Alhamdulillah, Allah SWT masih lagi memanjangkan umur saya untuk menikmati suasana PRU-12 pada tahun ini. Kelmarin baru sahaja selesai proses penamaan calon bagi calon-calon yg bertanding di setiap kawasan Parlimen dan Dun yg mereka tandingi. Saya turut sama mengikuti proses penamaan calon di Taman Meru, Ipoh bagi Parlimen Tambun, Dun Manjoi serta Ulu Kinta. Alhamdulillah keadaan aman dan tiada provokasi dilakukan oleh BN & pihak pembangkang.
Selama 13 hari bermula dari jam 1 petang kelmarin hingga 8 Mac 2008, calon-calon serta agen pilihanraya diberikan peluang oleh SPR untuk melakukan proses merayu undi. Inilah kesempatan waktu yg perlu digunakan oleh mereka untuk menarik perhatian pengundi agar mengundi mereka. Masih tidak terlalu lewat untuk para pengundi memikirkan siapakah calon terbaik yg perlu mereka pilih sekiranya calon-calon dan agen pilihanraya menggunakan stratergi dakwah yg berhikmah dan efisyen ketika berhadapan dengan mereka.
Dalam masa yg sama, para pengundi juga perlu bijak memilih calon yg terbaik yg bakal menjadi Wakil Rakyat di tempat mereka. Perlu diketahui bahawa pemilihan calon bukan sahaja perlu dinilai dari segi penilaian lahiriah sahaja, bahkan yg lebih penting dari itu adalah dari sudut keikhlasan, akhlak, amanah dan prinsip perjuangan yg ingin ditegakkannya, kerana memegang jawatan bukanlah seperti memegang helaian kertas yg tidak bernilai, tetapi merupakan amanah besar serta tanggungjawab agung di antara dirinya dengan masyarakat dan dirinya dengan Allah SWT. Bermula dari kejayaannya dipilih sebagai wakil rakyat, maka sejak itulah setiap amanah yg terpikul dibahunya akan dicatit di dalam ‘document’ barunya di sisi Malaikat. Menggambarkan betapa beratnya tanggungjawab dan amanah bagi seseorang yg memegang title ‘pemimpin’ ini, tidak kira samada dia merupakan pemimpin bagi sebuah keluarga, masyarakat mahupun Negara.
Namun yg demikian, asasnya adalah dari para pengundi. Merekalah yg menentukan siapakah calon yg mereka pilih. Para pengundi mempunyai kuasa penuh semasa proses pengundian berlangsung dan tiada siapa yg berhak menghalang hak-hak mereka untuk mengundi calon yg terbaik di sisi mereka. Walaupun begitu, Islam telah menetapkan beberapa syarat bagi calon yg wajib dan ditegah untuk diundi. Bukan bermakna Islam menghalang hak-hak mereka, tetapi sebagai suatu petunjuk dan panduan untuk memastikan maslahah, kebaikkan dan kesejahteraan masyarakat dan negara secara keseluruhannya terjamin.
“Salah ke kalau kita sokong UMNO dan Islam Hadhari? Apa pendapat anta?”, tanya seorang akhawat kepada saya.
Saya menjawab persoalan beliau secara ringkas dan penulisan di bawah merupakan pendetailan dari pendapat yg saya kemukakan.
Dalam situasi negara kita, ada dua parti komponen yg bertanding iaitu BN dan BA. Bagi umat Islam di Malaysia, mereka mempunyai UMNO, PAS dan KeADILan untuk diundi kerana inilah parti yg dianggotai oleh orang-orang Melayu. Kita tidak mahu berbicara soal DAP, MIC atau MCA. Pilihanraya merupakan jihad moden yang diiktiraf di seluruh dunia sebagai medan penentu bagi menentukan kerajaan yg memerintah di dalam Negara. Penentuan ini diperolehi berdasarkan kepada undian yg dibuat oleh masyarakat terhadap parti-parti yg bertanding. Parti yg mendapat undi majoriti akan ditabalkan sebagai kerajaan yg memerintah. Untuk para pengundi, kita perlu jelas bahawa Islam mewajibkan kita memilih pemimpin yg memperjuangkan Islam, menegakkan keadilan dan memberi kebajikkan kepada rakyat tanpa mengira kaum dan bangsa kerana inilah perjuangan para anbia’, perjuangan para sahabat, tabi’ tabi’in dan orang-orang soleh selepas daripada mereka. Ini adalah kerana, kesejahteraan tidak akan dapat dinikmati kecuali dengan keadilan yg ditegakkan dan keadilan pula tidak akan dapat didirikan melainkan dengan Islam. Di dalam al-Quran, Allah SWT ada menyebut ciri-ciri sebuah negara yg patut didirikan oleh sebuah kerajaan Islam. Untuk mendapatkan ciri-ciri tersebut, tidak dapat tidak pengundi wajib memilih tokoh-tokoh dan calon-calon yg berwibawa yg berkelayakkan untuk melaksanakan Negara yg bercirikan dengan ciri-ciri tersebut. Allah SWT berfirman:
.
