.
23 Jun 02 merupakan hari pemergian seorang Mujahid dan Mujaddid Agung Tanahair yang terbilang; al-Marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor. Sudah 6 tahun masa itu berlalu. Sesaat membaca artikel srikandi al-marhum di dalam Harakahdaily, entah tiba-tiba kenangan arwah bangkit semula dari ingatan saya. Terlalu kuat ingatan itu. Tak semena-mena.
.Saya teringat saat ketika beliau bertandang ke rumah selepas era Reformasi tahun 98 dahulu, sebelum berangkat ke Kuala Kangsar dalam lawatan rasmi beliau ke sana, saya diperkenalkan ayah kepada beliau di depan halaman rumah sebelum menjemputnya masuk. Dengan wajah kebapaan .. beliau menghulurkan senyuman kepada saya, lalu mengusap-usap rambut si kecil ini pada saat itu dengan tangan kasih sayang. Saya dapat rasakan nilai kasih sayang beliau pada saat itu .... Saya tidak akan lupakan kenangan itu buat selama-lamanya.
."Waktu tu ayah dengan pakcik Mat duduk satu bilik, Ust Fadhil dan driver dia pula duduk satu bilik sebelah bilik kami. Pakcik Mat cerita, pagi-pagi tu Ustaz Fadhil ketuk pintu bilik ajak makan nasi lemak sekali di bilik dia, tapi masa tu ayah tengah mandi. Selepas selesai semua, kami pun pergi ke bilik Ustaz. Ingatkan ustaz dah selesai makan sebab kami pun lambat. Rupa-rupanya dia tunggu kami sambil duduk atas lantai dengan bersinglet di depan nasi lemak bungkus .. semata-mata untuk makan bersama. Waktu tu ayah rasa sangat sayu ..", bicara ayah berulang-ulang menceritakan kesayuan beliau terhadap keperibadian al-marhum yang sangat beliau kagumi.
."Pakcik memang terasa sungguh bila Ustaz dah pergi. Mana tidaknya, dia anggap pakcik ni macam kawan dia je. Pernah sekali tu, selepas ayah kamu semua habis mesyuarat ... dia nampak pakcik di bawah. Dia terus panggil pakcik, "Mat .. Mat, mari makan sekali kat atas, lauk banyak tu". Itulah saat yang pakcik tak dapat lupakan. Ye la, pakcik ni bukan ada apa-apa pun, tapi ajakkan beliau waktu tu membuatkan pakcik dapat rasa kemesraan dia", cerita pakcik Mat, pemandu peribadi ayah saat mengenangkan peristiwa manis bersama al-Marhum Ustaz.
.Di samping kepetahan berpidato dan sifat kebapaan yang beliau tonjolkan, satu perkara yang membuatkan ramai orang kagum dan sayang kepada beliau adalah; beliau mempunyai daya ingatan yang terlalu kuat. Beliau tidak mudah lupa nama seseorang walaupun sudah lama tidak bertemu. Hal ini diperakui oleh semua orang yang pernah bersama dengan beliau termasuk ayah saya sendiri. Saat pertama kali bertemu ayah, beliau langsung mengingati nama ayah yang berbelas tahun sebelum itu pernah berkhidmat sebagai majistrat di Alor Setar, Kedah. Mungkin kerana itu beliau mengenali ayah, di samping pernah berpentas memberi ceramah semasa berada di sana. Ayah kaget sesaat sewaktu beliau menyebut namanya padahal sudah berbelas tahun saat itu berlalu. Itu lumrah. Kita pasti berasa bangga sekiranya orang lain mengingati nama kita, apatah lagi sekiranya dia merupakan seorang pemimpin ...
.Beliau di mata saya memang merupakan seorang tokoh yang cukup hebat. Ya, walaupun dikatakan ilmu beliau tidak sehebat Tok guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi, tetapi beliau cukup hebat dari segi percaturan politik. Bacaan politiknya jauh ke hadapan. Ketika Anwar dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri pada tahun 98 yg lalu, al-Marhum mengambil keputusan untuk bertemu & membantu Dato' Seri Anwar .. akan tetapi ramai AJK PAS Pusat pada saat itu menolak keputusan beliau itu dengan alasan Anwar telah curang dalam perjuangan asalnya. Namun, al-Marhum dengan tegasnya masih ingin meneruskan keputusan tersebut kerana ketika itu, ramai yang tidak dapat membaca bacaan politik beliau. Namun lihatlah hari ini, tidak dapat kita nafikan bahawa perubahan senario politik hari ini adalah kesan daripada pandangan jauh beliau pada ketika itu ....
.Tengahari itu .. saya, abang dan emak berada di rumah makcik saya di Kuala Kangsar. Ketika masing-masing sedang enak berbual, deringan telefon bimbit emak berbunyi. Emak menjawab panggilan tanpa sebarang dugaan. Ayah menelefon. "Ustaz Fadhil dah meninggal ke mak..!!?", saya menduga sebelum emak menceritakan ...
.Saya, abang dan Pak Uda setelah itu terus mengambil keputusan untuk pergi ke Muassasah Darul Ulum, bersama-sama ingin menjadi saksi di depan Allah betapa al-Marhum adalah seorang Mujahid, Mujaddid, Da'i dan Pemimpin terbilang bagi lautan manusia di rantau ini. Dengan Pajero V6, kami berangkat laju ke Kedah. Suasana hiba sangat terasa di sepanjang perjalanan tersebut. Masing-masing masih tidak percaya dengan berita pemergian al-marhum itu. Lemah saya memaksa diri untuk meletakkan segalanya pada realiti. Persoalan di minda saat itu berkecamuk memikirkan bagaimana keadaan PAS selepas pemergian al-marhum. Kabur. Bingung. Dari luar cermin kereta, tampak kereta berduyun-duyun dalam satu arah menuju ke destinasi yang sama.
.Pak Uda memacu laju kereta yang dipandunya, kerana sudah menjangkakan pasti akan berlaku kesesakkan. Memang benar, setelah melepasi Tol (x igt tol ape), kami terus terhimpit di dalam kesesakkan. Perlahan kereta menyusur. Keadaan sesak seperti di Kuala Lumpur, malah mungkin lebih dahsyat. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa hanya 10 minit untuk ke Muassasah berubah menjadi lebih dari 2 jam. Di kiri dan kanan banyak kereta-kereta tua yang terdampar di tepi jalan ... mungkin rosak atau tidak tahan dengan kesesakkan yang menyiksakan.
.Bayangan Muassasah sudah kelihatan. Kami meletakkan kereta sedikit jauh dari Muassasah tersebut. Mungkin kalau keadaan tenang, berjalan kaki hanya mengambil masa 5 minit saja untuk sampai ke sana dari kereta kami. Tetapi keadaan jalan yang begitu sesak menyebabkan masa berjalan kaki juga mengambil masa yang agak lama. Ribuan kereta dan manusia membanjiri kawasan tersebut sehinggakan AJK PAS Pusat juga terpaksa menaiki motor orang tempatan untuk melepasi kesesakkan tersebut.
.Ini petanda kemuliaan beliau di dunia .. Allah memuliakan beliau di dunia lagi sebelum dimuliakan di akhirat. Bagaimana berbondong-bondong manusia dari segenap penjuru tanahair datang semata-mata untuk memberi penghormatan serta menatap wajah terakhir seorang mujahid agung yang pergi buat selama-lamanya ........................
.Saya rindukan kelibat dan kepetahannya ....
.
Semoga rohnya disemadikan bersama-sama dengan para anbia', para shuhada' serta para solihin. AL-FATIHAH ....
0 comments:
Post a Comment