Sunday, 8 February 2009

Kami turun dengan mulia, kamu naik dengan hina.


Kerajaan Pakatan Rakyat masih merupakan kerajaan yang sah. Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin masih lagi merupakan MB yang sah. Exco-exco yang berada di bawahnya juga masih lagi merupakan exco-exco yang sah. Mereka tidak akan berundur sehinggalah ia diputuskan oleh mahkamah secara sah.





Kerajaan baru Perak pimpinan Dr Zamry Abdul Kadir adalah sebuah kerajaan haram. Penisbahan dia sebagai Menteri Besar Perak serta Exco-exconya yang lain juga merupakan penisbahan yang haram. Kereta kerajaan negeri yang mereka pakai adalah haram. Bilik Menteri Besar dan Exco-exco yang mereka duduki juga adalah haram, malah kesemua kemudahan kerajaan negeri Perak yang mereka gunakan adalah haram. Gaji yang mereka perolehi dari jawatan yang mereka sandangi juga merupakan gaji yang haram.

Setiap langkah-langkah mereka di atas nama kerajaan negeri adalah berdosa. Ucapan yang mereka lafazkan di atas nama kerajaan negeri juga adalah ucapan yang berdosa. Jari-jari yang menari untuk menulis di atas nama kerajaan negeri juga merupakan jari-jari yang menanggung dosa. Perahan otak yang mereka perah di atas nama kerajaan negeri juga merupakan perahan otak yang berdosa, malah setiap tindakan mereka di atas nama kerajaan negeri kesemuanya dianggap berdosa. Bahkan BN, Sultan Perak, Dato’ Seri Anuar Zaini, Pengerusi SPR dan sesiapa saja yang bersubahat untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang sah sedang menanggung beban dosa yang tidak henti-henti.

Ini kerana, mereka memerintah dengan cara merampas kuasa. Mereka mengambil alih pemerintahan negeri tanpa mengikut lunas-lenas Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Tubuh Negeri Perak. Mereka merampas hak dan kemahuan rakyat. Mereka merompak kuasa rakyat dan harta rakyat.

“Amat bahaya kami diserang macam binatang, ramai ditangkap, masjid diserang, ditembak dengan gas dan pancutan air beracun. Saya tak tahu nasib rakan-rakan lain, suasana amat tegang. Kami lari ke dalam kampong minta perlindungan. Najib jadikan polis balacinya. Mata kami hamper buta. Doakan perjuangan ini Berjaya” – Shaher, 6 Februari 2009, Rusuhan Kuala Kangsar.

Inilah sms yang dikirim oleh sahabat saya, Shaher ketika beliau turun bersama-sama dengan para pimpinan serta rakyat yang bersimpati dengan Pakatan Rakyat di Kuala Kangsar untuk menyatakan protes mereka terhadap majlis angkat sumpah yang haram di Istana Iskandariah.

Kami PAS secara khusus tidak gentar dengan tindakan yang mereka lakukan terhadap kami. Jiwa dan jasad kami tidak tumbang bersama-sama dengan tumbangnya kerajaan kami, malah kami akan terus berjuang sehingga hak kami dikembalikan.

Walaupun kami tidak punya polis, FRU, SPR dan juga wang, tetapi kami punya maruah dan harga diri. Kami punya semangat dan keazaman. Kami bukan semut yang boleh dihinjak-hinjak. Kami adalah hamba jiwa merdeka. Kami tidak rela bernanung di bawah payung penguasa tirani.

إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً وَكَذَلِكَ يَفْعَلُونَ

"Sesungguhnya apabila penguasa memasuki suatu negeri, nescaya mereka akan membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia menjadi hina, dan demikian pulalah yang akan mereka lakukan” (An-Naml: 34)

Wahai rejim BN, janganlah kamu merasa tenang dengan kezaliman yang sedang kamu lakukan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak pernah lalai dengan kezaliman yang dilakukan oleh orang-orang yang melakukan kezaliman.

وَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ غَافِلًا عَمَّا يَعْمَلُ الظَّالِمُونَ

“Dan janganlah sekali-kali kamu menyangka bahawa Allah lalai dari apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim” (Ibrahim: 42)

Cukuplah Allah sebagai pembela kami, pelindung dan tempat kami bermohon. Dengan kekuatan pemimpin-peminpin kami, akan kami teruskan jihad menentang kezaliman ini walaupun terpaksa merangkak dan merengkok di dalam penjara. Paluan gendang keadilan dan kebenaran akan terus kami palukan.

Aku tidak akan sesekali meredhoi mereka sebagai pemimpinku.