Tuesday, 19 August 2008

Penangan Ketenangan

.
.
Tidak semua orang sanggup mengorbankan masa depannya, apatah lagi tatkala lorong yang sedang mereka lalui itu sudah menampakkan bayang-bayang kesenangan dan kemewahan di depan mata. Ia seperti deruan angin yang membuatkan manusia memuja-muja akan kedinginannya, terkesima dengan sentuhannya yang memabukkan, seumpama kain sutera yang berlari-lari di atas permukaan kulit. Sentuhan di atas sentuhan. Ia begitu melalaikan ...
.
Di antara ketenangan dan kesenangan, lebih ramai manusia mengutamakan kesenangan berbanding ketenangan. Asalkan senang, segalanya sanggup dikorbankan. Ramai yang menyangka ketenangan itu buah kesenangan. Mereka menganggap kesenangan itu adalah kunci bagi segala kebahagiaan dan penutup bagi segala permasalahan. Yang demikian itu, mereka taburkan kesenangan demi kesenangan untuk menatijahkan ketenangan.
.
“Tak cukup ke dengan kesenangan yang ayah bagi kepada kamu? Apa yang kamu nak semuanya ayah telah berikan. Apa lagi yang kamu nak?”. Saya yakin anda semua biasa dengan fenomena keluhan sebegini. Ia ‘script’ biasa yang sering dipertontonkan di dalam filem-filem Melayu untuk menceritakan suasana hidup keluarga korporat yang berjamahkan kesenangan untuk memperoleh kekenyangan ketenangan. Malangnya, ketenangan itu masih belum dapat dinikmati. Si anak terus dahagakan ketenangan, si bapa mencari-cari apakah solusi dalam permasalahan tersebut.
.
Mereka silap, sebetulnya kesenangan itulah buah ketenangan. Ketenanganlah kunci bagi segala kebahagiaan dan penutup bagi segala permasalahan. Mungkin mereka lupa bahawa tempat ketenangan itu ada pada hati, manakala hati tidak pernah memilih harta sebagai kunci untuk membuka pintu ketenangan itu…
.
KETENANGAN BERSAMA INSAN YANG TERISTIMEWA
.
Siti Khadijah, isteri Rasulullah SAW adalah di antara insan yang memilih kesenangan melalui buah ketenangan. Beliau memilih untuk hidup di sisi Rasulullah SAW, seorang insan faqir yang tidak memiliki apa-apa melainkan keperibadian akhlak yang termulia. Semua hartanya dikorbankan demi perjuangan dakwah Rasulullah SAW, namun beliau tetap bahagia dan tenang di sisi baginda sehingga mati sebagai srikandi yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW dan begitu dicemburui oleh Aisyah RA.
.
Begitu juga dengan Rasulullah SAW, setelah pertama kali didatangi oleh Jibril ke Gua Hira’ dengan bentuk yang begitu menggerunkan untuk mengajarkan kepada baginda akan beberapa kalimat dari kalimat-kalimat Allah SWT, baginda meluru pulang ke rumah dengan penuh ketakutan. Setibanya di rumah, direbahkan tubuhnya atas ribaan Siti Khadijah binti Khuwailid. Siti Khadijah yang pada saat itu dapat merasai ketakutan yang sedang dialami oleh suaminya, lalu bingkas menyelimutinya dan memberikan belaian ketenangan kepada baginda SAW, kerana beliau tahu di saat-saat seumpama itu, tiada apa pun yang dipinginkan oleh suaminya melainkan ketenangan.
.
Ibn Qayyim di dalam bukunya ((Raudhatul Muhibbin)) atau di dalam versi Melayunya ((Taman Orang-Orang Jatuh Cinta)) menceritakan bahawa isteri Alqamah bertanya kepada anak perempuannya, “Wahai puteriku, seperti apakah laki-laki yang menjadi pilihanmu? Orang berumur yang dihormati, namun jalannya sudah tidak tegap lagi ataukah seorang pemuda yang tampan dan murah senyuman, namun mudah bosan dan banyak kemahuannya?”.
