"Ustaz, kalau air mani tu suci, maknanya boleh la kita guna untuk berwudhuk kalau cukup dua kolah?", tanya salah seorang pemanggil kepada ustaz.
"Sebelum ana jawab, ana nak enta kumpulkan air mani sampai dua kolah dulu, kemudian baru ana jawab soalan enta ..", jawab ustaz dengan nada perli.
Pertanyaan ini mengingatkan saya kepada kisah yang diceritakan oleh sahabat saya ketika beliau mendengar seorang pemanggil menelefon seorang ustaz yang dijemput khas untuk mengisi ruang soal-jawab di radio Kedah.fm. Kami yang sedang menjamu juadah ringan di masjid UIA selepas solat tarawih tergelak bahak saat mendengar sahabat kami menceritakannya.
"Tak ada soalan lain ke nak tanya ..", sambil ketawa ringan saya bertanya.
Mungkin pada siri soal-jawab tersebut, ustaz yang dijemput sedang menerangkan mengenai kesucian air mani(1) di dalam perbincangan ((Fiqh at-Thaharah)), maka ada si pemanggil yang "jauh sangat sempadan permikirannya" ingin tahu apakah hukumnya jika ia digunakan untuk berwudhuk. Malang sungguh orang itu. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawab.
Mungkin itulah juga jawapan saya kalau ada penanya yang bertanyakan soalan yang sama. Saya setuju dengan jawapan ustaz itu!
BERFIKIR SEBELUM BERTANYA
"Cikgu-cikgu, kenapa dia mati?", saya bertanya tentang Kellie kepada cikgu Hafizah ketika dalam perjalanan pulang dari lawatan sekolah rendah ke Kellie's Castle.
"Dia mati sebab dah sampai ajal la", sambil tersenyum, dengan bersahaja cikgu Hafizah menjawab.
Satu bas gelakkan saya ketika itu. Tapi saya yakin, kawan-kawan saya bukannya faham pun mengapa cikgu Hafizah menjawab sebegitu.
"Sepatutnya kamu tanya .. bagaimana dia boleh mati cikgu? Itu baru gaya soalan yang betul Fitri", jelas cikgu Hafizah supaya saya faham mengapa beliau menjawab sedemikian.
Sejak dari peristiwa itu, saya sentiasa beringat apabila ingin menujukan soalan kerana dari persoalan yang ditanyakan, ia secara tidak langsung mampu menjadi kayu ukur kepada tahap keilmuan, kefahaman dan kemampuan kita di sisi para pendengar. Kalau bodoh soalannya, maka bodohlah anggapan orang terhadap kita. Kalau baik soalannya, maka baik jugalah anggapan orang terhadap kita.
BIAR BERMANFAAT
"Syeikh, boleh tak jelaskan tentang Nur Muhammad?", tanya seorang pelajar baru kepada guru kepada guru kami, Syeikh Yusuf Bakhur al-Hasani.
"Kamu mahu jawapan itu mengikut kefahaman saya atau kefahaman kamu !? Nur Muhammad itu ialah kamu melaksanakan seluruh perintah Allah, mengikut sunnah Rasulullah, mendirikan solat dan tunaikan zakat ..", beliau seolah-olah berang dengan pertanyaan itu.
Sudah pasti pelajar tersebut terkejut dengan jawapan Syeikh kerana itu bukanlah jawapan kepada persoalan yang beliau tanyakan, malah jauh sekali dari pengertian Nur Muhammad.
Persoalan ini sama seperti situasi yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW di mana ada sebilangan sahabat bertanyakan kepada baginda mengapa bulan Sabit kelihatan tipis bagaikan benang lalu terus membesar sehingga menjadi bulan purnama, kemudian mengecil semula menjadi bentuknya yang asal. Lalu Rasulullah SAW menjawab melalui firman Allah SWT:
هي مواقيتُ للناس والحج
"Bulan Sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan haji" (al-Baqarah: 189)
Apa kaitannya di antara kecil besar bulan Sabit dengan keadaannya yang menjadi tanda-tanda waktu bagi manusia dan haji?