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan” (Al-Hajj: 41)
Inilah ciri-ciri yg sepatutnya dimiliki oleh sebuah negara Islam dan negara berkebajikan; iaitu Negara yang mempertautkan ikatannya di antara manusia dan Allah SWT. Mereka meletakkan segala urusan dan tanggungjawab pemerintahan segalanya di atas ketentuan Allah SWT, tidak meleraikan ikatan iman dan tauhid dalam segala urusan pentadbiran yg dikerjakan. Dalam erti kata lain, Negara Islam adalah Negara yg meletakkan dustur ilahi sebagai asas pemerintahan di dalam Negara, tidak terikat kepada perlembagaan ciptaan manusia yg jauh dari ruh-ruh keimanan yg sempurna yang meletakkan hawa nafsu dan kepentingan manusia melebihi hak-hak Allah SWT. Maka dengan sebab itu, Allah SWT mengakhiri ayat ini dengan, “..dan kepada Allah-lah kembali segala urusan”, menunjukkan pergantungan kepada Allah SWT itu merupakan pergantungan yg mutlak tanpa sebarang penyekutuan terhadap selain Allah SWT ataupun sesama manusia. Ayat ini juga menerangkan kewajipan dan tanggungjawab asas yg perlu didirikan di dalam pemerintahan di mana kepentingan individu dan masyarakat perlu ditegakkan. Kepentingan individu dapat difahami dengan penggunaan ayat “mendirikan solat”, manakala kepentingan masyarakat dapat difahami menerusi ayat “..dan menunaikan zakat”. Gambaran para pemimpin sebuah Negara Islam juga dapat dilihat berdasarkan kepada kefahaman terhadap intipati yg terdapat di dalam solat di mana kepimpinan itu perlulah diimami oleh pemimpin yg adil, ikhlas, berilmu dan mempunyai ketokohan untuk menjadi imam dan pemimpin. Dalam masa yg sama, mereka pula bersedia untuk diperbetulkan oleh masyarakat yg bertindak sebagai makmum sekiranya terdapat sebarang kesilapan dan penyelewangan yg dilakukan. Penggunaan ayat “..dan menunaikan zakat” juga meletakkan bahawa kebajikkan masyarakat perlu diutamakan dalam sesebuah negara di mana prinsip tolong-menolong serta bantu-membantu daripada kerajaan kepada masyarakat dan daripada penduduk yg kaya kepada penduduk yg miskin merupakan asas kekuatan yg perlu dilaksanakan. Ciri yg terakhir yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam ayat ini adalah “..menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar”. Kewujudan ciri yg terakhir ini melengkapi tuntutan sebagai sebuah Negara Islam adil yang didiami oleh umat Islam yg terbaik. Di sinilah berdirinya keadilan ..!! Kerana perintah menyuruh yg baik dan mencegah yg mungkar dari kaca mata Islam merupakan kewajipan yg tidak melihat kepada agama, bangsa, kedudukan dan pangkat seseorang. Ia suatu kewajipan yg meletakkan keadilan sebagai asas perlaksanaannya bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan masyarakat dapat dipelihara. Dalam masa yg sama, ia memahamkan kepada kita bahawa Islam telah meletakkan bahawa masyarakat mempunyai hak dan kebebasan bersuara di dalam Negara. Perkara ini dapat difahami dengan tidak meletakkan kefahaman “menyuruh yg baik dan mencegah yg mungkar” itu dalam skop yg sempit seperti mana yg ditugaskan kepada Badan Penguatkuasaan Agama pada hari ini yg hanya melibatkan kepada perkara-perkara yg berkaitan dengan maksiat zina, berjudi, minum arak dan lain-lain. Tetapi kefahaman ayat ini sangat luas termasuk kepada kewajipan menegur pemerintah yg zalim, rasuah dan sebagainya.