.
Puterinya lalu menjawab, “Pemuda yang tampan”.
.
Ibunya kemudian berkata, “Sesungguhnya pemuda itu akan memancing kecemburuanmu kerana dia ingin menikah lagi”, ibunya menyambung lagi, “sedangkan orang berumur itu boleh membuatkan kamu hidup senang. Laki-laki yang sudah berumur dan dihormati itu tidak seperti anak muda yang lebih banyak dibuai mimpi”.
.
“Wahai ibu, aku tetap mengharapkan anak muda, seperti gembala yang menyukai lembah yang hijau”, jawap puterinya.
.
“Wahai puteriku! Anak muda itu lebih suka berdalih tetapi justeru banyak mencela”, kata ibunya.
.
“Wahai ibu, jika laki-laki yang sudah berumur .. aku takut dia akan mengotori pakaianku dan membasahi masa mudaku”, kata puterinya.
.
Isteri Alqamah terus memujuk anak perempuannya dan akhirnya puterinya tunduk kepada kehendak ibunya. Kemudian dia dikahwinkan dengan al-Harith, lelaki berumur yang menjadi pilihan ibunya dengan maskahwin berupa seratus lima puluh ekor unta, seorang pembantu dan seribu dirham. Al-Harith sangat mencintai isterinya melebihi cintanya dari segala sesuatu. Suatu hari al-Harith duduk-duduk di teras rumahnya yang teduh, dan putri Alqamah ada di sisinya. Tidak berapa lama kemudian, ada beberapa anak muda yang dilihat berkeliaran di situ. Isteri al-Harith menarik nafas dalam-dalam dan matanya menerawang sambil menitiskan air mata.
.
“Mengapa kamu menangis”, tanya al-Harith, suaminya.
.
“Apa yang boleh aku harapkan dari orang yang sudah tua, yang bangkit berdiripun seperti seekor anak burung?”, jawab isterinya.
.
Setelah itu al-Harith mengembalikan isterinya kepada keluarganya seraya berkata, “Aku tidak memerlukan dirimu lagi”. ((Raudhatul Muhibbin(terjemahan), Imam Ibn Qayyim, m.s 348-349))
.
Betapa terseksanya hidup anak Alqamah ini berada di sisi insan yang tidak pernah menjadi pilihan hatinya. Dua pemuda itu ingin sekali dekat, tetapi terseksa kerana berjauhan jasad. Hanya hati saja yang mampu mendekatkan diri-diri mereka. Mereka berhubungan melalui hati. Hati berkata-kata tanpa suara. Namun ia sampai dan dapat difahami. Walaupun suaminya berharta, tetapi harta bukanlah tandingan untuk mencapai ketenangan yang ia impikan.
.
Inilah situasi yang dialami oleh Lyla Novacek di dalam filem ((August Rush)). Beliau dipisahkan selama hampir 12 tahun daripada anaknya, Aven. Kerana tidak mengiktiraf perhubungan diantara anaknya dengan kekasihnya, Louise yang hanya merupakan seorang Band Music, bapanya menyembunyikan fakta kebenaran dengan mengatakan bahawa anaknya mati ketika ia pengsan melahirkannya. Namun, hati kecil si ibu itu masih tetap mengatakan bahawa anaknya masih hidup walaupun cuba disembunyikan oleh bapanya.
.
“I’ve always wanted him. I’ve waited 11 years, two months and 15 days to find out that he’s alive. I’ve been counting”, inilah jawapan Lyla ketika ditanya oleh Mr. Jeffries, Pegawai Perkhidmatan Kanak-Kanak New York, “Explain something to me, why now? Why not before? Why it is so important that you want him now?”. Ya, memang benar bahawa anaknya masih hidup. Detikan hati ibu yang membuatkan mereka dapat kembali disatukan, walaupun beliau tidak pernah kenal wajah sebenar anaknya.