Memang Rasulullah SAW tidak menjawab soalan tersebut, tetapi mengalihkannya kepada jawapan yang lebih bermanfaat dalam konteks agama dan kehidupan mereka, di dalam masa yang sama mengajar mereka agar sentiasa memikirkan sesuatu yang hanya bermanfaat untuk kemajuan mereka. Saya teringat dengan kata-kata Tok Guru Nik Aziz ketika beliau mensyarahkan ayat ini, "Rasulullah bukan tidak boleh jawab soalan itu, tetapi sengaja baginda tak mahu menjawabnya kerana untuk menjawab soalan tersebut, tidak tanya Rasulullah pun tak pe. Itu peranan akal untuk mengkaji mengapa kejadian bulan diciptakan sedemikian. Tapi nabi jawab sesuatu yang berkaitan dengan persoalan wahyu dan perkara ghaib kerana perkara ini akal pun tak mampu mencapainya. Yang hanya boleh jawab persoalan begini hanya nabi saja sebab baginda mendapat jawapan terus daripada Allah SWT, dan inilah objektif sebenar pengutusan nabi-nabi ke muka bumi".
Namun inilah masalah yang menimpa umat Islam. Ramai diantara kita sangat gemar bertanyakan sesuatu yang tidak meninggalkan kesan yang bermakna untuk diri sendiri dan orang lain. Persoalan yang diutarakan jelas tidak mampu untuk memberi impak dan tenaga kepada kelesuan ummah serta membangkitkan jiwa-jiwa yang lena, bahkan terbawa-bawa dengan khayalan-khayalan yang tidak berkesudahan yang sentiasa bermain di minda.
Jika kita mengkaji sejarah-sejarah para sahabat, Saidina Umar RA pernah menghukum seseorang yang selalu bertanya dengan pertanyaan yang menghantui fikirannya tentang masalah-masalah mutasyabihat (samar-samar) yang tiada kaitannya dengan praktikal kehidupan yang kadang kala boleh meransang polemik sengit yang amat merugikan.
Imam Malik pula pernah ditanya tentang maksud hakikat istiwa' dalam firman Allah (surah Taha: 5), beliau lantas menjadi marah dengan persoalan itu dan berkata kepada yang bertanya, "Istiwa' itu jelas, caranya tidak diketahui, mengimaninya adalah wajib dan bertanya tentangnya adalah bid'ah"
Contoh-contoh yang diberikan bukanlah untuk menyatakan bahawa Islam menyekat perkembangan ilmu dan permikiran seseorang, tetapi Islam berdiri untuk menjaga keharmonian fizikal dan rohani manusia dari tercemar oleh hawa nafsu yang merosakkan. Jika perkara ini tidak dibendung seawalnya, boleh jadi kita akan terbawa-bawa kepada persoalan-persoalan yang pelik malah sehingga ke tahap mempersoalkan, "Siapa yang mencipta Allah?". Abu Hurairah RA berkata:
لا يزال الناس يتساءلون حتى يقال : هذا الله خلق الخلق فمن خلق الله؟
"Manusia akan sentiasa bertanya sehingga dikatakan: Inilah Allah yang menciptakan makhluk. Tetapi siapa pula yang menciptakan Allah?!"
Sekiranya permikiran kita sudah sampai ke tahap itu, maka inilah kemuncak kemusnahan kita sebenarnya. Justeru itu, Islam sentiasa mengambil langkah berhati-hati di atas prinsip kesederhanaan dan wasathiyyah, iaitu dengan menjaga penganutnya agar tidak terjerobos di dalam permikiran yang akan merosakkan diri mereka sendiri seperti mana yang pernah dilalui oleh bangsa Yunani dan Rome suatu ketika dahulu.
Di sinilah punca kejatuhan dua bangsa gergasi ini sebenarnya.
Kecerdasan yang mereka perolehi melebihi dari bangsa-bangsa lain pada saat itu malangnya telah dirobek oleh falsafah permikiran yang melampau sehingga membawa kepada kefahaman agama yang tempang, yang akhirnya menjadikan Yunani dan Rome sebagai bangsa keparat yang memuja "material" di dalam kehidupan, malah penghayatan keagamaan mereka juga turut diracuni oleh faham materi yang menebal.