Memahami hakikat ini, tidak dapat tidak .. umat Islam mempunyai dua pilihan samada mengundi PAS atau KeADILan dan tidak UMNO, kerana hanya PAS dan KeADILan sahaja parti yg memperjuangkan Islam, keadilan dan hak rakyat keseluruhannya tanpa mengira kaum, bangsa dan fahaman politik. Tetapi UMNO sebaliknya jelas-jelas memperjuangkan fahaman kebangsaan & nasionalisma seperti yg termaktub di dalam perlembangan parti tersebut yg secara jelas merupakan asas perjuangan sekularisma. Perjuangan yg berasaskan kepada fahaman Kebangsaan sudah tentu tidak akan menjamin keadilan yg dikehendaki di dalam sebuah Negara yg berbilang kaum, apatah lagi perjuangan tersebut tidak bertunjangkan kepada asas tauhid kepada Allah SW. Dalam masa yg sama, selama berpuluh tahun mandat telah diberikan kepada UMNO & BN untuk memimpin kerajaan, mereka hakikatnya telah gagal membuktikan kepada rakyat Malaysia umumnya dan bangsa Melayu khususnya bahawa mereka telah membangunkan bangsa Melayu seperti mana yg dilaung-laungkannya selama ini, bahkan kedudukan mereka semakin hari semakin terkikis dan tergadai disebabkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri. Bahkan Negara kebajikkan yg sepatutnya menjadi asas kepada prinsip sesuatu pemerintahan tidak dapat dinikmati di bawah pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional. Malah UMNO dan BN merupakan kerajaan cukai, kerajaan wang dan kerajaan kebendaan kerana rakyat saban tahun terpaksa menanggung beban cukai keliling pinggang dan kenaikkan harga barang & minyak yg bertambah-tambah. Kesannya, rakyat merasa terbeban hidup di bawah kepimpinan mereka. Kita sendiri menyaksikan kegagalan tersebut dengan kenaikkan harga minyak & harga barang, peningkatan gejala sosial & jenayah yg menjadi-jadi, rasuah para pemimpin, pertambahan pendatang asing dan kejatuhan ekonomi negara. Di manakah slogan 3G; Gemilang, Cemerlang dan Terbilang yg diperjuangkan mereka selama ini. Kita tidaklah mengharapkan satu perubahan drastik, memadai sekiranya dalam masa 5 tahun pemerintahan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, beberapa perkara kronik dapat diselesaikan atau dikurangkan seperti masalah rasuah dan sebagainya. Tetapi apa yg terjadi adalah sebaliknya. Inilah satu retorik mainan UMNO dan BN untuk menarik perhatian rakyat agar terus memilih mereka.
Saya juga mengatakan kepada akhawat tersebut bahawa keadaan menjadi berbeza sekiranya parti yg bertanding adalah UMNO dan MIC. Dalam keadaan sebegini, kita wajib menyokong UMNO kerana “mengambil keringan dari dua kemudaratan”, walaupun perjuangan mereka bukanlah yg berasaskan kepada Islam. Namun di sana masih terdapat ruang-ruang untuk memastikan survival Islam terjamin walaupun tidak sepenuhnya.
Oleh itu, inilah alasan mengapa saya katakan mengundi PAS atau KeADILan itu wajib kerana “Tidak sempurna suatu kewajipan itu melainkan dengannya, maka hal itu juga menjadi wajib”. Dalam erti kata lain, tidak akan tertegak sebuah kesejahteraan melainkan dengan keadilan, dan tidak akan tertegak keadilan melainkan dengan Islam, dan tidak akan tertegaknya Islam melainkan dengan daulah, dan tidak akan tertegaknya daulah pada hari ini melainkan dengan mengundi … Maka undilah PAS atau KeADILan untuk memastikan tertegaknya sebuah daulah yg adil dan berkebajikkan.
Marilah sama-sama mencari pahala JIHAD dengan MENGUNDI ….
0 comments:
Post a Comment