.
Menyentuh mengenai hal ini, pernahkah UMNO dan Barisan Nasional memikirkan perasaan keluarga mangsa tahanan ISA? Apakah anda tidak merasakan bahawa tindakan anda memenjarakan mereka yang tidak dibicarakan secara adil ini telah menafikan ‘ketenangan’ yang sepatutnya dikecapi oleh isteri dan anak-anak mereka? Anda telah memisahkan ‘ketenangan’ mereka dengan memisahkan jasad-jasad mereka. Lihatlah betapa ada diantara tahanan ini yang menjadi gila dan ada diantara anak-anak mereka yang sakit, bahkan yang mati akibat tidak tertanggung dengan seksaan batin yang seumpama ini … apakah anda tidak pernah memikirkannya???
.
Apakah berfikir sesaat itu lebih baik daripada solat seribu kali? Fikirkanlah …
.
KETENANGAN DI BAWAH LEMBAUNG AGAMA
.
لِمَ تَصْنَعُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَقَدْ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ أَفَلَا أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا
“Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan sedemikian sedangkan telah dimaafkan bagimu setiap kesilapanmu yang dulu dan yang akan datang”, tanya Mughirah RA, isteri nabi SAW saat melihat suaminya yang sering mendirikan solat malam sehingga bengkak-bengkak tumit kakinya.
.
Jawab Rasulullah SAW sebagai sabdanya, “Apakah aku tidak boleh menjadi hamba yang bersyukur”. (Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya (8/584) hadis no. 4836)
.
Inilah jawapan seorang kekasih yang tenang bersama Tuhannya. Jaminan kemaksuman yang menjadi bukti kenabiannya tidak sesekali menghalang baginda SAW untuk terus sujud mengabdikan diri di hadapan Allah SWT lantaran rasa redha, cinta dan syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan. Bahkan diriwayatkan bahawa Baginda SAW pernah memohon kepada Allah SWT agar beliau dihidupkan dalam keadaan faqir dan wafat bersama kefakirannya … kerana ketenangan itu ada di situ.
.
Lalu baginda terus dihidupkan dengan kefakiran, dan merasa mewah dengan apa yang dianugerahkan. Malam itu Allah SWT mencampakkan ketenangan di dalam jiwanya. Baginda pun melayari kesunyian malam itu dengan penuh khudu’ sehingga bengkak-bengkak tumit kakinya ketika mendirikan solat.
.
Di dalam contoh yang lain, Ibnu Hisyam pernah meriwayatkan bahawa Utbah pernah bertemu dengan Rasulullah SAW untuk menawarkan sesuatu kepadanya sebagai ganti agar baginda berhenti daripada meneruskan perjuangan dakwahnya. Utbah mengatakan, “Jika tujuanmu membawa agama baru ini untuk mendapatkan harta kekayaan, maka kami akan kumpulkan harta-harta kami untuk kamu ….”. Setelah itu Rasulullah SAW menjawab tawaran Utbah itu dengan membacakan 13 ayat dari surah Fussilat (ayat 1-13) sehingga beliau tergamam dan tidak mampu berkata-kata. ((Fiqh As-Seerah (terjemahan), Syeikh Dr. Syed Ramadhan al-Bouti, v.1/m.s 129 ))
.
Inilah kehebatan insan termulia di sisi Allah SWT .. tidak terdetik suatupun di dalam hatinya perasaan haloba terhadap dunia. Dalam kapasitas beliau sebagai seorang pemimpin, apakah tiada kemungkinan untuk baginda mengaut segala kekayaan rakyatnya ..? Boleh saja sekiranya baginda mahukan, seperti mana yang dilakukan Firaun, Namrud dan sekutu-sekutunya. Namun, itu bukanlah sifat dan tujuannya …Oleh itu, layaklah baginda untuk diikuti.
.
