu dan lihat..Terlalu banyak kesesatan wahabi ni sebenarnya...”
– Kenyataan yang saya terjumpa di dalam sebuah blog.
.
Sebelum saya meneruskan perbincangan, suka saya menjelaskan bahawa saya bukanlah pengikut Salafi Wahabi mahupun Khalaf. Penulisan ini juga bukan bertujuan untuk mempertahankan mana-mana pihak dari kalangan Salafi mahupun Khalaf.
.
Saya sekadar ingin menyeru sahabat-sahabat sekalian agar kembali kepada manhaj Mutawassitah(kesederhanaan), Mahabbah(kasih sayang) dan Ukhuwwah(persaudaraan) yang pernah diperjuangkan oleh Imam Hasan al-Banna rahimahullahu ta’ala ‘alaih semasa hayatnya. Bahkan inilah manhaj perjuangan dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda SAW.
.
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ
.
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara kedua saudaramu..” ((Al-Hujurat: 10))
.
Telah saya nyatakan di dalam artikel saya yang lalu bahawa tiada apa yang menguntungkan daripada perbalahan sebegini, bahkan ia akan lebih menjerumuskan kita ke dalam lembah kesesatan, keta’asuban dan sia-sia. Nabi SAW sendiri pernah bersabda:
.
مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الْجَدَلَ
.
“Tidak sesat sesuatu kaum itu selepas mendapat petunjuk melainkan apabila mereka selalu berdebat” ((Hadis riwayat at-Tirmizi, 11/3176. Belia mengatakan hadis ini Hasan Sahih))
.
ISLAM MENITIKBERATKAN ADAB DAN AKHLAK:.Agama Islam adalah agama yang begitu menitikberatkan soal adab dan akhlak, bukan sahaja akhlak di antara manusia dengan manusia, justeru termasuk di antara sang hamba dengan penciptanya, Allah SWT.
.
Pengutusan Muhammad SAW bukanlah untuk memperkenalkan perkara-perkara baru, tetapi sebenarnya bertujuan untuk memperbetulkan akhlak manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam serta memandu mereka dengan sistem kehidupan yang lurus mengikut acuan ad-Deen yang sebenarnya.
.
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
.
“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus” ((Al-Bayyinah: 5))
.Namun perbalahan yang kita saksikan di atas bukanlah daripada adab-adab Islam, malah jauh dari roh-roh Islam. Islam tidak pernah mengakui perbalahan seumpama itu walaupun ia datang dari mulut dan tangan orang-orang Islam.
.
Sesungguhnya perbuatan ini merupakan tanda-tanda keruntuhan akhlak.
.
ISLAM TIDAK MENGHALANG PERDEBATAN:.
"Kami diberitahu bahwa tuan-tuan mempunyai sedikit keraguan tentang agama Kristian dan telah bersetuju datang kemari untuk meminta penjelasan daripada kami. Tuan-tuan juga telah berjanji kalau penjelasan yang kami berikan itu boleh meyakinkan, maka tuan-tuan akan meninggalkan agama Islam dan memeluk agama Kristian." kata Michael, guru Isabella membuka pertermuan dengan memperkenalkan tiap-tiap orang paderi yang ada di meja persidangan itu.
."Kami sedikit pun tidak merasa ragu tentang kepercayaan dan ajaran-ajaran Kristian tetapi kami cukup yakin kepercayaan dan ajaran-ajaran itu tidak beralasan. Dalam pada itu pun jikalau tuan dapat memuaskan hati kami dengan penjelasan-penjelasan tentang agama tuan yang boleh meyakinkan maka kami bersedia masuk agama Kristian", jawab Umar Lahmi, seorang pemuda Islam yang dikagumi keilmuannya di bumi Cordova, Andalus.
.
Islam tidak menghalang sebarang perdebatan dan perbincangan kerana Islam merupakan agama ilmu, agama tauhid ... agama yang berdiri dengan hujjah dan dalil !
.
قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
.
“Katakanlah (wahai Muhammad): Datangkanlah bukti-bukti kamu sekiranya kamu orang-orang yang benar !!” ((Al-Baqarah: 111))
.
Dialog di atas merupakan salah satu contoh perdebatan di antara agama yang diceritakan oleh Maulana Mohammad Saeed di dalam novel beliau, ISABELLA di antara paderi-paderi Kristian Cordova dengan Umar Lahmi.