Sehubungan dengan itu, Prof. Lecky di dalam bukunya ((History of European Morals)) pernah mengatakan, "Semua peradaban Yunani hanya didasarkan pada akal saja". Sementara seorang penulis Rome yang bernama Apoles pula mengatakan, "Bangsa Yunani mengagungkan tuhan mereka dengan jalan menyanyi dan menari". Kecenderungan mereka hanya terbatas pada kesenangan hidup, gemar memahat, melukis dan menciptakan karya sastera yang tidak dapat dipertanggungjawabkan. Kerana itulah di sana sering terjadi kebejatan moral yang tidak dapat dibendung lagi. ((Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi, Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam, m.s 179-181))
Kemelesetan ini jika dinilai kembali, asasnya berpunca dari proses permikiran yang tidak dikawal oleh wahyu sehingga bercambahnya pelbagai kekarutan dan khurafat yang membinasakan.
Maulana Abul Hassan Ali An-Nadwi, pengasas Nadwatul Ulama, Lucknow. Beliau merupakan ulama India yang terkenal dengan kehebatan dan ketinggian sastera Arabnya sehingga diakui oleh tokoh-tokoh ilmuan Islam dari kalangan orang Arab seperti Dr Muhammad Yusuf Musa dan Syed Qutb
Sesetengah para ilmuan Islam juga tidak terlepas daripada terpengaruh dengan pelbagai khayalan dan campur baur falsafah yang keterlaluan di dalam penulisan dan pengkajian mereka sehingga mereka lupa essensi utama yang perlu dititikberatkan untuk masyarakat. Walaupun ia tidak langsung terperosok di dalam lembah kesesatan, tetapi cukuplah pendominasian permikiran tersebut telah menjadi salah satu penyumbang kepada keruntuhan Umat Islam silam. Maulana Syeikh Abul Hassan Ali An-Nadwi di dalam bukunya ((Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam)) mengatakan, "Kaum Muslimin bukan saja membahas sifat-sifat Allah belaka, bahkan mereka membahas tentang roh, falsafah Wahdatul Wujud dan sebagainya yang memerlukan tenaga dan waktu yang tidak sedikit".
Beliau menyambung lagi, "Memang hasil penemuan kaum Muslimin itu diakui banyak menunjang permikiran moden barat di abad Renaisance, namun semua hasil penemuan mereka jika dibandingkan (antara tempoh masa diantara Islam dan Barat) dengan penemuan barat tetap tidak sebanding. Tidak sebanding pula dalam hal ketelitian, keahlian mahupun penemuan baru terhadap kajian-kajian saintifik. Jika kita ingin mengetahui berapa besar perhatian dunia Islam terhadap masalah roh dibandingkan dengan perhatian mereka terhadap penemuan ilmiah (ie sains), maka bandingkan antara kitab Futuhul Makkiyah oleh Ibnul Arabi dengan kitab yang paling besar dalam ilmu fizik dan sains. Dalam hal ini akan kita dapati betapa besarnya perhatian kaum muslimin terhadap perbahasan roh lebih daripada perbahasan ilmiah lainnya" (m.s 151-152)
Oleh kerana itu, bagi membendung dari berleluasanya permasalahan ini, Syeikh al-Qaradhawi di dalam bukunya ((Al-Fatwa Bainal Indhibath wat Tasayyub)) menjelaskan keperluan umat Islam untuk memikirkan sesuatu yang lebih bermanfaat untuk pembangunan ummah dan menyuburkan suasana perbincangan serta persoalan yang lebih realistik di dalam kehidupan mereka demi untuk membangun kembali sebuah tamadun Islam yang pernah dibangga-banggakan suatu ketika dahulu. (m.s 55-61)
KESAMARAN(MUBHAMAT) SESETENGAH AYAT-AYAT AL-QURAN
"Syeikh, siapakah nama saudara perempuan nabi Musa yang disebutkan di dalam al-Quran?".
"Kenapa kamu sibuk dengannya?", syeikh 'baran' dengan soalan si penanya. "Apakah engkau ingin meminangnya? Letaklah apa saja namanya .. Maryam, Zulaiha atau Maria sekalipun, apakah ia bermanfaat untuk kamu?", beliau menyambung lagi.
Pertanyaan di atas adalah pengalaman yang diceritakan oleh Syeikh al-Qaradawi ketika beliau sedang memberikan pengajian hariannya di masjid. Jelas daripada jawapan beliau itu menunjukkan betapa beliau begitu tidak gemar dengan pertanyaan-pertanyaan seumpama itu.