Begitulah keadaan mereka yang mendambakan ketenangan. Mereka senang dalam tenang, gelisah dalam kesenangan yang tiada ketenangan.
.
Ketenangan itu bukan barang yang boleh digambarkan. Ia berkait dengan hati. Ketenangan itu adalah kata hati. Hati adalah sahabat terakrab buat diri. Kata hati adalah kata sejujur-jujurnya. Ketika hati mengatakan tenang, jasad juga akan merasakan ketenangannya.
.
KESENANGAN YANG DITOLAK
.
Mungkin ada yang salah faham dengan penjelasan saya. Perlu saya jelaskan bahawa artikel ini tidak ingin untuk menjustifikasikan bahawa saya adalah golongan yang menolak kesenangan. Saya tidak menolaknya, bahkan Islam juga tidak pernah sesekali menolaknya. Tidak salah untuk menggapai kesenangan, kerana ia impian setiap insan. Apa yang menjadi fokus adalah; kesenangan yang bagaimana yang kita mahukan? Apakah kesenangan itu semestinya dengan memiliki rumah yang besar, kereta yang mewah atau harta yang banyak?
.
Saya menolak pemahaman kesenangan yang sempit seumpama ini. Saya juga menolak kesenangan yang diambil luar dari kotak ketenangan dengan mengenepikan aspek-aspek halal dan haram sebagai garis panduan asasnya.
.
Al-Quran telah menceritakan kepada kita bagaimana keadaan ulama-ulama Yahudi dan Nasrani sebelum dan selepas zaman Rasulullah SAW yang sanggup membeli kesenangan dunia dengan menjual agama Allah dengan harga yang murah, “Mereka adalah orang-orang yang membeli kesesatan daripada petunjuk dan azab daripada keampunan. Apakah sabarnya mereka terhadap api neraka?” (al-Baqarah: 175). Mereka menyembunyikan hakikat kebenaran dengan menyelewengkan ketulenan Kitab Injil dan Taurat. Mereka selewengkan sifat sebenar Rasulullah SAW yang dicatatkan di dalam Injil dan Taurat sedang mereka benar-benar yakin dan tahu akan diri Baginda SAW melebihi pengetahuan mereka terhadap anak-anak mereka sendiri, “Orang-orang yang telah Kami datangkan kepada mereka akan Kitab, mereka mengenalinya (Rasulullah SAW) sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka” (al-Baqarah: 146), lalu mereka perdayakan khalayak ramai dengan mengatakan bahawa itulah Kitab sebenar yang diturunkan Allah SWT kepada mereka, “Celakalah bagi mereka yang menulis akan Kitab dengan tangan-tangan mereka sendiri kemudian mereka mengatakan ‘ini adalah dari sisi Allah’..” (al-Baqarah: 79).
.
Semuanya disebabkan oleh kecintaan mereka terhadap kesenangan dunia semata-mata, lalu mereka selewengkan kebenaran dengan menjualnya dengan harga yang murah. Namun kesenangan itu tidak sesekali menatijahkan buah ketenangan kepada mereka, apatah lagi dalam keadaan mereka sedar akan perbuatan yang mereka lakukan. Tunggulah saatnya tiba, perut-perut mereka pasti akan dibakar oleh api-api nereka. Kerana ‘perut’ .. mereka menjual agama dan kerana perut itulah juga, mereka akan dibakar di api neraka, “Mereka tidak akan menikmati sebarang makanan ke dalam perut mereka melainkan dengan bahang panas bahan-bahan api neraka ..” (al-Baqarah: 174).
.
Saya yakin, walaupun mereka berjaya menikmati segala kemewahan dunia ... tetapi hati mereka tidak pernah tenang.
.
Sekiranya anda tidak percaya, tanyalah kepada golongan seumpama mereka yang wujud pada hari ini ....
.

1 comments:

djambu puadovich said...

woah! sheikh lyn august rush gak ke? hehe