.
Setelah tertarik dengan perbincangan diantara Umar Lahmi dan sahabat-sahabatnya tentang Islam dan Kristian di salah satu sudut sebuah taman yang amat terkenal dengan keindahan bunga-bungaan dan kesegaran tanam-tanaman di dalamnya, maka Isabella, anak kepada ketua paderi di Cordova, meminta agar sebuah perdebatan dibuat diantara mereka dengan beberapa tokoh paderi di Cordova.
.
“Kami mengucapkan terima kasih di atas susah payah nona(Isabella). Kami bersetuju sekiranya anggota-anggota gereja dapat memberi penjelasan kepada kami tentang dilema hukum-hukum agama dan kutukan dengan penjelasan yang memuaskan, saya dan sahabat saya akan memeluk agama Kristian. Sila nyatakan tempat dan tarikh perbahasan akan diadakan”, balas Umar Lahmi terhadap tawaran bertulis daripada Isabella.
.
Islam membuka seluas-luasnya pintu perbincangan dan perdebatan, asalkan ianya didasari dengan hujjah dan dalil serta adab-adab murni yang saling hormat-menghormati di antara satu dengan yang lain.
.
وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
.“Dan sekiranya kamu meragui tentang apa yang telah Kami turunkan kepada hamba Kami, maka datangkan satu surah sepertinya dan panggillah penolong-penolong kamu selain daripada Allah sekiranya kamu orang-orang yang benar !!” ((al-Baqarah: 23))
.
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ
.
“Jika kamu berbalah tentang sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan RasulNya” ((An-Nisa’: 59))
.
.. iaitu kamu kembali kepada dalil dan hujjah daripada al-Quran dan Sunnah,
bukan dengan kutukan, penghinaan dan cercaan. Kaedah Islam juga ada menyebut:
.
وإن كنت ناقلا فصحة وإن كنت داعيا فدليل
.“Sekiranya kamu menaqalkan sesuatu(membawa sesuatu sebagai hujjah), maka buktikan kesahihannya dan sekiranya kamu mendakwa sesuatu, datangkan buktinya” ((Kubra al-Yaqiniyyat, Syeikh Dr. Sayyid Ramadhan al-Bouti))
.
BERLAKU ADIL WALAUPUN TERHADAP MUSUH:.
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآَنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
.
“.. dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan” ((al-Maidah: 8))
.
Lihat bagaimana adab yang dianjurkan oleh Islam ... bahawa adil itu tidak hanya tertentu kepada sesetengah golongan sahaja, bahkan kepada sesiapapun hatta kepada musuh kita, orang kafir dan mereka yang menyakiti hati kita.
.
Malah Allah SWT mengatakan bahawa perbuatan tersebut lebih dekat dengan taqwa.
.
Adil di sini bermakna kita tidak mencabut hak-hak mereka yang telah ditetapkan, memburuk-burukkan mereka dengan sesuatu yang akan mengaibkannya. Sekiranya mereka dijatuhkan hukuman, maka hukumlah mereka dengan adil dan janganlah melebihi dari batasan-batasan yang sepatutnya sehingga menjatuhkan maruah dan hak-hak mereka. Jika sekiranya anda sedang berdebat dengan mereka, maka cukuplah perdebatan itu berkisar di dalam ruang lingkup skop perbincangan sahaja dan janganlah melampauinya kepada perkara-perkara peribadi yang akan mengaibkannya.
.
Sesungguhnya ia lebih dekat dengan taqwa.
.DI ANTARA UKHUWWAH & PERKARA KHILAFIAH:.
Ketika ada orang bertanya kepada Imam Hasan al-Banna mengenai perbezaan pendapat dalam solat Tarawih, beliau menjawab:
."Solat Tarawih hukumnya sunnah, makala kesatuan dan persaudaraan sesama kaum Muslimin hukumnya adalah fardhu. Oleh kerananya, perkara fardhu tidak boleh dikorbankan hanya untuk melakukan perkara sunnah. Andainya mereka masing-masing solat di rumah tanpa saling bertengkar dan bermusuhan adalah lebih baik dan lebih sesuai", jawab beliau.