Saat Allah menurunkan ayat-ayat al-Quran supaya diambil pengajaran dan peringatan daripadanya, namun ada pula di kalangan kita yang gemar membelek-belek sudut-sudut kecil di celahan ayat-ayat itu.
Allah SWT memerintahkan agar kita menghayati nikmat Syurga dan bahaya kepanasan neraka, tetapi mengapa pula ada orang mahu bertanya "Di manakah Syurga dan Neraka?". Saat Allah meminta kita menghayati ketinggian pengorbanan nabi Ismail AS, mengapa ada pula orang yang mahu bertanya, "Apakah nabi Ismail lebih mulia dari Ishak?". Saat Allah SWT meminta agar kita mengambil pengajaran dari kesesatan kaum Nasrani terhadap risalah Nabi Isa AS, mengapa masih ada orang yang ingin tahu, "Bila saat turunnya nabi Isa AS?". Saat Allah SWT memerintahkan agar kita mempelajari ketulenan iman pemuda Ashabul Kahfi, mengapa tidak habis-habis orang menanyakan, "Apakah warna anjing Ashabul Kahfi dan apakah ia jantan ataupun betina?".
Penting sangatkah soalan itu? Mengapa soalan sedemikian yang harus diajukan? Apakah tidak ada soalan lain yang lebih penting untuk ditanyakan berbanding soalan-soalan sebegini? Adakah ia dapat mendorong kita kepada kefahaman Islam yang lebih syumul dan komprehensif?
Malang sungguh diri kita sekiranya kita masih lapar dengan soalan-soalan sebegini, padahal ia tidak mampu mengeyangkan pun.
Justeru itu, elok rasanya untuk saya jelaskan sebab-sebab kesamaran yang terdapat di dalam beberapa ayat-ayat al-Quran supaya kita lebih memahaminya, dan tidak lagi mengheret kita untuk bertanya bentuk-bentuk persoalan pelik seperti yang dicontohkan di atas.
Jauh sekali untuk dikatakan bahawa Allah SWT lalai atau terlupa untuk menjelaskan 'warna anjing Ashabul Kahfi', 'siapakah saudara perempuan Musa AS' dan pelbagai lagi bentuk Mubhamat di dalam al-Quran melainkan di sana terdapat rahsia-rahsia yang hanya mampu difahami oleh para ulama yang diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT saja. Sehubungan itu, untuk memahami rahsia-rahsia di sebalik penurunan ayat-ayat mubhamat ini, Imam As-Suyuti di dalam bukunya ((Al-Itqan fi 'Ulumil Qur'an))(2) telah membariskan tujuh sebab di sebalik kesamaran(mubhamat) yang terdapat di dalam al-Quran.
1) Kerana penjelasannya ada dijelaskan di dalam ayat yang lain seperti firman Allah SWT:
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ
"Jalan orang-orang yang Engkau berikan nikmat kepada mereka" (Al-Fatihah: 7)
Kemudian "orang-orang yang diberi nikmat" itu dijelaskan di dalam surah an-Nisa' ayat 69 sebagai orang-orang dari kalangan para nabi, orang-orang yang benar, para syuhada' dan orang-orang yang soleh.
Hal ini sesuai dengan peranan surah al-Fatihah sebagai Ummul Qur'an yang hanya memuatkan asas-asas penting intipati Islam secara ringkas, lalu maksudnya dijelaskan di tempat lain oleh ayat al-Quran sendiri ataupun daripada hadis rasulullah SAW. Selain daripada itu, ia bertujuan untuk membuktikan mutabaqahnya (selari) di antara satu ayat dengan ayat yang lain tanpa sebarang percanggahan. WA
2) Kerana identiti orang yang tidak disebutkan di dalam ayat tersebut sudah sangat maklum seperti firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 35:
وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ
"Dan Kami katakan: Wahai Adam, masuklah kamu dan isteri kamu di dalam syurga"
Dalam ayat ini, Allah tidak menjelaskan siapakah isteri nabi Adam AS kerana sudah maklum bahawa beliau adalah Saidatina Hawa, bukan orang lain.
3) Kerana tiada faedahnya menzahirkan identiti individu atau kelompok yang dimaksudkan seperti yang disebut di dalam ayat 259 surah al-Baqarah:
أَوْ كَالَّذِي مَرَّ عَلَى قَرْيَةٍ
"Atau apakah (kamu tidak memerhatikan) orang yang melalui satu negeri ..."