.Beliau menjawab sebegitu kerana beliau tahu soalan tersebut bukanlah bertujuan untuk mencari titik pertemuan, tetapi sekadar ingin mendapat kepuasan dan ingin mengetahui kedudukan Imam Hasan al-Banna di dalam isu tersebut.
.Syeikhul Islam Ibn Taimiah pernah berkata: "Sesuatu perbuatan terkadang disunnahkan untuk dilakukan dan terkadang digalakkan untuk ditinggalkan, mengikut kepada maslahah masing-masing berpandukan pada dalil-dalil syara'. Seorang Muslim terkadang digalakkan untuk meninggalkan satu-satu perbuatan sunnah kerana apabila ianya dilakukan juga, maka kerosakkan yang ditimbulkan akan lebih besar daripada kemaslahan yang diperolehi, seperti tindakan nabi Muhammad SAW tidak menyempurnakan bangunan Ka'bah di atas maqam nabi Ibrahim AS, seraya berkata kepada Aisyah RA:
."Kalaulah seandainya kaummu tidak baru saja meninggalkan kebiasaan Jahiliyyah, nescaya aku merubah bangunan ka'bah dan aku lekatkan ia kepada bumi, kemudian aku jadikan padanya dua buah pintu. Satu pintu untuk orang masuk dan yang satu lagi untuk keluar" ((Ruj: Imam Ibn Taimiah, Majmu' Fatawa, 24, 195-199. Dinaqal daripada Fi Fiqhil Aulawiyyat, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi)).Di dalam Fatawa Misriyyah, dinaqalkan bahawa Imam Ibn Taimiah berkata lagi:
"Menjaga kesatuan umat adalah satu hak. Menyaringkan bacaan Basmalah juga kadangkala satu maslahah. Meninggalkan sesuatu yang afdhal adalah harus demi untuk menyatukan hati".Telah diriwayatkan bahawa Imam As-Syafi'i RA telah bersembahyang subuh tanpa qunut ketika beliau melawat Baghdad, negeri di mana penduduk-penduduknya berpegang teguh dengan mazhab Imam Abu Hanifah RA. Ini kerana Imam As-Syafi'i mahu menghormati dan menjaga perasaan mereka serta memuliakan pengikut-pengikut Imam Abu Hanifah.
.Saidina Umar RA hampir-hampir bersembahyang di sebuah gereja apabila disuruh berbuat demikian, tetapi beliau berkata:
"Tidak, aku tidak akan bersembahyang di sini, nanti orang lain akan berkata, Umar telah mengerjakan sembahyang di sini, lalu mereka menganggapnya sebagai tempat bersembahyang bagi orang Islam"[1] ((Ruj; Fatawa Mu'asarah, Syeikh al-qaradawi, m.s 371-372 & At-Tibyan Fi Adaabi Hamalatil Qur'an, Imam an-Nawawi)).Inilah sikap sebenar mereka yang memahami Islam .. meletakkan kesatuan dan perpaduan ummah melebihi daripada kepentingan peribadi. Mereka mampu membezakan di antara perkara ijtihadiyyah dan qot'iyyah serta sunnah dan fardhu ... bahkan mengiktiraf bahawa semua pendapat yang dikemukakan adalah benar dan bertujuan untuk membawa manusia menuju Allah SWT.
.
لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آَمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ
.
"Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari akhirat ...." ((al-Baqarah: 177))
.KESIMPULAN:.Mungkin niat si penulis itu baik, iaitu untuk meluruskan kefahaman yang silap (menurut pandangannya). Tetapi alangkah ruginya, dalam ia ingin meluruskan kebenaran, beliau sebenarnya sedang menjatuhkan akhlak dan membenihkan permusuhan .... .
.
.
.
...................................
.
Riwayat ini bukan menunjukkan tegahan mendirikan solat di dalam gereja(malah boleh solat di dalam bilik mandi yg tidak mempunyai tandas, syarat: bersih), tetapi sekadar untuk mengelakkan fitnah ke atas umat Islam, apatah lagi apabila ia dilakukan oleh Amir al-Mukminin, sudah tentu ia akan menimbulkan pelbagai isu dan persoalan. Oleh itu, sebagai seorang pemimpin masyarakat, belum tentu perkara yang harus bagi orang awam itu harus juga baginya kerana setiap perbuatan mereka menjadi perhatian masyarakat. ((At-Tibyan, Imam An-Nawawi))