4) Kerana ingin mengumumkan peringatan ayat tersebut kepada semua, bukan dikhususkan kepada orang yang disebutkan sahaja, seperti firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 100:
وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا
"Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat untuk berhijrah .."
Dalam erti kata lain, ayat ini tidak dikhususkan kepada golongan yang diceritakan di dalam ayat ini sahaja, malah sesiapa sahaja yang keluar dari rumahnya berhijrah demi untuk mencari keredhaan Allah dan RasulNya, maka dia juga tergolong di dalam golongan yang disebutkan di dalam ayat ini.
5) Untuk mengagungkan sifatnya yang mulia dari namanya sendiri, seperti firman Allah SWT di dalam surah an-Nur ayat 22, Az-Zumar ayat 33 dan At-Taubah ayat 40.
وَلا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ
"Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan .."
6) Untuk menggambarkan teruknya kehinaan mereka melalui sifat mereka yang buruk melebihi dari nama-nama mereka sendiri seperti yang digambarkan di dalam surah al-Kauthar ayat 3:
إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأبْتَرُ
"Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus(dari rahmat Allah)"
Inilah di antara rahsia-rahsia yang mampu diterjemahkan oleh para ulama di sebalik kesamaran-kesamaran ayat-ayat yang terkandung di dalam al-Qur'an. Mungkin masih banyak lagi rahsia-rahsia yang belum ditemui kerana al-Quran adalah kalamullah yang sangat luas untuk diterokai, malah sepertimana yang diungkapkan oleh guru kami, setiap kali kita membacanya walaupun pada surah dan ayat yang sama, kalau diteliti .. pasti kita akan mendapat pelajaran yang baru melaluinya.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَسْأَلُوا عَنْ أَشْيَاءَ إِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan sesuatu yang jika dijelaskan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu .." (al-Maidah: 101) (3)
Daripada Ibn Abbas RA, beliau telah berkata: Aku tidak pernah melihat sesuatu kaum yang lebih baik daripada sahabat Rasulillah SAW. Mereka tidak bertanya sesuatu yang terkandung di dalam al-Quran melainkan dari 13 masalah sahaja sehingga wafatnya Rasulullah SAW, diantaranya ayat yang disebut di dalam surah al-Baqarah ayat 127 dan ayat 222. Beliau berkata lagi:
ما كانوا يسألون إلا عما ينفعهم
"Mereka tidak bertanya melainkan sesuatu yang bermanfaat untuk diri mereka" (4)
Kalau anda sudah jelas, mengapa perlu menanyakan soalan itu lagi ?
........................................................................
(1) Pendapat yang mengatakan sucinya air mani dipegang oleh mazhab as-Syafi'i, manakala mazhab Hanafi berpendapat bahawa ianya najis. WA
(2) Jilid 2, m.s 377-378
(3) Diharapkan para pembaca mencari sendiri tafsir bagi ayat yang diutarakan agar lebih difahami pengertiannya.WA
(4) Athar ini diriwayatkan oleh Ad-Darimi di dalam sunannya, ((Sunan Ad-Darimi)) dengan sanad di dalamnya terkandung perawi yang dhaif. Berkata Ibn Mufleh di dalam ((Al-Adabus Syari'ah)) bahawa sanadnya bertaraf Hasan. Berkata Ibn Abdil Bar pula di dalam ((Jami' Bayanil 'Ilmi wa Fadhlihi)) dengan sanad yang sama. ((ruj: Manhajus Salaf fis Suaali 'anil 'Ilmi, m.s 11)).
Berkata Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, "Maksud 'Mereka tidak bertanyakan selain dari 13 masalah sahaja' adalah berkaitan dengan persoalan mereka terhadap permasalahan di dalam al-Quran saja. Manakala persoalan yang berkaitan dengan hadis nabi SAW, maka jumlah tidak terkira". Beliau seterusnya menaqalkan pendapat Imam Ibnul Qayyim, "Yang dimaksudkan dengan 'Mereka tidak bertanyakan selain dari 13 masalah sahaja' adalah masalah yang bersangkutan dengan al-Quran. Sedangkan yang bersangkutan dengan hadis, maka jumlahnya hampir tidak boleh diperhitungkan". ((ruj: Manhajus Salaf fis Suaali 'anil 'Ilmi, m.s 14))
0 comments:
Post a Comment